Showing posts with label kawan-kawan. Show all posts
Showing posts with label kawan-kawan. Show all posts

Thursday, July 22, 2010

..::BERTEMU HANYA SESAAT::..

Entry dimulakan dengan gambar saya yang kelihatan sangat serius.




Kemudian diikuti oleh wajah Mya yang juga serius.




Masing-masing khusyu' mentelaah album gambar majlis perkahwinan tempohari. Kali terakhir jumpa Mya masa dia jadi pengapit terjun pada majlis saya di Seremban 17 Januari yang lepas. Memang banyak kali rancang nak jumpa-jumpa dan plan itu ini. Tapi kita hanya merancang Allah yang menentukan. Akhirnya kami sepakat untuk jumpa waktu makan tengahari Khamis lepas. Ya, kejadian seminggu yang lalu baru nak update hari ni.

Selain saya dengan Mya, Kak Tin juga turut sama pada hari kejadian.



Makan di Lanai Kijang sana. Sebab anak dalam perut sudah tendang-tendang sebagai isyarat mahu makan di situ. Apa menu pun tak kisah janji Lanai Kijang. He he he.



Jadi setelah dipromosi oleh waiter yang dulu kelihatannya mahu mengorat Mya tetapi rupa-rupanya Mya sudah berpunya, saya memilih untuk makan nasi ayam terayaki. Alaa macam ayam lemon tu. Ayam sangat banyak dan kemudian ditapau balik. Sayang lah kan.



Air warna-warni. Saya minum air yang diberi nama 'Power Mix' iaitu campuran karot, pisang dan susu.



Kemudian hidangan dilengkapkan dengan pencuci mulut. Saya makan 'banana bowler'.



Sudahlah tadi minum air campuran pisang, sekarang makan lagi pisang dengan aiskrim. Tapi saya memang suka pisang. Mya tak suka makan pisang lantak ke dia. Kami tetap berkawan. Persahabatan ini tak ada kaitan dengan pisang pun.

Sekian cerita bergambar pertemuan saya dengan Mya dan Kak Tin yang sebenarnya bukan lah sesaat tapi satu jam. Entry diakhiri dengan gambar kami bertiga. Dan ini penampilan sulung saya beserta bayi di dalam kandungan. Ha ha ha



Owh, terima kasih kepada Mya kerana belanja lunch tersebut ;)

Friday, April 16, 2010

..::DENGGI MEMBUNUH::..

Beberapa minggu yang lepas negara dikejutkan dengan kehilangan Arwah Din Beramboi yang disyaki dijangkiti denggi. Walaupun ada beberapa cerita yang mengatakan arwah terkena virus kencing tikus. Wallahu'alam.

Pagi tadi terjaga daripada tidur saya ternampak ada SMS di telefon. SMS daripada kawan saya sewaktu di sekolah menengah. Memaklumkan seorang rakan telah meninggal dunia akibat serangan denggi.

Saya ingat-ingat lupa siapakah arwah memandangkan saya hanya bersekolah di situ sehingga tingkatan 3 dan kami juga berada dalam kelas yang berlainan. Lalu pagi ini saya buka laman Facebook. Dari rangkaian kawan lain juga mesej yang ditinggalkan oleh seorang rakan di 'dinding' saya buka laman Facebook arwah. Dari situ baru saya tahu arwah juga meninggal dunia bersama kandungan sulung yang berusia 8 bulan. Sedih bila mengenangkannya.

Denggi dan nyamuk aedes dianggap sebagai 'musuh dalam selimut'. Dalam akhbar semalam saya terbaca pernyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan bahawa demam denggi ini boleh dilabelkan sebagai virus 'bijak' berikutan kehadirannya dalam sistem darah manusia tidak menunjukkan sebarang gejala yang sama. Jadi sekiranya mengalami simtom yang berkaitan cepat-cepat dapatkan rawatan doktor agar pencegahan awal dapat dibuat. Mudah-mudahan kita juga mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di sekeliling.

Al-Fatihah untuk arwah Zamzarina dan anak sulung beliau. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para solihin. Dan semoga suami serta keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini.

Saturday, April 03, 2010

..::SELEPAS 14 TAHUN::..

..::Dari kiri : Toja, Siti, Aisyah, Norsiah, Jaja, Dila (apple), Saya, Ina, Jimmy, Saemah, Eva, Etee, Ras & Baby::..



Lokasi : Felda Soeharto, Kuala Kubu Baru
Acara : Majlis Perkahwinan Ina & Jimmy
Tarikh : 3 April 2010

Tadi siang saya lapangkan diri pergi majlis perkahwinan kawan sekolah. Lepas SPM terus tak pernah jumpa. Terputus hubungan. Terima kasih kepada Facebook kerana menemukan kembali kawan-kawan lama.

Macam saya tulis kat atas tu, lokasi di Felda Soeharto sana nun. Sangat jauh juga. Kalau dikira perjalanan terus dari lebuhraya, macam boleh sampai ke Ipoh. Tapi biasa lah kalau masuk kawasan felda. Jalan berliku dengan pemandangan kiri dan kanan sama ada getah atau kelapa sawit. Cadangan asal nak pergi saing dengan Mya. Tapi Mya tak dapat pula turut serta sebab Yaya kena demam campak dan Mya kena hantar Yaya balik Taiping.

Kebetulan pada waktu yang sama Datuk Seri Najib PM kita tu ada acara di sana. Jadi beliau pun 'mencemar duli' bertandang ke majlis tu. Siapa yang tengok Buletin Utama tentu perasan. Glamour kenduri Ina. Kiranya masa saya sampai tu PM sedang ada di situ. Jadi terpaksa lah letak kereta jauh sikit sebab simpang ke rumah kenduri ada halangan polis. Hmmmm kata rakyat didahulukan. Tapi tak juga. Ok tutup cerita itu.

Berbalik kepada kisah kenduri, saya sangat teruja sebab dapat jumpa kawan-kawan yang dah berbelas tahun terputus hubungan. Tapi yang lagi best semua nampak maintain je walaupun ada yang dah beranak 3. Hiks.. Itu rahsia orang lahir tahun 79 agaknya kan kawan-kawan.

Ok. Cerita kenduri diakhiri dengan gambar saya dengan suami yang makan di meja rombongan pengantin.

..::Gambar: kredit untuk Yana & gambar-gambar lain ada dalam FB::..

Friday, December 11, 2009

..::OWH!!!::..

Saya. Hubungi kawan-kawan lama. Untuk menyampaikan perutusan.

Respon yang diterima daripada beberapa orang kawan membuatkan saya rasa 'owh'.

Respon 1
Mimi cuti bersalin. Anak nombor 5.

Respon 2
Aku ada ja kat rumah. Dalam pantang. Baru 4 hari. Bersalin anak no. 4

Respon 3
Laila baru selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.2kg

Respon 4
Hang pos alamat kampung lah. Aku tengah pantang ni. Baru bersalin Jumaat lepas.

Respon 5
Aku 17hb tu baru masuk kerja. Cuti bersalin.

Soalannya, apa tafsiran sebenar 'owh' itu?

Tuesday, November 10, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : SEKALI SEKALA APA SALAHNYA::..

Hujung minggu lepas saya keluar dengan girlfriends. Berjumpa-jumpaan yang tak mempunyai tujuan khusus. Pagi hari kejadian baru sepakat mahu jumpa di mana. Itu pun jumpa dulu kemudian baru tentukan arah.

Perut sudah kelaparan tahap dewa. Masing-masing belum sarapan walaupun jam sudah menunjukkan hampir waktu makan tengahari. Tak boleh nak fikir apa yang nak dimakan, akhirnya kami sepakat mahu makan di Chili's. Ya, keputusan yang teruk jika mengambil kira faktor kewangan semasa dan perancangan masa depan. Tapi semua pun setuju apa salahnya sekali sekala dan kononnya mahu meraikan sesuatu. Lagipun nanti entah bila baru boleh keluar 'bujang' begitu.

Lalu, kami habiskan masa hampir 3 jam berada di Chili's.

Mula-mula ambil Triple Play sebagai pembuka selera



Kemudian pilih Fajitas Trio untuk hidangan utama



Untuk pengetahuan, Fajitas Trio ini adalah menu baru. Roti yang dibekalkan di dalam set ialah 3 keping. Tapi pelanggan boleh minta lebih tanpa dikenakan sebarang caj tambahan. Saya recommend hidangan ini. Sungguh.

Akhir sekali ambil Moltan Chocolate Cake sebagai pencuci mulut. Memang heaven



Apa yang istimewa di Chili's, air adalah bottomless termasuk jus buah-buahan segar. Saya kata begitu kerana kebanyakan restoran hanya memberi keistimewaan kepada ice lemon tea.

Mango, Apple dan Green Guava



Memandangkan saya bukanlah jenis yang makan bersulam air, selalunya jika saya makan dengan pasangan memang order air satu gelas saja. Selain daripada boleh jimat, ia juga mengeratkan kasih sayang. *wink*wink*

Sila ambil maklum bahawa makanan yang dihidangkan di sini datang dalam saiz besar. Saiz besar, harga pun boleh tahan besar. Jadi buatlah pilihan yang bijak agar anda tidak membazirkan wang ringgit begitu saja.

Di samping menyediakan hidangan yang berbaloi, khidmat pelanggan yang diberikan juga sangat baik. Dan, saya sangat berterima kasih kerana mereka menyimpan telefon bimbit saya yang tercicir.


Untuk maklumat lanjut boleh layari www.chilis.com

Monday, November 09, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : OUTING WITH GIRLFRIENDS::..

Single




But

not available


Friday, October 30, 2009

..::AMBOI!! SKANDAL!!::..

Baru-baru ni ada kawan lama yang dah terputus hubungan tapi bersambung kembali kerana FB menegur saya.

Berbasi-basian bertanya khabar. Ya, mereka kata saya yang membawa diri dan diam menyepi.

"Hang jadi setiausaha ke Nida? Itu yang last aku tau pasal hang"

"Bahasa biasa tu, setiausaha lah. Bahasa luar biasa personal assistant"

"wow!! Menarik!! PA dato' kah?"

"Boss dulu dato' lah.. boss lani tak.. Tapi kadang-kadang aku serve la gak dato' tu.. sebab dia sayang aku.. Hik hik hik"

"amboi... skandal"

Oh!! Tolonglah. Saya rasa isu setiausaha atau pembantu peribadi yang berskandal dengan boss atau dato' ini perkara lama. Mentaliti orang dulu-dulu saja yang selalu beranggapan begitu. Seperti setiausaha yang menggoda, berpakaian menjolok mata atau segalanya yang kurang enak.

Hmmm mungkin masih ada sebahagian yang begitu, tetapi secara umumnya momokan seperti itu sudah berlalu.

Dan, boss kalau nak berskandal tak payah tunggu setiausaha. Dengan pembantu rumah pun boleh. KALAU NAK.

Dan satu lagi. Dato' saya itu perempuan.

Monday, October 05, 2009

..::RUMAH TERBUKA - DAPUR TERTUTUP II::..

Sambung entry rumah terbuka.

Lepas zohor saya pergi Bandar Teknologi Kajang. Sepupu saya buat rumah terbuka. Agak mengelirukan juga kawasan perumahan di sini sebab ia bersekali dengan kawasan perindustrian. Kena sabar mencari. Dan jika sesat di hujung jalan, sila kembali ke pangkal jalan.



Saya, kakak-kakak saya, anak saudara saya, sepupu saya dan keluarganya. Sepupu saya masak nasi minyak, ayam masak merah, dalca, nasi impit, kuah kacang, puding caramel. Lepak sembang-sembang sampai nak petang. Saya dan kakak-kakak saya berangkat pulang. Tapi tak lah pulang terus. Saya singgah Tesco Semenyih dulu.

Lepas maghrib saya ke rumah kawan sepejabat pula. Di taman yang sama dengan rumah kakak saya, tapi di fasa lain. Ini pertama kali saya ke rumah Gee walaupun dah berkali-kali saya pergi Taman Pelangi Semenyih. Dia taklah buat rumah terbuka. Tapi sudah saya mahu datang, mestilah dia buka pintu. He he he. Tuan rumah jamu bihun goreng, nasi impit dan kuah kacang.



Lepas pot pet pot pet saya dan Gee bergerak pula ke rumah seorang lagi rakan sepejabat. Gee paksa saya pergi sebab katanya sementelah saya ada di situ adalah dia kawan. Kalau tidak, bila lagi mahu ziarah menziarahi, walaupun duduk berjiran.



Suka-suka je pergi rumah orang malam-malam. He he he.. Tuan rumah tak jemu melayan tetamu. Dan tuan rumah ada koleksi pancing yang banyak dan tentu saja harganya mencecah ribuan ringgit. Peerrgghh.

Pukul 10.30 baru saya berangkat pulang dan tiba di rumah jam 11.15 malam. Sungguh memenatkan dengan badan yang melekit-lekit. Selesaikan apa yang patut dan saya pengsan menidurkan diri menjelang 1.00 pagi.

Alhamdulillah di atas segala nikmat yang dikurniakanNya.

..::RUMAH TERBUKA - DAPUR TERTUTUP::..

Alhamdulillah sempena Syawal yang masih berbaki, menjelang hujung minggu jemputan untuk majlis rumah terbuka datang mencurah-curah. Namun tak semua dapat dipenuhi.

Ini cerita saya yang menutup dapur sepanjang 2 hari bercuti.

Jemputan pertama di rumah kawan kakak saya di USJ 19. Saya kurang mahir dengan kawasan persekitaran Subang Jaya & USJ namun saya mendapat bantuan daripada Encik Google. Bila dicari kawasan itu, baru saya tahu bahawa bangunan kondominium berkenaan terletak di atas Digital Mall dan Carrefour USJ19.


Kualiti gambar kurang memuaskan. Saya budak baru belajar


Menu yang disediakan: Nasi impit, kuah kacang, lemang, rendang, soto, lontong, puding longan, jajan dan sirap. Saya jamah seadanya sebab lepas ni mahu ke Kinrara pula.

Di Kinrara 5, masih rumah kawan kakak saya. Tapi kerana dalam keluarga saya, kawan kita adalah kawan semua orang, jadi memang saya kenal rapat dengan tuan rumah. Dan kalau tidak salah ini sudah kali ke 4 saya ke majlis rumah terbukanya.



Ini gambar kakak saya dengan tuan rumah dan kawan-kawannya sewaktu di SMDB.Suka-suka hati saja kami sambung meja. Macam kedai makan nampak gayanya. Di sini tetamu dihidangkan nasi beriani, ayam masak merah, acar, laksa utara, mee kari, nasi impit, kuah kacang, beraneka kek, puding buah-buahan, buah tembikai dan air oren. Masih saya jamah seadanya sebab lepas ni ada satu lagi jemputan.

Sebelum balik rumah saya singgah rumah Mariah di Bandar Tun Hussein Onn. Mariah pun ada buat makan-makan sikit. Macam-macam ada. Mee kari, soto, nasi impit, rendang ayam, agar-agar pandan yang sedap, tembikai dan air oren. Alhamdulillah, berkat mengawal pemakanan saya dapat menikmati semuanya dengan selesa. Kerana sudah malam dan sudah kenyang, saya lupa mahu rakam gambar kenangan dengan Mariah.

Rumah terbuka hari Ahad saya sambung di entry lain lah.

Tuesday, July 28, 2009

..::OH! OH! KAWAN! JANGAN LAWAN-LAWAN::..

Hari ini tiba-tiba ada orang jauh SMS saya. Minta belanja makan tengahari. Saya pun ok saja memandangkan saya memang mahu keluar ke Pavilion. Maka saya suruh orang jauh tu bawa kereta datang ke kawasan jajahan saya ini. Hmmm.. Agak mencabar juga memberi panduan perjalanan kepada orang yang memandu mengikut naluri. Tapi asik bertanya ke mana perlu dia pergi walaupun panduan saya itu belum selesai. Haaihh sabar saja lah.

Kerana dia akan melalui simpang besar di mana saya sedang menunggu untuk melintas jalan, maka saya suruh saya dia lihat perempuan berbaju kuning di tengah-tengah persimpangan itu. Bila dia lalu saya lambai-lambai menunjuk ke arah Pavilion, tetapi dia berhenti pula di tepi jalan. Bagus juga. Boleh saya menumpang naik kereta comelnya itu. Kemudian kami sama-sama pergi Pavilion. Hmmm sekali lagi saya rasa seperti mahu tolong pandu-kan kereta automatiknya itu. Maafkan saya yang agak agresif ketika memandu. Tapi saya juga perlu maafkan orang jauh itu kerana suasana kawasan jajahan kami begitu jauh perbezaannya.

Kami sepakat untuk makan di Food Republic. Saya tak ingat nama gerai berkenaan. Tapi saya pernah makan di situ suatu waktu dahulu. Waktu makan tengahari, umat 1 Malaysia begitu ramai. Melaut.


Crispy Chicken pilihan saya. Memang sangat rangup. Saladnya sedap. Walaupun food presentation kurang menarik kerana letak sos cendawan dalam mangkuk sup yang besar.



Orang jauh pilih untuk makan Chicken Lasagna. Cantik penampilannya. Mungkin juga sedap kerana orang jauh makan sampai licin.


Sambil makan kami pot pet pot pet. Tentang itu. Tentang ini. Tentang perkara lepas. Tentang hala tuju masa depan. Tentang macam-macam perkara. Dan saya akui saya adalah seorang yang begitu mudah dalam berkawan.

Kerana orang jauh itu adalah sebenarnya kawan adik saya yang sudah menjadi kawan saya.




Dan. Pada akhirnya Arin yang belanja saya makan. He he he..

Terima kasih Arin. Nanti kalau datang KL boleh kita makan kat tempat lain pula.

Thursday, June 18, 2009

..::AWARD LAGI::..

Terima kasih kepada Arin yang telah menganugerahkan saya award ini. Juga terima kasih kerana ia telah memberi saya peluang untuk kemaskini blog. Malu pula rasanya. Blog yang dikatakan amazing tapi tak ada bahan untuk dikemaskini. Tapi biarlah.



Oh, ada peraturan tentang award ini. THE RULES: (1) Write five (5) interesting facts about the person who gave you this award. (2) Jot down ten (10) interesting facts about yourself or your hobbies. (3) Pick your ten (10) most deserving receipients and describe them. (4) Leave a comment on the receipients' blog to tell them they've been tagged. (5) Paste the award badge in your sidebar.

Mari kita mulakan.

5 Perkara menarik tentang Arin - Arin ini kawan adik saya yang katanya walaupun dulu sama tempat belajar tapi tidaklah berkawan sebab adik saya kerek. Arin ada mak yang cantik dan saya mahu tahu apa petua untuk kekal kelihatan begitu walaupun sudah berusia. Dia seorang peguam dan juga blogger yang menulis sesuatu yang menarik. Arin dan saya satu 'kampung'.

10 fakta tentang saya - Oh, sudah banyak tag yang minta perkara begini. Seperti biasa, fakta yang sudah diketahui ramai saya ada koleksi pakaian yang boleh dipakai selama lebih 3 bulan tanpa mengulang satu pun. Selain itu saya ada lebih 20 pasang kasut. Saya boleh memandu kereta manual dan auto. Saya suka membeli belah. Saya pencinta hijau. Saya pandai masak dan tentu sekali suka makan. Saya juga pandai menjahit. Dan saya mempunyai ciri-ciri menantu yang diingini oleh makcik di luar sana. he he he.

Peraturan ini minta disenaraikan 10 blog. Tapi, peraturan manusia boleh diubah dan saya mahu mengubahnya kerana saya hanya mahu panjangkan anugerah ini kepada mereka:

Water Lily seorang penulis blog yang sangat saya kagumi. Kalau kamu kenal dia, mesti kamu rasa apa yang saya rasa. Kekurangan tidak menjadi penghalang langsung bagi beliau.

Saya mahu anugerahkan setem ini kepada blog peribadi Mya. Saya kenal Mya dari zaman remaja lagi. Kami satu sekolah, satu IPT, pernah satu rumah, pernah berjiran sewaktu di Sentul, pejabat pun tak jauh dan macam-macam lagi. Banyak kenangan kami. Tapi yang penting apa yang pernah berlaku sedikit pun tak jadi penghalang untuk kami terus bersahabat. Bersahabat dari hati seiring dengan pertambahan usia dan kematangan diri.

Tasik Merah yang menulis secara bersahaja. Kadang-kadang pendek saja entrynya. Tapi cukup mencuit hati. Mungkin dia mendapat ilmu menulis secara tidak langsung daripada bapa mertuanya.

Cik Daun yang menjadi kawan baik sejak saya menjadi blogger. Ada yang tidak percaya bahawa kami kenal hanya melalui blog. Kenapa, tak percaya?

Kawan poyo dan gedik yang saya kenal juga melalui blog. Kak Pnut sudi-sudikanlah terima award ini ya.

Dan saya juga mahu beri anugerah ini kepada blog periuk tanah kepunyaan kakak saya. Saya selalu lapar dan berharap bila pergi rumah dia, ada makanan-makanan yang boleh saya tapau. Relevan kah?

OK. Cukuplah tu. Nanti saya sambung lagi dengan entry lain. Kepada yang sudah diberi award ini, terimalah dengan hati yang terbuka. Oh, sesiapa yang pernah beri saya award tetapi belum diletak di sisi blog ini harap jangan berkecil hati ya. Nanti saya akan kemas kini. Terima kasih semua.

Friday, June 12, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI IV::..

Ok saya mahu habiskan cepat-cepat cerita tentang Sabah. Minggu depan perlu datang dengan kisah yang baru. Hmmm kalau ada lah.

Untuk balik ke Kota Kinabalu, kami masih menggunakan jalan yang sama untuk datang tempoh hari. Alhamdulillah perjalanan kali ini amat lancar.

Sepanjang jalan turun ke KK kami singgah di dua tempat. Satu di Gunung Alab Resort yang kami singgah sewaktu naik tempohari dan satu lagi di Masakob Waterfall. Tapi Masakob Waterfall ni tutup sebab hari minggu. Jadi kami ambil gambar di luar pagar sahaja.



Sampai di KK menjelang tengahari. Terus ke Kinabalu Daya Hotel untuk daftar masuk. Kemudian kami keluar semula untuk ke Papar. Pergi rumah kawan pejabat kami.



Perjalanan dari KK ke Papar terasa seperti perjalanan di Port Dickson. Menyusur pantai dan ada resort dan rumah-rumah yang macam di Port Dickson. Dan saya rasa penduduk Papar sangat sukakan warna oren kerana kebanyakan rumah di sana dicat dengan warna berkenaan. Begitu juga dengan rumah kawan saya itu.

Keluarga kawan saya bawa kami makan di sebuah restoran di Pekan Papar. Tak ada gambar juga sebab kami semua kelaparan. Saya makan nasi goreng seafood yang sangat banyak kuantitinya. Alhamdulillah sedap dan habis juga saya makan.

Selepas balik dari Papar, aktiviti diteruskan dengan menjelajah bandar Kota Kinabalu. Mungkin hati saya sudah tidak sabar mahu balik ke Semenanjung, jadi tidak banyak gambar diambil menjelang hari-hari terakhir di Sabah.



5 hari 4 malam berada di Sabah memberi banyak kenangan. Saya mahu berlama-lamaan di Sabah. Tetapi hati saya juga meronta-ronta mahu kembali ke Semenanjung. Jadi, mungkin jika ada rezeki saya akan kembali ke Sabah. Untuk siri percutian yang lain pula.

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI III::..

(7 Jun 2009>

Hari terakhir di Keningau. Asalnya semalam Bibi mahu bawa kami ke ladang tenusu miliknya. Tapi memandangkan Bibi perlu balik ke KK dan urusan kami di majlis persandingan pun belum selesai, terpaksalah kami lepaskan peluang yang menarik itu.

Mula-mula kami pergi sarapan dulu di Pekan Keningau. Restoran Rahmat. Agak sesuatu berlaku di sini sebab lepas makan semua rasa sakit perut. Maka kami makan dan cepat-cepat balik semula ke hotel. Ha ha ha. Lepas selesai semua maka kami pun mendaftar keluar.



Selamat tinggal Hotel Perkasa.


Kami tak terus pulang ke KK. Sebaliknya ambil peluang untuk bersiar-siar dulu di sekitar Keningau. Kerana dulu U-ud pernah belajar di Maktab Keningau, maka kami tidak menghadapi sebarang masalah seperti sesat atau tersalah jalan.



Kenangan di Keningau di akhiri dengan gambar beramai-ramai di sebelah kereta yang hebat.



Sampai jumpa lagi

Thursday, June 11, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI II::..

(5 Jun 2009)

Saya masih di Sabah. Jadual perjalanan saya adalah Kota Kinabalu - Keningau - Kota Kinabalu. Jadi di Kota Kinabalu saya perlu buat tempahan hotel untuk 2 malam yang berlainan. (eh, macam kecelaruan saja ayat saya ini. ha ha ha. Pedulikan lah). Kami menginap di Best Western Kinabalu Daya Hotel. Berhadapan dengan Wisma Merdeka.

Saya terlupa untuk rakam gambar rupa paras hotel ini dari luar. Tapi, seperti kata pepatah, jangan menilai isi buku dari kulitnya. Ini adalah rupa di dalam bilik hotel kami.



Saya pilih bilik keluarga. Harga bilik ialah RM270.00 untuk satu malam + sarapan pagi. Oh, saya dapat kadar untuk kakitangan Kerajaan. Sangat berbaloi kerana hotel ini berada di tengah bandar. Jadi, boleh berjalan kaki sahaja jika mahu ke tempat membeli-belah.

Perjalanan saya pada 5 Jun ini ialah ke Keningau. Keluar dari KK lebih kurang jam 10.00pagi. Singgah sarapan dan makan tengahari di Penampang. Untuk ke Keningau saya difahamkan ada beberapa jalan yang boleh digunakan. Tetapi kami memilih untuk menggunakan jalan Bukit Mas melalui Banjaran Crocker.



Ini kenderaan hebat yang kami naik. Kata pemandunya yang kacak, di Sabah memang rata-rata penduduknya menggunakan kenderaan begitu. Bersesuaian dengan bentuk muka bumi. Bayaran bulanan hampir RM900 juga katanya. Tapi jika di semenanjung, memang dia tak mampulah nak miliki kenderaan itu. Ok. Dapat tumpang pun sudah cukup seronok.

Perjalanan dari KK ke Keningau sepatutnya mengambil masa 2 1/2 jam sahaja. Tetapi, siapa kita untuk menentukan apa yang akan terjadi. Dalam perjalanan kami tersekat oleh satu kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas di 'siring' jalan. Hampir satu jam (mungkin) kami tersangkut di situ. Kereta sudah berderet-deret di kedua-dua hala. Memang tak boleh buat apa-apa. Di kiri lereng bukit, di kanan gaung.



Dalam gambar tu kelihatan kren sedang cuba mengangkat lori yang terbabas. 'Memek' jugalah kepala lori tu. Tapi saya rasa pemandunya hanya cedera. Agak ngeri untuk membayangkan jika mana-mana kenderaan terjunam ke dalam gaung di situ.

Bila semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan. Kerana sudah lewat untuk sampai sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan jam 2.30 petang, kami pun bersantai-santai sahaja dalam perjalanan.



Sepanjang perjalanan kami berhenti beberapa kali. Gambar 1: Saya bergaya di hadapan papan tanda ke arah Taman Banjaran Crocker. Sejuk sangat udara di situ. Gambar 2: Pemandangan banjaran, hutan belantara dan gunung ganang segala. Gambar 3: Sebenarnya dari atas tempat saya berdiri tu boleh nampak seluruh Pekan Tambunan Gambar 4 : Gerbang menuju ke Gunung Alab Resort Gambar 5: Perkampungan padi huma dalam perjalanan ke Keningau selepas Tambunan. Entah apa nama kampung tu. Tak ingatlah. Nama kampung yang saya ingat cuma Dongongon sahaja.

Sampai di Keningau waktu sudah petang. Terus daftar masuk di hotel. Kami memilih Perkasa Hotel kerana ia dekat dengan lokasi majlis perkahwinan yang akan dijalankan nanti.



Ini gambar yang diambil sebelum balik semula ke Kota Kinabalu. Letak dulu. Jangan pula nanti kata kenapa saya pakai baju berulang kali. Oh saya bukan begitu. Ahaks.

Sampai di Keningau sudah lewat. Dan kami cuma makan sekali sahaja pada siang hari. Rasa lapar jangan cakap lah. Tapi terpaksa tahan kerana nanti malam mahu ke rumah pengantin untuk majlis berinai. Eeerrr kita makan di situ sahajalah.

Wednesday, June 10, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI I::..

* Diedit semula pada 11 Jun 2009

Minggu lepas dari 4 hingga 8 Jun saya bersama 2 orang kawan telah terbang ke Sabah. Perancangan ke Sabah telah dibuat seawal bulan Februari lagi. Iyalah kan. Kalau mahu tiket yang murah mesti buat tempahan ketika promosi. Tiket yang saya dapat bernilai RM444.00 (pergi dan balik) menggunakan Malaysia Airlines. Mungkin ada lagi yang lebih murah, tetapi itu sudah cukup murah daripada harga biasa.

Tujuan utama ke Sabah ialah untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan pejabat saya di Keningau. Cerita tentang majlis nanti akan menyusul dalam entry lain. Oh, ada kawan saya sms jika kenduri di Sabah pun saya boleh pergi tentu saja yang di semenanjung ini tiada masalah. Ha ha ha.. InsyaAllah.. Lagipun majlis tak akan berjalan jika salah seorang daripada kita tiada. Kan? *wink*wink*

Saya berlepas dari KLIA jam 14:15PM, 4 Jun 2009. Mari kita layan gambar saja lah.



Indah sungguh ciptaan Allah. Awan kepul-kepul dengan langit yang cukup biru. Tapi itu bukan langit di Kuala Lumpur. Langit tu ketika sudah hampir separuh perjalanan. Gambar kecil ialah pemandangan sekitar Putrajaya/Dengkil. Gondol sahaja. Manalah tidak berjerebu udara di sini. Hmmm.

Ini set hidangan makan tengahari saya. Kerana itu saya memilih MAS. Saya mahu menikmati apa yang dikatakan Malaysian Hospitality.



Maaf gambar adalah bergegar kerana walaupun di udara, pergerakan kapal itu tetap seperti berada di atas jalan raya yang berlopak-lopak. Kalau kakak saya yang pertama kali menaiki kapal terbang itu, mesti terasa takut dengan keadaan yang dialami.

2 1/2 jam penerbangan kadang-kadang agak membosankan. Maka saya dan kawan-kawan buat aktiviti yang tidak lain dan tidak bukan ialah mengambil gambar.



Ini percubaan saya untuk mengambil gambar sendiri. Percubaan gagal kerana tangan saya tidak cukup panjang. Maka semuanya tinggal separuh sahaja.

Penerbangan kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baru jam 16:40PM. Jam 4.00 petang di Sabah, matahari sudah mula condong.



Selesai urusan kemasukan, kami bergegas mahu cepat sampai ke hotel. Kewajipan belum lagi ditunaikan. Mujur kenderaan sudah sedia menunggu.

Selesai hari pertama. Hari kedua saya di Sabah akan menyusul dalam entry lain.

Tuesday, May 26, 2009

..::WEDDING ERNIE+FAD@PUTRAJAYA::..

Hari Ahad lepas saya penuhi undangan majlis resepsi Ernie dan Fadlie. Di Dewan Presint 9, Putrajaya.

Kerana sudah bersekongkol dengan pengapit pengantin, jadi waktu saya tiba adalah bersamaan dengan waktu ketibaan pengantin. Sayup-sayup terdengar bunyi kompang dipalu. Dan, tiba-tiba saya rasa nak kawen.

Sila abaikan keinginan saya itu. Kita cerita dulu perkara yang sudah berlaku. Saya datang serentak dengan Intan dan Cik Jah. Katanya nak tunggu Kak Akmal, tapi perempuan tu lambat. Jadi kami masuk dulu dan cari tempat nak jamu perut. Selain bersekongkol dengan pengapit pengantin, saya juga bersekongkol dengan mama Baby Q yang tiba lebih awal di tempat kejadian.

Kerana sibuk ke sana ke mari mengambil gambar, maka gambar sewaktu menjamu selera sudah lupa mahu dirakam. Sirap merah kuning sangat sedap. Mungkin hampir 1 jug saya minum. Dahaga. Ditambah dengan cuaca yang sangat panas.

Ini himpunan gambar pengantin yang saya rakam. Pengantin sama cantik sama padan. Lagipun saya rasa tak ada pengantin yang tidak berseri di majlis mereka. Kecuali kalau pengantin kena kawen paksa. Mungkin.



Ini pula pengapit pengantin yang bersekongkol dengan saya.



Kerana telah dihalau oleh jurugambar, pengapit pengantin mengambil keputusan mengipas diri sendiri dan kemudian menarik muka memandang pasangan pengantin memotong pulut kuning.

Di hujung-hujung majlis baru kelihatan Kak Ima sekeluarga datang. Saya terlupa rakam gambar dengan Kak Ima. Sorry ya kakak.

Dan. Entry ini diakhiri dengan gambar perempuan yang kepingin naik pelamin.



Doakan impian kami menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Friday, May 08, 2009

..::SESUATU::..

Jodoh pertemuan semua kerja Tuhan. Kita hambaNya cuma mampu berusaha dan berdoa.

Maka itu, tahniah kepada Ernie dan Fad yang selamat diijabkabulkan pada 1 Mei 2009. Majlis kenduri diadakan di Kulim pada 2 Mei 2009. Semoga jodoh ini berpanjangan sampai ke Syurga. InsyaAllah.

Yang ada di hari kejadian cuma saya, Mya dan Izan. Kawan-kawan lain rasanya tentu menantikan majlis di Putrajaya hujung bulan nanti.



Oh, sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya jumpa Fad. Saya sudah pernah jumpa Fad sekitar tahun lepas. Malah saya pernah minum dengan Fad. Berdua. Ha ha ha..

Tapi, secara jujurnya jika mahu tahu sesuatu tentang Fad adalah lebih afdhal pertanyaan itu diajukan terus kepada Ernie. Bukan kepada saya. Atau bukan juga orang lain. Bukankah begitu sepatutnya? Jadi, maafkan saya sekiranya jawapan yang diberi tidak menepati skema jawapan yang kamu mahukan.

Dan. Untuk sekian kalinya, tahniah kepada Ernie dan Fad.

Wednesday, April 08, 2009

..::SIRI MAKAN-MAKAN: RESTORAN KRATHONG & DIN'S CAFE::..

Sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai blogger, saya kemas kini juga laman ini. Cerita yang santai saja. Aktiviti popular rakyat Malaysia. Makan-makan.

Hari Jumaat minggu lepas saya makan-makan dengan Mya dan Kak Tini. Saya pilih untuk makan di Restoran Krathong Maju Junction.



1. Gambar diambil menggunakan teknik pantulan cermin. Mudah kan. Tak perlu minta orang lain yang ambilkan gambar untuk kita.
2. Menu wajib jika makan di restoran berasaskan masakan Thai ialah kerabu. Kerabu mangga yang sedap tapi sangat pedas untuk lidah saya.
3. Jus nanas, jus apple dan teh 'o' ais limau jadi pilihan kami.
4. Kak Tini pesan pulut mangga. Pertama kali saya cuba. Agak ok lah.
5. Kak Tini juga pesan Green Curry Prawn. Mujur tak pedas. He he he..
6. Sepatutnya ada gambar tomyam ayam. Tapi telefon saya sudah nazak baterinya. Jadi tak dapat ambil gambar. Maka saya gantikan gambar sudu dan perempuan simpanan. Lagipun tujuan utama pejumpaan ialah sesi penyerahan perempuan simpanan itu.

Memang betul saya kelaparan hari itu. Apa yang dipesan, semuanya habis licin.


Hari Sabtu saya ke Semenyih. Pergi rumah kakak dan sambil tu buat lawatan tapak ke Tesco Pelangi Semenyih. Sudah penat buat lawatan, kami singgah makan di Din's Cafe.



1. Saya suka motto Cafe ini. "Where Friendly People Dine"
2. Saya minum carrot susu. Sirap bandung pula pilihan atam.
3. Nasi goreng cendawan yang best. Banyak lauk dan isi. Saya makan sampai licin juga.

Sesungguhnya aktiviti makan-makan bersama kawan-kawan dan keluarga adalah aktiviti yang cukup menggembirakan. Sehingga terlupa bahawa kita sedang berdiet.

Friday, January 30, 2009

..::MITOS PEREMPUAN BUJANG DAN BEKERJAYA::..

Dikatakan mereka ini memilih pasangan. Kerana itu mereka masih membujang. Dikatakan juga lelaki takutkan mereka. Atau lebih kepada mereka takutkan lelaki. Yang dikhuatiri punya agenda tersembunyi.

Oh, saya sebenarnya bukan mahu bercerita tentang itu. Saya mahu cerita tentang aktiviti jalan-jalan cari makan saya. Memang sejak akhir-akhir ini saya agak kerap memuatkan entry tentang makanan. Tidak mengapa kan. Daripada saya bercerita tentang hal orang. Lagipun memang kita perlu makan untuk terus hidup. Jadi punya lebih banyak peluang untuk memilih.

Berbalik kepada cerita makan. Hari Ahad saya ke Bandar Baru Bangi. Mula-mula bersarapan di Restoran Puteri Bongsu. Makan soto di situ. Sedap walaupun tidak boleh minta pergedil lebih. Sesudah sarapan saya ke Az-Zahra Women Wellness Center. Alhamdulillah akhirnya saya menemui pusat yang menawarkan perkhidmatan kepada wanita muslim. Sangat selesa.

Urusan selesai ketika waktu makan tengahari menjelang. Adalah menjadi satu kemalasan untuk balik ke rumah dan masak. Sedangkan pilihan kedai makan begitu banyak. Jadi pilihan yang tepat perlu dibuat. Maka Famosa House berhadapan Kompleks PKNS menjadi pilihan.



Lepas kenyang saya balik dengan gembira. Masih ada urusan lain menanti di rumah.

Thursday, January 29, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Ini entry minggu lepas. Saya nak publish tapi ada masalah sebab gambar tak boleh nak upload. Baru sedar saiznya besar sangat.

Minggu lepas saya pergi makan di Food Republic, Pavilion KL. Ala bukan jauh pun dari pejabat. Seberang jalan saja. Sebelum mula makan, seperti biasa saya akan ambil dulu gambar makanan. Kawan saya tegur. Asal beli makanan mesti mahu dirakam fotonya. Saya. Senyum saja. Dan terus menyuap makanan.



Apa yang saya makan ini namanya Spaghetti Vongle. Macam mana sebutannya tidak la saya pasti. Kerana pada pendengaran saya, tukang masak tu sebut agak lain bunyinya dari tulisan. Sewaktu order, saya tunjuk gambar saja. Dan saya minum air campuran dua jenis buah iaitu oren dan apple.

Sedang kami enak makan, duduk seorang wanita Inggeris di meja sebelah. Wanita tu keluarkan kamera dan ambil gambar makanannya. Ha ha ha.. Terus kawan saya senyum. Tanda sedar bahawa rupa-rupanya ada orang lain punya tabiat seperti saya. Di situ. Dan sebenarnya ada ramai lagi di luar sana.

Tanpa mempedulikan wanita Inggeris berkenaan yang sedang enak menikmati sate, saya terus menjamah hidangan saya yang sedap.