Showing posts with label tentang aku. Show all posts
Showing posts with label tentang aku. Show all posts

Tuesday, April 21, 2009

..::ITUKAH DIA::..

Pada ketika air mata seakan mengalir.
Baru aku mengerti.
Mungkin itulah perasaan.
Yang sebenar.

Thursday, January 15, 2009

..::SATU DI ANTARA YANG LIMA ITU::..

Saya. Mengalami keracunan makanan. Beberapa minggu yang lalu. Doktor menasihatkan saya agar mengelakkan makan makanan yang mengandungi susu, santan dan pedas yang berlebihan. Habis apa saja yang saya boleh makan? Roti. Kata doktor. Sup? Nasi dengan ikan goreng. Jawab doktor lagi. Maka, untuk mengelakkan kejadian ngeri-terguling atas katil menahan sakit perut-seorang diri, saya ikutkan nasihat doktor.

Semenjak itu, bermulalah episod baru dalam rutin pemakanan saya. Saya tak minum susu langsung. Walaupun dalam peti ais ada sekotak susu dan sebotol air yogurt. Saya tak masak kari walaupun hati meronta-ronta nak makan pajeri nanas dan gulai udang+kacang. Saya yang tak berapa makan pedas, terus tak boleh makan pedas. Langsung. Dan. Yang paling teruk, perut saya menjadi perut 'tangan kedua'. Tersilap makan saja akan membuatkan perut saya meradang. Jadi, saya cuma minum air masak. Makan biskut serat yang tawar. Juga nasi berlaukkan ikan/ayam goreng berkuahkan kicap.

Tiba-tiba saya rasa insaf. Hilang nikmat dunia.

Wednesday, January 14, 2009

..::BERCAHAYA::..

Saya. Ada sehelai t-shirt. Yang ada corak. Dan bercahaya di dalam gelap.

Pada suatu malam. Saya sudah sedia mahu tidur. Lampu habis dipadam.

Tiba-tiba. Saya hampir pengsan dek terkejut.

Dada saya mengeluarkan cahaya berbentuk peta Sarawak.

Huh!!

Monday, January 05, 2009

..::TEMAN TERULUNG::..

Setelah sekian lama mencari. Setelah sekian lama memilih. Akhirnya. Sempena tahun baru. Saya sudah mempunyai teman. Teman baru. Teman yang nanti tentunya dapat membantu saya menjalani kehidupan seharian. Dengan lebih bermakna. Dan ceria.

Doakan kebahagiaan saya.

Wednesday, December 31, 2008

..::BERJUTA BATU JAUHNYA::..

Menghadapi kejang perut, cirit-birit dan muntah-muntah. Sendirian. Di tengah malam. Tanpa dapat tidur.

Membuatkan saya rasa.

"Deng!!"

Tuesday, December 30, 2008

..::WALAUPUN RINGAN TAK ADA ORANG NAK TOLONG JINJING::..

Saya tinggal di kampung. Kampung yang masih tebal pengamalan tradisi gotong-royongnya. Terutama sekali berkaitan kenduri-kendara. Kenduri kahwin khususnya. Walaupun sekarang ini sudah ramai yang mula menggunakan khidmat katerer.

Semalam saya meraikan majlis resepsi sepupu. Di dewan. Bagi masyarakat setempat (kampung), majlis perkahwinan di dewan agak.. mungkin boleh dikatakan janggal. Apatah lagi jika dibuat di hotel.

Maka, bermula dari dalam perjalanan sehingga ke waktu makan di meja, topik perbualan dengan adik beradik ialah bagaimanakah majlis saya nanti dan di manakah lokasinya. Tentu saja ia menjadi topik dan isu kerana saya seorang sahaja yang masih solo.

Melihat kepada mahu meringankan kerja dan memudahkan capaian, mungkin majlis di dewan jadi pilihan. Senang kawan-kawan mahu datang, berbanding jika dibuat di kampung yang jauh ke dalam. Nanti ada pula kawan yang tanya, jalan ke rumah saya sudah berturap atau masih jalan tanah merah yang berlopak-lopak. Bimbang nanti kereta yang mahal cedera kerana asyik terlanggar lopak.

Abang ipar saya mencadangkan agar diadakan majlis pada waktu malam. Di dewan juga. Katanya sekarang ni orang kampung semua sudah punya kereta, jadi tidak susah jika mahu ke majlis itu. Adik saya kata, buat di dewan dan jemput kawan-kawan sahaja. Mungkin kawan-kawan yang kita suka sahaja. Ha ha ha.. Tak perlu jemput orang kampung. Itu memang cadangan yang keji.

Mak pula memang menentang sekeras-kerasnya cadangan mahu adakan majlis di dewan tak kira siang atau malam. Atau cadangan jemput kawan-kawan sahaja. Apa tidaknya, majlis adik saya 2 tahun lalu yang menggunakan khidmat katerer walaupun kenduri masih di kampung pun sudah menjadi isu, inikan pula jika majlis dibuat di dewan. Mak tak sanggup nak hadapi situasi begitu. Jadi buah mulut orang kampung. Yang bermati-matian mahu bergotong royong walaupun sudah dimaklumkan ia adalah untuk menyenangkan mereka. Dan tentu sekali untuk memudahkan kami adik beradik yang walaupun ramai tapi tinggalnya jauh-jauh. Tiada siapa yang nak mengepalai segala mesyuarat persediaan kenduri sejak arwah ayah meninggal. Belum lagi segala perkara sebelum dan selepas kenduri yang perlu dibereskan. Bukan menolak amalan bergotong royong sebaliknya itu majlis kita dan kita tuan rumah. Tentu ada sebab kenapa kita mahu gunakan khidmat katerer.

Tapi, itulah kampung saya. Kampung yang masih kuat mengamalkan tradisi bergotong royong. Terutama sekali berkaitan kenduri kendara.

Cuma. Sebelum perbincangan diteruskan dengan lebih lanjut, sila tanya pada diri sendiri.

Bila majlisnya tu? Ha ha ha

Saturday, November 29, 2008

Hari ini. Sepatutnya saya perlu bekerja sejak pagi. Tapi, saya ingkar perintah. As I've changed my portfolio. Dari menjadi penyambut tetamu kepada gadis penjaga hadiah.

Berada di rumah - saya ada tanggungjawab yang perlu dibereskan. Kain baju melimpah bakul sejak 2 minggu lepas mesti dicuci. Sementelah cuaca agak baik dengan sinaran matahari yang suam-suam kuku. Dan ketahuilah bahawa saya mencuci secara manual. Jadi saya memang memerlukan cahaya matahari. Juga masa yang secukupnya untuk melakukan semua itu: rendam-cuci-ampai-angkat. Doakan saya cepat insaf dan beli mesin basuh untuk kemudahan diri sendiri.

Sementara itu, saya baring rehat-rehatkan badan layan muzik, baca novel Ten Things I Hate About Me sambil makan cokelat. Sangat tidak elok kerana saya mungkin akan tercekik cokelat yang bulat seperti makjun itu. Tapi saya tidak peduli. Kerana ia menenangkan. Dan buku ini membuatkan saya menangis. Walaupun saya sudah boleh agak dari awal yang John - cybermate itu ialah Timothy - classmate. Oh, saya menangis bila membaca bahagian konflik diri, konflik kekeluargaan, pergaduhan dengan si ayah - bapa tunggal yang perlu membesarkan 3 orang anak remaja dalam lingkungan budaya dan agama yang berbeza: Aussie-Lebanese-Muslim. Juga tentang konflik - 'mahu membuktikan sesuatu' - yang ada dalam diri semua. Buku ini sangat baik walaupun tajuknya agak menyedihkan.

Oh, saya terasa lapar. Kitaran biology yang tidak teratur juga membuatkan nafsu makan saya jadi tidak menentu sehingga saya makan nasi 3 kali sehari. Saya perlu memperbetulkan kembali kitaran tidur-makan-kerja saya secepat mungkin sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

Friday, November 14, 2008

..::SAYA SUKA-SAYA CUBA: MAHU TANAM POKOK BUAH NAGA::..

Saya suka makan. Saya juga suka memasak. Dan ini bukan entry tentang makanan yang saya masak atau makan.

Ia tentang bahan mentah untuk memasak. Saya baru tahu rupa-rupanya taugeh tidak lagi boleh dibeli dengan harga 20 sen atau 30 sen. Paling murah boleh beli ialah 50 sen. Ya, saya bukan penggemar taugeh. Ok. Seikat serai 50 sen. Seikat daun sup dan daun bawang pula RM1.00. Tapi, bila bahan-bahan untuk memasak itu perlu dibeli walaupun kuantiti yang mahu kita guna cuma sedikit, saya jadi berkira. Bukan apa. Nanti membazir pula bila bahan-bahan tu kecut dan layu saja dalam peti ais.

Jadi, saya ambil keputusan untuk bercucuk tanam. Wah! Bunyinya macam punya sebidang tanah yang luas. Walhal saya cuma ada ruang beranda sekangkang kera saja. Ya, saya tinggal di apartment. Hakikat yang perlu diterima oleh penghuni apartment ialah anda tidak mempunyai tanah.

Daripada tanam pokok bunya yang tiada faedahnya, baik saya tanam sayur-sayuran. Dan ini hasilnya. Tanaman yang telah saya usahakan sejak setahun lalu.



Saya tanam daun sup, pokok kari, pokok pandan, kunyit, halia dan serai. Sebelum ni serai tu nampak macam lalang saja. Tapi sejak saya pindahkan dalam pasu yang lebih besar barulah elok sikit naiknya. Dulu saya juga ada pokok cili tapi kemudian mati sebelum sempat berbuah. Sekarang saya semai yang baru dalam pasu serai tu. Dalam pasu daun sup ada juga pokok pegaga. Dan paling baru saya tanam daun bawang. Eeerrr itu pun selepas ada bawang yang hidup dalam bakul di dapur. He he he.

Sebenarnya, saya rasa mahu tanam pokok betik, pokok honeydew atau pokok buah naga. Sebab itu buah kegemaran saya. Tapi saya perlu terima hakikat. Saya cuma ada beranda sekangkang kera.

Friday, October 24, 2008

..::CITA-CITA SAYA MAHU PERGI LUAR NEGARA::..

Lupakan seketika cita-cita murni itu. Ya, saya tidak bersungguh-sungguh. Hari ini adalah tarikh tutup permohonan.

Borang sudah saya isi. Tapi, tidak habis kerana sangkut di perkara (l) KEDERASAN MENGAMBIL TRENGKAS (Bahasa Malaysia / Bahasa Inggeris) dan (Tarikh Lulus Peperiksaan Kerajaan). Kebolehan saya mengambil trengkas sangat terhad sekarang ini. Penggunaan trengkas di pejabat memang tak dipraktikkan. Boss saya lebih senang menaip kemudian email kepada saya untuk semakan. Dah semak, saya email semula kepadanya. Eh, terbalik bukan? Ha ha ha.. Dan saya tidak mengambil peperiksaan kerana mendapat pengecualian.

Perkara (l) itu juga yang menjadi masalah saya dalam syarat (e) permohonan. Syarat (h), kebenaran pasangan tidak terpakai untuk saya. Buat masa ini. Tapi andai kata saya memohon dan permohonan diluluskan untuk sesi 2009/2010. Mungkin waktu itu syarat berkenaan sudah termaktub. Bimbang timbul konflik di situ nanti.

Hari ini pula, semua boss tak ada. Boss saya bercuti. Boss perempuan ke Pahang. Jadi, tiada siapa yang boleh tandatangan surat permohonan saya itu. Kerana permohonan mesti melalui Ketua Jabatan. Dan jika dapat tandatangan pun, bagaimana saya mahu menghantar permohonan itu ke Putrajaya. Pejabat saya di Kuala Lumpur. Mahu hantar sendiri? Mungkin saya boleh terus balik rumah sahaja. Ha ha ha..

Ya, saya tidak bersunguh-sungguh. Mungkin apa yang saya katakan itu cuma alasan semata-mata.

Thursday, October 23, 2008

SAYA YANG KESAKITAN BADAN

Hari ini badan saya sakit-sakit. Semalam saya berhabisan di Jaya Jusco. Kerana itu penyakit yang dicari sendiri, maka tidak boleh ada penyesalan di situ.

Saya tidak mahu bercerita tentang apa yang saya beli di Jaya Jusco. Tapi saya tetap rasa mahu mengemaskini blog ini. Sementelah Mya telah 'mengetag' saya, jadi saya jawabkan saja apa yang diminta.

Firstname : Noor
Nickname : Nida
Birthday : 27 September 1979
Birthplace : Parit Haji Amin. Oh, saya diberanakkan di rumah
Time of Birth : 11.20 pagi
Zodiac Sign : Libra

This or That

Flower or Chocolate : Chocolate
Pepsi or Coke : Dua-dua pun tak. Saya pilih Ice Lemon Tea
Pop or Rock : Rock
Relationship or One Night Stand : Ha ha ha.. Mesti la relationship. Kalau one night stand, mau kena sula saya nanti
School or Work : School
Love or Money : Love
Movies or Music : Music
Country or City : City
Sunny days or Rainy days : Sunny days
Friends or Family : Family

Have you ever

Smoked : Tak. Tapi hidu asap rokok itu kerap. Lagi bahaya kan?
Broke someone's heart : Once.. Twice? May be
Had your heart broken : Yes
Wish you were a prince/princess : No
Liked someone who was taken : Itu biasa la kan.. Ahaks
Shaved your head : No
Been in love : Yes!! I'm in love
Used chopsticks : Suka
Sang in the mirror to yourself : Kadang-kadang

Favorites

Candy : Bittersweet by Cadbury's
Song : Mungkin - Anuar Zain
Scent : Oceonus - Body Shop
Musical Instrument : Drum
Movie : Save The Last Dance
Actor/Actress : Zed Zaidi (tapi bukan dalam Sembilu Kasih)/Fazura
Junk Food : Twisties
Animal : Kucing
Ever cried over someone : Yes
Is there anything you wish you could change about yourself : No
Do you think you're attractive : Of course!!!
You had to choose a fairytale as your life what would you choose : Bukankah life is a fairytale?
You play any sports : Bola Tampar. Duluuuuuuu zaman sekolah.

List (8) random facts about yourself and tag (some) people :
1. Satu-satunya dalam keluarga yang masih bujang
2. Berkerjaya
3. Berdikari (udah bujang harus la pandai berdikari kan?)
4. Suka masak
5. Suka makan
6. Suka membeli-belah
7. Sangat sukakan warna hijau
8. Ada koleksi baju yang boleh dipakai selama 3 bulan lebih tanpa diulang

Saya tidak mahu tag sesiapa. Tapi sesiapa yang rasa mahu santai-santai jawab soalan ini dipersilakan.

Tuesday, October 21, 2008

..::SAYA PERLU SUMBER TENAGA YANG LAIN::..

Hujung minggu yang baru lepas, saya bekerja sehingga lewat malam. Ditambah dengan cuaca yang sejuk. Urat-urat seakan mengecut.

Semalam. Mata seakan dilekat-lekat. Mahu tertutup. Dalam perjalanan balik yang bumper to bumper saya terlanggar apek naik motor atau apek itu sebenarnya yang melanggar saya. Mujur apa yang dilanggar itu adalah bumper depan. Dan apek itu juga tidak menunjukkan sebarang reaksi bersalah. Saya malas mahu fikir. Dalam kepala mahu cepat balik dan lelap. Tapi sampai di rumah saya masak nasi dan kari sardin kerana sangat lapar. Nikmatnya.

Seperti biasa, sejak akhir-akhir ini saya selalu tertidur depan tv. Bila saya masuk bilik dan bersedia untuk tidur, mata ini tidak pula mahu lelap.

Sebenarnya, ada banyak perkara yang saya perlu buat:

23hb - ada audition untuk bangsawan. Show bulan Disember
24hb - tarikh tutup permohonan penempatan ke luar negara. Borang saya belum isi.
26hb - ada 3 jemputan majlis perkahwinan. 2 rakan sepejabat. 1 rakan sepoly. Saya akan ke PD meraikan rakan sepoly. Lagipun itu room-mate saya masa semester 1
1hb - Maskara Shorties
7hb - 9hb - Bangsawan Batu Belah Batu Bertangkup
18hb - 24hb - Festival Pantun antara Kementerian sempena BBSN. Takutnya saya.
25hb - Exam PTK. Apa pun saya tak study lagi

Oh. Sungguh saya rasa perlukan sumber tenaga yang lain. Untuk buat semua itu dengan efektif dan berkesan.

Dan. Berada di rumah adalah satu kenikmatan yang tak dapat dinilai.

Monday, October 20, 2008

..::JATUH::..

Ada. Orang. Jatuh cinta

Tapi. Aku. Jatuh tangga

Apa. Sebab. Jatuh tangga

Mungkin. Kerana. Jatuh cinta

Friday, October 17, 2008

..::MAHU BAWA DIRI::..

JPA keluarkan tawaran ini. Penempatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negeri.

Aku pernah buat permohonan. Lama dulu. Sekitar tahun 2005. Rasanya. Masa tu aku memohon dengan sepenuh hati. Namun, aku tak dipanggil untuk temuduga. Dalam erti kata yang lebih mudah, permohonan aku tak berjaya.

Kali ni. Aku rasa nak mohon semula. Cuma perasaannya tidak berkobar-kobar seperti dulu. Mungkin ada yang memaut hati aku di sini? Mungkin.

Aku. Ada masa seminggu sebelum tarikh tutup permohonan.

Tuesday, October 14, 2008

..::PELUANG::..

Bila saya cuba beri peluang. Pada awak. Pada diri saya sendiri. Awak sepatutnya ambil dan gunakan peluang tu sebaik mungkin.

Tapi. Ia tidak berlaku.

Jadi. Jika keputusan nanti tidak berpihak kepada awak. Jangan salahkan saya.

Friday, October 10, 2008

..::SATU HARI DI HARI RAYA::..

* Saya ni ketinggalan. Baru nak cerita perihal raya. Peduli lah kan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya berhari raya di kampung yang satu itu. Belum ada dua atau tiga. Jadi, rutinnya seakan-akan sama saja.



Pagi raya. Sarapan. Siapa yang nak pergi masjid/surau, dipersilakan. Siapa yang tak pergi, sila kemas rumah dan siapkan apa yang patut. Lepas orang dari surau/masjid balik, sambung makan-makan. Lepas tu sesi salam-salam semua. Bagi duit raya kat anak saudara yang mana ada. Ada 4 keluarga + saya seorang saja tahun ni. Yang lain beraya di rumah sendiri atau rumah mertua.

Sebenarnya dari 2 hari sebelum raya hujan turun lebat sangat tak berenti. Malam raya pun sama. Masing-masing dah pasang angan-angan nak tutup pintu dan sambung tidur saja. Tapi semua Allah yang tentukan. Hujan berenti. Jadi, mesti pergi ziarah-menziarahi.

Tahun ni kami nekad. Tutup rumah dan pergi beraya. Paksa mak ikut sama. Alaaa pergi bukan jauh pun. Rumah Tok Nek kat sebelah. Dan rumah Tok Su kat sebelah rumah Tok Nek. Masa kami tengah tutup pintu dan jalan keluar, ada budak-budak datang. Tapi diaorang patah balik bila nampak kami nak keluar. Bagus sungguh. Ha ha ha. Lalu kami pun beraya dengan aman. Kat rumah Tok Nek makan laksa. Kat rumah Tok Su makan mee kari. Makan-makan sambil sembang-sembang.

Dekat-dekat zohor balik rumah. Pasang lagi angan-angan nak tidur. Tapi juga sudah namanya hari raya dan orang sepatutnya pergi ziarah-menziarahi maka, ada lah orang yang datang ke rumah. Keluarga Pak Tam dan Pak Su datang 3 buah kereta. Seperti biasa saya akan diajukan soalan yang sungguh berharga. Disebabkan soalan itu diajukan oleh sepupu yang berusia muda walaupun dah beranak dua, maka jawapan yang saya berikan juga sangat berpatutan. Cuma kalau soalan itu diajukan oleh mak saudara yang anak-anaknya sangat laku dan tiap-tiap tahun kenduri, maka saya seharusnya cuba memaniskan muka dan berlakon seadanya. Itu yang sepatutnya kan. Ha ha ha..

Hmm cukup lah cerita raya. Saya banyak duduk rumah. Kata kawan saya, anak dara memang patut duduk di rumah saja. Paling jauh saya keluar pun cuma ke Taiping. Itupun jalan sesak yang teramat sangat. Perjalanan 40 minit sudah jadi berjam-jam. KL lengang. Kampung pula yang sesak. Penat.

Ini gambar rangkuman kejadian dalam tempoh beberapa hari. Dan sudah namanya blog saya harus lah muka saya yang banyak.



Selamat hari raya. Sesiapa yang mahu datang ke rumah, sila telefon saya. Tahun ini saya tak buat rumah terbuka. Sekian, terima kasih.

Thursday, October 09, 2008

..::HARI-HARI SEBELUM RAYA::..

Saya balik kampung agak awal. Sebelum raya haritu. Jadi, daripada duduk sahaja baik saya buat perkara yang berfaedah.

Dengan kerjasama beberapa orang kakak yang lain, maka inilah hasilnya.



1. Adunan chocolate chips.
2. Lungguk saja. Rupa tak berapa cantik. Tapi rasa sedap mengalahkan biskut chipsmore.
3. Itu saja gatal nak tunjuk langkah-langkahnya. Maklum la pertama kali nak buat biskut sendiri. Harus teruja lebih.
4. Adunan sampret
5. Sampret yang dah jadi. Comel kan?

Oh, sebelum tu di KL saya dah buat biskut ini. Balang tinggi tu untuk tempahan orang.



Siapa yang nak rasa biskut-biskut tu, jemput la datang beraya ke rumah saya. Kalau permintaan menggalakkan, tahun depan saya buka tempahan umum.

Ha ha ha..

Ok. Berbalik kepada cerita di kampung.

Dah lepas berpenat lelah buat biskut raya, misi di dapur diteruskan dengan persediaan untuk juadah berbuka puasa pula. Banyak tangannya, banyak la yang boleh buat.



1. Sebelum. Hidangan tersusun elok saja.
2. Selepas masuk waktu. Semua serbu. (budak yang nama Hanany tu pun sibuk juga nak makan)

Untuk makluman, kuih hijau dalam gambar itu ialah salah satu kuih orang Banjar. Namanya penakok. Nak buat kena pakai air perahan daun pandan yang original. Kalau setakat pakai perasa dan pewarna pandan, memang tak jadi. Mak saya memang cukup handal buat kuih ni. Termasuk kuih-kuih lain juga.

Dan. Di situlah kegembiraan bagi mereka yang berpuasa dan menghayati maksudnya.

Nanti. Kita sambung pula dengan cerita raya.

Saturday, September 27, 2008

..::IA CUMA NOMBOR::..

Hari ini umur saya genap 29 tahun.

Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah diberikanNya. Saya gembira dengan adanya keluarga dan kawan-kawan di sisi. Oh, teman hidup?? Itu saya sedang usahakan. Selebihnya saya berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan jodoh yang baik, taat dan mampu membimbing dan menjaga saya: kekal sampai Syurga. InsyaAllah.

Terima kasih kepada teman-teman yang menitipkan ucapan tanda ingatan beserta doa.

Ini hadiah yang saya beri untuk diri sendiri. Saya gunakan voucher yang diberikan oleh Focus Point bernilai RM50 dan tambah sendirilah bakinya. Siapa lagi mahu tambahkan.



Saya pilih bingkai biasa saja walaupun teman-teman kata cermin mata hitam bingkai besar-besar itu trend semasa. Tak mengapalah. Saya rela beralah dengan trend. Semata-mata tidak mahu mengorbankan kesesuaian dan keselesaan.

Ok. Berbalik kepada tajuk asal, 29 itu cuma nombor. Yang paling penting pencapaian sepanjang 29 tahun itu. Kuantiti dan kualiti. Dan. Saya bersyukur dengan semuanya.

Selamat ulangtahun untuk diri sendiri. Semoga apa yang dihajati dimakbulkanNya.

Wednesday, September 24, 2008

..::DEMI MASA: SESUNGGUHNYA MANUSIA KERUGIAN::..

Semalam. Ada ceramah di Jabatan. Sempena bulan Ramadhan.

Tapi. Aku. Keluar ikut pintu belakang. Pergi tukar duit raya di pusatbandar.

Rupa-rupanya. Ustaz Zamri yang datang bercerita.

Dan. Aku. Menyesal. Kerugian dua perkara.

1. Ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zamri

2. Autograf beliau

Lalu. Balik ke rumah. Aku tonton Ustaz Zamri Bercerita di TV9. Sambil berbuka puasa.

Monday, September 22, 2008

..::BULAN JIMAT-CERMAT::..

Alhamdulillah, setakat hari ni aku masih berjaya mengekalkan rekod tanpa Pasar Ramadhan. Aku cuma pergi pasar untuk beli bahan basah.

Dan. Aku suka. Balik dari pejabat, sampai rumah sibuk-sibukkan diri dengan memasak. Dalam masa yang sama aku boleh berlatih untuk masa akan datang. Bila dah ada laki nanti. Ha ha ha. Lepas tu tunggu waktu berbuka. Sambil-sambil tengok tv aku ambil gambar makanan tu.

Ni sebahagian makanan orang bujang. Yang penting itu adalah apa yang aku nak makan pada hari itu. Dan. Air wajib ialah sirap bandung.



Bagi aku, masak sendiri lagi jimat daripada membeli di Pasar Ramadhan.

(Ini juga timbal balik daripada apa yang aku dah belanja untuk 3 helai batik sutera dan sebuah bag tangan)

Ha ha ha

Friday, September 19, 2008

..::INI BULAN PENGHARGAAN::..

Sepanjang bulan September ni boleh dikatakan aku banyak dapat hadiah. Lebih daripada 1 sudah dikira banyak. Ha ha ha. Lagipun, kan kata bulan ni birthday aku. Dan aku ni pula banyak pegang kad itu ini, jadi ahli itu ini. Tengok sajalah gambar di bawah tu.



Gambar paling atas tu voucher RM50.00 daripada Focus Point. Aku memang pelanggan setia rangkaian kedainya. Voucher ni aku dah gunakan. Hadiah namanya. Harus digunakan sebagai hadiah untuk diri sendiri juga.

Yang sebelah voucher Focus Point tu, daripada Jaya Jusco. Aku dah redeem hadiahnya. Sama juga voucher. Ada yang best dan ada yang tak perlu pun. Kalau Ika ada kat sini, dah lama aku ajak dia pergi makan Nando's.

Bawah sebelah kiri adalah tiket percuma daripada GSC untuk filem-filem yang bertanda (*) sahaja. Too bad. Bila filem yang aku nak tengok tak termasuk dalam senarai.

Dan. Gambar kanan itu kad dan voucher daripada SOGO. Tapi yang SOGO ni kena belanja RM100 - RM500 dalam satu resit, baru boleh dapat apa yang dia tawarkan. Aku tak pasti resit tu mesti dalam bulan yang ditetapkan atau pun tidak. Kalau tak, resit aku belanja beli beg tangan bulan lepas mungkin boleh digunakan. Itupun, kalau resit tu masih belum dibuang.

Oh, cuma bulan ni tarikh ulangtahun kelahiran aku tu tiba bila orang semua sudah berpusu-pusu mahu balik beraya. Aku sendiri pun insyaAllah sudah sampai di kampung. Jadi, tiadalah acara makan-makan secara berjemaah. Alahaaii..