Monday, May 05, 2008

..::KEMBALI KE ALTERNATIF::..

Semalam. Dari tol Kamunting lebih kurang jam 11.30 pagi. Tiba di Tol Ipoh Selatan jam 12.00 tengahari. Dan berhenti di Hentian Jejantas Sungai Buloh jam 2.00 petang. Kemudian. Jam 2.45 petang aku tiba di tempat letak kereta belakang Central Market.. Ha ha ha.. (fikir sendirilah kenapa Polis sangat suka hantar surat layang kepada aku)

Aku sudah kembali ke Kuala Lumpur. Dan terus ke KL Alternative Bookfest.



Menempel di meja jualan Sol-jah. Bertemankan Pipiyapong yang bisu. Membuatkan aku terlupa seketika bahawa aku boleh bersuara. Dan rupa-rupanya Pipiyapong juga tidak bisu. Suaranya sangat mahal. Hanya kedengaran bila dia meminta izin untuk ke tandas. Meninggalkan aku sendirian di meja jualan. Sehinggalah dia muncul semula ketika jam hampir ke angka 6. Meja jualan sudah mahu dikemaskan.

Aku. Berjaya jual 4 buah Gangguan Teksual. Stok aku.
Stok Sol-jah. Habis licin.

Tapi. Aku lupa ambil gambar suasana di sana. Sungguh alternatif.

Tuesday, April 29, 2008

..::BERPERGIAN::..

Saya sedang menghadapi peperiksaan sekarang ini. Selama tiga hari berturut-turut. Bila menghadiri peperiksaan, saya dapat cuti tanpa rekod. Kemudian pada 2hb saya ambil cuti rehat dan balik kampung. Tapi bukan untuk mengecat rumah.

Balik nanti, saya akan jawab tagged Cik Daun ya.. Dan saya sedang berfikir-fikir mahu kembali ke tahun yang keberapa. Tapi Cik Daun kata dia tak mahu berkawan dengan siapa yang tak jawab taggednya itu. Ok. Jika itu pilihannya, sila lah cari orang lain sebagai pengapit anda nanti ya.. ahaks

Ooohh.. jika dilihat di ruangan chat box itu, ada seseorang yang mahu berkenalan dengan saya. Dia juga bertanyakan saya ini tingkatan berapa.

He he he.. saya lihat emailnya. Tertulis _93.. Selalunya orang akan letak itu tahun kelahiran. Dan jika saudara lahir pada tahun 1993, bermakna saya telah menamatkan zaman persekolahan ketika saudara berumur 3 tahun. Jadi.. kira lah sendiri ye..

Tapi tak salah untuk berkenalan.. dan saya sambut salam perkenalan saudara itu.. Terima kasih..

Hmmm itu saja buat masa ini.. jangan rindu-rindu saya ya..

Tuesday, April 22, 2008

..::KALAU TAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANA KAN DAPAT SAGUNYA::..

Kakak aku beritahu. Jika mahu pokok tanaman kita sihat dan subur. Maka siramlah ia dengan air basuhan beras.

Ooohh.. Itu petuanya.

Tapi. Aku. Basuh beras pun jarang-jarang sekali. Silap-silap beras pun tak ada. Macam mana mahu dapat airnya. Ha ha ha...

Sudahnya. Beginilah rupa tanaman aku.




* Entry ini bersempena dengan hari bumi sedunia.

Monday, April 21, 2008

..::APA YANG SEMUA ORANG SUKA DAN TAK SUKA::..

Hari Sabtu lepas. PDRM buat satu tawaran. Sempena pembukaan Kaunter Trafik di gedung membeli-belah The Curve.

Tengok saja berapa ribu orang yang beratur. Seawal 8.00pagi kawasan ni dah dibanjiri manusia. Kaunter hanya mula dibuka jam 10.00 pagi. Yang menyedihkan, hanya 1 kaunter bayaran dibuka. Memang ramai yang maki kebodohan polis. Ha ha ha..



Ini perkara gila yang kedua pernah aku buat, selepas yang pertama kali dulu, beratur untuk beli kek di kedai Resepi Rahsia.

Hanya untuk dapatkan potongan 50% untuk bayaran saman, aku beratur dari jam 11.00 pagi hingga jam 6.50 petang. Aku ada 2 saman had laju yang setiap satunya bernilai RM300.00 ya.

OK. Ini pula perlakuan sumbang orang Melayu, Islam tentunya, di khalayak awam. Ketika orang ramai sedang beratur untuk melunaskan saman masing-masing.



Kalau kamu sudah tidak tahan, pesan saja kepada orang yang di depan dan belakang kamu. "Tolong jagakan tempat kami ya, kami ada sedikit kerja. Mungkin akan kembali selepas 2 - 3 jam". Dan pergilah daftar masuk ke Hotel Royale Bintang Damansara di sebelah itu.

Sebagai membalas dendam dan menghargai jasa kaki aku beratur sebegitu lama. Aku jamu perut yang tidak diisi sejak pagi dengan hidangan di restoran yang entah bila lagi aku nak masuk.



Terima kasih kepada potongan bayaran saman. Kerana kamu, aku dapat bayar harga makanan di Marche.

Thursday, April 17, 2008

..::BILA RASA TERAGAK-AGAK, PASTI ADA SESUATU TERJADI::..

Pagi tadi. Nak pergi kerja. Aku rasa teragak-agak nak tutup pintu bilik. Oohh, rupanya aku belum tekan kunci pintu.

"Tap!" Tekan kunci. Tarik tombol dan rapatkan pintu.

*Plop*

Di tangan hanya ada kunci kereta. Jadi bermakna kunci rumah ada dalam bilik.

Macam mana nak pergi kerja? Aku. Terkunci di tengah rumah.

*Plop*plop*

Aku ada satu set kunci asas di tepi TV.

Pergi kerja dulu lah. Balik nanti baru fikir macam mana aku nak buka kunci pintu dan masuk bilik. Jadi McGyver atau pecahkan saja pintu.

Tuesday, April 15, 2008

..::KALAU TAK TEKAN SUIS, LAMPU TAK AKAN MENYALA::..

Kamu kata, tunggu lampu hijau daripada saya.

Tapi lampu kuning pun kamu tak pasang.

Lepas tu, suis pun kamu tak tekan.

Macam mana lampu nak menyala.

Atau sebenarnya kamu dah pasang lampu berteknologi tinggi yang boleh menyala secara automatik?

Hmmm.. Tapi sebelum tu kita kena buat wiring dulu lah kan..

Monday, April 14, 2008

..::PESTA BUKU YANG ADA TARIAN NAGA::..

"Salam dengan Mummy Nida" suruh si ayah kepada 2 anaknya. Muhammad dan Emily. Pandai hormat 'orang tua'. Salam cium tangan.

"Siapa lagi handsome?" Si ayah minta puji.

Tapi aku mesti kata Muhammad lagi handsome. Putih. Bulu mata lentik. Kening tebal. Ha ha ha.

"Muhammad lahir di mana?" Mahu kepastian kalau-kalau Muhammad ini terkena kenan orang di negara asing.

"Key Ell" Muhammad dalam pelat luar negaranya.

Woho!! Key Ell!! Ha ha

"Sekolah tingkatan berapa?"

"Form thrree" Kali ni lebih pekat pelatnya.

Uwop! uwop!

"In that case, I should not shake hand with you"

eeeeiiiooouuuu...

Thursday, April 10, 2008

..::MENUJU PUNCAK::..

Kebelakangan ni aku sangat sibuk. Tak berselera nak update blog.
Biar gambar sahaja yang berbicara.


Invitation daripada Astro Corporate Communication


* Aznil sebagai pengacara majlis
* Persembahan pertama oleh Faizal
* Diikuti oleh Mila dan seterusnya Zahid
* Persembahan Mawi paling lama

# Mila lebih kecil daripada aku


* Sheikh Muzaffar muncul. Pelik aku bila penonton semacam histeria je tengok dia
* Persembahan penutup oleh Anita Sarawak. Nenek yang tak reti duduk diam
* Kemudian peserta AF6 naik atas pentas

# Door gift yang diterima
# Gambar dengan Mawi tu kawan aku yang nak. Aku temankan saja

Kesudahannya, aku sampai pejabat jam 5.00petang.

Wednesday, April 02, 2008

..::SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN::..


Payung?
Originally uploaded by madulebah


Aku mahu

kau terus memayungi ku

di sepanjang perjalan ini..

Friday, March 28, 2008

..::SEMUA ORANG PERLU MAKAN::..

Dapat peneraju baru.

Berlatar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi.

Jadi mulai sekarang dan dalam tempoh 4 tahun akan datang.

Mungkin. Tiada lagi istilah persembahan percuma atau tiket percuma.

Wednesday, March 26, 2008

..::ADA APA DENGAN PERTEMUAN::..

"Akak masih ada perasaan pada abang lagi ye?" Tanya si adik yang sudah punya seorang anak.

Aduhai cik adik. Soalan apakah itu?

Kami hanya makan tenghari bersama. Sekadar memenuhi tanggungjawab so-sial. Dengan seseorang yang sudah dikenali sejak 10 tahun lalu.

Jika semudah itu tahap perasaan dinilai.
..::KALAU LANGGAR, TAK ADA SIAPA YANG UNTUNG::..

Cuaca mendung. Perjalanan agak lancar. Aku menahan kantuk. Mungkin sebab ice blended cream chips yang aku minum sebelum pulang.

Depan Sapura. Ada kereta keluar. Aku bagi jalan. Kereta bergerak bumper to bumper sebab mahu naik ke susur flyover. Aku masih di belakang kereta tadi.

Semakin lama mengekori, aku jadi hilang sabar dengan perangainya. Lemah gemalai nak mampus. Berduyun-duyun kereta lain memotong barisan dan mencuri masuk di hadapannya. Aaarrgghh!! Mahu saja aku langgar buntut kereta bernombor plate CB* 7*60 itu. Tapi aku masih waras. Kalau langgar harus aku yang salah. Walaupun memang itu niat aku.

Sambil cuba hiburkan hati, aku juga menyumpah-nyumpah pemandu itu. Huh! Dasar pemandu perempuan. Slow!! Lembab!! Penakut!!

Eh, aku pun pemandu perempuan juga. Tapi aku dalam kategori lain ya.

Monday, March 24, 2008

..::EKSPRESI::..



Duduk diam di rumah. Masak-masak. Kemudian makan-makan. Sambil tonton tv dan baca buku.

Adalah lebih baik daripada keluar berjalan-jalan dan membeli-belah.
..::BILA FIKIRAN BERCELARU MACAM-MACAM BOLEH JADI::.

I
Kereta dibiar tidak berkunci semalaman

II
Tingkap kereta terbuka sepanjang hari di parkir berseberangan dengan pejabat

III
Aku mula belajar untuk telan 2 biji paracetamol sebelum tidur

Friday, March 21, 2008

..::OF FEELING::..

I hate being controlled by emotion

but finally

you make me happy



at least until end of the day..

Monday, March 17, 2008

..::SEKILAS IKAN DI AIR SUDAH TAHU JANTAN BETINA?::..

Aku. Tunjuk gambar keluarga kepada seorang teman.

Dalam proses mengenali antara satu sama lain. Kononnya.

Wow! Ini keluarga P*S ke? Soalnya spontan.

Ha ha ha..

Wah! sejak bila fahaman politik boleh dilihat melalui gambar?

Dan

Aku syak

Gambar dan gaya kami sekeluarga tidak HADHARI...

Friday, March 14, 2008

..::ESCAPISM::..

Hari Jumaat.

SOGO dan The Mall seolah memanggil aku untuk menyahut seruan papan tanda ini.



Dan aku terbayang beg tangan Sembonia yang dibelek saban minggu.

Thursday, March 13, 2008

..::ISI BEG TANGAN/PURSE/WALLET::..

AMARAN : Entri ini sangat panjang.

Ada seorang lelaki botak telah tag aku. Tentang apa yang ada dalam beg tangan/purse seseorang tu. Katanya dari situ personaliti seseorang itu terpamer. Sumpahan akan berlaku jika tag berkenaan diabaikan.

Tapi hakikat sebenarnya, lelaki botak itu cemburukan aku. Walau macam mana pun, aku layan juga lah kehendaknya.

Ini beg tangan aku dan isi perutnya.



Beg comel dibeli di Lovely Lace. Isi dalamnya:

1. Purse - Mesti ada sebab dalam tu ada macam-macam

2. Payung - Sediakan payung sebelum hujan. Maklum la sekarang ni hujan turun tak menentu masa dan tempat

3. Handphone & Earphone - Handphone cokia saja.

4. 2 buah buku nota & pen - Satu untuk catat segala keluar masuk kewangan. Satu lagi untuk catatan lain sebagai contoh resepi.

5. Buku - Untuk bacaan ketika menunggu. Penantian itu satu penyiksaan. Jadi pilih membaca sebagai escapism. Sekarang ini dalam beg ada buku Kasut Biru Rubina.

6. 3 gugus kunci - Kunci rumah, kunci bilik pejabat, kunci kereta.

7. Sepaket tisu

8. Dompet zip dari Korea - Dalamnya ada Clorets dan 2 unit thumbdrive. Mana tahu nanti ada putera bawa kasut untuk cari calon isteri, clorets adalah penyelamat.

9. Uncang comel - Dalamnya berisi sheer gloss (Artistry), Lipstick (Maybelline) & Perfume Oil (Bodyshop)

10. Kotak cermin mata

11. Cokelat Snickers - untuk dikunyah ketika memandu

12. 3 paket garam ORS - Akhir-akhir ni perut aku kerap meragam.

OK. Habis sudah dengan apa yang ada dalam beg. Sekarang apa yang ada dalam purse pula.



Dompet Kulit Jenama Sembonia (tahun 2001) - dibeli dengan wang gaji bulan-bulan pertama kerja. Apa ada di dalam:

1. Wang Tunai - Tinggal RM18.49 sahaja. Semalam aku sudah belanja makan di restoran mahal dan pagi ni aku sudah bayar parking.

2. Kad Pengenalan & 2 keping lesen memandu - Satu lesen yang ada gambar. Dah tamat tempoh pun. Satu lagi yang akan tamat bulan depan

3. Kad Keahlian - Bonuslink, SOGO, Jaya Jusco, Uda Ocean dan Fotokem. Jangan terkejut kerana semuanya berkaitan dengan shopping. Ha ha ha.. Aku juga ada warranty card untuk barang jenama Carlo Rino.

4. Kad ATM - Maybank, Bank Islam dan RHB Bank beserta RHB DotCom Card untuk internet banking

5. Tiket - Pas Perjalanan Bas Intrakota. Ini aku simpan sebagai kenangan. Sekarang Intrakota sudah tidak wujud lagi. Juga 2 Keping tiket ke Menara KL.

6. Buku Alamat - yang tak pernah dikemaskini isinya

7. Dentyne

8. Pen

9. Sekeping plaster luka

10. Kalendar poket - Satu adalah kalendar tahun 2004. Kenapa masih disimpan aku pun tak pasti. Satu lagi adalah kalendar semasa tahun 2008.

11. Setem - Edisi tertentu. Sukan Sea XXI KL 2001 - RM0.30|Taiping 125 tahun (1874-1999) - RM0.50|Tapak Penghentak Pintu - RM0.30|Sambutan 50 tahun Hari Kanak-kanak Sedunia 2003 - RM0.20|16 keping setem RM0.03 gambar Merbah Beringin. Ini aku beli untuk hantar kad ucapan hari raya.

12. Gambar sendiri - 5 keping gambar ukuran pasport & filem. 1 keping gambar yang dipotong.

13. Penanda Buku - Dapat masa beli ubat gigi Mukmin. Ada hadis kat situ.

14. Boarding Pass - Bertarikh 26 Dis 2007 perjalanan KL - Langkawi

15. 2 keping tisu - mungkin perempuan tak boleh berenggang dengannya

16. Simkad Hotlink - Dah expired pun. Aku tak biasa pakai prepaid

17. Resit ATM - Keluar duit berjumlah RM1.4k dalam 4 resit berasingan. 2 resit deposit untuk duit KUTU dan 1 resit pindah wang kepada Amyz untuk gathering GJ tahun lepas

18. Kad Nama - Berita Harian-Shaidah Shafie, Dental Surgeon-Dr. M. Yunus, Tukang Jahit Wanita Lee Lee, A One Locksmith & Trading, Klinik Dr. Tan & Kedai Gas. Selain itu ada kad Ezham, Diman, & Zulhelmi. Kawan-kawan lain jangan berkecil hati ya. Kad nama anda disimpanan di tempat yang lebih selamat. he he he

19. Kertas - ada nombor telefon Azmi yang tak aku ingat siapakah dia. Ada juga kertas tertulis nombor akaun bank Indon untuk bibik boss lama aku. Satu keratan akhbar alamat sebuah restoran di Queen's Park Cheras

20. Resit - Pusat Kursus Perkahwinan. Resit membeli belah di SOGO, IKEA, Giant, Econsave dan Parkson Grand. Resit makan di KFC, Restoran Lemon, Rafflesia Chicken Hut, Secret Recipe & Pesona Food Court. Resit keputusan eye test.

Selepas dibongkar isi perutnya, baru aku sedar banyak juga sampah dan kertas tak berguna. Mungkin aku ini sentimental. Ketika entri ini ditaip, dompet aku sudah menipis. Sebahagian resit dan barang lampau yang tiada makna sudah di-tong-sampah-kan.

OK. Puas hati? Sekarang aku mahu tag 5 orang lain.

1. Pijah - jawab ye mama.. he he

2. Kimi - "Kenapa encik simpan mykid anak encik?"

3. Lan Rasso - Orang pemalu mesti banyak simpan rahsia

4. Suhail - Sorry akak tak tahu nak tag siapa lagi.. he he he..

5. Cik Daun - I tau U bz dengan persiapan kawin. I kesunyian sekarang ni.. ahaks

Wednesday, March 12, 2008

..::JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Tadi. Lunch dengan Bayan. Yang comel. Mula-mula nak makan di Laksa Shack. Bangsar Village. Rupa-rupanya restoran tu dah tak wujud di sana. Ketinggalan zaman sungguh kami ini. Untuk tidak menghampakan diri, kami pun berangkat ke Bangsar Village II.

Di Bangsar Village II kami ke Restoran Suchan. Maria Tunku Sabri pernah makan di sini dalam salah satu siri JJCM.

Ini adalah apa yang aku makan.

Ada top hat sebagai appetizer dan Laksa Thai sebagai hidangan utama.



Ice Lemon Tea dan chocolate brownies. Ada satu kejadian lucu tentang Ice Lemon Tea itu. Tapi biarlah kami berdua saja yang tahu. Ha Ha ha..



Pada aku, restoran ni best. Pelayannya berbudi bahasa. Dan kita boleh menikmati hidangan dengan selesa. Makanan boleh tahan. Kuah laksa yang aku makan sangat pekat. Terasa ikannya. Harga makanan mengikut set pun adalah dalam lingkungan kemampuan. Ahaks.

Paling aku suka ialah ayat-ayat menarik pada menu yang disediakan. Eerrr sungguh yummy ayat-ayatnya. Ha ha ha. Tapi tak ada gambar untuk ayat-ayat yummy itu.

TQ Bayan sebab sudi lunch dengan aku. Nanti kita shopping sama-sama pula ye. *wink*wink*

Ada pakcik botak yang cemburu kata kami teruk kerana pukul 2.45 baru masuk pejabat semula. He he he.

Tuesday, March 11, 2008

Aku dah habis baca novel ini. Ada 40 lebih chapter. Sekali baca aku, akan baca dalam 3 chapter bergantung kepada tahap ketahanan mata. Tapi semalam aku habiskan juga baki yang separuh tu. Sebab rasa tak sabar nak tahu apa yang jadi selanjutnya.



Nangis dan gelak sorang-sorang atas katil. Tidur pukul 2.00 pagi. Bangun pagi mujur mata tak bengkak. Tapi mengantuk Tuhan saja yang tahu.

Esok aku akan start baca novel ni pulak.




p/s : Amyz, nanti dah habis baca ni boleh pinjam novel lain pulak kan?

Monday, March 10, 2008

..::SUAI-PADAN::..

Ada peribahasa yang sangat sesuai dengan 'Kerajaan Pemerintah'

Yang dikejar tak dapat

Yang dikendong berciciran

Saturday, March 08, 2008

..::CUKUPLAH::..

Ini.



Kasut ketiga yang aku beli dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Cukuplah.

Jangan goda aku lagi.

Bimbang nanti aku kena beli rak kasut yang baru pula.

Friday, March 07, 2008

..::HADHARI::..

+ Weh kami terperangkap dalam lif

- Ha ha ha.. dah keluaq ke belum?

+ Ada ka gelak. Dah keluaq dah. Ada orang datang selamatkan.

- Abeh tak kan aku nak nangeh? He he he.. Hadhari sungguh orang yang selamatkan hangpa tu kan? he he he

+ Memang hadhari. Ada 2 orang pakai vest BN lagi. Dalam sibuk pasang bendera, sempat selamatkan orang.

- Wow boleh buat iklan TV macam ni. ha ha ha

Tuesday, March 04, 2008

..::SERINGGIT::..

Ada sekeping note seringgit tercicir. Depan pintu bilik air wanita. Di pejabat.

Aku biarkan saja. Tak tahu siapa empunya. Yang keciciran duit seringgit itu.

Tadi. Dari bilik. Aku nampak seorang makcik cleaner keluar dari bilik air. Kutip duit seringgit tu. Masukkan dalam kocek. Pandang sekeliling.

Mungkin duitnya yang tercicir. Atau itu dikatakan 'rezeki'nya.

Tak tahu lah. Sebab aku tak nampak siapa yang tercicir seringgit tu. Tapi aku nampak siapa yang mengutipnya.

Hanya Dia yang Maha Mengetahui

Monday, March 03, 2008

..::GEDIK-GEDIK::..

Sejak minggu lepas, kelopak mata aku yang sebelah kiri asyik tergedik-gedik saja. Ntah apa la penyakitnya.

Sesetengah orang kata; mahu tengok sesuatu. Apa yang sesuatunya pun aku tak tahu.

Kawan aku pula kata; kelopak mata aku tu tergedik-gedik sebab nak tengok duit keluar.

Tiba-tiba hari ini aku dapat rasakan ada betulnya cakap kawan aku tu.



Ya. Aku beli kasut dan batik lagi.

Saturday, March 01, 2008

..::MASKARA 7::..

Maskara 6 terasa baru saja melabuhkan tirainya. Kini muncul pula Maskara 7.
Apakah ia lebih hebat? Adakah bahangnya semakin panas??
Sama-sama kita saksikan.

Tarikh : 1 Mac 2008 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Rumah PENA, Kuala Lumpur




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Apa yang aku suka tentang MASKARA ialah;

Makanan yang disediakan sentiasa habis

Friday, February 29, 2008

..::ANAK SIAPA NI?::..



Tengok budak tu. Dalam versi menjelang pilihanraya, ia dikatakan "kepimpinan melalui tauladan".

Kecik-kecik dah disogokkan dengan handbag. Pantang tengok handbag. Suka yang amat. Pegang tak nak lepas. Siap gigit lagi tali beg tu.

Budak kecik ni tahu kalau ada handbag, mesti nak pergi pasaraya. Nak membeli belah. Boleh beli apa yang dia nak. Dia suka.

Tapi mujur la budak ni tak duduk Kuala Lumpur. Kalau tidak pasti dia sudah kenal SOGO, Mid Valley, KLCC selain daripada Giant dan TESCO yang memang sudah dikenalinya sejak bayi lagi.

Monday, February 25, 2008

..::TAK PERLU MEMBELI::..

Hujung minggu yang baru lepas ni aku tak kerja. Memandangkan TV pun tak ada rancangan yang menarik, maka aku pun mencari hiburan sendiri. Hiburan yang lebih memberi kepuasan kepada diri aku. Apa lagi kalau bukan masak-masak dan makan-makan.

Jumaat malam, lepas balik kerja aku cuba buat kek pisang. Resepi kek ni aku dapat daripada kakak aku masa balik cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni. Kat kampung haritu aku dah cuba buat, jadi elok memandangkan peralatan lengkap. Eeerrr cuma rasanya TERmanis sikit. Itu boleh adjust. Kat sini aku serba kekurangan. Blender pun tak ada. Oven elektrik pun tak ada. Jadi telur dan gula aku pukul secara manual.



Inilah hasilnya kek pisang yang dibuat secara manual dan dibakar dengan menggunakan oven Butterfly saja. Naik cantik kan? Rasa pun sedap.. ha ha ha..

Semalam pula aku cuba satu lagi resepi. Ini aku ambil dari suratkhabar. Tajuknya ialah kepak ayam madu.



Gambar kiri ialah kepak ayam yang sedia untuk dimakan. Gambar kanan pula pinggan ayam dan nasi yang sudah licin.

Jadi, sekarang ni untuk makan kek pisang dan kepak ayam madu, aku tak perlu beli di kedai lagi. Boleh buat sendiri saja. Lagi puas.

Friday, February 22, 2008

..::SEKALI CUBA, TAK NAK CUBA DAH::..

Pernah dengar Restoran Lemon? Tentu pernah kan.. Selalu keluar surat khabar.. TV pun selalu dipromosikan. Ni restoran milik David Teo, tuan punya Metrowealth Movies.

Semalam aku, Cik Daun dan Salina mencuba la hidangan di Restoran Lemon cawangan Metropoint, Kajang. Kebetulan pergi Kajang, melawat Nazmi yang masuk PUSRAWI akibat bronkitis.

Malas nak cerita panjang, tengok gambar-gambar makanan yang telah dicadangkan oleh adik waitress restoran tu. Siakap steamed Thai style Petai, Nestum butter prawns, Braised Mixed Vege.



Ok. Ni pula gambar 2 orang anak dara yang sedang kelaparan. Di sebelah tu pula gambar pinggan yang dah licin.



Sebenarnya apa yang dihidangkan tak seperti yang kami harapkan. Siakap steamed tuh ialah ikan yang dikukus kemudian disimbah dengan sambal petai. Rasanya juga hanya lah so-so saja. Tapi kami positif. Makan sajalah dah itu rezeki kami semalam. Kerana ada perkara lain yang boleh dinikmati. Dan kami enjoy segala moment yang ada. Bercerita itu ini. Maklum lah tak lama lagi Cik Daun dah nak jadi Puan Daun. Lagipun kami dah lama tak keluar sama-sama.

Thursday, February 21, 2008

..::SOMEONE.. SOMEWHERE.. IS OUT THERE FOUR YOU::..

SETIAP makhluk diciptakan berpasangan dan jangan bersedih jika anda masih sendirian, belum bertemu pasangan bersesuaian.


Petikan perenggan pertama satu artikel dalam Harian Metro hari ini. Mengingatkan aku tentang sesuatu. Tentang diri sendiri. Tentang jodoh. Tentang kuasa Allah.

Lewat 2 minggu yang lepas, sebelum pulang bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina, aku sempat menonton Filem Hindi - Dil To Pagal Hai di TV9. Ya. Aku tonton filem Hindi. Tapi hanya filem yang dibikin sekitar tahun 1996 - 2000 sahaja.

Filem tu bercerita tentang jodoh. Isyarat-isyarat yang kita terima dan petanda-petanda yang ditunjukkan kepada kita. Mungkin orang boleh kata itu sekadar dalam filem. Nampak mudah. Tak dinafikan. Tapi apa yang difilemkan juga berdasarkan apa yang terjadi di sekeliling kita.

Dalam Harian Metro memetik beberapa petanda seperti :

Dia tidak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga anda, juga tidak peduli masa lalu anda bersama kekasih terdahulu. Dia juga tidak malu-malu menceritakan masa lalunya. Nah, jika begitu ini bererti dia sudah siap menerima anda seadanya.


dan

Setiap orang pasti memiliki kekurangan dan anda tidak malu memperlihatkannya pada si dia. Si dia pula tidak segan menceritakan kelemahan dan kekurangannya pada anda. Anda dan si dia barangkali memang ditakdirkan untuk bersama.


Jadi, bila membaca artikel ini dan teringatkan apa yang aku pernah tonton dalam filem, aku terima dengan positif apa yang dilalui. Dan pedulikan segala unsur negatif yang datang dari luar. Dari orang lain yang tak akan berhenti bersuara. InsyaAllah satu hari nanti ia pasti akan tiba.


Artikel penuh di sini

Wednesday, February 20, 2008

..::WALK IN vs WALK OUT::..

Di pusat membeli belah Alamanda, ada sebuah kedai bernama Walk In. Kedai ni semacam badi kepada aku.

Setiap kali aku walk in, aku tak pernah walk out dengan tangan kosong. Ha ha ha..

Dan ini yang aku dapat semasa sesi walk in-walk out minggu lepas. Sepasang kasut yang dah lama aku teringin nak pakai.



Sebenarnya aku mintak warna lain. Tapi memandangkan nak dapat saiz pun sangat lah susah jadi aku beli saja warna yang sangat sweet itu.

Tak nampak macam kasut kanak-kanak kan?

Tuesday, February 19, 2008

..::LELAKI + MINAT - PEREMPUAN::..

Lelaki sanggup melabur ratusan ringgit malah ribuan ringgit untuk minatnya. Membeli gadget-gadget terkini, kereta, atau sukan mewah yang diceburi. Jarang berkira. Malah kadang-kadang tak berkira langsung.

Bila disuarakan, ada saja jawapannya. Paling mudah, sudah jadi minat.

Tapi bila nak buat pelaburan jangka panjang, pinang perempuan, nak kawin berkira pula.

Mana satu yang jadi priority?

Monday, February 18, 2008

..::TAK KENAL MAKA TAK CINTA::..

Aku mahu

kenali dia..

dan

aku mahu

cinta dia..

Thursday, February 14, 2008

..::KALAU TIADA ANGIN MASAKAN POKOK BERGOYANG::..

Kalau ada yang terdengar khabar mengatakan Nida bernikah hari ni, memang betul. Mengambil sempena tarikh 14 Februari. Mahu jadikan kenangan terindah.

Tapi Nida itu bukan aku. Itu orang lain yang namanya sama dengan nama aku. Kesamaan yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan.

Nida bernikah hari ni. Bernikah untuk kali yang ke *tooot*. Dengan pasangan yang juga bernikah untuk kali yang ke *tooot*.

Tahniah. Semoga berkekalan(?) juga.

Wednesday, February 06, 2008

..::KIASAN II::..

+ Mak ganti bumbung rumah *sebuahan. Mak nak kenduri pa?

- Mana aku tau

+ Mak tau. Ha ha. Tunggu hang bawak balik cat dengan bagitau tarikh ja lagi.

- Ceh!! Keji ja

+ Apa pulak keji. Betul apa. Ha ha

SMS adik aku hujung minggu haritu. Aik. Apa ni? Main kasar nampak.



* Eerrr aku xtau nak translate macam mana. Mungkin keseluruhan kot?

Tuesday, February 05, 2008

..::SEGAN::..

Bawa bekal? Aku tegur sorang pegawai di pejabat ketika sama-sama tunggu lif.

Biasa la. Dok KL. Sorang pulak tu yang kerja. Jawabnya sambil merendah diri.

Lagipun sejak akhir-akhir ni kerap bawa kereta. Sambungnya lagi.

Kenapa tak naik LRT? Aku tanya dalam keliru sebab tahu rumahnya tepi tangga stesen LRT saja.

Segan tua-tua ni kena berdiri dalam LRT. Jawabnya sambil sengeh.

*Plop*

Tiba-tiba gambaran LRT Sentul dan wajah uncle Naga yang lebih tua hampir 10 tahun daripada pegawai itu muncul dalam kotak fikiran aku.

Dan aku ketawa dalam hati kerana jawapannya itu.

Monday, February 04, 2008

..::MASKARA 6::..



Maaf, aku cuma ada gambar ini sahaja. Itu pun diambil menggunakan kamera telefon 2 megapixel.

Dan gambar ini aku ambil dari flikr LanRasso.



"Pantang bagi orang perempuan jika ditanya umurnya" Tegur Tok Rimau kepada si Ahli Silap Mata muda.

Malam yang sejuk dek hujan sekejap-sekejap lebat, sekejap-sekejap merintik jadi panas dengan persembahan MASKARA. Tambah panas bila jam menunjukkan angka 11.00. Klasifikasi persembahan mula bertukar simbol. Pertama kali MASKARA berakhir hampir tengah malam.

Saturday, February 02, 2008

Sudah masuk Edisi Ke-6. Satu kejayaan besar.



Bukan hanya untuk kawan-kawan yang kita suka. Kawan-kawan yang kita tak suka atau buat-buat suka pun boleh.

Mari teruskan kesinambungannya!!

Thursday, January 31, 2008

..::TAK BOLEH TUKAR::..

Semua orang ada kebiasaan mereka sendiri. Aku pun serupa.

Ada orang, dia selesa dengan kebiasaan itu. Tapi tidak pada aku. Aku nak ubah kebiasaan itu. Nak ubah sangat-sangat.

Sudah berkali-kali aku cuba. Namun tak berjaya. Aku jadi sakit hati. Tapi aku tak mampu nak buat apa-apa selain daripada meneruskan kebiasaan itu. Sebab kalau tak buat, bimbang perkara lain yang tidak sepatutnya akan berlaku. Bila buat pula, confirm aku akan tersangkut dalam kesesakan lalulintas dan lambat sampai pejabat. Bulan ni sahaja dah 3 kali merah punch kad.

Ada sesiapa yang boleh tolong aku?
.
.
.
.
.
.
.
Tolong aku cari cara nak tune waktu be*rak

Wednesday, January 30, 2008

..::APA KES::..

Apa significance cuti tahunan dibekukan dengan kehadiran pilihanraya yang tak tahu lagi bila?

Beku bukan dalam satu jangka masa terdekat, sebaliknya beku sehingga berakhirnya pilihanraya.

Bodoh sungguh bila difikirkan.

Tuesday, January 29, 2008

..::CAT::.

Hujung tahun lepas aku cat dinding rumah. Dinding sekangkang kera saja. Jadi satu tin 5 liter tu berbaki lagi hampir separuh.

Aku rasa nak bawa balik cat tu ke kampung. Nak cat dinding rumah kat mak. Lagipun cat yang ada dah kusam. Terakhir dinding tu dicat kalau tak salah aku tahun 2002 sebelum kenduri kakak aku yang nombor 7 . Sekarang dah tahun 2008. Anak mak yang nombor 8 dan nombor 10 pun dah kawin. Dah ada anak.

Cuma bila difikirkan semula, aku jadi serba salah sama ada mahu teruskan niat bawa balik cat itu atau tidak. Bimbang nanti niat mulia aku nak cat dinding disalah tafsir pula.

Friday, January 25, 2008

..::KIASAN::..

Kak T kerap telefon. Tadi tengahari pun dia ada telefon. Kata mak. Dan ayat tu diulang beberapa kali.

Mak, tau la aku jarang telefon kampung. Tapi tak payah la sebut banyak-banyak kali yang orang lain selalu telefon.

Mak gelak. Sebab dia tau ada orang sampaikan kat aku apa yang dia kata.





* Perbualan telah dialih bahasa
** Aku adalah kata ganti diri yang biasa dalam masyarakat kami

Friday, January 18, 2008

..::CARUT::..

Pada suatu malam ketika aku melepak dan ber'girls night' di rumah Daun.

Kau ni tak sesuai untuk cakap kasar dan mencarut. Daun tegur aku.

Sebab kau nampak terlalu baik untuk cakap macam tu. Sambung Daun lagi.

Wow!!

...Dan aku pun pakai baju kurung pergi pasar malam...

Thursday, January 17, 2008

..::BATIK::..



Mula-mula dulu Kerajaan suruh pakai batik setiap hari Sabtu. Tapi bila Sabtu sudah tidak menjadi hari bekerja, ia ditukar ke hari Khamis.

Tak lama lepas tu, keluar arahan supaya kakitangan Kerajaan pakai batik setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan. Arahan tu disambut dengan gembira. Kerana dalam setahun mungkin hanya beberapa kali sahaja 1 dan 15hb yang jatuh pada hari bekerja.

Tiba-tiba tak ada angin tak ada ribut 15hb Januari lepas dikeluarkan pula arahan pemakaian batik pada hari Khamis. Balik kepada arahan yang pernah dikeluarkan lebih setahun yang lalu.

Di Kementerian aku kerja, pemakaian batik jawa adalah dilarang sama sekali. Hanya batik Malaysia SAHAJA dibenarkan. Arahan Kerajaan pun macam tu juga sebenarnya. Ada yang merungut. Batik Malaysia bukannya murah. Mana mahu cari koleksi batik sebanyak itu untuk dipakai 4 kali dalam sebulan (jika tidak mahu mengulang pakai yang sama lah). Tapi nak buat macam mana, ikut sajalah. Ada orang kata Pak Lah rasa bersalah terhadap arwah isterinya yang dulu begitu gigih memperjuangkan batik Malaysia ni.

Dalam surat khabar harini ada yang memohon subsidi 2 pasang batik setiap orang. OOhh aku peduli apa. Dan aku tak kisah Kerajaan nak suruh pakai batik hari apa pun. Aku punya cukup (mungkin lebih) koleksi batik untuk dipakai 4 kali dalam sebulan selama 3 bulan tanpa perlu ulang pakai.


Lepas ni ramai la yang mula berniaga batik di pejabat-pejabat Kerajaan

Wednesday, January 16, 2008

..::K-Eight::..



Aku hanya mula baca K-Eight seminggu selepas Naga serahkan kepada aku. Itupun sebab malam tu TV tak ada rancangan yang menarik, lalu aku masuk bilik, baring atas katil dan meratah K-Eight.

Baca.. baca.. baca.. hayati setiap plot dan watak. Selami setiap inci perkataan.

Alamak! Seram la pulak. Tengok jam dah hampir 12.00 tengah malam..

Aku berhenti membaca pada cerpen Jigo. Tutup lampu dan pejam mata sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci.

Memohon agar aku tidak diganggu bayangan perempuan yang jatuh dari bangunan, atau bisikan-bisikan kepada 'bongek' memberitahu bahawa perempuan tu sudah mati ataupun jelmaan perempuan cantik tetapi penuh solekan darah yang menakutkan.

-----------------------

Aku habiskan baca K-8 waktu siang sebab aku dah seram nak baca waktu malam. Aku pernah duduk rumah flat. Aku pernah tengok orang jatuh dari flat tu dan tertiarap kat tepi longkang.

Bila baca himpunan cerpen dalam tu, satu-satu apa yang pernah aku lalui sepanjang 7 tahun menghuni rumah flat terimbas kembali. Walaupun tak ada uncle nyamuk, tak ada bobby atau Judge + Intan, tapi watak-watak lain seakan-akan ada dan pernah terjadi di persekitaran aku.

Aku suka K-8. Ada elemen humor, seram, kemasyarakatan, kekeluargaan, keagamaan dan perikemaknusiaan. Lengkap. Membacanya mencabar aku tentang penulisan. Walaupun ianya tidak semencabar aku membaca karya Faisal Tehrani. Membacanya juga mengimbau aku kepada realiti dan fantasi kehidupan.

Tahniah barisan penulis K-Eight. Aku akan ulang baca nanti untuk lebih menjiwai kisahnya.

Tuesday, January 15, 2008

..::MACAM BAWAH UMUR KE?::..

Malam minggu. Bandar Baru Bangi.

Alamak, Polis. Dalam hati. Tapi nak takut apa.. bukan ada salah pun.

Dari mana ni? Polis tanya sambil mata meliar membelek-belek aku kereta aku.

Minum-minum kat sana tu. Tunjuk restoran Limau Nipis kat seberang jalan.

Ada lesen ke ni? Eeerrkk musykil aku dengan soalan polis ni.

Ada. Kenapa? Nampak macam bawah umur ke saya ni?

Eeerrr.. Saya cuma jalankan tugas cik. Agak aku mungkin sebelum ni tak ada pemandu perempuan yang bersoal jawab dengan dia kot.

Ok. Habis ni nak lesen ke?

A'ah. Dengan IC sekali ye.

Aku hulur IC dan lesen. Polis beruniform biru belek-belek dokumen tu dan hulur kembali pada aku.

Mungkin dia berkata-kata dalam hati, huh aku ingatkan muda rupa-rupanya lagi tua daripada aku.

Ha ha ha..

Wednesday, January 09, 2008

..::KERANA CUTI::..

Sejak akhir-akhir ni banyak sangat cuti. Ada yang panjang. Ada yang pendek. Ada juga cuti yang bersambung sampai dua tahun.

Sesetengah orang suka bila tiba hari cuti. Macam-macam perancangan dibuat untuk mengisi masa yang ada. Tengok wayang, membeli belah, berkelah atau paling tidak duduk rumah tonton TV, membaca atau tidur saja.

Kerana terlalu banyak cuti sejak hujung tahun lepas hingga awal tahun ini membuatkan aku rasa malas sangat. Malas segala-galanya. Ditambah pula dengan cuaca yang suram-suram saja membuatkan mood malas semakin menjadi-jadi. Berbeza dengan kebanyakan orang yang bersemangat menempuh tahun baru.

Aku perlukan sesuatu untuk menempuh tahun baru ini dengan lebih... Ntah apa perkataan yang sesuai, aku tak jumpa.

Selamat Tahun Baru 1429H. Semoga aku dipertemukan dengannya.

Tuesday, January 08, 2008

..::PERIHAL MESIN BASUH::..

Aku dah cuba mesin basuh. Best tau. Malam cuci towel, pagi dah kering. Kawan aku yang baru dapat mesin basuh sebagai hadiah ulangtahun kelahiran bercerita gembira.

Waaah.. Tak payah la malas-malas lagi. Boleh basuh baju sambil tidur.

Tapi tekanan air kat rumah aku tak kuat la. Dia mengomel.

Haaa.. Apa kata hantar mesin basuh tu kat rumah aku? Tekanan air kat rumah aku tak de masalah. Kuat sangat. Aku berseloroh.

Eh, kau kan suka cuci baju pakai tangan? Sudah tukar ke? Ha ha ha.. Tahu aje kawan aku tu nak bidas.

Hmmm sudah tukar la.. Rasa macam best pulak.. Kawan-kawan lain pun semua ada mesin basuh.

Tapi takpe lah. Tak jadi beli. Aku nak cari suami yang dah ada mesin basuh lah.

Ha ha ha... kami gelak serentak..

Monday, January 07, 2008

..::KALA HUJAN LEBAT::..

Kau nak yang macam mana sebenarnya? Lelaki berambut afro di depan aku mula membebel. Cuba mengorek rahsia sambil memberi nasihat.

Ya. Walaupun dia lelaki tanpa perasaan. Tetapi dia sangat concern terhadap kami, perempuan-perempuan yang dia suka. Kata kawan aku yang kini berada jauh di selatan.

Apa kata kau susun motto ni. Hayati betul-betul.

"Bersekutu Bertambah Mutu"
"Usaha Tangga Kejayaan"
"Ilmu Suluh Hidup"

Memang kena sungguh dengan kau. Katanya lagi sambil menghirup koko panas.

Aku diam, senyum dan angguk-angguk tanda faham apa yang cuba disampaikan. Mulut lancar mengunyah santapan.

Kau ni macam Emily lah. Makan nasik tak mau. Tapi makan roti canai sampai 2 keping. Tegurnya.

Ha ha ha.

Tuesday, January 01, 2008

..::TAHUN BARU::..

"Apa azam tahun baru?"

Itu soalan lazim bila menjelang tahun baru. Ditanya juga tentang pencapaian azam yang telah dibuat pada awal tahun semasa.

Ada orang pada awal tahun, semangatnya berkobar-kobar berazam mahu itu mahu ini, nak begitu nak begini. Tapi sudahnya lain pula yang menjadi. Memang perkara begini sangat subjektif. Kita manusia biasa. Cuma mampu merancang dan berusaha. Yang Maha Kuasa menentukan segalanya. Dan sejauh mana usaha yang dibuat, terpulang pada diri sendiri. Lihat semula apa yang telah kita tempuh sepanjang tahun yang berlalu. Muhasabah diri dan cuba perbaiki apa yang pincang.

Semoga tahun baru ini bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan bakal berakhir dengan baik. InsyaAllah.

Selamat Tahun Baru 2008



p/s: adakah azam kita sama?

Saturday, December 29, 2007

..::GATHERING GENG JURNAL 2007::..



Tradisi diteruskan.. Namun kali ini dengan tema santai.. lawati laman web rasmi untuk maklumat lanjut.
..::AKU MAHU ITU SAJA::..

Hari ini, kawan-kawan aku adakan pertemuan. Pertemuan Halal Geng Jurnal. Kali pertama aku tak bersama-sama sejak mula menyertainya pada tahun 2004. Sedih juga. Ada kawan yang ntah bila lagi aku akan jumpa dia.

Cuma, aku tiada di tanah besar. Aku di Pulau Langkawi. Tahun depan baru kembali. Ooohh.. lama sungguh aku di sini.

Aku bukan bercuti. Aku belum mampu untuk membelanjakan duit-duit yang aku ada untuk pergi bercuti. Nanti. Bila ada duit TER-lebih. Baru aku mahu fikirkan semua itu.

Ada kursus di sini sebenarnya. Tapi bukan untuk aku. Aku urus setia. Ya. Setia berada di bilik urusetia. Sambil melayari internet secara percuma dan berfikir bagaimana aku mahu bawa balik 10pcs Corningware set yang aku nak sangat beli. Ya. Aku nak sangat memiliki set tu. Aku tak kisah dengan kegilaan orang lain tentang iPod atau Nokia NSeries atau gajet-gajet seumpamanya. Aku cuma mengidamkan Corningware. Bila lagi akan ada peluang macam ini. Halangan sekarang ini cuma macam mana mahu bawa balik kotak yang mungkin beratnya hampir separuh berat badan aku. Kata-kata semangat daripada seorang kawan "you'll find the way after you have it".

Hmmm ntah la. Nanti aku fikirkan lagi. Masa masih panjang. Sudah 4 hari aku di sini. Tahun depan baru kembali.

Untuk kamu aku belikan cokelat saja ya. Mmuuahhhsss.

Monday, December 17, 2007

..::NIDA, NODA DAN NADA DERING::..

Kata orang: Hanya Jauhari yang mengenal manikam.
Orang lain pula berkata: Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Itu beberapa perumpamaan yang merujuk kepada kepakaran seseorang dalam mengesan dan mengenal sesuatu.

Dalam dunia serba moden ni kadang-kadang perumpamaan sebegitu sudah tidak boleh diguna pakai. Manusia pandai bermuka-muka. Plastik. Tetapi dalam sesuatu perhubungan (lelaki dengan perempuan) terutamanya, kepincangan boleh dikesan dengan mudah melalui tabiat-tabiat yang selalu kita hadapi.

Saya tak bercakap mengenai orang lain. Saya bercakap mengenai diri saya sendiri. Apa yang pernah saya lalui. Dan ini kajian saya dengan seorang Jauhari mengenai senarai tabiat mengesan kecurangan pasangan anda.

1. Telefon diset kepada Silent Mode, bergetar sahaja bila SMS masuk. Anda tidak dapat teka bilangan SMS yang masuk.

2. Bila ada nada dering, panggilan tidak dijawab segera. Dibiarkan atau ditepis. Seolah-olah panggilan itu tidak penting.

3. Tidak membenarkan orang lain membelek telefon. Jika anda belek, dia akan marah menuduh anda tidak amanah atau cemburu.

4. Apabila menjawab telefon, dia bingkas bangun ke tempat lain. Tempat yang jauh dari capaian gegendang telinga anda.

5. Bila anda periksa log panggilan dalam telefon, anda dapati data panggilan telah didelete.

6. Bukan sahaja pesanan dalam inbox telah dipadam, dalam outbox juga telah terpadam. Setiap hari. Alasan: tidak cukup space.

7. Anda mendapati dia memiliki dua telefon bimbit. Satu untuk urusan kerja katanya.

8. Tidak berenggang dengan telefonnya. Sekejap-sekejap pandang telefon. Kemudian senyum sendiri.

9. Di dalam telefonnya ada folder rahsia dengan label yang tidak disangka. "Akaun: Contohnya." Cuba teka apa ada dalam folder ini?

10. Bila dia menjawab telefon, anda tahu dia berbohong. Contoh: Ketika makan di restoran dengan anda, di telefon dia kata sedang mesyuarat di pejabat. Mesti pandai temberang.

Pernah berlaku kepada anda? Berhati-hatilah dan carilah jalan penyelesaian. Kita punya kuasa untuk memilih dan memutuskannya.

Selamat berjaya!!

Friday, December 14, 2007

..::USAHA TANGGA KEJAYAAN::..

Semalam, adik ipar aku sms tanya ada tak resepi waffle. Katanya, laki dia suka makan waffle, jadi dia nak la cuba buat sendiri. Aku kata, resepi waffle aku kat pasaraya je. Ha ha ha

Tapi, memandangkan aku ni seorang kakak ipar yang baik hati dan mulia, maka aku pun google dan tanyalah kawan-kawan yang lebih pakar dalam bidang masakan. Jadi, dapat lah beberapa resepi.

Kepada laki adik ipar aku yang suka makan waffle tu, sila ambil resepi ini dan berikanlah kepada isteri anda untuk dicuba.

Resepi pertama:

Bahan-bahan
• 3 biji telur
• 3 cwan tepung(ayak)
• 1 1/2 cawan gula
• 1 1/4 butter/majerin
• 2 1/2 cawan susu
• 1-2 camca teh baking powder
• sedikit garam
• sedikit esen vanila

Cara:
1. Campurkan semua bahan dlm blender/mixer.
2. Blend sehingga nampak gelombang gelombang udara dalam adunan
3. Pastikan adunan tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
4. Panaskan waffle maker & sendukkan adunan tadi.
5. Serve with syrup or ice cream (atau apa-apa yang disukai)

Resepi kedua:

Ingredients:
• 1 3/4 cups Flour
• 2 teaspoons baking powder
• 1/2 teaspoon salt
• 1 tablespoon sugar
• 3 eggs - separated
• 1 1/2 cup milk
• 1/3 cup vegetable oil

Steps:
1. Sift dry ingredients in a bowl.
2. Beat egg whites until stiff.
3. Add egg yolks, milk & vegetable oil to dry ingredients - using a mixer, beat thoroughly.
4. Gently fold egg whites into batter.
5. For use in waffle iron - Follow manufacturer directions! Makes 3 - 4 round 9" waffles


p/s : Kalau boleh cuba la buat masa aku singgah nak hantar kerepek ubi perasa BBQ dan lada hitam yang dikirim.. jawooooh tu kirim...mengidam ka apa ntah. ha ha ha

Thursday, December 13, 2007

..::USAH BIARKAN::..

..usah biarkan
aku tergantung sendirian
begini..

Wednesday, December 12, 2007

Aku mengalirkan air mata.

Ada dua makna.

Air mata gembira dan air mata sedih.

Yang mana satu sebenar-benar puncanya

aku tak pasti.

..dan aku biarkan ia mengalir..

..sepuas-puasnya..

Sebelum ia lenyap ditelan masa..




p/s : kita masih sahabat kan?

Tuesday, December 11, 2007

..::MASAK-MASAK/MAKAN-MAKAN::..

Hujung minggu haritu masak mee bandung. Cubaan kali pertama. Buat macam nak bagi makan 10 orang. Tapi tak apa lah, kawan aku yang sorang tu pun dah makan 2 mangkuk sebab dia lapar sangat.



Minggu sebelum tu buat apple pie. Dah lama nak cuba tapi baru berkesempatan. Jangan tak percaya, 4 ketul tu aku sorang saja makan. Ha ha ha..



Ini pula hidangan untuk Adik Nett dan Adik Amyz yang singgah rumah lepas pergi menjamu mata di Cavenzi. Mujur la perjalanan balik kerja kakak Nida lancar je, jadi sempat la masak-masak. Dan bukan senang nak dapat makan dalam pinggan hijau tu, tetamu terpilih je tau. Ha ha ha..




p/s : lately ni tak berapa betul sikit..

Monday, December 10, 2007

..::KERJA GILA::..

Tak pernah aku buat kerja macam ni. Sakit pinggang okay. Hanya kerana kek.



p/s : ye lah.. aku tak punya seseorang yang boleh tolong beratur macam kawan aku ni

Friday, December 07, 2007

..::TONTON & BACA::..

Suatu ketika dulu
Boss terkejut bila aku beritahu
nak pergi menonton pertandingan akhir
gubahan lagu-lagu puisi di DBP

"Minat you dengan puisi ye?" tanya boss

hari ni
boss terkejut bila aku cakap
aku beli buku Faisal Tehrani
dan satu antologi cerpen
melalui ujanailmu

"Huh? Waaaa..." hanya itu yang keluar dari mulut boss

Aku agak mungkin sebab dia tak baca Berita Harian semalam. Dia ada seminar di luar. Boleh dimaafkan.

Atau mungkin selama ni dia agak aku baca Wira Tunggal, Dewa Naga atau URTV dan Mangga?

Ha ha ha..

Thursday, December 06, 2007

Lebih 100 penonton khusyuk menyaksikan Baca Naskhah Sindiket Sol-jah di Rumah Pena

SUARA wanita yang mengisi setiap ruang Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, ketika berlangsungnya Baca Naskhah Sindiket Sol-jah dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka (Maskara) V, baru-baru ini, memegunkan lebih 100 khalayak sehingga ke akhir acara.

Baca di sini untuk berita penuh.

Ada gambar lelaki-lelaki yang memberi sokongan kepada wanita.. Ha ha ha..

Juga ada laporan dalam
UTUSAN

Wednesday, December 05, 2007

Fiksi : Salahkah?

"Ye ke.. Mesti dulu pakwe pun ramai ni.." Adiff membalas.

Argh! Lelaki ni silap menduga. Potong stim saja.

Sebetulnya, diakah yang cepat terasa atau Adiff yang lebih dahulu berasa?

Asal sebut jiwang, mesti dikaitkan dengan punya ramai teman lelaki. Eh, pernah dengar ke lelaki yang cair dengan puisi-puisi daripada wanita? Pernah ke? Dituduh mengada-ngada adalah.

Potong stim sungguh.


**********

"Awak kat mana ni?" Adiff memulakan bicara. Setelah 4 hari membisu.

"Saya kat rumah PENA. Baca sajak malam ni. Datang la sini tengok." Jawab dia ceria. Suka bila Adiff telefon.

Ah, dia saja yang merajuk tak kena gaya, sedangkan Adiff tak apa-apa pun. Gerutu sendiri di dalam hati.

"Tak boleh la awak, saya tengah kerja ni ada show. Waaa.. Minat sajak rupanya.. Puitis jugak awak ni." Balas Adiff dalam tawa.

"Ha ha ha.. Banyak lagi yang awak belum tahu pasal saya. Bukan setakat puitis, jiwang karat pun boleh jadi." Pintasnya sambil mahu menceritakan sedikit kelebihan diri.

"Kalau macam tu bacalah sajak untuk saya" Adiff membuat permintaan.

"Saya memang ada sajak yang sesuai ditujukan untuk awak. Dah lama saya tulis, tahun 2004 dulu lagi. Tapi baru sekarang rasa relevan. Nanti kita jumpa saya bagi." Dia bercerita dengan penuh semangat. Mahu Adiff teruja asalnya. Tak sangka pula jawapan Adiff membuatkan dia terkedu dan mahu menjerit saja.

Talian diputuskan seketika kemudian. Hati rasa sebal. Merajuk. Lagi?

Arrggh!! Sudah la dapat jumpa pun sebulan 3 kali sahaja. Itu pun kerana tuntutan kerja, sekadar berbalas sms dari jauh, peluang bercakap sesama sendiri belum tentu ada. Dia dengan kerjanya, Adiff dengan kerjanya. Hujung minggu juga begitu, jika tidak dia yang bekerja, Adiff pula bekerja hingga lewat malam. Susah juga bila difikirkan. Cuma mungkin kelebihan, dia dan Adiff sudah tahu bagaimana persekitaran kerja masing-masing.

Teringat pula kejadian di awal minggu. Puncanya, pertanyaan dan jawapan pendek sms daripada Adiff membuatkan dia berjuah hati. Memang betul pun dia yang mengganggu Adiff sedang memandu mahu berjumpa kawan-kawan lamanya ketika menuntut dulu. Dia saja yang tak mahu memahami. Kemudian merajuk sendiri. Padan muka juga jika Adiff tidak menghubunginya.

Hmm.. Dia mengeluh seketika. Mungkin betul kata temannya. Dia ni cepat sangat tersentap.

Tuesday, December 04, 2007

..::KAMU dan AKU::..

Aku pernah menulis tentang ini suatu ketika dulu.

Hari ni kakak aku sms bagitau yang dia terkejut si lelaki-teman-berutus-surat-aku-dulu bertunang dengan kawan sekolah.

Aku kata tak hairan lah kerana dulu sewaktu kami berutus surat pun dia dah ada teman. Cuma terputus hubungan bila temannya cemburukan hubungan kami.

Kakak aku kata lagi, temannya yang cemburu-cemburu dulu pun tak dapat. Dia bertunang dengan orang lain. Tinggal dekat-dekat kampung kami dan satu sekolah rendah dengan kami. Tapi tidak satu kelas dengan aku dan si lelaki waktu sekolah menengah dulu. Katanya dah berkawan sejak sekolah lagi.

Oohh.. Apakah?

Ok siapa lagi? Aku bagi pilihan A - D. Senaraikan beberapa nama teman sekolah rendah yang aku pasti belum berkahwin.

Dan kakak aku seronok bila dia rasa aku juga terkejut. Tekaan aku pada pilihan B mengena.

Wow!! Ok. Tahniah dan jangan lupa jemput aku bila kamu berdua nak kenduri nanti.



//Amyz kata aku easily sentap. Eeerr.. Sentap ke aku?

Sunday, December 02, 2007

..::MASKARA 5 - MALAM PEREMPUAN-PEREMPUAN::..



Jangan ingat kelab malam atau panggung wayang saja yang ada Ladies Nite. Kami pun ada. Jadi marilah sama-sama meramaikan majlis sambil menghayati santapan halwa telinga dan menikmati pemandangan indah ciptaan Allah. Anda pasti mencapai kepuasan.

~~~~~~~~~~~~~


Malam Perempuan-Perempuan yang memang hebat!! Superb!!
Kehadiran melebihi biasa. Penuh! Bak kata Ummu Hani, tak pernah dia lihat rumah PENA sepenuh ini. Makanan & minuman yang disediakan juga habis tak sampai 10 minit masa rehat berlalu. Ha ha ha.

Ya, inilah penangan perempuan-perempuan. Hinggakan lelaki-lelaki tidak boleh duduk diam lalu memonopoli sesi 'open-mic'. Mereka juga mahu mendedikasikan sesuatu untuk perempuan-perempuan yang ada di sekeliling.

Walaupun MASKARA 5 ini tamatnya lebih lewat daripada sesi MASKARA sebelum-sebelum ini, tetapi semuanya senyum kepuasan. TERIMA KASIH kepada semua yang datang memberi sokongan. Terima kasih kepada Darekampo kerana mengizinkan karyanya aku baca dalam MASKARA.

MASKARA 5 cipta sejarah dan penutup yang indah untuk MASKARA 2007. Jumpa lagi MASKARA akan datang pada Februari 2008.

Laporan daripada perempuan di sini
Laporan daripada lelaki di sini
dan
gambar cantik daripada perempuan di sini
gambar cantik daripada lelaki di sini

Friday, November 30, 2007

Siri mahu menjadi ala-ala Martha Steward dan Cheff Wan.

Kawan aku buat blueberry cheesecake. Aku rasa hebatnya. Sungguh. Sehari sebelum tu dia buat kuih nagasari. Dapat pujian daripada teman serumahnya yang selama ni selalu saja komen ketidak sempurnaan hasil masakannya.

Aku tanya kenapa minggu ni dia ala-ala Martha Steward?

Katanya, kalau dia masak sardin saja mesti aku tak rasa hebat pun. Nampak hebat hanya kerana blueberry cheesecake. Ha ha ha.

"Yang kau masak ala-ala Cheff Wan tu, aku tak bising pun." Katanya.

Ha ha ha.. Mana ada. Aku masak campak-campak saja. Tak merasa pulak tu. Tapi ya, hasilnya sedap. (Siri puji diri sendiri juga)

Kami ketawa.. dan kemudian sama-sama setuju bahawa memasak juga merupakan satu terapi.

Thursday, November 29, 2007

Suami orang yang janggutnya hanyalah kosmetik itu telefon aku.

dan aku rasa macam nak pengsan.

ha ha ha..

Keji saja..

Wednesday, November 28, 2007

..::WARNA::..

Aku moody hari ni. Ada saja perkara yang membuatkan aku rasa naik angin dan emosi. Sampaikan boss pun kena tempias. Bukan aku marahkan boss. Tapi aku marahkan orang yang ntah apa-apa dengan boss.

Kemudian menjelang petang, kepala aku sakit. Aku rasa mahu balik rumah dan berehat sahaja.

Mungkin ada pengaruh dengan warna. Macam yang aku jumpa dalam artikel ni

"Psikologi yang mengkhususkan diri membahas pengaruh warna, Patricia Szczerba, menyarankan untuk memilih warna-warna yang tepat untuk mengendalikan perasaan kita. Jika sedang marah, tegas, atau cemas yang berlebihan, sebaiknya kita memilih warna-warna netral dan warna-warna muda (biru muda, hijau muda) yang dapat memberikan ketenangan, dan menghindari warna merah, yang dapat meningkatkan kecemasan. Jika sedang pada titik emosi terendah (depresi, sedih), hindari warna-warna gelap dan tua (hitam, biru tua) yang bisa menyebabkan kita merasa lebih tenggelam dalam kesedihan, dan kelilingi diri kita dengan warna-warna cerah yang membawa keceriaan."

Hmm.. Aku pakai hitam dan kelabu hari ni.

Friday, November 23, 2007

Aku rasa berguni-guni sumpahan kamu terima hari ini.

Ada ke patut buat sekatan jalan raya ketika waktu puncak.

Orang sibuk nak pergi pejabat, dia pula sibuk buat halangan.

****************


Rasanya hujung minggu ni bakal jadi macam 2 minggu lepas.

Sekatan jalan raya di sana sini. Kesesakan melampaui batas.

Mujur hujung minggu ni tak ada kerja lebih masa.

Jadi baik aku duduk rumah saja.

Wednesday, November 21, 2007

"Weh, haritu hang kata aku kena saman, berapa lebih had laju?" Aku memulakan soalan kepada si Peguam

"90km/j" jawab Si Peguam ringkas.

"Huh!! Lebih banyak tu ja? Hari-hari aku bawak keta 100 km/j. Apa kelas bawak 80km/j je kat highway Seremban - KL." Aku mempertahankan diri.

"Hang jawab la macam tu kat Majistret." Kata si Peguam.

"Dah aku balik kerja pun pukul 11.00 - 12.00 malam, apa barang nak bawak 80km/j ja." Aku masih mempertahankan hujah.

"Woho.. Kalau aku yang jadi Majistret aku sumbat hang dalam lokap 3 hari." Si Peguam cuba menakutkan aku.

Hmmmmm..

Aku kena saman. Pertama kali dalam sejarah aku bawa kereta. Memandu melebihi had laju di Lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur.

RM300.00 jumlahnya. Tak boleh kurang ke?

Tuesday, November 20, 2007

..::PRIHATIN, PERHATIAN DAN PEREMPUAN::..

Kalau kamu dah pakai baju tu pada hari Jumaat semasa photo-shoot, kemudian kamu pakai semula pada hari Isnin, jangan ingat tak ada orang yang sedar. Aku sedar.

Kalau kamu dah pakai baju tu pada majlis malam Ahad lepas, kemudian kamu pakai semula hari ini, jangan ingat tak ada orang yang tahu. Aku tahu.

Dan tentu aku rasa kamu tak cuci baju tu. Kan?

Terus terang aku katakan, aku memang prihatin tentang pakaian. Bukan kerana aku ada stok baju yang boleh dipakai selama 3 bulan tanpa mengulang satu pun. Tetapi kerana penampilan kita juga menjadi perhatian orang sekeliling.

Mungkin mereka rasa tak kisah. Kamu wanita yang sudah berumahtangga serta beranak pinak dan kamu lelaki yang sudah bertunang. Jadi, tak peduli tentang perhatian kerana kamu tidak ada niat tersembunyi pun mahu menarik perhatian sesiapa. Cuma pada pendapat aku, walaupun kamu tak ada niat tersembunyi itu, tapi tetap nak ulang baju dalam tempoh yang terdekat pakai la untuk acara lain atau jumpa orang lain yang kamu tak jumpa sebelum ni. Atau kalau nak pakai juga ke pejabat, pakai la selang seminggu. Kerana kamu tak tahu berapa ramai orang seperti aku yang menyedari kamu memakai semula baju 2 hari lepas, ada di luar sana. Daripada terperangkap lebih baik berhati-hati.

Di samping itu, aku rasa rata-rata perempuan (yang bujang pastinya), amat mementingkan penampilan. Mahu sentiasa kelihatan menarik. Terutama sekali bila bertemu dengan seseorang yang istimewa atau ke tempat di mana seseorang yang berpotensi bekerja. Ha ha ha.. OOhh.. itu pendapat aku. Kalau kamu tak setuju, tidak mengapa. Aku bercakap tentang diri aku sendiri, wanita yang dress to impress. Kalau tidak, masakan aku sanggup gosok 4 pasang baju batik (termasuk 2 yang baru sekali dipakai semasa raya) untuk aku pakai sepanjang minggu ini.

lalalalala...

Monday, November 19, 2007

..::TAK FAHAM::..

Hmm kadang-kadang aku tak faham kenapa dia boleh naik pangkat? Gelaran jawatan dia ada perkataan 'Tinggi' pulak tu.

Tapi benda mudah seperti exam, sah jawatan dan sebagainya pun boleh keliru, atau lebih tepat tak tahu lah.

Kenapa tidak. Minggu lepas dia tanya sama ada aku dah sit exam khas (syarat sah jawatan) untuk jawatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan).

Dan jawapan aku mudah. "Kak, saya dah 7 tahun servis. Saya dah ambil PTK 2, tak kan la saya tak ambil exam tu lagi. Lagipun saya dapat pengecualian sebab ada Diploma Kesetiausahaan."

"ooo.. ye ke.. tak ada la.. saja tanya mana tahu kot-kot tak ambil lagi" Jawab dia.

Ya ampun.. Nak saja aku jawab balik "Rasanya baik kita tukar tempat lah kalau macam tu."

Tak faham aku.

Friday, November 16, 2007

Lihat kawan-kawan yang dok bising aku kurus tu, semalam aku makan nasi.. (selepas 2 hari aku tak sentuh sebutir nasi pun)..



Sampai rumah seawal jam 6.00 petang membuatkan hati aku berkobar-kobar untuk masak.. Di samping aku memang lapar pun. Berwarna-warni je hidangan aku tu kan.. Bukan itu saja, ia lengkap dengan buah dan sayur-sayuran juga.

Dan seperti biasa bila makan, aku selalu tertanya-tanya dalam diri sendiri, "kenapa lah apa yang aku masak ni sentiasa sedap walaupun aku campak-campak je tanpa merasa garam dan gulanya.." Ha ha ha..

Kenapa, tak percaya?

Thursday, November 15, 2007

Hari ni keputusan UPSR diumumkan. Aku ada 3 anak saudara yang menduduki UPSR tahun ni.

Alhamdulillah, keputusannya baik-baik belaka. Walaupun yang 2 orang tu tak dapat 4A dan dapat B untuk Sains lalu menangisi keputusan yang diperolehi, itu dah cukup cemerlang. Tak apa.. Baru UPSR.

Tak semua yang dapat keputusan cemerlang masa UPSR jadi orang di kemudian hari. Yang penting tekad dalam diri sendiri.

Aku sendiri tak dapat keputusan cemerlang pun dalam UPSR. PMR aku bukannya keputusan yang membanggakan pun. Tapi mungkin kerana aku di antara pelajar yang popular di sekolah, jadi malu la kalau tak dapat keputusan yang baik kan? ha ha ha.. dan mungkin juga sebab aku ada cita-cita yang besar.. Dulu.. Jadi, motivasikan diri sendiri la untuk menghadapi SPM dengan keputusan baik, sambung belajar dan cuba juga kejar cita-cita yang diimpikan. Walaupun tak tercapai apa yang aku citakan, tapi aku terjun ke bidang lain dengan jayanya dan boleh berbangga dengan diri aku hari ini.

Pokoknya, tak semestinya bermula dengan biasa kita tak boleh mengakhirinya dengan cemerlang.. dan tak semestinya bermula dengan cemerlang tu pengakhirannya kecemerlangan juga.. Cuma, kalau dapat kekalkan kecemerlangan dari awal sehingga akhir itu adalah sebaik-baiknya.

Tahniah untuk anak-anak saudara aku yang menangis sebab tak dapat 5A dalam UPSR. Aku bangga dengan korang. (Bukan macam anak saudara Kimi yang nak kena buang sekolah tu, tapi buleh selamba je.. ha ha ha)
I

Minggu bosan. Tak tahu kenapa. Mungkin post-menstrual-syndrome. Ade ke?


II

Aku bermain dengan Picasa untuk hilangkan rasa bosan. Hasilnya aku ada beberapa collage yang comel.. dan aku sangat suka.. ha ha ha.. sekarang jadi wallpaper baru aku..


III

Pelajaran baru hari ini. Walaupun PC itu pakai Windows Vista, tapi kalau dokumen yang kita buka itu disimpan di dalam external hard disk, ia mobile.. Bawa sajalah benda tu dan pasang di PC sendiri. Ha ha ha..


IV

Ok. Jika kita rancang perjalanan dengan baik, mesti kita tidak akan tersangkut di dalam kesesakan lalulintas yang teruk akibat penutupan terowong SMART. Aku suka bila aku tahu jalan-jalan alternatif di sekitar Lembah Kelang ni.


V

Pagi tadi dengar dalam radio. Ustaz Wan Sohor Bani Leman kata kita ni bukan saja setakat nak mengangkasakan masyarakat, tetapi kena la mengakhiratkan masyarakat juga. Jika program mengakhiratkan masyarakat tu berjaya, bukan setakat mengangkasakan, lebih daripada itu pun insyaAllah tak ada masalah.


VI

Ok aku nak sambung kerja dan bermain-main dengan Picasa. Nanti aku upload collage tu dalam blog yach!!

Wednesday, November 14, 2007

Pagi ini, aku tersedar

yang aku perlu berkorban lagi..

untuk kepuasan diri

dan kesempurnaan hidup..

Friday, November 09, 2007

Dalam hidup ni

untuk dapat apa yang diinginkan

kita perlukan sedikit pengorbanan

dan

usah takut untuk berkorban..

namun harus berhati-hati

agar kita tidak terkorban

kemudian nanti..

Thursday, November 08, 2007

Aku dapat anak saudara lagi..

Yang ke 3 dalam tahun ni..

dan yang ke 31 dalam keluarga..

mungkin dua - tiga tahun lagi aku akan dapat cucu pula..

siapa tahu..

Wednesday, November 07, 2007

Apakah harga nyawa itu setara dengan harga set pinggan mangkuk berjenama, bila ada seorang isteri yang sanggup mahu membunuh diri kerana keinginan untuk memiliki set itu tidak dipenuhi oleh suami?

Hmmm.. perempuan.. perempuan.. umur masih muda.. 22 tahun.. Kalau kau gunakan masa yang ada tu bekerja dan ada pendapatan sendiri, bukan setakat satu set pinggan mangkuk kau boleh beli, 5 - 6 set pun kau mampu, tanpa membebankan suami. Lain lah kalau kau berkahwin dengan seorang peguam yang mampu bawa kau ke pasaraya setiap malam.

Kasihan pada suami yang bekerja sendiri. Mungkin dalam solatnya, dia sentiasa berdoa kepada Allah mohon diberi rezeki lebih agar dapat memenuhi permintaan isteri yang dikasihi. Tetapi, balik dari solat Isya' di masjid, tengok isteri dah pengsan kerana mengambil racun tikus akibat kecewa.

Kasihan. Pendek sungguh akal. Kalau Allah tak beri peluang dan dia mati ketika itu, betapa ruginya dia. Set pinggan tak dapat. Mati pula dalam kemurkaan Allah. Sia-sia sahaja.

Tapi dalam dunia ni memang macam-macam perkara boleh berlaku. "rambut sama hitam, tapi hati lain-lain". Memang klise. Tapi itu benar. Tak semua orang berfikir perkara yang sama. Tak semua orang buat pertimbangan sebelum bertindak. Kerana sekarang ini rambut orang dah bermacam-macam warna...

Tuesday, November 06, 2007

Kalau Salina,
Jual kamera Nikon DSLR
untuk ditukarkan dengan mesin basuh

Aku?
Apa yang nak dijual
untuk gantikan handphone yang dah nazak?

Hu hu hu

Monday, November 05, 2007

..Sesungguhnya..

menangis itu..

melegakan..

Sunday, November 04, 2007

Kamu tahu tak yang memenuhi undangan tu wajib?

Saturday, November 03, 2007

Kakak aku cadangkan supaya aku menyertai rancangan Cari Menantu Musim Ke-2..
Katanya, kalau menang boleh bersanding di PICC.

WOW!!

Tapi tergamak ke aku nak pergi uji bakat? dan layak ke pun aku ni.

Ha ha ha..



* Awak nak pergi audition dengan saya tak?

Thursday, November 01, 2007

Bila aku mula menolak ajakan teman-teman untuk minum-minum dan lepak-lepak selepas waktu kerja, aku terfikir apakah sekarang aku menjadi seorang anti social?

Bila aku mula menolak ajakan teman-teman untuk keluar berjalan-jalan (menghabiskan masa/duit) di gedung membeli-belah, aku terfikir pula apakah aku mengalami middle age crisis tahap tinggi?

Sejujurnya sekarang ini aku lebih suka menghabiskan masa di rumah dan yakin bahawa frasa Home Sweet Home itu adalah benar..


* Jangan risau kawan.. aku masih bersosial dengan kamu kan?

Wednesday, October 31, 2007

Puan M to me : Dah berbicara pasal hati dan perasaan ke?

Me to Puan M : Ish, awal sangat lagi. Nantilah dulu.

Puan M to me : Hmm.. ya la.. kayuh pelan-pelan..


Eeerrr.. Aku tak naik sampan ye. Aku naik kereta. Tapi ini kereta baru. Kena jaga baik-baik. Kalau kereta lama pun, bila dah start enjin tetap tak boleh terus ke gear 5. Mati nanti enjinnya. Dah fitrah, ia tetap kena mula satu persatu.

Itu perumpamaan bagi aku yang bawa kereta manual. Bagi mereka yang bawa kereta automatik aku tak pasti macam mana pula. Mungkin boleh terus speed?

Thursday, October 25, 2007

Bila kita rasa satu perkara tu sudah tidak berapa nak sesuai dengan jiwa dan usia kita, tiada lagi keikhlasan dan kegembiraan untuk melakukannya.

Atau sebetulnya aku memang sudah jemu benar untuk berada di sini?

Wednesday, October 24, 2007

Tak perlu sentap-sentap ye kawan

Kau tetap berada dalam senarai 5 teratas

Walaupun telah muncul orang lain dalam hidup aku kini

Kerana dia berada dalam kelas yang tersendiri

Tuesday, October 23, 2007

Berkumpul ramai-ramai sempena musim cuti perayaan.

OOhh. Aku sudah punya anak saudara yang kelihatan seperti adik-adik kepadaku.

Yang lelaki sudah bekerja. Mungkin bila dah stabil, mereka akan terkeluar daripada senarai penerima duit raya. Tapi ada tambahan lain pula.

Yang perempuan pula sudah dapat lampu kuning rupanya. Maklum la setahun saja lagi nak habis belajar. Yang sorang tu pun gaya-gayanya macam lampu dok lip lap je.

Hmmm.. Macam ni Cuda kena la tambah 'kuasa' bagi lampu yang suram tu menyala terang menderang. Ha ha ha..

Monday, October 22, 2007

OK. Biarkan mereka nak tanya apa saja soalan yang mereka suka. Aku tahu mereka tak akan jemu. Sebagaimana aku tak jemu dan gembira untuk menjawab soalan mereka.

Sekurang-kurangnya aku puas hati. 10 hari cuti raya, dapat aku habiskan sepenuhnya di rumah. Di kampung yang aku jarang-jarang sekali balik.

Thursday, October 11, 2007

Di kesempatan ini

saya ingin mengucapkan

Selamat Hari Raya

Maaf Zahir dan Batin

Kepada semua pembaca blog ini

Terutama sekali kepada teman-teman yang pernah bersama-sama susah payah mengharungi liku-liku hidup ini

Mohon dihalalkan segala makan minum dan maafkan segala keterlajuran perbuatan serta perkataan yang pernah berlaku

Jika ada kelapangan jemput la datang beraya ke rumah saya

Wednesday, October 10, 2007

Iklan TV keluaran Petronas memang selalu memberi kesan kepada penonton. Kalau tidak masakan dalam kad jemputan untuk A Screening of PETRONAS Popular TV Commercials yang diterima bulan lepas tertulis satu nota "kertas tisu tidak disediakan" kerana mereka yakin pasti ada di antara penonton yang bakal mengalirkan air mata. Terutama sekali apabila menonton iklan sempena hari raya.

Ya. Petronas tidak pernah gagal menyentuh jiwa penonton untuk iklan rayanya. Pertama kali aku menonton iklan raya Petronas tahun ini, aku rasa sebak. Ditambah pula dengan lagu yang melatari paparan adegannya. Alunan bait-bait lirik "ayah dan ibu... ayah dan ibu.. itulah permulaan kami.. dapat melihat bulan dan matahari..aaa.." sungguh meruntun jiwa. Terbuai seketika. Terkenang kisah lama.

Dan rasa aku ini anak yang tidak cukup berbakti kepada kedua orang tua bila kini yang tinggal hanya seorang ibu di kampung.

Tuesday, October 09, 2007

Lupakan seketika diet dengan makan spaghetti dan puding buah sambil menonton siri CSI selepas jam 12 malam. Nikmatnya.

Gadis A dan Gadis B kata aku mengalami sindrom Bolemia Nervosa. Tak.. Aku bukan macam tu. Aku bukan sengaja muntahkan makanan. Tapi makanan tu yang nak keluar balik bila dia rasa macam dah tak ada ruang nak duduk dalam perut aku.

Adik aku pula kata aku paranoid bila mengelak untuk menjamah daging dalam hari yang berturut-turut dengan alasan daging mengambil masa 3 hari untuk dihadamkan.

Hasilnya berat badan turun mendadak sebanyak 5kg. dan jeans yang dijadikan benchmark sudah boleh dipakai dengan selesa. (atau mungkin terlebih selesa kerana aku perlu mengenakan tali pinggang pula)

Sebenarnya aku tidak mahu berat badan turun sebaliknya aku mahu mengurangkan lebihan-lebihan yang ada pada tempat yang tidak sepatutnya. Tak apa lah. Lepas raya aku akan berusaha mendapatkan kembali berat badan yang telah hilang. Mungkin juga aku akan mula bersenam dan bersukan kerana aku sudah temui teman yang boleh diajak melakukan aktiviti itu bersama-sama.. ha ha ha..

Saturday, October 06, 2007

Ntah apa-apa ntah

dah dua kali terjadi

tak tahu kenapa

aku nak cuci muka sebenarnya

tapi aku pergi tuang shower cream

membazir saja

Friday, October 05, 2007

..::HUBUNG::..

Berhubung dengan teman-teman seperjuangan ketika menuntut melalui e-mail.

Jarang sangat ketemu. Banyak cerita baru.

Dan yang paling penting ramai yang dah tambah ahli keluarga baru rupanya.

Tak terkejar lah macam ni.

Thursday, October 04, 2007

Hey, kalau pun kamu tidak boleh berpuasa

jangan la bancuh 'Nescafe' dan minum di cubicle

Wednesday, October 03, 2007

OK

Tiba-tiba aku rasa nak pergi kursus

.....

....

...

..

.

Kursus Pra-Perkahwinan dalam Islam

Tuesday, October 02, 2007

..::MABUK::..

Islam mengharamkan meminum minuman yang memabukkan.

Kerana ia boleh menjadi punca kepada kemungkaran lain yang dilarang dalam Islam.

Jatuh cinta juga sesuatu yang memabukkan.

Kerana ia juga boleh menjadi punca kepada perkara-perkara mungkar dan dilarang dalam Islam.

Jadi, berhati-hatilah.

Monday, October 01, 2007

Jika orang bertanya
hari apa yang paling aku suka
dalam seminggu

Aku akan jawab
Jumaat

Sebab hari Jumaat ialah hari yang paling best