Showing posts with label raya. Show all posts
Showing posts with label raya. Show all posts

Friday, October 26, 2012

..::SALAM AIDILADHA::..

Salam Aidiladha daripada saya sekeluarga. Mungkin inilah pengorbanan. Beraya di perantauan yang tak ada langsung suasana raya sebab jauh dari komuniti muslim. Tak ada ketupat, tak ada rendang atau juadah-juadah raya yang lain. Bukan apa, nak sediakan sendiri pun tak berbaloi, tak ada peralatan, tambahan pula minggu depan dah nak balik jadi bahan mentah dalam peti memang terhad sangat.

..::ok lah ada nasi impit dengan kuah kacang. hehehe::..

Ada kawan jemput datang beraya rumah dia, tapi suami kerja. Nak pergi sendiri naik teksi dengan perut 6 bulan dan budak 2 tahun tu, tak tahu lah macam mana gayanya. Jauh juga dalam 1 jam perjalanan. Tengoklah macam mana nanti.

Hmmm.. apa pun, semoga segala pengorbanan kita diredhai Allah. Tak lupa juga, ampun maaf dipinta.

Saturday, September 08, 2012

..::BIAR LAMBAT ASALKAN SELAMAT::..

Kita sambung cerita raya.

Pagi-pagi Syawal kedua kami dah plan nak balik Perak. Gedebak-gedebuk bersiap kemas itu ini dan sarapan, 7.40 pagi gerak dari Melaka. Lalu Masjid Tanah-Lubok China-Rembau, masuk lebuhraya di Pedas-Linggi dan turun di Senawang kemudian sambung guna LEKAS.

Pemandangan menarik yang kami nampak ialah semua gerai yang ada jual roti canai memang penuh dan orang memang beratur panjang. Semua orang dah tak lalu nak makan lemang, ketupat dan rendang ye. Hehe.

Kami singgah dulu di Semenyih rumah Atam sebab nak ziarah dia yang tak dapat balik beraya di kampung. Sekaligus nak bagi kek yang saya buatkan untuk dia dan sedikit ole-ole daripada mertua. Masa gerak tu saya sms bagitau dan atam bajet kami sampai pukul 10.00. Saya tanya suami, dia jawab pukul 9.00. And we make it at 9.15 ihiks. Atam kata memang laju sungguh kami ni. He he. Sampai saja bagi mandi Muhammad dulu kemudian baru senang nak lepak-lepak.

..::Muhammad mengamuk sebab Pak Tam pegang kamera mama ha ha::..

Ini saja gambar yang saya ada. Lain-lain gambar tengah makan semua boleh tengok dalam blog Atam.

10.30 gerak dari Semenyih. Sebab awal lagi suami kata singgah rumah dulu. Masuk Putrajaya untuk naik ke Elite dan turun Bukit Jelutong. Lancar. Singgah rumah tinggalkan baju kotor, kemas beg baju sikit-sikit lagi dan suami sempat cuci kereta. 12.30 gerak dari rumah menuju destinasi.

Dari Guthrie masuk ke Plus mula-mula tu lancar saja walaupun kereta banyak, sampailah ke kawasan pertukaran lorong dari 3 ke 2 lorong di Slim River. Selalunya bila sesak kami akan keluar di Slim River, tapi haritu jalan keluar tu pun dah penuh sesak, jadi kami terus saja. Hujan sekejap-sekejap di sesetengah kawasan. Dan, merangkak-rangkaklah sampai ke Tapah. Kalau tak salah saya waktu tu dah dekat pukul 3.00petang, which is biasanya dah dekat nak sampai kampung huhu.

Berhenti di Tapah untuk isi minyak dan memenuhi lain-lain keperluan. Perut pun dah lapar. Kereta banyak, parking pun tepi-tepi jalan saja. Suami keluar cari makan. Tak lama lepas tu hujan turun dengan sangat lebatnya, dan suami sangkut di luar hampir 2 jam. Sebab KFC penuh sampai ke luar dan tempat makan yang lain pun penuh suami cuma tapau mee rebus restoran Pak Tam, 2 biji pau dan jagung rebus daily fresh.

Dipendekkan cerita dalam perjalanan yang panjang ni, pukul 7.30 malam baru kami sampai Bagan Serai. Lemau rasa badan. Singgah rumah abang saya dulu sebab siangnya dia buat makan-makan jemput adik beradik. Kimi pun ada kat situ baru sampai.

..::Gambar ambil dari Facebook abang saya::..

Lepas kenyang makan, borak-borak sambil bagi duit raya, pukul 9.00 lebih gerak balik rumah. Penatnya tak tahulah nak cakap. Dekat 12 jam baru nak sampai. Tapi tak apalah, bak kata tajuk entry ni, biar lambat asalkan selamat. Kami berhenti lama di Tapah sebab hujan lebat sangat tak nampak jalan dan memang bahaya nak drive. Alhamdulillah.

Pengalaman perjalanan panjang nak balik kampung kali ni disusuli dengan kami suami isteri terpaksa bangun jam 4.00pagi sebab cirit birit. Dan, saya syak mee rebus Pak Tam puncanya. Bukanlah bersangka buruk. Cuma memandangkan kami berdua saja yang makan benda tu, dan kami berdua saja yang kena, tak ada apa lagi yang dapat menyangkal. Mujur juga tak teruk mana.

Kegembiraan beraya bersama keluarga tak tergugat olehnya ;)











Thursday, September 06, 2012

..::SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI::..

Assalamualaikum, salam sejahtera
Kepada anda semua moga bahagia :)

Saya kira belum terlambat lagi untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Dan sekaligus update blog dengan cerita berkaitan raya.

Tahun ni giliran beraya di Negeri Sembilan dulu, kemudian baru balik Perak. Sementelah sepanjang bulan Ramadhan saya berpuasa di kampung, jadi saya kenalah balik Shah Alam dulu sementara tunggu suami balik dari Bangkok hari Jumaat. Kedengaran macam kerja yang berulang alik kan? Tapi memang pun sebenarnya. Hehe. Apa nak buat.

Hari Khamis saya balik berdua saja dengan Muhammad. Gerak dalam pukul 11.00 lebih kot sebab tunggu Muhammad bangun tidur, bagi makan kenyang-kenyang dan siapkan dia. Alhamdulillah perjalanan lancar. Muhammad pun tidur saja sepanjang perjalanan. Dah nak sampai Rawang baru jaga, itu pun senyap saja dalam car seat. Bila dia dah terjaga barulah saya berhenti di R&R Elmina. Kejang badan drive tanpa henti sorang-sorang, ditambah dengan rasa nak buang air.

Hari Sabtu dalam pukul 10.00 lebih baru gerak pergi Melaka. Kisahnya beraya di Melaka sebab kak ipar saya baru bersalin 2 minggu sebelum raya. Jadi mertua memang duduk sana sepanjang kakak ipar berpantang.

..::Gambar sekeluarga di pagi raya::..

Baju raya saya tu kain cotton kirim dengan Maya beli di Bandung. Tudung saya tu ikut trend masa kini - bawal AidiJuma kirim dengan anak buah beli di Sunway Carnival, Penang. Terima kasih la dekat Maya sebab memang sedang elok sungguh la warna kain tu matching dengan baju melayu suami. Baju melayu suami tu ulang baju kahwin dulu. Setahun 2 kali saja pakai baju melayu jadi tak perlu membazir tempah yang baru. Tahun ni tak buatkan baju melayu untuk Muhammad. Budak cepat besar, nanti saiz dah tak kena. Lalu pergi SOGO dan shopping baju budak.

..::Muhammad dengan sepupu::..

..::Baby baru nama Aqif Ziqrin::..

Juadah di pagi raya, emak mertua buat kuah lodeh. Rendang, ketupat dan macam-macam makanan lagi bapa mertua kakak ipar yang bagi. Tapi tak ada gambar. Lupa nak rakam.

Jadi, itu saja gambar raya yang ada. Hehehe. Lain-lain aktiviti saya tak ambil gambar. Tiba-tiba macam rasa rugi pula sebab petang tu saya pergi beraya di rumah Nusrat Aida, kawan masa Politeknik dulu. Entah bukan senang nak dapat jumpa kawan-kawan lama. Haiisshh.

Itu cerita raya saya tahun ni. Ok jugalah beraya di kawasan perumahan kakak ipar saya ni sebab kebanyakkannya tentera dan pekerja Petronas. Jadi ramai yang tak balik kampung sebab tuntutan tugas :). Maka, bolehlah beraya di rumah jiran sebelah.

Pagi-pagi raya ke-2 kami dah mulakan perjalanan nak balik Perak. Nanti cerita dalam entry lain.

Tata.




Tuesday, September 06, 2011

..::PERTAMA KALI MUHAMMAD BERAYA::..

Kita sambung cerita raya versi Muhammad pulak.

Tahun lepas beraya, Muhammad umur 8 bulan dalam kandungan. Tahun ni Muhammad dah umur 10 bulan. Walaupun Muhammad belum faham, tapi mama dengan ayah tetap teruja nak siapkan anak teruna seorang ni.

Eeerr... layan gambar je lah ye. He he


kena paksa dengan ayah cium tangan tok



Dah tak sabar nak pergi main



Main duit raya sementara tunggu orang lain siap salam-salam dan bergambar


Oh, terima kasih kat Wan sebab jahitkan baju melayu comel untuk Muhammad. ;)

Sebab lama sangat tunggu, Muhammad pun dah bosan. Dan entry diakhiri dengan gambar mama dengan kakak-kakak. Eh bukan kakak mama, tapi sepupu Muhammad, anak mak long.

..::BLOG TU APE YE?::..

He he he.. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkannya.

Sebab ramai (ramai ke? ha ha) yang bising suruh saya kemaskini blog, hari ni saya rasa terpanggil untuk kemaskini, sapu sawang segala demi menghargai peminat blog ni. Bila orang tanya atau suruh update blog, saya mesti tanya blog tu ape ye, dalam usaha menafikan kewujudannya. He he he. Tapi sebenarnya saya rindu dengan dunia blogging ni.

Asalnya haritu nak update cerita Ramadhan, tapi dah raya ni saya tinggalkan je lah cerita tu. Tak ada yang menarik sangat pun melainkan cabaran berbuka dan bersahur dengan anak kecil. Tengok lah kalau rajin saya cerita lah nanti.

Sekarang kita tengok gambar raya dulu.


Sebahagian daripada keluarga besar saya yang ada di pagi raya. Yang lain datang dekat-dekat tengahari.



Keluarga kecil saya



Salam dengan mak dan dapat 'duit raya'.. he he he


Ok. Itu je dulu. Nanti saya update lagi. Gambar tak banyak pun sebab kelam kabut nak pergi beraya sebelum budak-budak datang. He he he. Lagipun dengan beg tangan yang bergerak aktif, nak pegang camera pun payah.

Sekali lagi, maaf zahir dan batin

Friday, September 24, 2010

..::RAYA 2010 - SATU HARI DI HARI RAYA::..

Tiba-tiba dah masuk 15 Syawal baru nak keluar entry raya.

Ha ha ha.. Pedulikan lah. Saya ada banyak benda lain nak selesaikan dulu. Lagipun entry raya tak meriah kalau tak ada gambar, dan yang sebenarnya memang tak berapa nak ada gambar pun.

Ini tahun pertama saya berhari saya sebagai seorang isteri. Dan tahun pertama juga saya beraya jauh dari keluarga. Satu pengalaman baru. Lagipun setiap perkara mesti ada pertama kalinya kan.

Satu pengalaman yang tak pernah saya lalui sebelum ni ialah orang bertakbir dari rumah ke rumah pada malam raya. Saya ada ambil video tapi saya tak reti nak operate dan letak dalam blog macam mana. Hi hi hi.

Memandangkan keluarga suami tak ramai, pagi raya sangat ringkas. Siap-siap semua, sarapan terus salam-salam. Tak ada acara proper duduk-duduk dan salam-salam segala.

Ini gambar sekeluarga selepas semua orang yang pergi solat raya balik rumah.



Susun atur macam tersilap sikit. Sepatutnya Kak Ngah dan suami yang berdiri di tengah kalau ikut aturan dan mengambil kira adik beradik perempuan seorang, tapi entah macam tak terfikir pulak. Sudahnya saya yang paling kecil terlindung.

Ini pula gambar dengan anak-anak saudara. Ada 3 orang saja berbanding 33 orang di sebelah keluarga saya. He he he



Sebenarnya ada satu kejadian yang tak sanggup nak dihadapi telah berlaku di hari raya. Suami diserang keracunan makanan. Lepas solat Jumaat keadaan makin teruk. Asalnya mahu pergi beraya rumah KRoll pun tak jadi sebab tersangkut di hospital. Jangkaan suami seorang saja yang kena, rupa-rupanya bila balik dari hospital dapat tahu Kak Long pun mula cirit birit. Dan menjelang malam Kak Ngah dan Ayah pula yang kena. Tak tahu puncanya dari mana sebab semua orang makan benda yang sama dan seorang kena tapi pasangan tidak pulak kena. Kata Kak Ngah Allah itu Maha adil.

Memandangkan suami tak mengalami simptom muntah macam Kak Long dan Kak Ngah, jadi suami tak disuntik. Tapi, agak kurang bernasib baik kerana menjelang Syawal ke-3 pun cirit birit belum sembuh. Lalu terpaksalah kami mengunjungi hospital sekali lagi sebelum pulang ke Perak.

Jadi, raya jadi serba tak kena bila mengenangkan apa yang terjadi. Sekian

Saturday, September 26, 2009

..::1 SYAWAL 1430H

Ini gambar sebahagian ahli keluarga saya di pagi 1 Syawal 1430H.



Lepas sesi bermaaf-maafan bagi duit raya kepada yang layak dan bergambar sesuka hati kami pun membuat rombongan ziarah ke rumah jiran sebelah yang menyediakan hidangan laksa utara yang memang sedap.

Mujur juga rumah jiran tu tak berapa luas dan kami terpaksa memberi ruang kepada tetangga lain yang datang berkunjung kalau tidak mungkin semua masih tak berenti makan laksa. Kemudian kami pergi rumah sebelah rumah sebelah bersamaan dengan rumah arwah Tok Su. Makan soto.

Menjelang Zohor kami pun berangkat balik. Hajat di hati nak cover tidur yang terganggu di malam hari tapi tak dapat sebab sepupu 3 beradik datang beraya.

Dan seperti tahun-tahun sebelum ni juga saya banyak duduk di rumah tunggu tetamu datang dan beri peluang kepada adik beradik saya yang sudah berkeluarga pergi beraya. Semoga tahun hadapan ada kelainannya.

Tuesday, December 09, 2008

..::RAYA YANG PANAS SAMPAI KE PETANG::..

Alhamdulillah, hari ini cuaca baik. Sangat baik. Bolehlah saya keluar berhari raya.

Ateh datang ajak pergi kenduri doa selamat. Kawannya masuk rumah baru. Di Taman Ilmu sebelah USM Transkrian. Saya tak tahu di mana taman itu. Jadi saya tanya Posmen. Terima kasih Abang Posmen.

Lepas Zohor di masjid saya pergi rumah Pak Lang (adik mak). Sebenarnya Pak Lang baru menginggal dunia pagi Ahad. Kerana saya balik lambat dan singgah di Ipoh pada hari Ahad, jadi saya ambil keputusan untuk ziarah Mak Lang dan keluarga pada hari raya. Kali terakhir saya jumpa Arwah Pak Lang pada Aidilfitri yang lepas. Mak kata, Mak Lang mesti rasa macam apa yang mak rasa dulu. Anak-anak pun sama. Kehilangan orang tersayang, tempat bergantung secara mengejut. Macam arwah ayah juga, cerita Mak Lang, Arwah Pak Lang sempat menjadi saksi pernikahan pada sebelah petang, dan mengimamkan solat Isya' pada malam hari. Semoga Mak Lang tabah dan sepupu-sepupu saya juga begitu.

Balik dari rumah Mak Lang saya singgah sebuah lagi rumah. Ini rumah mertua Arwah bekas boss saya. Sudah lama makcik dan pakcik ni jemput saya datang. Sejak pertama kali jumpa sewaktu majlis Tahlil setahun yang lalu. Cuma, saya saja yang tak berkesempatan. Kebetulan, pakcik ni kawan arwah ayah saya. Juga kenal dengan abang ipar dan kakak saya kerana selalu jumpa di masjid.

Pulang ke kampung kali ini walaupun saya cuma pergi ziarah 2 - 3 buah rumah, tapi saya rasakan ia cukup bermakna.

Monday, December 08, 2008

..::RAYA YANG HUJAN TURUN SEHARIAN::..

Masih seperti biasa. Saya adalah penghuni tetap yang balik kampung setiap kali hari raya menjelang. Selain tu ada Kimi, Miza dan Hanany yang merangam saja.

Hujan sekejap-sekejap. Kadangkala lebat. Pintu tertutup. Dan.....

Tidur sampai menjelang Zohor.

Apakah itu makna pengorbanan?

Friday, October 10, 2008

..::SATU HARI DI HARI RAYA::..

* Saya ni ketinggalan. Baru nak cerita perihal raya. Peduli lah kan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya berhari raya di kampung yang satu itu. Belum ada dua atau tiga. Jadi, rutinnya seakan-akan sama saja.



Pagi raya. Sarapan. Siapa yang nak pergi masjid/surau, dipersilakan. Siapa yang tak pergi, sila kemas rumah dan siapkan apa yang patut. Lepas orang dari surau/masjid balik, sambung makan-makan. Lepas tu sesi salam-salam semua. Bagi duit raya kat anak saudara yang mana ada. Ada 4 keluarga + saya seorang saja tahun ni. Yang lain beraya di rumah sendiri atau rumah mertua.

Sebenarnya dari 2 hari sebelum raya hujan turun lebat sangat tak berenti. Malam raya pun sama. Masing-masing dah pasang angan-angan nak tutup pintu dan sambung tidur saja. Tapi semua Allah yang tentukan. Hujan berenti. Jadi, mesti pergi ziarah-menziarahi.

Tahun ni kami nekad. Tutup rumah dan pergi beraya. Paksa mak ikut sama. Alaaa pergi bukan jauh pun. Rumah Tok Nek kat sebelah. Dan rumah Tok Su kat sebelah rumah Tok Nek. Masa kami tengah tutup pintu dan jalan keluar, ada budak-budak datang. Tapi diaorang patah balik bila nampak kami nak keluar. Bagus sungguh. Ha ha ha. Lalu kami pun beraya dengan aman. Kat rumah Tok Nek makan laksa. Kat rumah Tok Su makan mee kari. Makan-makan sambil sembang-sembang.

Dekat-dekat zohor balik rumah. Pasang lagi angan-angan nak tidur. Tapi juga sudah namanya hari raya dan orang sepatutnya pergi ziarah-menziarahi maka, ada lah orang yang datang ke rumah. Keluarga Pak Tam dan Pak Su datang 3 buah kereta. Seperti biasa saya akan diajukan soalan yang sungguh berharga. Disebabkan soalan itu diajukan oleh sepupu yang berusia muda walaupun dah beranak dua, maka jawapan yang saya berikan juga sangat berpatutan. Cuma kalau soalan itu diajukan oleh mak saudara yang anak-anaknya sangat laku dan tiap-tiap tahun kenduri, maka saya seharusnya cuba memaniskan muka dan berlakon seadanya. Itu yang sepatutnya kan. Ha ha ha..

Hmm cukup lah cerita raya. Saya banyak duduk rumah. Kata kawan saya, anak dara memang patut duduk di rumah saja. Paling jauh saya keluar pun cuma ke Taiping. Itupun jalan sesak yang teramat sangat. Perjalanan 40 minit sudah jadi berjam-jam. KL lengang. Kampung pula yang sesak. Penat.

Ini gambar rangkuman kejadian dalam tempoh beberapa hari. Dan sudah namanya blog saya harus lah muka saya yang banyak.



Selamat hari raya. Sesiapa yang mahu datang ke rumah, sila telefon saya. Tahun ini saya tak buat rumah terbuka. Sekian, terima kasih.