Thursday, October 09, 2008

..::HARI-HARI SEBELUM RAYA::..

Saya balik kampung agak awal. Sebelum raya haritu. Jadi, daripada duduk sahaja baik saya buat perkara yang berfaedah.

Dengan kerjasama beberapa orang kakak yang lain, maka inilah hasilnya.



1. Adunan chocolate chips.
2. Lungguk saja. Rupa tak berapa cantik. Tapi rasa sedap mengalahkan biskut chipsmore.
3. Itu saja gatal nak tunjuk langkah-langkahnya. Maklum la pertama kali nak buat biskut sendiri. Harus teruja lebih.
4. Adunan sampret
5. Sampret yang dah jadi. Comel kan?

Oh, sebelum tu di KL saya dah buat biskut ini. Balang tinggi tu untuk tempahan orang.



Siapa yang nak rasa biskut-biskut tu, jemput la datang beraya ke rumah saya. Kalau permintaan menggalakkan, tahun depan saya buka tempahan umum.

Ha ha ha..

Ok. Berbalik kepada cerita di kampung.

Dah lepas berpenat lelah buat biskut raya, misi di dapur diteruskan dengan persediaan untuk juadah berbuka puasa pula. Banyak tangannya, banyak la yang boleh buat.



1. Sebelum. Hidangan tersusun elok saja.
2. Selepas masuk waktu. Semua serbu. (budak yang nama Hanany tu pun sibuk juga nak makan)

Untuk makluman, kuih hijau dalam gambar itu ialah salah satu kuih orang Banjar. Namanya penakok. Nak buat kena pakai air perahan daun pandan yang original. Kalau setakat pakai perasa dan pewarna pandan, memang tak jadi. Mak saya memang cukup handal buat kuih ni. Termasuk kuih-kuih lain juga.

Dan. Di situlah kegembiraan bagi mereka yang berpuasa dan menghayati maksudnya.

Nanti. Kita sambung pula dengan cerita raya.

Wednesday, October 08, 2008

..::RAYA ITU SEBULAN::..

Saya sudah kembali bekerja.

Tapi jiwa masih berhari raya.

Nantilah. Saya ceritakan.

Sekarang ini ada kerja menanti.

Saturday, September 27, 2008

..::IA CUMA NOMBOR::..

Hari ini umur saya genap 29 tahun.

Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah diberikanNya. Saya gembira dengan adanya keluarga dan kawan-kawan di sisi. Oh, teman hidup?? Itu saya sedang usahakan. Selebihnya saya berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan jodoh yang baik, taat dan mampu membimbing dan menjaga saya: kekal sampai Syurga. InsyaAllah.

Terima kasih kepada teman-teman yang menitipkan ucapan tanda ingatan beserta doa.

Ini hadiah yang saya beri untuk diri sendiri. Saya gunakan voucher yang diberikan oleh Focus Point bernilai RM50 dan tambah sendirilah bakinya. Siapa lagi mahu tambahkan.



Saya pilih bingkai biasa saja walaupun teman-teman kata cermin mata hitam bingkai besar-besar itu trend semasa. Tak mengapalah. Saya rela beralah dengan trend. Semata-mata tidak mahu mengorbankan kesesuaian dan keselesaan.

Ok. Berbalik kepada tajuk asal, 29 itu cuma nombor. Yang paling penting pencapaian sepanjang 29 tahun itu. Kuantiti dan kualiti. Dan. Saya bersyukur dengan semuanya.

Selamat ulangtahun untuk diri sendiri. Semoga apa yang dihajati dimakbulkanNya.

Friday, September 26, 2008

..::KAD DIHULUR PENGGANTI DIRI::..

Saya sudah pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Jadi di kesempatan ini, saya titipkan ucapan untuk teman-teman pembaca sekalian.



Oh, jemput lah datang beraya ke rumah saya...

Wednesday, September 24, 2008

..::DEMI MASA: SESUNGGUHNYA MANUSIA KERUGIAN::..

Semalam. Ada ceramah di Jabatan. Sempena bulan Ramadhan.

Tapi. Aku. Keluar ikut pintu belakang. Pergi tukar duit raya di pusatbandar.

Rupa-rupanya. Ustaz Zamri yang datang bercerita.

Dan. Aku. Menyesal. Kerugian dua perkara.

1. Ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Zamri

2. Autograf beliau

Lalu. Balik ke rumah. Aku tonton Ustaz Zamri Bercerita di TV9. Sambil berbuka puasa.

Tuesday, September 23, 2008

..::SAKIT ITU MENSUCIKAN DOSA::..

Ada orang yang dipercayai terlantar sakit di rumah selama 9 hari. Menjelang hari ulangtahun kelahirannya. Tak mahu pergi hospital. Tapi mahu sup ketam. Sebagai ubat.

Namun. Setelah diugut-ugut oleh Ketua Turus, juga dijanjikan dengan sup ketam dan air 100+ maka dia dengan semangat bersiap-siap mahu ke hospital.

Permintaannya tak berhenti setakat itu. Jika ditahan di wad, dia meminta pula agar disediakan sup sirip ikan yu. Wah!!! Hebat sungguh penangan sakitnya ini.

Dan. Sebagai seorang yang telah diarahkan untuk menyediakan sup berkenaan, aku meminta sebentuk cincin belah rotan sebagai pendahuluan. Baru sup sirip ikan yu akan dihidangkan.

Tiba-tiba. Demamnya terus kebah.

Aku syak. Platlet darahnya terus meningkat akibat terkejut.

Monday, September 22, 2008

..::BULAN JIMAT-CERMAT::..

Alhamdulillah, setakat hari ni aku masih berjaya mengekalkan rekod tanpa Pasar Ramadhan. Aku cuma pergi pasar untuk beli bahan basah.

Dan. Aku suka. Balik dari pejabat, sampai rumah sibuk-sibukkan diri dengan memasak. Dalam masa yang sama aku boleh berlatih untuk masa akan datang. Bila dah ada laki nanti. Ha ha ha. Lepas tu tunggu waktu berbuka. Sambil-sambil tengok tv aku ambil gambar makanan tu.

Ni sebahagian makanan orang bujang. Yang penting itu adalah apa yang aku nak makan pada hari itu. Dan. Air wajib ialah sirap bandung.



Bagi aku, masak sendiri lagi jimat daripada membeli di Pasar Ramadhan.

(Ini juga timbal balik daripada apa yang aku dah belanja untuk 3 helai batik sutera dan sebuah bag tangan)

Ha ha ha

Friday, September 19, 2008

..::INI BULAN PENGHARGAAN::..

Sepanjang bulan September ni boleh dikatakan aku banyak dapat hadiah. Lebih daripada 1 sudah dikira banyak. Ha ha ha. Lagipun, kan kata bulan ni birthday aku. Dan aku ni pula banyak pegang kad itu ini, jadi ahli itu ini. Tengok sajalah gambar di bawah tu.



Gambar paling atas tu voucher RM50.00 daripada Focus Point. Aku memang pelanggan setia rangkaian kedainya. Voucher ni aku dah gunakan. Hadiah namanya. Harus digunakan sebagai hadiah untuk diri sendiri juga.

Yang sebelah voucher Focus Point tu, daripada Jaya Jusco. Aku dah redeem hadiahnya. Sama juga voucher. Ada yang best dan ada yang tak perlu pun. Kalau Ika ada kat sini, dah lama aku ajak dia pergi makan Nando's.

Bawah sebelah kiri adalah tiket percuma daripada GSC untuk filem-filem yang bertanda (*) sahaja. Too bad. Bila filem yang aku nak tengok tak termasuk dalam senarai.

Dan. Gambar kanan itu kad dan voucher daripada SOGO. Tapi yang SOGO ni kena belanja RM100 - RM500 dalam satu resit, baru boleh dapat apa yang dia tawarkan. Aku tak pasti resit tu mesti dalam bulan yang ditetapkan atau pun tidak. Kalau tak, resit aku belanja beli beg tangan bulan lepas mungkin boleh digunakan. Itupun, kalau resit tu masih belum dibuang.

Oh, cuma bulan ni tarikh ulangtahun kelahiran aku tu tiba bila orang semua sudah berpusu-pusu mahu balik beraya. Aku sendiri pun insyaAllah sudah sampai di kampung. Jadi, tiadalah acara makan-makan secara berjemaah. Alahaaii..

Wednesday, September 17, 2008

..::MAINAN::..

"Semalam aku TERbeli mainan untuk budak lelaki" cerita laki orang yang sering digilai oleh perempuan-perempuan genit.

"Hah? TERbeli mainan untuk budak lelaki?" Aku terkejut.

"Lepas tu - aku bukannya reti main mainan tu" sambungnya lagi.

"Apakah itu? Aku ni naif la" Tanya aku lagi. Jujur. Aku tak faham.

"Laptop Acer kenit warna pearl white" Jawab laki orang yang sering digilai oleh perempuan-perempuan genit. Dalam tawa.

WOW!! WOW!!
..::WEIRD::..

Sometimes.

People can be weird.

Tuesday, September 16, 2008

..::SEDIKIT ITU TETAP PERBEZAAN::..

Pagi tadi. Dalam perjalanan ke pejabat. Aku singgah di satu stesen minyak di tepi lebuhraya sebelum tol Sungai Besi.

Isi minyak seperti biasa. RM30.00. Harganya naik ataupun turun, aku tetap akan isi sejumlah itu. Aku hanya akan isi lebih bila mahu memulakan perjalanan yang jauh melebihi 100km satu hala.

Bila selesai isi aku dapati RM30.00 bersamaan 11.765 liter. Di stesen itu. Padahal, jika di stesen jenama yang sama, di tempat lain, kebiasaannya bila aku isi RM30.00 ia bersamaan dengan 11.77 liter. Apakah?

Ok. Walaupun sedikit perbezaannya, tetapi ia tetap berbeza. Dan. Mengapa boleh jadi seperti ini?

Friday, September 12, 2008

..::PUZZLE::..

Aku suka main puzzle.

Tapi. Aku tak suka orang yang bermain 'puzzle' dengan aku.

Thursday, September 11, 2008

..::PENGAKUAN INI TAK PERLU BERSUMPAH::..

Aku. Mahu buat pengakuan. Bahawa sekarang ini aku terlalu kuat berangan.

Tapi tidaklah sampai aku ini hidup berpaksikan angan-angan semata. Aku masih berpijak di bumi. Yang nyata.

Dan. Aku baru diperbetulkan. Yang kuat berangan itu adalah Mat Jenin. Bukan Pak Kadok. Pak Kadok itu rupa-rupanya orang yang menang sorak tetapi kampungnya tergadai.

Aku tak mahu jadi kedua-duanya. Aku mahu jadi aku.

Sekarang ini aku terlalu kuat berangan. Tentang masa depan.

Kata seorang kawan, tidak salah berangan-angan. Lagipun tiada bayaran dikenakan untuk sebuah angan-angan.

Wednesday, September 10, 2008

..::KATA KUNCI::..

Pada satu masa dan ketika. Menulis di blog terasa membosankan. Mulalah cuba sesuatu yang lain. Contohnya buka blog tertutup. Dan menulis secara bebas di sana.

Lupakan tentang itu.

Aku bosan. Lalu aku menjelajah dan menerokai blog sendiri. Melihat-lihat siapakah yang membaca blog ini. Dari mana datangnya mereka. Mungkin apakah yang mereka cari.

Maka. Dari kata kunci aku dapati ada yang masuk blog ini kerana mencari. Pipiyapong.

Dan. Gambar orang bersalin secara normal.

Ha ha ha.

Tuesday, September 09, 2008

..::RASA ITU DATANG LAGI::..

Saya. Rasa mahu menangis. Lagi.

Bila apa yang saya sudah siap taip hilang begitu saja.

Paparan komputer gelap sekelip mata. Radio sepi tiba-tiba. Lampu tidak lagi mengeluarkan cahaya.

Dan. Bila ia sudah kembali. Yang tinggal hanya sisa-sisa yang tidak mendatangkan apa-apa makna.

Saya. Rasa mahu menangis. Lagi

Monday, September 08, 2008

..::L ITU LONGGAR::..

Minggu lepas. Boss saya baru pulang dari tugasan rasmi. Di Sepanyol dan Paris.

Sebelum dia pergi. Saya minta dibelikan cenderahati. Tapi bukan coklat. "Pullok doh?" kata boss saya.

Maka seperti yang diminta, boss saya belikan fridge magnet. Selain daripada itu, dibelikannya juga sehelai t-shirt.

Agak memeranjatkan. Kerana boss saya adalah seorang lelaki berumur 50 tahun. Yang sangat kebapaan. Pandai pula dia memilih baju potongan wanita. Dari jenama ZARA pula tu.

Cuma. Saya ini mungkin kurang bersyukur. Mengomel di belakang bila melihat baju itu bersaiz L - USA/EUROPE.

Tapi bila difikirkan semula. Mengambil kira juga bulan Ramadhan yang mulia ini. Mungkin dia tidak mahu saya mengenakan pakaian dalam kategori S - Sempit atau M - muat-muat. Sebaliknya yang longgar-longgar. Sesuai dengan imej.

Ha ha ha...

Saturday, September 06, 2008

..::BUKA TUTUP BUKA TUTUP::..

Aku suka dengan ayat Basrie dalam komen di entry Naga.

"Harini tutup blog terbuka. Esok buka blog tertutup."


Dan. Aku rasa memang ramai yang ada blog tertutup.

Friday, September 05, 2008

..::POPULAR::..

Dalam bulan Ramadhan ni, tajuk perbualan paling popular ialah berkisar tentang makanan.

Thursday, September 04, 2008

..::ITU NAMANYA PERPADUAN::..

Ku sangka panas sampai ke petang. Rupanya hujan lebat setiap hari.

Seawal jam 4.30 petang. Jalan raya sudah mula sibuk. Orang ramai berpusu-pusu mahu pulang. Mahu berbuka puasa. Mahu makan malam. Bersama keluarga. Tidak kira bangsa. Tidak kira agama.

Di bazar Ramadhan. Begitu juga. Sesak. Masing-masing sibuk mahu pilih juadah apa. Untuk santapan berbuka puasa. Hidangan makan malam. Tak kira bangsa. Tak kira agama.

Itu lah Malaysia. Semua kaum. Semua bangsa. Semua agama. Sama-sama merayakan. Sama-sama meraikan.

Dan. Itu namanya perpaduan.

Wednesday, September 03, 2008

..::PADA SUATU HARI JUMAAT::..

Telefon berdering ketika aku sedang sibuk membelek batik sutera.

"Hello bebeh" Sapa lelaki bermisai tebal yang kuat hisap rokok itu.

"Aku nak tanya ni. Dalam kapalterbang boleh on laptop tak?"

"Boleh la. Eh, kau kan pernah naik kapalterbang pergi Jepun sana tu. Tak kan kau tak tahu. Aku ni apa sangat la. Setakat local flight je" Balas aku. Sambil tangan dan mata masih fokus kepada batik sutera.

"Jepun setakat 5 - 6 jam penerbangan je. Ni yang berbelas-belas jam. Tu yang aku nak tahu tu." Jawabnya lagi.

"Weh kau nak pergi mana ni? Antartika ke?" Aku mahu kepastian.

"Habis semua orang nak kawin, aku nak pergi la bawa diri. Ha ha ha.." Balas lelaki bermisai tebal yang kuat hisap rokok itu.

Alahai lelaki 40-an.

Seorang hanya buka blog kepada pembaca jemputan sahaja kerana merasakan popularitinya sudah merudum.

Seorang lagi mahu pergi terbang jauh kerana nanti tak ada siapa-siapa lagi yang mahu tolong bancuhkan teh dan goreng bihun untuk MASKARA.

Alahai lelaki 40-an.

Oh, nanti bila kau nak terbang jangan lupa beritahu. Aku nak tujukan lagu ini untuk kau.

"kamu yang bawa ku terbang. Kamu lah jua yang membawa cinta ke jalannya"

Uwop!! Uwop!!

Tuesday, September 02, 2008

..::KALAU TIADA ANGIN MASAKAN POKOK BERGOYANG::..

Tajuk itu. Mungkin tiada kaitan dengan isi kandungan entry ini.

Apa yang aku mahu ceritakan. Pada bulan ini emosi aku menjadi rapuh.

Pergi pasaraya. Nampak beg tangan cantik. Aku beli. Tak ada tunai, aku guna bankcard. Pergi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku sambar kain. Pergi Kompleks Kraf. Aku sambar batik. Lagi. Dan lagi.

Dalam situasi yang lain. Aku terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Aku menangis. Apa puncanya aku sendiri pun tak pasti. Mungkin menyesali tindakan sendiri.

Kemudian. Beberapa hari selepas itu. Ada seseorang yang konon-kononnya mahu menemani aku makan tengahari. Katanya esok confirm semula. Pada hari kejadian aku sms. Tak balas. Aku telefon. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Tak jawab. Tapi. aku tak pula cuba telefon nombornya yang lagi satu. Dalam LRT. Aku rasa mahu menagis. Lagi. Aku sangat lapar. Sampai restoran. Aku order makanan. Makan sorang-sorang. Rasa nak menangis lagi. Mujur tak lama lepas itu ada kawan yang datang menemani. Kami berbual gembira. Lupa segala rasa. Walaupun selepas orang itu telefon aku semula.

Hari ini. Aku berbual dengan seorang teman. Dari ceritanya. Dari apa yang dia rasa. Dari apa yang aku mampu buat untuknya. Air mata aku bergenang. Aku mahu menangis lagi.

Apa yang aku mahu ceritakan. Pada bulan ini emosi aku menjadi rapuh.

Monday, September 01, 2008

..::UCAP SELAMAT::..

Selamat berpuasa kepada seluruh ummat Islam.

Juga. Selamat ulangtahun.

Pada tarikh ini. Setahun yang lalu.

Aku meninggalkan Bandar Baru S. Yang telah aku diami hampir 7 tahun.

Ke satu destinasi baru.

Dalam putaran hidup ini.

Sunday, August 31, 2008

..::MERDEKA::..

Anak-anak merdeka..

Saturday, August 30, 2008

..::PERCAYALAH SAYANG::..

Jika saya beritahu mahu pergi expo di Kompleks Kraf. Tengok-tengok barang jualan.

Maka. Tak perlulah percaya. Bahawa saya akan pulang dengan tangan kosong sahaja.

Friday, August 29, 2008

..::OF EXAM::..

Dulu. Lepas habis belajar. Ingatkan tak perlu lagi tempuh apa-apa peperiksaan. Tapi. Bila pilih untuk masuk dalam perkhidmatan awam, tak dapat tidak mesti ambil peperiksaan. Syarat utama untuk pengesahan jawatan.

Itu cerita lama. Dah 8 tahun berlalu. Sekali saja ambil peperiksaan, aku lulus dengan jayanya. Syarat 1 - 3 tahun dapat aku selesaikan dalam tempoh kurang dari 1 tahun.

Sekarang. Aku perlu ambil peperiksaan lagi. Untuk naik pangkat atau naik gaji. Tengok sajalah sudah berapa kali aku ambil peperiksaan.



Untuk penilaian tahap dua saja, sudah tiga kali mengulang. Dulu. Masa ambil kali pertama, persediaan aku biasa-biasa saja. Keputusannya aku dapat III untuk kedua-dua kertas. Seperti kebiasaannya, bila dapat saja keputusan aku akan terus membuat permohonan untuk menduduki semula peperiksaan.

Kali kedua peperiksaan aku terlebih yakin. Padan muka. Bila tengok untuk kertas umum aku cuma dapat I. Tak melepasi tahap kompetensi langsung. Kertas khusus aku masih dapat III. Dan secara purata aku dapat tahap II.

Tanpa putus asa, aku mengulang lagi. Bulan 5 yang lepas. Hanya sebulan jarak di antara peperiksaan KPSL untuk Penolong Pegawai Tadbir yang aku duduki pada bulan April. Masa itu, otak masih segar bugar dengan segala ilmu. Jawab dengan tenang. Alhamdulillah, keyakinan untuk dapat IV kuat dalam hati. Risik dengan kawan-kawan lain, semuanya pun berpendapat sedemikian.

Tup-tup, dua hari lepas keputusan diumumkan.



Hah!!! Tahap III lagi?? Tanya juga kawan-kawan lain. Sama juga dapat III walaupun dulu yakin dapat IV.

Aku mula syak. JPA naikkan graf. Dan dengkikan aku.

Sekian.

Thursday, August 28, 2008

..::TERAPI JIWA::..


Beg Baru Saya
Originally uploaded by madulebah
Bagi perempuan. Seperti aku. Membeli belah itu memberi satu ketenangan dan kepuasan.

Jika mampu. Apa salahnya. Tak ada tunai di tangan, tenyeh saja bankcard. Dengan syarat di dalam bank itu ada wangnya.

Mudah kan?

Wednesday, August 27, 2008

..::OF WORKING::..

Hari Isnin saya ponteng kerja. Malas. Tiba-tiba malamnya pegawai saya telefon. Jadi, semalam. Saya pergi Port Dickson. Bawa kumpulan teater dari Iran. Yang datang buat persembahan sempena Festival Kesenian Kanak-kanak yang baru berlalu. Wah!! memang saya suka. Sebab saya masih dalam mood malas mahu masuk pejabat.

Ini gambar saya dengan dua orang wanita Iran yang menyertai rombongan. Sila percaya bahawa mereka lebih muda daripada saya.



Untuk Naga. Saya doakan agar impian anda akan menjadi kenyataan.

Ini pula gambar saya dengan sebahagian jejaka-jejaka Iran. Untuk makluman, hanya Ahmed (tiga dari kanan) yang masih bujang. Tapi. Dia baru berumur 20 tahun. Ahmed juga yang menjadi jurubahasa sepanjang perbualan kami.



Oh, satu yang baru saya tahu. Rupa-rupanya di Iran, penduduk tidak boleh mandi di pantai. Ini kerana sepanjang pantai mereka dipenuhi pelantar minyak. Jadi, bila dapat mandi di pantai Port Dickson, mereka seperti tidak pernah jumpa air.

Ini pula wajah-wajah gembira orang Iran selepas makan, masakan tradisional Negeri Sembilan, di Seremban.



Pinggan di atas meja itu sudah dikemaskan oleh pelayan. Jangan tak tahu mereka makan keladi goreng cicah sambal tempoyak. Ha ha ha.

Di dalam bas semasa perjalanan balik, kami jamu mereka dengan buah pulasan. Dan. Mereka sangat suka. Siap rakam video lagi tentang significance nama pulasan itu.

Kesimpulannya. Setelah berbual banyak perkara dengan Ahmed. Saya telah menambah Iran sebagai satu lagi negara di dalam senarai wish to go. Selain daripada Australia dan New Zealand. (Harap maklum bahawa Makkah di dalam kategori yang berbeza).

Monday, August 25, 2008

..::KERANA AKU RINDU KAMU::..

Sepanjang minggu lepas. Aku. Kerja 7 hari seminggu. Siang dan malam.

Aku juga tidak tidur di rumah sendiri. Tidak di atas tilam sendiri. Tidak diselimuti gebar cantik kesayangan aku. Jauh dari bantal peluk yang menemani aku saban malam.

Jadi. Kerana aku. Terlalu rindukan kamu. Pedulikan dengan kerja-kerja di pejabat.

Aku mahu habiskan masa bersama kamu. Hari ini.

Wednesday, August 20, 2008

..::PERCUBAAN BERANI MATI::..

Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Aku benci. Lampu isyarat. Yang sengaja dipadamkan.

Atau. Jalan. Yang sengaja ditutup.

Dengan alasan mahu membantu melancarkan perjalanan. Pagi anda.

Dan. Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tuesday, August 19, 2008

..::AKU - SATU TRANSFORMASI::..

Bercerita dengan seseorang. Yang tua banyak daripada aku. Tentang zaman-zaman muda. Zaman remaja. Zaman persekolahan. Kami bertukar-tukar gambar.

Ini daripada aku.



Gambar kiri ketika aku umur setahun. Yang kanan tu aku berumur 3 tahun. Sekitar November 1982.

Kawan aku tanya kenapa masa kecil, aku nampak besar. Aku tak ada jawapan untuk itu. Mungkin kerana masa tu adik aku baru pandai meniarap. Jadi saingan belum ada.

Ini pula sekitar tahun 1990. Aku darjah 5. Wajah yang sungguh berkarat. Maklum sajalah. Hobi ketika itu ialah berkubang. Air pili belum wujud. Di kampung aku.



Wah! Bergaya macam orang berumur 25. Ha ha ha. Sila salahkan majalah yang menjadi pengaruh.

Gambar dengan uniform sekolah ni masa aku tingkatan 1. Buat lawatan ke Stadium Ipoh. Apa motif aku tak pasti. Mujur. Gambar di tepi kolam. Bukan dalam kolam. Kali ini aku sudah pandai. Tidak terpengaruh dengan gaya artis dalam majalah.



Nampak tinggi pula kan? Ha ha ha. Itu teknik fotografi namanya.

Dan ini gambar si manis 17. Zaman belajar di Poly PD. Tahun 1997. Petang-petang atau hujung minggu pergi lepak tepi pantai. Wajah dah bertambah ayu. Maklum la sudah pandai pakai krim pelembap yang ada UV protection.



Tahun 2002, November. Nampak perubahan ketara. Penampilan yang lebih matang gitu. Walaupun baru awal 20-an. Maklum la dah 2 tahun bekerja. Gambar ini sangat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua.



Dan ini di antara foto terbaru aku. Sewaktu majlis akad nikah Daun. Foto ini juga amat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua. Ha ha ha.



Melihat gambar-gambar dari tahun 1980 - 2008. Ada kawan yang berkata tiada perubahan ketara pun. Adakah aku awet muda? Atau aku cepat tua?

Ha ha ha

Monday, August 18, 2008

..::RESEPI II::..

Ini permintaan Cik Adik yang bernama Atiqah Nasir.

Resepi ini pun saya dapat daripada kawan. Dan kerana saya percaya bahawa kelazatan masakan bukan terletak pada bahan-bahan rahsia. Tetapi pada keihlasan dan kasih sayang yang kita curahkan dalam setiap masakan. Maka saya tidak takut untuk berkongsi resepi dengan semua.

Hidangan kali ini ialah Apple Pie. Cadangan hidangan 4 - 6 orang.

BAHAN-BAHAN SOS:



* 2 biji epal ( dikupas kulit dan dipotong dadu)
* 1/3 cawan gula (boleh kurangkan jika tak mahu terlalu manis kerana epal sudah punya rasa manisnya sendiri)
* 1/2 susu teh serbuk kulit kayu manis (ini pun terpulang pada citarasa)
* Sedikit tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
* Kulit pastry (boleh dapat di pasaraya seperti TESCO atau Cold Storage)

CARA-CARA :



* Campurkan semua bahan : epal, gula dan serbuk kulit kayu manis.
* Masak di atas api sederhana sehingga empuk
* Campurkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
* Isi sos dalam pastry dan tekan keliling dengan garfu untuk lekatkan



* Simpan selama lebih kurang 15 minit di dalam freezer
* Goreng dengan api sederhana

Dan inilah hasilnya.



Perhatian :

Anda perlu berhati-hati ketika makan kerana sos di dalam sangat panas. Bibir anda mungkin melecur.

Selamat mencuba.
..::TAK NAK!!::..

Nampak gayanya, kempen Tak Nak begitu berkesan.

Berkesan kepada atlit Malaysia ke sukan Olimpik.

Mereka semua kelihatannya tak nak dengan wang sejuta yang ditawarkan sebagai ganjaran jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Dan. Pada pendapat aku, pihak yang menawarkan juga tahu. Ini adalah satu misi mustahil. Sebab itu mereka berani membuat tawaran.

Thursday, August 14, 2008

..::KEHILANGAN::..

Minggu ni. Aku mengalami 2 kali kehilangan.

Hari Sabtu lepas. Aku kehilangan kunci kereta.

Pagi ni pula. Aku kehilangan eye drops.

Kedua-duanya adalah benda penting yang aku cuma simpan dalam beg tangan. Tidak di tempat lain.

Kalau kawan-kawan rapat aku. Terutamanya Cik Puan Daun, tentu tak percaya aku akan mengalami kehilangan seperti itu. Kerana katanya, aku adalah seorang yang very-the-organized-person.

Oh. Tak perlu risau. Aku dah jumpa di mana sebenarnya kunci kereta itu. Ha ha ha. Allah hijabkan pandangan aku. Walaupun, aku dah cari di tempat berkenaan.

Eye drops pula aku dah beli yang baru masa singgah isi minyak pagi tadi. Aku PALING dan SANGAT sensitif dengan virus sakit mata. Jadi, eye drops perlu ada setiap masa.

Dan. Aku perlukan sedikit ruang.

Wednesday, August 13, 2008

..::BUJANG VS BAHAGIA::..

"Satu kajian terbaru menyanggah kepercayaan ramai apabila mengesahkan golongan bujang yang ada kerjaya dan memiliki kewangan yang kukuh adalah kelompok masyarakat paling tidak bahagia berbanding mereka yang berumahtangga serta warga tua.

Golongan lain termasuk pasangan atau ibu dan bapa tunggal yang bekerja, mempunyai anak dan tertekan tetapi masih bahagia.

Namun, berbanding semua, kelompok bujang yang sihat, bekerjaya dan faktor kewangan yang kukuh terbukti paling tidak gembira."


Ha ha ha..

Untuk Cida, Nett, Salina dan kawan-kawan seangkatan ku, jangan risau. Kajian ini tidak dilakukan di Malaysia. Sebaliknya ia adalah kajian di Canberra.

Sebab pada pendapat aku, di Malaysia kelihatan golongan bujang, bekerjaya dan punya sumber kewangan kukuh lebih bahagia daripada sesetengah golongan yang berumahtangga.

Oh, ini cuma pendapat aku. Golongan yang sudah berumahtangga tak perlu melenting. Ya tak perlu melenting jika kamu bahagia dan jika ia tiada kena mengena dengan kamu.

Baca berita penuh di sini.

Dan untuk Cida lagi. Cerita kau pasal soalan budus hadiah birthday tu buat aku sentap la. Tapi rasa kelakar.. Ha ha ha..

Monday, August 11, 2008

..::RESEPI::..

Entry ini adalah permintaan seorang kawan yang tinggal di seberang laut.

Ceritanya begini. Hari Ahad 2 minggu lepas. Sedang aku enak bercanda di Mid Valley, dia hantar sms. Minta resepi begedel. Aku bagi lah. Hari Isnin. Dia YM. Tanya kenapa begedel yang dia buat lembik. Tidak lah aku tahu kenapa. Gambar pun dia tak tunjuk.

Aku janji. Nanti aku buat begedel. Aku akan masukkan dalam blog.

Jadi. Inilah dia.

Bahan-bahan :


* Kentang (direbus)
* Daging (dicincang). Boleh juga guna daging yang siap dikisar.
* Bawang besar (dipotong dadu)
* Sedikit garam dan lada hitam
* Daun sup / daun bawang (untuk wangi)
* Telur (untuk salut begedel sebelum digoreng)

Cara-cara :

1. Rebus kentang sehingga empuk. Cucuk-cucuk dengan garfu untuk pastikan.
2. Setelah empuk. Angkat. Toskan. Dan lenyek.
3. Campurkan bahan-bahan lain. Daging, bawang, garam, lada hitam & daun sup. Gaul sebati
4. Bentukkan
5. Celup dalam telur yang telah dipukul.
6. Goreng dengan api perlahan. Tetapi minyak mestilah cukup panas.


Dan. Inilah hasilnya. Tak pecah pun. Ia bukan sahaja nampak cantik dan sedap. Sebaliknya memang cantik dan sedap. Ha ha ha.



Selamat mencuba!!
..::ALAHAI::..

Manusia ni ada semacam perangai pelik. Tambahan pula jika sudah punya pangkat besar.

Macam dalam nasyid nyanyian Nazrey Johani:

"apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan"

Dan. Kalau kamu itu orang yang kedua. Seharusnya kamu faham di mana kedudukan kamu, kan?

Tapi. Biasalah. Selalu juga didengar. Isteri nombor dua itu mahu lebih-lebih dari isteri yang nombor satu.

Friday, August 08, 2008

..::TERTANYA-TANYA II::..

Ika. Hantar sms. Dalam bas. Perjalanan ke tempat kerja.

Waktu: 6.45pagi.

Aku. Diserang penyakit M. Atas katil. Dalam selimut. Hujan lebat sejak jam 2.00petang. Semalam. Enaknya.

Eh, berapa minit beza waktu di antara Malaysia dengan Singapura?

Thursday, August 07, 2008

..::TERTANYA-TANYA::..


Aku Ini Untuk Siapa?


Filem pendek oleh : Naz Annuar
Adaptasi Puisi : Bahruddin Bekri
Terbitan : Kawan-kawan Sendirian Terhad

Tuesday, August 05, 2008

..::HOBI!!::..


Hobi!!
Originally uploaded by madulebah

Monday, August 04, 2008

..::BEBAS::..

Semalam, ada beberapa orang manusia meraikan sesuatu. Seorang kawannya mahu belanja makan. Sempena ulangtahun kelahirannya. Yang sudah tidak menjadi kejutan. Kalau bukan kerana ada kawan mahu belanja makan. Saya tidaklah begitu rajin mahu keluar ke gedung besar yang begitu sesak itu. Oh, harap tidak berkecil hati di situ.

Ramainya umat. Tak pernah kosong tangga bergerak tu. Entah mana datangnya manusia yang memenuhi Mid Valley ini. Mungkin sama seperti kami. Dari Puchong, Shah Alam dan Seri Kembangan.



Dalam ramai orang itu. Ada beberapa orang lagi mau menambahkan kesesakan sedia ada. Tapi mereka ini nak makan saja. Kusyuk sampai tak ingat apa sudah jadi di luar. Hujan ribut pun tak sedar.



Tengok sajalah apa yang mereka makan.



Lepas dah kenyang, lepak dululah. Sambil tu kita ambil gambar suka-suka hati.


Cantik kan kasut tu. Sila teka yang mana satu kaki saya.


Alamak! Muka Cik Jah tak nampak langsung. Muka Mariah pun separuh aja. Maaf ya kawan-kawan. Tiada unsur sabotaj di situ. Maklum saja lah, tangan saya tak boleh nak pergi jauh lagi dah. Ha ha ha. Jadi untuk nampak semua, sila Cik Jah ambil gambar dari tepi. Barulah cantik.

Lepas penat jalan-jalan kami pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah masing-masing. Perjumpaan kali ini tidak cukup korum. Mak Intan balik kampung mertua. Maklum lah sekarang ni musim buah-buahan. Harap-harap perjumpaan akan datang semua ada. Perancangan terdekat InsyaAllah untuk acara tahunan berbuka puasa bersama-sama. Jika mengikut giliran, kali ini Mak Intan akan menjadi hos.

Jadi, sampai jumpa lagi nanti.

Sunday, August 03, 2008

..::MASKARA X::..

Ramai muka baru. Wajah-wajah yang masih segar. Masih muda.

Bagus adik-adik. Daripada melepak tak tentu hala, baik datang ke MASKARA ni. Sama ada mahu buat persembahan. Atau menonton sahaja. Itu sudah memadai.

MASKARA Edisi Ke-10 mengajak kita untuk bermain dengan pelbagai emosi.

Persembahan muzik oleh DEP mantap. Ini kan kumpulan kegemaran Pipiyapong. Mestilah hebat.

Puisi Ajami mengajak kita berfikir tentang masa akan datang. Pesanan beliau kepada si abang, anak yang sulung agar menjaga dan memimpin tangan si adik jika nanti mama dan papa tiada, sungguh menyentuh perasaan. Ini mengingatkan aku kepada kisah si bekas kekasih yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan. Meninggalkan dia dengan 4 orang adik perempuan, yang bongsu berumur 4 tahun dan dia 16 tahun ketika itu. Ya, tiada siapa yang tahu apa yang akan jadi di kemudian hari.

Puisi lebih menyentuh dilatari dengan alunan muzik daripada lefthanded guitareez.

Seketika penonton diam penuh hormat. Kusyuk menghayati keindahan Ayat-ayat Allah yang dilagukan oleh Saudara Salman. Bersama sebuah puisi tentang Nabi Allah Nuh kemudiannya. Sehingga tiada ulasan yang mampu diberikan oleh Saudara Pengacara.

Puisi 'berat' dari Azree Ariffin, bacaan naskah oleh Art dan monolog dari Republic Theater ada tarikannya tersendiri.

Jonos jika mengambil alih pentas tak sah kalau penonton tidak ketawa. Itu bukan Jonos namanya. Lihat rupanya saja sudah bikin geli hati. Gandingan dengan Alfie membacakan naskah Azzam Supardi memang buat penonton tak kering gusi.

Persembahan penuh sakti menutup MASKARA X.

Sebenarnya mula-mula membaca nama Dewangga Sakti dalam blog Naga, otak aku ligat berfikir. Aku biasa sangat dengar nama ini tapi di mana? Tak ingat. Kemudian menyaksikan mereka di pentas MASKARA. Ada muka-muka yang seakan familiar tapi masih tak ingat di mana. Aku beli mini CD mereka. Aku belek dan baca. Dan nama Dewangga Sakti semakin dekat. Tapi aku tetap tak dapat ingat. Tak ingat.

Cuma yang dapat aku katakan sekali lagi persembahan mereka memang ada sakti. Selayaknya berada di pentas antarabangsa.

Dan. MASKARA X hebat. Setiap edisi ada persona tersendiri. Tahniah.

Jumpa lagi November nanti.

Friday, August 01, 2008

..::NAIK TURUN::..

Hidup ini umpama roda. Berputar. Turun naik.

Semalam. Anwar Ibrahim beritahu mahu bertanding. Jadi Menteri Perdana mesti ambil tindakan awal untuk raih populariti.

Hari ini Menteri Perdana beritakan bahawa harga minyak akan diturunkan tidak lama lagi. Katanya. Sabar ya.

Kita tunggulah berapa harganya nanti.

Oh. Roger Federer kalah lagi. Maka Nadal dengan mudah naik ke ranking no. 1 dunia. Mungkin Federer patut tinggalkan teman wanitanya sekarang. Cari yang lebih hot untuk memberi sokongan kepadanya dari luar gelanggang.
..::MUDAH, KAN?::..

Boss aku. Dapat jemputan untuk World Drums Festival 2008. Esok. Di Dataran Merdeka.

Aku. Bagitahu dia. Kad jemputan kena bawa sama. Untuk mudah nanti ditunjukkan tempat duduk.

Boss aku kata. Kalau diaorang tak bagi tempat duduk, dia balik rumah saja. Apa susah.

Kalau semua boss macam ni, mudah kan. Ha ha ha.

Thursday, July 31, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA III::..



Seperti biasa.
Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Di Rumah PENA
Bila lagi kalau bukan malam minggu.
Barulah Kay Ell layan underground macam ni.

Dan. Kamu mungkin akan bertemu cinta. Di sana.

Maklumat lanjut di sini

Wednesday, July 30, 2008

..::PINJAMAN II::..

Aku. Baru saja mahu minta Tuan Peguam keluarkan surat perintah. Arahan pembayaran semula pinjaman pelajaran.

Rupa-rupanya tak perlu lagi. Semalam aku terima salinan surat. Daripada JPA. Arahan pembayaran secara potong gaji. Selama 60 bulan. Dengan potongan sebanyak RM130 pada bulan terakhir. Wah!! Banyak sungguh bulannya. Padan muka juga untuk aku. Orang lain yang dah bertahun mula bayar cuma perlu keluarkan RM50 sebulan.

Nampak gayanya. Untuk bulan-bulan akan datang, tiada peruntukan untuk batik sutera. Lagi.
..::BERUBAH-UBAH::..

Bercerita dengan Encik Prihatin tentang kawan-kawan.

"Lost track dah kawan-kawan awak" kata Encik Prihatin tiba-tiba.

"Meaning? Awak lost track siapa kawan-kawan saya, atau kawan-kawan saya yang lost track?" Ha ha ha. Aku minta kepastian.

"Saya lost track. Kawan awak berubah-ubah. Tak Konsisten"

"Ha ha ha.. Kawan saya 'berubah-ubah'."

"Ha ha.. Ya.. Ya.. Dulu Encik Romantik. Sekarang Encik Prihatin." katanya.

Dan.. Kami terus berbual dan ketawa diiringi lagu-lagu Kumpulan Wings.

Tuesday, July 29, 2008

..::DOWN - UP::..

Ada Encik Prihatin telah menegur aku. Katanya sejak kebelakangan ini aku kelihatan seperti down saja. Entah bila dia lihat, tak tahu pulak aku.

Aku. Tidak rasa down. Sebaliknya rasa up. Asyik nak marah aja. Kemudian ketawa. Suka.

Dan. Kepada Encik Prihatin. Sila salahkan hormon saya, ya.

Monday, July 28, 2008

..::MESIN MASA : Terlajak Perahu Boleh Diundur::..

Kembali ke beberapa hari yang lalu.

Apa yang dikatakan itu tidak salah. Itu kenyataan.

Cuma. Mungkin dilafazkan bukan pada waktu yang tepat.

Maka. Ada yang berkecil hati. Ada yang rasa terhina.

Tapi, siapalah kita untuk tahu adakah itu masa yang tepat untuk mengatakan sesuatu.

Satu hari. Dua hari. Tiga hari.

Rasa berdosa menghantui. Ego menyelubingi.

"Maaf" ucapnya pada hari keempat.

"Maaf juga" walau sepatutnya saya yang mengucapkannya dulu.

"Kawan?"

"Masih.."

Dan..

Biarlah yang sumbang itu kembali berlagu ria..

Sunday, July 27, 2008

..::KERJA::..

Harini ex-housemate aku kenduri. Kat Kelantan sana nun. Kerana tak dapat pergi, aku cuma hantar pesanan teks ringkas.

"Kak, selamat pengantin baru. Sorry tak dapat datang. Kena kerja."

"Thank you. Kau tak habis-habis dengan kerja." Jawab pengantin.

"Ahahah.. kerja la puas-puas sebelum dikerjakan.. Macam akak.." Aku. Balas semula dalam nada kurang ajar.

Hik hik hik.
..::KAWAN::..

Sebulan lepas. Pada tarikh yang sama. Aku mati-mati ingat haritu birthday dia. Rupa-rupanya aku awal. Sebulan.

Untuk Mariah. Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-29.

Walaupun hang kata kita totally berbeza. Interest pun tak sama. Tapi kita tetap boleh berkawan. Baik. Aku rasa mungkin sebab kita 'kulaan'.

Yang paling penting. Persahabatan tak dapat dinilai dengan materi.

Ini ada pula lagu Hijjaz yang aku dengar sekitar minggu lepas. Aku suka liriknya. Sama-sama kita hayati.

Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya

Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata

Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai

Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan

Friday, July 25, 2008

..::PINJAMAN::..

Segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.

Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.

Di dada akhbar semalam, ada berita tentang seorang bapa yang membunuh diri selepas meracun 2 anak kecilnya. Entah ke mana hilang nilai kemanusiaannya. Kasihan si ibu yang melahirkan anak itu. Apa lagi yang tinggal?

Kata seorang teman lama, dia menangis teresak-esak membaca berita berkenaan.

Semalam juga, diadakan satu majlis tahlil di pejabat. Baru-baru ini seorang pegawai kehilangan anak. Akibat masalah jantung. Ketika memberi sepatah dua kata, dalam esakan beliau memohon agar rakan-rakan di pejabat membantunya. Mengembalikan kekuatan. Keyakinan. Sehingga kini beliau masih belum mampu untuk meredhakan pemergian itu sepenuhnya.

Berbicara dengan teman sepejabat selepas tahlil, katanya pegawai berkenaan telah 2 kali kehilangan anak. Dan setahu aku beliau cuma ada 2 orang anak perempuan. Jika ini kali kedua bermakna tiada lagi yang tinggal.

Kembali berbicara dengan teman lama. Katanya, jika dia berada dalam majlis itu, dia juga pasti akan mengalirkan air mata.

Aku. Mungkin kerana belum punya anak, tahap sensitiviti terhadap isu ini agak kurang.

Namun aku tahu segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.

Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.

Tuesday, July 22, 2008

..::NOSTALGIA '90an : KAD NAMA::..

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad nama gambar pemandangan, artis Hong Kong, perempuan komik manga bermata cantik dan bermacam-macam gambar lagi.

Seorang kawan yang bertindak sebagai agen akan mengedarkan katalog. Tebal lipatannya. Penuh gambar untuk dipilih. Berkenan. Isi borang. Tulis nama, alamat, tarikh lahir juga kata-kata yang dipilih sebagai pegangan hidup.

Katanya kena cari ramai lagi. Kalau tidak, tak boleh pos borang ke Kuala Lumpur untuk tempahan.

Maka masing-masing cari lagi kawan yang mahu tempah kad. Tapi tak apa, seorang boleh tempah sampai 2 - 3 jenis gambar. Cuma kena korek tabung lah untuk bayar.

Sekali kita tempah, nanti kad yang diterima juga disertakan dengan katalog dan borang. Maka kita pula akan bertindak sebagai agen. Baru sedar, rupa-rupanya kecil-kecil lagi dah pandai bina jaringan perniagaan. Macam MLM gayanya.

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad tu senang dibawa ke mana-mana. Kalau pergi lawatan sambil belajar ke IPT, beri saja kad comel gambar doraemon itu kepada abang yang minta alamat dengan alasan mahu jadikan kita adik angkat. Kan awak, kan?

Monday, July 21, 2008

..::MUNGKIN KERANA KAMU::..

Pagi tadi. Aku terima ini.



Secara jujur. Sejak aku 'menderhaka' pada Disember 2006, aku tak pernah terfikir untuk dapat anugerah ini. Lagi.

Cuma. Mungkin sudah rezeki aku. Alhamdulillah.

Selain daripada itu, aku rasa ada juga kaitan dengan salinan dua keratan akhbar yang aku lampirkan bersama Laporan Nilaian Prestasi yang lepas.



Terima kasih semua. InsyaAllah, MASKARA X nanti aku open table.

Ha ha ha

Sunday, July 20, 2008

..::SAYA::..

- Awak, bilik yang direquest full la, macam mana ek?

+ Tak apa lah. Progam batal.

~~~~~~~~~~

Asalnya, bilik yang ditempah adalah hadiah untuk diri sendiri. Tapi bila bilik di hotel yang dikehendaki semua penuh, saya tukar rancangan. Tak perlu belanja besar. Cuma sedikit tenaga.

Maka, saya keluarkan set cadar yang belum pernah digunakan dan hias katil saya seperti suasana bilik hotel.



Dan beradulah saya dengan aman damai tanpa sebarang gangguan.

Friday, July 18, 2008

..::KITA::..

+ Awak, tolong bookingkan bilik kat hotel Gr*nd S*as*ns. Check in Ahad, check out Isnin.

- Ok. Untuk siapa?

+ Untuk kita lah.

Erk!!

+ Sorry, silap. Untuk saya.

He he he

Thursday, July 17, 2008

..::GADIS MELAYU::..

Beberapa hari yang lalu aku tonton satu iklan di TV9 Dekat Di Hati. Ada ujibakat. Rancangan baru yang mencari gadis melayu yang berperawakan menarik, bijak berkomunikasi dan mempunyai jatidiri. Entah macam mana format program itu, tak pula diketahui. Wah, teringin pula mahu mencuba nasib. Mana tahu aku adalah Gadis Melayu terakhir yang dicari.

Syarat kelayakan mestilah warganegara Malaysia, berketurunan Melayu, berkelulusan paling minima SPM, gambar berukuran pasport juga diperlukan.

Tapi. Aku kalah sebelum bertanding. Mereka mahu gadis melayu berumur 18 hingga 27 tahun sahaja.

Eh, sekarang ni belum tentu yang berumur 18 hingga 27 tahun itu masih gadis tau.

Friday, July 11, 2008

..::BAHAGIA KAH?::..

Kan aku baru lepas dengar ceramah. Islam Hadhari. Tajuk Kehidupan Berkualiti.

Kata ustaz, kehidupan berkualiti mesti berlandaskan fitrah manusia. Contoh-contoh fitrah manusia ialah suka akan kebaikan, keseronokan, kebahagiaan, keselesaan, keindahan dan sebagainya.

Kata ustaz lagi, ekonomi kukuh, persekitaran yang baik, rezeki yang halal, berilmu, hubungan baik dengan masyarakat juga di antara faktor penyumbang kepada kehidupan yang berkualiti.

Hidup tak akan berkualiti jika dalam hati penuh hasad dengki. Ada penyakit hati. Tambah ustaz.

Kemudian ustaz bagi tanda-tanda orang yang bahagia.
# sihat tubuh badan
# berselera makan
# tidur lena
# disukai orang
# doa dimakbulkan

Nak capai hidup yang berkualiti juga ada cabaran. Cabaran paling berat ialah faktor dalaman. Diri sendiri. Tak mahu berubah. Terlalu selesa dengan budaya lama. Kurang mempraktikkan ilmu. Dan nafsu yang tercela.

Jadi berdasarkan ciri-ciri di atas, di manakah letaknya diri kita? Adakah kita melayari kehidupan yang berkualiti? Bahagiakah kita selama ini? Atau hanya perasaan kita sahaja bahawa aku bahagia, hidup aku berkualiti, aku disukai orang tetapi hakikatnya tidak kita sedari.

Sama-sama kita renungkan.

Thursday, July 10, 2008

..::ISLAM HADHARI::..

Pagi tadi. Aku diarahkan untuk menghadiri satu seminar. Pendekatan Islam Hadhari. Temanya Kehidupan Berkualiti.

Wow. Aku semangat ok. Dah lama sungguh nama aku tak tercalon untuk mana-mana sesi ceramah atau seminar.

Ini gambar yang aku suka-suka ambil. Biasalah. Blogger.


Peserta wanita yang memenuhi 3/4 auditorium



Peserta lelaki? Alahai.



Jadi penganjur minta sebahagian peserta wanita berpindah tempat agar seimbang. Katanya nanti kapal senget.



Ini pula sepasang perempuan di barisan hadapan aku yang dari awal asyik bersembang. Sungguh kurang sopan. Kuat pula tu. Kalau tak mahu dengar, tak perlulah hadir. Aku tegur. Mereka diam sekejap. Lepas tu sambung bersembang menggunakan paparan teks sms di handphone pula. Ah! Lantak kamu lah.


Banyak juga yang aku dapat dari seminar berkenaan. Sekali sekala kenalah refresh.

Tapi balik ke pejabat, tiba-tiba adik aku dengan kawan aku bagi satu link ke blog golongan gay. Ya Allah. Nak muntah aku baca. Yang satu tu, memang aku skip je. Tak lalu langsung.

Nampak gayanya hilang la ilmu yang aku baru dapat di seminar Islam Hadhari pagi tadi.

Wednesday, July 09, 2008

..::KESIAN::..

Harini. Aku bawa bekal. Sarapan.

Masa tengah makan, ada kakak kewangan datang nak ambil voucher yang boss dah tandatangan.

Dia pandang aku.

"Bawak bekal? Kesiannya.."

Hah? Aku pandang dia. Senyum. Terpinga-pinga.

Kasihankah kalau aku bawa bekal?
..::SEPI III::..

Ok. Aku dah habis baca buku ini.



Aku mula menangis bila sampai bab-bab terakhir.

Bila Henry dah tak ada kaki. Bila Henry mula menghampiri hari-hari kematiannya. Bila Clare baca surat yang Henry tinggalkan. Bila Henry pesan agar Clare berhenti menanti dan 'bebas'kan diri dari penantian yang dilaluinya sekian lama.

Tapi Clare terus menanti. Dalam kesepian. Dalam kekosongan. Dalam perasaan tertanya-tanya. Kenapa Henry, selepas 'kematiannya' hanya bertemu dengan Alba, anak mereka. Anak yang juga mewarisi gen 'pengembaraan' itu.

Penantian Clare tidak berpenghujung. Sehingga satu hari Clare tahu itu lah harinya, itulah masanya. Henry muncul semula.

Dan aku menangis. Sampai basah bantal.

Tuesday, July 08, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA : INSENTIF::..

Terbaca dalam Akhbar Metro.

Kata Menteri yang menjaga belia dan sukan, tawaran insentif bernilai jutaan ringgit yang telah diumumkan begitu menarik minat golongan muda. Untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan. Untuk berjaya sehingga ke Olimpik. Dan, memperolehi pingat.

Terfikir aku. Tawaran itu tidak pula menarik minat anaknya. Sebaliknya, anaknya yang lawa itu telah memilih bidang hiburan.

Oh, katanya lagi. Pemberian insentif itu muktamad. Walaupun ada cakap-cakap dan bantahan dari kalangan rakyat.

Monday, July 07, 2008

..::SEPI II::..

Kata Amyz, sepi itu indah.

Kata aku, pengubat sepi juga indah. Malah, indah-indah belaka.



Jadi, jika aku kata tiada lagi batik sutera selepas kenaikan harga minyak, tak perlulah percaya.

Aku. Memang lemah dengan godaan itu.

Sunday, July 06, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA II::..

Edisi ke-9.

Aku sampai pun ketika acara menghampiri 15 minit terakhir.

Disambut puisi "SELUAR DALAM" oleh Pyan Habib. Ketika tiba di muka pintu, saudara Pyan melontarkan soalan,

"apakah warna seluar dalam anda?"

Naga tunjuk seluar dalamnya pada aku. Huh?

"Biru" katanya.

Kemudian aku ambil tempat di dalam. Duduk diapit 2 pengantin baru. Faizzah dan Cik Puan Daun. Di hadapan pula bakal pengantin iaitu Su.



Persembahan oleh Alina Abdullah dan kawan-kawannya cukup menghiburkan. Gelandangan sepenuh masa dan gelandangan separuh masa yang handsome. Ha ha. Dan penyanyi manis yang berbakat besar. Mat Jan yang bersila di tepi pentas, tak kelip mata memandang.

Aksi Dr. Zul pula cukup memukau dan menusuk kalbu. Ok. Aku insaf. Seketika.

Terakhir adalah iklan baju dalam oleh Jonos. Katanya inspired by puisi Seluar Dalam pada awal tadi. Bikin gamat rumah pena dengan aksi-bukan-promosinya.

MASKARA Edisi ke-9. Kata mereka yang menonton dari awal, persembahan kali ini semuanya mantap. Sesuai dengan usianya yang sudah mencecah satu tahun.

Tahniah penganjur.

Gambar oleh LAN RASSO

Thursday, July 03, 2008

..::SEPI::..

"Kau tak sepi ke?" Tanya lelaki yang bisa membuatkan gadis-gadis genit jatuh cinta.

"Tak sepi-ah. Aku ada teman."

Ini teman-teman aku.



Dan ini di antara buku-buku yang belum sempat aku baca dan yang dah separuh baca.



Jadi, aku tak ada masa mahu melayan perasaan sepi yang bukan-bukan itu.

Wednesday, July 02, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA::..

Kau nak jumpa kawan-kawan?
Yang kau suka?
Yang tak berapa suka?
Atau yang kau tak kenal pun?

Tak perlu susah-susah. Penganjur yang baik telah tetapkan:

Tarikh : 5 Julai 2008 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Rumah Pena


Ada persembahan. Ada jualan hasil karya seni. Ada juga makanan.

Jadi pilihan terletak di tangan sendiri. Kau lapang, kau datang. Kalau kau ada hal lain, program tetap jalan. Peduli apa penganjur dengan ketiadaan kau.

MASKARA EDISI KE-9

Monday, June 30, 2008

..::TIBA-TIBA KU DILAMUN CINTA::..

Sedang aku enak-enak menaip surat di komputer. Tiba-tiba muncul satu window YM.

"Sayang.. bla.. bla.. bla.."

Huh? Apakah ini?

"Oit!! Ini untuk aku ke untuk laki kau?"

"Woit! Sorry silap window. Itu untuk laki aku"

"Ha ha ha.. mujur kau silap dengan aku.. kalau dengan orang lain, mampus kau"

Ha ha ha.. Dan kami terus ketawa sambil bercerita tentang isu semasa..

Saturday, June 28, 2008

..::PONTENG::..


Gambar blur oleh OP


"Psstt.. Kau ponteng kelas mengaji ke?" Tegur SiNaga

"Eh, tak lah.. Kelas mengaji aku batal.. Ustazah period.."

"Ha ha ha.. Macam la kalau period ustazah tak boleh mengajar.. dia dengar je murid baca.." Sampuk Spyz

Ha ha ha.. Dan kami sama-sama ketawa sambil menonton filem pendek di anjung Rumah Pena.

Friday, June 27, 2008

..::AKU TAHU KAMU TIPU::..

Semalam. Aku pergi pejabat pos di Medan Tuanku. Orang ramai bukan main. Ini tak lain tak bukan mesti mahu tuntut subsidi minyak. Tak apalah. Aku cuma mahu beli sampul ekspres untuk pos t-shirt blogger.

Di kaunter yang dijaga oleh anak muda bergaya macam model minyak rambut 'masih terpacak' itu, aku minta 2 sampul ekspres saiz A4 dan satu lagi kotak ekspres saiz A4. Kata anak muda itu, yang kotak tidak ada. Untuk kepastian sendiri, aku bertanya sama ada stok sudah habis atau bagaimana? Katanya memang selalu tak ada. Ok. Aku minta sahaja yang biasa.

Bila dah tulis alamat, baru sedar yang aku memerlukan satu lagi sampul ekspres. Kali ni aku ke kaunter yang dijaga oleh adik manis berstatus pelatih. Sekadar mahu mencuba nasib, aku tanya jika ada kotak ekspres saiz A4. Agak terkejut bila adik manis jawab ada dan bertanya sama ada aku mahu kotak itu.

Oh apakah ini? Seorang kata tidak ada, seorang lagi jawab ada dan terus memberi tawaran. Aku mula syak, anak muda bergaya model itu malas mahu mengambilnya di dalam bilik simpanan. Dan adik manis itu benar-benar menunjukkan bahawa dia seorang pelatih yang cekap.

Mungkin anak muda bergaya model tidak sedar perlakuannya boleh memberi kesan terhadap reputasi perkhidmatan pos di cawangan itu, seterusnya tanggapan pelanggan terhadap beliau sendiri.

Dalam jarak satu kaki pun, macam-macam hal boleh berlaku.