Tuesday, August 19, 2008

..::AKU - SATU TRANSFORMASI::..

Bercerita dengan seseorang. Yang tua banyak daripada aku. Tentang zaman-zaman muda. Zaman remaja. Zaman persekolahan. Kami bertukar-tukar gambar.

Ini daripada aku.



Gambar kiri ketika aku umur setahun. Yang kanan tu aku berumur 3 tahun. Sekitar November 1982.

Kawan aku tanya kenapa masa kecil, aku nampak besar. Aku tak ada jawapan untuk itu. Mungkin kerana masa tu adik aku baru pandai meniarap. Jadi saingan belum ada.

Ini pula sekitar tahun 1990. Aku darjah 5. Wajah yang sungguh berkarat. Maklum sajalah. Hobi ketika itu ialah berkubang. Air pili belum wujud. Di kampung aku.



Wah! Bergaya macam orang berumur 25. Ha ha ha. Sila salahkan majalah yang menjadi pengaruh.

Gambar dengan uniform sekolah ni masa aku tingkatan 1. Buat lawatan ke Stadium Ipoh. Apa motif aku tak pasti. Mujur. Gambar di tepi kolam. Bukan dalam kolam. Kali ini aku sudah pandai. Tidak terpengaruh dengan gaya artis dalam majalah.



Nampak tinggi pula kan? Ha ha ha. Itu teknik fotografi namanya.

Dan ini gambar si manis 17. Zaman belajar di Poly PD. Tahun 1997. Petang-petang atau hujung minggu pergi lepak tepi pantai. Wajah dah bertambah ayu. Maklum la sudah pandai pakai krim pelembap yang ada UV protection.



Tahun 2002, November. Nampak perubahan ketara. Penampilan yang lebih matang gitu. Walaupun baru awal 20-an. Maklum la dah 2 tahun bekerja. Gambar ini sangat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua.



Dan ini di antara foto terbaru aku. Sewaktu majlis akad nikah Daun. Foto ini juga amat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua. Ha ha ha.



Melihat gambar-gambar dari tahun 1980 - 2008. Ada kawan yang berkata tiada perubahan ketara pun. Adakah aku awet muda? Atau aku cepat tua?

Ha ha ha

Monday, August 18, 2008

..::RESEPI II::..

Ini permintaan Cik Adik yang bernama Atiqah Nasir.

Resepi ini pun saya dapat daripada kawan. Dan kerana saya percaya bahawa kelazatan masakan bukan terletak pada bahan-bahan rahsia. Tetapi pada keihlasan dan kasih sayang yang kita curahkan dalam setiap masakan. Maka saya tidak takut untuk berkongsi resepi dengan semua.

Hidangan kali ini ialah Apple Pie. Cadangan hidangan 4 - 6 orang.

BAHAN-BAHAN SOS:



* 2 biji epal ( dikupas kulit dan dipotong dadu)
* 1/3 cawan gula (boleh kurangkan jika tak mahu terlalu manis kerana epal sudah punya rasa manisnya sendiri)
* 1/2 susu teh serbuk kulit kayu manis (ini pun terpulang pada citarasa)
* Sedikit tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
* Kulit pastry (boleh dapat di pasaraya seperti TESCO atau Cold Storage)

CARA-CARA :



* Campurkan semua bahan : epal, gula dan serbuk kulit kayu manis.
* Masak di atas api sederhana sehingga empuk
* Campurkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
* Isi sos dalam pastry dan tekan keliling dengan garfu untuk lekatkan



* Simpan selama lebih kurang 15 minit di dalam freezer
* Goreng dengan api sederhana

Dan inilah hasilnya.



Perhatian :

Anda perlu berhati-hati ketika makan kerana sos di dalam sangat panas. Bibir anda mungkin melecur.

Selamat mencuba.
..::TAK NAK!!::..

Nampak gayanya, kempen Tak Nak begitu berkesan.

Berkesan kepada atlit Malaysia ke sukan Olimpik.

Mereka semua kelihatannya tak nak dengan wang sejuta yang ditawarkan sebagai ganjaran jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Dan. Pada pendapat aku, pihak yang menawarkan juga tahu. Ini adalah satu misi mustahil. Sebab itu mereka berani membuat tawaran.

Thursday, August 14, 2008

..::KEHILANGAN::..

Minggu ni. Aku mengalami 2 kali kehilangan.

Hari Sabtu lepas. Aku kehilangan kunci kereta.

Pagi ni pula. Aku kehilangan eye drops.

Kedua-duanya adalah benda penting yang aku cuma simpan dalam beg tangan. Tidak di tempat lain.

Kalau kawan-kawan rapat aku. Terutamanya Cik Puan Daun, tentu tak percaya aku akan mengalami kehilangan seperti itu. Kerana katanya, aku adalah seorang yang very-the-organized-person.

Oh. Tak perlu risau. Aku dah jumpa di mana sebenarnya kunci kereta itu. Ha ha ha. Allah hijabkan pandangan aku. Walaupun, aku dah cari di tempat berkenaan.

Eye drops pula aku dah beli yang baru masa singgah isi minyak pagi tadi. Aku PALING dan SANGAT sensitif dengan virus sakit mata. Jadi, eye drops perlu ada setiap masa.

Dan. Aku perlukan sedikit ruang.

Wednesday, August 13, 2008

..::BUJANG VS BAHAGIA::..

"Satu kajian terbaru menyanggah kepercayaan ramai apabila mengesahkan golongan bujang yang ada kerjaya dan memiliki kewangan yang kukuh adalah kelompok masyarakat paling tidak bahagia berbanding mereka yang berumahtangga serta warga tua.

Golongan lain termasuk pasangan atau ibu dan bapa tunggal yang bekerja, mempunyai anak dan tertekan tetapi masih bahagia.

Namun, berbanding semua, kelompok bujang yang sihat, bekerjaya dan faktor kewangan yang kukuh terbukti paling tidak gembira."


Ha ha ha..

Untuk Cida, Nett, Salina dan kawan-kawan seangkatan ku, jangan risau. Kajian ini tidak dilakukan di Malaysia. Sebaliknya ia adalah kajian di Canberra.

Sebab pada pendapat aku, di Malaysia kelihatan golongan bujang, bekerjaya dan punya sumber kewangan kukuh lebih bahagia daripada sesetengah golongan yang berumahtangga.

Oh, ini cuma pendapat aku. Golongan yang sudah berumahtangga tak perlu melenting. Ya tak perlu melenting jika kamu bahagia dan jika ia tiada kena mengena dengan kamu.

Baca berita penuh di sini.

Dan untuk Cida lagi. Cerita kau pasal soalan budus hadiah birthday tu buat aku sentap la. Tapi rasa kelakar.. Ha ha ha..

Monday, August 11, 2008

..::RESEPI::..

Entry ini adalah permintaan seorang kawan yang tinggal di seberang laut.

Ceritanya begini. Hari Ahad 2 minggu lepas. Sedang aku enak bercanda di Mid Valley, dia hantar sms. Minta resepi begedel. Aku bagi lah. Hari Isnin. Dia YM. Tanya kenapa begedel yang dia buat lembik. Tidak lah aku tahu kenapa. Gambar pun dia tak tunjuk.

Aku janji. Nanti aku buat begedel. Aku akan masukkan dalam blog.

Jadi. Inilah dia.

Bahan-bahan :


* Kentang (direbus)
* Daging (dicincang). Boleh juga guna daging yang siap dikisar.
* Bawang besar (dipotong dadu)
* Sedikit garam dan lada hitam
* Daun sup / daun bawang (untuk wangi)
* Telur (untuk salut begedel sebelum digoreng)

Cara-cara :

1. Rebus kentang sehingga empuk. Cucuk-cucuk dengan garfu untuk pastikan.
2. Setelah empuk. Angkat. Toskan. Dan lenyek.
3. Campurkan bahan-bahan lain. Daging, bawang, garam, lada hitam & daun sup. Gaul sebati
4. Bentukkan
5. Celup dalam telur yang telah dipukul.
6. Goreng dengan api perlahan. Tetapi minyak mestilah cukup panas.


Dan. Inilah hasilnya. Tak pecah pun. Ia bukan sahaja nampak cantik dan sedap. Sebaliknya memang cantik dan sedap. Ha ha ha.



Selamat mencuba!!
..::ALAHAI::..

Manusia ni ada semacam perangai pelik. Tambahan pula jika sudah punya pangkat besar.

Macam dalam nasyid nyanyian Nazrey Johani:

"apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan"

Dan. Kalau kamu itu orang yang kedua. Seharusnya kamu faham di mana kedudukan kamu, kan?

Tapi. Biasalah. Selalu juga didengar. Isteri nombor dua itu mahu lebih-lebih dari isteri yang nombor satu.

Friday, August 08, 2008

..::TERTANYA-TANYA II::..

Ika. Hantar sms. Dalam bas. Perjalanan ke tempat kerja.

Waktu: 6.45pagi.

Aku. Diserang penyakit M. Atas katil. Dalam selimut. Hujan lebat sejak jam 2.00petang. Semalam. Enaknya.

Eh, berapa minit beza waktu di antara Malaysia dengan Singapura?

Thursday, August 07, 2008

..::TERTANYA-TANYA::..


Aku Ini Untuk Siapa?


Filem pendek oleh : Naz Annuar
Adaptasi Puisi : Bahruddin Bekri
Terbitan : Kawan-kawan Sendirian Terhad

Tuesday, August 05, 2008

..::HOBI!!::..


Hobi!!
Originally uploaded by madulebah

Monday, August 04, 2008

..::BEBAS::..

Semalam, ada beberapa orang manusia meraikan sesuatu. Seorang kawannya mahu belanja makan. Sempena ulangtahun kelahirannya. Yang sudah tidak menjadi kejutan. Kalau bukan kerana ada kawan mahu belanja makan. Saya tidaklah begitu rajin mahu keluar ke gedung besar yang begitu sesak itu. Oh, harap tidak berkecil hati di situ.

Ramainya umat. Tak pernah kosong tangga bergerak tu. Entah mana datangnya manusia yang memenuhi Mid Valley ini. Mungkin sama seperti kami. Dari Puchong, Shah Alam dan Seri Kembangan.



Dalam ramai orang itu. Ada beberapa orang lagi mau menambahkan kesesakan sedia ada. Tapi mereka ini nak makan saja. Kusyuk sampai tak ingat apa sudah jadi di luar. Hujan ribut pun tak sedar.



Tengok sajalah apa yang mereka makan.



Lepas dah kenyang, lepak dululah. Sambil tu kita ambil gambar suka-suka hati.


Cantik kan kasut tu. Sila teka yang mana satu kaki saya.


Alamak! Muka Cik Jah tak nampak langsung. Muka Mariah pun separuh aja. Maaf ya kawan-kawan. Tiada unsur sabotaj di situ. Maklum saja lah, tangan saya tak boleh nak pergi jauh lagi dah. Ha ha ha. Jadi untuk nampak semua, sila Cik Jah ambil gambar dari tepi. Barulah cantik.

Lepas penat jalan-jalan kami pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah masing-masing. Perjumpaan kali ini tidak cukup korum. Mak Intan balik kampung mertua. Maklum lah sekarang ni musim buah-buahan. Harap-harap perjumpaan akan datang semua ada. Perancangan terdekat InsyaAllah untuk acara tahunan berbuka puasa bersama-sama. Jika mengikut giliran, kali ini Mak Intan akan menjadi hos.

Jadi, sampai jumpa lagi nanti.

Sunday, August 03, 2008

..::MASKARA X::..

Ramai muka baru. Wajah-wajah yang masih segar. Masih muda.

Bagus adik-adik. Daripada melepak tak tentu hala, baik datang ke MASKARA ni. Sama ada mahu buat persembahan. Atau menonton sahaja. Itu sudah memadai.

MASKARA Edisi Ke-10 mengajak kita untuk bermain dengan pelbagai emosi.

Persembahan muzik oleh DEP mantap. Ini kan kumpulan kegemaran Pipiyapong. Mestilah hebat.

Puisi Ajami mengajak kita berfikir tentang masa akan datang. Pesanan beliau kepada si abang, anak yang sulung agar menjaga dan memimpin tangan si adik jika nanti mama dan papa tiada, sungguh menyentuh perasaan. Ini mengingatkan aku kepada kisah si bekas kekasih yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan. Meninggalkan dia dengan 4 orang adik perempuan, yang bongsu berumur 4 tahun dan dia 16 tahun ketika itu. Ya, tiada siapa yang tahu apa yang akan jadi di kemudian hari.

Puisi lebih menyentuh dilatari dengan alunan muzik daripada lefthanded guitareez.

Seketika penonton diam penuh hormat. Kusyuk menghayati keindahan Ayat-ayat Allah yang dilagukan oleh Saudara Salman. Bersama sebuah puisi tentang Nabi Allah Nuh kemudiannya. Sehingga tiada ulasan yang mampu diberikan oleh Saudara Pengacara.

Puisi 'berat' dari Azree Ariffin, bacaan naskah oleh Art dan monolog dari Republic Theater ada tarikannya tersendiri.

Jonos jika mengambil alih pentas tak sah kalau penonton tidak ketawa. Itu bukan Jonos namanya. Lihat rupanya saja sudah bikin geli hati. Gandingan dengan Alfie membacakan naskah Azzam Supardi memang buat penonton tak kering gusi.

Persembahan penuh sakti menutup MASKARA X.

Sebenarnya mula-mula membaca nama Dewangga Sakti dalam blog Naga, otak aku ligat berfikir. Aku biasa sangat dengar nama ini tapi di mana? Tak ingat. Kemudian menyaksikan mereka di pentas MASKARA. Ada muka-muka yang seakan familiar tapi masih tak ingat di mana. Aku beli mini CD mereka. Aku belek dan baca. Dan nama Dewangga Sakti semakin dekat. Tapi aku tetap tak dapat ingat. Tak ingat.

Cuma yang dapat aku katakan sekali lagi persembahan mereka memang ada sakti. Selayaknya berada di pentas antarabangsa.

Dan. MASKARA X hebat. Setiap edisi ada persona tersendiri. Tahniah.

Jumpa lagi November nanti.

Friday, August 01, 2008

..::NAIK TURUN::..

Hidup ini umpama roda. Berputar. Turun naik.

Semalam. Anwar Ibrahim beritahu mahu bertanding. Jadi Menteri Perdana mesti ambil tindakan awal untuk raih populariti.

Hari ini Menteri Perdana beritakan bahawa harga minyak akan diturunkan tidak lama lagi. Katanya. Sabar ya.

Kita tunggulah berapa harganya nanti.

Oh. Roger Federer kalah lagi. Maka Nadal dengan mudah naik ke ranking no. 1 dunia. Mungkin Federer patut tinggalkan teman wanitanya sekarang. Cari yang lebih hot untuk memberi sokongan kepadanya dari luar gelanggang.
..::MUDAH, KAN?::..

Boss aku. Dapat jemputan untuk World Drums Festival 2008. Esok. Di Dataran Merdeka.

Aku. Bagitahu dia. Kad jemputan kena bawa sama. Untuk mudah nanti ditunjukkan tempat duduk.

Boss aku kata. Kalau diaorang tak bagi tempat duduk, dia balik rumah saja. Apa susah.

Kalau semua boss macam ni, mudah kan. Ha ha ha.

Thursday, July 31, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA III::..



Seperti biasa.
Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Di Rumah PENA
Bila lagi kalau bukan malam minggu.
Barulah Kay Ell layan underground macam ni.

Dan. Kamu mungkin akan bertemu cinta. Di sana.

Maklumat lanjut di sini

Wednesday, July 30, 2008

..::PINJAMAN II::..

Aku. Baru saja mahu minta Tuan Peguam keluarkan surat perintah. Arahan pembayaran semula pinjaman pelajaran.

Rupa-rupanya tak perlu lagi. Semalam aku terima salinan surat. Daripada JPA. Arahan pembayaran secara potong gaji. Selama 60 bulan. Dengan potongan sebanyak RM130 pada bulan terakhir. Wah!! Banyak sungguh bulannya. Padan muka juga untuk aku. Orang lain yang dah bertahun mula bayar cuma perlu keluarkan RM50 sebulan.

Nampak gayanya. Untuk bulan-bulan akan datang, tiada peruntukan untuk batik sutera. Lagi.
..::BERUBAH-UBAH::..

Bercerita dengan Encik Prihatin tentang kawan-kawan.

"Lost track dah kawan-kawan awak" kata Encik Prihatin tiba-tiba.

"Meaning? Awak lost track siapa kawan-kawan saya, atau kawan-kawan saya yang lost track?" Ha ha ha. Aku minta kepastian.

"Saya lost track. Kawan awak berubah-ubah. Tak Konsisten"

"Ha ha ha.. Kawan saya 'berubah-ubah'."

"Ha ha.. Ya.. Ya.. Dulu Encik Romantik. Sekarang Encik Prihatin." katanya.

Dan.. Kami terus berbual dan ketawa diiringi lagu-lagu Kumpulan Wings.

Tuesday, July 29, 2008

..::DOWN - UP::..

Ada Encik Prihatin telah menegur aku. Katanya sejak kebelakangan ini aku kelihatan seperti down saja. Entah bila dia lihat, tak tahu pulak aku.

Aku. Tidak rasa down. Sebaliknya rasa up. Asyik nak marah aja. Kemudian ketawa. Suka.

Dan. Kepada Encik Prihatin. Sila salahkan hormon saya, ya.

Monday, July 28, 2008

..::MESIN MASA : Terlajak Perahu Boleh Diundur::..

Kembali ke beberapa hari yang lalu.

Apa yang dikatakan itu tidak salah. Itu kenyataan.

Cuma. Mungkin dilafazkan bukan pada waktu yang tepat.

Maka. Ada yang berkecil hati. Ada yang rasa terhina.

Tapi, siapalah kita untuk tahu adakah itu masa yang tepat untuk mengatakan sesuatu.

Satu hari. Dua hari. Tiga hari.

Rasa berdosa menghantui. Ego menyelubingi.

"Maaf" ucapnya pada hari keempat.

"Maaf juga" walau sepatutnya saya yang mengucapkannya dulu.

"Kawan?"

"Masih.."

Dan..

Biarlah yang sumbang itu kembali berlagu ria..

Sunday, July 27, 2008

..::KERJA::..

Harini ex-housemate aku kenduri. Kat Kelantan sana nun. Kerana tak dapat pergi, aku cuma hantar pesanan teks ringkas.

"Kak, selamat pengantin baru. Sorry tak dapat datang. Kena kerja."

"Thank you. Kau tak habis-habis dengan kerja." Jawab pengantin.

"Ahahah.. kerja la puas-puas sebelum dikerjakan.. Macam akak.." Aku. Balas semula dalam nada kurang ajar.

Hik hik hik.
..::KAWAN::..

Sebulan lepas. Pada tarikh yang sama. Aku mati-mati ingat haritu birthday dia. Rupa-rupanya aku awal. Sebulan.

Untuk Mariah. Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-29.

Walaupun hang kata kita totally berbeza. Interest pun tak sama. Tapi kita tetap boleh berkawan. Baik. Aku rasa mungkin sebab kita 'kulaan'.

Yang paling penting. Persahabatan tak dapat dinilai dengan materi.

Ini ada pula lagu Hijjaz yang aku dengar sekitar minggu lepas. Aku suka liriknya. Sama-sama kita hayati.

Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya

Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula
Kejahatan dicanang merata

Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai

Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan

Friday, July 25, 2008

..::PINJAMAN::..

Segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.

Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.

Di dada akhbar semalam, ada berita tentang seorang bapa yang membunuh diri selepas meracun 2 anak kecilnya. Entah ke mana hilang nilai kemanusiaannya. Kasihan si ibu yang melahirkan anak itu. Apa lagi yang tinggal?

Kata seorang teman lama, dia menangis teresak-esak membaca berita berkenaan.

Semalam juga, diadakan satu majlis tahlil di pejabat. Baru-baru ini seorang pegawai kehilangan anak. Akibat masalah jantung. Ketika memberi sepatah dua kata, dalam esakan beliau memohon agar rakan-rakan di pejabat membantunya. Mengembalikan kekuatan. Keyakinan. Sehingga kini beliau masih belum mampu untuk meredhakan pemergian itu sepenuhnya.

Berbicara dengan teman sepejabat selepas tahlil, katanya pegawai berkenaan telah 2 kali kehilangan anak. Dan setahu aku beliau cuma ada 2 orang anak perempuan. Jika ini kali kedua bermakna tiada lagi yang tinggal.

Kembali berbicara dengan teman lama. Katanya, jika dia berada dalam majlis itu, dia juga pasti akan mengalirkan air mata.

Aku. Mungkin kerana belum punya anak, tahap sensitiviti terhadap isu ini agak kurang.

Namun aku tahu segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.

Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.

Tuesday, July 22, 2008

..::NOSTALGIA '90an : KAD NAMA::..

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad nama gambar pemandangan, artis Hong Kong, perempuan komik manga bermata cantik dan bermacam-macam gambar lagi.

Seorang kawan yang bertindak sebagai agen akan mengedarkan katalog. Tebal lipatannya. Penuh gambar untuk dipilih. Berkenan. Isi borang. Tulis nama, alamat, tarikh lahir juga kata-kata yang dipilih sebagai pegangan hidup.

Katanya kena cari ramai lagi. Kalau tidak, tak boleh pos borang ke Kuala Lumpur untuk tempahan.

Maka masing-masing cari lagi kawan yang mahu tempah kad. Tapi tak apa, seorang boleh tempah sampai 2 - 3 jenis gambar. Cuma kena korek tabung lah untuk bayar.

Sekali kita tempah, nanti kad yang diterima juga disertakan dengan katalog dan borang. Maka kita pula akan bertindak sebagai agen. Baru sedar, rupa-rupanya kecil-kecil lagi dah pandai bina jaringan perniagaan. Macam MLM gayanya.

Siapa yang dah bersekolah sekitar tahun 90-an mesti ingat tentang perkara ini.

Kad tu senang dibawa ke mana-mana. Kalau pergi lawatan sambil belajar ke IPT, beri saja kad comel gambar doraemon itu kepada abang yang minta alamat dengan alasan mahu jadikan kita adik angkat. Kan awak, kan?

Monday, July 21, 2008

..::MUNGKIN KERANA KAMU::..

Pagi tadi. Aku terima ini.



Secara jujur. Sejak aku 'menderhaka' pada Disember 2006, aku tak pernah terfikir untuk dapat anugerah ini. Lagi.

Cuma. Mungkin sudah rezeki aku. Alhamdulillah.

Selain daripada itu, aku rasa ada juga kaitan dengan salinan dua keratan akhbar yang aku lampirkan bersama Laporan Nilaian Prestasi yang lepas.



Terima kasih semua. InsyaAllah, MASKARA X nanti aku open table.

Ha ha ha

Sunday, July 20, 2008

..::SAYA::..

- Awak, bilik yang direquest full la, macam mana ek?

+ Tak apa lah. Progam batal.

~~~~~~~~~~

Asalnya, bilik yang ditempah adalah hadiah untuk diri sendiri. Tapi bila bilik di hotel yang dikehendaki semua penuh, saya tukar rancangan. Tak perlu belanja besar. Cuma sedikit tenaga.

Maka, saya keluarkan set cadar yang belum pernah digunakan dan hias katil saya seperti suasana bilik hotel.



Dan beradulah saya dengan aman damai tanpa sebarang gangguan.

Friday, July 18, 2008

..::KITA::..

+ Awak, tolong bookingkan bilik kat hotel Gr*nd S*as*ns. Check in Ahad, check out Isnin.

- Ok. Untuk siapa?

+ Untuk kita lah.

Erk!!

+ Sorry, silap. Untuk saya.

He he he

Thursday, July 17, 2008

..::GADIS MELAYU::..

Beberapa hari yang lalu aku tonton satu iklan di TV9 Dekat Di Hati. Ada ujibakat. Rancangan baru yang mencari gadis melayu yang berperawakan menarik, bijak berkomunikasi dan mempunyai jatidiri. Entah macam mana format program itu, tak pula diketahui. Wah, teringin pula mahu mencuba nasib. Mana tahu aku adalah Gadis Melayu terakhir yang dicari.

Syarat kelayakan mestilah warganegara Malaysia, berketurunan Melayu, berkelulusan paling minima SPM, gambar berukuran pasport juga diperlukan.

Tapi. Aku kalah sebelum bertanding. Mereka mahu gadis melayu berumur 18 hingga 27 tahun sahaja.

Eh, sekarang ni belum tentu yang berumur 18 hingga 27 tahun itu masih gadis tau.

Friday, July 11, 2008

..::BAHAGIA KAH?::..

Kan aku baru lepas dengar ceramah. Islam Hadhari. Tajuk Kehidupan Berkualiti.

Kata ustaz, kehidupan berkualiti mesti berlandaskan fitrah manusia. Contoh-contoh fitrah manusia ialah suka akan kebaikan, keseronokan, kebahagiaan, keselesaan, keindahan dan sebagainya.

Kata ustaz lagi, ekonomi kukuh, persekitaran yang baik, rezeki yang halal, berilmu, hubungan baik dengan masyarakat juga di antara faktor penyumbang kepada kehidupan yang berkualiti.

Hidup tak akan berkualiti jika dalam hati penuh hasad dengki. Ada penyakit hati. Tambah ustaz.

Kemudian ustaz bagi tanda-tanda orang yang bahagia.
# sihat tubuh badan
# berselera makan
# tidur lena
# disukai orang
# doa dimakbulkan

Nak capai hidup yang berkualiti juga ada cabaran. Cabaran paling berat ialah faktor dalaman. Diri sendiri. Tak mahu berubah. Terlalu selesa dengan budaya lama. Kurang mempraktikkan ilmu. Dan nafsu yang tercela.

Jadi berdasarkan ciri-ciri di atas, di manakah letaknya diri kita? Adakah kita melayari kehidupan yang berkualiti? Bahagiakah kita selama ini? Atau hanya perasaan kita sahaja bahawa aku bahagia, hidup aku berkualiti, aku disukai orang tetapi hakikatnya tidak kita sedari.

Sama-sama kita renungkan.

Thursday, July 10, 2008

..::ISLAM HADHARI::..

Pagi tadi. Aku diarahkan untuk menghadiri satu seminar. Pendekatan Islam Hadhari. Temanya Kehidupan Berkualiti.

Wow. Aku semangat ok. Dah lama sungguh nama aku tak tercalon untuk mana-mana sesi ceramah atau seminar.

Ini gambar yang aku suka-suka ambil. Biasalah. Blogger.


Peserta wanita yang memenuhi 3/4 auditorium



Peserta lelaki? Alahai.



Jadi penganjur minta sebahagian peserta wanita berpindah tempat agar seimbang. Katanya nanti kapal senget.



Ini pula sepasang perempuan di barisan hadapan aku yang dari awal asyik bersembang. Sungguh kurang sopan. Kuat pula tu. Kalau tak mahu dengar, tak perlulah hadir. Aku tegur. Mereka diam sekejap. Lepas tu sambung bersembang menggunakan paparan teks sms di handphone pula. Ah! Lantak kamu lah.


Banyak juga yang aku dapat dari seminar berkenaan. Sekali sekala kenalah refresh.

Tapi balik ke pejabat, tiba-tiba adik aku dengan kawan aku bagi satu link ke blog golongan gay. Ya Allah. Nak muntah aku baca. Yang satu tu, memang aku skip je. Tak lalu langsung.

Nampak gayanya hilang la ilmu yang aku baru dapat di seminar Islam Hadhari pagi tadi.

Wednesday, July 09, 2008

..::KESIAN::..

Harini. Aku bawa bekal. Sarapan.

Masa tengah makan, ada kakak kewangan datang nak ambil voucher yang boss dah tandatangan.

Dia pandang aku.

"Bawak bekal? Kesiannya.."

Hah? Aku pandang dia. Senyum. Terpinga-pinga.

Kasihankah kalau aku bawa bekal?
..::SEPI III::..

Ok. Aku dah habis baca buku ini.



Aku mula menangis bila sampai bab-bab terakhir.

Bila Henry dah tak ada kaki. Bila Henry mula menghampiri hari-hari kematiannya. Bila Clare baca surat yang Henry tinggalkan. Bila Henry pesan agar Clare berhenti menanti dan 'bebas'kan diri dari penantian yang dilaluinya sekian lama.

Tapi Clare terus menanti. Dalam kesepian. Dalam kekosongan. Dalam perasaan tertanya-tanya. Kenapa Henry, selepas 'kematiannya' hanya bertemu dengan Alba, anak mereka. Anak yang juga mewarisi gen 'pengembaraan' itu.

Penantian Clare tidak berpenghujung. Sehingga satu hari Clare tahu itu lah harinya, itulah masanya. Henry muncul semula.

Dan aku menangis. Sampai basah bantal.

Tuesday, July 08, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA : INSENTIF::..

Terbaca dalam Akhbar Metro.

Kata Menteri yang menjaga belia dan sukan, tawaran insentif bernilai jutaan ringgit yang telah diumumkan begitu menarik minat golongan muda. Untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan. Untuk berjaya sehingga ke Olimpik. Dan, memperolehi pingat.

Terfikir aku. Tawaran itu tidak pula menarik minat anaknya. Sebaliknya, anaknya yang lawa itu telah memilih bidang hiburan.

Oh, katanya lagi. Pemberian insentif itu muktamad. Walaupun ada cakap-cakap dan bantahan dari kalangan rakyat.

Monday, July 07, 2008

..::SEPI II::..

Kata Amyz, sepi itu indah.

Kata aku, pengubat sepi juga indah. Malah, indah-indah belaka.



Jadi, jika aku kata tiada lagi batik sutera selepas kenaikan harga minyak, tak perlulah percaya.

Aku. Memang lemah dengan godaan itu.

Sunday, July 06, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA II::..

Edisi ke-9.

Aku sampai pun ketika acara menghampiri 15 minit terakhir.

Disambut puisi "SELUAR DALAM" oleh Pyan Habib. Ketika tiba di muka pintu, saudara Pyan melontarkan soalan,

"apakah warna seluar dalam anda?"

Naga tunjuk seluar dalamnya pada aku. Huh?

"Biru" katanya.

Kemudian aku ambil tempat di dalam. Duduk diapit 2 pengantin baru. Faizzah dan Cik Puan Daun. Di hadapan pula bakal pengantin iaitu Su.



Persembahan oleh Alina Abdullah dan kawan-kawannya cukup menghiburkan. Gelandangan sepenuh masa dan gelandangan separuh masa yang handsome. Ha ha. Dan penyanyi manis yang berbakat besar. Mat Jan yang bersila di tepi pentas, tak kelip mata memandang.

Aksi Dr. Zul pula cukup memukau dan menusuk kalbu. Ok. Aku insaf. Seketika.

Terakhir adalah iklan baju dalam oleh Jonos. Katanya inspired by puisi Seluar Dalam pada awal tadi. Bikin gamat rumah pena dengan aksi-bukan-promosinya.

MASKARA Edisi ke-9. Kata mereka yang menonton dari awal, persembahan kali ini semuanya mantap. Sesuai dengan usianya yang sudah mencecah satu tahun.

Tahniah penganjur.

Gambar oleh LAN RASSO

Thursday, July 03, 2008

..::SEPI::..

"Kau tak sepi ke?" Tanya lelaki yang bisa membuatkan gadis-gadis genit jatuh cinta.

"Tak sepi-ah. Aku ada teman."

Ini teman-teman aku.



Dan ini di antara buku-buku yang belum sempat aku baca dan yang dah separuh baca.



Jadi, aku tak ada masa mahu melayan perasaan sepi yang bukan-bukan itu.

Wednesday, July 02, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA::..

Kau nak jumpa kawan-kawan?
Yang kau suka?
Yang tak berapa suka?
Atau yang kau tak kenal pun?

Tak perlu susah-susah. Penganjur yang baik telah tetapkan:

Tarikh : 5 Julai 2008 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Rumah Pena


Ada persembahan. Ada jualan hasil karya seni. Ada juga makanan.

Jadi pilihan terletak di tangan sendiri. Kau lapang, kau datang. Kalau kau ada hal lain, program tetap jalan. Peduli apa penganjur dengan ketiadaan kau.

MASKARA EDISI KE-9

Monday, June 30, 2008

..::TIBA-TIBA KU DILAMUN CINTA::..

Sedang aku enak-enak menaip surat di komputer. Tiba-tiba muncul satu window YM.

"Sayang.. bla.. bla.. bla.."

Huh? Apakah ini?

"Oit!! Ini untuk aku ke untuk laki kau?"

"Woit! Sorry silap window. Itu untuk laki aku"

"Ha ha ha.. mujur kau silap dengan aku.. kalau dengan orang lain, mampus kau"

Ha ha ha.. Dan kami terus ketawa sambil bercerita tentang isu semasa..

Saturday, June 28, 2008

..::PONTENG::..


Gambar blur oleh OP


"Psstt.. Kau ponteng kelas mengaji ke?" Tegur SiNaga

"Eh, tak lah.. Kelas mengaji aku batal.. Ustazah period.."

"Ha ha ha.. Macam la kalau period ustazah tak boleh mengajar.. dia dengar je murid baca.." Sampuk Spyz

Ha ha ha.. Dan kami sama-sama ketawa sambil menonton filem pendek di anjung Rumah Pena.

Friday, June 27, 2008

..::AKU TAHU KAMU TIPU::..

Semalam. Aku pergi pejabat pos di Medan Tuanku. Orang ramai bukan main. Ini tak lain tak bukan mesti mahu tuntut subsidi minyak. Tak apalah. Aku cuma mahu beli sampul ekspres untuk pos t-shirt blogger.

Di kaunter yang dijaga oleh anak muda bergaya macam model minyak rambut 'masih terpacak' itu, aku minta 2 sampul ekspres saiz A4 dan satu lagi kotak ekspres saiz A4. Kata anak muda itu, yang kotak tidak ada. Untuk kepastian sendiri, aku bertanya sama ada stok sudah habis atau bagaimana? Katanya memang selalu tak ada. Ok. Aku minta sahaja yang biasa.

Bila dah tulis alamat, baru sedar yang aku memerlukan satu lagi sampul ekspres. Kali ni aku ke kaunter yang dijaga oleh adik manis berstatus pelatih. Sekadar mahu mencuba nasib, aku tanya jika ada kotak ekspres saiz A4. Agak terkejut bila adik manis jawab ada dan bertanya sama ada aku mahu kotak itu.

Oh apakah ini? Seorang kata tidak ada, seorang lagi jawab ada dan terus memberi tawaran. Aku mula syak, anak muda bergaya model itu malas mahu mengambilnya di dalam bilik simpanan. Dan adik manis itu benar-benar menunjukkan bahawa dia seorang pelatih yang cekap.

Mungkin anak muda bergaya model tidak sedar perlakuannya boleh memberi kesan terhadap reputasi perkhidmatan pos di cawangan itu, seterusnya tanggapan pelanggan terhadap beliau sendiri.

Dalam jarak satu kaki pun, macam-macam hal boleh berlaku.

Wednesday, June 25, 2008

..::KINI KEMBALI::..

Photobucket

Lawati laman sesawang KL Festival untuk maklumat lanjut

Tuesday, June 24, 2008

..::DIA DATANG::..

"Dia datang, dengan lenggang-lenggoknya.. Dia datang!!" Berkumandang irama ghazal alunan Allahyarham Fadzil Ahmad.

Semua orang kecoh. Sibuk. Bersiap sedia. Apa yang tak ada, diadakan. Tapi apa yang dah ada, tak boleh nak buat-buat tak ada.

Iya lah. Kumpulan terkenal mahu datang. Siapalah yang tidak sibuk. Tidak kecoh.

"Kumpulan mana yang datang tu?"

"Bumi Putera Rockers.."

Wednesday, June 18, 2008

..::TREND::..

Berkahwin itu satu tuntutan..

tetapi

punya hubungan sulit itu sudah jadi satu trend

di akhir zaman..

Na'uzubillah..

Monday, June 16, 2008

..::MY BEST FRIEND'S WEDDING::..

OK. Kawan aku dah jadi isteri orang. What a strange feelings. Lepas ni aku dah tak boleh sms atau telefon Cik Puan Daun sesuka hati. For no reason or just for girls talk. Tapi itu hakikatnya dan aku sangat gembira untuk dia.

Tak banyak yang nak diceritakan. Biarlah moment-moment selama 3 hari berkampung di rumah Daun terpahat dalam ingatan aku saja.

Enjoy the pictures.


Gerbang menyambut tetamu. Sangat cantik.



Hantaran : Pewangi, Jam Tangan, iPod Nano, Bunga Rampai, Kain pelikat serta sejadah dan Kasut



Cupcakes, Cincin, Bunga telur dan sireh junjung



Gadis-gadis manis yang menceriakan suasana



Pengantin perempuan dan Pengapit sempat bergossip. ha ha ha



Pengantin Lelaki yang tenang dalam debar.



Selamat sudah..



Ini bunga tangan yang pengantin 'campak' kat aku.. ha ha ha


Dan.. kami sama-sama menangis dalam pelukan selamat tinggal..

* Kredit kepada Ika untuk gambar majlis pernikahan. Gambar lain diambil menggunakan Nokia Cameraphone sahaja.
* Laporan penuh boleh baca di sini
* Lagi foto di sini

Friday, June 13, 2008

..::PANDANGAN MATA KITA BERBEZA::..

Tok Rimau kata avatar adalah wakil visual tuan punya blog. Personaliti penulis boleh di'baca' melalui avatarnya. Itu kata Tok Rimau.

Bagaimana pula dengan pemilihan template, skin dan banner?

Secara jujur semasa aku pilih template baru ni, aku hanya pilih saja. Atas dasar ia ringkas, tidak sarat dan menarik. Tidak ada maksud lain. Sama ada yang tersirat atau tersurat.

Tetapi bila ada yang memberi komen mengatakan bahawa ia membawa maksud tertentu, maka otak aku ligat berputar dan memikirkan segala macam makna tersirat di sebalik banner yang dipaparkan. Maka, mentol-mentol di atas kepala mula mengeluarkan cahaya.

2 biji balang kaca dengan saiz yang berbeza. Balang saiz kecil dipenuhi dengan ikan emas. Berasak-asak. Balang besar pula hanya ada seekor saja ikan emasnya. Nampak seperti ia baru melompat dari kelompok yang padat itu.

Ia sangat subjektif. Bergantung kepada persepsi dan pandangan masing-masing. Mungkin juga boleh dianggap bahawa yang seekor itu mewakili aku, yang mahu keluar dari keadaan dan suasana yang sungguh menyesakkan.

Atau lebih mudah: dalam banyak-banyak ikan, pilih saja satu. Anak ikan.

Har har har

Thursday, June 12, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA: PEKERJA KERAJAAN::..

Gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos: PM

PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini, manakala gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, mulai Ogos.


Bayaran ansuran gaji kakitangan awam pula bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilakukan dalam pembayaran separuh kedua gaji pada hujung bulan.


berita penuh di sini

Ntah apa yang ada dalam fikiran orang yang buat keputusan itu. Jika gaji yang diterima itu beribu ringgit macam mereka terima, tidak apa lah. Tapi bagi kakitangan gred 1 - 11 yang mungkin purata pendapatan bersih sebulan adalah kurang daripada RM1000, keputusan ini akan lebih membebankan. Ditambah lagi jika ada anak isteri yang perlu ditanggung. Sangat kasihan.

Isnin lalu, diumumkan bahawa 10% daripada elaun keraian yang diterima menteri akan dipotong bagi mengurangkan kos. Apalah sangat 10% itu jika nak dibandingkan dengan apa yang mereka dapat. Tak luak langsung.

Jika dulu, ibu bapa seakan bangga bila memberitahu anak menantunya bekerja kerajaan. Tapi tidak lagi kini. Semua orang menyumpah-nyumpah dengan kerajaan.

Wednesday, June 11, 2008

..::DILEMA SEORANG PENGAPIT PENGANTIN: MISI MENCARI BANTAL PELUK::..

Aku. Tengah cari bantal peluk.

Ada 3 pilihan. Yang pertama, ntah apa jenamanya. Tak kenal pula aku. Tapi harganya boleh tahan agak mahal. Untuk bantal peluk lah.

Pilihan kedua. Dari jenama yang dikenali. Harganya murah sikit daripada yang pertama tadi. Cantik bentuknya.

Aku berkenan pilihan yang ketiga ni. Jenama sama dengan yang kedua. Cuba-cuba peluk. Sedap. Tapi. Tak ada pula tanda harganya. Macam mana nak beli.

Kesudahannya. Aku balik saja. Tanpa bantal peluk.

Thursday, June 05, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA: HARGA MINYAK NAIK::..

Mulai tengah malam tadi, harga minyak naik 78 sen seliter, menjadikannya RM2.70 seliter. Dan pagi ni semua orang bercerita tentang minyak.

Lepas ni, jangan terkejut kalau kereta kecil pun nak isi minyak penuh boleh cecah ratusan ringgit. Gila.

Ok. Kerajaan kata akan bagi bayaran tunai kepada rakyat. RM625 setahun. Cukup untuk apa sebanyak tu? Cukup untuk 12 kali isi minyak selama setahun sahaja.

Nanti akan keluar lagi kenyataan: "Harga petrol naik, tetapi rakyat tetap isi minyak". Tak ke bodoh namanya tu. Habis mahu isi kereta dengan minyak apa? Minyak masak? dengan air?

Kata Kerajaan lagi, marilah kita ubah cara hidup.

Ya.. ya.. marilah kita ubah cara hidup.

Mereka yang berpangkat besar dalam Kerajaan Pak Lah, sila isi minyak guna duit sendiri. Bukan dengan duit rakyat. Sila lah beli barang dan makanan sendiri bukan guna duit elaun. Sila juga bayar duit tol sendiri, bukan guna smart tag yang dibiayai menggunakan duit rakyat. Juga, marilah makan ubi macam yang kerajaan sarankan. Tiada lagi keraian-keraian di hotel-hotel mewah yang dibiayai juga menggunakan wang rakyat.

Lepas ni tak ada lah batik sutera. Hanya baju kain cotton yang semeter belas-belas ringgit saja ya.

Dan. Malaysia kini sedang menuju ke arah negara maju yang semakin menindas rakyat.

Wednesday, June 04, 2008

..::BENARKAH?::..

Kadang-kadang
Mengetahui sesuatu kebenaran itu
Lebih payah untuk diterima
daripada
tidak mengetahui apa-apa..

benar juga kata pepatah

Don't judge a book by its cover

Tuesday, June 03, 2008

..::MENGAYAT CINTA::..

Awak suka membaca kan?

Jadi sempena birthday awak, saya hadiahkan novel ini.



Baca, jangan tak baca tau.

Wednesday, May 28, 2008

..::DILEMA SEORANG PENGAPIT PENGANTIN::..

"always a bridesmaid but never a bride"

Walaupun bukan untuk kali ke 27. Namun, ia masih boleh menjadi tekanan.

Tinggal lagi lebih kurang 10 hari. Kata aku sebagai motivasi kepada bakal pengantin perempuan. Walaupun tarikh sebenar ada berbelas hari lagi.

Sempatkah mahu siapkan semuanya?

Baju sudah ada. Tapi. Kasut dan tudung yang sepadan belum dibeli.

Siapa yang nak tolong solekkan aku yang tak pernah bersolek ini? ha ha.. perlukah?

Mungkin ia masih perlu. Siapa tahu di sana nanti aku bakal bertemu pasangan jiwa?

Ya. Siapa tahu.

Dan siapa pula yang akan menjadi maid of honor?

.. Aku juga rasa debaran dan tekanannya..

Tuesday, May 27, 2008

..::TAG::..

Aku tak ada kerja. Boss pergi seminar di Langkawi. Jadi untuk menunjukkan yang aku tak buat bodoh saja di pejabat, maka aku mengetuk papan kekunci menjawab tag yang dah lama tertangguh. Aku ditag oleh Kimi dan Cik Jah.

Senaraikan 5 hadiah yang anda impikan:

1. Mesin Basuh Samsung WA10U3
2. Set CorningWare 5 beradik
3. LG KU990 mobile phone
4. Pakej percutian ke Eropah atau Australia
5. Menang peraduan Shell/Bonuslink - wang tunai atau bekalan petrol

ooohh.. hadiah impian aku sangat berpatutan kan.. aku rasa kawan-kawan pun mampu tunaikan impian aku ni.. ahaha..

Senaraikan alasan atas pilihan anda itu:

1. Mesti la sebab nak senang basuh baju. Sekarang aku cuci kain baju secara manual. Kalau dapat hadiah ini, sungguh suka hatiku ini.
2. Untuk pilihan ke 2 dan 3 ni sebab aku memang suka. Dan kalau hadiah lagi la aku suka. Tak payah keluar duit untuk beli.
4. Itu adalah 2 benua yang aku teringin nak pergi
5. Kalau dapat wang tunai, aku boleh lunaskan hutang pelajaran. Ha ha ha.. kalau dapat bekalan petrol, bleh jimat duit woo.. petrol mahal ar.

5 impresi terhadap orang yang diminati:

1. Hafaz 30 juzuk Al-Quran
2. Suara sedap terutama sekali kalau azan
3. Tulisan tangan yang cantik
4. Pandai main alat muzik
5. Cerdik matematik (tetapi bukan yang menjadi teman sosial kemudiannya)

Perkara yang paling hebat pernah dilakukannya untuk anda

Mak ngan ayah la. Besarkan anak yang ramai. Bagi pendidikan dan penuhi segala keperluan asas sebaiknya. Dengan pendapatan yang aku kira sangat minima.

5 ciptaan yang paling disukai (tidak semestinya melibatkan teknologi yang maju)

1. Air (ciptaan Allah)
2. TV - Walaupun aku tak langgan ASTRO, tv percuma yang ada dah cukup buatkan hidup aku ceria
3. Peti Ais
4. Kamera
5. Kapal terbang - Besi berat dan besar tuh boleh terbangkan orang ramai / kargo wooo

Apakah perkara paling dibenci?
1. Pembunuhan berleluasa
2. Orang tak baik
3. Budak-budak muda yang beromen tak kira tempat dan tak tahu malu
4. Tak tau dah.. ada juga perkara yang aku tak suka.. tapi tak la sampai tahap benci.. kan tak sama tu..

5 orang yang mahu ditag

1. TasikMerah
2. Cik Daun
3. Mya - eh hangpa dah pernah ke buat tag ni? kami lupa la
4. Amyz
5. tak tau dah nak tag sapa lagi

Saturday, May 24, 2008

..::PAK PAK PUNG KOMPANG DIPALU::..

Cuti sekolah menjelang. Muncul satu musim lain. Orang bernikah dan orang bersanding.

Ini jemputan yang aku terima. Daripada rakan sepejabat. Ada 5 pasangan sebenarnya. Tetapi yang seorang tu cuma lekat kad di papan kenyataan sahaja. Semua jemputan tu pula untuk tarikh 31 Mei dan 1 Jun.

Kad yang ada gambar pengantin tu untuk majlis resepsi. Buat di Istana Budaya. Pengantin perempuan yang sama nama dengan aku. Ha ha ha..



Salah seorang rakan pejabat yang nak bernikah tu minta tolong aku jahitkan manik untuk bajunya.

Inilah hasil selepas aku berhempas pulas menyiapkannya. Iya lah.. Baju pun bagi saat akhir. Dan aku bukanlah penjahit sepenuh masa.



Dengan siapnya tempahan tu, maka bolehlah aku tidur dengan lena minggu ini..

Oohh.. Tidak lupa. Selamat Pengantin Baru. Juga selamat menyambut ulangtahun perkahwinan kepada yang akan menyambutnya.

Wednesday, May 21, 2008

..::APA BARANG BARANG APA::..

Suatu petang yang damai. Dalam kesesakan lalulintas. Terdetik di hati nak tengok handphone dalam handbag.

Uwop!! Uwop!! Ada 5 missed called dari Naga. Apa dia nak ni. Setahu aku dia tak kan bazirkan kredit kalau tak de hal penting-penting.

Aku telefon semula. Ya. Aku ada 250 minit panggilan percuma. Jadi gunakanlah ia sebaik mungkin.

"Hello babe, kau pindah bangunan mana sebenarnya ni..." Kedengaran terus suara dengan nada yang bisa mencairkan gadis-gadis genit dari corong sebelah sana.

"Laa.. Aku pindah Bangunan MAS lah. Jalan Sultan Ismail tu. Depan Hotel Equatorial. Kau nak tanya tu je ke? Sampai 5 kali missed called."

"ha ha ha.. wooo sesak la sana tu. Kau bawak kereta ke?" Pakcik ini memang seorang yang concern.

"Bawak. Tapi 1/2 perjalanan je. Aku naik monorel. Huh! kau nak tahu, tadi aku balik dalam monorel padat gile. Aku lagi sanggup jammed atas jalan lagi daripada jammed dalam monorel dengan macam-macam orang dan bau yang ada." Oohh.. mula mengadu domba.

"Eh, kau orang naik monorel tak beratur ke?" Tanya pakcik prihatin lagi.

"Memang la beratur. Tapi kau tau la, punya la ramai orang. Dah tak boleh nak masuk, apa barang mau tolak-tolak!!" Gadis genit mahu lepaskan amarahnya.

"Wooo!! Nida sebut barang la, Vovin." Kedengaran suara pakcik sebelah sana.

"Hah!! Barang apa?" Soal lelaki yang bernama Vovin itu pula.

HAMPEH!!

Monday, May 19, 2008

..::MALU BERTANYA SESAT JALAN::..

Tapi bila dah tanya, ikut la apa orang dah bagitahu tu.

Jika aku cakap jalan terus. Kamu akan melalui 3 tol. 1 di Batu 9/Cheras Perdana, 2 di Plaza Phoenix dan 3 tol 50 sen, maka terus saja sampai jumpa tol yang 3 itu.

Kemudian, kamu jalan terus lagi sehingga nampak Menara (rebung) TM, dan jumpa simpang ke KL Sentral/Pusat Bandaraya, Jalan Klang Lama, dan Lebuhraya Petaling Jaya/Shah Alam/Klang. Ambil simpang ke Lebuhraya Petaling Jaya. Mid Valley di sebelah kanan dan Angkasapuri di sebelah kiri. Terus lagi sikit. Ada simpang ke Kerinchi Link. Jangan naik yang itu. Terus ke hadapan (tentulah kan?) dan naik simpang ke Kampung Kerinchi/Jalan Pantai Baharu. Di lampu isyarat pertama, ambil simpang kanan, tapi di lampu isyarat kedua kamu terus. Maka UM berada di sebelah kiri kamu. Di bawah flyover, ada lampu isyarat. Ambil kiri.

Jika kamu memang suka-suka mahu sengaja turun ke Pusat Bandaraya. Sebelum jumpa tol yang ke-3 itu. Melalui jalan yang ada banyak kon dan blok penghadang bersusun (Jalan Loke Yew) dan tembus berhampiran Masjid Negara. Kemudian lalu di hadapan Stesen Keretapi dan sebagainya. Itu terpulang.

Keadaan perjalanan yang kamu lalui pada hari Sabtu dan Ahad adalah berbeza dengan apa yang bakal kamu hadapi pada hari berkerja biasa.

Ucapan aku. Semoga berjaya sampai tepat pada waktunya tanpa rasa tertekan.

Oh, kalau kamu mahu ke Serdang. Kemudian dalam komuter ke Rawang baru kamu tanya ke arah mana sepatutnya kamu pergi, ya.
Kalau bukan kerana aku pergi rumah kakak di Putrajaya hari Sabtu lepas, mungkin pagi ni aku tercongok kat pejabat sorang-sorang.

Aku lupa hari ni cuti hari Wesak.

Thursday, May 15, 2008

..::PARTY DI GERAI HARAM TEPI JALAN::..

Dah lama tak jumpa kawan-kawan. Sesekali luangkan masa ikut perjumpaan yang dianjurkan, walaupun berbentuk party.

Party di William's. Pertama kali aku pergi tempat ni. Gerainya biasa saja. Tapi makanannya punya kelas tersendiri.

Ini apa yang aku makan. Oppss air tu satu gelas je. Gelas yang lagi satu, pasangan penganjur punya.



Ini gambar lain pula. Pinggan kosong yang banyak.



Petua:

Sila kosongkan perut jika mahu datang ke sini

Untuk pengetahuan, hidangan datang dalam saiz BESAR. Satu hidangan tu boleh makan untuk 2 - 3 orang. Kalau masing-masing perut kecil, 5 orang pun cukup. Jadi buatlah pilihan yang bijak.

Elakkan pilih pasta kuah tomato

Nadia (wife Kemat) order pasta kuah tomato. Aku mintak nak rasa sikit. Terus terang aku katakan, aku buat lagi sedap. Agaknya itu la sebab kenapa Nadia tak dapat nak habiskan makanan tu.

Pujian: Keenakan makanan lain memang superb. Aku mesti datang lagi. Daripada aku membayar harga yang mahal di Marche, baik aku datang William's. Lagi puas hati. Makanan sedap, harga pun berpatutan.

Saturday, May 10, 2008

..::PINDAH::..

Ini pemandangan dari cermin pejabat baru aku..



Dan.. Aku akan merindui segala kemudahan asas yang terdapat di Maju Junction. Sungguh.

Juga.. Aku akan merindui SOGO.. yang semakin jauh dariku... ha ha ha..

Thursday, May 08, 2008

..::LIPAS DAH HABIS?::..



Walaupun buku lipas dari 'penternak' ini sudah habis, anda boleh cuba dapatkan daripada penternak lain.

Anda boleh cuba hubungi tokrimauATgmailDOTcom untuk maklumat lanjut.

Terima kasih atas sokongan anda!!!

Wednesday, May 07, 2008

..::HUJAN ITU::..

Berbicara dengan teman. Tentang hujan.

5 hari pulang ke kampung, aku tidak merasa setitis hujan pun. Yang ada cuma panas. Sangat terik. Tiada lagi kabus dan kesejukan di waktu pagi.

Selepas sehari kembali ke kota, aku bertemu hujan.

Kata teman lagi, di kota ini penuh lumpur. Penuh noda. Penuh dosa. Hujan itu membersihkan segala kotoran.



Namun katanya, itu hanyalah metafora.

Ya. Seperti yang selalu disebut orang. Ada rahmat di sebalik hujan itu.