Showing posts with label fikir. Show all posts
Showing posts with label fikir. Show all posts

Thursday, February 23, 2012

..::RUMAH VS KEDIAMAN::..

Suami di Bangkok. Dalam proses mencari tempat tinggal untuk bulan-bulan akan datang. Bersama keluarga. Sekarang sendirian, masih menjadi penghuni hotel.

Suami diberi 2 pilihan. Mengikut kadar sewa yang telah dipersetujui oleh pihak syarikat.

Pilihan 1
Kondominium 2 bilik. Dapur berasingan. Fully furnished. Keluasan yang selesa (lebih kurang sama macam apartment 3 bilik di Balakong). Unit sekarang disewa oleh rakan sekerja dari India yang akan pindah ke rumah lain hujung bulan ini. 1 daripada bilik telah dijadikan bilik sembahyang. Kawasan bandar. 5 minit berjalan kaki ke pejabat.

Pilihan 2
Kondominium 1 bilik. Dapur terbuka. Fully furnished. Untuk keluarga kecil kami, keluasannya dianggap selesa. Unit baru. Dimiliki oleh rakan sekerja berbangsa Thai, beragama Islam dan boleh bertutur bahasa Kelantan. Kawasan penempatan eksklusif. Berhadapan dengan masjid. Perlu menaiki BTS untuk ke pejabat.

Suami tanya pendapat saya. Walaupun sebenarnya sudah tahu apa jawapannya.

Dan, sebagai seorang ibu yang sedang membesarkan anak, di bumi yang begitu asing, pasti anda juga membuat pilihan seperti saya.

Friday, January 13, 2012

.......

Dilema seorang saya

Wednesday, March 30, 2011

..::SEDETIK LEBIH::..

Ini gambar terbaru. Bukan senang nak ambil gambar sekeluarga. Itu pun cukup susah nak minta Muhammad pandang camera.

PerKEMBANGan yang jelas kelihatan. Alhamdulillah syukur dengan limpah dan kurniaNya.



Tadi saya ambil sedikit masa untuk baca blog isteri kawan adik saya. Memang tak dapat nak ditahan air mata. Terdetik di hati, entah bagaimana jalan pulang yang bakal kita lalui. Dan apakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

Hanya Allah yang tahu.

Friday, August 27, 2010

..::REZEKI YANG TELAH DITENTUKAN::..

Leganya rasa dapat minum air selepas air mineral yang dibeli dengan harga RM3.10 di Mc Donald KLIA untuk bekalan berbuka puasa di dalam kapalterbang telah dirampas oleh pakcik imigresen. Nyaris-nyaris juga tupperware berisi kuah durian terkantoi, namun Alhamdulillah bekas kurma menyelamatkan keadaan. Walaupun sebenarnya pakcik tu redha tak redha saja melepaskannya. Huk huk huk. Maka dengan tekak yang kering, berbuka puasa lah kami suami isteri dengan sebiji kurma di terminal sementara menunggu kapal terbang tiba. Kalau (saya cakap kalau) tahu lama juga nak tunggu di dalam sana dan air nak kena rampas, biar saja berbuka puasa dulu di luar, kemudian baru masuk. Tak la rasa ralat sangat bila air kena rampas sebab dah diminum, kan? Huk huk huk lagi.

Ok, tiba-tiba baru sedar entry ini tak ada pembukaan. Terus-terus saja dengan luahan perasaan yang saya pendam dari semalam.

Sebenarnya sekarang saya berada di Singapura. Ini kali kedua saya datang sini. Pertama kali memang dengan tujuan untuk berjalan-jalan dengan suami. Tapi kali ini saya ikut suami yang ada urusan di sini. Bulan puasa, ada cuti panjang pulak tu (walaupun KL tak cuti Nuzul Quran) mengapa harus saya lepaskan peluang untuk ikut sama. Jadi, di sinilah saya sekarang ini.

Sambung kembali luahan perasaan saya di atas, bila masuk dalam perut kapal terbang, kami berdua sudah berangan-angan mahu minum sepuasnya jus yang dihidangkan. Tapi.... hmmm ketua kabin yang bernama Shahir tu seakan-akan tak faham pula keadaan, walaupun sudah 2 kali saya panggil untuk minta air minuman. Asyik-asyik ditawarkannya air kepada encik cina dan encik mat saleh di hadapan kami saja. Suami dah mengomel tentang ketidak prihatinan cabin crew. Biasa lah orang lelaki kan.. Penyelamat dan pembela isteri.. he he he..

Jadi, sampai saja di Singapura dan selesai urusan daftar masuk di hotel kami keluar cari makan. Memandangkan jam sudah 10.30 malam dan cuma KFC saja yang masih beroperasi, maka itu sajalah pilihan kami. Dan feerrgghhh lega sungguh dapat minum air walaupun tak dapat makan nasi. Alhamdulillah, masih ada rezeki kami.

Oleh yang demikian, sempena hari Jumaat di bulan Ramadhan yang mulia ini mari kita muhasabah diri. Walaupun air mineral berharga RM3.10 di KLIA bukan rezeki saya dan suami, tapi kami masih ada bekalan kurma dan roti mighty white untuk dimakan. Dan, walaupun kami tak dapat air dalam kuantiti yang dikehendaki di dalam penerbangan, tapi masih juga disediakan jus sekadarnya dan lebih lagi kami mampu menaiki penerbangan MAS ke luar negara. Seterusnya kami berupaya untuk menikmati hidangan KFC di sini.

Lalu, bila direnung kembali jika dirasakan kami kurang bernasib baik kerana air mineral RM3.10, ramai lagi ummat yang lebih jauh kurang bernasib baik tanpa ada apa-apa sekali pun hanya berharap pada rezeki seadanya. Belum dikira mereka yang kebuluran dan terlibat dengan bencana alam di luar sana.

Jadi, marilah kita tunaikan zakat dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

;)

Tuesday, August 24, 2010

..::PARAM::..

Walaupun bercita-cita untuk melalui Ramadhan tanpa param, tapi kita hanya merancang dan Allah yang menentukan. Maka saya redha. Dapat sediakan kuih serba sedikit dan masak di hujung minggu pun sudah memadai.

Hari-hari bekerja suami akan beli lauk di param berhampiran UiTM Puncak Perdana. Bila suami yang beli, tentu ikut seleranya. Masak lemak cili api, sambal dan asam pedas pasti ada. Saya telan juga selagi tahap kepedasannya boleh dipertimbangkan. Kalau terlampau memang tak boleh bimbang nanti terbakar lagi jantung saya. Saya akan tambah-tambah lauk waktu sahur. Itu pun lauk mudah saja macam telur dadar, telur masin atau ikan masin. Lagipun itu pembangkit selera.

Apa yang saya nak cerita sebenarnya ialah mengenai sikap sesetengah peniaga lauk pauk di param. Hari Sabtu lepas kami ke param TTDI Jaya. Bila minta lauk RM2.00, peniaga terus cakap "2 ringgit sikit dik". Apakah dengan harapan kami akan bertukar fikiran dan minta RM5? Tidak. Kami memang mahu RM2.00. Bukan satu gerai begitu. Rupa-rupanya gerai seterusnya kami pergi pun keluarkan ayat yang sama.

Lalu dalam perjalanan pulang suami meluahkan pendapat. Apakah penanda aras yang digunakan oleh peniaga tu? Setakat cedok saja, mungkin jika kita minta RM1.00 atau RM3.00 pun, kuantitinya adalah sama. Lainlah kalau kita beli lauk yang boleh dikira kuantiti macam ikan, daging buku, sotong, udang atau ayam. Lauk yang kami beli tempohari ialah masak lemak cili api perut dan masak lemak cili api siput sedut. Ok saya tahu kedua-duanya adalah masak lemak. Abaikan saja.

Suami kata lagi, kenapa tidak digunakan sistem gram macam jual asam tu. Tetapkan sekian gram bersamaan dengan berapa ringgit. Mungkin itu lebih berpatutan. Ada benar juga. Tapi apakah peniaga mahu mempraktikkan sistem itu. Kadang-kadang mereka yang berniaga di bulan Ramadhan ni sekadar mahu mencari wang lebih saja, bukan peniaga yang sebenarnya.

Apa pun, tepuk dada tanya hati. Renung-renungkan.

Friday, July 23, 2010

..::BILA BESAR NANTI MAHU KERJA APA::..

Ini anak saudara saya yang ke 29. Umur 3 tahun lebih. Sangat bijak dan sangat petah bercakap. Bukan sahaja boleh bercakap dalam bahasa Melayu biasa, dia juga petah bercakap dalam loghat Pulau Pinang pekat. Dan jangan terkejut jika dengar dia bertutur dalam bahasa Banjar. Sangat petah. Geram pun ada.



Pada suatu hari kakak saya iaitu Umminya bertanya;

"bila besar nanti adik nak kerja apa?"

"Kerjaaa-samaaaaaa!!"

Heh!! Itu pengaruh tv yang baik atau tidak?

Thursday, July 08, 2010

..::APA KATA LELAKI::..

Bila kita tanya atau minta izin sesuatu dan jawapan yang diberi hanya "entah.. suka hati lah"

Jadi, apa maksud mereka yang sebenarnya?

Monday, May 31, 2010

..::MATI ADALAH PASTI.. HIDUP INSYA'ALLAH::..

Kita mulakan entry ini dengan bacaan Al-Fatihah. Dan sedekahkan kepada roh mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Saya sekeluarga masih dalam keadaan terkejut. Mungkin lebih-lebih lagi emak saya. Belum pun reda kesan kehilangan emak saudara awal tahun lalu, Jumaat lepas kami dikejutkan dengan satu lagi kehilangan. Adik bongsu emak iaitu Paksu Saufi pergi mengadap Pencipta.

Ketika berita di terima, saya berada nun jauh di selatan tanah air. Hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kata adik saya, jenazah akan disempurnakan di Sungai Buloh kemudian terus di bawa balik ke kampung untuk pengkebumian.


ini gambar yang diambil dari Facebook adik saya


Arwah pergi dalam usia yang muda. Meninggalkan seorang isteri serta anak-anak yang masih kecil. Yang mungkin belum mengerti apa-apa.


yang saya bulatkan tu ialah Arwah dan ahli keluarga. Gambar sewaktu majlis bertandang ke Negeri Sembilan. Kata sepupu saya, kenduri mana yang paksu tak pergi?


Merenung segala yang berlaku, ia adalah ketentuanNya. Allah berhak mengambil nyawa yang dipinjamkan pada bila-bila yang Dia mahu. Sebagai hamba yang masih diberi nikmat hidup di dunia, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk meningkatkan segala amalan dan bekalan untuk bertemu denganNya.

Al-Fatihah.

Wednesday, May 19, 2010

..::ALLAH BAYAR TUNAI::..

Kakak saya selalu pesan. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Tetapi, kunci pintu syurga bagi seorang isteri itu ada pada suami. Dan baru-baru ni pun saya ada berbual dengan seorang kawan yang selalu bagi nasihat dan hadiahkan saya buku best masa wedding dulu. Kawan saya kata wanita ni sangat mudah untuk masuk Syurga. Hanya dengan taat kepada suami (selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak lah kan). Taat itu subjektif tetapi ia wajib.

Saya mahu berkongsi sesuatu. Yang saya rasa ia balasan Allah kepada saya. Walaupun tidak lah sampai tahap derhaka, tetapi kerana merasakan Allah sayang kepada saya, jadi salah sedikit terus diberiNya balasan. Agar saya tidak terus lalai.

Sudah 2 hari suami hantar dan jemput saya pergi kerja. Kebetulan dia ada urusan di KL. Rutinnya, bila suami yang memandu sampai di rumah saya akan buka pintu pagar. Kalau saya yang memandu suami pula yang akan buka pintu pagar. Ya, pagar rumah kami bukan pagar automatik.

Semalam hari hujan. Lebat juga lah. Bila sampai rumah saya teragak-agak nak keluar lalu minta payung daripada suami. Tapi suami tukar mode gear kepada P dan minta kunci daripada saya. Ok ini tak patut. Lalu saya pun turun buka pagar. Masa nak tutup pagar kaki saya tersangkut. Sakit Allah saja yang tahu. Saya diamkan saja dan tahan sakit. Suami pun tak tahu kaki saya sangkut pagar.

Sebenarnya sebelum tu dalam perjalanan ada sedikit konflik bila suami tanya jalan mana nak lalu. KL ni bila hujan lebat tak boleh tidak mesti sesak. Dengan banjir kilat dengan itu dengan ini semua ada. Saya pula sebenarnya tak suka berada dalam situasi begitu. Sebab nanti bila jalan yang saya pilih tu sesak, saya rasa bersalah dan bila jalan yang dipilih orang lain tu yang sesak saya akan menyalahkan pula. Macam dulu pernah saya salahkan diri sendiri sepanjang perjalanan balik rumah bila entah kenapa pergi lalu depan Puduraya masa hujan lebat yang rupa-rupanya ada banjir kilat di situ.

Jadi bila suami tanya, saya jawab lebih kurang. Sesuatu yang sangat tidak baik. Dan terus lepas tu sepanjang perjalanan 33km senyap sunyi hanya bertemankan bunyi radio. Stress dan terus dihambat rasa bersalah. Mengantuk dan nak tidur pun terpaksa tahan. Pada tangan yang lain saya nak cuba salahkan hormon. Tapi itu lah perempuan selalu saja salahkan hormon bila berperangai emosi. Bila kaki tersangkut pagar dan lebam saya tak jadi nak salahkan hormon. Terbayang-bayang dosa derhaka dengan suami. Nanti Allah dan Malaikat laknat saya.

Entah lah. Ini apa yang saya cuba kongsi. Sesuatu yang ternyata salah pasti ada balasannya. Saya masih baru dalam alam rumahtangga. Tahun pertama hingga ke 5 tu selalu disebut-sebut sebagai tempoh berkenalan dan menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Perbanyakkan doa. Jaga tingkah laku dan sentiasa dekatkan diri dengan Pencipta. Ada banyak perkara yang patut disyukuri, jadi kenapa saya perlu meminta yang lebih.

Monday, May 10, 2010

..::SAYA DILANGGAR BAS::..

Tak rajin mahu cerita panjang.

Dan. Dipendekkan cerita, hari Jumaat lepas sedang kereta saya berhenti (dengan brek tangan ditarik) dalam kesesakan jalan raya di hadapan Bangunan Sinar Kota tiba-tiba sebuah bas persiaran yang berada di belakang telah melanggar kereta saya.

Bagai luruh jantung menyirap darah ke seluruh wajah dan membuak-buak perasaan marah. Elok saya mahu keluar daripada kereta, pemandu bas lebih dahulu datang dan hulur kad perniagaan minta saya telefon syarikatnya. Tapi sempat juga saya hamburkan kemarahan kenapa dia boleh langgar saya. Alasannya brek tangan tak kuat. Saya marah lagi kerana dia membontoti kereta saya terlalu rapat. Tanpa menjawab amarah saya, pemandu berkenaan terus masuk ke dalam bas.

Saya masih marah, masih mengeletar dan mula menangis. Hey itu tindak balas biasa. Telefon suami. Suami cakap kalau kereta boleh gerak, balik rumah dulu. Apa-apa hal selesaikan kemudian. Saya pun pandu kereta sambil menangis sambil terfikir-fikir apa jadi dengan kereta saya. Sebab saya tak pergi jenguk pun.

Tadi kata tak mahu cerita panjang kan. Sedangkan sekarang sudah 4 perenggan. He he he.

Sampai di rumah, suami buka pintu dan pergi tengok keadaan kereta. Saya masih di dalam kereta. Hati belum cukup tenang. Lepas tengok kereta, suami terus masuk rumah dan sambung tonton tv. Tindak balas suami buat saya rasa nak marah semula. Sabar kan hati dan keluar. Pergi jenguk belakang kereta. Dan masuk rumah.

Suami pandang dan saya sengih-sengih. Patutlah tindak balas biasa saja sebab kereta cuma calar di bumper dan kemik sedikit di bonet. Tidak lah luruh atau rongak bumper seperti yang saya bayangkan. Tak sangka kuat juga CLK saya sebab impak perlanggaran tu lampu bas berkenaan tercabut.

Cuma apa yang berlaku sebenarnya sering menjadi kebimbangan saya selama ini. Berulang alik dari rumah ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya dalam jarak yang begitu jauh. Melalui jalan-jalan yang dipenuhi kenderaan besar dan berat. Setiap kali ada bas atau lori besar berada di belakang kereta saya memang risau. Segala macam kemungkinan mula bermain dalam fikiran. Kadang-kadang kita sudah memandu dengan begitu berhemah dan berhati-hati tapi ada pihak lain pula yang cuai. Sesuatu yang di luar jangkaan kita.

Semuanya adalah qada' dan qadar Allah dan kita sebagai hambaNya wajib percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Monday, March 29, 2010

..::LUBANG::..

Kenapa stokin orang lelaki cepat benar berlubang di bahagian ibu jari?

Thursday, March 18, 2010

..::KEJADIAN::..

Saya agak sibuk kebelakangan ini. Blog tak dikemaskini. Surat peminat pun belum sempat dibalas. Tapi hari ni saya ambil juga sedikit kesempatan untuk berkongsi kisah. Kejadian yang berlaku hari ini.

Tadi sewaktu mahu turun beli makanan tengahari, saya terperangkap di dalam lif. Seorang diri selama hampir 1/2 jam. Bangga dengan diri sendiri kerana tidak panik. Cuma sedikit terkejut sewaktu lif bergegar tersangkut dan saya sedikit terhentak ke bahagian dinding lif.

Saya tekan loceng kecemasan. Berulang kali. Tapi tiada jawapan. Lalu saya telefon pegawai pentadbiran memaklumkan kejadian. Mohon dikhabarkan kepada pihak pengurusan bangunan. Lama juga menunggu. Saya telefon juga beberapa orang rakan pejabat yang lain sebagai makluman tambahan.

Tiba-tiba lif jadi gelap gelita. Pendingin hawa juga berhenti berfungsi. Bantuan belum kunjung tiba. Perut semakin lapar. Kaki sudah lenguh berdiri. Saya telefon pegawai pentadbiran sekali lagi. Saya duduk dan telefon kawan lain. Berpeluh ketiak. Sesak nafas semua ada. Alhamdulillah tak lama kemudian juruteknik datang buka pintu lif. Berkali-kali dia minta maaf. Syukur semuanya selamat.

Dalam kejadian berasingan (eh ayat macam berita) kawan sepejabat saya disamun pagi tadi dalam perjalanan dari rumah ke Stesen LRT Pandan Jaya. Penyamun mengacukan parang panjang sambil mengugut untuk mencederakan jika menjerit dan beg tangan tidak diserahkan.

Kerana bimbang keselamatan diri, kawan saya akur dengan kehendak penyamun. Tapi sempat juga dia merayu minta dipulangkan segala dokumen penting yang ada. Permintaan tidak diendahkan sebaliknya diugut lagi jika kawan saya berganjak dari tempat berdiri kerana penyamun mahu melarikan diri.

Walaupun terkilan segala dokumen penting lesap, dan segala kunci yang ada pun lebuh, namun syukur kerana diri tidak dicederakan. Barang boleh dicari namun nyawa tiada galang gantinya.

Jadi kepada sesiapa yang sering berjalan kaki di kawasan sunyi seawal pagi ke stesen LRT, Komuter atau apa saja pengangkutan awam berhati-hatilah. Mungkin gerak geri kita sudah lama diperhatikan. Cuma masa dan ketika saja yang menentukan bila penyamun mahu bertindak.

Tuesday, March 09, 2010

..::KERANA BOMOH MARUAH TERGADAI::..

Sejak akhir-akhir ni kalau baca surat khabar, macam-macam cerita ada. Kisah buang anak tak pernah putus. Sekarang timbul pula kisah dera anak. Ditambah lagi dengan anak-anak remaja yang merompak dan memukul nenek. Lain-lain kisah yang tak pernah putus ialah tentang mangsa cabul bomoh.

Pagi ni muka depan Metro cerita tentang perempuan yang rela dicabul bomoh dan kemuncaknya sanggup meminta cerai daripada suaminya. Semua bermula apabila beliau pergi berjumpa bomoh kerana mahu meminta pelaris dek kerana restoran yang diusahakan mengalami masalah. Jika dikira, dari awal lagi ia sudah terpesong. Kenapa lah mahu meminta pelaris. Sedangkan rezeki semuanya datang daripada Allah. Hmmm entahlah.

Berbalik kepada kisah tadi, katanya bomoh beri air jampi dan selepas meminum dia seolah-olah dipukau. Ikut saja apa kata bomoh. Tanggalkan baju dan diurut seluruh badan kerana mahu menjarakkan kandungan pun diikutkan saja. Entah apa kaitannya. Bukankah tujuan asal berjumpa bomoh kerana mahu pelaris?? Tiba-tiba timbul pula kisah jarakkan kandungan. Haiiih.

Berbicara dengan seorang teman, kata beliau sebenarnya bomoh ni bukan bagi air jampi pun. Tapi kebanyakan bomoh memang pandai bercakap. Sehingga apa yang dicakapkan bomoh dipercayai oleh pelanggan. Ini semua didorong oleh keinginan yang menebal sehingga ia mampu mengatasi kewarasan. Malah beliau sendiri pernah hampir-hampir terjerat oleh pihak yang memang pandai memanipulasi orang hanya dengan menggunakan kata-kata.

Jika dipandang dari sudut yang lebih luas terasa hairan juga kerana ramai yang masih percaya dengan bomoh. Sedangkan bukan sekali dua kita dikhabarkan dengan kisah bomoh yang menjalankan kaedah rawatan yang pelik. Peliklah kan kalau bomoh lelaki merawat pesakit wanita dengan meraba dan sebagainya. Tapi berbalik kepada point yang dinyatakan, ini semua didorong oleh keinginan sehingga mengatasi kewarasan.

Sememangnya manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Terlupa juga untuk bersyukur dengan rezeki yang telah Allah beri. Lalu apabila kita lupa dan jauh daripada Allah dan rahmatNya, apa yang dekat dengan kita ialah Syaitan. Wallahu'alam.

Thursday, March 04, 2010

..::MUDAH::..

Ini pasal mudah.my alaaaaa laman web yang kita boleh iklankan macam-macam tu.

Saya memang selalu berurusan dengan mudah. Sama ada saya beli barang melalui mudah atau pun jual barang melalui mudah.

Semalam saya muat naik 3 iklan. 1 iklan seluar dan 2 iklan kasut. Pagi ni saya dapat respon. Melalui iklan kasut yang saya letak.

Tapi ia sangat mengelirukan. Sila klik gambar untuk paparan lebih jelas.



Apa tidaknya. Tiba-tiba saya ditawarkan pekerjaan sebagai jurutaip. Ya, sesuatu yang sememangnya kepakaran saya. Menaip. Entah tawaran betul atau tidak. Saya tak kisah pun. Kerjaya sekarang sudah cukup terjamin buat saya. Tak gelap mata pun dengan nilai gaji yang ditawarkan.

Cuma. Apa kaitan kasut tumit tinggi saiz 3 dengan pekerjaan jurutaip??

Monday, March 01, 2010

..::LAGU::..

Saya menyanyi untuk Linda supaya dia tenang dan tidak rasa tertekan. Sebaik mendengar tangisan Ratu, saya sangat gembira dan bersyukur.


Eeeerrr... Bukankah sebaik-baiknya ayat-ayat Al-Quran yang dilagukan?

Cerita lanjut baca di sini

Wednesday, January 27, 2010

Kalau jatuh : Antara sakit dan malu yang mana lagi perit untuk ditanggung?

Tuesday, January 12, 2010

..::CANTIK ITU SUBJEKTIF::..

Cantik itu subjektif. Ada orang perasan dirinya cantik. Tapi orang lain pandang, biasa-biasa saja. Ada pula orang yang rasa dirinya biasa-biasa saja. Tapi pandangan orang lain, sebaliknya pula.

Walau apa pun tafsiran kita tentang kecantikan, yang paling penting ialah kesihatan yang baik. Bila tubuh badan sihat, secara semulajadi ia akan terpamer ke wajah.

Jadi, saya mahu berkongsi tip-tip kesihatan dan kecantikan untuk wanita 30-an yang diperolehi dari akhbar berbahasa melayu nombor satu di Malaysia.

1 Kawal pemakanan
Proses penuaan dapat dilambatkan jika kita mengamalkan pemakanan yang seimbang. Banyakkan makanan berserat tinggi, sayur dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak, minuman yang mengandungi banyak kafien, minuman ringan dan makanan ringan

2 Guna pelembap yang sesuai
Apabila umur kita menjangkau 30-an, keanjalan dan kelembapan kulit semakin kurang. Oleh itu penggunaan krim pelembap sangat diperlukan. Carilah pelembap yang sesuai dengan kulit muka masing-masing. Haruslah diingatkan yang krim muka jenama popular dan mahal tidak semestinya sesuai dengan jenis kulit kita - ya beli SKII ribu-ribu hujung-hujung tak sesuai dengan kulit tak ke namanya membazir? Baik pakai saja johnson & Johnson kalau itu yang paling sesuai

3 Cuba elakkan dari pancaran cahaya matahari
Jangan biarkan muka anda banyak terdedah kepada cahaya matahari di dalam jangkamasa yang panjang. Pendedahan yang lama bukan saja dapat menggelapkan kulit, ianya juga dapat mengurangkan kelembapan kulit yang membawa kepada kekeringan

4 Sentiasa bersenam
Bersenam mampu meningkatkan keupayaan dan kesihatan. pastikan kita melakukan senaman ringan setiap hari selepas bangun tidur. Dan kalau ada masa, lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu

5 Minum banyak air
Kekeringan dan gejala penuaan boleh diperlambatkan dengan meminum banyak air. Ini kerana air adalah aset penting untuk kesihatan tubuh badan terutamanya kulit muka. Kekurangan jumlah air dalam badan boleh menyebabkan kita mudah diserang pelbagai penyakit. Selain itu, air penting untuk proses penghadaman dan penyingkiran toksin dalam tubuh badan

6 Makanan tambahan
Pengambilan vitamin adalah amat digalakkan utnuk wanita 30-an. Kesibukan dengan tugasan di pejabat dan di rumah menyebabkan kebanyakkan wanita jarang mengamalkan pemakanan seimbang. Jadi pengambilan vitamin dapat membantu menyelesaikannya

7 Elakkan bermekap tebal
Wanita 30-an seelok-eloknya menggunakan mekap yang nipis dan sederhana. Cuba elakkan dari menggunakan foundation yang tebal serta lipstik yang merah menyala. Ianya akan membuatkan wanita ini nampak lebih tua dan garang

8 Positif, ceria dan selalu bersama yang tersayang
Wanita 30-an mestilah mengamalkan sikap positif, sentiasa ceria dan selalu bersama yang tersayang. Kehadiran orang-orang tersayang di sekeliling dapat membantu wanita membina keyakinan diri dan menghilangkan stress

Jadi kepada diri sendiri dan kawan-kawan seuisia renung-renungkan tips ini. Masih belum terlewat untuk kita sama-sama mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan berkualiti.

Wednesday, October 28, 2009

..::MEMAAFKAN::..

Kadang-kadang..

Memaafkan orang lain lebih mudah

daripada memaafkan diri sendiri..

Wednesday, October 21, 2009

..::RAMBUT::..

Baru-baru ni saya berbual dengan sekumpulan rakan sekerja.

Seorang rakan mengadu sejak akhir-akhir ni rambutnya gugur lebih banyak daripada biasa. Masing-masing menyuarakan pendapat. Punca berlakunya perkara sedemikian. Ada yang kata kerana tekanan. Yang lain kata faktor pemakanan jadi penyebab. Ada juga yang kata dia banyak berfikir. Saya juga pernah terbaca dalam akhbar menyatakan bahawa kerap memakai kasut bertumit tinggi juga boleh menjadi faktor penyumbang kepada keguguran rambut.

"rambut banyak gugur sebab pakai tudung" Tiba-tiba seseorang menyampuk dengan wajah tiada perasaan tetapi cukup yakin dengan pernyataannya itu.

PAANNNGGG!!!

Oh, saya tak la tampar dia. Tapi kata-katanya itu membuatkan mulut saya laju saja membalas sehingga orang lain di sekeliling tersengih-sengih.

Saya, tidaklah memandang serong kepada mereka yang tidak bertudung tetapi tolonglah berfikir dahulu sebelum memgeluarkan pendapat. Tambahan pula ia berkaitan dengan hukum Allah.

Ini pesan kakak untuk adik-adik ya. Jangan hanya bercakap ikut sedap mulut sahaja.

Friday, September 04, 2009

..::FIKIR::..

Kadang-kadang.

Saya rasa sel-sel di dalam otak saya berkelip-kelip dan bercambah seperti kanak-kanak di dalam iklan susu di televisyen.

Macam-macam perkara berlegar-legar di fikiran.

Dan. Saya dituduh terlalu banyak berfikir. Sebab tu saya sakit kepala.

Tapi. Saya tetap rasa itu adalah normal apabila kita memikirkan perkara yang berkaitan dengan diri kita.