Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Friday, September 21, 2012

..::ORANG BARU::..

Selamat datang 'orang baru'. Cucu 'Atok Uma' yang ke 35 (betul kot). Tahun depan insyaAllah dapat cicit pula.

Tahniah dan syukur Alhamdulillah. Kakak saya telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel dan putih hehe.

Atas faktor usia dan tempoh 10 tahun menantikan kehadiran cahayamata, doktor nasihatkan beliau agar bersalin melalui pembedahan.

..::Muna Zafirah binti Zulkifli::..

Semoga Muna membesar sebagai anak yang solehah dan menjadi penyeri hidup mama dan papa.

Thursday, September 06, 2012

..::SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI::..

Assalamualaikum, salam sejahtera
Kepada anda semua moga bahagia :)

Saya kira belum terlambat lagi untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Dan sekaligus update blog dengan cerita berkaitan raya.

Tahun ni giliran beraya di Negeri Sembilan dulu, kemudian baru balik Perak. Sementelah sepanjang bulan Ramadhan saya berpuasa di kampung, jadi saya kenalah balik Shah Alam dulu sementara tunggu suami balik dari Bangkok hari Jumaat. Kedengaran macam kerja yang berulang alik kan? Tapi memang pun sebenarnya. Hehe. Apa nak buat.

Hari Khamis saya balik berdua saja dengan Muhammad. Gerak dalam pukul 11.00 lebih kot sebab tunggu Muhammad bangun tidur, bagi makan kenyang-kenyang dan siapkan dia. Alhamdulillah perjalanan lancar. Muhammad pun tidur saja sepanjang perjalanan. Dah nak sampai Rawang baru jaga, itu pun senyap saja dalam car seat. Bila dia dah terjaga barulah saya berhenti di R&R Elmina. Kejang badan drive tanpa henti sorang-sorang, ditambah dengan rasa nak buang air.

Hari Sabtu dalam pukul 10.00 lebih baru gerak pergi Melaka. Kisahnya beraya di Melaka sebab kak ipar saya baru bersalin 2 minggu sebelum raya. Jadi mertua memang duduk sana sepanjang kakak ipar berpantang.

..::Gambar sekeluarga di pagi raya::..

Baju raya saya tu kain cotton kirim dengan Maya beli di Bandung. Tudung saya tu ikut trend masa kini - bawal AidiJuma kirim dengan anak buah beli di Sunway Carnival, Penang. Terima kasih la dekat Maya sebab memang sedang elok sungguh la warna kain tu matching dengan baju melayu suami. Baju melayu suami tu ulang baju kahwin dulu. Setahun 2 kali saja pakai baju melayu jadi tak perlu membazir tempah yang baru. Tahun ni tak buatkan baju melayu untuk Muhammad. Budak cepat besar, nanti saiz dah tak kena. Lalu pergi SOGO dan shopping baju budak.

..::Muhammad dengan sepupu::..

..::Baby baru nama Aqif Ziqrin::..

Juadah di pagi raya, emak mertua buat kuah lodeh. Rendang, ketupat dan macam-macam makanan lagi bapa mertua kakak ipar yang bagi. Tapi tak ada gambar. Lupa nak rakam.

Jadi, itu saja gambar raya yang ada. Hehehe. Lain-lain aktiviti saya tak ambil gambar. Tiba-tiba macam rasa rugi pula sebab petang tu saya pergi beraya di rumah Nusrat Aida, kawan masa Politeknik dulu. Entah bukan senang nak dapat jumpa kawan-kawan lama. Haiisshh.

Itu cerita raya saya tahun ni. Ok jugalah beraya di kawasan perumahan kakak ipar saya ni sebab kebanyakkannya tentera dan pekerja Petronas. Jadi ramai yang tak balik kampung sebab tuntutan tugas :). Maka, bolehlah beraya di rumah jiran sebelah.

Pagi-pagi raya ke-2 kami dah mulakan perjalanan nak balik Perak. Nanti cerita dalam entry lain.

Tata.




Thursday, January 05, 2012

..::PENUTUP 2011::..

OK sebelum terlambat, Selamat Tahun Baru 2012 kepada semua. Semoga tahun mendatang membawa lebih banyak perkara baik dan menggembirakan. InsyaAllah.

Sebenarnya entry ni dah ada dalam draft sejak 30 Disember 2011 yang lepas lagi. Tapi setakat itu saja. Entry tergantung dan saya tak sambung-sambung pun. Sepanjang minggu cuti 3 hari habiskan masa dengan keluarga di rumah. Kemudian bila dah kerja, dengan sekolah pun dah buka, rutin perjalanan dan timing tak sama macam masa cuti sekolah.

Bercerita tentang tahun 2011, macam-macam pahit manis masam masin yang berlaku. Macam-macam pengalaman baru yang dilalui. Semuanya akan kemas tersimpan dalam lipatan sejarah dan memori. Dan sikit-sikit yang mana sempat (hehe) ada juga saya kongsikan di blog ini.

Tahun 2011 ditutup dengan majlis pertunangan anak saudara saya, Nurul. Nurul ni lah kawan saya masa zaman saya bujang dulu. Hujung-hujung minggu outing, shopping atau nak pergi acara apa-apa mesti ajak dia. Dan dia jarang sangat menolak kalau waktu mengizinkan. Maklum la kalau keluar dengan saya tentu semuanya ditanggung. Dari zaman dia duduk Matrik UIA di PJ, sampailah dah pindah main camp di Gombak. Kebetulan waktu tu saya tinggal di Sentul, memang tak jauh mana pun jaraknya.


..::Nurul tension sebab nampak sebaya dengan emak saudara..kiki::..


Bila musim nak sambut raya, 3 orang dalam gambar tu akan pergi shopping sama-sama di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Memang meriah. Nurul juga yang jadi peneman saya memandu balik kampung selepas adik saya Kimi pindah balik duduk Taiping. Dan Nurul memang tak pernah menolak sebab buat apa susah-susah naik bas katanya sedangkan boleh senang-lenang naik kereta. Oh, gambar majlis pertunangan tak ada sebab saya tak balik kampung.

Dan, pejam celik pejam celik terasa sekejap saja masa berlalu. Nurul dah bertunang dan tak lama lagi nak mendirikan rumahtangga. Saya pun dah ada anak sorang. Kepada Nurul selamat menempuh alam baru yang penuh dengan seni.

Kepada semua, selamat tahun baru 2012.

Thursday, December 08, 2011

..::LAMANYA::..

Lama tak update. Banyak perkara berlaku dalam tempoh 2 minggu.

Cuti Awal Muharram yang lepas saya balik kampung. Ada hari keluarga untuk edisi ke-5. Kali terakhir family day pada tahun 2008. Pun masa tu buat dekat kampung memandangkan ahli keluarga dah mencecah hampir 50 orang. Dengan anak kecil segala, memang macam-macam faktor kena ambil kira. Jadi rumah mak di kampung adalah lokasi yang paling sesuai. Edisi kali ini saya jadi penyelaras dibantu oleh ahli jawatankuasa yang lain. Nanti cerita lain kali.


..::gambar ambil dari facebook kimi::..


Masa nak balik kampung, Muhammad mula menunjukkan tanda-tanda akan demam. Badan panas, hidung ketat dan 'merab'. Tapi saya ni patut pulak tak buat persediaan. Segala ubat yang ada dan termometer pun tak bawa balik. Sepanjang 3 malam di kampung Muhammad meragam. Demam panas waktu malam. Habis satu rumah pun terjaga budak kecik tu menangis.

Hari Rabu sepatutnya saya dah bekerja semula. Tapi pagi tu badan Muhammad rasa masih panas. Tak sampai hati nak hantar taska, saya ambil cuti kecemasan. Ambil keputusan untuk bawa Muhammad jumpa paed di DEMC. Disebabkan pagi tu Muhammad tidur agak lama, jadi pergi hospital sebelah petang lepas suami balik kerja.

Doktor tanya sama ada nak masuk wad ke, dan kami memang setuju. Sekurang-kurangnya pemantauan teliti dapat dibuat sebab demam dah melebihi 3 hari.


..::hai.. saya demam sebab nak pandai berjalan ;)::..


Memandangkan bilik seorang yang kami request hanya akan siap sebelah malam, kami balik rumah dulu untuk buat persediaan.

Jadi, kita sambung cerita di hari lain.. daaaa...

Tuesday, September 06, 2011

..::BLOG TU APE YE?::..

He he he.. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkannya.

Sebab ramai (ramai ke? ha ha) yang bising suruh saya kemaskini blog, hari ni saya rasa terpanggil untuk kemaskini, sapu sawang segala demi menghargai peminat blog ni. Bila orang tanya atau suruh update blog, saya mesti tanya blog tu ape ye, dalam usaha menafikan kewujudannya. He he he. Tapi sebenarnya saya rindu dengan dunia blogging ni.

Asalnya haritu nak update cerita Ramadhan, tapi dah raya ni saya tinggalkan je lah cerita tu. Tak ada yang menarik sangat pun melainkan cabaran berbuka dan bersahur dengan anak kecil. Tengok lah kalau rajin saya cerita lah nanti.

Sekarang kita tengok gambar raya dulu.


Sebahagian daripada keluarga besar saya yang ada di pagi raya. Yang lain datang dekat-dekat tengahari.



Keluarga kecil saya



Salam dengan mak dan dapat 'duit raya'.. he he he


Ok. Itu je dulu. Nanti saya update lagi. Gambar tak banyak pun sebab kelam kabut nak pergi beraya sebelum budak-budak datang. He he he. Lagipun dengan beg tangan yang bergerak aktif, nak pegang camera pun payah.

Sekali lagi, maaf zahir dan batin

Friday, April 01, 2011

..::KAMI AKAN MERINDUI KAMU::..

27 Julai 2010 - 1 April 2011




Gambar terbaru Munirah Huda masa datang rumah Cuda hari Selasa lepas.

Sesungguhnya mati itu pasti. Dan syurgalah tempatmu wahai anak kecil.

Kami akan merindui kamu, sentiasa.

Thursday, March 31, 2011

..::TAK BOLEH DIPAKSA::..

Nak tulis entry tak boleh dipaksa. Kena datang dari hati. Maka sebab tu dah lama saya tak tulis entry.

Suhu luar dan dalam tak sekata. Level kesihatan terasa menurun.

Pagi tadi bangun tidur rasa sakit kepala, mata panas, tekak ketat. Kat pejabat lagi rasa tak keruan. Macam nak pengsan pun ada.

Tadi saya pam susu dan tak sedar susu tercemar. Lagi. Sedih sebab yang tercemar tu sebanyak keperluan sekali Muhammad menyusu. Tapi kena redha dan buang macam tu saja.



Sebelum ni pernah juga jadi. Tapi masa tu cepat sedar. Sebab masa tu memang rasa sakit. Tengok la baru sikit. Tak la rasa ralat sangat.



Ni semua rentetan daripada kejadian nipple crack saya haritulah. Bukan sebab Muhammad dah ada gigi dan menggigit masa menyusu. Tapi sebab thrush iaitu yeast dalam mulut bayi.



Dah letak ubat, tapi tahu saja lah bayi, bukan senang kita nak letak ubat dalam mulut. Memang meronta-ronta tak mahu. Nak letak kena tunggu tidur lena dan sangat syukur kalau bila letak ubat Muhammad terus tidur tanpa rasa terganggu.

Ok saya berhenti di sini lah. Tadi dapat berita, Munirah anak Kak An masuk ICU Hospital Putrajaya sebab jangkitan paru-paru. Sama-sama kita berdoa Munirah selamat dan sembuh dengan cepat.

Wednesday, March 30, 2011

..::SEDETIK LEBIH::..

Ini gambar terbaru. Bukan senang nak ambil gambar sekeluarga. Itu pun cukup susah nak minta Muhammad pandang camera.

PerKEMBANGan yang jelas kelihatan. Alhamdulillah syukur dengan limpah dan kurniaNya.



Tadi saya ambil sedikit masa untuk baca blog isteri kawan adik saya. Memang tak dapat nak ditahan air mata. Terdetik di hati, entah bagaimana jalan pulang yang bakal kita lalui. Dan apakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

Hanya Allah yang tahu.

Wednesday, July 28, 2010

..::JANTUNG TERBAKAR::..

Entry dimulakan dengan ucapan tahniah kepada kakak saya yang telah selamat melahirkan anak yang ke-6 malam tadi. Anak perempuan ke-5 yang diberi nama Munira (kalau tak salah saya).

Orang dah selalu dan biasa sangat bersalin, tak ada apa-apa yang dirisaukan. Jam 7.05 malam Kak An telefon saya beritahu air ketuban dah dipecahkan dan minta saya ke hospital sekadar untuk menjenguk anak-anaknya yang lain. Saya pula masa tu masih lagi dalam perjalanan balik dan rasa tak berapa sihat. Hampir jam 9.30 malam sekali lagi Kak An telefon beritahu dia sudah selamat bersalin. Suara tak macam orang baru lepas bersalin pun. Ha ha ha. Apa pun tahniah sekali lagi.

Ok ini pula cerita yang berkaitan dengan tajuk.

Heartburn dikatakan perkara yang sering berlaku kepada wanita hamil. Dan sebenarnya baru semalam saya berbual-bual dengan Amyz tentang heartburn.

Menurut wikipedia

Heartburn, also known as pyrosis[1] or acid indigestion[2] is a burning sensation[3] in the chest, just behind the breastbone or in the epigastrium.[4] The pain often rises in the chest and may radiate to the neck, throat, or angle of the jaw.

Heartburn is usually associated with regurgitation of gastric acid (gastric reflux) being the major symptom of gastroesophageal reflux disease (GERD).[5] It however may also be a symptom of ischemic heart disease so concluding that it is heartburn prematurely may lead to misdiagnosis.


Di dalam heartburn.about pula menyatakan bahawa

Heartburn during pregnancy occurs for a number of reasons. Increased levels of hormones in your body while pregnant can soften the ligaments that normally keep the lower esophageal sphincter (LES) tightly closed. If the LES relaxes at inappropriate times, food and stomach acids can reflux back up into your esophagus and throat. Also more pressure is put on your stomach as your body changes and your baby grows. This, in turn, can force stomach contents through the LES and into your esophagus.


Dan, semalam saya mengalami kebakaran jantung yang agak teruk. Bukan kerana saya tidak makan dan membiarkan perut kosong, tetapi lebih kepada TERsalah pilih makanan. Kerana menurut heartburn.about lagi,

Don't eat foods that are known heartburn triggers. These include chocolate, citrus fruits and juices, tomatoes and tomato-based products, mustard, vinegar, mint products, and spicy, highly seasoned, fried, and fatty foods.


Apa yang saya makan? Pagi saya makan nasi lemak dengan sambal ikan bilis. Pedas. Sela waktu sebelum tengahari saya makan karipap kentang, karipap sardin dan popia. Tengahari pula saya makan bihun sup daging yang mula-mula saya rasa tak begitu pedas dan saya tambah dan tambah cili kicap sehingga terasa pedas. Bila pedas bercampur dengan panas jawapannya terbakarlah perut saya.

Waktu solat Zohor saya hampir-hampir termuntah, tapi saya 'telan' semula lalu menyebabkan tekak dan esophagus saya terasa sangat perit. Minum air kosong banyak-banyak untuk bertahan. Saya juga makan rambutan dengan alasan mahu legakan perit di tekak. Balik kerja singgah solat di Petronas, saya muntah lagi. Tapi sikit-sikit saja dan tekak rasa semakin perit.

Sebelum balik rumah, saya suami isteri singgah untuk makan malam di Ani Sup Utara. Saya minum jus tembikai dan minta bubur nasi. Mungkin sudah nasib saya, bubur yang datang sudah siap dicampur dengan sambal. Mahu tak mahu terpaksa juga makan perlahan-lahan. Sekali lagi panas dan pedas bercampur di dalam perut saya.

Jangkaan saya dapat bertahan meleset. Keluar saja dari kedai, saya terus memuntahkan jus tembikai di tengah-tengah jalan. Kemudian saya muntah lagi di tepi longkang (sebab longkang sedang dalam pembinaan). Muntah yang sangat banyak macam Que Haidar dalam filem Rock. Habis keluar apa yang baru saya makan. Ruginya.

Dalam perjalanan balik rumah saya bertahan dengan plastik di tangan. Memang cari nahas kalau termuntah dalam kereta. Sampai saja depan pagar, buka pintu kereta sekali lagi saya muntah. Mujur. Cepat-cepat buka pagar, tutup dan buka pintu rumah. Tak sempat masuk dalam saya cari longkang untuk muntah lagi. Masih banyak macam Que Haidar dalam filem Rock. Dan kali ni lebih teruk sampai saya rasa lemas, kembang kepala macam terbakar dan nak pecah. Exaggerate? Ha ha ha.. Tak tahu lah nak kata sebab itu yang saya rasa.

Ok cukuplah cerita saya tentang muntah. He he he. Sambung semula tentang jantung terbakar dan cara-cara menghindarinya. Ini juga saya ambil dari laman heartburn.about dan telah diterjemahkan dalam perkataan yang mudah dan ringkas. Di antaranya ialah:

* Elakkan makan dalam kuantiti yang banyak sebaliknya makan sedikit tetapi kerap;

* Jangan makan dengan tergesa-gesa. Ambil masa dan kunyah makanan sehingga lumat;

* Penting untuk minum banyak air iaitu 8 - 10 gelas sehari. Jangan minum hanya ketika waktu makan. Minum sepanjang hari dan minum juga sedikit di antara sela suapan makanan anda;

* Tidur dengan posisi kepala dan bahu yang betul di atas bantal yang tinggi sedikit untuk membantu asid perut kembali ke tempat yang sepatutnya;

* Pakai pakaian yang longgar dan selesa. Elakkan pakaian ketat di bahagian pinggang dan perut;

* Duduk secara tegak di kerusi yang selesa daripada duduk secara membongkok.

Cukup dulu entry panjang lebar saya. Untuk maklumat lanjut boleh cari di enjin carian. Ada banyak laman web yang memberi tips untuk kita menjalani kehidupan seharian secara sihat dan selesa.

Monday, May 31, 2010

..::MATI ADALAH PASTI.. HIDUP INSYA'ALLAH::..

Kita mulakan entry ini dengan bacaan Al-Fatihah. Dan sedekahkan kepada roh mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Saya sekeluarga masih dalam keadaan terkejut. Mungkin lebih-lebih lagi emak saya. Belum pun reda kesan kehilangan emak saudara awal tahun lalu, Jumaat lepas kami dikejutkan dengan satu lagi kehilangan. Adik bongsu emak iaitu Paksu Saufi pergi mengadap Pencipta.

Ketika berita di terima, saya berada nun jauh di selatan tanah air. Hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kata adik saya, jenazah akan disempurnakan di Sungai Buloh kemudian terus di bawa balik ke kampung untuk pengkebumian.


ini gambar yang diambil dari Facebook adik saya


Arwah pergi dalam usia yang muda. Meninggalkan seorang isteri serta anak-anak yang masih kecil. Yang mungkin belum mengerti apa-apa.


yang saya bulatkan tu ialah Arwah dan ahli keluarga. Gambar sewaktu majlis bertandang ke Negeri Sembilan. Kata sepupu saya, kenduri mana yang paksu tak pergi?


Merenung segala yang berlaku, ia adalah ketentuanNya. Allah berhak mengambil nyawa yang dipinjamkan pada bila-bila yang Dia mahu. Sebagai hamba yang masih diberi nikmat hidup di dunia, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk meningkatkan segala amalan dan bekalan untuk bertemu denganNya.

Al-Fatihah.

Saturday, September 26, 2009

..::1 SYAWAL 1430H

Ini gambar sebahagian ahli keluarga saya di pagi 1 Syawal 1430H.



Lepas sesi bermaaf-maafan bagi duit raya kepada yang layak dan bergambar sesuka hati kami pun membuat rombongan ziarah ke rumah jiran sebelah yang menyediakan hidangan laksa utara yang memang sedap.

Mujur juga rumah jiran tu tak berapa luas dan kami terpaksa memberi ruang kepada tetangga lain yang datang berkunjung kalau tidak mungkin semua masih tak berenti makan laksa. Kemudian kami pergi rumah sebelah rumah sebelah bersamaan dengan rumah arwah Tok Su. Makan soto.

Menjelang Zohor kami pun berangkat balik. Hajat di hati nak cover tidur yang terganggu di malam hari tapi tak dapat sebab sepupu 3 beradik datang beraya.

Dan seperti tahun-tahun sebelum ni juga saya banyak duduk di rumah tunggu tetamu datang dan beri peluang kepada adik beradik saya yang sudah berkeluarga pergi beraya. Semoga tahun hadapan ada kelainannya.

..::29 RAMADHAN::..

Alhamdulillah kita sudah sampai ke punghujung Ramadhan kali ini.

Seperti biasa keluarga saya yang ramai, bila berkumpul maka suasananya sangatlah meriah. Dan ini yang dinamakan kegembiraan ketika berbuka puasa.


Macam-macam ada


Makan makan dan makan. Berhenti solat. Kemudian sambung makan makan lagi. He he he

Lepas Isya' lepas dah dengar pengumuman raya maka aktiviti seterusnya bermula. Ketupat saya dah rebus di siang hari. Jadi tinggal buat kuah kacang, masak rendang, balut pulut dan masukkan biskut raya dalam balang. Tapi memandangkan angkatan tentera adalah ramai maka urusan boleh menjadi mudah dan lancar.

Sebagai orang Banjar yang masih mengekalkan tradisi, 'pulut pasung' adalah hidangan wajib di pagi raya.


"Walaupun mata saya sudah mengantuk tapi saya terpaksa menunjukkan contoh yang baik sebagai ketua keluarga"



"pulut yang telah ditanak diletakkan di atas daun pisang"



"Kemudian padatkan begini. Lihat jari jermari saya... lembut kannnn"



"Bila dah padat, gulung dan ikat di 3 bahagian seperti pocong"

"meh Ani 'kolong' abah"


Aktiviti menyediakan juadah hari raya diteruskan dengan aktiviti makan makan dan pot pet pot pet(lagi) bila Kak Mah sekeluarga sampai menjelang 1.00 pagi. Sebahagian orang lelaki mula menonton bola sepak di Astro. Budak-budak yang tak mahu tidur terus bermain. Orang yang nak tidur terpaksa bersabar.

Monday, May 18, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Hari Sabtu lepas saya pergi rumah Kak An. Tujuannya mahu hantar barang-barang Hafizudin. Kebetulan pula Kak An mahu keluar. Makan. Jadi saya ikut sajalah. Rezeki jangan ditolak katanya.

Perginya tidaklah jauh. Alamanda sahaja. Kerana saya sedang mencuba gajet baru (yang tidak baru), maka saya bertindak sebagai jurugambar. Walaupun amatur sahaja.



Kami pergi makan di JM Bariani House. Di bahagian luar Alamanda.



Saya makan mee bandung dan minum bandung cincau. Sangat sedap. 5 bintang penuh saya beri untuk kedua-dua menu itu. Eh, baru sedar kedua-dua menu yang saya pilih ada perkataan bandung. He he he.

Orang lain makan bariani ayam dan bariani kambing. Sedap juga. Acar buahnya sangat cantik. Sudahlah cantik, sedap pula rasanya. Tidak tipu.

Jadi, saya cadangkan datanglah mencuba makanan di JM Bariani House ini. Terdapat beberapa cawangan lain selain di Alamanda. Saya tak ingat di mana lagi tapi segala maklumat ada ditulis di belakang menu. Oh, saya tidak dapat apa-apa komisyen daripada iklan ini. :p

Dan. Seperti yang pernah saya katakan di dalam entry sebelum ini, aktiviti bersama keluarga adalah yang paling seronok. Walaupun ianya sangat ringkas.

Friday, May 08, 2009

..::TIADA YANG LEBIH INDAH::..

Tiada yang lebih indah melainkan dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga.

Wednesday, April 08, 2009

..::SIRI MAKAN-MAKAN: RESTORAN KRATHONG & DIN'S CAFE::..

Sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai blogger, saya kemas kini juga laman ini. Cerita yang santai saja. Aktiviti popular rakyat Malaysia. Makan-makan.

Hari Jumaat minggu lepas saya makan-makan dengan Mya dan Kak Tini. Saya pilih untuk makan di Restoran Krathong Maju Junction.



1. Gambar diambil menggunakan teknik pantulan cermin. Mudah kan. Tak perlu minta orang lain yang ambilkan gambar untuk kita.
2. Menu wajib jika makan di restoran berasaskan masakan Thai ialah kerabu. Kerabu mangga yang sedap tapi sangat pedas untuk lidah saya.
3. Jus nanas, jus apple dan teh 'o' ais limau jadi pilihan kami.
4. Kak Tini pesan pulut mangga. Pertama kali saya cuba. Agak ok lah.
5. Kak Tini juga pesan Green Curry Prawn. Mujur tak pedas. He he he..
6. Sepatutnya ada gambar tomyam ayam. Tapi telefon saya sudah nazak baterinya. Jadi tak dapat ambil gambar. Maka saya gantikan gambar sudu dan perempuan simpanan. Lagipun tujuan utama pejumpaan ialah sesi penyerahan perempuan simpanan itu.

Memang betul saya kelaparan hari itu. Apa yang dipesan, semuanya habis licin.


Hari Sabtu saya ke Semenyih. Pergi rumah kakak dan sambil tu buat lawatan tapak ke Tesco Pelangi Semenyih. Sudah penat buat lawatan, kami singgah makan di Din's Cafe.



1. Saya suka motto Cafe ini. "Where Friendly People Dine"
2. Saya minum carrot susu. Sirap bandung pula pilihan atam.
3. Nasi goreng cendawan yang best. Banyak lauk dan isi. Saya makan sampai licin juga.

Sesungguhnya aktiviti makan-makan bersama kawan-kawan dan keluarga adalah aktiviti yang cukup menggembirakan. Sehingga terlupa bahawa kita sedang berdiet.

Friday, January 23, 2009

..::MAGIS::..

Saya. Ada adik. Seorang.

Pada suatu hari. Adik saya meminta pertolongan. Belum pun dia menyatakan apakah jenis pertolongan itu, saya sudah tahu apa yang dia mahu.

Adakah adik anda juga begitu?
Dan anda juga begitu terhadap adik anda?

Saya. Ada adik. Seorang. Yang punya magis.

Oh, atau sebenarnya magis itu ada pada saya.

Tuesday, November 04, 2008

..::KEJUTAN YANG TERKEJUT::..

Sejak hari Sabtu, kakak saya ada di rumah. Tumpang tinggal 3 hari sementara suaminya pergi bertugas ke luar daerah.

Semalam. Seperti biasa saya pergi bekerja. Tinggal kakak saya di rumah. Itu memang pekerjaannya. Surirumah.

Tiba-tiba jam 12.30 tengahari, kakak saya telefon. Suara agak cemas. Hah! kenapa pula?

Rupa-rupanya gas memasak habis. Dan waktu itu dia sedang membakar kek. Yang pada asalnya konon-konon mahu dijadikan kejutan untuk saya. Bila balik dari pejabat.

Ha ha ha.. Apa-apalah dia tu. Cubaan pertama. Mahu dijadikan kejutan. Sudahnya dia yang terkejut. Cuba dikukus dalam periuk nasi pun tak berjaya. Mujur juga lepas saya balik, beli gas dan bakar semula kek, hasilnya masih gebu dan sedap walaupun tidak naik seperti kebiasaan. Mungkin berkat keikhlasan dan resepi yang hebat kek itu tak jadi merajuk.

Oh, ya saya silap. Tidak simpan nombor telefon pengedar gas memasak yang tinggal berhampiran rumah. Dan saya tak sangka gas itu mampu bertahan selama setahun 2 bulan walaupun saya rajin memasak. Ha ha ha

Monday, March 17, 2008

..::SEKILAS IKAN DI AIR SUDAH TAHU JANTAN BETINA?::..

Aku. Tunjuk gambar keluarga kepada seorang teman.

Dalam proses mengenali antara satu sama lain. Kononnya.

Wow! Ini keluarga P*S ke? Soalnya spontan.

Ha ha ha..

Wah! sejak bila fahaman politik boleh dilihat melalui gambar?

Dan

Aku syak

Gambar dan gaya kami sekeluarga tidak HADHARI...

Thursday, November 08, 2007

Aku dapat anak saudara lagi..

Yang ke 3 dalam tahun ni..

dan yang ke 31 dalam keluarga..

mungkin dua - tiga tahun lagi aku akan dapat cucu pula..

siapa tahu..