Thursday, July 16, 2009

..::KAKAK, KENAPA LAMBAT KAHWIN::..

Hari Isnin lepas saya pergi Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Hari terakhir Promosi Kerja Kahwin 2009. Acara ni dah berlangsung sejak 4 Julai lagi. Dan sepanjang acara berlangung dari 4 - 13 Julai, sebanyak 5 kali saya berkunjung ke acara berkenaan. He he he..



Kali ni saya pergi sebab menemankan kawan saya yang bernama Mya. Katanya mahu tinjau-tinjau. Jadi, saya pun tumpang 2 kaki. Walaupun dah banyak kali saya berkunjung. Malah saya sudah hafal kedudukan gerai dan ruang pameran.

Kami jalan sambil kutip-kutip risalah, kad nama dan sebagainya. Tersinggah jugalah di satu dua gerai. Tapi tidaklah membeli. Gigih sungguh pasangan suami isteri jurufoto cakap tarikh yang saya beritahu tu masih kosong. Boleh tempah pakej sebelum jam 8.00 malam. He he he.. Maaf ye dik.

Kemudian kami singgah di gerai Gedung Kad Kahwin. Sebab sudah penat berjalan saya duduk sambil belek-belek contoh kad jemputan. Macam-macam ada. Adik yang jaga gerai ni pun sangat baik hati. Mulut tak berhenti pot pet tetapi bagus serta tidak menyakitkan hati walaupun dia meneka umur saya dengan tepat dan tanya kenapa saya lambat kahwin.



Ini adik kad kahwin yang bernama Ejan. Berumur 27 tahun. Bimbang saya terasa dengan soalannya, cepat-cepat dia minta maaf. Kemudian terus cerita tentang abang dan kakaknya yang juga berkahwin agak lewat. Tak apa dik kakak tak marah pun.

Lepas sudah minta kad nama dan pot pet tentang harga dan jenis kertas segala, saya dan Mya minta diri. Hari sudah menyinsing. Ada tuntutan wajib belum dilaksanakan.

Wednesday, July 15, 2009

..::INI BETUL TENTANG BUBUR::..

Maafkan tajuk entry saya sebelum ini. Tajuk tentang bubur nasi tapi isi perutnya tentang spaghetti. He he he.

Kali ni betul entry tentang bubur. Kisahnya, tadi waktu makan tengahari saya sangat buntu. Tak tahu apa yang mahu dimakan. Biarkan saja kaki menyusur Jalan Tengah. Kiri kanan memang banyak orang jual makanan. Tiba-tiba saya terpandang van yang jual aneka bubur. Dan buburnya sangat menarik dan nampak sedap.

Jadi, saya beli bubur jagung yang memang kegemaran saya. Sedap. Manis-manis buah. Habis isinya saya makan.



Selain bubur jagung, saya juga suka bubur gandum. Tapi rasanya saya belum terjumpa bubur gandum yang sedap selain bubur gandung yang mak saya masak.

Sekian, entry tentang bubur.

..::BUBUR NASI ITU BUBUR, BUKAN NASI::..

Sebenarnya entry ini sudah seminggu terdampar di dalam draft. Di rumah, kadang-kadang agak perlahan jika mahu masukkan gambar. Tapi, malam ni ok pula. Jadi saya published saja entry ini.

Sejak kejadian jeans penanda aras tidak dapat dipakai 3 minggu yang lepas, saya buat keputusan untuk mengurangkan pengambilan nasi. Sementelah saya pun malas memasak dan tidak ada bahan mentah di dalam peti sejuk, itu lebih memudahkan misi saya.

Tapi saya tetap perlu makan. Kerana dibimbangi kejadian tekanan darah rendah berulang lagi. Lalu saya gagahkan diri untuk menyediakan satu masakan ringkas, mudah dan tentu sekali sedap.

Mula-mula sekali sediakan bahan-bahannya. Sukatan lebih kurang untuk 2 orang makan dengan sekali tambah. Maksudnya 4 pinggan-lah.

1 biji tomato. 1 biji cili merah. 4 - 5 ulas bawang putih/merah. 1 biji bawang besar. Maaf saya kehabisan bawang besar. Jadi, ia tiada dalam gambar. Semua bahan ini dipotong dadu.



1 tin 220g tomato puri (guna 1/2 tin sahaja), 6 sudu sos cili, cendawan butang (ikut kegemaran. Jika suka letak banyak lah) dan lebih kurang 1/4 daripada paket daging kisar sedia ada (juga sebenarnya ikut kegemaran). Jangan lupa sedikit air serta garam dan gula secukup rasa.



Cara-caranya:
(1) Cuci, kemudian sanga dulu daging tu untuk hilangkan air dan sedikit bau hanyir. Kemudian bila dah agak kering angkat dan gaul dengan campuran tomato puri, sos cili serta tomato dan cili yang telah dipotong dadu.

(2) Panaskan lebih kurang 3 - 4 sudu besar minyak. Tumiskan bawang sehingga kekuningan.

(3) Masukkan campuran daging, tomato dan cili tadi serta sedikit air dan masak sehingga pecah minyak.

(4) Tambahkan garam dan gula secukup rasa.

(5) Akhir sekali masukkan hirisan cendawan. Masak sehingga cendawan empuk.



Begitulah lebih kurang rupa paras kuah yang sedang mendidih di dalam kuali.

Setelah siap, bolehlah dihidangkan dan makan.



Oh, saya tidak tunjuk cara-cara merebus spaghetti kerana saya yakin semua orang tahu bagaimana.

Dan. Sedikit amaran. Jika nanti kamu mencuba resepi ini, tetapi hasil dan rasanya adalah tidak sesedap mana, sila jangan salahkan saya. Ia adalah tentang kebolehan dan perasaan yang lahir dari hati ketika memasak itu. Sungguh.

Jadi, selamat mencuba.

Tuesday, July 14, 2009

..::HATI MANUSIA BERUBAH-UBAH MACAM CUACA::..

Rutin bila Dato' tak ada. Bebanan kerja saya bertambah. Pelik bukan? Saya juga kadang-kadang tidak faham, apatah lagi orang lain.

Saya sangat sibuk. Sibuk dengan kerja pejabat. Sibuk dengan kerja rumah. Sibuk dengan pameran kerja kahwin.

Saya tak punya masa untuk melawat blog sendiri. Saya juga tidak punya masa untuk membaca blog kegemaran saya.

Tapi, hari ini saya curi juga masa. Kerana saya mahu melepaskan keluhan. Sedikit.

Friday, July 10, 2009

..::AIR::..

Saya sedang melalui fasa kekurangan air dalam badan. Sehingga pecah-pecah bibir saya.

Lalu, saya minum air kosong dengan banyak. Satu tumbler yang tinggi dan besar tu boleh habis dalam tempoh yang singkat.

Tetapi kemudian saya asyik mahu pergi buang air pula.

Macam mana-lah?

Thursday, July 09, 2009

..::HEAVEN::..

Bagi orang seperti saya, memang heaven bila dapat membeli belah. Walaupun hanya membeli di atas talian.



Dan. Ini koleksi saya yang baru dibeli di Batik Heaven.

Silalah berkunjung. Anda pasti tertawan. Tanpa rasa kesal.

Wednesday, July 08, 2009

..::SEBARANG SURAT-MENYURAT TIDAK AKAN DILAYAN::..

Biasalah kan. Adat pertandingan. Ada yang menang. Pasti ada yang kalah.

Dan. Selalunya pihak yang kalah tidak dapat menerima hakikat kekalahan. Lalu, berduyun-duyun surat bantahan terhadap keputusan pertandingan dilayangkan.

Penat rasanya. Tolonglah. Terima hakikat. Tak semestinya kamu glamour, maka setiap pertandingan yang kamu sertai kemenangan akan berpihak kepada kamu. Dan. Tak semestinya kumpulan yang dikatakan mentah dan setahun jagung itu tidak mempamerkan persembahan yang mantap sehingga mampu memikat hati juri dan layak untuk menang.

Tapi, macam tu lah manusia. Selalu tak mahu terima hakikat kekalahan dan kelemahan diri. Dan. Selalu juga mahu meletakkan kesalahan di bahu orang lain.

Monday, July 06, 2009

..::DARI PENANG KE BOMBAY::..

Saya masih dalam misi pencarian cincin. Untuk apa, biarlah rahsia. Ahaks.

Kawan baik saya beri cadangan. Pergilah cari emas di Jalan Masjid India, katanya. Di situ ada banyak kedai emas. Tentu saja ada banyak pilihan.

Maka, sebagai kawan baik saya pun menurut cadangannya dan menjalankan misi meneroka Jalan Masjid India. Dengan niat mahu melombong emas. Bermula dari kedai emas di dalam Semua House, sehingga ke hujung deretan kedai di Jalan Masjid India. Dari Emas Seri Pinang sehingga ke Bombay Jeweleries dan entah apa-apa lagi nama kedai yang saya pergi.

Memang ada banyak kedai. Memang ada banyak emas. Malah harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Tetapi yang banyak adalah saiz cincin untuk kawan baik saya itu. Bila ditanya tentang saiz cincin saya, pembantu kedai pun terasa lucu. Eh, kawan saya cakap anak dia yang umur 5 tahun pun ada saiz cincin, tak 'kan lah untuk saya tak ada.

Hmmm.. Golongan terpilih agaknya saya ni.

Friday, July 03, 2009

..::ANCAMAN YANG DITAKUTI::..

Hari ini. Saya baru kembali ke pejabat. Boss saya bagi banyak kerja. Bercakap pula sambil terbatuk-batuk.

Saya katakan padanya sila pergi buat pemeriksaan. Dibimbangi itu adalah jangkitan H1N1.

Tapi katanya, yang selalu risaukan H1N1 ni cuma orang perempuan sahaja. Orang lelaki lebih bimbang ancaman B1N1.

Apakah? Ha ha ha.

Wednesday, July 01, 2009

..::MUJUR FB & BLOG TAK ADA PADA ZAMAN DULU::..

OK. Sila marahkan diri sendiri yang degil.

Saya sepatutnya baca buku untuk peperiksaan. Tapi saya begitu sibuk bercucuk tanam di FB. Di samping itu, saya juga sibuk membaca dan membalas komen di blog saya ini. Kemudian, saya tulis entry baru. Tidak ketinggalan, saya juga melawat blog-blog yang dikemaskini.

Pagi tadi saya sudah selesai satu peperiksaan. Rasa mahu menangis pun ada bila tangan sudah lenguh-lenguh menulis. 3 jam masa diberi untuk menjawab 5 soalan esei. 5 soalan tu hanya tajuk besar. Daripada 5 itu, dipecah-pecahkan lagi kepada 3 - 4 soalan kecil. Sebenarnya rasa mahu menangis juga bila saya cuma sempat jawab 4 daripada 5 soalan yang sepatutnya.

Ok. Sekali lagi sila salahkan diri sendiri yang tidak baca buku dan sibuk bercucuk tanam di FB serta melawat-lawat blog. Oh, semalam saya juga begitu asyik menonton siri Ugly Betty dan Desperate Housewives.

Mujur juga FB dan blog tak ada pada zaman dahulu ketika saya masih bergelar pelajar. Kalau tidak, tentu saja saya leka dan sekaligus melingkupkan pelajaran saya. Lalu, entah apa akan jadi pada nasib saya. Hmmm.. OK.. masa tidak boleh diundur semula. Itu hakikatnya.

Jadi, pergi baca buku dan tinggalkan FB dan blog buat sementara waktu. Demi masa depan. He he he

..::MENGUNDUR WAKTU::..



Seorang kawan minta saya tonton klip video berkenaan. Serius. Sangat sweet.

Dan. Sesungguhnya tiada satu waktu pun yang dapat diundur semula.

Tuesday, June 30, 2009

..::DEMI MASA::..

Saya rasa macam lambatnya masa berlalu. Sejak akhir-akhir ni selalu pula rasa macam tu.

Menghitung hari. Detik demi detik. Memang lah kan? Rasa lambat saja.

Cuba kita biar saja hari-hari itu berlalu. Kata orang, ikut saja flow

Siang malam silih berganti. Sedar tak sedar tiba-tiba dah sampai ke penghujung tahun.

Hmmmm.. Abaikan sajalah entry saya yang tiada arah tujuan ini.

..::ILMU SULUH HIDUP::..



1 dan 2 Julai nanti saya akan menghadapi peperiksaan. Ngeri juga rasanya. 3 jam masa diberi untuk menjawab soalan esei. Tangan masih sengal-sengal dek main badminton Sabtu lepas. Kemudian esok lusa mahu menulis pula. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka nanti.

Oh, peperiksaan saya akan berlangsung di Dewan MARDI, Serdang bermula 9.30 pagi sehingga jam 12.30 tengahari. Dan saya diberi cuti tanpa rekod. Jadi, ada sesiapa yang mahu makan tengahari bersama saya pada hari berkenaan? Jangan malu-malu untuk beritahu saya.

Doakan saya ya!!

Monday, June 29, 2009

..::BUKAN PILIHAN::..

Sejak akhir-akhir ini saya agak sibuk. Macam-macam hal perlu dibereskan. Ditambah pula dengan sifat-sifat negatif yang kadang-kala berjaya menggoyahkan sifat positif yang selalu saya ingin tanamkan.

Kerana hambatan masa jadi makan minum saya agak tidak teratur. Belasah sahaja. Janji perut diisi.

Hari Rabu lepas, saya balik lambat. Ada mesyuarat pagi dan petang. Rasa tepu kepala dan otak. Jadi, saya tapau saja laksa untuk dijadikan makan malam.



Laksa ni rasanya biasa-biasa sahaja. Saya tidaklah mahu komen lebih-lebih kerana saya bukannya pandai masak laksa. Tapi saya agak musykil kerana laksa ini kuahnya agak berminyak. Setahu saya kuah laksa direbus terus tanpa tumis. Kecuali (mungkin) dia menggunakan ikan sardin tin macam resepi adik ipar saya. Sebab ikan sardin tin memang sedia kala berminyak. Kan?

Hmm.. apa-apa pun bersyukurlah dengan rezeki. Nak harap saya masak sendiri tidaklah. Dan kepada mana-mana lelaki (bujang) yang gemarkan laksa dan mahu makan selama 3 hari berturut-turut, saya bukanlah calon isteri pilihan untuk anda.

..::1 MALAYSIA - RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN::..



Sila maafkan entry saya kali ini. Tajuknya sahaja sudah buatkan saya rasa sesuatu. Tapi jangan risau, isi perutnya hanya perkara biasa sahaja. Tidak ada kaitan dengan pilihanraya kecil DUN Manik Urai. Ha ha ha.

Sebenarnya hari Sabtu yang lalu sesudah subuh saya berada di Dataran Merdeka. Sempena pelancaran logo dan lagu 1 Malaysia serta senam seni Malaysia.



Kalau ikutkan hati memang malas sangatlah mahu bersesak di Dataran Merdeka pagi-pagi hari. Tapi memandangkan saya ada misi yang perlu dicapai sebelum hujung tahun, maka saya bersedia untuk bersenam tidak kira masa dan ketika.

Hmmm saya malas mahu bercerita. Kamu tengok saja gambar dan wajah-wajah yang dikatakan 1 Malaysia itu. Iye ke? ha ha ha







Ok. Itu saja lah. Sebenarnya ada banyak lagi gambar tapi saya malas dan tak ada mood. (Banyaknya perkataan malas dalam entry ni)

Lepas habis senam seni saya pergi main badminton pula. Ya, saya perlu gigih sekarang ini.

Friday, June 26, 2009

..::HUJAN SUDAH BERLALU NAMUN JEREBU MASIH BERSISA::..

Saya. Mengaku.

Memang seorang yang degil.

Namun. Saya juga tetap manusia.

Yang pasti bertolak ansur.

Untuk perkara-perkara yang lebih utama.

Cuma. Kenapa peluang saya itu dinafikan?

Thursday, June 25, 2009

..::BILA ADA HUJAN YANG MENGHILANGKAN WARNA-WARNA PELANGI::..

Saya.

Kecewa.

Teramat sangat.

Noktah.

Wednesday, June 24, 2009

..::MUTE::..

Saya penat.

Dan saya mahu berdiam diri.

Tuesday, June 23, 2009

..::BUKAN ORANG DALAM::..

"..bukan majlis pertunangan, sebaliknya hanya merisik.. dia bukan orang dalam industri seni dan kami tidak berkenalan lama.."

"..buat sementara hanya itu yang boleh saya katakan. Penjelasan ini saya buat bagi mengelak timbul salah faham memandangkan gosip yang disebarkan itu tidak benar.."

"..Tunggulah apabila tiba masa sesuai saya akan beritahu segalanya tetapi buat masa ini, kalau boleh tidak mahu ia digembar-gemburkan hingga menjadi kecoh.."

"..Terlalu awal sebenarnya untuk saya menceritakan kerana segalanya masih dalam perancangan. Namun, apa yang boleh saya katakan, dialah jejaka yang berjaya membuka hati saya.."


Eeerr.. semua penjelasan di atas juga boleh dibaca dalam Harian Metro. Ihiks..

Monday, June 22, 2009

..::JIKA 10 TAHUN LALU::..

10 tahun yang lepas.

Harga emas cuma sekitar RM68.00 satu gram. Pelajar pun mampu beli. Malah, birthday pun boleh hadiahkan emas.

Hari ini.

Harga emas mencecah RM122.00 satu gram. Gila mahal!!! Nak beli cincin belah rotan pun berkira-kira.

Hmmm.. Tapi U tak kisah, kan?

Friday, June 19, 2009

..::AYAM::..

Saya ada seorang kawan. Kawan saya ni sedang mengandung. Katanya, sejak mengandung dia sangat tidak berselera untuk makan lauk ayam.

Tapi, saya pula sebaliknya. Hari-hari kalau boleh mahu makan lauk ayam. Asal cari makan, lauk ayam jugalah yang lebih menarik.

Eh, relevan kah perbandingan itu? he he he

..::TOK RIMAU::..



"Bila rindukan i, u peluklah patung rimau ni."

Thursday, June 18, 2009

..::MAKAN BILA LAPAR BERHENTI SEBELUM KENYANG::..

Sejak akhir-akhir ini saya asyik berasa lapar. Selepas makan pun saya masih rasa mahu makan, makan dan makan. Tak kira apa jenis makanan pun. Perut sentiasa minta diisi.

Pelik juga. Adakah apa yang saya makan itu tidak memberi kekenyangan kepada saya? Padahal saya sudah makan nasi, kuih, cokelat, air berperasa dan macam-macam lagi.

Mungkin juga ini penyakit baru yang melanda diri saya. Redha sajalah selagi ia tidak membawa kemudaratan. Hmmmm

..::AWARD LAGI::..

Terima kasih kepada Arin yang telah menganugerahkan saya award ini. Juga terima kasih kerana ia telah memberi saya peluang untuk kemaskini blog. Malu pula rasanya. Blog yang dikatakan amazing tapi tak ada bahan untuk dikemaskini. Tapi biarlah.



Oh, ada peraturan tentang award ini. THE RULES: (1) Write five (5) interesting facts about the person who gave you this award. (2) Jot down ten (10) interesting facts about yourself or your hobbies. (3) Pick your ten (10) most deserving receipients and describe them. (4) Leave a comment on the receipients' blog to tell them they've been tagged. (5) Paste the award badge in your sidebar.

Mari kita mulakan.

5 Perkara menarik tentang Arin - Arin ini kawan adik saya yang katanya walaupun dulu sama tempat belajar tapi tidaklah berkawan sebab adik saya kerek. Arin ada mak yang cantik dan saya mahu tahu apa petua untuk kekal kelihatan begitu walaupun sudah berusia. Dia seorang peguam dan juga blogger yang menulis sesuatu yang menarik. Arin dan saya satu 'kampung'.

10 fakta tentang saya - Oh, sudah banyak tag yang minta perkara begini. Seperti biasa, fakta yang sudah diketahui ramai saya ada koleksi pakaian yang boleh dipakai selama lebih 3 bulan tanpa mengulang satu pun. Selain itu saya ada lebih 20 pasang kasut. Saya boleh memandu kereta manual dan auto. Saya suka membeli belah. Saya pencinta hijau. Saya pandai masak dan tentu sekali suka makan. Saya juga pandai menjahit. Dan saya mempunyai ciri-ciri menantu yang diingini oleh makcik di luar sana. he he he.

Peraturan ini minta disenaraikan 10 blog. Tapi, peraturan manusia boleh diubah dan saya mahu mengubahnya kerana saya hanya mahu panjangkan anugerah ini kepada mereka:

Water Lily seorang penulis blog yang sangat saya kagumi. Kalau kamu kenal dia, mesti kamu rasa apa yang saya rasa. Kekurangan tidak menjadi penghalang langsung bagi beliau.

Saya mahu anugerahkan setem ini kepada blog peribadi Mya. Saya kenal Mya dari zaman remaja lagi. Kami satu sekolah, satu IPT, pernah satu rumah, pernah berjiran sewaktu di Sentul, pejabat pun tak jauh dan macam-macam lagi. Banyak kenangan kami. Tapi yang penting apa yang pernah berlaku sedikit pun tak jadi penghalang untuk kami terus bersahabat. Bersahabat dari hati seiring dengan pertambahan usia dan kematangan diri.

Tasik Merah yang menulis secara bersahaja. Kadang-kadang pendek saja entrynya. Tapi cukup mencuit hati. Mungkin dia mendapat ilmu menulis secara tidak langsung daripada bapa mertuanya.

Cik Daun yang menjadi kawan baik sejak saya menjadi blogger. Ada yang tidak percaya bahawa kami kenal hanya melalui blog. Kenapa, tak percaya?

Kawan poyo dan gedik yang saya kenal juga melalui blog. Kak Pnut sudi-sudikanlah terima award ini ya.

Dan saya juga mahu beri anugerah ini kepada blog periuk tanah kepunyaan kakak saya. Saya selalu lapar dan berharap bila pergi rumah dia, ada makanan-makanan yang boleh saya tapau. Relevan kah?

OK. Cukuplah tu. Nanti saya sambung lagi dengan entry lain. Kepada yang sudah diberi award ini, terimalah dengan hati yang terbuka. Oh, sesiapa yang pernah beri saya award tetapi belum diletak di sisi blog ini harap jangan berkecil hati ya. Nanti saya akan kemas kini. Terima kasih semua.

Tuesday, June 16, 2009

..::SABAR ITU ADA HIKMAHNYA::..

Seorang makcik cool yang saya jumpa minggu lepas cakap saya seorang yang sabar kerana boleh bertahan sehingga ke hari ini walaupun ahli keluarga saya yang lain termasuk adik sudah mendirikan rumahtangga malah sudah punya anak.

Ya, saya mampu bersabar kerana baru sekarang anak makcik muncul. Ha ha ha.

Ok itu bukan jawapan sebenar.

Sunday, June 14, 2009

..::KESILAPAN LELAKI KEUNTUNGAN WANITA::..

Adalah menjadi satu kesilapan bagi lelaki apabila meminta seorang wanita (normal) menunggunya di dalam kedai emas sementara dia pergi menunaikan solat.

Kerana di akhirnya nanti dia perlu membayar harga barang kemas yang telah menawan hati si wanita itu.

Dan. Lain yang dicari, lain pula yang dapat. Tapi ia tetap berbaloi!!

Friday, June 12, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI IV::..

Ok saya mahu habiskan cepat-cepat cerita tentang Sabah. Minggu depan perlu datang dengan kisah yang baru. Hmmm kalau ada lah.

Untuk balik ke Kota Kinabalu, kami masih menggunakan jalan yang sama untuk datang tempoh hari. Alhamdulillah perjalanan kali ini amat lancar.

Sepanjang jalan turun ke KK kami singgah di dua tempat. Satu di Gunung Alab Resort yang kami singgah sewaktu naik tempohari dan satu lagi di Masakob Waterfall. Tapi Masakob Waterfall ni tutup sebab hari minggu. Jadi kami ambil gambar di luar pagar sahaja.



Sampai di KK menjelang tengahari. Terus ke Kinabalu Daya Hotel untuk daftar masuk. Kemudian kami keluar semula untuk ke Papar. Pergi rumah kawan pejabat kami.



Perjalanan dari KK ke Papar terasa seperti perjalanan di Port Dickson. Menyusur pantai dan ada resort dan rumah-rumah yang macam di Port Dickson. Dan saya rasa penduduk Papar sangat sukakan warna oren kerana kebanyakan rumah di sana dicat dengan warna berkenaan. Begitu juga dengan rumah kawan saya itu.

Keluarga kawan saya bawa kami makan di sebuah restoran di Pekan Papar. Tak ada gambar juga sebab kami semua kelaparan. Saya makan nasi goreng seafood yang sangat banyak kuantitinya. Alhamdulillah sedap dan habis juga saya makan.

Selepas balik dari Papar, aktiviti diteruskan dengan menjelajah bandar Kota Kinabalu. Mungkin hati saya sudah tidak sabar mahu balik ke Semenanjung, jadi tidak banyak gambar diambil menjelang hari-hari terakhir di Sabah.



5 hari 4 malam berada di Sabah memberi banyak kenangan. Saya mahu berlama-lamaan di Sabah. Tetapi hati saya juga meronta-ronta mahu kembali ke Semenanjung. Jadi, mungkin jika ada rezeki saya akan kembali ke Sabah. Untuk siri percutian yang lain pula.

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI III::..

(7 Jun 2009>

Hari terakhir di Keningau. Asalnya semalam Bibi mahu bawa kami ke ladang tenusu miliknya. Tapi memandangkan Bibi perlu balik ke KK dan urusan kami di majlis persandingan pun belum selesai, terpaksalah kami lepaskan peluang yang menarik itu.

Mula-mula kami pergi sarapan dulu di Pekan Keningau. Restoran Rahmat. Agak sesuatu berlaku di sini sebab lepas makan semua rasa sakit perut. Maka kami makan dan cepat-cepat balik semula ke hotel. Ha ha ha. Lepas selesai semua maka kami pun mendaftar keluar.



Selamat tinggal Hotel Perkasa.


Kami tak terus pulang ke KK. Sebaliknya ambil peluang untuk bersiar-siar dulu di sekitar Keningau. Kerana dulu U-ud pernah belajar di Maktab Keningau, maka kami tidak menghadapi sebarang masalah seperti sesat atau tersalah jalan.



Kenangan di Keningau di akhiri dengan gambar beramai-ramai di sebelah kereta yang hebat.



Sampai jumpa lagi

Thursday, June 11, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI II::..

(5 Jun 2009)

Saya masih di Sabah. Jadual perjalanan saya adalah Kota Kinabalu - Keningau - Kota Kinabalu. Jadi di Kota Kinabalu saya perlu buat tempahan hotel untuk 2 malam yang berlainan. (eh, macam kecelaruan saja ayat saya ini. ha ha ha. Pedulikan lah). Kami menginap di Best Western Kinabalu Daya Hotel. Berhadapan dengan Wisma Merdeka.

Saya terlupa untuk rakam gambar rupa paras hotel ini dari luar. Tapi, seperti kata pepatah, jangan menilai isi buku dari kulitnya. Ini adalah rupa di dalam bilik hotel kami.



Saya pilih bilik keluarga. Harga bilik ialah RM270.00 untuk satu malam + sarapan pagi. Oh, saya dapat kadar untuk kakitangan Kerajaan. Sangat berbaloi kerana hotel ini berada di tengah bandar. Jadi, boleh berjalan kaki sahaja jika mahu ke tempat membeli-belah.

Perjalanan saya pada 5 Jun ini ialah ke Keningau. Keluar dari KK lebih kurang jam 10.00pagi. Singgah sarapan dan makan tengahari di Penampang. Untuk ke Keningau saya difahamkan ada beberapa jalan yang boleh digunakan. Tetapi kami memilih untuk menggunakan jalan Bukit Mas melalui Banjaran Crocker.



Ini kenderaan hebat yang kami naik. Kata pemandunya yang kacak, di Sabah memang rata-rata penduduknya menggunakan kenderaan begitu. Bersesuaian dengan bentuk muka bumi. Bayaran bulanan hampir RM900 juga katanya. Tapi jika di semenanjung, memang dia tak mampulah nak miliki kenderaan itu. Ok. Dapat tumpang pun sudah cukup seronok.

Perjalanan dari KK ke Keningau sepatutnya mengambil masa 2 1/2 jam sahaja. Tetapi, siapa kita untuk menentukan apa yang akan terjadi. Dalam perjalanan kami tersekat oleh satu kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas di 'siring' jalan. Hampir satu jam (mungkin) kami tersangkut di situ. Kereta sudah berderet-deret di kedua-dua hala. Memang tak boleh buat apa-apa. Di kiri lereng bukit, di kanan gaung.



Dalam gambar tu kelihatan kren sedang cuba mengangkat lori yang terbabas. 'Memek' jugalah kepala lori tu. Tapi saya rasa pemandunya hanya cedera. Agak ngeri untuk membayangkan jika mana-mana kenderaan terjunam ke dalam gaung di situ.

Bila semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan. Kerana sudah lewat untuk sampai sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan jam 2.30 petang, kami pun bersantai-santai sahaja dalam perjalanan.



Sepanjang perjalanan kami berhenti beberapa kali. Gambar 1: Saya bergaya di hadapan papan tanda ke arah Taman Banjaran Crocker. Sejuk sangat udara di situ. Gambar 2: Pemandangan banjaran, hutan belantara dan gunung ganang segala. Gambar 3: Sebenarnya dari atas tempat saya berdiri tu boleh nampak seluruh Pekan Tambunan Gambar 4 : Gerbang menuju ke Gunung Alab Resort Gambar 5: Perkampungan padi huma dalam perjalanan ke Keningau selepas Tambunan. Entah apa nama kampung tu. Tak ingatlah. Nama kampung yang saya ingat cuma Dongongon sahaja.

Sampai di Keningau waktu sudah petang. Terus daftar masuk di hotel. Kami memilih Perkasa Hotel kerana ia dekat dengan lokasi majlis perkahwinan yang akan dijalankan nanti.



Ini gambar yang diambil sebelum balik semula ke Kota Kinabalu. Letak dulu. Jangan pula nanti kata kenapa saya pakai baju berulang kali. Oh saya bukan begitu. Ahaks.

Sampai di Keningau sudah lewat. Dan kami cuma makan sekali sahaja pada siang hari. Rasa lapar jangan cakap lah. Tapi terpaksa tahan kerana nanti malam mahu ke rumah pengantin untuk majlis berinai. Eeerrr kita makan di situ sahajalah.

Wednesday, June 10, 2009

..::ZOOM MALAYSIA - SABAH SIRI I::..

* Diedit semula pada 11 Jun 2009

Minggu lepas dari 4 hingga 8 Jun saya bersama 2 orang kawan telah terbang ke Sabah. Perancangan ke Sabah telah dibuat seawal bulan Februari lagi. Iyalah kan. Kalau mahu tiket yang murah mesti buat tempahan ketika promosi. Tiket yang saya dapat bernilai RM444.00 (pergi dan balik) menggunakan Malaysia Airlines. Mungkin ada lagi yang lebih murah, tetapi itu sudah cukup murah daripada harga biasa.

Tujuan utama ke Sabah ialah untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan pejabat saya di Keningau. Cerita tentang majlis nanti akan menyusul dalam entry lain. Oh, ada kawan saya sms jika kenduri di Sabah pun saya boleh pergi tentu saja yang di semenanjung ini tiada masalah. Ha ha ha.. InsyaAllah.. Lagipun majlis tak akan berjalan jika salah seorang daripada kita tiada. Kan? *wink*wink*

Saya berlepas dari KLIA jam 14:15PM, 4 Jun 2009. Mari kita layan gambar saja lah.



Indah sungguh ciptaan Allah. Awan kepul-kepul dengan langit yang cukup biru. Tapi itu bukan langit di Kuala Lumpur. Langit tu ketika sudah hampir separuh perjalanan. Gambar kecil ialah pemandangan sekitar Putrajaya/Dengkil. Gondol sahaja. Manalah tidak berjerebu udara di sini. Hmmm.

Ini set hidangan makan tengahari saya. Kerana itu saya memilih MAS. Saya mahu menikmati apa yang dikatakan Malaysian Hospitality.



Maaf gambar adalah bergegar kerana walaupun di udara, pergerakan kapal itu tetap seperti berada di atas jalan raya yang berlopak-lopak. Kalau kakak saya yang pertama kali menaiki kapal terbang itu, mesti terasa takut dengan keadaan yang dialami.

2 1/2 jam penerbangan kadang-kadang agak membosankan. Maka saya dan kawan-kawan buat aktiviti yang tidak lain dan tidak bukan ialah mengambil gambar.



Ini percubaan saya untuk mengambil gambar sendiri. Percubaan gagal kerana tangan saya tidak cukup panjang. Maka semuanya tinggal separuh sahaja.

Penerbangan kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang baru jam 16:40PM. Jam 4.00 petang di Sabah, matahari sudah mula condong.



Selesai urusan kemasukan, kami bergegas mahu cepat sampai ke hotel. Kewajipan belum lagi ditunaikan. Mujur kenderaan sudah sedia menunggu.

Selesai hari pertama. Hari kedua saya di Sabah akan menyusul dalam entry lain.

..::AWARD::..

Di dalam dunia blogging ini selain daripada tag, memberi award juga sudah menjadi trend.

Sebelum ni sebenarnya ada juga beberapa orang yang telah beri award kepada saya. Tapi masa tu saya macam ala-ala tak faham sangat konsep award ni. Ha ha ha. Jadi sila maafkan saya jika saya tidak salin dan tampal award tu di sini. Nanti saya cari baliklah benda tu semua.

Ok. Sebelum saya terus buat entry tentang perjalanan selama saya bercuti di Sabah, saya letak dulu award yang telah diberi oleh Olin. Thanks ye dik.



Dan. Saya rasa tahun 2009 memang tahun bertuah saya!!!!

Friday, June 05, 2009

..::TERBANG::..

"Kamu yang bawa ku terbang, kamu lah jua yang membawa cinta ke dalamnya"


Thursday, June 04, 2009

..::SEKADAR BERCUTI::..

Mulai hari ini saya akan bercuti. Sehingga hari Isnin.

Percutian saya ini tiada kaitan dengan aktiviti mengukur langsir atau mengecat rumah di kampung. Saya sekadar mahu bercuti.

Saya tidak buat entry berjadual. Jadi, blog ini mungkin akan dikemaskini. Atau mungkin juga tidak.

Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat. Sampai jumpa lagi!

Wednesday, June 03, 2009

..::BERCAMPUR-BAUR::..

I
Hari ini. Rasa masa tu macam lambat saja berlalu. Saya seorang sajakah yang rasa begitu?

II
Cuaca di luar tidaklah terlalu panas. Dan tidak juga mendung. Sejak akhir-akhir ni kerap pula hujan pada waktu petang. Bagus juga. Tak lah kepanasan waktu malam. Saya yang sebelum ini tak pernah pasang kipas waktu tidur pun sudah mula belajar berkipas kerana sudah tidak tahan.

III
Saya dapat tahu kebanyakan tukang jahit sudah tidak ambil tempahan untuk baju raya. Jika diikutkan, puasa pun belum lagi. Tapi sekarang ramai yang mahu buat persiapan awal. Saya pun belum tempah baju untuk hari raya. Dan hari-hari yang lain. Hmmm.. Mana mahu cari tukang jahit ni.

IV
Mungkin juga saya sudah dalam mood bercuti.

Tuesday, June 02, 2009

..::SYURGA CINTA::..

Jodoh itu terbahagi kepada 3

Jodoh dari Syaitan
Jodoh dari Jin
Jodoh dari Allah - kamu bertemu, berpandangan, terus menusuk kalbu. Kamu melamar dan lamaran kamu diterima. Kamu bernikah. Dan hidup bahagia sehingga akhir hayat. Itu yang dinamakan Syurga Cinta.



Hujung minggu lepas saya pergi menonton filem Syurga Cinta. Buah tangan penerbit David Teo dan arahan oleh Ahmad Idham. Dengan barisan pelakon utama terdiri daripada Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.

Selepas Filem Sepi, ini filem Melayu kedua yang saya tonton di panggung dan saya menangis. Saya tersentuh dengan Sepi kerana ia mengajar kita makna sepi dengan lebih luas. Syurga Cinta pula menyentuh hati saya kerana mesej keinsafan yang cuba disampaikan menerusi filem ini terus menyentap dan meresap dalam jiwa. Ditambah dengan alunan tiupan seruling Mohar melatari babak, cukup menusuk kalbu. Cuma saya tertanya-tanya di mana lagu runut bunyi yang katanya dinyanyikan oleh Hafiz Hamidun itu?

Tidak keterlaluan jika saya katakan filem Syurga Cinta juga layak menandingi filem Ayat-ayat Cinta dari seberang. David Teo sebagai penerbit saya lihat begitu bijak menghasilkan filem-filem yang dekat dengan penonton. Walaupun pernah gagal dalam percubaan menghasilkan filem berunsur keislaman menerusi Syukur 21, beliau tidak pernah berputus asa. Hasilnya, filem Syurga Cinta sangat berjaya. Saya harap beliau akan terus menghasilkan filem-filem sebegini yang lebih memberi pengajaran, jika mahu dibandingkan dengan filem-filem seram dan mistik yang dikeluarkan oleh syarikat beliau.

Filem Syurga Cinta sangat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Inilah filem Malaysia yang patut kita sokong. Tahniah kepada David Teo. Tahniah kepada Ahmad Idham. Juga tahniah kepada para pelakon yang berjaya membawakan setiap watak dengan begitu berkesan. Jauh di sudut hati saya sebagai peminat Awal Ashaari, berdoa agar filem ini juga memberi kesan dalam kehidupan seharian beliau bukan sekadar lakonan semata-mata.

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi".

InsyaAllah, saya sudah bertemu pelangi.

Monday, June 01, 2009

..::BELUM BOLEH DIBUKA::..

Happy Birthday To You

Semoga kasih sayang kita diredhai Allah dan berkekalan.. Sampai Syurga.. InsyaAllah..



I belum mampu nak belikan hadiah yang U nak.

Tapi, I bagi hadiah yang lebih berharga daripada segala kebendaan itu. Diri I. Cuma, balutan hadiah ni belum boleh dibuka. Sabar ya.

Saturday, May 30, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Hari ini perasaan saya sangat lapang. Seperti biasa saya hanya mengikut flow sahaja.

Menjelang tengahari saya pergi Bandar Baru Bangi. Ada sedikit urusan di sana. Pada perancangan asal, hari ini saya mahu masak di rumah. Tapi bila sudah berada di luar dan berasa lapar, tentu perasaan malas menjadi-jadi. Apatah lagi restoran ada di merata-rata tempat.

Jadi, selesai saja urusan saya terus pergi tempat makan. Saya memang sudah fokus restoran mana yang menjadi pilihan. Menu juga sudah ada dalam otak.



Ya. Sekali lagi saya pilih JM Bariani House. Lokasinya ialah di deretan kedai di bahagian belakang Al-Ikhsan. Berhampiran Restoran Bamboo.

Kerana kelaparan, saya pilih bariani ayam. Saya tambah juga papedom.



Cuma saya sedikit kecewa kerana di cawangan ini tidak menyediakan bandung cincau. Tetapi, bandung soda juga boleh mengubat kekecewaan saya. He he he.. Asalkan ia bandung, kan.



Oh, selain daripada sirap bandung, saya lihat ramai juga pengunjung yang memesan air roselle. Nampak menarik. Mungkin lain kali saya boleh cuba.

Kerana saya menikmati hidangan dengan gembira walaupun bersendirian, mungkin ia agak menarik perhatian pelayan-pelayan lelaki yang comel-comel belaka. Ha ha ha. Saya layankan saja. Sementara ada peluang. Walaupun jasad saya sendiri tapi hati saya tidak. Salah seorang pelayan yang comel offer saya dessert. Tapi saya menolak sebab dah kenyang.

Pilihan dessert di sini agak pelbagai. Ada pilihan kek cawan, cream caramel, sagu gula melaka dan jeli buah-buahan.

Hiasan dalaman juga cantik. Ada satu cermin sebesar dinding yang membuatkan saya hampir tertipu. Mujur juga saya tidak terlanggar cermin tu. Tapi tiada gambar kerana saya duduk membelakangkan cermin. Agak malu untuk makan sambil menatap wajah sendiri. Ha ha ha.

Seperti apa yang saya pernah tulis sebelum ini, JM Bariani House memang tidak akan mengecewakan. Kepada yang mahu tahu lebih lanjut, mereka juga menyediakan laman sesawang untuk memudahkan pelanggan dalam arus teknologi masa kini.

Oh, saya tidak dibayar untuk promosi ini. Ini adalah saranan ikhlas saya sebagai pelanggan yang pernah mencuba. Tidak salah untuk kita berkongsi sesuatu yang bagus.

Friday, May 29, 2009

..::KERANA PERSALINAN::..

Dalam perjalanan pulang dari pejabat petang tadi, saya terserempak dengan seorang staff bertaraf makcik yang dipanggil kakak di pintu lif. Kami berbalas senyum. Dan, dia menegur saya.

"Cantiknya baju. Macam baju bertunang" Sambil merujuk kepada baju kurung biru polos berkerawang 4 inci di hujung lengan dan hujung baju yang saya pakai.

"Ooo.. Saya buat baju ni memang cadangnya nak pakai bertunang. Lama dah buat. Tahun 2002. Saya start pakai lepas tahun 2004. Lepas putus cinta." Saya membalas mudah sambil tersenyum.

"Kan.. saya tengok pun dah boleh agak.." Balasnya kembali dalam nada gembira kerana tekaannya betul.

Saya. Hanya tersenyum kembali sambil mengucap selamat apabila beliau keluar di tingkat 32.

Ya. Ia tentang bagaimana kita menegur seseorang berkaitan sesuatu isu, situasi dan keadaan.

Dan. Saya tidak kisah sama ada kamu mahu tegur cincin, baju, kasut, beg tangan atau lebih jauh menegur saya yang kelihatan seperti mengandung sebulan ini. Tetapi, mesti kena pada gaya dan caranya.

Mudah kan?

..::MENGAPA SINGGAH KALAU TAK MASUK::..

"Jika hidup ini satu persinggahan

kenapa tidak kita siapkan bekalan

untuk meneruskan perjalanan.."

Thursday, May 28, 2009

..::KERANA CINCIN::..

Sejak bertahun-tahun. Di jari manis saya sudah tersarung sebentuk cincin emas belah rotan. Saya kira ia amat mudah dikesan. Sekali pandang saja sudah boleh nampak. Dan saya juga ada satu tabiat memusingkan cincin itu bila sedang berfikir.

Semalam. Seorang 'budak' lelaki menegur. Dengan nada yang saya rasa mahu pang saja mukanya. Sentap. Dan bising-bising kenapa saya bertunang senyap-senyap. Tak beritahu dia. Sambil tunjuk-tunjuk cincin di jari saya.

Pertama : Perlukah?

Kedua : Saya tidak bertunang. Jadi tiada isu sama ada saya beritahu atau pun tidak.

Ketiga : Jika pun saya bertunang, tidak perlu diheboh-hebohkan serata alam nyata dan alam maya.

Keempat : Sudahlah menceroboh ruang peribadi saya, mahu pula 'berbaik-baik' dan berharap saya mahu ceritakan bahan sensasi. Maaf.

Sebagai kesimpulan, sudah bertahun saya pakai cincin emas belah rotan di jari manis. Saya tak peduli apa pandangan kami tentang kenapa saya memakai cincin di jari manis. Cuma, saya tak suka cara kamu menegur. Itu saja.

Wednesday, May 27, 2009

..::PADAM::..

Dalam telefon bimbit saya, ada satu folder yang saya cipta 2 tahun lalu. Folder itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Hari ini. Saya ambil keputusan. Untuk padam folder itu. Padam semua isi kandungannya.

Yang tinggal hanyalah kenangan. Tersimpan kemas di dalam sebuah kotak di antara kotak-kotak yang menghuni sudut hati saya.

Tuesday, May 26, 2009

..::WEDDING ERNIE+FAD@PUTRAJAYA::..

Hari Ahad lepas saya penuhi undangan majlis resepsi Ernie dan Fadlie. Di Dewan Presint 9, Putrajaya.

Kerana sudah bersekongkol dengan pengapit pengantin, jadi waktu saya tiba adalah bersamaan dengan waktu ketibaan pengantin. Sayup-sayup terdengar bunyi kompang dipalu. Dan, tiba-tiba saya rasa nak kawen.

Sila abaikan keinginan saya itu. Kita cerita dulu perkara yang sudah berlaku. Saya datang serentak dengan Intan dan Cik Jah. Katanya nak tunggu Kak Akmal, tapi perempuan tu lambat. Jadi kami masuk dulu dan cari tempat nak jamu perut. Selain bersekongkol dengan pengapit pengantin, saya juga bersekongkol dengan mama Baby Q yang tiba lebih awal di tempat kejadian.

Kerana sibuk ke sana ke mari mengambil gambar, maka gambar sewaktu menjamu selera sudah lupa mahu dirakam. Sirap merah kuning sangat sedap. Mungkin hampir 1 jug saya minum. Dahaga. Ditambah dengan cuaca yang sangat panas.

Ini himpunan gambar pengantin yang saya rakam. Pengantin sama cantik sama padan. Lagipun saya rasa tak ada pengantin yang tidak berseri di majlis mereka. Kecuali kalau pengantin kena kawen paksa. Mungkin.



Ini pula pengapit pengantin yang bersekongkol dengan saya.



Kerana telah dihalau oleh jurugambar, pengapit pengantin mengambil keputusan mengipas diri sendiri dan kemudian menarik muka memandang pasangan pengantin memotong pulut kuning.

Di hujung-hujung majlis baru kelihatan Kak Ima sekeluarga datang. Saya terlupa rakam gambar dengan Kak Ima. Sorry ya kakak.

Dan. Entry ini diakhiri dengan gambar perempuan yang kepingin naik pelamin.



Doakan impian kami menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Friday, May 22, 2009

..::KURANG MAKAN MAKAN KURANG::..

Ok sudah lama saya tak kemaskini blog. Saya agak sibuk. Di samping tak ada perkara yang menarik untuk dikongsi di dalam blog. Jika sekadar pergi SOGO dan TERbeli kasut, itu sudah menjadi TABIAT saya. Jadi tak perlu diblogkan.

Sebenarnya hari ini saya cuti sakit.

Kisahnya, sejak kebelakangan ni saya selalu sakit kepala. Kerana memang ada migraine, saya buat endah tak endah saja dengan sakit itu. Walaupun sudah dibebel berbakul-bakul supaya pergi jumpa doktor, saya tetap degil.

Sehinggalah malam tadi saya diserang sakit kepala yang sangat sakit macam kena hempap dengan batu (walaupun tak pernah kena hempap dengan batu, kan?). Di tambah dengan rasa meloya. Ok saya tak mengandung. Malah tak ada sebab pun untuk mengandung.

Berbalik kepada kisah sakit kepala, lepas subuh saya gagahkan diri bersiap mahu ke klinik. SMS boss beritahu lambat masuk pejabat. Klinik cuma akan buka jam 8.00 pagi tapi 7.45 pagi saya sudah berada depan pintu.

Saya orang pertama jumpa doktor yang sangat lemah lembut dan baik hati itu. Doktor kata saya mengalami tekanan darah rendah. Doktor suruh saya rehat, rehat dan rehat. Dan paling penting jaga pemakanan. Owh, OK.

Dan selepas diberitahu kepada mereka yang sepatutnya tahu keadaan saya, semua menyebut tentang pemakanan. Semua kata saya kurang makan.

Hmmm saya tertanya-tanya kepada diri sendiri. Saya kurang makan, atau makan kurang??

Monday, May 18, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Hari Sabtu lepas saya pergi rumah Kak An. Tujuannya mahu hantar barang-barang Hafizudin. Kebetulan pula Kak An mahu keluar. Makan. Jadi saya ikut sajalah. Rezeki jangan ditolak katanya.

Perginya tidaklah jauh. Alamanda sahaja. Kerana saya sedang mencuba gajet baru (yang tidak baru), maka saya bertindak sebagai jurugambar. Walaupun amatur sahaja.



Kami pergi makan di JM Bariani House. Di bahagian luar Alamanda.



Saya makan mee bandung dan minum bandung cincau. Sangat sedap. 5 bintang penuh saya beri untuk kedua-dua menu itu. Eh, baru sedar kedua-dua menu yang saya pilih ada perkataan bandung. He he he.

Orang lain makan bariani ayam dan bariani kambing. Sedap juga. Acar buahnya sangat cantik. Sudahlah cantik, sedap pula rasanya. Tidak tipu.

Jadi, saya cadangkan datanglah mencuba makanan di JM Bariani House ini. Terdapat beberapa cawangan lain selain di Alamanda. Saya tak ingat di mana lagi tapi segala maklumat ada ditulis di belakang menu. Oh, saya tidak dapat apa-apa komisyen daripada iklan ini. :p

Dan. Seperti yang pernah saya katakan di dalam entry sebelum ini, aktiviti bersama keluarga adalah yang paling seronok. Walaupun ianya sangat ringkas.

Saturday, May 16, 2009

..::TAWARAN vs PILIHAN::..

Setelah permohonan saya untuk memiliki kad kredit melalui agen gagal kerana kesilapan teknikal, saya telah menerima beberapa tawaran lain. Yang disifatkan tidak kurang menarik.

TAWARAN 1

"Nanti I buatkan U supplementary cardlah. Sekarang belum layak lagi"

TAWARAN 2

"Awak nak guna cepat ke? Awak nak kad yang mana? Saya kena settlekan outstanding balance dulu. Nanti dah settle, awak guna teruslah kad saya tu"

Menerima mana-mana tawaran itu, bermakna saya juga perlu membuat pilihan untuk sesuatu dalam hidup saya seterusnya.

Thursday, May 14, 2009

..::ASINGKAN HATI KAMU DALAM KOTAK-KOTAK YANG BERBEZA::..

Semalam. Suami orang yang pernah menyoal kenapa dia tidak bertemu saya 10 tahun lalu bertanya lagi. Soalan. Tentang hati.

"Kenapa orang yang kita sayang, selalu sakitkan hati kita, lepas tu kita masih suka?"

Saya hanya ketawa. Jujur. Saya tidak tahu apa jawapan yang tepat. Suka. Sayang. Cinta. Adalah suatu yang berbeza. Universal. Subjektif. Ia bergantung kepada diri sendiri. Bagaimana mahu membezakan seterusnya mengasingkan ia di tempat-tempat yang sepatutnya di dalam hati kita. Semua terletak pada hati.

Dan kamu adalah apa yang kamu pilih.

Owh. Selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke-30 untuk awak. Walaupun awak telah menolak cinta saya, kita masih berkawan seperti biasa. Dan saya tetap sukakan awak.

Wednesday, May 13, 2009

..::AKHIRNYA::..

Hujan turun membasahi bumi yang penuh lumpur ini

..::................::..

Pada satu malam yang makan seorang sudah dirasakan tidak seronok lagi..

Tuesday, May 12, 2009

..::BUKAN SATU::..

+ Haritu bosan-bosan I buat kuiz dalam Facebook. Pasal berapa nilai wang hantaran anda. Katanya hantaran I RM12k

- Wow!! RM12k banyak ok..

+ Itu standard la zaman sekarang. Tapi yang I nak share is description pasal I dari kuiz tu. Katanya "Anda seorang wanita yang menawan tetapi anda tidak menyedari hakikat ini. Anda tidak sedar bahawa diri anda mempunyai satu kelebihan yang anda sendiri tidak perasan tetapi bakal suami anda nampak semua itu. Anda akan bahagia di samping suami anda nanti kerana dia menyayangi anda sepenuh hatinya." Boleh percaya kah?

- I rasa tak boleh percaya kot sebab kat situ katanya "mempunyai satu kelebihan". Tapi I rasa U ada banyak kelebihan kan..

+ Entah. Mana la I tahu. Kata tak sedar.

- Tapi I sedar...

+ *Speechless*

Monday, May 11, 2009

..::PADA SUATU MALAM YANG SUNGGUH PANAS::..

Peluh mula merembes. Baju tidur tanpa lengan paras lutut sudah tersingkap. Selimut entah ke mana.

Dan..........

Silalah bangun ambil alat kawalan jauh untuk on kipas atau penghawa dingin. Kalau tidak pastu kau tak akan dapat tidur dengan aman.

Panas!!!!!

Friday, May 08, 2009

..::SESUATU::..

Jodoh pertemuan semua kerja Tuhan. Kita hambaNya cuma mampu berusaha dan berdoa.

Maka itu, tahniah kepada Ernie dan Fad yang selamat diijabkabulkan pada 1 Mei 2009. Majlis kenduri diadakan di Kulim pada 2 Mei 2009. Semoga jodoh ini berpanjangan sampai ke Syurga. InsyaAllah.

Yang ada di hari kejadian cuma saya, Mya dan Izan. Kawan-kawan lain rasanya tentu menantikan majlis di Putrajaya hujung bulan nanti.



Oh, sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya jumpa Fad. Saya sudah pernah jumpa Fad sekitar tahun lepas. Malah saya pernah minum dengan Fad. Berdua. Ha ha ha..

Tapi, secara jujurnya jika mahu tahu sesuatu tentang Fad adalah lebih afdhal pertanyaan itu diajukan terus kepada Ernie. Bukan kepada saya. Atau bukan juga orang lain. Bukankah begitu sepatutnya? Jadi, maafkan saya sekiranya jawapan yang diberi tidak menepati skema jawapan yang kamu mahukan.

Dan. Untuk sekian kalinya, tahniah kepada Ernie dan Fad.

..::TIADA YANG LEBIH INDAH::..

Tiada yang lebih indah melainkan dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga.

Thursday, May 07, 2009

..::ADA KALANYA::..

Lidah itu umpama pedang.

Dan. Diam itu lebih baik daripada berkata-kata. Yang sia-sia.

Wednesday, May 06, 2009

..::MAAF. BELUM MASANYA::..

Oh, saya baru tersedar rupa-rupanya saya memiliki sebuah blog. Tapi, saya belum mahu mengemaskininya.

Maaflah. Kepada sesiapa yang menantikan cerita sensasi daripada saya. Atau gambar-gambar menarik untuk dijadikan santapan mata.

Kepada peminat saya yang mengingatkan bahawa sudah 6 hari blog ini tidak dikemaskini, nah! kan saya dah kemaskini.

Sampai jumpa lagi. Ada perkara yang lebih penting perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Thursday, April 30, 2009

..::INI ENTRY MELEKAT: ENTRY BARU ADALAH DI BAWAH::..

Gua sudah kacip. Lu orang orang bila lagi??



Kerana gua memang terdesak. Gua hidu bau pergerakan Sindiket Soljah 10 beradik tu. Gua dapat. Sebab Jenderal dia wangi.

Lu orang jangan segan-segan. Jangan malu-malu. Kalau tak lu akan melepas.

Gua gerenti mesti kacip punya!! Hah apa lagi email saja ke sindiketsoljahATgmailDOTcom untuk tempahan.

Tuesday, April 28, 2009

..::BEREHAT SEBENTAR::..

Saya agak sibuk. Saya juga akan bercuti panjang. Balik kampung. Tapi belum mahu cat rumah lagi. Tunggu cuti sekolah akan datang. Mungkin.

Jadi, tunggulah bila saya berkelapangan. Nanti saya kemaskini.

Sampai jumpa lagi. Selamat hari pekerja untuk semua.

Saturday, April 25, 2009

..::LELAKI MELAYU TIPIKAL::..

Seorang laki orang telah bertanya kepada saya. Kenapa kita tidak dipertemukan 10 tahun yang lalu.

Jawapannya kerana pada waktu itu awak belum belajar lagi dialog-dialog dari drama swasta Melayu.

Sungguh tipikal.

Friday, April 24, 2009

..::TERLUPA ITU TANDANYA?::..

Hari ni. Bertarikh 24.04. Ada peristiwa sebenarnya. Tapi tiba-tiba saya terlupa. Atau tidak teringat.

Maaf untuk Imie. Aku terlupa pula hari ni birthday kau. Sorry la sejak kita agak jauh, kita jadi semakin 'jauh'. Tapi kau tetap kawan baik aku. Aku sayang kau dan aku tau kau pun sayang aku, kan? Ha ha ha.. Aku wish dulu lah ye. Malam nanti kita celebrate.

Oh, peristiwa lagi satu tu biarlah ia tersimpan kemas. Perkara yang dah lepas tak mungkin akan berulang. Dan saya tak harap pun untuk mengulanginya. Cukuplah. Sekarang saya sedang menikmati kehidupan dengan sepenuhnya. Hidup untuk hari ini seperti esok sudah tiada lagi untuk kita.
..::KERTAS DINDING::..

Cik Jah telah tag saya tentang kertas dinding. Rasanya saya sudah pernah buat tag ini. Lama dulu. Tapi tak apalah. Saya buat juga. Demi kawan yang saya sayang ini.

1. Anda perlu printscreen wallpaper anda yang tengah anda guna sekarang



2. Beritahu kenapa anda suka wallpaper anda?

Wajah-wajah dalam gambar itu sungguh suci. Ha ha ha.. Dan. Sila abaikan desktop saya yang penuh itu.

3. Sape yang kena tag seterusnya?

i. Tasik
ii. Kehelan
iii. PuanStoberi

Ok. Itu saja lah.
"A relationship can be brought to new heights if you are open and honest with one another. Your should plan to spend quality time together. Self-improvement projects will raise your self-esteem and confidence" - Malay Mail

Hidup ini perlu kejujuran. Hidup ini juga memerlukan kita untuk yakin pada kebolehan diri sendiri. Jika sesuatu terjadi dalam putaran hidup kita, tiada yang lebih layak untuk disalahkan melainkan diri sendiri.

Jadi, berhenti menggunakan nama orang lain sebagai alasan kenapa perkara itu berlaku tidak seperti yang kita mahu.

Thursday, April 23, 2009

..::MAAFKAN SAYA::..

Sila maafkan saya kerana makan nasi di malam hari. Sesungguhnya saya sangat kelaparan.



Jadi, pedulikan diet kurang makan nasi itu. Makan saja walaupun nasi kicap dan telur dadar. Itu rezeki. Dan sesekali begitu, lebih nikmat rasanya.

Wednesday, April 22, 2009

..::TINGGAL::..

ada orang tidak sanggup ditinggalkan

tetapi

sanggup pula meninggalkan..

Tuesday, April 21, 2009

Pada saat saya ingin dan perlu tidur tetapi mata tidak mahu terlelap tiba-tiba saya terima sms daripada seorang kawan yang jauh berbunyi "salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat perkahwinannya dan cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya (mas kahwin)" lalu saya jadi keliru.
..::KEGEMBIRAAN BERGANDA::..

Tiba-tiba saya rasa bulan ini adalah bulan yang paling menggembirakan saya.

Banyak perkara yang tidak disangka-sangka terjadi. Walaupun ada sesetengah perkara itu tidak seperti yang saya mahu, tetapi saya tetap positif. Saya anggap tentu saja ada hikmah di sebalik semuanya. Dan sudah pasti ia sentiasa mewarnai perjalanan hidup saya selama ini.

Semalam saya dengar kuliah zohor di IKIM.FM, ustaz kata "nikmatilah hidup hari ini dengan sebaik mungkin kerana hari esok adalah sesuatu yang tidak pasti untuk kita. Dan usah dikenang hari semalam kerana ia pasti tidak akan kembali."

Lalu, saya sedang cuba belajar untuk melakukan sesuatu yang terbaik setiap hari. Memohon kemaafan. Juga memberi kemaafan. Untuk diri saya. Juga untuk mereka yang dekat dengan saya.

Harapannya semoga kegembiraan ini berterusan pada masa akan datang.

Owh, tiba-tiba juga didapati pendapatan nuffnang saya sudah boleh ditunaikan. Saya gembira. Berganda.
..::ITUKAH DIA::..

Pada ketika air mata seakan mengalir.
Baru aku mengerti.
Mungkin itulah perasaan.
Yang sebenar.

Monday, April 20, 2009

..::BELUM BUAT LAGI::..

Di Pesta Buku. PWTC. Seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Anak akak paling kecil umur berapa?"

"Kak long ada anak bawah umur 6 tahun?"

"Akak ada berapa orang anak?"


Saya. Malas mahu panjang cerita.

"Saya belum buat anak lagi."

Puas hati.

Friday, April 17, 2009

Bermula 17 - 27 April 2009 saya akan berada di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa 2009

Kepada peminat-peminat buku. Jangan lepaskan peluang ini.

Jumpa di sana!!

Thursday, April 16, 2009

..::KEPENTINGAN::..

Ada seseorang bertanyakan kepada saya. Di antara kahwin dengan barang-barang yang mahu saya beli, mana lagi penting.

Saya jawab. Jika dalam tempoh sekarang, ada yang mengajak saya untuk berkahwin maka ia adalah lebih penting. Jika tiada, barang-barang yang saya mahu itu jadi lebih penting. Ya, mungkin untuk kepuasan diri sendiri.

Lalu katanya, bagaimana jika barang itu diletakkan di atas dulang dan diberikan kepada saya?

Apakah?

Tuesday, April 14, 2009

..::KATA HATI SIMPAN SAJA IA DALAM AIS BATU::..

Mungkin dia tidak mahukan saya. Seperti mana saya mahukannya.

Saya pernah tulis tentang hati saya yang tiba-tiba berubah. Ya, Allah berkuasa untuk membolak-balikkan hati manusia. Selama ini saya memang menolaknya habis-habisan. Tetapi, sedetik sahaja saya jadi begitu mahu memilikinya. Namun, sehingga sekarang saya masih gagal.

Saya sudah selidik apa yang terjadi. Di mana silapnya. Siapa yang bersalah atau siapa yang harus dipersalahkan. Dan pastinya bukan salah saya. Nak marahkan orang tengah, dia sudah buat kerja sebaik mungkin. Orang tengah cadangkan, pilih saja yang lain. Oh, senangnya, kan? Bukan mereka tak tahu bila hati dah berkenan, kita tetap mahu yang itu walaupun kadang-kadang sudah tahu apa buruk baiknya.

Mungkin saya perlu bersabar sedikit waktu lagi. Dan. Saya bukannya dalam keadaan terdesak. Kata pepatah "tak akan lari gunung dikejar". Tapi entahlah. Saya tak kejar gunung pun.

Hmmmm.. Kerana itulah saya perlu sentiasa positif. Allah mesti ada perancanganNya. Kenapa permohonan kad kredit saya masih belum berjaya.

Monday, April 13, 2009

..::DAHI LICIN::..

Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan teman tentang suasana pejabat.

Saya : Walaupun Encik K tu gatal nak berbini ramai, tak pula dia menggatal dengan staff ke atau dengan saya..

Irzan : Tapi, Encik K tu bergurau pelik-pelik juga dengan awek-awek dahi licin kat sini..

Saya : Oooo.. patut la.. Dahi saya tak licin

Irzan : Ciss!! @#$%^&

Saturday, April 11, 2009

..::HILANG::..

Saya sedih.

Dalam sekelip mata. Saya kehilangan awak.

Punca. Orang ketiga.

Saya tak faham kenapa begitu mudah ia terjadi.

Walaupun saya tahu. Mungkin nanti akan ada pengganti. Tapi. Ia tetap tidak sama dengan awak. Awak ada nilai tersendiri. Yang tak mungkin dapat difahami oleh orang lain.

Entah bagaimana untuk saya terima hakikat. Awak sudah tiada di sisi saya.

Saya sedih. Saya telah kehilangan awak. Kerana orang ketiga.

Thursday, April 09, 2009

..::KABINET BARU::..

Oh, jangan terpedaya. Ini bukan cerita tentang kabinet baru yang saya beli. Atau gossip tentang kabinet baru yang ditempah oleh kawan saya. Atau apa saja cerita tentang kabinet meletak barang. Ini tentang barisan kabinet baru Kerajaan yang telah diumumkan oleh PM hari ini.

Sebagai seorang kakitangan awam, perkara ini memang memberi kesan kepada saya. Selama berkhidmat hampir 9 tahun, saya memang rasa penat bila ada rombakan begini. Kementerian tempat kerja saya tentu saja akan bertukar. Lagi. Lagi dan lagi. Hmmmm Kementerian saja yang tukar. Saya tidak ke mana-mana pun. Entah bila mahu bertukar tak tahu lah. Ha ha ha.. (Ajid dan Kak Pnut sila keji saya)

Jika ditanya apa perasaan apabila Datuk Seri Rais menerajui semula Kementerian, tentu sahaja saya suka. Kerana beliau memang sesuai dan ketokohannya terserlah di situ. Tapi jika ditanya lanjut tentang gabungan kementerian, sungguh saya tidak suka. Kementerian akan jadi besar dengan pertambahan agensi dan jabatan. Dan, paling penting selepas ini saya sudah tidak boleh mengutuk RTM lagi apabila menampilkan iklan rancangan hiburan seperti iklan rencana dengan voice over yang tidak sesuai. Tak kan nak kutuk Kementerian sendiri.

Namun, saya yakin ada sesuatu yang mahu dilakukan Kerajaan terhadap agensi berkenaan. Dan pastinya mengharapkan sentuhan magis yang ada di tangan Datuk Seri Rais. Kita tunggu dan lihat sahaja ke mana arahnya selepas 63 tahun.