Showing posts with label masak. Show all posts
Showing posts with label masak. Show all posts

Friday, March 26, 2010

..::SALAH MENYALAH ANTARA SATU SAMA LAIN::..

Pada petang Rabu yang permai, tak semena-mena Kak Pnut membebel kepada saya salahkan Kak An sebab terliur tengok nasi daging. Daripada membebel pasal nasi daging kemudian Kak Pnut melencong bercerita tentang anak-anak teruna belaannya yang bagi makan apa saja semua habis. Katanya masak kari 12 ekor ikan kembung pun habis. Dan tiba-tiba saya rasa nak makan kari ikan kembung campur bendi. Jadi, Kak Pnut harus dipersalahkan atas keinginan saya itu.

Lalu pada hari Khamis yang saya terasa sangat malas nak pergi kerja, saya pun masak kari ikan kembung campur bendi dan sebiji buah tomato. Ikan dan bendi saya dah beli petang Rabu di Pasar Malam Kampung Melayu Subang. Cuma santan dengan daun kari saja saya pergi beli tengahari tu. Rasa rugi pula kena beli daun kari satu paket sedangkan nak guna sikit saja. Saya ada tanam pokok kari tapi belum bawa pindah ke Shah Alam. Jadi untuk sementara waktu abaikan dulu perasaan tak seronok bila apa yang kita nak guna tak ada di kediaman sekarang.

Kakak ipar saya pernah bercerita dia tak begitu pandai masak kari walaupun anak-anaknya suka makan kari. Saya senyum saja. Secara jujur, memang 'koman' kalau orang utara tak pandai masak kari. Tapi kakak ipar saya tentulah orang Negeri Sembilan. Jadi boleh dimaafkan di situ.

Ini kari ikan kembung yang saya masak. Saya cuma masak 3 ekor saja tak perlu sampai 12 ekor. He he he... sangat sedap dimakan dengan nasi panas-panas kemudian letak kicap sikit. Sehingga menjilat jari.



Bila masak kari, saya sudah sedia dengan menu susulan. Bukan setakat sedap dimakan dengan nasi panas, kari ikan memang mantap jika dijadikan pencicah roti canai atau lempeng. Saya tanya suami nak lempeng atau roti canai. Katanya tentulah roti canai kerana pilihan yang diberi umpama memilih antara roti canai dengan chicken chop.

Tepung roti canai yang sudah siap diuli



Ini resipi roti canai (kalau mahu).

Bahan-bahan
1 senduk/cawan tepung gandum
2 sudu susu pekat
sedikit garam dan air untuk menguli

Cara-cara
1. Gaul ramas tepung dengan susu
2. Campur air sedikit demi sedikit ketika menguli. Uli sehingga tepung sudah tidak melekat di tangan
3. Rehatkan tepung yang sudah dibulatkan di dalam sedikit minyak. Lebih lama tepung direhatkan, lebih lembut hasil roti canai nanti

Tiada gambar untuk roti canai saya yang sudah siap kerana sudah selamat masuk ke dalam perut. Roti canai kena makan panas-panas.

Tuesday, March 16, 2010

..::MENJALA UNTUK SUAMI::..

Semalam balik kerja saya menjala untuk suami. Bukan menjala ikan. Tetapi menjala tepung. He he he. Ini pertama kali saya menjala sendiri. Sebelum-sebelum ni cuma menjala dengan kakak-kakak saja.

Memandangkan suami saya ni anak emak (dan semua orang pun anak emak kan?), maka suami memang gemarkan kuih muih tempatan, tradisional atau kuih yang dibuat sendiri di rumah. Faham kan maksud saya? Dan selagi saya tidak buat sendiri kuih selagi itu suami tak mahu percaya saya pandai buat. Kalau setakat cakap "I pandai buat karipap atau I pandai la buat roti canai" suami pandang sebelah mata saja. Jadi, sekarang saya mahu buktikan kebolehan yang ada.

Ini sebahagian hasilnya



Sewaktu menjala, saya panggil suami suruh datang tengok apa saya buat di dapur. Suami teka saya sedang buat lempeng. Apa kelas lempeng kan? Lagipun kalau lempeng tak payah saya nak show off kat suami pun. Suami sangat terkejut bila nampak roti jala dalam pinggan. Dan terus peluk-peluk saya sebab terharu. Saya cakap pada suami lepas ni tak payah dah pergi makan roti jala kat Pasar Tani Stadium hari Ahad tu.

Masih tak percaya ke saya menjala sendiri? He he he.. Ini yang masih di atas kuali dan yang belum digulung.



Memandangkan kami berdua memang sukakan roti jala, 25 ketul yang saya buat sesi pertama habis dimakan sekali hadap saja. Roti jala cicah dengan kari memang terangkat.



Kari ayam ni mak mertua yang bekalkan pada hari Ahad. Sebab ada banyak makanan yang dia bekalkan dan sampai rumah pun dah lewat saya simpan dulu kari ni. Semalam saya campur kentang dadu untuk kesan sampingan yang lebih mantap.

Resipi roti jala tentu sekali saya ambil di sini. Cuma kemudian saya ubah dan sesuaikan untuk 2 orang makan. Secara umum ini bahan-bahannya.

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/2 cawan santan pekat
2 cawan air
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil kunyit
Sedikit minyak dan daun pandan dicarik untuk minyakkan kuali

Cara-cara
Kisar semua bahan sehingga sebati kemudian tapis. Cuba dulu bancuhan, kalau pekat tambah sedikit air. Kemudian, mulalah menjala. Oh, nak buat roti jala ni paling penting tentulah acuannya. Tak kan lah nak kirai dengan jari kan. Hik hik hik.

Dengan sukatan yang saya berikan, kita akan dapat lebih kurang dalam 35 - 40 ketul/biji(?) roti jala bergantung kepada keluasan tebaran dan ketebalan jala anda.

Sekian, selamat menikmati hidangan minum petang.

Wednesday, March 03, 2010

..::SALAH SIAPA::..

Ini entry bergambar.

Nasi putih



Ikan bawal goreng



Sotong masak asam



Sambal telur puyuh



Air barli buatan sendiri



Kalau makanan macam tu punya gaya, siapa lagi lah yang nak disalahkan bila baju kebanyakannya sudah tak muat. Salahkan orang yang masak ke, atau salahkan orang yang makan?

Wednesday, February 10, 2010

..::TAK CUKUP SIFAT::..

Again. Pisang yang mak bagi untuk digoreng akhirnya jadi makanan lain.



Pengat pisang yang tak cukup sifat. Tapi rasa tetap sedap. Walaupun suami tak puji, tapi bila makan bertambah dan siap cicah roti lagi, faham-faham sajalah apa maknanya.

Eeerr atau maknanya dia lapar sangat? Ha ha ha

Friday, February 05, 2010

..::KETAM BERCILI DAN NASI PUTIH UNTUK MAKAN MALAM::..

Tiba-tiba saya rasa blog ni dah tukar jadi blog makanan. Apa taknya. Asyik lah entry pasal makan. Walaupun rasa macam tu, saya tetap juga nak buat entry tentang makanan. He he he.

Sebenarnya saya dan suami jarang sangat makan nasi waktu malam. Kalau makan pun mungkin bila balik kampung. Tu pun dalam kuantiti yang tak berapa nak banyak. Selalunya saya akan masak makanan lain macam mee rebus, goreng cucur kodok atau makan roti bakar saja. (eh, macam berkalori tinggi juga kan?)

Hari Rabu pergi pasar malam saya ada beli ketam. Cadangannya macam nak masak hujung minggu saja. Tapi semalam saya rasa nak sangat makan ketam bercili. Jadi dalam perjalanan balik kerja saya pesan siap-siap dengan suami untuk keluarkan ketam dan cili mesin dari tempat beku. Mujur juga. Perjalanan balik semalam mengambil masa 2 jam disebabkan hujan lebat di KL dan ditambah dengan entah kontraktor mana yang cerdik sangat pergi turap jalan di atas flyover ke Puncak Perdana tu petang-petang waktu orang balik kerja. Punya lama tersangkut sampai saya terlelap sekejap masa tunggu lampu isyarat di Bukit Jelutong. Tersedar bila kereta belakang honk. Hik hik hik.

Sampai rumah pukul 6.30 petang. Terkocoh-kocoh rasanya. Bila saya turun ke dapur lepas solat asar tengok suami tengah buat roti planta. Bagus je kan. Jadi saya boleh terus sediakan bahan untuk masak makan malam. Sambil sediakan bahan, sebenarnya dalam hati rasa berbelah bahagi sama ada mahu makan nasi atau tidak. Tapi bila tanya suami nak nasi tak. Jawabnya habis dah U masak lauk mestilah makan dengan nasi. He he he. Jadi saya sengih saja lah.

Eh, panjang pula mukaddimah. Padahal sebenarnya mahu cerita tentang ketam bercili dan nasi putih yang jadi hidangan makan malam saja.

Dipersembahkan ketam bercili versi saya. Resipi mudah saja. Dan sama saja dengan resipi orang lain.

bawang merah + bawang putih + cili dimesin dan ditumis. Bila sudah wangi dan cili masak masukkan air asam jawa + gula + garam secukup rasa. Masukkan ketam + sedikit air. Gaul rata. Akhir sekali pecahkan sebiji telur. Biarkan mendidih seketika. Kemudian hidangkan dengan penuh kasih sayang


..::chili crab::..


Masih dalam usaha tanpa henti mengajak suami makan sayur. Jadi saya sediakan sayur campur goreng dengan sos tiram. Lagipun makan mesti seimbang mengikut piramidnya. Resipi sayur campur goreng? Tak kan itu pun tak tahu. Campak-campak dan campurkan semua saja. Siap. *Pesanan : Tak perlu tambah garam kerana sos tiram sudah sedia masin.

..::mix vege with oyster sauce::..


* Letak nama Inggeris untuk kesan gempaq

Gambar nasi putih tak perlu letak. Sama macam nasi orang lain juga walaupun saya cuma guna beras cap Jalaluddin Hassan.

Sekian entry penambah ukur lilit badan dari saya.

Thursday, January 28, 2010

..::HIDANGAN PADA HARI CUTI SAKIT:::..

Semalam saya cuti. Sakit. Sebab hari sebelumnya saya jatuh. Ada sikit kecederaan dalaman.

Tinggalkan cerita sakit. Sekarang masuk kepada cerita saya yang begitu gembira menyediakan makan tengahari untuk diri saya dan suami. Sebab temankan saya yang sakit, suami pun tak pergi 'pejabat'. Tapi masih bekerja dari rumah.

Kerana mahu balik ke Balakong petangnya dan bercadang mahu balik Parit Buntar hujung minggu, saya cuba mengosongkan bahan-bahan mentah dalam peti ais. Misi bermula.

Apa ada bawah tudung saji??



01. Sotong goreng kunyit campur tomato dan lobak merah. Saya campur juga hirisan 3 biji cili api. Padahnya saya makan sambil rasa terharu. Suami, tenang saja 02. Sup ikan merah. Pun saya campur cili api dan lada hitam 03. Salad (dalam usaha suruh suami makan sayur)



Kemudian saya goreng keropok udang dan suami buat jus oren segar.



Heaven!!

Tuesday, January 26, 2010

..::SEMUDAH ABC::..

Ok balik-balik entry masak-masak kan. Nak buat macam mana itu je bahan yang ada dan sesuai untuk dipaparkan dalam blog. Lagipun masak-masak menjadi aktiviti rutin sekarang ni.

Macam yang saya kata dalam entry yang lepas, sebelum ni sorang-sorang belasah saja apa ada. Nak masak atau tidak, tak ada orang peduli. Tapi sekarang semua sudah berubah. Ada insan lain yang saya kena jaga. Dan saya paling jadi tak berapa nak tentu hala bila balik kerja tengok suami dah ada di rumah.

Semalam balik kerja tengok suami sedang tonton TV sambil makan kerepek pisang. Alahai. Terus saya siap-siap kemudian masuk dapur. Bahan semua dah ada sebab asalnya nak buat kuih ni petang Ahad. Tapi tak jadi sebab suami kata tak payah sediakan minum petang.

Kuih yang memang mudah. Semudah ABC. Sekejap saja sudah sedia untuk dihidang. Dalam gambar ni bentuknya adalah tak menentu sebab belum cukup sejuk saya sudah potong. Lagipun kat sini saya tak ada loyang untuk sejukkan kuih. Tuang dalam bekas plastik saja.


..::Kuih sagu kegemaran suami::..


Walaupun bentuk tak menentu, tapi rasa adalah sedap. He he he. Sekejap saja saya letak atas meja, kemudian ke dapur semula bila balik tengok bawah tudung saji tinggal pinggan kosong. Terima kasih kepada resipi yang anda boleh dapat di sini. Sila jangan menderhaka dengan resipi. Tapi jika anda seorang yang seperti saya, penderhakaan terhadap resipi masih boleh menghasilkan kuih yang cantik, kenyal dan sedap manis-manis buah.

Selamat mencuba ya.

..::MENU MUDAH HUJUNG MINGGU::..

Hujung minggu baru-baru ni saya dan suami tak pergi mana-mana. Tak balik Seremban, atau tak balik Balakong. Juga tak pergi mana-mana pusat membeli belah. Cadangannya mahu mengemas rumah saja.

Kebetulan, biras yang berjiran minta jagakan anaknya. Abang ipar outstation dan dia ada sekolah ganti. Iyakan saja lah. Lagipun bukan jaga budak kecik. Budak umur 5 tahun yang mulut tak berenti bercakap. Ada saja yang disebokkannya.


..::Ini Mimi. Budak yang takut ditinggalkan sorang-sorang depan TV::..


Sementara suami sibuk bertukang sambil melayan Mimi yang mengendeng dan tanya itu ini, saya sediakan makan tengahari. Seperti biasa konsepnya masak apa saja yang ada dalam peti ais. Tapi kombinasi mesti bertepatan.

Ini menu saya. 1. Ikan bawal kecil goreng garing kegemaran suami 2. Sawi rebus yang cuma saya sorang saja makan dan Mimi ambil kuah sebab sangka ia sup 3. Sotong masak cili yang sengaja tak buat pedas dengan alasan nanti Mimi tak tahan 4. Nasi putih panas-panas tentunya



Lalu makanlah kami 3 orang bertambah-tambah sampai habis 2 pot nasi yang saya masak.

Monday, January 25, 2010

..:: CACAMARBA::..

Dah lama saya tak cerita pasal aktiviti masak memasak. Ye lah, sebelum ni masak dan makan untuk tekak sendiri. Jadi apa yang ada belasah saja. Kalau ada bahan dan rajin, buat. Kalau tak diam saja.

Tapi sekarang dah tak boleh macam tu. Petua daripada orang yang dah berpengalaman pun katanya kalau nak pikat suami, pikatlah melalui masakan. Jaga makan minumnya. Kecuali jika suami cakap "U tak payah masaklah harini", selainnya tiada pengecualian.

Dan. Perkahwinan juga adalah perkongsian hidup dengan seseorang yang berbeza dengan kita. Jantina memang lah berbeza. Ini tentang selera makan dan kegemarannya. Walaupun kata suami apa yang ada dia makan, tapi bila suami bertanya: U pandai tak masak mee hailam sebagai contoh, saya perlu berusaha. Masa bujang memang tak pernah buat sebab paling senang ialah masakan goreng-goreng. Campak-campak, gaul-gaul, dah siap.

Selain makanan yang pedas, suami juga suka makanan berkuah. Jadi ini ujian pertama saya. Kerana saya belasah saja apa yang ada dan tumis ikut suka hati, saya namakan ia MEE CACAMARBA.



Resipi? Malulah mahu kongsi. Tak ada yang istimewa melainkan resipi rahsia setiap kali memasak ialah jangan lupa masukkan kasih sayang dan keihlasan secukupnya.

Suami makan dan hirup kuah sampai habis. Sedap la tu kot. Cuma satu saja kata suami; "tak pedas lah". Dan saya sengih saja sambil hirup kuah mee cacamarba ciptaan saya.

Friday, December 04, 2009

..::HANI LEMPENGNYA HANGUS::..

Itu Hani lain. Hani ini lempengnya elok tak hangus pun. Malah, sangat sedap. Ha ha ha. Tiba-tiba puji diri sendiri walaupun cuma masak lempeng.

Sebenarnya, ini pertama kali saya buat lempeng. Lempeng pisang. Sesikat pisang tu pula mak saya bagi awal November dulu sebab kononnya nak buatkan pisang goreng untuk bakal menantunya. Tapi tak jadi buat pun. Saya goreng pisang tu dan makan sendiri saja. Kemudian saya kata nanti lah saya buatkan kek pisang. Tapi dikeji pula sebab pisang goreng yang mudah pun saya tak buat ini kan pula kek pisang.

Asalnya semalam balik kerja saya memang dah semangat nak buat kek pisang. Bahan-bahan semua dah keluarkan. Tiba-tiba aura kek hilang. Sudah-sudahnya saya rasa nak buat lempeng dan makan dengan sambal ikan bilis saja.

Oleh kerana baru pertama kali nak cuba, saya pun telefon mak untuk tanya cara-caranya. Mak terus jawab "macam buat cecodok lah". Ha ha ha. Saya sambut dengan ketawa besar. Dan sila keji saya. Kuih-muih lain seperti karipap, roti canai, nagasari (hanya menyebut beberapa nama) semua saya sudah buat. Tapi tidak cekodok.

Tapi saya tidak lah sampai tak tahu apa bahan-bahan asasnya. Pisang (sudah tentu lah) + tepung gandum + gula + sedikit garam. Mak kata adunannya biar cair sikit. Lepas tu mak kata "handek lagi sadep campor sikit niyor". Sekali lagi ha ha ha. Mana nak cari kelapa? Jadi sila abaikan bahan yang tiada. Untuk tekak sendiri, masak saja menggunakan bahan yang ada depan mata.

Maka, selepas pot pet pot pet dari cerita macam mana nak buat lempeng, ke cerita persiapan kenduri, melangkau pula cerita hujan setiap hari sehingga lori hantar pasir terbenam tayar, saya pun mulakan operasi mengupas pisang yang kulitnya sudah keras hitam melekat sebab dah sebulan dalam peti ais. Ok saya tau sepatutnya saya kupas dulu kulitnya sebelum simpan dalam peti.

Maka, bersilatlah saya di dapur. Dan. Inilah hasilnya lempeng pisang + sambal tumis ikan bilis. Yang cantik dan tidak hangus macam lempeng Hani. Sedap walaupun sesuatu.

..::Lempeng pisang awak::..


Kerana pertama kali percubaan, saya terima hakikat kegagalan. Tiada orang tak pernah gagal, kan?? Dan saya sudah syak sesuatu yang tidak kena bila adunan melekat sedikit di kuali yang katanya non stick itu.

Sekali lagi saya telefon mak. Dan tiba-tiba juga saya menjadi anak yang begitu kerap menelefon emaknya. Ha ha ha. Minta kepastian mak dan kemusykilan saya bahawa adunan kurang tepung benar. Mak juga kata mungkin saya terlebih letak gula. Ok, nanti lebihan adunan akan saya buat penambah-baikan dan lihat hasilnya kemudian.

Dan entry panjang lebar ini diakhiri dengan gambar pisang goreng yang begitu sedap dimakan panas-panas di musim hujan begini.

Thursday, November 19, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : MENGASAP DAPUR::..

Sejak lepas Ramadhan, dah lama sangat rasanya saya tak masak-masak. Sampai kadang-kadang kesian juga dengan dapur saya yang tak dijenguk. Bukanlah saya tak makan. Tapi makan sekadar sajalah. Tidaklah saya beriya menumis segala.

Semalam entah kenapa tiba-tiba saya rasa mahu masak. Lagipun hujan lebat sangat di luar. Nak pergi pasar malam pun tak berselera. Kalau ikutkan tekak memang dah lama sangat teringin nak makan kari ikan bawal + bendi. Tapi tu lah. Bila hujan nak bergerak pun jadi malas.

Jadi kerana nak juga makan kari, saya guna sajalah bahan yang sedia ada di rumah. Maka, terhasillah hidangan ini.


::kari sardin + roti canai::


Cukuplah sementara mengisi tekak saya seorang.

Wednesday, August 19, 2009

..::MASAK VS MAKANAN::..

Dalam minggu ni saya asyik balik awal. Jadi bila balik awal saya berkesempatan untuk masak. Semalam asalnya saya cuma nak masak sotong goreng kunyit. Tapi bila bersembang dengan kawan-kawan pasal makanan, menu dan resipi macam-macam keinginan timbul. Kemudian saya ternampak pula gambar mee goreng dalam blog Chika.

Gigih saya berkejaran balik awal, kemudian singgah kedai cari mee dan sawi.

Ini hidangan makan malam saya



Ada lebih lagi, pagi tadi saya bawak bekal. Jimat duit sarapan saya.

Habis bab makan malam dan sarapan. Ini pula cerita makan tengahari.

Tadi saya agak sibuk membuat suntingan untuk ucapan YB Menteri sempena program esok hari. Jadi saya tapau dulu nasi dan lauk. Dan sekarang baru saya berkesempatan untuk makan.

Tapi, gempar okay!!!



Nampak tak apa yang saya cuba tunjuk? Kalau tak nampak sila klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Perasaan saya bercampur baur. Marah. Lapar. Sedih. Semua ada.

Tapi, saya kena redha bahawa itu bukan rezeki saya.

Wednesday, November 12, 2008

..::SAYA SUKA - SAYA CUBA::..

Hujung minggu yang baru lepas, saya duduk di rumah saja. Tidak jejak tanah langsung. Jadi apa saja yang boleh dibuat jika bukan masak dan makan. Kebetulan saya sangat tertarik dengan resepi yang diperolehi dari blog Ayin. Disusuli sesi bersembang-sembang dengan AM tentang resepi itu. Lalu saya cuba memandangkan semua bahan ada di rumah. Oh, kakak saya kata kabinet dapur saya itu umpama kedai runcit. Dan. Dia beli susu sejat dari kabinet saya. Ha ha ha.

Berbalik kepada cerita tentang masak. Ini hasilnya. Gambar tidak begitu jelas kerana saya tiada camera yang hebat untuk merakam imej berkenaan.



Ok, mungkin rupanya tidak begitu cantik sebab merekah di tengah-tengah. Saya guna oven dapur gas. Tahap kepanasan yang tidak dapat dikawal dengan tepat. Tapi, saya tidak tipu rasanya memang sedap.

Dan. Di sini saya juga mahu kongsi resepi kek coklat lembap versi saya dan keluarga yang selama ini digunakan. Bahan-bahan dan cara membuat lebih kurang sama dengan resepi dari Ayin. Mudah, ringkas dan sedap.

KEK COKLAT 'MOIST'

2 cawan gula caster
1 3/4 cawan tepung gandum
3/4 cawan serbuk koko
1 cawan minyak jagung
1 cawan susu sejat
1 cawan air suam panas
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh serbuk penaik
2 biji telur

CARA-CARA
1. campurkan kesemua bahan (kecuali air panas). Gaul rata
2. masukkan air panas, kacau sehingga sebati
3. bakar dalam ketuhar (150◦c) selama 45 minit
* satu petua untuk kek lembap: Letakkan loyang berisi air di tingkat bawah loyang berisi bancuhan kek.
4. dah sejuk, hias dengan topping coklat untuk lebih cantik dan sedap..

Selamat mencuba. Tak kira resepi yang bagaimanapun, yang penting masak mesti dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang.

Wednesday, November 05, 2008

..::BILA YANG TAK MENGANDUNG MENGIDAM::..

Sehari sebelum gas memasak habis, saya sempat masak lauk yang dah lama saya teringin nak makan. Sejak dari bulan puasa lagi. Tapi asyik tertangguh saja. Kawan saya kata, saya ni kalau mengidam mengalahkan orang yang mengandung. Ha ha ha.. Saya peduli apa. Bukan saya suruh awak masak. Jadi, kebetulan kakak saya ada di rumah, dan saya punya teman untuk bersuka-suka, semangat itu lebih membara.

Ini apa yang saya teringin nak makan. Kari ikan bawal campur bendi dan roti canai yang dibuat sendiri.



Sangat nikmat. Ikan bawal segar saya beli di Pasar Malam Seri Serdang. Isinya tebal dan manis. Bendi pun saya beli di pasar malam yang sama. Untuk rempah kari - sila gunakan rempah yang asli seperti Baba's atau Alagappas. Hasilnya memang marvelous . Eerr.. tapi kalau awak tak pandai masak, guna la ikan segar baru angkat dari laut, bendi baru petik dari pokok atau rempah sekilo pun, tak menjadi juga kan? ha ha ha..

Eh, saya tak berniat mahu memperkecilkan sesiapa. Itu hak masing-masing. Saya tak kisah kalau ada kawan saya yang tak berapa pandai memasak. Janji dia tidak menyakiti hati saya. Itu sudah cukup untuk saya tetap bersahabat dengannya. Lagipun kalau semua orang cekap dan hebat memasak, tentu rugi orang yang berniaga kedai makan.

Tuesday, November 04, 2008

..::KEJUTAN YANG TERKEJUT::..

Sejak hari Sabtu, kakak saya ada di rumah. Tumpang tinggal 3 hari sementara suaminya pergi bertugas ke luar daerah.

Semalam. Seperti biasa saya pergi bekerja. Tinggal kakak saya di rumah. Itu memang pekerjaannya. Surirumah.

Tiba-tiba jam 12.30 tengahari, kakak saya telefon. Suara agak cemas. Hah! kenapa pula?

Rupa-rupanya gas memasak habis. Dan waktu itu dia sedang membakar kek. Yang pada asalnya konon-konon mahu dijadikan kejutan untuk saya. Bila balik dari pejabat.

Ha ha ha.. Apa-apalah dia tu. Cubaan pertama. Mahu dijadikan kejutan. Sudahnya dia yang terkejut. Cuba dikukus dalam periuk nasi pun tak berjaya. Mujur juga lepas saya balik, beli gas dan bakar semula kek, hasilnya masih gebu dan sedap walaupun tidak naik seperti kebiasaan. Mungkin berkat keikhlasan dan resepi yang hebat kek itu tak jadi merajuk.

Oh, ya saya silap. Tidak simpan nombor telefon pengedar gas memasak yang tinggal berhampiran rumah. Dan saya tak sangka gas itu mampu bertahan selama setahun 2 bulan walaupun saya rajin memasak. Ha ha ha

Monday, February 25, 2008

..::TAK PERLU MEMBELI::..

Hujung minggu yang baru lepas ni aku tak kerja. Memandangkan TV pun tak ada rancangan yang menarik, maka aku pun mencari hiburan sendiri. Hiburan yang lebih memberi kepuasan kepada diri aku. Apa lagi kalau bukan masak-masak dan makan-makan.

Jumaat malam, lepas balik kerja aku cuba buat kek pisang. Resepi kek ni aku dapat daripada kakak aku masa balik cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni. Kat kampung haritu aku dah cuba buat, jadi elok memandangkan peralatan lengkap. Eeerrr cuma rasanya TERmanis sikit. Itu boleh adjust. Kat sini aku serba kekurangan. Blender pun tak ada. Oven elektrik pun tak ada. Jadi telur dan gula aku pukul secara manual.



Inilah hasilnya kek pisang yang dibuat secara manual dan dibakar dengan menggunakan oven Butterfly saja. Naik cantik kan? Rasa pun sedap.. ha ha ha..

Semalam pula aku cuba satu lagi resepi. Ini aku ambil dari suratkhabar. Tajuknya ialah kepak ayam madu.



Gambar kiri ialah kepak ayam yang sedia untuk dimakan. Gambar kanan pula pinggan ayam dan nasi yang sudah licin.

Jadi, sekarang ni untuk makan kek pisang dan kepak ayam madu, aku tak perlu beli di kedai lagi. Boleh buat sendiri saja. Lagi puas.

Tuesday, December 11, 2007

..::MASAK-MASAK/MAKAN-MAKAN::..

Hujung minggu haritu masak mee bandung. Cubaan kali pertama. Buat macam nak bagi makan 10 orang. Tapi tak apa lah, kawan aku yang sorang tu pun dah makan 2 mangkuk sebab dia lapar sangat.



Minggu sebelum tu buat apple pie. Dah lama nak cuba tapi baru berkesempatan. Jangan tak percaya, 4 ketul tu aku sorang saja makan. Ha ha ha..



Ini pula hidangan untuk Adik Nett dan Adik Amyz yang singgah rumah lepas pergi menjamu mata di Cavenzi. Mujur la perjalanan balik kerja kakak Nida lancar je, jadi sempat la masak-masak. Dan bukan senang nak dapat makan dalam pinggan hijau tu, tetamu terpilih je tau. Ha ha ha..




p/s : lately ni tak berapa betul sikit..