Tuesday, June 30, 2009

..::DEMI MASA::..

Saya rasa macam lambatnya masa berlalu. Sejak akhir-akhir ni selalu pula rasa macam tu.

Menghitung hari. Detik demi detik. Memang lah kan? Rasa lambat saja.

Cuba kita biar saja hari-hari itu berlalu. Kata orang, ikut saja flow

Siang malam silih berganti. Sedar tak sedar tiba-tiba dah sampai ke penghujung tahun.

Hmmmm.. Abaikan sajalah entry saya yang tiada arah tujuan ini.

..::ILMU SULUH HIDUP::..



1 dan 2 Julai nanti saya akan menghadapi peperiksaan. Ngeri juga rasanya. 3 jam masa diberi untuk menjawab soalan esei. Tangan masih sengal-sengal dek main badminton Sabtu lepas. Kemudian esok lusa mahu menulis pula. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka nanti.

Oh, peperiksaan saya akan berlangsung di Dewan MARDI, Serdang bermula 9.30 pagi sehingga jam 12.30 tengahari. Dan saya diberi cuti tanpa rekod. Jadi, ada sesiapa yang mahu makan tengahari bersama saya pada hari berkenaan? Jangan malu-malu untuk beritahu saya.

Doakan saya ya!!

Monday, June 29, 2009

..::BUKAN PILIHAN::..

Sejak akhir-akhir ini saya agak sibuk. Macam-macam hal perlu dibereskan. Ditambah pula dengan sifat-sifat negatif yang kadang-kala berjaya menggoyahkan sifat positif yang selalu saya ingin tanamkan.

Kerana hambatan masa jadi makan minum saya agak tidak teratur. Belasah sahaja. Janji perut diisi.

Hari Rabu lepas, saya balik lambat. Ada mesyuarat pagi dan petang. Rasa tepu kepala dan otak. Jadi, saya tapau saja laksa untuk dijadikan makan malam.



Laksa ni rasanya biasa-biasa sahaja. Saya tidaklah mahu komen lebih-lebih kerana saya bukannya pandai masak laksa. Tapi saya agak musykil kerana laksa ini kuahnya agak berminyak. Setahu saya kuah laksa direbus terus tanpa tumis. Kecuali (mungkin) dia menggunakan ikan sardin tin macam resepi adik ipar saya. Sebab ikan sardin tin memang sedia kala berminyak. Kan?

Hmm.. apa-apa pun bersyukurlah dengan rezeki. Nak harap saya masak sendiri tidaklah. Dan kepada mana-mana lelaki (bujang) yang gemarkan laksa dan mahu makan selama 3 hari berturut-turut, saya bukanlah calon isteri pilihan untuk anda.

..::1 MALAYSIA - RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN::..



Sila maafkan entry saya kali ini. Tajuknya sahaja sudah buatkan saya rasa sesuatu. Tapi jangan risau, isi perutnya hanya perkara biasa sahaja. Tidak ada kaitan dengan pilihanraya kecil DUN Manik Urai. Ha ha ha.

Sebenarnya hari Sabtu yang lalu sesudah subuh saya berada di Dataran Merdeka. Sempena pelancaran logo dan lagu 1 Malaysia serta senam seni Malaysia.



Kalau ikutkan hati memang malas sangatlah mahu bersesak di Dataran Merdeka pagi-pagi hari. Tapi memandangkan saya ada misi yang perlu dicapai sebelum hujung tahun, maka saya bersedia untuk bersenam tidak kira masa dan ketika.

Hmmm saya malas mahu bercerita. Kamu tengok saja gambar dan wajah-wajah yang dikatakan 1 Malaysia itu. Iye ke? ha ha ha







Ok. Itu saja lah. Sebenarnya ada banyak lagi gambar tapi saya malas dan tak ada mood. (Banyaknya perkataan malas dalam entry ni)

Lepas habis senam seni saya pergi main badminton pula. Ya, saya perlu gigih sekarang ini.

Friday, June 26, 2009

..::HUJAN SUDAH BERLALU NAMUN JEREBU MASIH BERSISA::..

Saya. Mengaku.

Memang seorang yang degil.

Namun. Saya juga tetap manusia.

Yang pasti bertolak ansur.

Untuk perkara-perkara yang lebih utama.

Cuma. Kenapa peluang saya itu dinafikan?

Thursday, June 25, 2009

..::BILA ADA HUJAN YANG MENGHILANGKAN WARNA-WARNA PELANGI::..

Saya.

Kecewa.

Teramat sangat.

Noktah.

Wednesday, June 24, 2009

..::MUTE::..

Saya penat.

Dan saya mahu berdiam diri.

Tuesday, June 23, 2009

..::BUKAN ORANG DALAM::..

"..bukan majlis pertunangan, sebaliknya hanya merisik.. dia bukan orang dalam industri seni dan kami tidak berkenalan lama.."

"..buat sementara hanya itu yang boleh saya katakan. Penjelasan ini saya buat bagi mengelak timbul salah faham memandangkan gosip yang disebarkan itu tidak benar.."

"..Tunggulah apabila tiba masa sesuai saya akan beritahu segalanya tetapi buat masa ini, kalau boleh tidak mahu ia digembar-gemburkan hingga menjadi kecoh.."

"..Terlalu awal sebenarnya untuk saya menceritakan kerana segalanya masih dalam perancangan. Namun, apa yang boleh saya katakan, dialah jejaka yang berjaya membuka hati saya.."


Eeerr.. semua penjelasan di atas juga boleh dibaca dalam Harian Metro. Ihiks..

Monday, June 22, 2009

..::JIKA 10 TAHUN LALU::..

10 tahun yang lepas.

Harga emas cuma sekitar RM68.00 satu gram. Pelajar pun mampu beli. Malah, birthday pun boleh hadiahkan emas.

Hari ini.

Harga emas mencecah RM122.00 satu gram. Gila mahal!!! Nak beli cincin belah rotan pun berkira-kira.

Hmmm.. Tapi U tak kisah, kan?

Friday, June 19, 2009

..::AYAM::..

Saya ada seorang kawan. Kawan saya ni sedang mengandung. Katanya, sejak mengandung dia sangat tidak berselera untuk makan lauk ayam.

Tapi, saya pula sebaliknya. Hari-hari kalau boleh mahu makan lauk ayam. Asal cari makan, lauk ayam jugalah yang lebih menarik.

Eh, relevan kah perbandingan itu? he he he

..::TOK RIMAU::..



"Bila rindukan i, u peluklah patung rimau ni."

Thursday, June 18, 2009

..::MAKAN BILA LAPAR BERHENTI SEBELUM KENYANG::..

Sejak akhir-akhir ini saya asyik berasa lapar. Selepas makan pun saya masih rasa mahu makan, makan dan makan. Tak kira apa jenis makanan pun. Perut sentiasa minta diisi.

Pelik juga. Adakah apa yang saya makan itu tidak memberi kekenyangan kepada saya? Padahal saya sudah makan nasi, kuih, cokelat, air berperasa dan macam-macam lagi.

Mungkin juga ini penyakit baru yang melanda diri saya. Redha sajalah selagi ia tidak membawa kemudaratan. Hmmmm

..::AWARD LAGI::..

Terima kasih kepada Arin yang telah menganugerahkan saya award ini. Juga terima kasih kerana ia telah memberi saya peluang untuk kemaskini blog. Malu pula rasanya. Blog yang dikatakan amazing tapi tak ada bahan untuk dikemaskini. Tapi biarlah.



Oh, ada peraturan tentang award ini. THE RULES: (1) Write five (5) interesting facts about the person who gave you this award. (2) Jot down ten (10) interesting facts about yourself or your hobbies. (3) Pick your ten (10) most deserving receipients and describe them. (4) Leave a comment on the receipients' blog to tell them they've been tagged. (5) Paste the award badge in your sidebar.

Mari kita mulakan.

5 Perkara menarik tentang Arin - Arin ini kawan adik saya yang katanya walaupun dulu sama tempat belajar tapi tidaklah berkawan sebab adik saya kerek. Arin ada mak yang cantik dan saya mahu tahu apa petua untuk kekal kelihatan begitu walaupun sudah berusia. Dia seorang peguam dan juga blogger yang menulis sesuatu yang menarik. Arin dan saya satu 'kampung'.

10 fakta tentang saya - Oh, sudah banyak tag yang minta perkara begini. Seperti biasa, fakta yang sudah diketahui ramai saya ada koleksi pakaian yang boleh dipakai selama lebih 3 bulan tanpa mengulang satu pun. Selain itu saya ada lebih 20 pasang kasut. Saya boleh memandu kereta manual dan auto. Saya suka membeli belah. Saya pencinta hijau. Saya pandai masak dan tentu sekali suka makan. Saya juga pandai menjahit. Dan saya mempunyai ciri-ciri menantu yang diingini oleh makcik di luar sana. he he he.

Peraturan ini minta disenaraikan 10 blog. Tapi, peraturan manusia boleh diubah dan saya mahu mengubahnya kerana saya hanya mahu panjangkan anugerah ini kepada mereka:

Water Lily seorang penulis blog yang sangat saya kagumi. Kalau kamu kenal dia, mesti kamu rasa apa yang saya rasa. Kekurangan tidak menjadi penghalang langsung bagi beliau.

Saya mahu anugerahkan setem ini kepada blog peribadi Mya. Saya kenal Mya dari zaman remaja lagi. Kami satu sekolah, satu IPT, pernah satu rumah, pernah berjiran sewaktu di Sentul, pejabat pun tak jauh dan macam-macam lagi. Banyak kenangan kami. Tapi yang penting apa yang pernah berlaku sedikit pun tak jadi penghalang untuk kami terus bersahabat. Bersahabat dari hati seiring dengan pertambahan usia dan kematangan diri.

Tasik Merah yang menulis secara bersahaja. Kadang-kadang pendek saja entrynya. Tapi cukup mencuit hati. Mungkin dia mendapat ilmu menulis secara tidak langsung daripada bapa mertuanya.

Cik Daun yang menjadi kawan baik sejak saya menjadi blogger. Ada yang tidak percaya bahawa kami kenal hanya melalui blog. Kenapa, tak percaya?

Kawan poyo dan gedik yang saya kenal juga melalui blog. Kak Pnut sudi-sudikanlah terima award ini ya.

Dan saya juga mahu beri anugerah ini kepada blog periuk tanah kepunyaan kakak saya. Saya selalu lapar dan berharap bila pergi rumah dia, ada makanan-makanan yang boleh saya tapau. Relevan kah?

OK. Cukuplah tu. Nanti saya sambung lagi dengan entry lain. Kepada yang sudah diberi award ini, terimalah dengan hati yang terbuka. Oh, sesiapa yang pernah beri saya award tetapi belum diletak di sisi blog ini harap jangan berkecil hati ya. Nanti saya akan kemas kini. Terima kasih semua.

Tuesday, June 16, 2009

..::SABAR ITU ADA HIKMAHNYA::..

Seorang makcik cool yang saya jumpa minggu lepas cakap saya seorang yang sabar kerana boleh bertahan sehingga ke hari ini walaupun ahli keluarga saya yang lain termasuk adik sudah mendirikan rumahtangga malah sudah punya anak.

Ya, saya mampu bersabar kerana baru sekarang anak makcik muncul. Ha ha ha.

Ok itu bukan jawapan sebenar.

Sunday, June 14, 2009

..::KESILAPAN LELAKI KEUNTUNGAN WANITA::..

Adalah menjadi satu kesilapan bagi lelaki apabila meminta seorang wanita (normal) menunggunya di dalam kedai emas sementara dia pergi menunaikan solat.

Kerana di akhirnya nanti dia perlu membayar harga barang kemas yang telah menawan hati si wanita itu.

Dan. Lain yang dicari, lain pula yang dapat. Tapi ia tetap berbaloi!!

Friday, June 12, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI IV::..

Ok saya mahu habiskan cepat-cepat cerita tentang Sabah. Minggu depan perlu datang dengan kisah yang baru. Hmmm kalau ada lah.

Untuk balik ke Kota Kinabalu, kami masih menggunakan jalan yang sama untuk datang tempoh hari. Alhamdulillah perjalanan kali ini amat lancar.

Sepanjang jalan turun ke KK kami singgah di dua tempat. Satu di Gunung Alab Resort yang kami singgah sewaktu naik tempohari dan satu lagi di Masakob Waterfall. Tapi Masakob Waterfall ni tutup sebab hari minggu. Jadi kami ambil gambar di luar pagar sahaja.



Sampai di KK menjelang tengahari. Terus ke Kinabalu Daya Hotel untuk daftar masuk. Kemudian kami keluar semula untuk ke Papar. Pergi rumah kawan pejabat kami.



Perjalanan dari KK ke Papar terasa seperti perjalanan di Port Dickson. Menyusur pantai dan ada resort dan rumah-rumah yang macam di Port Dickson. Dan saya rasa penduduk Papar sangat sukakan warna oren kerana kebanyakan rumah di sana dicat dengan warna berkenaan. Begitu juga dengan rumah kawan saya itu.

Keluarga kawan saya bawa kami makan di sebuah restoran di Pekan Papar. Tak ada gambar juga sebab kami semua kelaparan. Saya makan nasi goreng seafood yang sangat banyak kuantitinya. Alhamdulillah sedap dan habis juga saya makan.

Selepas balik dari Papar, aktiviti diteruskan dengan menjelajah bandar Kota Kinabalu. Mungkin hati saya sudah tidak sabar mahu balik ke Semenanjung, jadi tidak banyak gambar diambil menjelang hari-hari terakhir di Sabah.



5 hari 4 malam berada di Sabah memberi banyak kenangan. Saya mahu berlama-lamaan di Sabah. Tetapi hati saya juga meronta-ronta mahu kembali ke Semenanjung. Jadi, mungkin jika ada rezeki saya akan kembali ke Sabah. Untuk siri percutian yang lain pula.

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI III::..

(7 Jun 2009>

Hari terakhir di Keningau. Asalnya semalam Bibi mahu bawa kami ke ladang tenusu miliknya. Tapi memandangkan Bibi perlu balik ke KK dan urusan kami di majlis persandingan pun belum selesai, terpaksalah kami lepaskan peluang yang menarik itu.

Mula-mula kami pergi sarapan dulu di Pekan Keningau. Restoran Rahmat. Agak sesuatu berlaku di sini sebab lepas makan semua rasa sakit perut. Maka kami makan dan cepat-cepat balik semula ke hotel. Ha ha ha. Lepas selesai semua maka kami pun mendaftar keluar.



Selamat tinggal Hotel Perkasa.


Kami tak terus pulang ke KK. Sebaliknya ambil peluang untuk bersiar-siar dulu di sekitar Keningau. Kerana dulu U-ud pernah belajar di Maktab Keningau, maka kami tidak menghadapi sebarang masalah seperti sesat atau tersalah jalan.



Kenangan di Keningau di akhiri dengan gambar beramai-ramai di sebelah kereta yang hebat.



Sampai jumpa lagi

Thursday, June 11, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI II::..

(5 Jun 2009)

Saya masih di Sabah. Jadual perjalanan saya adalah Kota Kinabalu - Keningau - Kota Kinabalu. Jadi di Kota Kinabalu saya perlu buat tempahan hotel untuk 2 malam yang berlainan. (eh, macam kecelaruan saja ayat saya ini. ha ha ha. Pedulikan lah). Kami menginap di Best Western Kinabalu Daya Hotel. Berhadapan dengan Wisma Merdeka.

Saya terlupa untuk rakam gambar rupa paras hotel ini dari luar. Tapi, seperti kata pepatah, jangan menilai isi buku dari kulitnya. Ini adalah rupa di dalam bilik hotel kami.



Saya pilih bilik keluarga. Harga bilik ialah RM270.00 untuk satu malam + sarapan pagi. Oh, saya dapat kadar untuk kakitangan Kerajaan. Sangat berbaloi kerana hotel ini berada di tengah bandar. Jadi, boleh berjalan kaki sahaja jika mahu ke tempat membeli-belah.

Perjalanan saya pada 5 Jun ini ialah ke Keningau. Keluar dari KK lebih kurang jam 10.00pagi. Singgah sarapan dan makan tengahari di Penampang. Untuk ke Keningau saya difahamkan ada beberapa jalan yang boleh digunakan. Tetapi kami memilih untuk menggunakan jalan Bukit Mas melalui Banjaran Crocker.



Ini kenderaan hebat yang kami naik. Kata pemandunya yang kacak, di Sabah memang rata-rata penduduknya menggunakan kenderaan begitu. Bersesuaian dengan bentuk muka bumi. Bayaran bulanan hampir RM900 juga katanya. Tapi jika di semenanjung, memang dia tak mampulah nak miliki kenderaan itu. Ok. Dapat tumpang pun sudah cukup seronok.

Perjalanan dari KK ke Keningau sepatutnya mengambil masa 2 1/2 jam sahaja. Tetapi, siapa kita untuk menentukan apa yang akan terjadi. Dalam perjalanan kami tersekat oleh satu kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas di 'siring' jalan. Hampir satu jam (mungkin) kami tersangkut di situ. Kereta sudah berderet-deret di kedua-dua hala. Memang tak boleh buat apa-apa. Di kiri lereng bukit, di kanan gaung.



Dalam gambar tu kelihatan kren sedang cuba mengangkat lori yang terbabas. 'Memek' jugalah kepala lori tu. Tapi saya rasa pemandunya hanya cedera. Agak ngeri untuk membayangkan jika mana-mana kenderaan terjunam ke dalam gaung di situ.

Bila semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan. Kerana sudah lewat untuk sampai sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan jam 2.30 petang, kami pun bersantai-santai sahaja dalam perjalanan.



Sepanjang perjalanan kami berhenti beberapa kali. Gambar 1: Saya bergaya di hadapan papan tanda ke arah Taman Banjaran Crocker. Sejuk sangat udara di situ. Gambar 2: Pemandangan banjaran, hutan belantara dan gunung ganang segala. Gambar 3: Sebenarnya dari atas tempat saya berdiri tu boleh nampak seluruh Pekan Tambunan Gambar 4 : Gerbang menuju ke Gunung Alab Resort Gambar 5: Perkampungan padi huma dalam perjalanan ke Keningau selepas Tambunan. Entah apa nama kampung tu. Tak ingatlah. Nama kampung yang saya ingat cuma Dongongon sahaja.

Sampai di Keningau waktu sudah petang. Terus daftar masuk di hotel. Kami memilih Perkasa Hotel kerana ia dekat dengan lokasi majlis perkahwinan yang akan dijalankan nanti.



Ini gambar yang diambil sebelum balik semula ke Kota Kinabalu. Letak dulu. Jangan pula nanti kata kenapa saya pakai baju berulang kali. Oh saya bukan begitu. Ahaks.

Sampai di Keningau sudah lewat. Dan kami cuma makan sekali sahaja pada siang hari. Rasa lapar jangan cakap lah. Tapi terpaksa tahan kerana nanti malam mahu ke rumah pengantin untuk majlis berinai. Eeerrr kita makan di situ sahajalah.

Wednesday, June 10, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI I::..

* Diedit semula pada 11 Jun 2009

Minggu lepas dari 4 hingga 8 Jun saya bersama 2 orang kawan telah terbang ke Sabah. Perancangan ke Sabah telah dibuat seawal bulan Februari lagi. Iyalah kan. Kalau mahu tiket yang murah mesti buat tempahan ketika promosi. Tiket yang saya dapat bernilai RM444.00 (pergi dan balik) menggunakan Malaysia Airlines. Mungkin ada lagi yang lebih murah, tetapi itu sudah cukup murah daripada harga biasa.

Tujuan utama ke Sabah ialah untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan pejabat saya di Keningau. Cerita tentang majlis nanti akan menyusul dalam entry lain. Oh, ada kawan saya sms jika kenduri di Sabah pun saya boleh pergi tentu saja yang di semenanjung ini tiada masalah. Ha ha ha.. InsyaAllah.. Lagipun majlis tak akan berjalan jika salah seorang daripada kita tiada. Kan? *wink*wink*

Saya berlepas dari KLIA jam 14:15PM, 4 Jun 2009. Mari kita layan gambar saja lah.



Indah sungguh ciptaan Allah. Awan kepul-kepul dengan langit yang cukup biru. Tapi itu bukan langit di Kuala Lumpur. Langit tu ketika sudah hampir separuh perjalanan. Gambar kecil ialah pemandangan sekitar Putrajaya/Dengkil. Gondol sahaja. Manalah tidak berjerebu udara di sini. Hmmm.

Ini set hidangan makan tengahari saya. Kerana itu saya memilih MAS. Saya mahu menikmati apa yang dikatakan Malaysian Hospitality.



Maaf gambar adalah bergegar kerana walaupun di udara, pergerakan kapal itu tetap seperti berada di atas jalan raya yang berlopak-lopak. Kalau kakak saya yang pertama kali menaiki kapal terbang itu, mesti terasa takut dengan keadaan yang dialami.

2 1/2 jam penerbangan kadang-kadang agak membosankan. Maka saya dan kawan-kawan buat aktiviti yang tidak lain dan tidak bukan ialah mengambil gambar.



Ini percubaan saya untuk mengambil gambar sendiri. Percubaan gagal kerana tangan saya tidak cukup panjang. Maka semuanya tinggal separuh sahaja.

Penerbangan kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baru jam 16:40PM. Jam 4.00 petang di Sabah, matahari sudah mula condong.



Selesai urusan kemasukan, kami bergegas mahu cepat sampai ke hotel. Kewajipan belum lagi ditunaikan. Mujur kenderaan sudah sedia menunggu.

Selesai hari pertama. Hari kedua saya di Sabah akan menyusul dalam entry lain.

..::AWARD::..

Di dalam dunia blogging ini selain daripada tag, memberi award juga sudah menjadi trend.

Sebelum ni sebenarnya ada juga beberapa orang yang telah beri award kepada saya. Tapi masa tu saya macam ala-ala tak faham sangat konsep award ni. Ha ha ha. Jadi sila maafkan saya jika saya tidak salin dan tampal award tu di sini. Nanti saya cari baliklah benda tu semua.

Ok. Sebelum saya terus buat entry tentang perjalanan selama saya bercuti di Sabah, saya letak dulu award yang telah diberi oleh Olin. Thanks ye dik.



Dan. Saya rasa tahun 2009 memang tahun bertuah saya!!!!

Friday, June 05, 2009

..::TERBANG::..

"Kamu yang bawa ku terbang, kamu lah jua yang membawa cinta ke dalamnya"


Thursday, June 04, 2009

..::SEKADAR BERCUTI::..

Mulai hari ini saya akan bercuti. Sehingga hari Isnin.

Percutian saya ini tiada kaitan dengan aktiviti mengukur langsir atau mengecat rumah di kampung. Saya sekadar mahu bercuti.

Saya tidak buat entry berjadual. Jadi, blog ini mungkin akan dikemaskini. Atau mungkin juga tidak.

Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat. Sampai jumpa lagi!

Wednesday, June 03, 2009

..::BERCAMPUR-BAUR::..

I
Hari ini. Rasa masa tu macam lambat saja berlalu. Saya seorang sajakah yang rasa begitu?

II
Cuaca di luar tidaklah terlalu panas. Dan tidak juga mendung. Sejak akhir-akhir ni kerap pula hujan pada waktu petang. Bagus juga. Tak lah kepanasan waktu malam. Saya yang sebelum ini tak pernah pasang kipas waktu tidur pun sudah mula belajar berkipas kerana sudah tidak tahan.

III
Saya dapat tahu kebanyakan tukang jahit sudah tidak ambil tempahan untuk baju raya. Jika diikutkan, puasa pun belum lagi. Tapi sekarang ramai yang mahu buat persiapan awal. Saya pun belum tempah baju untuk hari raya. Dan hari-hari yang lain. Hmmm.. Mana mahu cari tukang jahit ni.

IV
Mungkin juga saya sudah dalam mood bercuti.

Tuesday, June 02, 2009

..::SYURGA CINTA::..

Jodoh itu terbahagi kepada 3

Jodoh dari Syaitan
Jodoh dari Jin
Jodoh dari Allah - kamu bertemu, berpandangan, terus menusuk kalbu. Kamu melamar dan lamaran kamu diterima. Kamu bernikah. Dan hidup bahagia sehingga akhir hayat. Itu yang dinamakan Syurga Cinta.



Hujung minggu lepas saya pergi menonton filem Syurga Cinta. Buah tangan penerbit David Teo dan arahan oleh Ahmad Idham. Dengan barisan pelakon utama terdiri daripada Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.

Selepas Filem Sepi, ini filem Melayu kedua yang saya tonton di panggung dan saya menangis. Saya tersentuh dengan Sepi kerana ia mengajar kita makna sepi dengan lebih luas. Syurga Cinta pula menyentuh hati saya kerana mesej keinsafan yang cuba disampaikan menerusi filem ini terus menyentap dan meresap dalam jiwa. Ditambah dengan alunan tiupan seruling Mohar melatari babak, cukup menusuk kalbu. Cuma saya tertanya-tanya di mana lagu runut bunyi yang katanya dinyanyikan oleh Hafiz Hamidun itu?

Tidak keterlaluan jika saya katakan filem Syurga Cinta juga layak menandingi filem Ayat-ayat Cinta dari seberang. David Teo sebagai penerbit saya lihat begitu bijak menghasilkan filem-filem yang dekat dengan penonton. Walaupun pernah gagal dalam percubaan menghasilkan filem berunsur keislaman menerusi Syukur 21, beliau tidak pernah berputus asa. Hasilnya, filem Syurga Cinta sangat berjaya. Saya harap beliau akan terus menghasilkan filem-filem sebegini yang lebih memberi pengajaran, jika mahu dibandingkan dengan filem-filem seram dan mistik yang dikeluarkan oleh syarikat beliau.

Filem Syurga Cinta sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Inilah filem Malaysia yang patut kita sokong. Tahniah kepada David Teo. Tahniah kepada Ahmad Idham. Juga tahniah kepada para pelakon yang berjaya membawakan setiap watak dengan begitu berkesan. Jauh di sudut hati saya sebagai peminat Awal Ashaari, berdoa agar filem ini juga memberi kesan dalam kehidupan seharian beliau bukan sekadar lakonan semata-mata.

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi".

InsyaAllah, saya sudah bertemu pelangi.

Monday, June 01, 2009

..::BELUM BOLEH DIBUKA::..

Happy Birthday To You

Semoga kasih sayang kita diredhai Allah dan berkekalan.. Sampai Syurga.. InsyaAllah..



I belum mampu nak belikan hadiah yang U nak.

Tapi, I bagi hadiah yang lebih berharga daripada segala kebendaan itu. Diri I. Cuma, balutan hadiah ni belum boleh dibuka. Sabar ya.