..::ROJAK::..
Umum mengetahui rojak ialah sejenis makanan. Campuran beberapa jenis bahan makanan atau buah-buahan yang digaul bersama kuah tertentu. Tidak kira sama ada rojak mee atau rojak buah, kedua-duanya sedap dimakan.
Umum juga mengetahui, kebelakangan ini timbul kebimbangan di kalangan ahli akademik dan pengamal bahasa mengenai pengaruh bahasa rojak yang semakin berleluasa. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan yang semakin meluas. Walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, ia seakan-akan tidak berpenghujung. Paling membimbangkan, ada pelajar yang sudah menggunakan bahasa berkenaan dalam peperiksaan. Jika perkara ini berterusan tidak dinafikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mungkin suatu hari nanti hanya akan tinggal di dalam Perlembagaan sahaja.
Semalam, saya berkesempatan menonton rancangan Ally yang turut membincangkan isu berkenaan. Dari tinjauan yang dibuat dapat disimpulkan bahawa usaha mempertahankan Bahasa Melayu, sekaligus memartabatkan bahasa berkenaan sebagai Bahasa Kebangsaan tidak dibuat secara menyeluruh. Pihak Kerajaan juga dilihat seakan-akan tidak telus dalam hal ini. Malah, pihak yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan maruah bahasa kadangkala terpaksa akur dengan 'arahan dari langit' untuk menukar pengunaan perkataan sedia ada dengan perkataan yang dirasakan lebih maju.
Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak. Jauh sekali untuk menyalahkan sesiapa. Dan, saya juga bukan orang yang layak untuk berbicara mengenai isu ini. Sebagai orang Malaysia, kadangkala saya menggunakan bahasa rojak. Bahasa singkatan juga saya gunakan jika berkomunikasi secara khidmat pesanan ringkas. Walau bagaimanapun, atas kesedaran dan rasa tanggungjawab, saya mula menulis blog dengan menggunakan struktur bahasa dan perkataan yang lebih kemas dan teratur. Sekurang-kurangnya kemahiran menulis saya tidak hilang begitu saja.
Berbalik kepada isu berkaitan, semua ini terletak kepada individu. Sejauh mana mahu membiarkan diri hanyut dalam arus kemodenan. Sebagai mana rojak yang sedap dimakan, begitu juga bahasa rojak: ia sedap digunakan bagi sesetengah pihak. Namun jika berlebihan adakalanya ia boleh mendatangkan mudarat.
Jalan2 Cari Makan
4 years ago
5 comments:
Tahniah kerana cik puan menggunakan BM dengan baik dalam penulisan blog!
saya juga selesa dengan bahasa rojak seakan akan ia sudah jadi bahasa dialek rasmi untuk rakyat malaysia.
ANUAR :
Mungkin itu satu titik permulaan kepada usaha saya mahu menulis novel?
MUGIWARA :
Dalam perbualan, itu adalah perkara biasa. Kalau berbual guna Bahasa Melayu buku nanti dah jadi macam drama ..... pulak
Saya sokong!
ANUAR :
Ha ha ha.. Entah di mana lagi mahu cari motivasi.
Sudah malu jika terserempak dengan Mazlia PTS. Manuskrip sudah setahun tak berhantar.
Post a Comment