Showing posts with label tanaman. Show all posts
Showing posts with label tanaman. Show all posts

Tuesday, October 06, 2009

..::SIAPA MAKAN CILI DIA TERASA PEDAS::..

Acik Sapinat selalu cerita tentang kebun bibik di belakang rumah yang subur dan membuahkan hasil. Ada kacang, terung, jagung dan macam-macam lagi tanaman bersesuaian dengan kawasan tanah yang ada. Memang untung kalau kita rajin dan mahu berbudi kepada tanah.

Cemburu juga kadang-kadang tu. Saya tak ada tanah. Saya cuma ada balkoni seluas lebih kurang 7 kaki kot (sila keji sebab saya adalah tak tahu keluasan rumah sendiri). Tapi itu tetap tak menghalang saya untuk bercucuk tanam. Di rumah. Bukan di Facebook sahaja.

Saya pernah cerita tentang tanaman yang saya usahakan dalam entry setahun lalu. Kalau rujuk gambar dalam entry tu, benih cili baru bercambah. Tapi hari nih dah masuk kali ke 3 pokok cili saya berbuah. Sukanya saya. Walaupun saya tidaklah kuat makan pedas, tapi rasa pedas dalam masakan tetap mahu ada walaupun sikit. Jadi, sekadar potong-potong cili dan masukkan dalam masakan.



Elok sangat cili ni. Seminggu dalam peti ais pun tak kecut macam cili yang beli kat pasaraya. Hmmm ke sebab peti ais saya tu yang elok? he he he.. Nanti saya nak semai benih baru. Dan saya bercadang nak tanam cili api pulak. Nanti-nanti nak buat masak lemak cili api senanglah, petik saja dari pokok.

Jika diperhatikan gambar, yang kabur-kabur di belakang pokok cili tu ada pokok daun kari dan pokok daun pandan. Alhamdulillah walaupun cuma dalam pasu, tapi tetap subur. Kalau agak-agak pokok nak melayu (eh melayu?), sambil siram saya akan gembur tanah dan bercakap-cakap dengan tanaman saya. Saya pernah dengar orang bagi petua tu.

Walaupun ada kawan yang kata rumah saya tak ada bunga. Tapi saya tak berkecil hati. Saya memang lebih suka tanam pokok yang memberi manfaat. Dan, cukuplah saya sebagai bunga penyeri rumah itu.

Monday, February 02, 2009

..::KITA JUGA MAKAN RUMPUT::..

Hujung minggu saya duduk di rumah saja. Agak penat bila terlalu kerap cuti. Tapi bila sudah diberi cuti tak akan saya tolak pun. Minggu depan saya akan mula bekerja di hujung minggu. Jadi, sementara ada masa lebih baik saya berehat dan uruskan rumah tangga sebaik mungkin.

Walaupun rumah cuma sekangkang kera, tapi saya memerlukan motivasi yang cukup tinggi untuk mengemas, menyapu sampah dan mengemop lantai. Sudahlah 'magic mop' saya sudah hilang magisnya. Lalu, kerja mengemop jadi agak terganggu. Oh, tak terbayang saya jika rumah saya ialah banglo yang ada 5 - 6 buah bilik dengan 4 bilik air. Tentu pengsan mahu menguruskannya. Tapi jika saya mampu untuk memiliki rumah banglo tentu juga saya mampu untuk menggaji 2 - 3 orang pembantu rumah untuk menguruskannya. Ha ha ha.. Ada unsur angan-angan di situ.

Sebenarnya saya bukan mahu bercerita tentang rumah saya atau rumah idaman saya. Tetapi saya mahu berkongsi sesuatu. Saya pernah bercerita tentang pokok-pokok yang saya tanam. Dan saya juga tanam ulam pegaga di dalam pasu yang sama dengan pokok daun sup. Semalam saya dapati pegaga itu sudah melampaui batas. Gemuk bukan main. Habis zat dan nutrien dalam tanah diambilnya. Tidak ditinggal langsung untuk pokok daun sup. Padahal dia hanya ditumpangkan saja dalam pasu itu. Kerana geram, habis saya cabut segala pegaga. Dalam kepala otak saya terfikir. Habislah kau aku kerjakan.

Lalu saya siapkan bahan-bahan. Mahu buat jus pegaga. Kan saya sudah berpenat lelah. Jus ini nanti tentu dapat menyegarkan saya.



* Basuh pegaga bersih-bersih. Tak perlu buang akar kerana pada akar itulah terkandung khasiat yang banyak.
* Satu gelas air sejuk
* 2 sudu besar gula
* 1 sudu besar madu
* Campurkan semua dan kisar lumat

Inilah hasilnya.


Boleh tapis hampas jika mahu. Tapi saya tak tapis pun. Minum begitu saja. Agak berbau rumput. Tapi ia tidak sebusuk mengkudu.

Dan selepas minum jus pegaga yang dibuat sendiri, saya rasa segar dan muda. Ha ha ha

Friday, November 14, 2008

..::SAYA SUKA-SAYA CUBA: MAHU TANAM POKOK BUAH NAGA::..

Saya suka makan. Saya juga suka memasak. Dan ini bukan entry tentang makanan yang saya masak atau makan.

Ia tentang bahan mentah untuk memasak. Saya baru tahu rupa-rupanya taugeh tidak lagi boleh dibeli dengan harga 20 sen atau 30 sen. Paling murah boleh beli ialah 50 sen. Ya, saya bukan penggemar taugeh. Ok. Seikat serai 50 sen. Seikat daun sup dan daun bawang pula RM1.00. Tapi, bila bahan-bahan untuk memasak itu perlu dibeli walaupun kuantiti yang mahu kita guna cuma sedikit, saya jadi berkira. Bukan apa. Nanti membazir pula bila bahan-bahan tu kecut dan layu saja dalam peti ais.

Jadi, saya ambil keputusan untuk bercucuk tanam. Wah! Bunyinya macam punya sebidang tanah yang luas. Walhal saya cuma ada ruang beranda sekangkang kera saja. Ya, saya tinggal di apartment. Hakikat yang perlu diterima oleh penghuni apartment ialah anda tidak mempunyai tanah.

Daripada tanam pokok bunya yang tiada faedahnya, baik saya tanam sayur-sayuran. Dan ini hasilnya. Tanaman yang telah saya usahakan sejak setahun lalu.



Saya tanam daun sup, pokok kari, pokok pandan, kunyit, halia dan serai. Sebelum ni serai tu nampak macam lalang saja. Tapi sejak saya pindahkan dalam pasu yang lebih besar barulah elok sikit naiknya. Dulu saya juga ada pokok cili tapi kemudian mati sebelum sempat berbuah. Sekarang saya semai yang baru dalam pasu serai tu. Dalam pasu daun sup ada juga pokok pegaga. Dan paling baru saya tanam daun bawang. Eeerrr itu pun selepas ada bawang yang hidup dalam bakul di dapur. He he he.

Sebenarnya, saya rasa mahu tanam pokok betik, pokok honeydew atau pokok buah naga. Sebab itu buah kegemaran saya. Tapi saya perlu terima hakikat. Saya cuma ada beranda sekangkang kera.

Tuesday, April 22, 2008

..::KALAU TAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANA KAN DAPAT SAGUNYA::..

Kakak aku beritahu. Jika mahu pokok tanaman kita sihat dan subur. Maka siramlah ia dengan air basuhan beras.

Ooohh.. Itu petuanya.

Tapi. Aku. Basuh beras pun jarang-jarang sekali. Silap-silap beras pun tak ada. Macam mana mahu dapat airnya. Ha ha ha...

Sudahnya. Beginilah rupa tanaman aku.




* Entry ini bersempena dengan hari bumi sedunia.