Saya agak sibuk kebelakangan ini. Blog tak dikemaskini. Surat peminat pun belum sempat dibalas. Tapi hari ni saya ambil juga sedikit kesempatan untuk berkongsi kisah. Kejadian yang berlaku hari ini.
Tadi sewaktu mahu turun beli makanan tengahari, saya terperangkap di dalam lif. Seorang diri selama hampir 1/2 jam. Bangga dengan diri sendiri kerana tidak panik. Cuma sedikit terkejut sewaktu lif bergegar tersangkut dan saya sedikit terhentak ke bahagian dinding lif.
Saya tekan loceng kecemasan. Berulang kali. Tapi tiada jawapan. Lalu saya telefon pegawai pentadbiran memaklumkan kejadian. Mohon dikhabarkan kepada pihak pengurusan bangunan. Lama juga menunggu. Saya telefon juga beberapa orang rakan pejabat yang lain sebagai makluman tambahan.
Tiba-tiba lif jadi gelap gelita. Pendingin hawa juga berhenti berfungsi. Bantuan belum kunjung tiba. Perut semakin lapar. Kaki sudah lenguh berdiri. Saya telefon pegawai pentadbiran sekali lagi. Saya duduk dan telefon kawan lain. Berpeluh ketiak. Sesak nafas semua ada. Alhamdulillah tak lama kemudian juruteknik datang buka pintu lif. Berkali-kali dia minta maaf. Syukur semuanya selamat.
Dalam kejadian berasingan (eh ayat macam berita) kawan sepejabat saya disamun pagi tadi dalam perjalanan dari rumah ke Stesen LRT Pandan Jaya. Penyamun mengacukan parang panjang sambil mengugut untuk mencederakan jika menjerit dan beg tangan tidak diserahkan.
Kerana bimbang keselamatan diri, kawan saya akur dengan kehendak penyamun. Tapi sempat juga dia merayu minta dipulangkan segala dokumen penting yang ada. Permintaan tidak diendahkan sebaliknya diugut lagi jika kawan saya berganjak dari tempat berdiri kerana penyamun mahu melarikan diri.
Walaupun terkilan segala dokumen penting lesap, dan segala kunci yang ada pun lebuh, namun syukur kerana diri tidak dicederakan. Barang boleh dicari namun nyawa tiada galang gantinya.
Jadi kepada sesiapa yang sering berjalan kaki di kawasan sunyi seawal pagi ke stesen LRT, Komuter atau apa saja pengangkutan awam berhati-hatilah. Mungkin gerak geri kita sudah lama diperhatikan. Cuma masa dan ketika saja yang menentukan bila penyamun mahu bertindak.