Monday, November 10, 2008

..::SATU PELARIAN::..

Mari bergembira. Seketika. Lupakan laporan. Lupakan Festival Pantun. Lupakan juga peperiksaan. Mari bergembira. Seketika.

Apa saja yang boleh menggembirakan hati seorang perempuan melainkan membeli-belah barangan kegemaran, pergi makan di tempat yang disukai dan masak sesuatu yang sedap di rumah.



Tapi hati seorang perempuan juga tidak dapat menahan air mata apabila menonton filem yang membuat hatinya tersentuh. Dan hari ini dia datang ke pejabat dengan mata yang bengkak.

Sunday, November 09, 2008

..::KAU MUZIK DI HATIKU::..

Saya. Tinggal di apartment. Biasalah. Bila bumbung kita - lantai orang dan lantai kita - bumbung orang. Semua bunyi jelas kedengaran. Kalau bunyi itu menjengkelkan pun, apa yang boleh kita buat. Terima sajalah.

Orang di atas tarik kerusi, kita terasa gegaran. Rumah entah tingkat berapa tumbuk lesung batu pun kita dengar. Orang yang tinggal 3 - 4 tingkat ke bawah panggil anak pun kita dengar. Pendek kata semualah termasuk la kalau jiran sebelah masuk bilik air pun, kadang-kadang boleh dengar bunyinya. Ha ha ha.

Dalam banyak-banyak bunyi di persekitaran rumah, ada satu bunyi yang saya rasa sangat misteri. Malah bukan saya seorang yang rasa begitu. Kakak saya pun sama. Sekali dengar bunyinya seperti anak kucing mengiau. Tapi bila diamat-amati, kedengaran seperti bunyi budak menangis pula. Jika itu bunyi kucing, terasa sangat comel. Tapi jika itu bunyi budak, hmmm entah lah.

Oh, di persekitaran rumah saya ni juga ada budak yang suka melalak. Saya katakan suka melalak kerana budak itu akan melalak tidak kira masa dan ketika. Siang malam pagi petang subuh senja semua dia tidak peduli. Kadang-kadang mahu saja saya turun dan cari dari pintu mana bunyi melalak itu datang. Mahu saja ketuk pintu dan ketuk sekali kepala ibu bapanya. Kerana biarkan anak melalak sebegitu. Tapi nanti ada pula yang kata: "kamu belum ada anak, apa kamu tahu. Tengok la bila kamu ada anak sendiri nanti". Hmmm..

Begitulah. Bila tinggal di apartment. Bumbung kita - lantai orang dan lantai kita - bumbung orang. Semua bunyi jelas kedengaran. Kalau bunyi itu menjengkelkan pun, apa yang boleh kita buat. Terima sajalah.

Saturday, November 08, 2008

..::PANGGILAN TELEFON PADA MALAM HARI JUMAAT::..

Aku. Sedang baring-baring. Depan TV. Baca ROMLAH. Sambil telinga kadang-kadang dengar pengacara Anugerah Skrin menceceh. Tak menarik langsung. Kecuali baju Faradhiya. Ha ha ha.

Telefon genggam berbunyi. Tertera nama laki orang yang menjadi kegilaan perempuan-perempuan genit. Apa sajalah yang mereka ini mahu. Sebelum 'tu OP ada SMS.

Aku. Jawab. Beri salam. Tapi di hujung sana senyap saja. Di belakang dengar bunyi bising-bising. Dengar suara tergagap-gagap. Huh! Mujur aku tak jawab dengan "Hello bebeh". Macam selalu-selalu. Kalau tidak, mahu pengsan agaknya orang di hujung sana.

Tanpa banyak bicara orang di hujung talian terus tanya soalan pada aku. Diikuti bunyi bising-bising di belakang marahkan pemanggil sebab tak kenalkan diri dulu. Aku syak mamat tu mesti kena paksa. Macam orang bersalah saja suaranya.

"eerr.. Ni Pipi ni.."

Aku. Rasa nak ketawa. Tapi tahan saja. Aku kan profesional. Cuma kasihan. Mesti teruk kena kutuk dengan Pakcik-pakcik Sol-jah yang lain. Tak nak la aku tambah lagi kesengsaraan Pipi.

Eh, kalau gua ajak lu tengok wayang, ada brani?

Ha ha ha.

Friday, November 07, 2008

..::MATINYA SEMUT KERANA GULA II::..

Awal minggu yang lalu. Saya ada ceritakan tentang kemusykilan apa ada dalam kabinet fail saya sehingga menarik minat encik-encik semut. Saya pindahkan fail-fail ke ruang kosong yang lain. Dan mahu lihat sama ada perkara itu masih berlaku atau tidak.

Hari ini saya buka ruang fail yang baru dipindahkan itu. Eh, masih ada semut. Dan semut-semut itu tertumpu kepada satu fail sahaja. Jadi, saya tarik keluar fail dan lihat apa yang ada dalamnya.

Ha ha ha.. Sila ketawakan diri sendiri. Rupa-rupanya inilah yang menarik minat encik-encik semut itu.



Bagaimana saya boleh tidak sedar perkara ini. Ini adalah fail kursus saya setahun yang lalu. Nampak sangatlah lepas kursus, semuanya simpan saja. Tidak langsung dibuka untuk ulangkaji.

Jadi, selamat tinggal encik-encik semut. Tempatnya adalah di dalam tong sampah.

Thursday, November 06, 2008

..::SUATU HARI SETELAH SEKIAN LAMA II::..

Pada suatu pagi. Saya memandu. Di lebuhraya. Pada kelajuan yang ditetapkan. Di lane paling kanan. Memasuki Kuala Lumpur.

Tiba-tiba. Muncul satu perasaan yang perasan.

Rasa kagum dengan diri. Tak sangka saya mampu memandu kereta sendiri dalam hiruk pikuk Kuala Lumpur. Kota besar yang tak terbayang oleh saya untuk berada di sini suatu masa dulu.

Wednesday, November 05, 2008

..::BILA YANG TAK MENGANDUNG MENGIDAM::..

Sehari sebelum gas memasak habis, saya sempat masak lauk yang dah lama saya teringin nak makan. Sejak dari bulan puasa lagi. Tapi asyik tertangguh saja. Kawan saya kata, saya ni kalau mengidam mengalahkan orang yang mengandung. Ha ha ha.. Saya peduli apa. Bukan saya suruh awak masak. Jadi, kebetulan kakak saya ada di rumah, dan saya punya teman untuk bersuka-suka, semangat itu lebih membara.

Ini apa yang saya teringin nak makan. Kari ikan bawal campur bendi dan roti canai yang dibuat sendiri.



Sangat nikmat. Ikan bawal segar saya beli di Pasar Malam Seri Serdang. Isinya tebal dan manis. Bendi pun saya beli di pasar malam yang sama. Untuk rempah kari - sila gunakan rempah yang asli seperti Baba's atau Alagappas. Hasilnya memang marvelous . Eerr.. tapi kalau awak tak pandai masak, guna la ikan segar baru angkat dari laut, bendi baru petik dari pokok atau rempah sekilo pun, tak menjadi juga kan? ha ha ha..

Eh, saya tak berniat mahu memperkecilkan sesiapa. Itu hak masing-masing. Saya tak kisah kalau ada kawan saya yang tak berapa pandai memasak. Janji dia tidak menyakiti hati saya. Itu sudah cukup untuk saya tetap bersahabat dengannya. Lagipun kalau semua orang cekap dan hebat memasak, tentu rugi orang yang berniaga kedai makan.

Tuesday, November 04, 2008

..::KEJUTAN YANG TERKEJUT::..

Sejak hari Sabtu, kakak saya ada di rumah. Tumpang tinggal 3 hari sementara suaminya pergi bertugas ke luar daerah.

Semalam. Seperti biasa saya pergi bekerja. Tinggal kakak saya di rumah. Itu memang pekerjaannya. Surirumah.

Tiba-tiba jam 12.30 tengahari, kakak saya telefon. Suara agak cemas. Hah! kenapa pula?

Rupa-rupanya gas memasak habis. Dan waktu itu dia sedang membakar kek. Yang pada asalnya konon-konon mahu dijadikan kejutan untuk saya. Bila balik dari pejabat.

Ha ha ha.. Apa-apalah dia tu. Cubaan pertama. Mahu dijadikan kejutan. Sudahnya dia yang terkejut. Cuba dikukus dalam periuk nasi pun tak berjaya. Mujur juga lepas saya balik, beli gas dan bakar semula kek, hasilnya masih gebu dan sedap walaupun tidak naik seperti kebiasaan. Mungkin berkat keikhlasan dan resepi yang hebat kek itu tak jadi merajuk.

Oh, ya saya silap. Tidak simpan nombor telefon pengedar gas memasak yang tinggal berhampiran rumah. Dan saya tak sangka gas itu mampu bertahan selama setahun 2 bulan walaupun saya rajin memasak. Ha ha ha

Monday, November 03, 2008

..::MATINYA SEMUT KERANA GULA::..

Sejak seminggu yang lalu, saya jadi tertanya-tanya.



Apa yang ada dalam kabinet fail saya. Sehingga menarik minat encik-encik semut ini menghurungnya. Eeerr.. Mungkin kerana tuannya yang manis?

Mujur juga saya punya banyak ruang kabinet. Jadi saya pindahkan semua fail itu ke sebelah. Dan tunggu apa yang akan jadi minggu hadapan.

Sunday, November 02, 2008

..::MASKARA SHORTIES : THE UNTOLD STORIES::..

Malam tu
Lautan manusia di setiap penjuru
Mujur polis dan FRU
Tak datang serbu

Saya tak boleh nak komen tentang filem. Sebab satu filem pun saya tak dapat nak tengok. Tapi jika mahu cerita tentang penonton, memang diluar jangkaan penganjur. Setiap lapisan masyarakat turun. Kanak-kanak, remaja, orang muda malah golongan veteran juga kelihatan.

Mungkin kerana konsep kali ini sangat berbeza dengan siri MASKARA terdahulu. Mereka bawakan himpunan filem pendek. Menampilkan hasil kerja pengkarya yang sudah dikenali ramai juga yang baru mahu berjinak-jinak. Dipertontonkan secara terbuka di laman Rumah PENA. Mengimbau nostalgia wayang pacak.

Pop corn memang sinonim dengan wayang. Diberikan secara percuma kepada penonton. Sewaktu rehat disediakan pula jagung manis panas-panas dari dapur. Juga percuma. Bagi yang pertama kali datang, agak terkejut dengan situasi itu. Itu memang konsep yang dibawakan oleh penganjur. Tapi kerana khalayak yang datang memang di luar jangkaan, air teh 'o' 4 tong, ditambah lagi dengan air mineral, air kotak yang Ajami bawa dan 2 botol air sarsi habis licin sehingga ke titisan terakhir. Mee goreng, biskut raya, buah-buahan, kek dan pendek kata semua makanan memang habis licin. Bagus juga. Mudah urusan bahagian dapur. Tak perlu pening fikir siapa mahu tapau itu ini.

Ini gambar 'orang dapur'. Saya ambil dari blog Basrie



Ini pula gambar kepenatan. Lepas tutup dapur. Gambar ihsan OP



Terima kasih kepada ND yang tolong saya di dapur.
Terima kasih kepada Pipi dan Jonos yang tolong cucikan gelas bila stok cawan sudah habis.
Terima kepada Spyz dan semua anggota soljah.
Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan MASKARA-Shorties.

* Mat Jan - kat mana hang beli buku pasal menutup aurat yang Ustazah Hanida Shaari tu tulis? Aku nak juga la.

Saturday, November 01, 2008

..::SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL::..

Arkitek : Sindiket Sol-jah
Tapak Projek : Rumah PENA
Tarikh Siap : 1 November 2008
Waktu Pembukaan : 8.30malam

Percuma!! Makanan dan minuman ringan disediakan.
Jangan lepaskan peluang!!



Maklumat lanjut dan poster-poster rumah contoh yang menarik:
layari http://maskara-shorties.blogspot.com

Friday, October 31, 2008

Takkan mungkin kita bertahan
Hidup dalam kesendirian
Panas terik hujan badai
Kita lalui bersama


Hari ini saya sangat banyak kerja. Seperti hari-hari lain dalam minggu ini. Tapi, saya juga harus merehatkan badan. Tenang-tenangkan fikiran. Dan nikmati keindahan alam.

Terima kasih kepada Mya kerana gigih menapak dan naik monorel untuk datang ke kawasan sekitar tempat kerja saya. Kalau dulu senang saja. Dekat. Tapi bila sudah jauh-jauh ni, orang pun tak sanggup nak datang. Kawan saya yang ada kenderaan pun tak sudi nak datang, apatah lagi kalau perlu berjalan, naik kenderaaan awam dan sebagainya.

Kepada yang tidak tahu, di Jalan Tengah pada setiap hari Jumaat ada jual-jualan. Macam pasar malam. Sudah lama saya ceritakan pada Mya tapi baru hari ini berkesempatan. Jadi kami pun menyusuri Jalan Tengah. Sampai la ke hujung dan tiba di bangunan The Weld. Ini pertama kali saya mahu jalan-jalan dalam The Weld ni. Sebelum ni pernah juga pergi, tapi baru juga dalam 2 minggu lepas. Itu pun sebab bawa Ika makan di Secret Recipe. Sebenarnya tak ada yang menarik sangat pun dalam bangunan ni, tapi pelik juga bila budak-budak kat pejabat ni ada yang tiap-tiap minggu ukur The Weld. Katanya membeli belah di Butik Elle. Saya masuk - tak pula rasa tertarik. Entah la kan, lain orang lain citarasanya. Lagipun jenama Elle itu adalah hak milik setiap insan.

Pusing-pusing keluar masuk butik, harus la perut pun rasa lapar. Kami memilih untuk makan di kedai yang belum pernah dicuba. Kalau Secret Recipe atau Mc Donalds atau Delifrance itu sudah biasa.



Restoran itu namanya Mark's Asam Laksa. Tapi bukan jual asam laksa semata-mata. Ada lagi makanan lain. Nasi pun ada. Saya pilih mee kari. Mya makan asam laksa. Dan kami berkongsi ABC. Sedap. Harga murah. Mungkin boleh datang dan makan lagi di sini lain kali.

Oh. Tak sangka rupa-rupanya busana yang kami pakai hari ini sama konsepnya. Tiada perjanjian dibuat di situ. Ia hanyalah kebetulan.



Kami berpisah selepas itu. Ya lah. Jam pun dah melewati 2.30 petang. Masing-masing harus pulang ke pejabat. Perjuangan mesti diteruskan.

Terima kasih kawan konsisten. Ahaks.

Thursday, October 30, 2008

..::PADA SUATU HARI SELEPAS SEKIAN LAMA::..

+ Awak ni tak berubah la

- Ye ke? Awak pun tak berubah gak

+ Tak.. Saya banyak berubah..

= Hmmm.. memang.. saya tak berubah. Yang berubah cuma awak saja.

Dan. Maksud sebenar 'berubah' itu masih belum saya ketahui.

Wednesday, October 29, 2008

..::TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG.. INIKAN PULA TEMPAT JATUH CINTA::..

Hujung minggu lepas saya pergi Port Dickson. Bercuti sambil menghadiri wedding kawan saya. Jangan salah sangka. Saya tidak sedih bila kawan saya berkahwin. Malah saya cukup gembira. Gembira dapat berjumpa rakan-rakan. Gembira dapat kembali ke tempat yang penuh dengan kenangan. Saya ke sana bersama Ernie dan Mya serta anak-anak.

Dek kerana tarikhnya bertembung dengan cuti panjang sempena Deepavali, maka PD menjadi pilihan warga kota yang mahu mencari ruang bersantai. Hotel dan segala rumah rehat penuh dihuni orang. Mujur Mya ada kawan yang punya apartment di sana. Tapi kami mesti keluar sebelum jam 12.00 tengahari Ahad. Oh tidak mengapa, janji ada. Maka pada 25 Oktober, bermulalah perjalanan ke destinasi cinta.

Lihat saja gambar-gambar yang sudah saya gabungkan.



Gambar mengikut pusingan jam :

1. Ramai-ramai di rumah pengantin. Waktu ni pengantin atas pelamin sedang ditepung tawar. Kami pula bising di sebelah kerana dengkikan kawan yang dah dapat beg habuan. Sekali sekala jumpa macam ni lah.

2. Yasmin dan Nurin. Seronok dapat jalan-jalan. Sampai saja hotel terus masuk dalam selimut. Comel saja gambar ni.

3. Ibu Nurin "sakit perut", jadi auntie la kena temankan Nurin mandi kolam.

4. Saya kelihatan sungguh kecil bila berdiri di sebelah pengantin.

5. Kami berlima di Tiara Beach Resort. Wajah-wajah gembira.

Ini pula gambar-gambar dari camera Mya



1. Gambar dengan pengantin. Sila perhatikan baik-baik. Para suami tidak terdapat dalam gambar. Ha ha ha..

2. Gambar bersama sebelum checkout. Waah. Setiap saat mesti ada kenangannya. Katakan blogger dan gambar itu tak dapat dipisahkan.

3. Sebelum pergi kenduri, kami terjah rumah bekas pensyarah. Encik Ashri rupa-rupanya ajak-ajak ayam. Ha ha ha.. Sudahnya kami betul-betul datang, baru kelam kabut dia. Udah la bagi direction macam nak pegi banglo. Padahal kalau disebut Taman Kiara, kan senang saya memandu. En. Ashri jamu kami nasi lemak. Banyak sungguh kami makan. Bukannya tak ingat lepas tu nak pergi kenduri.

4. Ini gambar mandi kolam. Tersesat di situ.

Lepas balik dari kenduri kami pergi bercanda di tepian pantai PD. Tiada gambar di situ kerana handphone saya sudah kehabisan bateri. Ramai sungguh umat manusia. Cuaca panas terik. Lepak jalan-jalan dan makan-makan lagi sebelum berangkat balik lebih kurang jam 6.00petang.

Hujung minggu yang padat. Tapi saya sangat puas hati.
..::ITU NAMANYA SENAMAN::..

Semalam. Saya tertinggal handphone di dalam kereta.

Kemudian. Saya turun untuk ambil.

Sampai di bawah. Baru sedar saya tak bawa kunci kereta.

Jadi. Saya perlu naik, turun dan kemudian naik semula.

Baru urusan selesai.

Haih..

Monday, October 27, 2008

..::HADIAH DARI HATI II::..

Pada suatu hari yang hujan dalam minggu lepas. Jalan sesak. Dan saya sudah tidak tahan mahu membuang air kecil. Telefon Naga. Minta tumpang bilik air di pejabatnya.

Tertunai segala hajat, kami berpayung ke kedai makan. Naga belanja saya Maggi goreng.

Lepak, sembang-sembang dan Naga hadiahkan saya ini.



AMARAN KERAS : Kepada perempuan-perempuan yang tidak kuat iman. Anda tidak digalakkan untuk bergaul mesra dengan SiNaganaga. Kerana anda mungkin akan jatuh cinta dengan beliau.
..::HADIAH DARI HATI::..

Semalam saya dapat hadiah. Sempena ulangtahun kelahiran saya yang lepas. Hadiah tertangguh namanya. Daripada kawan-kawan baik saya.

Yang seronoknya, saya boleh dapat apa yang saya nak. Ha ha ha.



Tapi. Nilai persahabatan itu adalah lebih penting daripada wang ringgit dan harta kekayaan dunia.

Sekarang ni saya kena cari kawan untuk bermain scrabble ini. Ahaks

Friday, October 24, 2008

..::CITA-CITA SAYA MAHU PERGI LUAR NEGARA::..

Lupakan seketika cita-cita murni itu. Ya, saya tidak bersungguh-sungguh. Hari ini adalah tarikh tutup permohonan.

Borang sudah saya isi. Tapi, tidak habis kerana sangkut di perkara (l) KEDERASAN MENGAMBIL TRENGKAS (Bahasa Malaysia / Bahasa Inggeris) dan (Tarikh Lulus Peperiksaan Kerajaan). Kebolehan saya mengambil trengkas sangat terhad sekarang ini. Penggunaan trengkas di pejabat memang tak dipraktikkan. Boss saya lebih senang menaip kemudian email kepada saya untuk semakan. Dah semak, saya email semula kepadanya. Eh, terbalik bukan? Ha ha ha.. Dan saya tidak mengambil peperiksaan kerana mendapat pengecualian.

Perkara (l) itu juga yang menjadi masalah saya dalam syarat (e) permohonan. Syarat (h), kebenaran pasangan tidak terpakai untuk saya. Buat masa ini. Tapi andai kata saya memohon dan permohonan diluluskan untuk sesi 2009/2010. Mungkin waktu itu syarat berkenaan sudah termaktub. Bimbang timbul konflik di situ nanti.

Hari ini pula, semua boss tak ada. Boss saya bercuti. Boss perempuan ke Pahang. Jadi, tiada siapa yang boleh tandatangan surat permohonan saya itu. Kerana permohonan mesti melalui Ketua Jabatan. Dan jika dapat tandatangan pun, bagaimana saya mahu menghantar permohonan itu ke Putrajaya. Pejabat saya di Kuala Lumpur. Mahu hantar sendiri? Mungkin saya boleh terus balik rumah sahaja. Ha ha ha..

Ya, saya tidak bersunguh-sungguh. Mungkin apa yang saya katakan itu cuma alasan semata-mata.

Thursday, October 23, 2008

SAYA YANG KESAKITAN BADAN

Hari ini badan saya sakit-sakit. Semalam saya berhabisan di Jaya Jusco. Kerana itu penyakit yang dicari sendiri, maka tidak boleh ada penyesalan di situ.

Saya tidak mahu bercerita tentang apa yang saya beli di Jaya Jusco. Tapi saya tetap rasa mahu mengemaskini blog ini. Sementelah Mya telah 'mengetag' saya, jadi saya jawabkan saja apa yang diminta.

Firstname : Noor
Nickname : Nida
Birthday : 27 September 1979
Birthplace : Parit Haji Amin. Oh, saya diberanakkan di rumah
Time of Birth : 11.20 pagi
Zodiac Sign : Libra

This or That

Flower or Chocolate : Chocolate
Pepsi or Coke : Dua-dua pun tak. Saya pilih Ice Lemon Tea
Pop or Rock : Rock
Relationship or One Night Stand : Ha ha ha.. Mesti la relationship. Kalau one night stand, mau kena sula saya nanti
School or Work : School
Love or Money : Love
Movies or Music : Music
Country or City : City
Sunny days or Rainy days : Sunny days
Friends or Family : Family

Have you ever

Smoked : Tak. Tapi hidu asap rokok itu kerap. Lagi bahaya kan?
Broke someone's heart : Once.. Twice? May be
Had your heart broken : Yes
Wish you were a prince/princess : No
Liked someone who was taken : Itu biasa la kan.. Ahaks
Shaved your head : No
Been in love : Yes!! I'm in love
Used chopsticks : Suka
Sang in the mirror to yourself : Kadang-kadang

Favorites

Candy : Bittersweet by Cadbury's
Song : Mungkin - Anuar Zain
Scent : Oceonus - Body Shop
Musical Instrument : Drum
Movie : Save The Last Dance
Actor/Actress : Zed Zaidi (tapi bukan dalam Sembilu Kasih)/Fazura
Junk Food : Twisties
Animal : Kucing
Ever cried over someone : Yes
Is there anything you wish you could change about yourself : No
Do you think you're attractive : Of course!!!
You had to choose a fairytale as your life what would you choose : Bukankah life is a fairytale?
You play any sports : Bola Tampar. Duluuuuuuu zaman sekolah.

List (8) random facts about yourself and tag (some) people :
1. Satu-satunya dalam keluarga yang masih bujang
2. Berkerjaya
3. Berdikari (udah bujang harus la pandai berdikari kan?)
4. Suka masak
5. Suka makan
6. Suka membeli-belah
7. Sangat sukakan warna hijau
8. Ada koleksi baju yang boleh dipakai selama 3 bulan lebih tanpa diulang

Saya tidak mahu tag sesiapa. Tapi sesiapa yang rasa mahu santai-santai jawab soalan ini dipersilakan.

Tuesday, October 21, 2008

..::SAYA PERLU SUMBER TENAGA YANG LAIN::..

Hujung minggu yang baru lepas, saya bekerja sehingga lewat malam. Ditambah dengan cuaca yang sejuk. Urat-urat seakan mengecut.

Semalam. Mata seakan dilekat-lekat. Mahu tertutup. Dalam perjalanan balik yang bumper to bumper saya terlanggar apek naik motor atau apek itu sebenarnya yang melanggar saya. Mujur apa yang dilanggar itu adalah bumper depan. Dan apek itu juga tidak menunjukkan sebarang reaksi bersalah. Saya malas mahu fikir. Dalam kepala mahu cepat balik dan lelap. Tapi sampai di rumah saya masak nasi dan kari sardin kerana sangat lapar. Nikmatnya.

Seperti biasa, sejak akhir-akhir ini saya selalu tertidur depan tv. Bila saya masuk bilik dan bersedia untuk tidur, mata ini tidak pula mahu lelap.

Sebenarnya, ada banyak perkara yang saya perlu buat:

23hb - ada audition untuk bangsawan. Show bulan Disember
24hb - tarikh tutup permohonan penempatan ke luar negara. Borang saya belum isi.
26hb - ada 3 jemputan majlis perkahwinan. 2 rakan sepejabat. 1 rakan sepoly. Saya akan ke PD meraikan rakan sepoly. Lagipun itu room-mate saya masa semester 1
1hb - Maskara Shorties
7hb - 9hb - Bangsawan Batu Belah Batu Bertangkup
18hb - 24hb - Festival Pantun antara Kementerian sempena BBSN. Takutnya saya.
25hb - Exam PTK. Apa pun saya tak study lagi

Oh. Sungguh saya rasa perlukan sumber tenaga yang lain. Untuk buat semua itu dengan efektif dan berkesan.

Dan. Berada di rumah adalah satu kenikmatan yang tak dapat dinilai.

Monday, October 20, 2008

..::JATUH::..

Ada. Orang. Jatuh cinta

Tapi. Aku. Jatuh tangga

Apa. Sebab. Jatuh tangga

Mungkin. Kerana. Jatuh cinta

Friday, October 17, 2008

..::MAHU BAWA DIRI::..

JPA keluarkan tawaran ini. Penempatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negeri.

Aku pernah buat permohonan. Lama dulu. Sekitar tahun 2005. Rasanya. Masa tu aku memohon dengan sepenuh hati. Namun, aku tak dipanggil untuk temuduga. Dalam erti kata yang lebih mudah, permohonan aku tak berjaya.

Kali ni. Aku rasa nak mohon semula. Cuma perasaannya tidak berkobar-kobar seperti dulu. Mungkin ada yang memaut hati aku di sini? Mungkin.

Aku. Ada masa seminggu sebelum tarikh tutup permohonan.

Wednesday, October 15, 2008

..::SMS CEMAS::..

"Mak Teh sakit. Aku balik kampung. Cuti kecemasan."

Begitulah bunyi SMS yang aku terima semalam. Terserlah kecemasannya. Macam bunyi telegram zaman dulu-dulu kala.

Jadi. Marilah sama-sama kita berdoa agar Mak Teh cepat sembuh. Dan boleh makan dodol dan kentaki semula.

Tuesday, October 14, 2008

..::PELUANG::..

Bila saya cuba beri peluang. Pada awak. Pada diri saya sendiri. Awak sepatutnya ambil dan gunakan peluang tu sebaik mungkin.

Tapi. Ia tidak berlaku.

Jadi. Jika keputusan nanti tidak berpihak kepada awak. Jangan salahkan saya.

Monday, October 13, 2008

..::KISAH JUMAAT MALAM::..

Aku 'tertinggal' di pejabat. Seorang diri. Hujan lebat. Kereta. Parkir atas jalan raya. Tak bergerak. Sesak.

Kalau keluar juga, aku akan rasa tertekan. Rasa nak cepat sampai rumah. Puasa. Solat Maghrib. Semua kena fikir. Silap-silap kena darah tinggi.

Aku. 'Tertinggal' di pejabat. Seorang diri. Makan tapai dan air teh hijau sebagai alas. Solat. Kemas-kemas barang.

Tiba-tiba rasa tak sedap. Ada 'sesuatu' yang 'menegur'. Segala macam ayat dibaca. Cepat-cepat balik. Masih berdebar-debar. Telefon kakak. Minta padangan. Kakak suruh terus balik rumah dia. Atau balik rumah, tapi kalau rasa tak sedap juga cepat-cepat pergi rumah dia.

Aku. Kata tak apa. Aku tak terus balik rumah.

Aku. Pergi pasar malam. Beli barang-barang dapur.

Dan. Aku tinggalkan 'dia' di situ. Cari kawan baru. Yang lebih banyak pilihannya.

Friday, October 10, 2008

..::MIMPI NGERI::..

Ada orang. Sedap-sedap cuti. Minggu depan baru masuk kerja.

Aku. Jadi mangsa.

Silap banyak la kalau minggu depan aku nak ambil tahu dah.

Sila bekerja selayaknya dengan gaji dan elaun yang kau dapat.

Dan kau. Yang pergi luluskan cuti tu apahal?
..::SATU HARI DI HARI RAYA::..

* Saya ni ketinggalan. Baru nak cerita perihal raya. Peduli lah kan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya berhari raya di kampung yang satu itu. Belum ada dua atau tiga. Jadi, rutinnya seakan-akan sama saja.



Pagi raya. Sarapan. Siapa yang nak pergi masjid/surau, dipersilakan. Siapa yang tak pergi, sila kemas rumah dan siapkan apa yang patut. Lepas orang dari surau/masjid balik, sambung makan-makan. Lepas tu sesi salam-salam semua. Bagi duit raya kat anak saudara yang mana ada. Ada 4 keluarga + saya seorang saja tahun ni. Yang lain beraya di rumah sendiri atau rumah mertua.

Sebenarnya dari 2 hari sebelum raya hujan turun lebat sangat tak berenti. Malam raya pun sama. Masing-masing dah pasang angan-angan nak tutup pintu dan sambung tidur saja. Tapi semua Allah yang tentukan. Hujan berenti. Jadi, mesti pergi ziarah-menziarahi.

Tahun ni kami nekad. Tutup rumah dan pergi beraya. Paksa mak ikut sama. Alaaa pergi bukan jauh pun. Rumah Tok Nek kat sebelah. Dan rumah Tok Su kat sebelah rumah Tok Nek. Masa kami tengah tutup pintu dan jalan keluar, ada budak-budak datang. Tapi diaorang patah balik bila nampak kami nak keluar. Bagus sungguh. Ha ha ha. Lalu kami pun beraya dengan aman. Kat rumah Tok Nek makan laksa. Kat rumah Tok Su makan mee kari. Makan-makan sambil sembang-sembang.

Dekat-dekat zohor balik rumah. Pasang lagi angan-angan nak tidur. Tapi juga sudah namanya hari raya dan orang sepatutnya pergi ziarah-menziarahi maka, ada lah orang yang datang ke rumah. Keluarga Pak Tam dan Pak Su datang 3 buah kereta. Seperti biasa saya akan diajukan soalan yang sungguh berharga. Disebabkan soalan itu diajukan oleh sepupu yang berusia muda walaupun dah beranak dua, maka jawapan yang saya berikan juga sangat berpatutan. Cuma kalau soalan itu diajukan oleh mak saudara yang anak-anaknya sangat laku dan tiap-tiap tahun kenduri, maka saya seharusnya cuba memaniskan muka dan berlakon seadanya. Itu yang sepatutnya kan. Ha ha ha..

Hmm cukup lah cerita raya. Saya banyak duduk rumah. Kata kawan saya, anak dara memang patut duduk di rumah saja. Paling jauh saya keluar pun cuma ke Taiping. Itupun jalan sesak yang teramat sangat. Perjalanan 40 minit sudah jadi berjam-jam. KL lengang. Kampung pula yang sesak. Penat.

Ini gambar rangkuman kejadian dalam tempoh beberapa hari. Dan sudah namanya blog saya harus lah muka saya yang banyak.



Selamat hari raya. Sesiapa yang mahu datang ke rumah, sila telefon saya. Tahun ini saya tak buat rumah terbuka. Sekian, terima kasih.

Thursday, October 09, 2008

..::HARI-HARI SEBELUM RAYA::..

Saya balik kampung agak awal. Sebelum raya haritu. Jadi, daripada duduk sahaja baik saya buat perkara yang berfaedah.

Dengan kerjasama beberapa orang kakak yang lain, maka inilah hasilnya.



1. Adunan chocolate chips.
2. Lungguk saja. Rupa tak berapa cantik. Tapi rasa sedap mengalahkan biskut chipsmore.
3. Itu saja gatal nak tunjuk langkah-langkahnya. Maklum la pertama kali nak buat biskut sendiri. Harus teruja lebih.
4. Adunan sampret
5. Sampret yang dah jadi. Comel kan?

Oh, sebelum tu di KL saya dah buat biskut ini. Balang tinggi tu untuk tempahan orang.



Siapa yang nak rasa biskut-biskut tu, jemput la datang beraya ke rumah saya. Kalau permintaan menggalakkan, tahun depan saya buka tempahan umum.

Ha ha ha..

Ok. Berbalik kepada cerita di kampung.

Dah lepas berpenat lelah buat biskut raya, misi di dapur diteruskan dengan persediaan untuk juadah berbuka puasa pula. Banyak tangannya, banyak la yang boleh buat.



1. Sebelum. Hidangan tersusun elok saja.
2. Selepas masuk waktu. Semua serbu. (budak yang nama Hanany tu pun sibuk juga nak makan)

Untuk makluman, kuih hijau dalam gambar itu ialah salah satu kuih orang Banjar. Namanya penakok. Nak buat kena pakai air perahan daun pandan yang original. Kalau setakat pakai perasa dan pewarna pandan, memang tak jadi. Mak saya memang cukup handal buat kuih ni. Termasuk kuih-kuih lain juga.

Dan. Di situlah kegembiraan bagi mereka yang berpuasa dan menghayati maksudnya.

Nanti. Kita sambung pula dengan cerita raya.

Wednesday, October 08, 2008

..::RAYA ITU SEBULAN::..

Saya sudah kembali bekerja.

Tapi jiwa masih berhari raya.

Nantilah. Saya ceritakan.

Sekarang ini ada kerja menanti.

Saturday, September 27, 2008

..::IA CUMA NOMBOR::..

Hari ini umur saya genap 29 tahun.

Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah diberikanNya. Saya gembira dengan adanya keluarga dan kawan-kawan di sisi. Oh, teman hidup?? Itu saya sedang usahakan. Selebihnya saya berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan jodoh yang baik, taat dan mampu membimbing dan menjaga saya: kekal sampai Syurga. InsyaAllah.

Terima kasih kepada teman-teman yang menitipkan ucapan tanda ingatan beserta doa.

Ini hadiah yang saya beri untuk diri sendiri. Saya gunakan voucher yang diberikan oleh Focus Point bernilai RM50 dan tambah sendirilah bakinya. Siapa lagi mahu tambahkan.



Saya pilih bingkai biasa saja walaupun teman-teman kata cermin mata hitam bingkai besar-besar itu trend semasa. Tak mengapalah. Saya rela beralah dengan trend. Semata-mata tidak mahu mengorbankan kesesuaian dan keselesaan.

Ok. Berbalik kepada tajuk asal, 29 itu cuma nombor. Yang paling penting pencapaian sepanjang 29 tahun itu. Kuantiti dan kualiti. Dan. Saya bersyukur dengan semuanya.

Selamat ulangtahun untuk diri sendiri. Semoga apa yang dihajati dimakbulkanNya.

Friday, September 26, 2008

..::KAD DIHULUR PENGGANTI DIRI::..

Saya sudah pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Jadi di kesempatan ini, saya titipkan ucapan untuk teman-teman pembaca sekalian.



Oh, jemput lah datang beraya ke rumah saya...

Wednesday, September 24, 2008

..::DEMI MASA: SESUNGGUHNYA MANUSIA KERUGIAN::..

Semalam. Ada ceramah di Jabatan. Sempena bulan Ramadhan.

Tapi. Aku. Keluar ikut pintu belakang. Pergi tukar duit raya di pusatbandar.

Rupa-rupanya. Ustaz Zamri yang datang bercerita.

Dan. Aku. Menyesal. Kerugian dua perkara.

1. Ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zamri

2. Autograf beliau

Lalu. Balik ke rumah. Aku tonton Ustaz Zamri Bercerita di TV9. Sambil berbuka puasa.

Tuesday, September 23, 2008

..::SAKIT ITU MENSUCIKAN DOSA::..

Ada orang yang dipercayai terlantar sakit di rumah selama 9 hari. Menjelang hari ulangtahun kelahirannya. Tak mahu pergi hospital. Tapi mahu sup ketam. Sebagai ubat.

Namun. Setelah diugut-ugut oleh Ketua Turus, juga dijanjikan dengan sup ketam dan air 100+ maka dia dengan semangat bersiap-siap mahu ke hospital.

Permintaannya tak berhenti setakat itu. Jika ditahan di wad, dia meminta pula agar disediakan sup sirip ikan yu. Wah!!! Hebat sungguh penangan sakitnya ini.

Dan. Sebagai seorang yang telah diarahkan untuk menyediakan sup berkenaan, aku meminta sebentuk cincin belah rotan sebagai pendahuluan. Baru sup sirip ikan yu akan dihidangkan.

Tiba-tiba. Demamnya terus kebah.

Aku syak. Platlet darahnya terus meningkat akibat terkejut.

Monday, September 22, 2008

..::BULAN JIMAT-CERMAT::..

Alhamdulillah, setakat hari ni aku masih berjaya mengekalkan rekod tanpa Pasar Ramadhan. Aku cuma pergi pasar untuk beli bahan basah.

Dan. Aku suka. Balik dari pejabat, sampai rumah sibuk-sibukkan diri dengan memasak. Dalam masa yang sama aku boleh berlatih untuk masa akan datang. Bila dah ada laki nanti. Ha ha ha. Lepas tu tunggu waktu berbuka. Sambil-sambil tengok tv aku ambil gambar makanan tu.

Ni sebahagian makanan orang bujang. Yang penting itu adalah apa yang aku nak makan pada hari itu. Dan. Air wajib ialah sirap bandung.



Bagi aku, masak sendiri lagi jimat daripada membeli di Pasar Ramadhan.

(Ini juga timbal balik daripada apa yang aku dah belanja untuk 3 helai batik sutera dan sebuah bag tangan)

Ha ha ha

Friday, September 19, 2008

..::INI BULAN PENGHARGAAN::..

Sepanjang bulan September ni boleh dikatakan aku banyak dapat hadiah. Lebih daripada 1 sudah dikira banyak. Ha ha ha. Lagipun, kan kata bulan ni birthday aku. Dan aku ni pula banyak pegang kad itu ini, jadi ahli itu ini. Tengok sajalah gambar di bawah tu.



Gambar paling atas tu voucher RM50.00 daripada Focus Point. Aku memang pelanggan setia rangkaian kedainya. Voucher ni aku dah gunakan. Hadiah namanya. Harus digunakan sebagai hadiah untuk diri sendiri juga.

Yang sebelah voucher Focus Point tu, daripada Jaya Jusco. Aku dah redeem hadiahnya. Sama juga voucher. Ada yang best dan ada yang tak perlu pun. Kalau Ika ada kat sini, dah lama aku ajak dia pergi makan Nando's.

Bawah sebelah kiri adalah tiket percuma daripada GSC untuk filem-filem yang bertanda (*) sahaja. Too bad. Bila filem yang aku nak tengok tak termasuk dalam senarai.

Dan. Gambar kanan itu kad dan voucher daripada SOGO. Tapi yang SOGO ni kena belanja RM100 - RM500 dalam satu resit, baru boleh dapat apa yang dia tawarkan. Aku tak pasti resit tu mesti dalam bulan yang ditetapkan atau pun tidak. Kalau tak, resit aku belanja beli beg tangan bulan lepas mungkin boleh digunakan. Itupun, kalau resit tu masih belum dibuang.

Oh, cuma bulan ni tarikh ulangtahun kelahiran aku tu tiba bila orang semua sudah berpusu-pusu mahu balik beraya. Aku sendiri pun insyaAllah sudah sampai di kampung. Jadi, tiadalah acara makan-makan secara berjemaah. Alahaaii..

Wednesday, September 17, 2008

..::MAINAN::..

"Semalam aku TERbeli mainan untuk budak lelaki" cerita laki orang yang sering digilai oleh perempuan-perempuan genit.

"Hah? TERbeli mainan untuk budak lelaki?" Aku terkejut.

"Lepas tu - aku bukannya reti main mainan tu" sambungnya lagi.

"Apakah itu? Aku ni naif la" Tanya aku lagi. Jujur. Aku tak faham.

"Laptop Acer kenit warna pearl white" Jawab laki orang yang sering digilai oleh perempuan-perempuan genit. Dalam tawa.

WOW!! WOW!!
..::WEIRD::..

Sometimes.

People can be weird.

Tuesday, September 16, 2008

..::SEDIKIT ITU TETAP PERBEZAAN::..

Pagi tadi. Dalam perjalanan ke pejabat. Aku singgah di satu stesen minyak di tepi lebuhraya sebelum tol Sungai Besi.

Isi minyak seperti biasa. RM30.00. Harganya naik ataupun turun, aku tetap akan isi sejumlah itu. Aku hanya akan isi lebih bila mahu memulakan perjalanan yang jauh melebihi 100km satu hala.

Bila selesai isi aku dapati RM30.00 bersamaan 11.765 liter. Di stesen itu. Padahal, jika di stesen jenama yang sama, di tempat lain, kebiasaannya bila aku isi RM30.00 ia bersamaan dengan 11.77 liter. Apakah?

Ok. Walaupun sedikit perbezaannya, tetapi ia tetap berbeza. Dan. Mengapa boleh jadi seperti ini?

Friday, September 12, 2008

..::PUZZLE::..

Aku suka main puzzle.

Tapi. Aku tak suka orang yang bermain 'puzzle' dengan aku.

Thursday, September 11, 2008

..::PENGAKUAN INI TAK PERLU BERSUMPAH::..

Aku. Mahu buat pengakuan. Bahawa sekarang ini aku terlalu kuat berangan.

Tapi tidaklah sampai aku ini hidup berpaksikan angan-angan semata. Aku masih berpijak di bumi. Yang nyata.

Dan. Aku baru diperbetulkan. Yang kuat berangan itu adalah Mat Jenin. Bukan Pak Kadok. Pak Kadok itu rupa-rupanya orang yang menang sorak tetapi kampungnya tergadai.

Aku tak mahu jadi kedua-duanya. Aku mahu jadi aku.

Sekarang ini aku terlalu kuat berangan. Tentang masa depan.

Kata seorang kawan, tidak salah berangan-angan. Lagipun tiada bayaran dikenakan untuk sebuah angan-angan.

Wednesday, September 10, 2008

..::KATA KUNCI::..

Pada satu masa dan ketika. Menulis di blog terasa membosankan. Mulalah cuba sesuatu yang lain. Contohnya buka blog tertutup. Dan menulis secara bebas di sana.

Lupakan tentang itu.

Aku bosan. Lalu aku menjelajah dan menerokai blog sendiri. Melihat-lihat siapakah yang membaca blog ini. Dari mana datangnya mereka. Mungkin apakah yang mereka cari.

Maka. Dari kata kunci aku dapati ada yang masuk blog ini kerana mencari. Pipiyapong.

Dan. Gambar orang bersalin secara normal.

Ha ha ha.

Tuesday, September 09, 2008

..::RASA ITU DATANG LAGI::..

Saya. Rasa mahu menangis. Lagi.

Bila apa yang saya sudah siap taip hilang begitu saja.

Paparan komputer gelap sekelip mata. Radio sepi tiba-tiba. Lampu tidak lagi mengeluarkan cahaya.

Dan. Bila ia sudah kembali. Yang tinggal hanya sisa-sisa yang tidak mendatangkan apa-apa makna.

Saya. Rasa mahu menangis. Lagi

Monday, September 08, 2008

..::L ITU LONGGAR::..

Minggu lepas. Boss saya baru pulang dari tugasan rasmi. Di Sepanyol dan Paris.

Sebelum dia pergi. Saya minta dibelikan cenderahati. Tapi bukan coklat. "Pullok doh?" kata boss saya.

Maka seperti yang diminta, boss saya belikan fridge magnet. Selain daripada itu, dibelikannya juga sehelai t-shirt.

Agak memeranjatkan. Kerana boss saya adalah seorang lelaki berumur 50 tahun. Yang sangat kebapaan. Pandai pula dia memilih baju potongan wanita. Dari jenama ZARA pula tu.

Cuma. Saya ini mungkin kurang bersyukur. Mengomel di belakang bila melihat baju itu bersaiz L - USA/EUROPE.

Tapi bila difikirkan semula. Mengambil kira juga bulan Ramadhan yang mulia ini. Mungkin dia tidak mahu saya mengenakan pakaian dalam kategori S - Sempit atau M - muat-muat. Sebaliknya yang longgar-longgar. Sesuai dengan imej.

Ha ha ha...

Saturday, September 06, 2008

..::BUKA TUTUP BUKA TUTUP::..

Aku suka dengan ayat Basrie dalam komen di entry Naga.

"Harini tutup blog terbuka. Esok buka blog tertutup."


Dan. Aku rasa memang ramai yang ada blog tertutup.

Friday, September 05, 2008

..::POPULAR::..

Dalam bulan Ramadhan ni, tajuk perbualan paling popular ialah berkisar tentang makanan.

Thursday, September 04, 2008

..::ITU NAMANYA PERPADUAN::..

Ku sangka panas sampai ke petang. Rupanya hujan lebat setiap hari.

Seawal jam 4.30 petang. Jalan raya sudah mula sibuk. Orang ramai berpusu-pusu mahu pulang. Mahu berbuka puasa. Mahu makan malam. Bersama keluarga. Tidak kira bangsa. Tidak kira agama.

Di bazar Ramadhan. Begitu juga. Sesak. Masing-masing sibuk mahu pilih juadah apa. Untuk santapan berbuka puasa. Hidangan makan malam. Tak kira bangsa. Tak kira agama.

Itu lah Malaysia. Semua kaum. Semua bangsa. Semua agama. Sama-sama merayakan. Sama-sama meraikan.

Dan. Itu namanya perpaduan.

Wednesday, September 03, 2008

..::PADA SUATU HARI JUMAAT::..

Telefon berdering ketika aku sedang sibuk membelek batik sutera.

"Hello bebeh" Sapa lelaki bermisai tebal yang kuat hisap rokok itu.

"Aku nak tanya ni. Dalam kapalterbang boleh on laptop tak?"

"Boleh la. Eh, kau kan pernah naik kapalterbang pergi Jepun sana tu. Tak kan kau tak tahu. Aku ni apa sangat la. Setakat local flight je" Balas aku. Sambil tangan dan mata masih fokus kepada batik sutera.

"Jepun setakat 5 - 6 jam penerbangan je. Ni yang berbelas-belas jam. Tu yang aku nak tahu tu." Jawabnya lagi.

"Weh kau nak pergi mana ni? Antartika ke?" Aku mahu kepastian.

"Habis semua orang nak kawin, aku nak pergi la bawa diri. Ha ha ha.." Balas lelaki bermisai tebal yang kuat hisap rokok itu.

Alahai lelaki 40-an.

Seorang hanya buka blog kepada pembaca jemputan sahaja kerana merasakan popularitinya sudah merudum.

Seorang lagi mahu pergi terbang jauh kerana nanti tak ada siapa-siapa lagi yang mahu tolong bancuhkan teh dan goreng bihun untuk MASKARA.

Alahai lelaki 40-an.

Oh, nanti bila kau nak terbang jangan lupa beritahu. Aku nak tujukan lagu ini untuk kau.

"kamu yang bawa ku terbang. Kamu lah jua yang membawa cinta ke jalannya"

Uwop!! Uwop!!

Tuesday, September 02, 2008

..::KALAU TIADA ANGIN MASAKAN POKOK BERGOYANG::..

Tajuk itu. Mungkin tiada kaitan dengan isi kandungan entry ini.

Apa yang aku mahu ceritakan. Pada bulan ini emosi aku menjadi rapuh.

Pergi pasaraya. Nampak beg tangan cantik. Aku beli. Tak ada tunai, aku guna bankcard. Pergi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku sambar kain. Pergi Kompleks Kraf. Aku sambar batik. Lagi. Dan lagi.

Dalam situasi yang lain. Aku terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Aku menangis. Apa puncanya aku sendiri pun tak pasti. Mungkin menyesali tindakan sendiri.

Kemudian. Beberapa hari selepas itu. Ada seseorang yang konon-kononnya mahu menemani aku makan tengahari. Katanya esok confirm semula. Pada hari kejadian aku sms. Tak balas. Aku telefon. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Tak jawab. Tapi. aku tak pula cuba telefon nombornya yang lagi satu. Dalam LRT. Aku rasa mahu menagis. Lagi. Aku sangat lapar. Sampai restoran. Aku order makanan. Makan sorang-sorang. Rasa nak menangis lagi. Mujur tak lama lepas itu ada kawan yang datang menemani. Kami berbual gembira. Lupa segala rasa. Walaupun selepas orang itu telefon aku semula.

Hari ini. Aku berbual dengan seorang teman. Dari ceritanya. Dari apa yang dia rasa. Dari apa yang aku mampu buat untuknya. Air mata aku bergenang. Aku mahu menangis lagi.

Apa yang aku mahu ceritakan. Pada bulan ini emosi aku menjadi rapuh.

Monday, September 01, 2008

..::UCAP SELAMAT::..

Selamat berpuasa kepada seluruh ummat Islam.

Juga. Selamat ulangtahun.

Pada tarikh ini. Setahun yang lalu.

Aku meninggalkan Bandar Baru S. Yang telah aku diami hampir 7 tahun.

Ke satu destinasi baru.

Dalam putaran hidup ini.

Sunday, August 31, 2008

..::MERDEKA::..

Anak-anak merdeka..

Saturday, August 30, 2008

..::PERCAYALAH SAYANG::..

Jika saya beritahu mahu pergi expo di Kompleks Kraf. Tengok-tengok barang jualan.

Maka. Tak perlulah percaya. Bahawa saya akan pulang dengan tangan kosong sahaja.

Friday, August 29, 2008

..::OF EXAM::..

Dulu. Lepas habis belajar. Ingatkan tak perlu lagi tempuh apa-apa peperiksaan. Tapi. Bila pilih untuk masuk dalam perkhidmatan awam, tak dapat tidak mesti ambil peperiksaan. Syarat utama untuk pengesahan jawatan.

Itu cerita lama. Dah 8 tahun berlalu. Sekali saja ambil peperiksaan, aku lulus dengan jayanya. Syarat 1 - 3 tahun dapat aku selesaikan dalam tempoh kurang dari 1 tahun.

Sekarang. Aku perlu ambil peperiksaan lagi. Untuk naik pangkat atau naik gaji. Tengok sajalah sudah berapa kali aku ambil peperiksaan.



Untuk penilaian tahap dua saja, sudah tiga kali mengulang. Dulu. Masa ambil kali pertama, persediaan aku biasa-biasa saja. Keputusannya aku dapat III untuk kedua-dua kertas. Seperti kebiasaannya, bila dapat saja keputusan aku akan terus membuat permohonan untuk menduduki semula peperiksaan.

Kali kedua peperiksaan aku terlebih yakin. Padan muka. Bila tengok untuk kertas umum aku cuma dapat I. Tak melepasi tahap kompetensi langsung. Kertas khusus aku masih dapat III. Dan secara purata aku dapat tahap II.

Tanpa putus asa, aku mengulang lagi. Bulan 5 yang lepas. Hanya sebulan jarak di antara peperiksaan KPSL untuk Penolong Pegawai Tadbir yang aku duduki pada bulan April. Masa itu, otak masih segar bugar dengan segala ilmu. Jawab dengan tenang. Alhamdulillah, keyakinan untuk dapat IV kuat dalam hati. Risik dengan kawan-kawan lain, semuanya pun berpendapat sedemikian.

Tup-tup, dua hari lepas keputusan diumumkan.



Hah!!! Tahap III lagi?? Tanya juga kawan-kawan lain. Sama juga dapat III walaupun dulu yakin dapat IV.

Aku mula syak. JPA naikkan graf. Dan dengkikan aku.

Sekian.

Thursday, August 28, 2008

..::TERAPI JIWA::..


Beg Baru Saya
Originally uploaded by madulebah
Bagi perempuan. Seperti aku. Membeli belah itu memberi satu ketenangan dan kepuasan.

Jika mampu. Apa salahnya. Tak ada tunai di tangan, tenyeh saja bankcard. Dengan syarat di dalam bank itu ada wangnya.

Mudah kan?

Wednesday, August 27, 2008

..::OF WORKING::..

Hari Isnin saya ponteng kerja. Malas. Tiba-tiba malamnya pegawai saya telefon. Jadi, semalam. Saya pergi Port Dickson. Bawa kumpulan teater dari Iran. Yang datang buat persembahan sempena Festival Kesenian Kanak-kanak yang baru berlalu. Wah!! memang saya suka. Sebab saya masih dalam mood malas mahu masuk pejabat.

Ini gambar saya dengan dua orang wanita Iran yang menyertai rombongan. Sila percaya bahawa mereka lebih muda daripada saya.



Untuk Naga. Saya doakan agar impian anda akan menjadi kenyataan.

Ini pula gambar saya dengan sebahagian jejaka-jejaka Iran. Untuk makluman, hanya Ahmed (tiga dari kanan) yang masih bujang. Tapi. Dia baru berumur 20 tahun. Ahmed juga yang menjadi jurubahasa sepanjang perbualan kami.



Oh, satu yang baru saya tahu. Rupa-rupanya di Iran, penduduk tidak boleh mandi di pantai. Ini kerana sepanjang pantai mereka dipenuhi pelantar minyak. Jadi, bila dapat mandi di pantai Port Dickson, mereka seperti tidak pernah jumpa air.

Ini pula wajah-wajah gembira orang Iran selepas makan, masakan tradisional Negeri Sembilan, di Seremban.



Pinggan di atas meja itu sudah dikemaskan oleh pelayan. Jangan tak tahu mereka makan keladi goreng cicah sambal tempoyak. Ha ha ha.

Di dalam bas semasa perjalanan balik, kami jamu mereka dengan buah pulasan. Dan. Mereka sangat suka. Siap rakam video lagi tentang significance nama pulasan itu.

Kesimpulannya. Setelah berbual banyak perkara dengan Ahmed. Saya telah menambah Iran sebagai satu lagi negara di dalam senarai wish to go. Selain daripada Australia dan New Zealand. (Harap maklum bahawa Makkah di dalam kategori yang berbeza).

Monday, August 25, 2008

..::KERANA AKU RINDU KAMU::..

Sepanjang minggu lepas. Aku. Kerja 7 hari seminggu. Siang dan malam.

Aku juga tidak tidur di rumah sendiri. Tidak di atas tilam sendiri. Tidak diselimuti gebar cantik kesayangan aku. Jauh dari bantal peluk yang menemani aku saban malam.

Jadi. Kerana aku. Terlalu rindukan kamu. Pedulikan dengan kerja-kerja di pejabat.

Aku mahu habiskan masa bersama kamu. Hari ini.

Wednesday, August 20, 2008

..::PERCUBAAN BERANI MATI::..

Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Aku benci. Lampu isyarat. Yang sengaja dipadamkan.

Atau. Jalan. Yang sengaja ditutup.

Dengan alasan mahu membantu melancarkan perjalanan. Pagi anda.

Dan. Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tuesday, August 19, 2008

..::AKU - SATU TRANSFORMASI::..

Bercerita dengan seseorang. Yang tua banyak daripada aku. Tentang zaman-zaman muda. Zaman remaja. Zaman persekolahan. Kami bertukar-tukar gambar.

Ini daripada aku.



Gambar kiri ketika aku umur setahun. Yang kanan tu aku berumur 3 tahun. Sekitar November 1982.

Kawan aku tanya kenapa masa kecil, aku nampak besar. Aku tak ada jawapan untuk itu. Mungkin kerana masa tu adik aku baru pandai meniarap. Jadi saingan belum ada.

Ini pula sekitar tahun 1990. Aku darjah 5. Wajah yang sungguh berkarat. Maklum sajalah. Hobi ketika itu ialah berkubang. Air pili belum wujud. Di kampung aku.



Wah! Bergaya macam orang berumur 25. Ha ha ha. Sila salahkan majalah yang menjadi pengaruh.

Gambar dengan uniform sekolah ni masa aku tingkatan 1. Buat lawatan ke Stadium Ipoh. Apa motif aku tak pasti. Mujur. Gambar di tepi kolam. Bukan dalam kolam. Kali ini aku sudah pandai. Tidak terpengaruh dengan gaya artis dalam majalah.



Nampak tinggi pula kan? Ha ha ha. Itu teknik fotografi namanya.

Dan ini gambar si manis 17. Zaman belajar di Poly PD. Tahun 1997. Petang-petang atau hujung minggu pergi lepak tepi pantai. Wajah dah bertambah ayu. Maklum la sudah pandai pakai krim pelembap yang ada UV protection.



Tahun 2002, November. Nampak perubahan ketara. Penampilan yang lebih matang gitu. Walaupun baru awal 20-an. Maklum la dah 2 tahun bekerja. Gambar ini sangat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua.



Dan ini di antara foto terbaru aku. Sewaktu majlis akad nikah Daun. Foto ini juga amat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua. Ha ha ha.



Melihat gambar-gambar dari tahun 1980 - 2008. Ada kawan yang berkata tiada perubahan ketara pun. Adakah aku awet muda? Atau aku cepat tua?

Ha ha ha

Monday, August 18, 2008

..::RESEPI II::..

Ini permintaan Cik Adik yang bernama Atiqah Nasir.

Resepi ini pun saya dapat daripada kawan. Dan kerana saya percaya bahawa kelazatan masakan bukan terletak pada bahan-bahan rahsia. Tetapi pada keihlasan dan kasih sayang yang kita curahkan dalam setiap masakan. Maka saya tidak takut untuk berkongsi resepi dengan semua.

Hidangan kali ini ialah Apple Pie. Cadangan hidangan 4 - 6 orang.

BAHAN-BAHAN SOS:



* 2 biji epal ( dikupas kulit dan dipotong dadu)
* 1/3 cawan gula (boleh kurangkan jika tak mahu terlalu manis kerana epal sudah punya rasa manisnya sendiri)
* 1/2 susu teh serbuk kulit kayu manis (ini pun terpulang pada citarasa)
* Sedikit tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
* Kulit pastry (boleh dapat di pasaraya seperti TESCO atau Cold Storage)

CARA-CARA :



* Campurkan semua bahan : epal, gula dan serbuk kulit kayu manis.
* Masak di atas api sederhana sehingga empuk
* Campurkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
* Isi sos dalam pastry dan tekan keliling dengan garfu untuk lekatkan



* Simpan selama lebih kurang 15 minit di dalam freezer
* Goreng dengan api sederhana

Dan inilah hasilnya.



Perhatian :

Anda perlu berhati-hati ketika makan kerana sos di dalam sangat panas. Bibir anda mungkin melecur.

Selamat mencuba.
..::TAK NAK!!::..

Nampak gayanya, kempen Tak Nak begitu berkesan.

Berkesan kepada atlit Malaysia ke sukan Olimpik.

Mereka semua kelihatannya tak nak dengan wang sejuta yang ditawarkan sebagai ganjaran jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Dan. Pada pendapat aku, pihak yang menawarkan juga tahu. Ini adalah satu misi mustahil. Sebab itu mereka berani membuat tawaran.

Thursday, August 14, 2008

..::KEHILANGAN::..

Minggu ni. Aku mengalami 2 kali kehilangan.

Hari Sabtu lepas. Aku kehilangan kunci kereta.

Pagi ni pula. Aku kehilangan eye drops.

Kedua-duanya adalah benda penting yang aku cuma simpan dalam beg tangan. Tidak di tempat lain.

Kalau kawan-kawan rapat aku. Terutamanya Cik Puan Daun, tentu tak percaya aku akan mengalami kehilangan seperti itu. Kerana katanya, aku adalah seorang yang very-the-organized-person.

Oh. Tak perlu risau. Aku dah jumpa di mana sebenarnya kunci kereta itu. Ha ha ha. Allah hijabkan pandangan aku. Walaupun, aku dah cari di tempat berkenaan.

Eye drops pula aku dah beli yang baru masa singgah isi minyak pagi tadi. Aku PALING dan SANGAT sensitif dengan virus sakit mata. Jadi, eye drops perlu ada setiap masa.

Dan. Aku perlukan sedikit ruang.

Wednesday, August 13, 2008

..::BUJANG VS BAHAGIA::..

"Satu kajian terbaru menyanggah kepercayaan ramai apabila mengesahkan golongan bujang yang ada kerjaya dan memiliki kewangan yang kukuh adalah kelompok masyarakat paling tidak bahagia berbanding mereka yang berumahtangga serta warga tua.

Golongan lain termasuk pasangan atau ibu dan bapa tunggal yang bekerja, mempunyai anak dan tertekan tetapi masih bahagia.

Namun, berbanding semua, kelompok bujang yang sihat, bekerjaya dan faktor kewangan yang kukuh terbukti paling tidak gembira."


Ha ha ha..

Untuk Cida, Nett, Salina dan kawan-kawan seangkatan ku, jangan risau. Kajian ini tidak dilakukan di Malaysia. Sebaliknya ia adalah kajian di Canberra.

Sebab pada pendapat aku, di Malaysia kelihatan golongan bujang, bekerjaya dan punya sumber kewangan kukuh lebih bahagia daripada sesetengah golongan yang berumahtangga.

Oh, ini cuma pendapat aku. Golongan yang sudah berumahtangga tak perlu melenting. Ya tak perlu melenting jika kamu bahagia dan jika ia tiada kena mengena dengan kamu.

Baca berita penuh di sini.

Dan untuk Cida lagi. Cerita kau pasal soalan budus hadiah birthday tu buat aku sentap la. Tapi rasa kelakar.. Ha ha ha..

Monday, August 11, 2008

..::RESEPI::..

Entry ini adalah permintaan seorang kawan yang tinggal di seberang laut.

Ceritanya begini. Hari Ahad 2 minggu lepas. Sedang aku enak bercanda di Mid Valley, dia hantar sms. Minta resepi begedel. Aku bagi lah. Hari Isnin. Dia YM. Tanya kenapa begedel yang dia buat lembik. Tidak lah aku tahu kenapa. Gambar pun dia tak tunjuk.

Aku janji. Nanti aku buat begedel. Aku akan masukkan dalam blog.

Jadi. Inilah dia.

Bahan-bahan :


* Kentang (direbus)
* Daging (dicincang). Boleh juga guna daging yang siap dikisar.
* Bawang besar (dipotong dadu)
* Sedikit garam dan lada hitam
* Daun sup / daun bawang (untuk wangi)
* Telur (untuk salut begedel sebelum digoreng)

Cara-cara :

1. Rebus kentang sehingga empuk. Cucuk-cucuk dengan garfu untuk pastikan.
2. Setelah empuk. Angkat. Toskan. Dan lenyek.
3. Campurkan bahan-bahan lain. Daging, bawang, garam, lada hitam & daun sup. Gaul sebati
4. Bentukkan
5. Celup dalam telur yang telah dipukul.
6. Goreng dengan api perlahan. Tetapi minyak mestilah cukup panas.


Dan. Inilah hasilnya. Tak pecah pun. Ia bukan sahaja nampak cantik dan sedap. Sebaliknya memang cantik dan sedap. Ha ha ha.



Selamat mencuba!!
..::ALAHAI::..

Manusia ni ada semacam perangai pelik. Tambahan pula jika sudah punya pangkat besar.

Macam dalam nasyid nyanyian Nazrey Johani:

"apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan"

Dan. Kalau kamu itu orang yang kedua. Seharusnya kamu faham di mana kedudukan kamu, kan?

Tapi. Biasalah. Selalu juga didengar. Isteri nombor dua itu mahu lebih-lebih dari isteri yang nombor satu.

Friday, August 08, 2008

..::TERTANYA-TANYA II::..

Ika. Hantar sms. Dalam bas. Perjalanan ke tempat kerja.

Waktu: 6.45pagi.

Aku. Diserang penyakit M. Atas katil. Dalam selimut. Hujan lebat sejak jam 2.00petang. Semalam. Enaknya.

Eh, berapa minit beza waktu di antara Malaysia dengan Singapura?

Thursday, August 07, 2008

..::TERTANYA-TANYA::..


Aku Ini Untuk Siapa?


Filem pendek oleh : Naz Annuar
Adaptasi Puisi : Bahruddin Bekri
Terbitan : Kawan-kawan Sendirian Terhad

Tuesday, August 05, 2008

..::HOBI!!::..


Hobi!!
Originally uploaded by madulebah

Monday, August 04, 2008

..::BEBAS::..

Semalam, ada beberapa orang manusia meraikan sesuatu. Seorang kawannya mahu belanja makan. Sempena ulangtahun kelahirannya. Yang sudah tidak menjadi kejutan. Kalau bukan kerana ada kawan mahu belanja makan. Saya tidaklah begitu rajin mahu keluar ke gedung besar yang begitu sesak itu. Oh, harap tidak berkecil hati di situ.

Ramainya umat. Tak pernah kosong tangga bergerak tu. Entah mana datangnya manusia yang memenuhi Mid Valley ini. Mungkin sama seperti kami. Dari Puchong, Shah Alam dan Seri Kembangan.



Dalam ramai orang itu. Ada beberapa orang lagi mau menambahkan kesesakan sedia ada. Tapi mereka ini nak makan saja. Kusyuk sampai tak ingat apa sudah jadi di luar. Hujan ribut pun tak sedar.



Tengok sajalah apa yang mereka makan.



Lepas dah kenyang, lepak dululah. Sambil tu kita ambil gambar suka-suka hati.


Cantik kan kasut tu. Sila teka yang mana satu kaki saya.


Alamak! Muka Cik Jah tak nampak langsung. Muka Mariah pun separuh aja. Maaf ya kawan-kawan. Tiada unsur sabotaj di situ. Maklum saja lah, tangan saya tak boleh nak pergi jauh lagi dah. Ha ha ha. Jadi untuk nampak semua, sila Cik Jah ambil gambar dari tepi. Barulah cantik.

Lepas penat jalan-jalan kami pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah masing-masing. Perjumpaan kali ini tidak cukup korum. Mak Intan balik kampung mertua. Maklum lah sekarang ni musim buah-buahan. Harap-harap perjumpaan akan datang semua ada. Perancangan terdekat InsyaAllah untuk acara tahunan berbuka puasa bersama-sama. Jika mengikut giliran, kali ini Mak Intan akan menjadi hos.

Jadi, sampai jumpa lagi nanti.

Sunday, August 03, 2008

..::MASKARA X::..

Ramai muka baru. Wajah-wajah yang masih segar. Masih muda.

Bagus adik-adik. Daripada melepak tak tentu hala, baik datang ke MASKARA ni. Sama ada mahu buat persembahan. Atau menonton sahaja. Itu sudah memadai.

MASKARA Edisi Ke-10 mengajak kita untuk bermain dengan pelbagai emosi.

Persembahan muzik oleh DEP mantap. Ini kan kumpulan kegemaran Pipiyapong. Mestilah hebat.

Puisi Ajami mengajak kita berfikir tentang masa akan datang. Pesanan beliau kepada si abang, anak yang sulung agar menjaga dan memimpin tangan si adik jika nanti mama dan papa tiada, sungguh menyentuh perasaan. Ini mengingatkan aku kepada kisah si bekas kekasih yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan. Meninggalkan dia dengan 4 orang adik perempuan, yang bongsu berumur 4 tahun dan dia 16 tahun ketika itu. Ya, tiada siapa yang tahu apa yang akan jadi di kemudian hari.

Puisi lebih menyentuh dilatari dengan alunan muzik daripada lefthanded guitareez.

Seketika penonton diam penuh hormat. Kusyuk menghayati keindahan Ayat-ayat Allah yang dilagukan oleh Saudara Salman. Bersama sebuah puisi tentang Nabi Allah Nuh kemudiannya. Sehingga tiada ulasan yang mampu diberikan oleh Saudara Pengacara.

Puisi 'berat' dari Azree Ariffin, bacaan naskah oleh Art dan monolog dari Republic Theater ada tarikannya tersendiri.

Jonos jika mengambil alih pentas tak sah kalau penonton tidak ketawa. Itu bukan Jonos namanya. Lihat rupanya saja sudah bikin geli hati. Gandingan dengan Alfie membacakan naskah Azzam Supardi memang buat penonton tak kering gusi.

Persembahan penuh sakti menutup MASKARA X.

Sebenarnya mula-mula membaca nama Dewangga Sakti dalam blog Naga, otak aku ligat berfikir. Aku biasa sangat dengar nama ini tapi di mana? Tak ingat. Kemudian menyaksikan mereka di pentas MASKARA. Ada muka-muka yang seakan familiar tapi masih tak ingat di mana. Aku beli mini CD mereka. Aku belek dan baca. Dan nama Dewangga Sakti semakin dekat. Tapi aku tetap tak dapat ingat. Tak ingat.

Cuma yang dapat aku katakan sekali lagi persembahan mereka memang ada sakti. Selayaknya berada di pentas antarabangsa.

Dan. MASKARA X hebat. Setiap edisi ada persona tersendiri. Tahniah.

Jumpa lagi November nanti.

Friday, August 01, 2008

..::NAIK TURUN::..

Hidup ini umpama roda. Berputar. Turun naik.

Semalam. Anwar Ibrahim beritahu mahu bertanding. Jadi Menteri Perdana mesti ambil tindakan awal untuk raih populariti.

Hari ini Menteri Perdana beritakan bahawa harga minyak akan diturunkan tidak lama lagi. Katanya. Sabar ya.

Kita tunggulah berapa harganya nanti.

Oh. Roger Federer kalah lagi. Maka Nadal dengan mudah naik ke ranking no. 1 dunia. Mungkin Federer patut tinggalkan teman wanitanya sekarang. Cari yang lebih hot untuk memberi sokongan kepadanya dari luar gelanggang.
..::MUDAH, KAN?::..

Boss aku. Dapat jemputan untuk World Drums Festival 2008. Esok. Di Dataran Merdeka.

Aku. Bagitahu dia. Kad jemputan kena bawa sama. Untuk mudah nanti ditunjukkan tempat duduk.

Boss aku kata. Kalau diaorang tak bagi tempat duduk, dia balik rumah saja. Apa susah.

Kalau semua boss macam ni, mudah kan. Ha ha ha.