Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Wednesday, January 06, 2010

..::P.S. I LOVE YOU::..

Baca novelnya, saya menangis sampai basah-basah bantal dengan air mata



Tonton filemnya, saya tertidur sampai basah-basah sofa dengan liur basi



Sayang sungguh. Novel yang menarik, tetapi bila dijadikan filem ia gagal menyentuh hati penonton.

Mungkin tak semua novel menarik sesuai untuk difilemkan.

Friday, August 14, 2009

..::SUATU LAMARAN::..

Saya perlukan rehat. Saya perlukan sesuatu yang boleh melapangkan fikiran. Walaupun untuk seketika.

Jadi, mengambil peluang waktu rehat yang panjang pada hari Jumaat, saya bergegas berjalan kaki ke Pavilion KL. Saya mahu tonton The Proposal. Seorang diri. Sejak perkataan "berdua lebih baik" terpakai untuk saya, bermakna sudah 4 bulan saya tidak menonton wayang seorang diri. Tapi, ada ketikanya saya masih mahu menikmati masa bersendirian.



"Sandra Bullock stars in the romantic comedy The Proposal, as a Canadian immigrant who creates a demanding and difficult work environment for her subordinates at the office. When the news arrives that she's about to be deported to the Great White North, she rushes into a marriage of convenience with her young assistant (played by Ryan Reynolds) to prevent such a catastrophe from occurring."


Waktu saya sampai, filem sudah bermula sekitar lebih kurang 15 - 20 minit. Saya rasa sedikit kerugian di situ. Namun 100 minit kemudian tidak menghampakan. Saya sangat terhibur. Saya ketawa. Dan saya juga menitiskan air mata. Ok. Saya dalam mood tidak begitu stabil.

Saya sangat suka cerita ini. Lagipun saya memang penggemar filem bercorak komedi romantik. Ditambah pula filem ini dilakonkan oleh Ryan Reynolds yang sangat kacak. Hmmmm. Saya cuba boleh berjumpa Ryan Reynolds di dalam mimpi. Itu pun kalau termimpi. Ha ha ha.

Cuma sepanjang menonton saya agak terganggu dan berasa jengkel dengan lelaki tidak pergi solat Jumaat yang duduk di kerusi belakang saya. Sudahlah ketawa tidak ingat. Asyik menendang kerusi saya pula. Apa kes? Saya kira tempat duduk di GSC Pavilion antara yang paling selesa pernah saya pergi. Sungguh menjengkelkan. Walaupun saya sudah berubah tempat ke tempat duduk yang lain, masih lagi perkara yang sama berlaku.

Oh. Sekian sahaja cerita tentang lamaran. Sebuah filem yang begitu mengghiburkan di samping memaparkan betapa ikatan dan kasih sayang dalam sesebuah keluarga itu selalu memberikan satu rasa yang mengharukan.

Wednesday, July 29, 2009

..::THE TAKING OF PELHAM 123::..

Asalnya saya (atau lebih tepat kami) mahu tonton semula filem Transformer. Tapi tak sangka pula panggung masih penuh. Yang tinggal cuma tiket-tiket mendongak ke langit. Tak mahu-lah. Lalu kami ambil keputusan untuk tonton filem The Taking of Pelham 123.



New York City subway dispatcher Walter Garber's ordinary day is thrown into chaos by an audacious crime: the hijacking of a subway train. Ryder, a criminal mastermind, leads a highly-armed gang of four, threatening to execute the train's passengers unless a large ransom is paid within one hour. As the tension mounts beneath his feet, Garber employs his vast knowledge of the subway system in a battle to outwit Ryder and save the hostages. But there's one riddle Garber can't solve: even if the thieves get the money, how can they possibly escape?

Secara ringkasnya, walaupun filem ini menampilkan penjahat dan penyelamat di kalangan warga tua namun ia cukup menarik. Bukan sahaja sarat dengan aksi tetapi turut diselitkan dengan lawak-lawak sinis yang begitu mencuit hati.

Saya suka filem ini. Lebih suka daripada filem Harry Porter. (Oh ada kawan yang menuduh saya tak suka sebab tak baca buku Harry Porter). Bukan itu sebabnya. Kadang-kadang ada filem adaptasi yang menjadi, dan ada pula yang kurang menjadi. Itu saja.

Jika kamu terasa mahu menonton wayang, tetapi tidak tahu filem apa yang mahu ditonton, saya cadangkan filem Pelham 123 ini. Cuma jika mahu bawa anak, sila pilih filem yang lebih sesuai.

Selamat menonton di hujung minggu.

Tuesday, July 21, 2009

..::HARRY PORTER & THE HALF-BLOOD PRINCE::..



Beberapa hari lepas saya pergi menonton filem Harry Porter & The Half-Blood Prince. Filem yang digembar-gemburkan sebagai hebat dan pecah panggung. Ya, memang pecah panggung sebab kebanyakan tiket habis dijual. Dan saya juga menonton di barisan ke empat dari hadapan skrin.

Tetapi, pada pendapat saya kepada sesiapa yang belum menonton filem ini, baik batalkan sahaja niat itu. Ia amat mengecewakan. Saya hampir tertidur di dalam panggung. Namun saya paksa juga mata untuk celik. Jika mahu tidur lebih baik saya duduk saja di rumah. Kemudian, bila sampai ke pengakhiran cerita pun saya rasa keliru. Kenapa begitu saja penamat episod ini? Ia seakan-akan mendatar. Banyak dialog daripada aksi kehebatan magis mereka. Cuma ada satu sahaja babak yang membuatkan saya terkejut sehingga tertelan gula-gula yang dikemam di dalam mulut. Yang lainnya, biasa sahaja.

Apabila keluar dari panggung menjelang tengah malam, begitu ramai manusia sedang bersantai menunggu untuk waktu tayangan seterusnya. Saya jangkakan mereka semua mahu tonton filem Harry Porter. Dan mahu saja saya katakan kepada mereka, ia amat mengecewakan.

Oh, ini cuma pendapat saya. Jika kamu punya pendapat yang berbeza, itu tidak mengapa. Masing-masing punya hak untuk menyuarakan pendapat selagi ia tidak bertentangan dengan mana-mana hukum.

Tuesday, June 02, 2009

..::SYURGA CINTA::..

Jodoh itu terbahagi kepada 3

Jodoh dari Syaitan
Jodoh dari Jin
Jodoh dari Allah - kamu bertemu, berpandangan, terus menusuk kalbu. Kamu melamar dan lamaran kamu diterima. Kamu bernikah. Dan hidup bahagia sehingga akhir hayat. Itu yang dinamakan Syurga Cinta.



Hujung minggu lepas saya pergi menonton filem Syurga Cinta. Buah tangan penerbit David Teo dan arahan oleh Ahmad Idham. Dengan barisan pelakon utama terdiri daripada Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.

Selepas Filem Sepi, ini filem Melayu kedua yang saya tonton di panggung dan saya menangis. Saya tersentuh dengan Sepi kerana ia mengajar kita makna sepi dengan lebih luas. Syurga Cinta pula menyentuh hati saya kerana mesej keinsafan yang cuba disampaikan menerusi filem ini terus menyentap dan meresap dalam jiwa. Ditambah dengan alunan tiupan seruling Mohar melatari babak, cukup menusuk kalbu. Cuma saya tertanya-tanya di mana lagu runut bunyi yang katanya dinyanyikan oleh Hafiz Hamidun itu?

Tidak keterlaluan jika saya katakan filem Syurga Cinta juga layak menandingi filem Ayat-ayat Cinta dari seberang. David Teo sebagai penerbit saya lihat begitu bijak menghasilkan filem-filem yang dekat dengan penonton. Walaupun pernah gagal dalam percubaan menghasilkan filem berunsur keislaman menerusi Syukur 21, beliau tidak pernah berputus asa. Hasilnya, filem Syurga Cinta sangat berjaya. Saya harap beliau akan terus menghasilkan filem-filem sebegini yang lebih memberi pengajaran, jika mahu dibandingkan dengan filem-filem seram dan mistik yang dikeluarkan oleh syarikat beliau.

Filem Syurga Cinta sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Inilah filem Malaysia yang patut kita sokong. Tahniah kepada David Teo. Tahniah kepada Ahmad Idham. Juga tahniah kepada para pelakon yang berjaya membawakan setiap watak dengan begitu berkesan. Jauh di sudut hati saya sebagai peminat Awal Ashaari, berdoa agar filem ini juga memberi kesan dalam kehidupan seharian beliau bukan sekadar lakonan semata-mata.

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi".

InsyaAllah, saya sudah bertemu pelangi.

Sunday, February 01, 2009

..::PERANG::..

Beberapa hari yang lalu saya telah pergi menonton wayang. Saya ingin memohon maaf. Kerana dalam hal ini, saya masih belum mampu untuk memulaukan filem keluaran Hollywood. Bukan tidak ada filem Malaysia di pawagam ketika ini. Tetapi, untuk menonton di televisyen pun saya tidak sanggup apatah lagi mahu menonton filem seperti Sifu dan Tongga itu di pawagam. Maaf sekali lagi. Ini adalah pandangan peribadi saya.

Saya memilih untuk menonton filem Bride Wars. Mengisahkan tentang 2 orang sahabat yang telah bersama semenjak kecil lagi. Kerana sedikit kesilapan, mereka mula bercakaran. Masing-masing tidak mahu mengalah. Ketika itu, habis segala rahsia dan keburukan didedahkan. Walaupun pada satu saat, mereka merindui detik-detik bersama.



Dalam keadaan emosi yang turun naik, filem ini berjaya menyentuh hati saya. Dan membuatkan saya menangis. Lalu menyedarkan saya. Filem yang berkisar tentang perhubungan tidak kira sama ada persahabatan, kekeluargaan atau percintaan selalu menyentuh hati saya. Saya beri 5 bintang untuk filem ini. Mungkin saya akan menontonnya lagi. Tapi saya juga sedang menantikan filem Geng yang akan mula ditayangkan tidak lama lagi.

Sewaktu berjalan keluar dari panggung, saya berasa puas. Walaupun saya menonton seorang diri, itu adalah lebih baik daripada menonton dengan kawan lelaki pada tengahari Jumaat.