Showing posts with label kenangan lalu. Show all posts
Showing posts with label kenangan lalu. Show all posts

Thursday, July 30, 2009

..::BELAJARLAH DELETE SENTIMENTAL VALUES::..

Kawan saya yang sedang ingin bercinta cakap saya ni kena belajar delete sentimental values.

Eh, saya pernah apa padam sentimental values. Kan saya pernah cerita dalam entry ini 3 bulan lepas.

Cuma lepas saya padam folder yang saya cipta 2 tahun yang lalu tu, saya wujudkan pula folder lain. Dan folder yang baru ni belum pun sampai 6 bulan dah beratus-ratus kandungannya sehinggakan telefon saya selalu hang. Saya syak memang simpanan yang melebihi kapasiti dan keupayaan telefon menjadi penyebab. Bukan alasan mahu telefon baru semata-mata. Hiks.

Berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata kawan saya tu.

Jadi, pada pagi ini perlahan-lahan saya mula memadam kenangan-kenangan yang saya rasakan tetap akan terpahat di sudut hati saya walaupun sudah tidak disimpan di dalam mana-mana storan.

Thursday, November 13, 2008

..::NOSTALGIA '90an : SAYA NAK MASUK U JUGA!!::..

Cita-cita saya mahu jadi wartawan. Nak jadi wartawan mesti kena masuk U. Nak masuk U, keputusan SPM mesti kena cantik. Nak keputusan SPM cantik mesti kena belajar betul-betul. Lagipun kakak-kakak saya masuk U. Abang saya yang sudah umur 30 pada waktu itu pun pergi masuk U. Takkan saya nak tinggal saja di kampung.

Tapi bila mengenangkan itu, saya jadi ngeri. Kenapa tidak. Sejak dari sekolah rendah (UPSR) sehinggalah sekolah menengah (PMR), saya tidak pernah dapat huruf lain melainkan C untuk Matematik. Pergilah tuisyen atau kelas malam di asrama, keputusannya tetap sama. Sudahlah pada zaman itu, jika tak lulus Matematik, mata pelajaran lain yang A1 pun tak berguna.

Jadi. Usaha tangga kejayaan. Jika mahukan sesuatu harus diusaha sendiri. Tak kan mahu diharap orang lain.

Selepas peperiksaan percubaan, saya terpilih untuk mengikuti klinik Matematik. Dalam klinik, baru saya faham. Oh, kalau setakat faham saja tapi tidak juga berusaha semuanya tetap akan sia-sia. Orang kata Matematik ni kena rajin buat latihan. Jadi, siang malam pagi petang subuh senja saya buat latihan Matematik. Sehinggalah hari peperiksaan. Dan saya jawab dengan tenang. Sambil berharap nasib saya akan berubah suatu hari nanti.

Maka, di hari keputusan diumumkan. Dengan penuh debar saya naik bas merah menuju ke sekolah. Tangan mengeletar sewaktu tandatangan penerimaan slip keputusan. Perlahan-lahan saya buka dan cari keputusan untuk Matematik. Tertancap saja mata ke angka yang tertera, satu helaan nafas paling lega saya luahkan. Sudah tidak peduli dengan keputusan yang lain.

Cita-cita saya mahu jadi wartawan walaupun sekarang saya bukan wartawan. Dan saya bersyukur dapat C3 untuk Matematik.

Tuesday, July 22, 2008

..::NOSTALGIA '90an : KAD NAMA::..

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad nama gambar pemandangan, artis Hong Kong, perempuan komik manga bermata cantik dan bermacam-macam gambar lagi.

Seorang kawan yang bertindak sebagai agen akan mengedarkan katalog. Tebal lipatannya. Penuh gambar untuk dipilih. Berkenan. Isi borang. Tulis nama, alamat, tarikh lahir juga kata-kata yang dipilih sebagai pegangan hidup.

Katanya kena cari ramai lagi. Kalau tidak, tak boleh pos borang ke Kuala Lumpur untuk tempahan.

Maka masing-masing cari lagi kawan yang mahu tempah kad. Tapi tak apa, seorang boleh tempah sampai 2 - 3 jenis gambar. Cuma kena korek tabung lah untuk bayar.

Sekali kita tempah, nanti kad yang diterima juga disertakan dengan katalog dan borang. Maka kita pula akan bertindak sebagai agen. Baru sedar, rupa-rupanya kecil-kecil lagi dah pandai bina jaringan perniagaan. Macam MLM gayanya.

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad tu senang dibawa ke mana-mana. Kalau pergi lawatan sambil belajar ke IPT, beri saja kad comel gambar doraemon itu kepada abang yang minta alamat dengan alasan mahu jadikan kita adik angkat. Kan awak, kan?

Thursday, March 15, 2007

..::SUATU WAKTU DAHULU::..

Seketika. Aku teringat pada teman lama. Bukan. Bukan cinta pertama. Tapi teman berutus surat.

Dia teman sekelas waktu tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Tingkatan 4, aku berpindah ke Vokay Taiping dan dia berpindah ke Teknik Penang. Dari situ bermula episod berutus surat di antara kami.

Warkah demi warkah bertukar tangan. Macam-macam cerita dikongsi bersama. Gambar terbaru juga tak lupa dikirimkan. Dan, dia juga pernah mengutus surat bersama taburan bedak Romano di dalamnya. Mabuk seketika.

Hampir setahun di teknik, dia kembali ke sekolah lama. Mungkin tidak betah di sana. Namun, kami masih berutus surat. Sehingga satu ketika.

Tiba-tiba aku terlupa bagaimana berakhirnya episod ini. Cuma yang aku ingat, dia punya teman wanita, juga bekas rakan sekelas aku dulu, yang tidak 'merestui' persahabatan kami ini. Kami terputus hubungan. Begitu saja.

Terakhir aku dengar dari kakak aku yang bersahabat dengan kakaknya, dia kini seorang pendidik.

Seketika. Aku teringat pada teman lama. Bukan. Bukan cinta pertama. Tapi teman berutus surat.






* Aku tak dapat lelapkan mata, jadi aku taip catatan ni secara offline.. 15/03/07 01:06pagi