Wednesday, April 08, 2009

..::SIRI MAKAN-MAKAN: RESTORAN KRATHONG & DIN'S CAFE::..

Sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai blogger, saya kemas kini juga laman ini. Cerita yang santai saja. Aktiviti popular rakyat Malaysia. Makan-makan.

Hari Jumaat minggu lepas saya makan-makan dengan Mya dan Kak Tini. Saya pilih untuk makan di Restoran Krathong Maju Junction.



1. Gambar diambil menggunakan teknik pantulan cermin. Mudah kan. Tak perlu minta orang lain yang ambilkan gambar untuk kita.
2. Menu wajib jika makan di restoran berasaskan masakan Thai ialah kerabu. Kerabu mangga yang sedap tapi sangat pedas untuk lidah saya.
3. Jus nanas, jus apple dan teh 'o' ais limau jadi pilihan kami.
4. Kak Tini pesan pulut mangga. Pertama kali saya cuba. Agak ok lah.
5. Kak Tini juga pesan Green Curry Prawn. Mujur tak pedas. He he he..
6. Sepatutnya ada gambar tomyam ayam. Tapi telefon saya sudah nazak baterinya. Jadi tak dapat ambil gambar. Maka saya gantikan gambar sudu dan perempuan simpanan. Lagipun tujuan utama pejumpaan ialah sesi penyerahan perempuan simpanan itu.

Memang betul saya kelaparan hari itu. Apa yang dipesan, semuanya habis licin.


Hari Sabtu saya ke Semenyih. Pergi rumah kakak dan sambil tu buat lawatan tapak ke Tesco Pelangi Semenyih. Sudah penat buat lawatan, kami singgah makan di Din's Cafe.



1. Saya suka motto Cafe ini. "Where Friendly People Dine"
2. Saya minum carrot susu. Sirap bandung pula pilihan atam.
3. Nasi goreng cendawan yang best. Banyak lauk dan isi. Saya makan sampai licin juga.

Sesungguhnya aktiviti makan-makan bersama kawan-kawan dan keluarga adalah aktiviti yang cukup menggembirakan. Sehingga terlupa bahawa kita sedang berdiet.

Tuesday, April 07, 2009

..::LANGIT MENDUNG, MENTARI MALU-MALU MENYAPA SINARNYA::..

1. Perempuan ni sangat mudah dijangka. Tak perlu diberitahu, orang di negeri lain pun boleh agak apa yang mengganggu emosinya.

2. Hujung minggu lepas saya pergi menonton wayang. Filem Confessions of a Shopaholic. Saya cukup terhibur. Berkali-kali saya terpaksa meminta maaf kepada teman di sebelah kerana ketawa saya yang keterlaluan. Saya bercadang mahu menonton filem itu sekali lagi. Tanpa gangguan tangisan anak kecil yang minta disusukan. Oh, bukan anak saya. Anak orang lain. Kadang-kadang saya kurang faham dengan ibu bapa yang bawa anak kecil bersama untuk menonton filem yang mereka mahukan.

3. Filem itu sungguh memberi kesan kepada saya. Tapi tidak pasti untuk jangka masa berapa lama. Namun, setakat selepas menonton wayang dan berjalan-jalan di dalam Ikea, ia boleh dikatakan sedikit-sebanyak berjaya mengawal nafsu saya. Sila tanya diri sendiri perlu atau tidak barangan berkenaan.

4. Oh, saya agak sedih. Kasut putih yang baru sekali saya pakai itu sudah tercemar. Ada kesan warna biru pada bucklenya. Kesan yang diperolehi daripada beg dobi yang saya letak dalam bonet bersama-sama dengan kasut. Saya sudah cuba cuci tetapi tak mahu hilang. Saya sudah kehabisan idea.

5. Saya ada 2 laporan yang belum disiapkan. Penyakit saya sangat kronik. Saya perlu muhasabah diri. Dan memohon ampun daripadaNya. Saya hambaMu yang lemah.

6. Sesungguhnya tajuk di atas tiada kaitan langsung dengan isi kandungan entry ini.

Monday, April 06, 2009

Surat terbuka kepada peminat kipas susah mati yang berani menyalin memotong menampal entry saya dan kawan saya tetapi tidak pula berani mahu mengakui perbuatan keji itu.



Kerana perbuatan sudah terbongkar maka jalan mudah untuk pengecut melarikan diri ialah dengan menutup blog atau bertukar kepada blog yang baru dan kemudian memulakan kembali aktiviti menyalin memotong menampal entry orang lain ke dalam blog sendiri. Lalu menamakan ia "A Picture of Me". Picture sangatlah kan?

Ok. Cukup setakat ini. Kepada peminat kipas susah mati yang berani memotong menampal entry saya dan kawan saya tetapi tidak pula berani mahu mengakui perbuatan keji itu, satu saja pesanan saya: kalau itu sikap kamu, percayalah kamu tak akan dapat pergi jauh.
..::KU SANGKA PANAS HINGGA KE PETANG::..

Hidup ini ibarat perlumbaan.

Mesti bermula pada masa yang betul.

Jika tidak, pasti akan jadi macam GP Malaysia Petronas 2009.

Friday, April 03, 2009

Pada petang Jumaat yang hujan lebat dan jalan sesak lalu hanya selepas 2 jam baru saya tiba di rumah.

Di kiri saya kereta Honda City baru. Di kanan saya pula Mitsubishi Lancer. Juga baru. Saya keasyikan sehingga kereta tersengguk dan enjin terhenti. Lupa. Saya memandu kereta manual.

Sambil itu, entah kenapa sejak OIM minggu lalu mulut saya tidak henti-henti menyanyi.

..Andai ada ruang di hati mu. Ingin ku menjadi kekasih mu..

Saya bukan peminat Syafinaz. Saya juga bukan peminat Tomok.

Tetapi, nyanyiannya minggu lalu sentiasa berlegar-legar di dalam minda.

Hmmm...

..pandangan pertama.. dan senyuman mu yang penuh kemesraan..
Pada hari saya terlewat dan lif pula tidak mahu berhenti di tingkat 11 lalu saya memandu ke pejabat bagai ribut.


Dan. Saya penat.

Thursday, April 02, 2009

..::HALANGAN::..

Agaknya mungkin ini adalah salah satu daripada caranya.



Mungkin saya boleh cuba untuk melupakan sahaja perkara ini. Atau setidak-tidaknya pedulikan apa saja yang mahu dilakukan olehnya.

Kata teman saya, setiap perbuatan pasti ada pembalasannya.

Wednesday, April 01, 2009

..::BUKAN KEPERCAYAAN::..

Sesuatu berkaitan saya.

Stop waiting for someone else to make a move when the spotlight is on you. Love relationship will flourish. Expand your mind, your philosophy and your awareness of other cultures

Sumber : Malay Mail
Akan datang menemui anda April ini.

Tapi stok saya sudah habis ditempah.



Jadi, jika mahu anda boleh hubungi penulis lain yang sama-sama berkolaborasi dengan saya.


Wani - http://www.waniardy.com
Ili Syazwani - http://ilisyazwani.blogspot.com
Alina Abdullah - http://alinaabdullah.wordpress.com
Wahida - http://pergimainjauhjauh.blogspot.com
Daun - http://cikdaun.blogspot.com
Jebon - http://jebonisme.blogspot.com
Dila Raden - http://profanitikarut.blogspot.com
Mimi Halim - http://hanahanafleur.blogspot.com
Azie - http://miszazie.blogspot.com

Sokonglah barangan buatan Malaysia!!
..::PEREMPUAN SIMPANAN : SEDIA MENDAMPINGI ANDA::..

Yey!! Perempuan Simpanan bersama nombor siri sudah ada di tangan saya. Dan. Ia juga sudah sedia untuk diedarkan.

Kepada mereka yang menempah dengan saya, sila semak status anda.

Yang sudah bayar dan akan dapat buku dulu
1. Basrie
2. Zoolx Zack
3. Zoolx Zack ii
4. Mya
5. Haidatul
6. Amyz
7. Angel_baik
8. Adieyka
9. Syazriana
10. Haja_edmond
11. Norhafiza
12. Julia
13. Masni_Azian
14. Tasik Merah
15. Asuhara ii
16. Nett
17. Ayob Kelubi

18. Amilah (277)
19. Amilah ii (278)
20. Liya (280)
21. Aku (279)

Yang belum bayar tapi nak buku
1. Ierra Ismail (285)
2. Diela (287)

COD
1. Asuhara
2. Mariah (275)
3. Imie
4. Kak Tinie
..::ANGAN-ANGAN ITU TAK PERLU BAYARAN:
SEPERTI BINTANG
::..




Kredit gambar dari album Rohayat di Facebook

Tuesday, March 31, 2009

..::PERATURAN HIDUP : AMBIL KESEMPATAN::..

Manusia. Suka benar ambil kesempatan. Tak kira sama ada perkara baik atau pun tidak.

Semalam. Hari terakhir sambutan Hari Kraf Kebangsaan. Saya ke Kompleks Kraf. Lagi. Oh, saya bukan mahu bercerita tentang apa yang saya beli atau berapa RM yang saya habiskan di sana. Nanti boleh mengundang fitnah. Maka, apa yang saya katakan di dalam Majalah Nur keluaran April tentu saja sudah tidak relevan. Sebaliknya, saya mahu bercerita tentang sikap sesetengah peniaga.

Biasa kita dengar pada hari terakhir sesuatu pesta jualan, peniaga mengambil kesempatan menurunkan harga. Mahu menghabiskan baki stok yang ada. Pembeli juga dilihat lebih gemar datang pada waktu begini. Beli secara borong. Mengambil kesempatan untuk tawar menawar mengikut harga yang diinginkan. Jika bernasib baik, memang boleh dapat harga yang murah.

Namun, ada juga segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga pada waktu begini. Jangan tidak percaya. Sewaktu saya ke Kompleks Kraf minggu lepas, saya sudah membuat tinjauan harga baju yang mahu dibeli di beberapa buah gerai. Ada sebuah gerai yang menawarkan harga lebih murah berbanding gerai-gerai yang lain. Corak dan potongan baju juga sangat menarik. Walau bagaimanapun, saya tidak membeli pada waktu itu.

Semalam saya kembali semula ke gerai berkenaan. Agak terkejut kerana harganya sudah naik sekitar RM20.00. Katanya boleh kurang lagi. Tetapi tentu saja cuma boleh dikurangkan sekitar RM5 - RM10.00. Dan, pastinya harga baju berkenaan lebih mahal daripada harga yang ditawarkan sebelum ini. Bagi yang tidak mengetahui, pasti boleh terpedaya dengan helah yang digunakan. Kerana mahu mengambil kesempatan dengan harga murah di saat akhir, ada pula pihak mengambil kesempatan terhadap pembeli.

Dan. Sudah menjadi lumrah. Manusia. Suka benar mengambil kesempatan. Tak kira sama ada perkara baik atau pun tidak.

Monday, March 30, 2009

..::PERATURAN HIDUP::..

Punya bergulung-gulung ijazah. Sehingga ke peringkat tertinggi sekalipun.

Itu bukan jaminan. Kamu bijak berurusan dengan makhluk. Yang bernama manusia.

Friday, March 27, 2009

..::TENTANG BLOG::..

1)Apakah nama blog anda sekarang dan kenapa anda memilih nama itu?

Putaran Hidup

Hidup kita ni sentiasa berputar seperti bumi yang berputar pada paksinya. Ada turun naik dan ada pasang surutnya. Perjalanan kita mengharungi putaran hari dalam hidup adalah sesuatu yang menarik untuk dinikmati.


2)Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?

http://madulebah.blogspot.com

Idea ni timbul tiba-tiba saja. Kebetulan nama saya bermula dengan perkataan Hani. Diubah kepada ejaan Inggeris menjadi honey yang memberi maksud madu. Dan. Madu tentunya sangat sinonim dengan lebah.


3)Apakah 'method' penulisan dalam blog anda?

Kaedahnya tentu saja menaip menggunakan papan kekunci dengan kemahiran menaip tahap tinggi yang saya miliki. Ha ha ha.

Saya akan menulis sesuatu yang saya rasa mahu dikongsi bersama pembaca. Tentang semua perkara.


4)Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Sebabnya?

Pernah juga kerana saya rasa hidup saya sudah tiada privacy. Dan saya juga pernah cipta satu lagi blog yang tersembunyi. Namun, kerana saya begitu menyukai jaringan yang tercipta di antara pembaca dan penulis blog, akhirnya saya masih kekal di sini.

5)Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?

MYA yang tag saya. Saya kenal Mya ni dah lama. Dari zaman remaja bodoh-bodoh alang sehingga lah ke alam dewasa.

Blog Mya mengisahkan tentang kehidupannya sehari-harian. Kadang-kadang Mya akan selit-selit juga kata-kata atau panduan yang dia dapat dari email atau blog lain yang dia baca. Saya suka baca bukan kerana dia adalah kawan konsisten saya, tetapi kerana cara penceritaannya.


6)Senaraikan 5 orang yang akan anda tag.

Seperti biasa saya malas mahu tag orang lain. Tapi sesiapa yang rasa mahu buat tag ini, dipersilakan.

Thursday, March 26, 2009

..::CONFESSION OF A SHOPAHOLIC II::..

Saya sangat suka membeli belah.

Jadi, TOLONG jangan minta saya untuk 'tengok-tengokkan' harga barangan yang kamu mahu. Kerana akibatnya mungkin saya yang akan TERbeli barang.

Dan. Di Kompleks Kraf semalam, saya TERbeli batik ini.



Corak ringkas tapi menawan. Harga pun berpatutan. Lalu saya sambar saja. Walaupun di rumah masih ada 3 pasang yang belum dihantar jahit.

Kerana saya sangat suka membeli belah. Maka, tolong jangan minta saya 'tengok-tengokkan' harga barang yang kamu mahu.

Wednesday, March 25, 2009

..::KU TANAM PINANG RAPAT-RAPAT AGAR PUYUH TAK DAPAT BERLARI::..


Kelmarin. Saya dihubungi lelaki botak yang tinggal di Selatan. Mahu minta tolong sesuatu jika saya ke Kompleks Kraf.

"U dah tengokkan sangkar burung I?" Dia.

"Dah. Yang kecil tu kan?" Soal saya minta kepastian.

"A'ah".

Kalau tak salah saya inilah sangkar yang dimaksudkan oleh lelaki botak itu. Katanya kepada saya kelmarin, burung ada tapi tak bersangkar.

Huh!?



Jadi, betul ke ini yang U nak?
..::MIMPI-INDAH::..

Semalam. Saya berSMS dengan seorang kawan.

Dalam SMS terakhir yang saya terima entah jam berapa itu, dia mengucapkan semoga saya memperoleh mimpi yang indah.

Huh!? Mimpi indah sangatlah.

Sehinggakan jam 6.30 pagi baru saya terjaga daripada tidur.

Tuesday, March 24, 2009

..::TREND::..

Seperti kata Nett, ini trend masa kini. Ada entry yang punya kata laluan.



Tapi, seperti kebiasaan selalu disebut-sebut kebanyakan orang.

"Blog aku, suka hati aku lah!"
..::CONFESSION OF A SHOPAHOLIC::..

Ok. Bila saya kata sudah insaf dan tidak mahu lagi membeli-belah, maknanya saya tipu. Tapi ia cuma tentang diri saya. Tiada kaitan dengan orang lain. Dan saya cuma menipu diri sendiri.

Saya sangat suka membeli belah. Aktiviti ini cuma akan berjaya jika disokong oleh sumber kewangan yang baik. Suka membeli belah tapi tak ada duit, tak guna. Ada duit, tapi terhalang untuk membeli belah pun, tak guna juga. Ha ha ha. Jadi, biarlah ia seimbang. Barulah itu dinamakan kehidupan.

Baru-baru ni saya berjalan-jalan di Mid Valley. Sebenarnya mahu tonton wayang saja. Atau mungkin ada sedikit perasaan mahu cari kasut. Sedikit saja. Sebab perasaan yang banyak ialah saya bercadang mahu tempah saja mengikut saiz kaki saya. Cuma sudah ditakdirkan begitu, Vincci ada apa yang saya mahu. Kredit untuk Ika sebab tolong pilih kasut-kasut ini.



Kasut-kasut di Vincci tidaklah mahal jadi tidak menjadi masalah untuk beli 2 pasang serentak. Malah ia adalah setara dengan harga sepasang kasut yang ditempah. Maka, buat masa ini saya sangat berpuas hati. Cuma, suatu hari nanti saya tetap mahu pakai kasut yang ditempah khas mengikut keinginan dan saiz kaki saya.

Sebagai seorang yang gemar membeli belah, saya mahu cari beg tangan warna hitam dan beg tangan warna coklat/cream serta sepasang kasut hijau pula untuk dipadankan dengan koleksi saya. Ya, kasut dan beg tangan mesti sedondon.

Friday, March 20, 2009

..::COMEL::..

Ini hidangan yang saya ambil untuk makan tengahari.



Secara jujur. Walaupun ianya bersaiz kecil, tapi cukup mengenyangkan saya.

Sila percaya bahawa saya sedang berdiet.
..::SPEKU::..

Jangan salah sangka.

Saya tak simpan anak ikan.

Tapi, itu anak menakan.

Faham?

Thursday, March 19, 2009

..::PHONE BOOK::..

Dalam phone book orang lelaki, mesti banyak nombor perempuan.

Dan. Dalam phone book orang perempuan, banyak juga nombor lelaki.

Fakta atau auta?

Ha ha ha.

Wednesday, March 18, 2009

..::CUACA YANG SEJUK MEMBUATKAN OTAK SAYA BEKU SEPERTI AIS::..


Saya mahu kemaskini blog. Ada banyak perkara yang saya rasa ingin dikongsi dengan pembaca. Tetapi saya tidak tahu dari mana mahu bermula. Lalu saya cuma melompat dari satu blog ke satu blog yang lain. Membaca catatan mereka.

Kerana saya begitu mahu kemaskini blog, lalu saya sambut tag yang Daun buat. Walaupun dia tidak mahu tag sesiapa. Dan Cik Daun telah ditag oleh Dila sebenarnya.

Ia berkenaan dengan 6.

Instruction:Go to your photos folder in your computer. Go to the 6th folder of photos. Go to the 6th picture in that folder. Put the picture on your blog and a description of it. Invite six friends to join the challenge. Link them in your blog and let them know they have been challenged!



Hujung Februari lalu saya pergi mengikuti rombongan ke perkampungan orang asli di Johor selama 4 hari 3 malam. Tapi ini bukan gambar orang asli. Sebaliknya beliau ialah salah seorang peserta. Kebetulan folder gambar-gambar program di kedudukan ke 6 dan gambar jejaka ini pula dalam susunan ke 6.

Ada beberapa sebab kenapa gambar jejaka ini dirakam. Dan apa juga telahan anda, mungkin ia adalah benar. Ha ha ha.

Jadi, saya mahu tag Marliza, Mya dan Paiseh. 3 orang cukup lah.

Tuesday, March 17, 2009

..::PERAK::..

Saya ada seorang kawan. Dia berasal dari Perak.

Pada suatu hari dia berpesan kepada saya agar tidak mencari suami yang berasal dari Perak juga.

Saya jadi keliru kerana setahu saya suaminya juga berasal dari Perak.

Apakah?

Monday, March 16, 2009

..::2 LAUK UNTUK PEREMPUAN SIMPANAN::..




Poster ini sangat cantik. Saya suka. Taglinenya juga sangat catchy. Dan jika poster ini ada dalam bentuk bercetak, saya mahu memilikinya dan tampal di dinding ruang tamu yang masih kosong.

Dalam masa yang sama, saya rasa takut dan ngeri. Melihat nama saya berada sebaris (walaupun di kedudukan paling bawah) dengan nama-nama hebat dalam bidang penulisan. Saya sangat kerdil.

Wahai kawan-kawan sekalian, marilah beri sokongan moral kepada kami. Dan kepada saya, khususnya.

Sayang kamu semua!!
..::PEREMPUAN SIMPANAN : Senarai penempah::..

Stok saya benar-benar sudah habis. Sehinggakan saya sendiri tidak mempunyai salinan. Cuainya saya.

Dan berikut adalah senarai mereka yang telah membuat tempahan perempuan simpanan dengan saya. Sila semak. Jika anda sudah berurusniaga dengan 'ibu ayam' lain, sila maklumkan saya.


1. Basrie
2. Zack x 2 (Sudah bayar)
3. Tasik Merah
4. Jajazuzu *
5. Amyz (Sudah bayar)
6. Mya (Sudah bayar)
7. Nett
8. Adieyka (Sudah bayar)
9. Haidatul (Sudah bayar)
10. Haja_edmond (Sudah bayar)
11. Asuhara *
12. Syazriana (Sudah bayar)
13. Angel_baik (Sudah bayar)
14. Mariah
15. Ayob Kelubi
16. Norhafiza (Sudah bayar)
17. Amilah x 2
18. Aku *
19. @liya *
20. Masni-Azian

Yang bertanda * sila emailkan alamat ya.

Dan. Untuk pengetahuan semua, InsyaAllah tempahan akan mula diedarkan menjelang minggu minggu pertama bulan April. Sabar ya.

Friday, March 13, 2009

..::MALANG ITU TIDAK BERBAU KENTUT::..

Semalam. Pagi. Dalam perjalanan ke pejabat. Di Lebuhraya Besraya. Lebih kurang 1km sebelum menghampiri plaza tol. Jalan agak basah kerana hujan di subuh hari. Dengan kelajuan 80km/jam. Saya mengekori kenderaan hadapan dalam jarak yang selamat. Kereta di belakang saya juga begitu.

Tiba-tiba deretan kenderaan di hadapan seakan-akan berhenti. Saya mula memijak break. Kecemasan. Sambil menukar kepada gear rendah. Jantung bagaikan mahu meletup. Kaki dan tangan sudah tidak terasa cengkaman. Kereta saya terhenti betul-betul lebih kurang satu hasta daripada kereta hadapan. Kereta di belakang saya pula berhenti sedikit ke kiri. Cuba mengelak.

Lutut sudah menggigil. Saya mengurut dada tanda lega. Mujur kereta tidak berlanggar. Dan sebetulnya, mujur juga saya memandu kereta manual. Kerana rupa-rupanya enjin kereta saya sudah terhenti. Fuh!! Saya nyaris-nyaris kemalangan.

Ya, malang itu tidak berbau. Dua buah kereta di hadapan saya cuma menghidu bau malang apabila kereta mereka bercium sesama sendiri.

Jadi, pastikan anda mengekori kenderaan hadapan dalam jarak yang selamat.

Selamat memandu. Selamat bercuti. Dan selamat berhujung minggu.

Thursday, March 12, 2009

..::BAHASA::..

Sudah dua hari saya membaca dan menyunting kertas kerja yang ditulis oleh boss saya. Dengan pen merah di tangan saya menconteng-conteng kertas itu. Seperti guru membetulkan karangan anak muridnya. Kononnya.

Banyak yang perlu dilakukan. Saya juga perlu berhati-hati kerana kertas kerja berkenaan disediakan untuk satu persidangan. Dan. Saya bukanlah seorang pakar.

Setelah menyunting, tiba-tiba saya rasa seperti mahu taip nama saya di situ. "Oleh : Mohamad **** dan Noor Hanida. Apa tidaknya, 50% daripada tulisan itu adalah hasil kerja saya. Sebahagian maklumat juga saya yang cari.

Tapi memang sudah itu kerja saya. Dan saya suka melalukannya. Ha ha ha.

Ok. Masih tentang bahasa dan boss saya. Tetapi perkara lain pula.

Hari ini keputusan SPM diumumkan. Maka sekali lagi ia dijadikan penanda aras terhadap keberkesanan pelaksanaan PPSMI. Pastinya. Tapi saya dengar peratusan keputusan Bahasa Inggeris menurun. Apakah?

Berbalik kepada cerita tentang boss saya. Dia beritahu anaknya tidak mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Apa yang boleh dan perlu dilakukan?

Saya tidak begitu pasti dengan sistem sekarang. Jadi saya cuma cadangkan agar anaknya menduduki Kertas Julai.

Tapi kata boss saya, apa pula yang boleh dilakukan sementara menunggu bulan Julai? Boleh mohon untuk ke IPT?

Banyak yang boleh dilakukan sebenarnya. Bekerja, belajar memandu atau lain-lain. Entahlah.

Ada sesiapa yang boleh beri saya cadangan?

Tuesday, March 10, 2009

..::HILANG::..

3 hari yang lalu saya pulang bercuti di kampung. Itu saja.

Saya tidak hilang. Saya masih di sini. Saya juga sihat Alhamdulillah.

Cuma, pagi tadi saya TERPAKSA menggantikan tempat orang yang tidak datang bekerja.

Dan. Sekarang saya sedang mengedit kertas kerja boss saya.

Saya juga ada laporan yang masih belum disiapkan.

Kesimpulannya saya banyak kerja ditambah pula dengan capaian internet di pejabat yang sakit menyebabkan banyak kerja tergendala.

Thursday, March 05, 2009

..::SENTAP::..

Semalam saya pergi menonton wayang. Filem Geng: Pengembaraan Bermula. Ya, saya tahu orang lain sudah menontonnya sejak hari pertama ditayangkan. Biarlah. Sekurang-kurangnya saya dapat menjadi salah seorang penyumbang kepada kutipan filem animasi tempatan yang hebat ini.

Seperti kebiasaan saya menonton seorang diri. Seperti kebiasaannya juga saya menonton ketika saya punya lesen besar untuk memilih waktu tayangan yang luar-biasa-bagi-orang-Islam.

Cuma, saya tidak pasti dengan penonton-penonton Melayu-Islam lain yang ada bersama-sama saya di dalam panggung. Tua muda lelaki perempuan ibu bapa anak-anak semua ada.

Sayang sekali. Di dalam filem Geng terdapat 2 babak memaparkan azan sedang berkumandang. Dan satu babak ketika orang kampung menyanyi kegembiraan, Upin dan Ipin berkata "solat jangan ditinggalkan, kerana ia tiang agama".

Jadi, di mana tauladan yang boleh diberikan kepada anak-anak jika ibu bapa sendiri seolah-olah memberi galakan dengan membawa mereka menonton wayang pada waktu Maghrib.

Saya yang punya lesen besar pun rasa sentap dengan ayat Upin dan Ipin. Yang sengaja tu apa pula perasaannya ya.
..::PILIHAN-HIDUP::..

Hidup adalah tentang pilihan.

Pilihan adalah tentang hidup.

Jadi, anda ialah siapa yang anda pilih.

Wednesday, March 04, 2009

......

Ulanglah berapa kali pun filem Jerry Maguire. Saya tetap suka dan tak akan jemu menontonnya.

Ia tentang keazaman, kesungguhan, keghairahan, kejayaan, kesabarah, kasih sayang, kesetiaan. Jatuh bangun dalam hidup.

Dan pengakhiran yang menggembirakan.

Tuesday, March 03, 2009

..::MALAS::..

Di pejabat. Bilik saya jauh ke belakang. Jauh dari pintu masuk. Jauh dari lif. Dan jauh dari bilik air.

Tadi. Saya makan roti john. Tangan saya ada sikit-sikit comot terkena sos. Dah jilat-jilat dan lap dengan tisu. Tapi mestilah tak bersih.

Jadi, saya basuh tangan dalam pasu bunga depan pintu bilik. Tiba-tiba saya tersedar. CCTV di atas kepala mesti dapat merakam perbuatan saya itu.

Saya pun cepat-cepat lari masuk bilik. Dengan harapan dapat terlepas daripada perbuatan keji itu.

Ha ha ha

Monday, March 02, 2009

..::SEKELIP MATA KAU BERUBAH::..

Selama ini saya cukup berpegang teguh kepada pendirian. Tapi, sejak akhir-akhir ini pendirian saya itu mula goyah. Sedikit demi sedikit.

Keinginan untuk menjelajah ke serata dunia telah membuatkan saya seakan-akan mengkhianati diri sendiri.

Dan. Saya mula rasa mahu memohon kad kredit.

Sunday, March 01, 2009

..::BABY X::..

Ini baby 'X'. Ia digelar 'X' kerana saya tidak tahu siapa namanya. Baby ini baru datang menjengah dunia.



Selamat datang Auntie Nida ucapkan. Sorry sebab Auntie belum sempat nak pergi melawat. Nanti bila awak dah boleh say hello, baru auntie jumpa awak ye. He he he

Anyway, tahniah kepada Cik Puan Daun dan Nuar di atas kelahiran bayi itu.

Friday, February 27, 2009

..::NAFSU YANG TIDAK TERKAWAL::..

Pakar kewangan berpesan jangan membeli-belah ketika perut lapar, marah atau sedih.

Pasti akan TERbeli barangan yang tidak ada langsung dalam senarai. Dan. Barang yang disenaraikan tidak pula dibeli.



Bawa duit ribu-ribu pun boleh habis sekelip mata. Jika bukan kerana sudah penat dan Maghrib pun sudah menjelang, mungkin banyak lagi hasil yang dituai.

Tapi keuntungan tentu kepada pemilik kedai.
..::BUNYINYA AGAK KEJI::..

"Nak order perempuan simpanan satu"

"Bila boleh dapat perempuan simpanan ni?"

"Berapa harga?"

"Nak bayar sekarang ke, atau bila dah dapat barang?"



Menerima dan mengurus tempahan Perempuan Simpanan.

Terasa seperti seorang Ibu Ayam.

Thursday, February 26, 2009

..::KUASA PENGHULU::..

Saya. Telah dilantik sebagai Penghulu tingkat. Katanya, segala perkara berkaitan keceriaan, hiasan dalaman, keselamatan dan kebersihan tingkat adalah di bawah tanggungjawab penghulu.

Sebagai seorang penghulu yang bercitarasa moden dan minimalis, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan kebudayaan dan kesenian Melayu, tentu sahaja saya punya banyak idea untuk dicurahkan.

Tetapi, hak saya sebagai penghulu telah dinafikan. Saya langsung tidak berpeluang untuk menunjukkan kebolehan.



Kerana. Di sini juga menempatkan pejabat Dato' KP. Dan semua itu adalah keputusannya.

Saya yang menurut perintah.

Wednesday, February 25, 2009

..::USAH TERTIPU DENGAN PANDANGAN LUARAN::..

Baru-baru ini. Semasa dalam pertapaan, saya jalani ujian darah dan kesihatan.

Jururawat beritahu bahawa tekanan darah saya sedikit rendah. Tetapi itu adalah disebabkan kurang rehat dan kurang tidur. Selainnya, saya adalah sihat. Alhamdulillah.

Saya juga baru tahu bahawa BMI saya adalah stabil. Fizikal saya tergolong dalam kumpulan sederhana kurus. Namun, walaupun saya kelihatan kurus tetapi saya juga mempunyai kandungan lemak yang berlebihan. Tidak syak lagi kenapa ada yang menganggap saya mengandung. Ya, saya mengandung lemak.

Jadi, sila jangan tertipu dengan fizikal seseorang. Bak kata seorang kawan yang sama-sama jalani ujian: "Saya ni memang nampak 'sihat'. Tapi sebenarnya sakit."
..::SAMA TAPI TAK SERUPA::..



Walaupun pada zahirnya nampak sama
Namun hakikatnya adalah berbeza sama sekali

Monday, February 23, 2009

Ini adalah entry berjadual.


Saya pergi bertapa.

Tiba-tiba baru saya teringat.

Saya bakal terlepas siri Prison Break.

Kerana macam mana mau tonton TV di tempat pertapaan ini.

Saya sedih.

Saturday, February 21, 2009

..::TIADA::..

Saya pergi bertapa..

Friday, February 20, 2009

MY HOME


myhome
Originally uploaded by madulebah
Gambar lukisan ini saya rakam dari dinding sebuah bangunan yang terletak di lorong menuju ke Gerja St. John, Kuala Lumpur

Thursday, February 19, 2009

..::YANG::..

+ "Hangpa tengah buat apa?"

- "Kami baru lepas sembahyang"

+ "Hah? Tengok wayang?"

- "Sembahyang lah!!"

+ "Wooh.. he he he"

Wednesday, February 18, 2009

..::CINTA II::..

Ada yang menolak cinta

Dan ada juga yang ditolak cintanya

Tuesday, February 17, 2009

..::CINTA::..

Cinta boleh dipupuk

Namun, cinta juga tak boleh dipaksa

Monday, February 16, 2009

..::BILA FAKTOR ITU TIADA::..

Walaupun kamu terbang dari pelosok mana sekalipun. Ia tetap tidak mampu membuatkan saya terharu.

Friday, February 13, 2009

..::SALAH SIAPA::..

Sepasang warga kulit hitam melambai-lambai tangan cuba menahan kenderaan di kiri lebuhraya. Tidak dapat dipastikan apakah kesulitan yang mereka hadapi. Berasak-asak kenderaan melalui lebuhraya itu, tiada seorang pun yang mahu berhenti. Walaupun sebuah teksi. Namun tidak boleh disalahkan kerana teksi itu sudah ada penumpangnya.

Saya memandu di lorong paling kanan. Tentu sekali tidak dapat ke lorong sebelah kiri. Jika saya berada di lorong kiri sekalipun, belum tentu saya akan berhenti untuk membantu.

Kenapa begitu? Bukankah rakyat Malaysia ini digembar-gemburkan sebagai warga yang prihatin, berbudi bahasa, saling bantu-membantu dan segala perkara yang baik-baik belaka.

Pada pendapat saya, semua orang takut untuk berhenti. Apa tidaknya, kita sering dihidangkan dengan kes samun dan rompakan yang dilakukan oleh warga asing. Selepas disamun, jika dilepaskan mungkin agak bernasib baik walaupun kerugian. Tapi jika mangsa dibunuh, memang satu sen pun tiada guna. Oleh itu, daripada menanggung risiko lebih baik ambil langkah berhati-hati dan hindari terus.

Jadi,salah siapa rakyat Malaysia tidak mahu berhenti memberi pertolongan?

Thursday, February 12, 2009

..::KECELARUAN::..

Hari ini. Saya datang ke pejabat seperti orang yang 'tak sudah'. Tapi, sila abaikan maksud mendalam perkataan itu.

Semalam saya memandu pulang dari pejabat dalam keadaan mengantuk yang teramat sangat. Menguap tak henti-henti. Mujur juga perjalanan lancar. Walaupun keluar jam 5.15 petang, saya cuma mengambil masa 30 minit untuk sampai di rumah.

Kerana mengantuk, saya rasa malas mahu masak. Jadi saya singgah di pasar malam. Betul kata orang, bila perut lapar otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Lalu saya berbelanja mengikut hawa nafsu. Sudah beli yong tau fu lagi dibeli bihun sup. Kesudahannya bihun sup masuk peti ais. Harap-harap masih elok lagi. Tidaklah saya menjadi sahabat kepada syaitan.

Jika diambil kira tahap mengantuk, lepas Isya' mahu saja saya tidur. Tapi bila mengenangkan baju belum siap jahit, terpaksa saya gagahkan. Kerana terpaksa menahan mata, kepala pula yang sakit. Rasanya saya masuk tidur lebih kurang 11.30 malam mengikut jam di dinding rumah. Letak kepala terus pengsan.

Bangun tidur pagi tadi leher pula sakit. Bantalkah yang salah atau gaya tidur saya yang salah. Dan hari ini saya datang ke pejabat seperti orang yang 'tak sudah'.

Wednesday, February 11, 2009

..::JIKA IA BAIK APA SALAHNYA::..

Saya. Boleh dikatakan agak (ayat merendah diri) cekap perihal selok belok jalan di sekitar Lembah Klang. Bukan setakat jalan raya, malah laluan kenderaan awam seperti Monorel, LRT Putra/Star dan komuter juga berada bibir saya. Sebut saja. InsyaAllah.

Abang ipar pernah menyarankan agar saya menjadi pemandu pelancong. Ini kerana dia pernah meminta panduan dan saya dapat memberikan nama serta jumlah stesen yang perlu dilaluinya dengan tepat.

Dan. Baru-baru ini pada malam MASKARA 13 saya mendapat gelaran baru.

Cik GPRS. Eh, ke Cik GPS?

Ha ha ha

Tuesday, February 10, 2009

..::NASIB BAIK::..

Tadi. Saya terima satu panggilan telefon. Daripada pihak Celcom. Untuk makluman, saya adalah pengguna talian Celcom yang setia.

Katanya, sebagai pengguna talian pasca-bayar secara automatik saya layak untuk menyertai satu peraduan dan skim insurans. Katanya lagi, peserta bernasib baik dan tidak perlu risau dengan segala penipuan yang memerlukan pembayaran melalui kad kredit. Ini kerana peraduan ini dijalankan secara sah dan berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia.

"Oh, saya juga bernasib baik kerana bukan pengguna kad kredit." Jawab saya ringkas.

Monday, February 09, 2009

..::BANG!!! BANG!!! BANG!!!::..



MASKARA 13 memang mantap. Memang meletup. Memang panas.

Kapasiti yang hadir di Planet PENA boleh menandingi pengunjung Planet Hollywood. Orang ramai berasak-asak. Mahu masuk ke dalam dan duduk bersila di barisan hadapan, ruang pun dah tak muat. Terpaksalah sesetengahnya menjadi ahli mesyuarat tingkap.

Oh, MASKARA sungguh bernasib baik kerana tiada yang buat laporan kepada pihak berkuasa. Jika tidak tentu kami semua akan ditangkap kerana menganjurkan perhimpunan. Tanpa permit yang sah. Silap haribulan ada yang bakal didakwa di bawah Akta Hasutan. Walaupun sebenarnya mereka cuma meluahkan apa yang terpendam. Apa yang terbuku di hati. Melalui pemerhatian. Terhadap isu semasa. Dan pergolakan dunia secara umum.

MASKARA 13 menampilkan Ku Chi yang menyanyi sambil bermain gitar. Mengalunkan bait-bait lirik penuh makna. Tersirat dan tersurat. Adam Kasturi seorang tukang sajak kontemporari. Persembahannya menarik. Dan perlu menggunakan lebih banyak otak untuk mentafsir. Mujur juga Adam Kasturi ini comel. Jadi mata terus tertumpu kepada persembahannya. YB Jonos pula berucap dengan penuh sinis. Katanya, dia mahu jadi PM. Bukan Perdana Menteri tetapi Papa Mithali.

Selepas kenyang menjamu selera sekali lagi penonton menerima santapan hebat daripada Fynn Jamal. Penampilan yang cukup berbeza berbanding pertama kali membuat persembahan di MASKARA lewat tahun lalu. Namun Fynn tetap berjaya menyentuh hati dengan luahan tulus yang disampaikan sepenuh jiwa. Saya ada bergambar dengan Fynn. Tapi dalam kamera Cik Puan Daun. Entah bila baru boleh dapat.

Seperti di dalam penulisannya, Pipiyapong tak perlu bersungguh-sungguh. Dia sudah punya aura tersendiri. Walaupun hanya membaca entry Radio Ah Hong. Pipiyapong pasti menerima tepukan gemuruh. Namun, tepukan lebih gemuruh diterima Ana Raffali. Tak perlu masuk program realiti TV. Dia punya pakej. Lengkap. Sudahlah cantik. Pandai menggubah muzik dan menyanyi. Kelebihan juga kerana dia pandai main gitar. Perempuan pun tertarik apatah lagi lelaki. Sayang sekali malam itu Ana Raffali tidak bawa DVDnya. Jika tidak pasti habis terjual. Seperti mereka yang lain, saya juga tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan Ana Raffali.

Selaku orang yang bertanggungjawab terhadap kelancaran majlis, Azzam Supardi berjaya mengawal suasana yang panas. Dia juga menggunakan kuasa veto untuk memanggil Ujang bagi menggantikan Aie yang tidak dapat hadir dek kekangan tugas.

MASKARA 13 sungguh bertuah kerana mendapat tajaan makanan daripada Katering Che Hassan, Restoran Kanchil dan Geng Jurnal yang menempah kuih muih daripada Periuk Tanah.

Untuk laporan bergambar sila ke laman Sol-jah. Jangan rindu-rindu kerana MASKARA akan datang hanya akan diadakan pada bulan Jun.

Friday, February 06, 2009

..::LOMPAT SI KATAK LOMPAT::..

Saya mahu hilangkan diri seketika. Sehingga tak ada siapa yang boleh hubungi saya. Tak perlu risau. Dua tiga hari lagi saya akan muncul. Mungkin dengan penampilan baru. Dengan senyum hingga ke telinga.

Lagipun, sekarang saya sedang sibuk melompat-lompat. Bersenam. Cari kesesuaian. Yang mana boleh mendatangkan hasil yang begitu baik.

Kan mahu kuruskan badan. Kena la usaha lebih. Dan buat pelaburan.

Thursday, February 05, 2009

..::HAPUSKAN LIF DAN MULAKAN KEMPEN GUNAKAN TANGGA::..

Hari Selasa lepas saya ke SOGO. Hajat di hati mahu cari sandal. Tapi sandal yang saya berkenan tidak ada saiz yang sepadan. Jadi saya teruskan perjalanan ke bahagian pakaian.

Tertarik dengan sehelai t-shirt LadyLike. Lalu saya mencubanya. Kerana t-shirt berkenaan adalah jenis 'berbentuk' maka saya ambil saiz yang sepatutnya sepadan dengan saya. Memandang diri pada cermin membuatkan saya rasa seperti mahu menjerit. Di satu bahagian tubuh, keadaannya sangat hodoh. Dan itu adalah satu petanda tidak baik. Mimpi ngeri apabila jeans penanda aras sudah boleh dipakai tanpa mengenakan tali pinggang telah menjadi kenyataan.

Dan. Hari ini mimpi saya semakin buruk dan ngeri. Apabila seseorang bertanya kepada saya.

"Are you pregnant?"

HUH?!!

Wednesday, February 04, 2009

..::KAKAK SAYA ADA DI RUMAH & SAYA MENGANTUK::..

Seperti biasa. Jika abang ipar saya bertugas ke luar daerah, kakak saya yang seorang itu akan menempel di rumah saya. Seperti biasa juga, saya akan jemput dia di Putrajaya. Kerana dia tidak tahu memandu. Dan. Sebelum tidur kami akan bersembang, bersembang dan bersembang.

Semalam. Boss saya pergi Goldcourse, Klang. Kemudian terus ke hospital untuk rawatan susulan pembedahan. Saya pula ke KWSP terus ke SOGO. Balik ke pejabat semula, buat kerja itu ini kemudian siap-siap mahu pulang. Kuala Lumpur hujan sangat lebat. Gayanya seperti akan banjir. Tapi cuaca cerah dan hujan hanya merintik bermula di sekitar Lapangan Terbang ATM. Ternyata benar "awan kita berbeza". Kerana keluar sebelum jam 5, saya hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai di Putrajaya.

Pagi ini. Baru saya teringat boss minta panggil mesyuarat jam 9.00. Terus dail nombor pegawai-pegawai berkaitan. Untungnya masuk kerja jam 7.30. Saya ada lebih banyak masa. Seolah-olah panggilan mesyuarat telah dibuat semalam. Cuma saya beritahu boss minuman terlupa pesan dan jam 10.00 baru dapat disediakan. Ya. Boss saya tidak marah atau kemudian menuduh saya tidak fokus. Kerana itu saya berasa tidak sampai hati untuk meninggalkannya dan bertukar ke tempat lain. Nanti tiada orang mahu melawan bagi pihak dia.

Kakak saya ada di rumah. Saya perlu keluar awal untuk mengelakkan kesesakan. Dan saya mengantuk.

Tuesday, February 03, 2009

..::PUJAAN 10::..

Semakin hari semakin ramai orang telah 'mengetag' saya. Untuk mengelakkan ia semakin bertambah, maka saya perlu menyelesaikan mana-mana tag yang sudah tertangguh.

Hari ini saya mahu menjawab tag daripada Mya. Tahun lepas lagi tag ini. Baru ini saya berkesempatan untuk jawab.

Saya namakan tag ini sebagai Tag Pujaan 10 kerana setiap satu kita perlu senaraikan sebanyak 10. Banyak ok. Tapi jawab juga lah.

Katanya:
#01 : Sesiapa yang kena tag, kena tulis 10 perkara berkenaan orang yang mengetag. Maka saya perlu tulis 10 perkara mengenai Mya.

* Sudah kenal sejak tahun 1995
* Satu sekolah dengan saya, satu Poly dengan saya dan kami pernah serumah masa praktikal
* Orang Taiping tapi pernah sekolah di merata-rata tempat
* Pencinta merah jambu
* Anak nombor 2 daripada 3 beradik
* Ada anak dara yang petah nama Yasmin
* Pernah jadi kakitangan Kerajaan
* Pernah sambung belajar tapi berenti sebab alahan mengandung yang teruk
* Seorang kawan yang sangat mudah: Kalau kita jemput/ajak pergi mana-mana, kalau boleh dia akan cakap boleh. Kalau tak dapat dia beritahu juga. Tak ada main tarik-tarik tali.
* Suka pergi melancong

#02 : Orang yang kena tag, tulis 10 perkara mengenai diri sendiri

* Anak nombor 9 dari 10 orang adik beradik
* Ahli keluarga lain semua sudah berkahwin kecuali saya
* Masuk tahun ke-9 jadi Kakitangan Kerajaan
* Suka sangat warna hijau
* Suka memasak
* Suka tonton tv
* Suka semua jenis seni
* Takkan ulang pakai baju dalam tempoh yang dekat
* Pakaian di dalam almari disusun dengan lipatan/jarak hanger yang sama. Dan akan pakai ikut turutan: kalau baju bergantung pakai yang paling kanan dulu dan kalau yang berlipat akan pakai yang paling bawah dulu
* Bila travel pakaian yang dibawa akan diisi dulu dalam plastik berasingan mengikut jenis baru masukkan dalam beg besar

#03 : Pilih 10 orang untuk jawab tag ini. Senaraikan

* Cik Puan Daun
* Darekampo - Awak suka kena tag kan?
* Cik Jah - Jangan malas buat kerja sekolah tau
* Atiqah
* Ika - Sorry beb. Aku belum jawab tag kau dulu. Tapi aku nak juga tag kau.
* Cida
* Ah Nett
* Naga - Daripada kau tulis tak ada apa-apa untuk dipaparkan baik kau jawab tag ni
* Kak Pnut
* Tok Rimau

#04 : Tidak boleh tag semula

Selamat menjawab!!

Monday, February 02, 2009

..::KITA JUGA MAKAN RUMPUT::..

Hujung minggu saya duduk di rumah saja. Agak penat bila terlalu kerap cuti. Tapi bila sudah diberi cuti tak akan saya tolak pun. Minggu depan saya akan mula bekerja di hujung minggu. Jadi, sementara ada masa lebih baik saya berehat dan uruskan rumah tangga sebaik mungkin.

Walaupun rumah cuma sekangkang kera, tapi saya memerlukan motivasi yang cukup tinggi untuk mengemas, menyapu sampah dan mengemop lantai. Sudahlah 'magic mop' saya sudah hilang magisnya. Lalu, kerja mengemop jadi agak terganggu. Oh, tak terbayang saya jika rumah saya ialah banglo yang ada 5 - 6 buah bilik dengan 4 bilik air. Tentu pengsan mahu menguruskannya. Tapi jika saya mampu untuk memiliki rumah banglo tentu juga saya mampu untuk menggaji 2 - 3 orang pembantu rumah untuk menguruskannya. Ha ha ha.. Ada unsur angan-angan di situ.

Sebenarnya saya bukan mahu bercerita tentang rumah saya atau rumah idaman saya. Tetapi saya mahu berkongsi sesuatu. Saya pernah bercerita tentang pokok-pokok yang saya tanam. Dan saya juga tanam ulam pegaga di dalam pasu yang sama dengan pokok daun sup. Semalam saya dapati pegaga itu sudah melampaui batas. Gemuk bukan main. Habis zat dan nutrien dalam tanah diambilnya. Tidak ditinggal langsung untuk pokok daun sup. Padahal dia hanya ditumpangkan saja dalam pasu itu. Kerana geram, habis saya cabut segala pegaga. Dalam kepala otak saya terfikir. Habislah kau aku kerjakan.

Lalu saya siapkan bahan-bahan. Mahu buat jus pegaga. Kan saya sudah berpenat lelah. Jus ini nanti tentu dapat menyegarkan saya.



* Basuh pegaga bersih-bersih. Tak perlu buang akar kerana pada akar itulah terkandung khasiat yang banyak.
* Satu gelas air sejuk
* 2 sudu besar gula
* 1 sudu besar madu
* Campurkan semua dan kisar lumat

Inilah hasilnya.


Boleh tapis hampas jika mahu. Tapi saya tak tapis pun. Minum begitu saja. Agak berbau rumput. Tapi ia tidak sebusuk mengkudu.

Dan selepas minum jus pegaga yang dibuat sendiri, saya rasa segar dan muda. Ha ha ha

Sunday, February 01, 2009

..::PERANG::..

Beberapa hari yang lalu saya telah pergi menonton wayang. Saya ingin memohon maaf. Kerana dalam hal ini, saya masih belum mampu untuk memulaukan filem keluaran Hollywood. Bukan tidak ada filem Malaysia di pawagam ketika ini. Tetapi, untuk menonton di televisyen pun saya tidak sanggup apatah lagi mahu menonton filem seperti Sifu dan Tongga itu di pawagam. Maaf sekali lagi. Ini adalah pandangan peribadi saya.

Saya memilih untuk menonton filem Bride Wars. Mengisahkan tentang 2 orang sahabat yang telah bersama semenjak kecil lagi. Kerana sedikit kesilapan, mereka mula bercakaran. Masing-masing tidak mahu mengalah. Ketika itu, habis segala rahsia dan keburukan didedahkan. Walaupun pada satu saat, mereka merindui detik-detik bersama.



Dalam keadaan emosi yang turun naik, filem ini berjaya menyentuh hati saya. Dan membuatkan saya menangis. Lalu menyedarkan saya. Filem yang berkisar tentang perhubungan tidak kira sama ada persahabatan, kekeluargaan atau percintaan selalu menyentuh hati saya. Saya beri 5 bintang untuk filem ini. Mungkin saya akan menontonnya lagi. Tapi saya juga sedang menantikan filem Geng yang akan mula ditayangkan tidak lama lagi.

Sewaktu berjalan keluar dari panggung, saya berasa puas. Walaupun saya menonton seorang diri, itu adalah lebih baik daripada menonton dengan kawan lelaki pada tengahari Jumaat.

Saturday, January 31, 2009

..::MUSIM TAG::..

Jika tak ada idea mahu kemaskini blog, menjawab tag adalah salah satu caranya. Dan kebetulan saya ada banyak tag yang belum dijawab. Sehinggakan saya rasa Mya sudah tak mahu tag saya kerana dalam banyak tag yang diberi, baru satu saya jawab.

Kali ni saya ambil peluang untuk jawab tag dari Ernie dulu. Sebab ia agak mudah. Oh, ini ialah entry berjadual. Jadi apa yang saya jawab adalah berdasarkan perkara semasa ia ditaip, bukan sewaktu ia dipaparkan.

1. Do you think U are hot?
Tidak sama sekali. Sebab setakat ini belum ada lagi sesiapa yang berpeluh-peluh jika berjumpa dengan saya.

2. Upload a favorite picture of U



3. Why do you like this pic
Saya suka gambar ini kerana ia penuh dengan perasaan.

4. When was the last time U ate pizza?
Tak ingat. Sangat lama.

5. The last song u listen too
Dusta Berkalang - Aiman

6. What are you doing right now beside this?
Tulis setiap apa yang saya belanja dalam buku nota.

7. What name you prefer besides yours
Saya suka nama saya.

8. People to tag
Saya namakan 3 orang
i. Syeka-Sweetheart
ii. Tasik Merah
iii. Kehelan

Friday, January 30, 2009

..::BAU YANG MENDATANGKAN NAFSU::..

Pada malam Tahun Baru Cina. Jiran-jiran saya pastinya sedang menikmati makan besar. Bau masakan semerbak menerjah hidung saya. Orang Cina ni kalau masak macam sedap saja. Restoran pun besar-besar dan terang-menderang. Tengok saja rancangan di TV seperti Delicious Food All Over China atau Ho-Chak!, memang nampak sedap sentiasa. Dan saya memang suka tengok rancangan memasak tak kira apa bangsa sekali pun. Muhibbah kan? Ha ha ha..

Dalam banyak-banyak bau yang saya terhidu, ada satu bau yang cukup membuatkan perut saya kelaparan dan nafsu makan saya melonjak-lonjak. Tapi bila memikirkan hari yang sudah malam, saya pendamkan saja perasaan itu. Harus sabar menanti keesokan harinya. Untuk melampiaskan nafsu makan itu. Ha ha ha (lagi).

Maka sesudah Subuh saya terus keluarkan bahan-bahan dari dalam peti sejuk. Tapi tak terus masak pun. Mesti sarapan dulu. Kemudian sambung menjahit sambil layan rancangan TV. Jam 12.00 tengahari saya mula masak. Sambil tu menjahit lagi. Saya harus gigih siapkan tempahan juga. Siap masak elok-elok dah masuk Zohor. Mandi dulu, solat dan siap cantik-cantik. Ha ha ha (dan lagi).

Inilah hasilnya. Bukan sekadar nasi ayam. Ini nasi ayam yang dimasak sendiri. Dan dimakan sendiri juga.



Saya sangat berpuas hati dengan persembahannya. Kerana kali terakhir saya masak nasi ayam ialah mungkin 4 - 5 tahun yang lalu. Entah saya dah lupa. Nampaknya kemahiran itu tak pernah hilang walaupun sudah lama ditinggalkan.

Selamat menjamu selera semua.
..::MITOS PEREMPUAN BUJANG DAN BEKERJAYA::..

Dikatakan mereka ini memilih pasangan. Kerana itu mereka masih membujang. Dikatakan juga lelaki takutkan mereka. Atau lebih kepada mereka takutkan lelaki. Yang dikhuatiri punya agenda tersembunyi.

Oh, saya sebenarnya bukan mahu bercerita tentang itu. Saya mahu cerita tentang aktiviti jalan-jalan cari makan saya. Memang sejak akhir-akhir ini saya agak kerap memuatkan entry tentang makanan. Tidak mengapa kan. Daripada saya bercerita tentang hal orang. Lagipun memang kita perlu makan untuk terus hidup. Jadi punya lebih banyak peluang untuk memilih.

Berbalik kepada cerita makan. Hari Ahad saya ke Bandar Baru Bangi. Mula-mula bersarapan di Restoran Puteri Bongsu. Makan soto di situ. Sedap walaupun tidak boleh minta pergedil lebih. Sesudah sarapan saya ke Az-Zahra Women Wellness Center. Alhamdulillah akhirnya saya menemui pusat yang menawarkan perkhidmatan kepada wanita muslim. Sangat selesa.

Urusan selesai ketika waktu makan tengahari menjelang. Adalah menjadi satu kemalasan untuk balik ke rumah dan masak. Sedangkan pilihan kedai makan begitu banyak. Jadi pilihan yang tepat perlu dibuat. Maka Famosa House berhadapan Kompleks PKNS menjadi pilihan.



Lepas kenyang saya balik dengan gembira. Masih ada urusan lain menanti di rumah.

Thursday, January 29, 2009

..::ROJAK::..

Umum mengetahui rojak ialah sejenis makanan. Campuran beberapa jenis bahan makanan atau buah-buahan yang digaul bersama kuah tertentu. Tidak kira sama ada rojak mee atau rojak buah, kedua-duanya sedap dimakan.

Umum juga mengetahui, kebelakangan ini timbul kebimbangan di kalangan ahli akademik dan pengamal bahasa mengenai pengaruh bahasa rojak yang semakin berleluasa. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan yang semakin meluas. Walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, ia seakan-akan tidak berpenghujung. Paling membimbangkan, ada pelajar yang sudah menggunakan bahasa berkenaan dalam peperiksaan. Jika perkara ini berterusan tidak dinafikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mungkin suatu hari nanti hanya akan tinggal di dalam Perlembagaan sahaja.

Semalam, saya berkesempatan menonton rancangan Ally yang turut membincangkan isu berkenaan. Dari tinjauan yang dibuat dapat disimpulkan bahawa usaha mempertahankan Bahasa Melayu, sekaligus memartabatkan bahasa berkenaan sebagai Bahasa Kebangsaan tidak dibuat secara menyeluruh. Pihak Kerajaan juga dilihat seakan-akan tidak telus dalam hal ini. Malah, pihak yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan maruah bahasa kadangkala terpaksa akur dengan 'arahan dari langit' untuk menukar pengunaan perkataan sedia ada dengan perkataan yang dirasakan lebih maju.

Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak. Jauh sekali untuk menyalahkan sesiapa. Dan, saya juga bukan orang yang layak untuk berbicara mengenai isu ini. Sebagai orang Malaysia, kadangkala saya menggunakan bahasa rojak. Bahasa singkatan juga saya gunakan jika berkomunikasi secara khidmat pesanan ringkas. Walau bagaimanapun, atas kesedaran dan rasa tanggungjawab, saya mula menulis blog dengan menggunakan struktur bahasa dan perkataan yang lebih kemas dan teratur. Sekurang-kurangnya kemahiran menulis saya tidak hilang begitu saja.

Berbalik kepada isu berkaitan, semua ini terletak kepada individu. Sejauh mana mahu membiarkan diri hanyut dalam arus kemodenan. Sebagai mana rojak yang sedap dimakan, begitu juga bahasa rojak: ia sedap digunakan bagi sesetengah pihak. Namun jika berlebihan adakalanya ia boleh mendatangkan mudarat.
..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Ini entry minggu lepas. Saya nak publish tapi ada masalah sebab gambar tak boleh nak upload. Baru sedar saiznya besar sangat.

Minggu lepas saya pergi makan di Food Republic, Pavilion KL. Ala bukan jauh pun dari pejabat. Seberang jalan saja. Sebelum mula makan, seperti biasa saya akan ambil dulu gambar makanan. Kawan saya tegur. Asal beli makanan mesti mahu dirakam fotonya. Saya. Senyum saja. Dan terus menyuap makanan.



Apa yang saya makan ini namanya Spaghetti Vongle. Macam mana sebutannya tidak la saya pasti. Kerana pada pendengaran saya, tukang masak tu sebut agak lain bunyinya dari tulisan. Sewaktu order, saya tunjuk gambar saja. Dan saya minum air campuran dua jenis buah iaitu oren dan apple.

Sedang kami enak makan, duduk seorang wanita Inggeris di meja sebelah. Wanita tu keluarkan kamera dan ambil gambar makanannya. Ha ha ha.. Terus kawan saya senyum. Tanda sedar bahawa rupa-rupanya ada orang lain punya tabiat seperti saya. Di situ. Dan sebenarnya ada ramai lagi di luar sana.

Tanpa mempedulikan wanita Inggeris berkenaan yang sedang enak menikmati sate, saya terus menjamah hidangan saya yang sedap.

Wednesday, January 28, 2009

..::MITOS LELAKI BOTAK DAN BOROI::..

Seorang lelaki tua beritahu saya. Mereka mencipta mitos. Bahawa. Lelaki tua lebih stabil, sabar dan romantik.

Ramai perempuan muda percaya.

Mungkin benar mereka stabil. Berpendapatan bulanan hampir 7 angka.

Tapi. Kenapa lelaki tua di hadapan saya ini setiap awal tahun buat pinjaman peribadi?

Friday, January 23, 2009

..::MAGIS::..

Saya. Ada adik. Seorang.

Pada suatu hari. Adik saya meminta pertolongan. Belum pun dia menyatakan apakah jenis pertolongan itu, saya sudah tahu apa yang dia mahu.

Adakah adik anda juga begitu?
Dan anda juga begitu terhadap adik anda?

Saya. Ada adik. Seorang. Yang punya magis.

Oh, atau sebenarnya magis itu ada pada saya.

Thursday, January 22, 2009

..::MALAM JUMAAT ITU::..

Di luar kebiasaan. Menjelang tengah malam. Saya belum tidur.

Tadi awalnya. Saya berbual dengan seorang teman di YM.

Kemudian dia minta diri. Katanya mahu pergi berjihad ke jalan Allah. Saya doakan agar dia beroleh kemenangan.

Dan. Saya masih belum tidur. Menjelang tengah malam.

Wednesday, January 21, 2009

..::JERUNG ANGGAP DAGING MANUSIA TAK SEDAP::..

Hari ini. Saya rasa seperti mahu makan orang.

Dan. Saya benci pegawai yang SUKA SANGAT tukar nombor telefon.

Tuesday, January 20, 2009

..::AWAS!! ANDA DIPERHATIKAN::..

Di ruang pejabat saya. Cuma ada tak sampai 10 orang. Bilik saya terletak di ruang paling hujung. Penjuru. Tersembunyi. Sunyi. Privacy. Saya suka suasana ini.

Namun, pada masa akan datang. Nampak gayanya saya perlu lebih tertib dan menjaga perlakuan. Tidak boleh kor*ek sana sini. Betulkan yang terselit atau terpulas. Sebarangan.

Apa tidaknya, tiba-tiba saya ternampak ada aksesori baru di atas pintu bilik saya. Alamak ngerinya.



Tapi. Setelah diteliti. Didapati bawaha pandangan itu cuma untuk bahagian luar bilik saya saja. Di dalam bilik, saya masih boleh buat sesuka hati.

Ha ha ha.

Monday, January 19, 2009

..::TERJAH::..

Cik Madu ada kawan. Yang ada 'skandal' dengan seorang artis tempatan. Boleh tahan juga popularnya artis ni. Kalau Cik Madu sebut mesti orang kenal. Tambah lagi kalau peminat drama Melayu.

Cik Madu sebenarnya bukan la nak sibuk sangat hal tepi kain orang lain ni. Atau cemburukan kawan Cik Madu yang dapat 'tangkap' seorang artis. Cuma yang Cik Madu risau nanti takut pula jadi macam kes Normang Haking dan Memeh tu. Maklum la, artis ni pun dah berkeluarga. Dan. Kawan Cik Madu ni pun dah ada teman istimewa walaupun duduknya jauh di negeri lain.

Dah berbuih juga lah Cik Madu nasihatkan. Masih macam tu juga. Ye lah, orang kata kalau tepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Bila ditanya masing-masing menafikan. Tapi kenapa artis tu sembunyi hubungan dari isteri. Kalau tak ada apa-apa tentu tak ada sebarang halangan.

Entah la. Cik Madu malas nak cakap lebih-lebih. Nanti cetus kontroversi pula. Mana lah tahu artis tu baca blog Cik Madu ke. Atau ada wartawan hiburan mana yang baca blog Cik Madu ni. Tak pasal-pasal kena terjah. Dah Cik Madu pula yang disalahkan.

Ok. Sampai jumpa lagi di lain siaran. Daaaa..


Titisan Madu : Lepas tengok AJL 23, Cik Madu dah jatuh cinta dengan Tam Spider lah.

Friday, January 16, 2009

..::MAKAN UNTUK HIDUP::..

Kita. Perlu makan untuk terus hidup. Dan. Saya juga perlu makan untuk kekal sihat. Jika tak makan nanti penyakit lain pula yang datang. Gastrik sebagai contoh.

Kerana keupayaan perut yang terhad, dan pilihan yang kurang di kawasan sekitar pejabat, saya ambil keputusan untuk pergi makan di The Weld. Katanya ada medan selera baru dibuka. Jadi, mari kita cuba.

Medan selera ni berada di tingkat paling atas The Weld. Diberi nama Restoran Chow dengan sentuhan moden. Ruang gerai makanan berada di bahagian atas sedikit daripada kawasan meja makan. Konsep ini menarik kerana dapat mengelakkan kesesakan.



Ada banyak pilihan makanan. Tapi saya cuma boleh makan nasi ayam saja. Setakat ini. Dan minum lai chee kang sebagai penyejuk perut.

Kata kawan saya dan suaminya, makan saja apa yang kita rasa nak makan. Nanti sakit, ubatkan kemudian. Namun kerana tak sanggup menanggung akibat sendirian, saya tetap dengar nasihat doktor yang saya sudah bayar perkhidmatannya.

Thursday, January 15, 2009

..::SATU DI ANTARA YANG LIMA ITU::..

Saya. Mengalami keracunan makanan. Beberapa minggu yang lalu. Doktor menasihatkan saya agar mengelakkan makan makanan yang mengandungi susu, santan dan pedas yang berlebihan. Habis apa saja yang saya boleh makan? Roti. Kata doktor. Sup? Nasi dengan ikan goreng. Jawab doktor lagi. Maka, untuk mengelakkan kejadian ngeri-terguling atas katil menahan sakit perut-seorang diri, saya ikutkan nasihat doktor.

Semenjak itu, bermulalah episod baru dalam rutin pemakanan saya. Saya tak minum susu langsung. Walaupun dalam peti ais ada sekotak susu dan sebotol air yogurt. Saya tak masak kari walaupun hati meronta-ronta nak makan pajeri nanas dan gulai udang+kacang. Saya yang tak berapa makan pedas, terus tak boleh makan pedas. Langsung. Dan. Yang paling teruk, perut saya menjadi perut 'tangan kedua'. Tersilap makan saja akan membuatkan perut saya meradang. Jadi, saya cuma minum air masak. Makan biskut serat yang tawar. Juga nasi berlaukkan ikan/ayam goreng berkuahkan kicap.

Tiba-tiba saya rasa insaf. Hilang nikmat dunia.
..::SUDAH NAMANYA BEKAS::..

Saya telah di-tag oleh Mya. Ini entah kali yang keberapa. Saya tak ingat. Dan saya tak jawab pun lagi tag-tag yang lain.

Tapi. Memandangkan tag kali ini saya rasa agak comel (ha ha ha) jadi saya akan jawab.

Soalannya berbunyi begini:

"What If Your Ex-girlfriend/ex-boyfriend said these to you.."

1. Hi, how r ya?
Baik, Alhamdulillah..

2. Hey! you wanna go to mall?
Boleh aje.. Bila?

3. I love you..
Awak tebiat ke?

4. Do you want some cookies?
Boleh gak. Sapa buat?

5. Can u take me a picture?
Ok, no hal

6. Help me in my homework
Saya bz

7. Here's my gift to you
Thanks.

8. Let's just be textmates
Memang pun, kan

9. Do you want me to buy u an iPod
Kalau awak nak belikan, saya ambik aje.. Ha ha ha

10. Let's sit together in the bus..
Aik? Masing-masing dah ada kereta buat apa naik bas

11. Hi baby..
Gila ke apa awak ni

12. You still cute..
Ha ha ha.. Kiranya itu la maksud awak yang saya ni tak berubah tu?

13. I still love you..
Iye? Habis tu apasal awak tinggalkan saya dulu?

14. Can I visit your house?
Tak boleh. Sebab saya tak kan bagitau kat mana saya tinggal sekarang.

15. Do you love me?
Tak.

Tag ini minta kita tag semula 5 orang lain. Tapi saya tak mahu tag sesiapa.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, January 14, 2009

..::BERCAHAYA::..

Saya. Ada sehelai t-shirt. Yang ada corak. Dan bercahaya di dalam gelap.

Pada suatu malam. Saya sudah sedia mahu tidur. Lampu habis dipadam.

Tiba-tiba. Saya hampir pengsan dek terkejut.

Dada saya mengeluarkan cahaya berbentuk peta Sarawak.

Huh!!

Tuesday, January 13, 2009

..::PELANGGAN MEMANG BETUL::..

Semalam. Saya cuba telefon semula pasaraya Giant. Alhamdulillah, panggilan saya disambut.

Saya utarakan permasalahan. Dengan penuh harapan. Dan. Pihak Giant menyambut baik perkara berkenaan.

Jadi, selepas kerja saya terus ke Giant. Setelah mengisi satu borang, pihak Giant memulangkan semula duit saya. Tanpa sebarang prejudice.

Sebagai pelanggan, saya ucapkan tahniah kepada Giant Prima Saujana di atas khidmat baik pihak tuan.

Sekian, terima kasih.

Monday, January 12, 2009

"Saya sudah buka mata. Saya boleh tengok Auntie Nida dengan Auntie Mya. Saya juga boleh tengok tv yang tunjuk majlis persandingan Mawi dan Ekin di POHG." Kata Amir Haris Azmi yang dah berumur 11 hari.



Eh, sedap pula nama Amir ni kan.

Tiba-tiba rasa nak bagi nama anak Amir pula. Contohnya Amir Mukhriz.

Eh! Eh!

Sunday, January 11, 2009

..::PELANGGAN SENTIASA BETUL?::..

Lepas sarapan saya terus pergi Giant. Nak beli barang-barang keperluan. Seperti biasa saya sudah siapkan senarai barang yang mahu dibeli atau barang untuk disurvey harga dulu.

Tolak troli dari satu lorong ke satu lorong. Melalui satu rak ke satu rak. Ambil barang yang ada dalam senarai. Dan semak harga barang yang termasuk dalam senarai akan dibeli kemudian. Jalan-jalan sekitar Giant.

Selesai membeli saya pun blah. Sampai di rumah saya semak resit pembelian. Entah kenapa. Senarai saya cuma ada 7 items. Tapi dalam resit pembelian ada 22 items.

Dan yang paling mengejutkan saya, rupa-rupanya minyak masak 2kg dipunch 2 kali. Oh!! Saya sudah kerugian di situ. Saya cuba hubungi nombor telefon yang tertera di resit pembelian. Berulang-ulang kali. Tidak berjawab. Saya rasa mahu pergi semula ke Giant. Minta penjelasan. Tapi terfikir pula, adakah pihak khidmat pelanggan akan percaya kata-kata saya. Saya jadi buntu. Jika tidak ditegur, mungkin juruwang berkenaan akan lakukan kesalahan sekali lagi. Jika diberitahu, adakah pihak pengurusan akan percaya.

Hmmmm.. atau saya perlu redha?
..::DUA LEBIH BAIK::..

Saya. Kehabisan stok barang dapur. Baik bahan basah mahupun bahan kering. Yang ada cuma biskut serat yang tak ada rasa apa-apa. Tak kan saya mahu makan itu saja. Memang kadang-kadang saya tak kisah. Sebab yang perlu dijaga cuma perut saya seorang. Tapi, mana boleh tahan.

Jadi, saya ambil keputusan untuk bersarapan di luar. Mujur juga ada yang mahu menemankan. Jika seorang, memang makan biskut juga lah.

Saya bersarapan roti canai. Seperti biasa jika makan roti canai, sekeping adalah tidak cukup untuk saya seorang. Maka, 2 adalah lebih baik.



Dan. Roti canai juga kuah dal ini adalah sedap. Rasanya kalau makan 4 keping pun tak jadi masalah pada saya. Ha ha ha. Ok, saya memang kuat makan. Cuma, milo yang saya minum sangat manis. Seperti dicampur gula. Kesalahan di situ.

Oh, kebetulan teman sarapan saya baru 2 hari lepas pulang dari Vietnam. Kerana saya adalah orang terawal jumpa dia, maka saya berpeluang memilih sendiri cenderahati. Dan. Tentu saja saya akan pilih fridge magnet yang cantik ini.



Atam sila jangan cemburu dengan koleksi saya ya. Ha ha ha..

Ok. Saya kembali lapar. Saya mahu makan dulu. Nanti sambung lagi.

Saturday, January 10, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Saya selalu dengar kawan-kawan bercerita tentang keenakan ayam penyet - masakan dari Indonesia. Entah betul. Entahkan tidak. Tak pula saya tahu. Selagi belum cuba, saya tidak boleh beri komen.

Kebetulan di rumah Nazmi, Aisyah keluarkan risalah mengenai Restoran Ayam Penyet. Wah! macam menarik. Niat asal mahu ke pasar malam diubah. Makan di restoran nampak lebih menarik. Lepas Maghrib terus kami ke lokasi. Restoran Ayam Penyet ini baru dibuka di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Mudah untuk dicari. Ia terletak di lorong yang bertentangan dengan Restoran Anje.

Suasana dalam restoran sangat tenang. Ada 2 bahagian. Ruang berhawa dingin dan ruang terbuka. Namun ruang terbuka ini masih lagi di dalam restoran. Saya rasa restoran ni sesuai untuk dijadikan tempat perjumpaan, lepak-lepak dan sembang-sembang. He he he..

Ok. Ini pula apa yang kami makan. Tentulah ayam penyet. Hidangan sampingan kami pilih tauhu dan tempe. Namun, sambal yang disediakan sangat pedas untuk lidah saya dan Salina.



Untuk menjaga kesihatan, saya pilih jus kiwi. Sangat sedap. Oh, sepatutnya kami pilih juga sup atau bakso. Tapi sebab sudah lapar maka kami terlupa. Dan saya adalah seorang yang boleh makan walaupun nasi tu kering.

Dan. Ini ialah salah seorang pelayan restoran. Saya curi-curi ambil gambarnya. Memang Indonesia tulen. Sungguh bersopan santun. Murah dengan senyuman. Juga ada lesung pipit di kiri dan kanan pipinya. Ha ha ha..



Kata Salina yang pernah ke Indonesia, pelayan restoran di sana memang bersopan santun. Perempuan terutamanya. Memang boleh bikin jatuh cinta. Silap-silap haribulan ke Lambok nanti.

Bagi saya yang pertama kali mencuba ayam penyet, hidangan ini lulus di tekak saya. Tapi bagi yang memang sudah biasa mungkin anda ada restoran pilihan masing-masing. Jadi apa salahnya kita berkongsi.
..::LIHATLAH DUNIA::..

Saya terima sms daripada Huda. Dia sudah selamat melahirkan bayi. Perempuan. Lagi. Seberat 3.5kg. Wow!! He he he.. Tahniah untuk Nazmi dan Huda.

Kerana saya tiada apa-apa agenda, jadi saya ambil kesempatan untuk ziarah Huda dan bayi yang baru lahir. Pergi dengan Salina. Kebetulan Nazmi sudah pindah rumah. Berdekatan dengan rumah Salina.

Kerana baru berusia 2 hari, bayi ini masih belum buka mata. Tapi sangat kuat minum susu. He he he..



Itu wajah Aisyah yang sedang 'show off'. Tapi kemudian merajuk setelah ditegur Salina agar dia duduk jauh sedikit daripada adik yang sedang tidur. Adalah menjadi perkara biasa bila dapat adik, si kakak jadi sensitif. Terlebih. Jadi ibu bapa perlu bijak mengawal situasi. Ewaaahhh..

Sekali lagi, tahniah kepada Nazmi dan Huda.

Friday, January 09, 2009

..::TAK TAHU MENARI TAPI LANTAI DISALAHKAN TINGGI RENDAH::..

Sejak musim persekolahan bermula, saya rasa sangat penat. Bukan penat kerana mengurus anak yang bersekolah. Sebaliknya, penat mengurus anak mata saya. Ha ha ha.. Apa tidaknya, dengan jarak hampir 20km, saya perlu rancang perjalanan ke pejabat sebaik mungkin. Jika sebelum ini jalan agak lengang. Tapi bila musim persekolahan bermula, jalan raya mula sibuk. Sesak dengan bas sekolah juga kenderaan ibu bapa yang menghantar anak.

Selalunya. Saya rasa, saya sudah memulakan perjalanan sehabis awal. Dengan harapan, jalan tidak sesak. Saya tidak perlu rasa tertekan. Sesak nafas dengan kenderaan lain yang kadang-kadang boleh melambatkan perjalanan saya. Tapi tetap juga keadaan serupa terjadi. Sampai lewat di pejabat. Ditambah lagi dengan keadaan lif yang uzur di bangunan pejabat saya ini. Dan pejabat saya berada di tingkat paling atas dengan hanya 2 lif diperuntukkan untuk ke sana. Jika guna lif lain, saya perlu naik tangga pula. Sungguh menguji kesabaran.

Maka, sepanjang minggu ni, baru hari ni punch kad saya warna hitam. Ditolak hari semalam sebab ada perhimpunan, 3 hari yang lain semuanya merah. Oh, jika lambatnya seminit dua saya akan tulis alasan 'lif lambat'. Keji kah? Walaupun kadang-kadang saya yang TERlambat keluar dari rumah. Ha ha ha.. Kawan-kawan di pejabat kutuk saya kerana tulis alasan tu. Kenapa mesti lif yang dipersalahkan. Kata mereka kalau saya sampai awal, lambat macam mana lif pun saya tetap masih awal. Tapi saya tidak peduli. Saya rasa alasan itu masih relevan. Yang penting boss saya juga terima alasan itu.

Dan. Yang paling penting. Walaupun saya cakap pada boss, saya lambat sebab malas nak datang kerja, dia masih terima. Selagi saya tidak melampaui batas. Ngeee.. Semoga Allah ampunkan dosa saya ini.

Thursday, January 08, 2009

..::TAK MASUK TELINGA KANAN MACAM MANA NAK KELUAR IKUT TELINGA KIRI::..

Pagi tadi. Ada perhimpunan. Di bangunan lama yang jadi pejabat baru. Pak Menteri mahu beri amanat. Sempena kedatangan tahun baru.

Kami. Beratur beramai-ramai. Mengikut agensi. Persis zaman sekolah. Yang penat, pergi duduk di tembok belakang. Datang 'pengawas' tegur minta bangun kerana Datuk di depan nampak kelibat siapa yang duduk.

Dan. Bila berkumpul ramai-ramai. Jumpa kawan-kawan dari agensi lain. Apa yang Pak Menteri cakap di depan satu pun tidak didengar. Sehinggalah ucapan "Sekian, terima kasih."

Semua tepuk tangan. Lalu, berduyun-duyun pergi makan. Kemudian balik pejabat masing-masing.

Ha ha ha

Tuesday, January 06, 2009

..::DAGANG PAK MALAU DAGANG BERLIPAT::..

Semalam. Balik dari pejabat saya dan kawan-kawan pergi makan. Sekitar Dagang Avenue. Pernah dengar? Di situ ada restoran Wong Solo. Juga ada tempat makan yang katanya artis-artis selalu lepak. Tapi kami tidak la makan di tempat yang artis selalu lepak tu. Kami makan di kedai biasa saja.

Sebab kesihatan perut saya masih belum mengizinkan, saya cuma makan nasi putih + ayam goreng kunyit + air barli suam. Barli kan baik untuk perut. Kawan-kawan saya order kantonis yee mee, kuew teow kantonis, nasi goreng cili padi dan nasi goreng cendawan.

Makanan di sini sebenarnya adalah sedap. Lulus untuk tekak saya dan kami. Tapi yang mencalarkan imejnya ialah servis yang sangat lambat dan tidak sistematik. Saya dan kawan-kawan sampai dulu, tapi order orang yang datang kemudian dapat dulu. Itu tidak patut. Dan, kami order makanan serentak. Tetapi makanan sampai setiap 15minit satu hidangan. Paling mengecewakan nasi goreng cendawan tetap tidak sampai walaupun lebih satu jam tunggu. Kerana sudah tidak tahan, kawan saya order makanan dari gerai lain. Bila nasi goreng cendawan tu sampai, kawan saya cakap sudah tak selera mahu makanan itu. Oh, pelayan itu beri alasan hujan lebat menyebabkan dia tidak dapat hantar makanan. Tapi adakah kami ini tidak punya mata. Yang melihat dia ke sana ke mari hantar makanan menggunakan payung.

Kadang-kadang pekara yang mungkin dianggap remeh ini boleh beri impak yang besar kepada perniagaan. Maka, makanan yang sedap di gerai ini telah gagal menawan hati dek kerana servis yang lambat dan tidak sistematik. Dan. Dagang Avenue bernasib baik kerana semalam hujang sangat lebat. Jika tidak, tentu kami sudah makan di tempat lain. Selamat tinggal Dagang Avenue

Monday, January 05, 2009

..::TEMAN TERULUNG::..

Setelah sekian lama mencari. Setelah sekian lama memilih. Akhirnya. Sempena tahun baru. Saya sudah mempunyai teman. Teman baru. Teman yang nanti tentunya dapat membantu saya menjalani kehidupan seharian. Dengan lebih bermakna. Dan ceria.

Doakan kebahagiaan saya.

Thursday, January 01, 2009

..::DUNIA BARU BARU DUNIA::..

Sekalung tahniah kepada sahabat saya Mariah kerana selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.2kg pada permulaan tahun yang baru.



Selamat datang ke dunia. Lihatlah ia sepuas-puasnya. Dan nikmatilah ia sebaik mungkin.