Jodoh dari Syaitan
Jodoh dari Jin
Jodoh dari Allah - kamu bertemu, berpandangan, terus menusuk kalbu. Kamu melamar dan lamaran kamu diterima. Kamu bernikah. Dan hidup bahagia sehingga akhir hayat. Itu yang dinamakan Syurga Cinta.

Hujung minggu lepas saya pergi menonton filem Syurga Cinta. Buah tangan penerbit David Teo dan arahan oleh Ahmad Idham. Dengan barisan pelakon utama terdiri daripada Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.
Selepas Filem Sepi, ini filem Melayu kedua yang saya tonton di panggung dan saya menangis. Saya tersentuh dengan Sepi kerana ia mengajar kita makna sepi dengan lebih luas. Syurga Cinta pula menyentuh hati saya kerana mesej keinsafan yang cuba disampaikan menerusi filem ini terus menyentap dan meresap dalam jiwa. Ditambah dengan alunan tiupan seruling Mohar melatari babak, cukup menusuk kalbu. Cuma saya tertanya-tanya di mana lagu runut bunyi yang katanya dinyanyikan oleh Hafiz Hamidun itu?
Tidak keterlaluan jika saya katakan filem Syurga Cinta juga layak menandingi filem Ayat-ayat Cinta dari seberang. David Teo sebagai penerbit saya lihat begitu bijak menghasilkan filem-filem yang dekat dengan penonton. Walaupun pernah gagal dalam percubaan menghasilkan filem berunsur keislaman menerusi Syukur 21, beliau tidak pernah berputus asa. Hasilnya, filem Syurga Cinta sangat berjaya. Saya harap beliau akan terus menghasilkan filem-filem sebegini yang lebih memberi pengajaran, jika mahu dibandingkan dengan filem-filem seram dan mistik yang dikeluarkan oleh syarikat beliau.
Filem Syurga Cinta sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Inilah filem Malaysia yang patut kita sokong. Tahniah kepada David Teo. Tahniah kepada Ahmad Idham. Juga tahniah kepada para pelakon yang berjaya membawakan setiap watak dengan begitu berkesan. Jauh di sudut hati saya sebagai peminat Awal Ashaari, berdoa agar filem ini juga memberi kesan dalam kehidupan seharian beliau bukan sekadar lakonan semata-mata.
"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi".
InsyaAllah, saya sudah bertemu pelangi.































