Wednesday, July 02, 2008

..::KAWAN-KAWAN YANG KITA SUKA::..

Kau nak jumpa kawan-kawan?
Yang kau suka?
Yang tak berapa suka?
Atau yang kau tak kenal pun?

Tak perlu susah-susah. Penganjur yang baik telah tetapkan:

Tarikh : 5 Julai 2008 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Rumah Pena


Ada persembahan. Ada jualan hasil karya seni. Ada juga makanan.

Jadi pilihan terletak di tangan sendiri. Kau lapang, kau datang. Kalau kau ada hal lain, program tetap jalan. Peduli apa penganjur dengan ketiadaan kau.

MASKARA EDISI KE-9

Monday, June 30, 2008

..::TIBA-TIBA KU DILAMUN CINTA::..

Sedang aku enak-enak menaip surat di komputer. Tiba-tiba muncul satu window YM.

"Sayang.. bla.. bla.. bla.."

Huh? Apakah ini?

"Oit!! Ini untuk aku ke untuk laki kau?"

"Woit! Sorry silap window. Itu untuk laki aku"

"Ha ha ha.. mujur kau silap dengan aku.. kalau dengan orang lain, mampus kau"

Ha ha ha.. Dan kami terus ketawa sambil bercerita tentang isu semasa..

Saturday, June 28, 2008

..::PONTENG::..


Gambar blur oleh OP


"Psstt.. Kau ponteng kelas mengaji ke?" Tegur SiNaga

"Eh, tak lah.. Kelas mengaji aku batal.. Ustazah period.."

"Ha ha ha.. Macam la kalau period ustazah tak boleh mengajar.. dia dengar je murid baca.." Sampuk Spyz

Ha ha ha.. Dan kami sama-sama ketawa sambil menonton filem pendek di anjung Rumah Pena.

Friday, June 27, 2008

..::AKU TAHU KAMU TIPU::..

Semalam. Aku pergi pejabat pos di Medan Tuanku. Orang ramai bukan main. Ini tak lain tak bukan mesti mahu tuntut subsidi minyak. Tak apalah. Aku cuma mahu beli sampul ekspres untuk pos t-shirt blogger.

Di kaunter yang dijaga oleh anak muda bergaya macam model minyak rambut 'masih terpacak' itu, aku minta 2 sampul ekspres saiz A4 dan satu lagi kotak ekspres saiz A4. Kata anak muda itu, yang kotak tidak ada. Untuk kepastian sendiri, aku bertanya sama ada stok sudah habis atau bagaimana? Katanya memang selalu tak ada. Ok. Aku minta sahaja yang biasa.

Bila dah tulis alamat, baru sedar yang aku memerlukan satu lagi sampul ekspres. Kali ni aku ke kaunter yang dijaga oleh adik manis berstatus pelatih. Sekadar mahu mencuba nasib, aku tanya jika ada kotak ekspres saiz A4. Agak terkejut bila adik manis jawab ada dan bertanya sama ada aku mahu kotak itu.

Oh apakah ini? Seorang kata tidak ada, seorang lagi jawab ada dan terus memberi tawaran. Aku mula syak, anak muda bergaya model itu malas mahu mengambilnya di dalam bilik simpanan. Dan adik manis itu benar-benar menunjukkan bahawa dia seorang pelatih yang cekap.

Mungkin anak muda bergaya model tidak sedar perlakuannya boleh memberi kesan terhadap reputasi perkhidmatan pos di cawangan itu, seterusnya tanggapan pelanggan terhadap beliau sendiri.

Dalam jarak satu kaki pun, macam-macam hal boleh berlaku.

Wednesday, June 25, 2008

..::KINI KEMBALI::..

Photobucket

Lawati laman sesawang KL Festival untuk maklumat lanjut

Tuesday, June 24, 2008

..::DIA DATANG::..

"Dia datang, dengan lenggang-lenggoknya.. Dia datang!!" Berkumandang irama ghazal alunan Allahyarham Fadzil Ahmad.

Semua orang kecoh. Sibuk. Bersiap sedia. Apa yang tak ada, diadakan. Tapi apa yang dah ada, tak boleh nak buat-buat tak ada.

Iya lah. Kumpulan terkenal mahu datang. Siapalah yang tidak sibuk. Tidak kecoh.

"Kumpulan mana yang datang tu?"

"Bumi Putera Rockers.."

Wednesday, June 18, 2008

..::TREND::..

Berkahwin itu satu tuntutan..

tetapi

punya hubungan sulit itu sudah jadi satu trend

di akhir zaman..

Na'uzubillah..

Monday, June 16, 2008

..::MY BEST FRIEND'S WEDDING::..

OK. Kawan aku dah jadi isteri orang. What a strange feelings. Lepas ni aku dah tak boleh sms atau telefon Cik Puan Daun sesuka hati. For no reason or just for girls talk. Tapi itu hakikatnya dan aku sangat gembira untuk dia.

Tak banyak yang nak diceritakan. Biarlah moment-moment selama 3 hari berkampung di rumah Daun terpahat dalam ingatan aku saja.

Enjoy the pictures.


Gerbang menyambut tetamu. Sangat cantik.



Hantaran : Pewangi, Jam Tangan, iPod Nano, Bunga Rampai, Kain pelikat serta sejadah dan Kasut



Cupcakes, Cincin, Bunga telur dan sireh junjung



Gadis-gadis manis yang menceriakan suasana



Pengantin perempuan dan Pengapit sempat bergossip. ha ha ha



Pengantin Lelaki yang tenang dalam debar.



Selamat sudah..



Ini bunga tangan yang pengantin 'campak' kat aku.. ha ha ha


Dan.. kami sama-sama menangis dalam pelukan selamat tinggal..

* Kredit kepada Ika untuk gambar majlis pernikahan. Gambar lain diambil menggunakan Nokia Cameraphone sahaja.
* Laporan penuh boleh baca di sini
* Lagi foto di sini

Friday, June 13, 2008

..::PANDANGAN MATA KITA BERBEZA::..

Tok Rimau kata avatar adalah wakil visual tuan punya blog. Personaliti penulis boleh di'baca' melalui avatarnya. Itu kata Tok Rimau.

Bagaimana pula dengan pemilihan template, skin dan banner?

Secara jujur semasa aku pilih template baru ni, aku hanya pilih saja. Atas dasar ia ringkas, tidak sarat dan menarik. Tidak ada maksud lain. Sama ada yang tersirat atau tersurat.

Tetapi bila ada yang memberi komen mengatakan bahawa ia membawa maksud tertentu, maka otak aku ligat berputar dan memikirkan segala macam makna tersirat di sebalik banner yang dipaparkan. Maka, mentol-mentol di atas kepala mula mengeluarkan cahaya.

2 biji balang kaca dengan saiz yang berbeza. Balang saiz kecil dipenuhi dengan ikan emas. Berasak-asak. Balang besar pula hanya ada seekor saja ikan emasnya. Nampak seperti ia baru melompat dari kelompok yang padat itu.

Ia sangat subjektif. Bergantung kepada persepsi dan pandangan masing-masing. Mungkin juga boleh dianggap bahawa yang seekor itu mewakili aku, yang mahu keluar dari keadaan dan suasana yang sungguh menyesakkan.

Atau lebih mudah: dalam banyak-banyak ikan, pilih saja satu. Anak ikan.

Har har har

Thursday, June 12, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA: PEKERJA KERAJAAN::..

Gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan mulai Ogos: PM

PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini, manakala gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, mulai Ogos.


Bayaran ansuran gaji kakitangan awam pula bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilakukan dalam pembayaran separuh kedua gaji pada hujung bulan.


berita penuh di sini

Ntah apa yang ada dalam fikiran orang yang buat keputusan itu. Jika gaji yang diterima itu beribu ringgit macam mereka terima, tidak apa lah. Tapi bagi kakitangan gred 1 - 11 yang mungkin purata pendapatan bersih sebulan adalah kurang daripada RM1000, keputusan ini akan lebih membebankan. Ditambah lagi jika ada anak isteri yang perlu ditanggung. Sangat kasihan.

Isnin lalu, diumumkan bahawa 10% daripada elaun keraian yang diterima menteri akan dipotong bagi mengurangkan kos. Apalah sangat 10% itu jika nak dibandingkan dengan apa yang mereka dapat. Tak luak langsung.

Jika dulu, ibu bapa seakan bangga bila memberitahu anak menantunya bekerja kerajaan. Tapi tidak lagi kini. Semua orang menyumpah-nyumpah dengan kerajaan.

Wednesday, June 11, 2008

..::DILEMA SEORANG PENGAPIT PENGANTIN: MISI MENCARI BANTAL PELUK::..

Aku. Tengah cari bantal peluk.

Ada 3 pilihan. Yang pertama, ntah apa jenamanya. Tak kenal pula aku. Tapi harganya boleh tahan agak mahal. Untuk bantal peluk lah.

Pilihan kedua. Dari jenama yang dikenali. Harganya murah sikit daripada yang pertama tadi. Cantik bentuknya.

Aku berkenan pilihan yang ketiga ni. Jenama sama dengan yang kedua. Cuba-cuba peluk. Sedap. Tapi. Tak ada pula tanda harganya. Macam mana nak beli.

Kesudahannya. Aku balik saja. Tanpa bantal peluk.

Thursday, June 05, 2008

..::DILEMA RAKYAT MALAYSIA: HARGA MINYAK NAIK::..

Mulai tengah malam tadi, harga minyak naik 78 sen seliter, menjadikannya RM2.70 seliter. Dan pagi ni semua orang bercerita tentang minyak.

Lepas ni, jangan terkejut kalau kereta kecil pun nak isi minyak penuh boleh cecah ratusan ringgit. Gila.

Ok. Kerajaan kata akan bagi bayaran tunai kepada rakyat. RM625 setahun. Cukup untuk apa sebanyak tu? Cukup untuk 12 kali isi minyak selama setahun sahaja.

Nanti akan keluar lagi kenyataan: "Harga petrol naik, tetapi rakyat tetap isi minyak". Tak ke bodoh namanya tu. Habis mahu isi kereta dengan minyak apa? Minyak masak? dengan air?

Kata Kerajaan lagi, marilah kita ubah cara hidup.

Ya.. ya.. marilah kita ubah cara hidup.

Mereka yang berpangkat besar dalam Kerajaan Pak Lah, sila isi minyak guna duit sendiri. Bukan dengan duit rakyat. Sila lah beli barang dan makanan sendiri bukan guna duit elaun. Sila juga bayar duit tol sendiri, bukan guna smart tag yang dibiayai menggunakan duit rakyat. Juga, marilah makan ubi macam yang kerajaan sarankan. Tiada lagi keraian-keraian di hotel-hotel mewah yang dibiayai juga menggunakan wang rakyat.

Lepas ni tak ada lah batik sutera. Hanya baju kain cotton yang semeter belas-belas ringgit saja ya.

Dan. Malaysia kini sedang menuju ke arah negara maju yang semakin menindas rakyat.

Wednesday, June 04, 2008

..::BENARKAH?::..

Kadang-kadang
Mengetahui sesuatu kebenaran itu
Lebih payah untuk diterima
daripada
tidak mengetahui apa-apa..

benar juga kata pepatah

Don't judge a book by its cover

Tuesday, June 03, 2008

..::MENGAYAT CINTA::..

Awak suka membaca kan?

Jadi sempena birthday awak, saya hadiahkan novel ini.



Baca, jangan tak baca tau.

Wednesday, May 28, 2008

..::DILEMA SEORANG PENGAPIT PENGANTIN::..

"always a bridesmaid but never a bride"

Walaupun bukan untuk kali ke 27. Namun, ia masih boleh menjadi tekanan.

Tinggal lagi lebih kurang 10 hari. Kata aku sebagai motivasi kepada bakal pengantin perempuan. Walaupun tarikh sebenar ada berbelas hari lagi.

Sempatkah mahu siapkan semuanya?

Baju sudah ada. Tapi. Kasut dan tudung yang sepadan belum dibeli.

Siapa yang nak tolong solekkan aku yang tak pernah bersolek ini? ha ha.. perlukah?

Mungkin ia masih perlu. Siapa tahu di sana nanti aku bakal bertemu pasangan jiwa?

Ya. Siapa tahu.

Dan siapa pula yang akan menjadi maid of honor?

.. Aku juga rasa debaran dan tekanannya..

Tuesday, May 27, 2008

..::TAG::..

Aku tak ada kerja. Boss pergi seminar di Langkawi. Jadi untuk menunjukkan yang aku tak buat bodoh saja di pejabat, maka aku mengetuk papan kekunci menjawab tag yang dah lama tertangguh. Aku ditag oleh Kimi dan Cik Jah.

Senaraikan 5 hadiah yang anda impikan:

1. Mesin Basuh Samsung WA10U3
2. Set CorningWare 5 beradik
3. LG KU990 mobile phone
4. Pakej percutian ke Eropah atau Australia
5. Menang peraduan Shell/Bonuslink - wang tunai atau bekalan petrol

ooohh.. hadiah impian aku sangat berpatutan kan.. aku rasa kawan-kawan pun mampu tunaikan impian aku ni.. ahaha..

Senaraikan alasan atas pilihan anda itu:

1. Mesti la sebab nak senang basuh baju. Sekarang aku cuci kain baju secara manual. Kalau dapat hadiah ini, sungguh suka hatiku ini.
2. Untuk pilihan ke 2 dan 3 ni sebab aku memang suka. Dan kalau hadiah lagi la aku suka. Tak payah keluar duit untuk beli.
4. Itu adalah 2 benua yang aku teringin nak pergi
5. Kalau dapat wang tunai, aku boleh lunaskan hutang pelajaran. Ha ha ha.. kalau dapat bekalan petrol, bleh jimat duit woo.. petrol mahal ar.

5 impresi terhadap orang yang diminati:

1. Hafaz 30 juzuk Al-Quran
2. Suara sedap terutama sekali kalau azan
3. Tulisan tangan yang cantik
4. Pandai main alat muzik
5. Cerdik matematik (tetapi bukan yang menjadi teman sosial kemudiannya)

Perkara yang paling hebat pernah dilakukannya untuk anda

Mak ngan ayah la. Besarkan anak yang ramai. Bagi pendidikan dan penuhi segala keperluan asas sebaiknya. Dengan pendapatan yang aku kira sangat minima.

5 ciptaan yang paling disukai (tidak semestinya melibatkan teknologi yang maju)

1. Air (ciptaan Allah)
2. TV - Walaupun aku tak langgan ASTRO, tv percuma yang ada dah cukup buatkan hidup aku ceria
3. Peti Ais
4. Kamera
5. Kapal terbang - Besi berat dan besar tuh boleh terbangkan orang ramai / kargo wooo

Apakah perkara paling dibenci?
1. Pembunuhan berleluasa
2. Orang tak baik
3. Budak-budak muda yang beromen tak kira tempat dan tak tahu malu
4. Tak tau dah.. ada juga perkara yang aku tak suka.. tapi tak la sampai tahap benci.. kan tak sama tu..

5 orang yang mahu ditag

1. TasikMerah
2. Cik Daun
3. Mya - eh hangpa dah pernah ke buat tag ni? kami lupa la
4. Amyz
5. tak tau dah nak tag sapa lagi

Saturday, May 24, 2008

..::PAK PAK PUNG KOMPANG DIPALU::..

Cuti sekolah menjelang. Muncul satu musim lain. Orang bernikah dan orang bersanding.

Ini jemputan yang aku terima. Daripada rakan sepejabat. Ada 5 pasangan sebenarnya. Tetapi yang seorang tu cuma lekat kad di papan kenyataan sahaja. Semua jemputan tu pula untuk tarikh 31 Mei dan 1 Jun.

Kad yang ada gambar pengantin tu untuk majlis resepsi. Buat di Istana Budaya. Pengantin perempuan yang sama nama dengan aku. Ha ha ha..



Salah seorang rakan pejabat yang nak bernikah tu minta tolong aku jahitkan manik untuk bajunya.

Inilah hasil selepas aku berhempas pulas menyiapkannya. Iya lah.. Baju pun bagi saat akhir. Dan aku bukanlah penjahit sepenuh masa.



Dengan siapnya tempahan tu, maka bolehlah aku tidur dengan lena minggu ini..

Oohh.. Tidak lupa. Selamat Pengantin Baru. Juga selamat menyambut ulangtahun perkahwinan kepada yang akan menyambutnya.

Wednesday, May 21, 2008

..::APA BARANG BARANG APA::..

Suatu petang yang damai. Dalam kesesakan lalulintas. Terdetik di hati nak tengok handphone dalam handbag.

Uwop!! Uwop!! Ada 5 missed called dari Naga. Apa dia nak ni. Setahu aku dia tak kan bazirkan kredit kalau tak de hal penting-penting.

Aku telefon semula. Ya. Aku ada 250 minit panggilan percuma. Jadi gunakanlah ia sebaik mungkin.

"Hello babe, kau pindah bangunan mana sebenarnya ni..." Kedengaran terus suara dengan nada yang bisa mencairkan gadis-gadis genit dari corong sebelah sana.

"Laa.. Aku pindah Bangunan MAS lah. Jalan Sultan Ismail tu. Depan Hotel Equatorial. Kau nak tanya tu je ke? Sampai 5 kali missed called."

"ha ha ha.. wooo sesak la sana tu. Kau bawak kereta ke?" Pakcik ini memang seorang yang concern.

"Bawak. Tapi 1/2 perjalanan je. Aku naik monorel. Huh! kau nak tahu, tadi aku balik dalam monorel padat gile. Aku lagi sanggup jammed atas jalan lagi daripada jammed dalam monorel dengan macam-macam orang dan bau yang ada." Oohh.. mula mengadu domba.

"Eh, kau orang naik monorel tak beratur ke?" Tanya pakcik prihatin lagi.

"Memang la beratur. Tapi kau tau la, punya la ramai orang. Dah tak boleh nak masuk, apa barang mau tolak-tolak!!" Gadis genit mahu lepaskan amarahnya.

"Wooo!! Nida sebut barang la, Vovin." Kedengaran suara pakcik sebelah sana.

"Hah!! Barang apa?" Soal lelaki yang bernama Vovin itu pula.

HAMPEH!!

Monday, May 19, 2008

..::MALU BERTANYA SESAT JALAN::..

Tapi bila dah tanya, ikut la apa orang dah bagitahu tu.

Jika aku cakap jalan terus. Kamu akan melalui 3 tol. 1 di Batu 9/Cheras Perdana, 2 di Plaza Phoenix dan 3 tol 50 sen, maka terus saja sampai jumpa tol yang 3 itu.

Kemudian, kamu jalan terus lagi sehingga nampak Menara (rebung) TM, dan jumpa simpang ke KL Sentral/Pusat Bandaraya, Jalan Klang Lama, dan Lebuhraya Petaling Jaya/Shah Alam/Klang. Ambil simpang ke Lebuhraya Petaling Jaya. Mid Valley di sebelah kanan dan Angkasapuri di sebelah kiri. Terus lagi sikit. Ada simpang ke Kerinchi Link. Jangan naik yang itu. Terus ke hadapan (tentulah kan?) dan naik simpang ke Kampung Kerinchi/Jalan Pantai Baharu. Di lampu isyarat pertama, ambil simpang kanan, tapi di lampu isyarat kedua kamu terus. Maka UM berada di sebelah kiri kamu. Di bawah flyover, ada lampu isyarat. Ambil kiri.

Jika kamu memang suka-suka mahu sengaja turun ke Pusat Bandaraya. Sebelum jumpa tol yang ke-3 itu. Melalui jalan yang ada banyak kon dan blok penghadang bersusun (Jalan Loke Yew) dan tembus berhampiran Masjid Negara. Kemudian lalu di hadapan Stesen Keretapi dan sebagainya. Itu terpulang.

Keadaan perjalanan yang kamu lalui pada hari Sabtu dan Ahad adalah berbeza dengan apa yang bakal kamu hadapi pada hari berkerja biasa.

Ucapan aku. Semoga berjaya sampai tepat pada waktunya tanpa rasa tertekan.

Oh, kalau kamu mahu ke Serdang. Kemudian dalam komuter ke Rawang baru kamu tanya ke arah mana sepatutnya kamu pergi, ya.
Kalau bukan kerana aku pergi rumah kakak di Putrajaya hari Sabtu lepas, mungkin pagi ni aku tercongok kat pejabat sorang-sorang.

Aku lupa hari ni cuti hari Wesak.

Thursday, May 15, 2008

..::PARTY DI GERAI HARAM TEPI JALAN::..

Dah lama tak jumpa kawan-kawan. Sesekali luangkan masa ikut perjumpaan yang dianjurkan, walaupun berbentuk party.

Party di William's. Pertama kali aku pergi tempat ni. Gerainya biasa saja. Tapi makanannya punya kelas tersendiri.

Ini apa yang aku makan. Oppss air tu satu gelas je. Gelas yang lagi satu, pasangan penganjur punya.



Ini gambar lain pula. Pinggan kosong yang banyak.



Petua:

Sila kosongkan perut jika mahu datang ke sini

Untuk pengetahuan, hidangan datang dalam saiz BESAR. Satu hidangan tu boleh makan untuk 2 - 3 orang. Kalau masing-masing perut kecil, 5 orang pun cukup. Jadi buatlah pilihan yang bijak.

Elakkan pilih pasta kuah tomato

Nadia (wife Kemat) order pasta kuah tomato. Aku mintak nak rasa sikit. Terus terang aku katakan, aku buat lagi sedap. Agaknya itu la sebab kenapa Nadia tak dapat nak habiskan makanan tu.

Pujian: Keenakan makanan lain memang superb. Aku mesti datang lagi. Daripada aku membayar harga yang mahal di Marche, baik aku datang William's. Lagi puas hati. Makanan sedap, harga pun berpatutan.

Saturday, May 10, 2008

..::PINDAH::..

Ini pemandangan dari cermin pejabat baru aku..



Dan.. Aku akan merindui segala kemudahan asas yang terdapat di Maju Junction. Sungguh.

Juga.. Aku akan merindui SOGO.. yang semakin jauh dariku... ha ha ha..

Thursday, May 08, 2008

..::LIPAS DAH HABIS?::..



Walaupun buku lipas dari 'penternak' ini sudah habis, anda boleh cuba dapatkan daripada penternak lain.

Anda boleh cuba hubungi tokrimauATgmailDOTcom untuk maklumat lanjut.

Terima kasih atas sokongan anda!!!

Wednesday, May 07, 2008

..::HUJAN ITU::..

Berbicara dengan teman. Tentang hujan.

5 hari pulang ke kampung, aku tidak merasa setitis hujan pun. Yang ada cuma panas. Sangat terik. Tiada lagi kabus dan kesejukan di waktu pagi.

Selepas sehari kembali ke kota, aku bertemu hujan.

Kata teman lagi, di kota ini penuh lumpur. Penuh noda. Penuh dosa. Hujan itu membersihkan segala kotoran.



Namun katanya, itu hanyalah metafora.

Ya. Seperti yang selalu disebut orang. Ada rahmat di sebalik hujan itu.

Monday, May 05, 2008

..::KEMBALI KE ALTERNATIF::..

Semalam. Dari tol Kamunting lebih kurang jam 11.30 pagi. Tiba di Tol Ipoh Selatan jam 12.00 tengahari. Dan berhenti di Hentian Jejantas Sungai Buloh jam 2.00 petang. Kemudian. Jam 2.45 petang aku tiba di tempat letak kereta belakang Central Market.. Ha ha ha.. (fikir sendirilah kenapa Polis sangat suka hantar surat layang kepada aku)

Aku sudah kembali ke Kuala Lumpur. Dan terus ke KL Alternative Bookfest.



Menempel di meja jualan Sol-jah. Bertemankan Pipiyapong yang bisu. Membuatkan aku terlupa seketika bahawa aku boleh bersuara. Dan rupa-rupanya Pipiyapong juga tidak bisu. Suaranya sangat mahal. Hanya kedengaran bila dia meminta izin untuk ke tandas. Meninggalkan aku sendirian di meja jualan. Sehinggalah dia muncul semula ketika jam hampir ke angka 6. Meja jualan sudah mahu dikemaskan.

Aku. Berjaya jual 4 buah Gangguan Teksual. Stok aku.
Stok Sol-jah. Habis licin.

Tapi. Aku lupa ambil gambar suasana di sana. Sungguh alternatif.

Tuesday, April 29, 2008

..::BERPERGIAN::..

Saya sedang menghadapi peperiksaan sekarang ini. Selama tiga hari berturut-turut. Bila menghadiri peperiksaan, saya dapat cuti tanpa rekod. Kemudian pada 2hb saya ambil cuti rehat dan balik kampung. Tapi bukan untuk mengecat rumah.

Balik nanti, saya akan jawab tagged Cik Daun ya.. Dan saya sedang berfikir-fikir mahu kembali ke tahun yang keberapa. Tapi Cik Daun kata dia tak mahu berkawan dengan siapa yang tak jawab taggednya itu. Ok. Jika itu pilihannya, sila lah cari orang lain sebagai pengapit anda nanti ya.. ahaks

Ooohh.. jika dilihat di ruangan chat box itu, ada seseorang yang mahu berkenalan dengan saya. Dia juga bertanyakan saya ini tingkatan berapa.

He he he.. saya lihat emailnya. Tertulis _93.. Selalunya orang akan letak itu tahun kelahiran. Dan jika saudara lahir pada tahun 1993, bermakna saya telah menamatkan zaman persekolahan ketika saudara berumur 3 tahun. Jadi.. kira lah sendiri ye..

Tapi tak salah untuk berkenalan.. dan saya sambut salam perkenalan saudara itu.. Terima kasih..

Hmmm itu saja buat masa ini.. jangan rindu-rindu saya ya..

Tuesday, April 22, 2008

..::KALAU TAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANA KAN DAPAT SAGUNYA::..

Kakak aku beritahu. Jika mahu pokok tanaman kita sihat dan subur. Maka siramlah ia dengan air basuhan beras.

Ooohh.. Itu petuanya.

Tapi. Aku. Basuh beras pun jarang-jarang sekali. Silap-silap beras pun tak ada. Macam mana mahu dapat airnya. Ha ha ha...

Sudahnya. Beginilah rupa tanaman aku.




* Entry ini bersempena dengan hari bumi sedunia.

Monday, April 21, 2008

..::APA YANG SEMUA ORANG SUKA DAN TAK SUKA::..

Hari Sabtu lepas. PDRM buat satu tawaran. Sempena pembukaan Kaunter Trafik di gedung membeli-belah The Curve.

Tengok saja berapa ribu orang yang beratur. Seawal 8.00pagi kawasan ni dah dibanjiri manusia. Kaunter hanya mula dibuka jam 10.00 pagi. Yang menyedihkan, hanya 1 kaunter bayaran dibuka. Memang ramai yang maki kebodohan polis. Ha ha ha..



Ini perkara gila yang kedua pernah aku buat, selepas yang pertama kali dulu, beratur untuk beli kek di kedai Resepi Rahsia.

Hanya untuk dapatkan potongan 50% untuk bayaran saman, aku beratur dari jam 11.00 pagi hingga jam 6.50 petang. Aku ada 2 saman had laju yang setiap satunya bernilai RM300.00 ya.

OK. Ini pula perlakuan sumbang orang Melayu, Islam tentunya, di khalayak awam. Ketika orang ramai sedang beratur untuk melunaskan saman masing-masing.



Kalau kamu sudah tidak tahan, pesan saja kepada orang yang di depan dan belakang kamu. "Tolong jagakan tempat kami ya, kami ada sedikit kerja. Mungkin akan kembali selepas 2 - 3 jam". Dan pergilah daftar masuk ke Hotel Royale Bintang Damansara di sebelah itu.

Sebagai membalas dendam dan menghargai jasa kaki aku beratur sebegitu lama. Aku jamu perut yang tidak diisi sejak pagi dengan hidangan di restoran yang entah bila lagi aku nak masuk.



Terima kasih kepada potongan bayaran saman. Kerana kamu, aku dapat bayar harga makanan di Marche.

Thursday, April 17, 2008

..::BILA RASA TERAGAK-AGAK, PASTI ADA SESUATU TERJADI::..

Pagi tadi. Nak pergi kerja. Aku rasa teragak-agak nak tutup pintu bilik. Oohh, rupanya aku belum tekan kunci pintu.

"Tap!" Tekan kunci. Tarik tombol dan rapatkan pintu.

*Plop*

Di tangan hanya ada kunci kereta. Jadi bermakna kunci rumah ada dalam bilik.

Macam mana nak pergi kerja? Aku. Terkunci di tengah rumah.

*Plop*plop*

Aku ada satu set kunci asas di tepi TV.

Pergi kerja dulu lah. Balik nanti baru fikir macam mana aku nak buka kunci pintu dan masuk bilik. Jadi McGyver atau pecahkan saja pintu.

Tuesday, April 15, 2008

..::KALAU TAK TEKAN SUIS, LAMPU TAK AKAN MENYALA::..

Kamu kata, tunggu lampu hijau daripada saya.

Tapi lampu kuning pun kamu tak pasang.

Lepas tu, suis pun kamu tak tekan.

Macam mana lampu nak menyala.

Atau sebenarnya kamu dah pasang lampu berteknologi tinggi yang boleh menyala secara automatik?

Hmmm.. Tapi sebelum tu kita kena buat wiring dulu lah kan..

Monday, April 14, 2008

..::PESTA BUKU YANG ADA TARIAN NAGA::..

"Salam dengan Mummy Nida" suruh si ayah kepada 2 anaknya. Muhammad dan Emily. Pandai hormat 'orang tua'. Salam cium tangan.

"Siapa lagi handsome?" Si ayah minta puji.

Tapi aku mesti kata Muhammad lagi handsome. Putih. Bulu mata lentik. Kening tebal. Ha ha ha.

"Muhammad lahir di mana?" Mahu kepastian kalau-kalau Muhammad ini terkena kenan orang di negara asing.

"Key Ell" Muhammad dalam pelat luar negaranya.

Woho!! Key Ell!! Ha ha

"Sekolah tingkatan berapa?"

"Form thrree" Kali ni lebih pekat pelatnya.

Uwop! uwop!

"In that case, I should not shake hand with you"

eeeeiiiooouuuu...

Thursday, April 10, 2008

..::MENUJU PUNCAK::..

Kebelakangan ni aku sangat sibuk. Tak berselera nak update blog.
Biar gambar sahaja yang berbicara.


Invitation daripada Astro Corporate Communication


* Aznil sebagai pengacara majlis
* Persembahan pertama oleh Faizal
* Diikuti oleh Mila dan seterusnya Zahid
* Persembahan Mawi paling lama

# Mila lebih kecil daripada aku


* Sheikh Muzaffar muncul. Pelik aku bila penonton semacam histeria je tengok dia
* Persembahan penutup oleh Anita Sarawak. Nenek yang tak reti duduk diam
* Kemudian peserta AF6 naik atas pentas

# Door gift yang diterima
# Gambar dengan Mawi tu kawan aku yang nak. Aku temankan saja

Kesudahannya, aku sampai pejabat jam 5.00petang.

Wednesday, April 02, 2008

..::SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN::..


Payung?
Originally uploaded by madulebah


Aku mahu

kau terus memayungi ku

di sepanjang perjalan ini..

Friday, March 28, 2008

..::SEMUA ORANG PERLU MAKAN::..

Dapat peneraju baru.

Berlatar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi.

Jadi mulai sekarang dan dalam tempoh 4 tahun akan datang.

Mungkin. Tiada lagi istilah persembahan percuma atau tiket percuma.

Wednesday, March 26, 2008

..::ADA APA DENGAN PERTEMUAN::..

"Akak masih ada perasaan pada abang lagi ye?" Tanya si adik yang sudah punya seorang anak.

Aduhai cik adik. Soalan apakah itu?

Kami hanya makan tenghari bersama. Sekadar memenuhi tanggungjawab so-sial. Dengan seseorang yang sudah dikenali sejak 10 tahun lalu.

Jika semudah itu tahap perasaan dinilai.
..::KALAU LANGGAR, TAK ADA SIAPA YANG UNTUNG::..

Cuaca mendung. Perjalanan agak lancar. Aku menahan kantuk. Mungkin sebab ice blended cream chips yang aku minum sebelum pulang.

Depan Sapura. Ada kereta keluar. Aku bagi jalan. Kereta bergerak bumper to bumper sebab mahu naik ke susur flyover. Aku masih di belakang kereta tadi.

Semakin lama mengekori, aku jadi hilang sabar dengan perangainya. Lemah gemalai nak mampus. Berduyun-duyun kereta lain memotong barisan dan mencuri masuk di hadapannya. Aaarrgghh!! Mahu saja aku langgar buntut kereta bernombor plate CB* 7*60 itu. Tapi aku masih waras. Kalau langgar harus aku yang salah. Walaupun memang itu niat aku.

Sambil cuba hiburkan hati, aku juga menyumpah-nyumpah pemandu itu. Huh! Dasar pemandu perempuan. Slow!! Lembab!! Penakut!!

Eh, aku pun pemandu perempuan juga. Tapi aku dalam kategori lain ya.

Monday, March 24, 2008

..::EKSPRESI::..



Duduk diam di rumah. Masak-masak. Kemudian makan-makan. Sambil tonton tv dan baca buku.

Adalah lebih baik daripada keluar berjalan-jalan dan membeli-belah.
..::BILA FIKIRAN BERCELARU MACAM-MACAM BOLEH JADI::.

I
Kereta dibiar tidak berkunci semalaman

II
Tingkap kereta terbuka sepanjang hari di parkir berseberangan dengan pejabat

III
Aku mula belajar untuk telan 2 biji paracetamol sebelum tidur

Friday, March 21, 2008

..::OF FEELING::..

I hate being controlled by emotion

but finally

you make me happy



at least until end of the day..

Monday, March 17, 2008

..::SEKILAS IKAN DI AIR SUDAH TAHU JANTAN BETINA?::..

Aku. Tunjuk gambar keluarga kepada seorang teman.

Dalam proses mengenali antara satu sama lain. Kononnya.

Wow! Ini keluarga P*S ke? Soalnya spontan.

Ha ha ha..

Wah! sejak bila fahaman politik boleh dilihat melalui gambar?

Dan

Aku syak

Gambar dan gaya kami sekeluarga tidak HADHARI...

Friday, March 14, 2008

..::ESCAPISM::..

Hari Jumaat.

SOGO dan The Mall seolah memanggil aku untuk menyahut seruan papan tanda ini.



Dan aku terbayang beg tangan Sembonia yang dibelek saban minggu.

Thursday, March 13, 2008

..::ISI BEG TANGAN/PURSE/WALLET::..

AMARAN : Entri ini sangat panjang.

Ada seorang lelaki botak telah tag aku. Tentang apa yang ada dalam beg tangan/purse seseorang tu. Katanya dari situ personaliti seseorang itu terpamer. Sumpahan akan berlaku jika tag berkenaan diabaikan.

Tapi hakikat sebenarnya, lelaki botak itu cemburukan aku. Walau macam mana pun, aku layan juga lah kehendaknya.

Ini beg tangan aku dan isi perutnya.



Beg comel dibeli di Lovely Lace. Isi dalamnya:

1. Purse - Mesti ada sebab dalam tu ada macam-macam

2. Payung - Sediakan payung sebelum hujan. Maklum la sekarang ni hujan turun tak menentu masa dan tempat

3. Handphone & Earphone - Handphone cokia saja.

4. 2 buah buku nota & pen - Satu untuk catat segala keluar masuk kewangan. Satu lagi untuk catatan lain sebagai contoh resepi.

5. Buku - Untuk bacaan ketika menunggu. Penantian itu satu penyiksaan. Jadi pilih membaca sebagai escapism. Sekarang ini dalam beg ada buku Kasut Biru Rubina.

6. 3 gugus kunci - Kunci rumah, kunci bilik pejabat, kunci kereta.

7. Sepaket tisu

8. Dompet zip dari Korea - Dalamnya ada Clorets dan 2 unit thumbdrive. Mana tahu nanti ada putera bawa kasut untuk cari calon isteri, clorets adalah penyelamat.

9. Uncang comel - Dalamnya berisi sheer gloss (Artistry), Lipstick (Maybelline) & Perfume Oil (Bodyshop)

10. Kotak cermin mata

11. Cokelat Snickers - untuk dikunyah ketika memandu

12. 3 paket garam ORS - Akhir-akhir ni perut aku kerap meragam.

OK. Habis sudah dengan apa yang ada dalam beg. Sekarang apa yang ada dalam purse pula.



Dompet Kulit Jenama Sembonia (tahun 2001) - dibeli dengan wang gaji bulan-bulan pertama kerja. Apa ada di dalam:

1. Wang Tunai - Tinggal RM18.49 sahaja. Semalam aku sudah belanja makan di restoran mahal dan pagi ni aku sudah bayar parking.

2. Kad Pengenalan & 2 keping lesen memandu - Satu lesen yang ada gambar. Dah tamat tempoh pun. Satu lagi yang akan tamat bulan depan

3. Kad Keahlian - Bonuslink, SOGO, Jaya Jusco, Uda Ocean dan Fotokem. Jangan terkejut kerana semuanya berkaitan dengan shopping. Ha ha ha.. Aku juga ada warranty card untuk barang jenama Carlo Rino.

4. Kad ATM - Maybank, Bank Islam dan RHB Bank beserta RHB DotCom Card untuk internet banking

5. Tiket - Pas Perjalanan Bas Intrakota. Ini aku simpan sebagai kenangan. Sekarang Intrakota sudah tidak wujud lagi. Juga 2 Keping tiket ke Menara KL.

6. Buku Alamat - yang tak pernah dikemaskini isinya

7. Dentyne

8. Pen

9. Sekeping plaster luka

10. Kalendar poket - Satu adalah kalendar tahun 2004. Kenapa masih disimpan aku pun tak pasti. Satu lagi adalah kalendar semasa tahun 2008.

11. Setem - Edisi tertentu. Sukan Sea XXI KL 2001 - RM0.30|Taiping 125 tahun (1874-1999) - RM0.50|Tapak Penghentak Pintu - RM0.30|Sambutan 50 tahun Hari Kanak-kanak Sedunia 2003 - RM0.20|16 keping setem RM0.03 gambar Merbah Beringin. Ini aku beli untuk hantar kad ucapan hari raya.

12. Gambar sendiri - 5 keping gambar ukuran pasport & filem. 1 keping gambar yang dipotong.

13. Penanda Buku - Dapat masa beli ubat gigi Mukmin. Ada hadis kat situ.

14. Boarding Pass - Bertarikh 26 Dis 2007 perjalanan KL - Langkawi

15. 2 keping tisu - mungkin perempuan tak boleh berenggang dengannya

16. Simkad Hotlink - Dah expired pun. Aku tak biasa pakai prepaid

17. Resit ATM - Keluar duit berjumlah RM1.4k dalam 4 resit berasingan. 2 resit deposit untuk duit KUTU dan 1 resit pindah wang kepada Amyz untuk gathering GJ tahun lepas

18. Kad Nama - Berita Harian-Shaidah Shafie, Dental Surgeon-Dr. M. Yunus, Tukang Jahit Wanita Lee Lee, A One Locksmith & Trading, Klinik Dr. Tan & Kedai Gas. Selain itu ada kad Ezham, Diman, & Zulhelmi. Kawan-kawan lain jangan berkecil hati ya. Kad nama anda disimpanan di tempat yang lebih selamat. he he he

19. Kertas - ada nombor telefon Azmi yang tak aku ingat siapakah dia. Ada juga kertas tertulis nombor akaun bank Indon untuk bibik boss lama aku. Satu keratan akhbar alamat sebuah restoran di Queen's Park Cheras

20. Resit - Pusat Kursus Perkahwinan. Resit membeli belah di SOGO, IKEA, Giant, Econsave dan Parkson Grand. Resit makan di KFC, Restoran Lemon, Rafflesia Chicken Hut, Secret Recipe & Pesona Food Court. Resit keputusan eye test.

Selepas dibongkar isi perutnya, baru aku sedar banyak juga sampah dan kertas tak berguna. Mungkin aku ini sentimental. Ketika entri ini ditaip, dompet aku sudah menipis. Sebahagian resit dan barang lampau yang tiada makna sudah di-tong-sampah-kan.

OK. Puas hati? Sekarang aku mahu tag 5 orang lain.

1. Pijah - jawab ye mama.. he he

2. Kimi - "Kenapa encik simpan mykid anak encik?"

3. Lan Rasso - Orang pemalu mesti banyak simpan rahsia

4. Suhail - Sorry akak tak tahu nak tag siapa lagi.. he he he..

5. Cik Daun - I tau U bz dengan persiapan kawin. I kesunyian sekarang ni.. ahaks

Wednesday, March 12, 2008

..::JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Tadi. Lunch dengan Bayan. Yang comel. Mula-mula nak makan di Laksa Shack. Bangsar Village. Rupa-rupanya restoran tu dah tak wujud di sana. Ketinggalan zaman sungguh kami ini. Untuk tidak menghampakan diri, kami pun berangkat ke Bangsar Village II.

Di Bangsar Village II kami ke Restoran Suchan. Maria Tunku Sabri pernah makan di sini dalam salah satu siri JJCM.

Ini adalah apa yang aku makan.

Ada top hat sebagai appetizer dan Laksa Thai sebagai hidangan utama.



Ice Lemon Tea dan chocolate brownies. Ada satu kejadian lucu tentang Ice Lemon Tea itu. Tapi biarlah kami berdua saja yang tahu. Ha Ha ha..



Pada aku, restoran ni best. Pelayannya berbudi bahasa. Dan kita boleh menikmati hidangan dengan selesa. Makanan boleh tahan. Kuah laksa yang aku makan sangat pekat. Terasa ikannya. Harga makanan mengikut set pun adalah dalam lingkungan kemampuan. Ahaks.

Paling aku suka ialah ayat-ayat menarik pada menu yang disediakan. Eerrr sungguh yummy ayat-ayatnya. Ha ha ha. Tapi tak ada gambar untuk ayat-ayat yummy itu.

TQ Bayan sebab sudi lunch dengan aku. Nanti kita shopping sama-sama pula ye. *wink*wink*

Ada pakcik botak yang cemburu kata kami teruk kerana pukul 2.45 baru masuk pejabat semula. He he he.

Tuesday, March 11, 2008

Aku dah habis baca novel ini. Ada 40 lebih chapter. Sekali baca aku, akan baca dalam 3 chapter bergantung kepada tahap ketahanan mata. Tapi semalam aku habiskan juga baki yang separuh tu. Sebab rasa tak sabar nak tahu apa yang jadi selanjutnya.



Nangis dan gelak sorang-sorang atas katil. Tidur pukul 2.00 pagi. Bangun pagi mujur mata tak bengkak. Tapi mengantuk Tuhan saja yang tahu.

Esok aku akan start baca novel ni pulak.




p/s : Amyz, nanti dah habis baca ni boleh pinjam novel lain pulak kan?

Monday, March 10, 2008

..::SUAI-PADAN::..

Ada peribahasa yang sangat sesuai dengan 'Kerajaan Pemerintah'

Yang dikejar tak dapat

Yang dikendong berciciran

Saturday, March 08, 2008

..::CUKUPLAH::..

Ini.



Kasut ketiga yang aku beli dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Cukuplah.

Jangan goda aku lagi.

Bimbang nanti aku kena beli rak kasut yang baru pula.

Friday, March 07, 2008

..::HADHARI::..

+ Weh kami terperangkap dalam lif

- Ha ha ha.. dah keluaq ke belum?

+ Ada ka gelak. Dah keluaq dah. Ada orang datang selamatkan.

- Abeh tak kan aku nak nangeh? He he he.. Hadhari sungguh orang yang selamatkan hangpa tu kan? he he he

+ Memang hadhari. Ada 2 orang pakai vest BN lagi. Dalam sibuk pasang bendera, sempat selamatkan orang.

- Wow boleh buat iklan TV macam ni. ha ha ha

Tuesday, March 04, 2008

..::SERINGGIT::..

Ada sekeping note seringgit tercicir. Depan pintu bilik air wanita. Di pejabat.

Aku biarkan saja. Tak tahu siapa empunya. Yang keciciran duit seringgit itu.

Tadi. Dari bilik. Aku nampak seorang makcik cleaner keluar dari bilik air. Kutip duit seringgit tu. Masukkan dalam kocek. Pandang sekeliling.

Mungkin duitnya yang tercicir. Atau itu dikatakan 'rezeki'nya.

Tak tahu lah. Sebab aku tak nampak siapa yang tercicir seringgit tu. Tapi aku nampak siapa yang mengutipnya.

Hanya Dia yang Maha Mengetahui

Monday, March 03, 2008

..::GEDIK-GEDIK::..

Sejak minggu lepas, kelopak mata aku yang sebelah kiri asyik tergedik-gedik saja. Ntah apa la penyakitnya.

Sesetengah orang kata; mahu tengok sesuatu. Apa yang sesuatunya pun aku tak tahu.

Kawan aku pula kata; kelopak mata aku tu tergedik-gedik sebab nak tengok duit keluar.

Tiba-tiba hari ini aku dapat rasakan ada betulnya cakap kawan aku tu.



Ya. Aku beli kasut dan batik lagi.

Saturday, March 01, 2008

..::MASKARA 7::..

Maskara 6 terasa baru saja melabuhkan tirainya. Kini muncul pula Maskara 7.
Apakah ia lebih hebat? Adakah bahangnya semakin panas??
Sama-sama kita saksikan.

Tarikh : 1 Mac 2008 (Sabtu)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Rumah PENA, Kuala Lumpur




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Apa yang aku suka tentang MASKARA ialah;

Makanan yang disediakan sentiasa habis

Friday, February 29, 2008

..::ANAK SIAPA NI?::..



Tengok budak tu. Dalam versi menjelang pilihanraya, ia dikatakan "kepimpinan melalui tauladan".

Kecik-kecik dah disogokkan dengan handbag. Pantang tengok handbag. Suka yang amat. Pegang tak nak lepas. Siap gigit lagi tali beg tu.

Budak kecik ni tahu kalau ada handbag, mesti nak pergi pasaraya. Nak membeli belah. Boleh beli apa yang dia nak. Dia suka.

Tapi mujur la budak ni tak duduk Kuala Lumpur. Kalau tidak pasti dia sudah kenal SOGO, Mid Valley, KLCC selain daripada Giant dan TESCO yang memang sudah dikenalinya sejak bayi lagi.

Monday, February 25, 2008

..::TAK PERLU MEMBELI::..

Hujung minggu yang baru lepas ni aku tak kerja. Memandangkan TV pun tak ada rancangan yang menarik, maka aku pun mencari hiburan sendiri. Hiburan yang lebih memberi kepuasan kepada diri aku. Apa lagi kalau bukan masak-masak dan makan-makan.

Jumaat malam, lepas balik kerja aku cuba buat kek pisang. Resepi kek ni aku dapat daripada kakak aku masa balik cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni. Kat kampung haritu aku dah cuba buat, jadi elok memandangkan peralatan lengkap. Eeerrr cuma rasanya TERmanis sikit. Itu boleh adjust. Kat sini aku serba kekurangan. Blender pun tak ada. Oven elektrik pun tak ada. Jadi telur dan gula aku pukul secara manual.



Inilah hasilnya kek pisang yang dibuat secara manual dan dibakar dengan menggunakan oven Butterfly saja. Naik cantik kan? Rasa pun sedap.. ha ha ha..

Semalam pula aku cuba satu lagi resepi. Ini aku ambil dari suratkhabar. Tajuknya ialah kepak ayam madu.



Gambar kiri ialah kepak ayam yang sedia untuk dimakan. Gambar kanan pula pinggan ayam dan nasi yang sudah licin.

Jadi, sekarang ni untuk makan kek pisang dan kepak ayam madu, aku tak perlu beli di kedai lagi. Boleh buat sendiri saja. Lagi puas.

Friday, February 22, 2008

..::SEKALI CUBA, TAK NAK CUBA DAH::..

Pernah dengar Restoran Lemon? Tentu pernah kan.. Selalu keluar surat khabar.. TV pun selalu dipromosikan. Ni restoran milik David Teo, tuan punya Metrowealth Movies.

Semalam aku, Cik Daun dan Salina mencuba la hidangan di Restoran Lemon cawangan Metropoint, Kajang. Kebetulan pergi Kajang, melawat Nazmi yang masuk PUSRAWI akibat bronkitis.

Malas nak cerita panjang, tengok gambar-gambar makanan yang telah dicadangkan oleh adik waitress restoran tu. Siakap steamed Thai style Petai, Nestum butter prawns, Braised Mixed Vege.



Ok. Ni pula gambar 2 orang anak dara yang sedang kelaparan. Di sebelah tu pula gambar pinggan yang dah licin.



Sebenarnya apa yang dihidangkan tak seperti yang kami harapkan. Siakap steamed tuh ialah ikan yang dikukus kemudian disimbah dengan sambal petai. Rasanya juga hanya lah so-so saja. Tapi kami positif. Makan sajalah dah itu rezeki kami semalam. Kerana ada perkara lain yang boleh dinikmati. Dan kami enjoy segala moment yang ada. Bercerita itu ini. Maklum lah tak lama lagi Cik Daun dah nak jadi Puan Daun. Lagipun kami dah lama tak keluar sama-sama.

Thursday, February 21, 2008

..::SOMEONE.. SOMEWHERE.. IS OUT THERE FOUR YOU::..

SETIAP makhluk diciptakan berpasangan dan jangan bersedih jika anda masih sendirian, belum bertemu pasangan bersesuaian.


Petikan perenggan pertama satu artikel dalam Harian Metro hari ini. Mengingatkan aku tentang sesuatu. Tentang diri sendiri. Tentang jodoh. Tentang kuasa Allah.

Lewat 2 minggu yang lepas, sebelum pulang bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina, aku sempat menonton Filem Hindi - Dil To Pagal Hai di TV9. Ya. Aku tonton filem Hindi. Tapi hanya filem yang dibikin sekitar tahun 1996 - 2000 sahaja.

Filem tu bercerita tentang jodoh. Isyarat-isyarat yang kita terima dan petanda-petanda yang ditunjukkan kepada kita. Mungkin orang boleh kata itu sekadar dalam filem. Nampak mudah. Tak dinafikan. Tapi apa yang difilemkan juga berdasarkan apa yang terjadi di sekeliling kita.

Dalam Harian Metro memetik beberapa petanda seperti :

Dia tidak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga anda, juga tidak peduli masa lalu anda bersama kekasih terdahulu. Dia juga tidak malu-malu menceritakan masa lalunya. Nah, jika begitu ini bererti dia sudah siap menerima anda seadanya.


dan

Setiap orang pasti memiliki kekurangan dan anda tidak malu memperlihatkannya pada si dia. Si dia pula tidak segan menceritakan kelemahan dan kekurangannya pada anda. Anda dan si dia barangkali memang ditakdirkan untuk bersama.


Jadi, bila membaca artikel ini dan teringatkan apa yang aku pernah tonton dalam filem, aku terima dengan positif apa yang dilalui. Dan pedulikan segala unsur negatif yang datang dari luar. Dari orang lain yang tak akan berhenti bersuara. InsyaAllah satu hari nanti ia pasti akan tiba.


Artikel penuh di sini

Wednesday, February 20, 2008

..::WALK IN vs WALK OUT::..

Di pusat membeli belah Alamanda, ada sebuah kedai bernama Walk In. Kedai ni semacam badi kepada aku.

Setiap kali aku walk in, aku tak pernah walk out dengan tangan kosong. Ha ha ha..

Dan ini yang aku dapat semasa sesi walk in-walk out minggu lepas. Sepasang kasut yang dah lama aku teringin nak pakai.



Sebenarnya aku mintak warna lain. Tapi memandangkan nak dapat saiz pun sangat lah susah jadi aku beli saja warna yang sangat sweet itu.

Tak nampak macam kasut kanak-kanak kan?

Tuesday, February 19, 2008

..::LELAKI + MINAT - PEREMPUAN::..

Lelaki sanggup melabur ratusan ringgit malah ribuan ringgit untuk minatnya. Membeli gadget-gadget terkini, kereta, atau sukan mewah yang diceburi. Jarang berkira. Malah kadang-kadang tak berkira langsung.

Bila disuarakan, ada saja jawapannya. Paling mudah, sudah jadi minat.

Tapi bila nak buat pelaburan jangka panjang, pinang perempuan, nak kawin berkira pula.

Mana satu yang jadi priority?

Monday, February 18, 2008

..::TAK KENAL MAKA TAK CINTA::..

Aku mahu

kenali dia..

dan

aku mahu

cinta dia..

Thursday, February 14, 2008

..::KALAU TIADA ANGIN MASAKAN POKOK BERGOYANG::..

Kalau ada yang terdengar khabar mengatakan Nida bernikah hari ni, memang betul. Mengambil sempena tarikh 14 Februari. Mahu jadikan kenangan terindah.

Tapi Nida itu bukan aku. Itu orang lain yang namanya sama dengan nama aku. Kesamaan yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan.

Nida bernikah hari ni. Bernikah untuk kali yang ke *tooot*. Dengan pasangan yang juga bernikah untuk kali yang ke *tooot*.

Tahniah. Semoga berkekalan(?) juga.

Wednesday, February 06, 2008

..::KIASAN II::..

+ Mak ganti bumbung rumah *sebuahan. Mak nak kenduri pa?

- Mana aku tau

+ Mak tau. Ha ha. Tunggu hang bawak balik cat dengan bagitau tarikh ja lagi.

- Ceh!! Keji ja

+ Apa pulak keji. Betul apa. Ha ha

SMS adik aku hujung minggu haritu. Aik. Apa ni? Main kasar nampak.



* Eerrr aku xtau nak translate macam mana. Mungkin keseluruhan kot?

Tuesday, February 05, 2008

..::SEGAN::..

Bawa bekal? Aku tegur sorang pegawai di pejabat ketika sama-sama tunggu lif.

Biasa la. Dok KL. Sorang pulak tu yang kerja. Jawabnya sambil merendah diri.

Lagipun sejak akhir-akhir ni kerap bawa kereta. Sambungnya lagi.

Kenapa tak naik LRT? Aku tanya dalam keliru sebab tahu rumahnya tepi tangga stesen LRT saja.

Segan tua-tua ni kena berdiri dalam LRT. Jawabnya sambil sengeh.

*Plop*

Tiba-tiba gambaran LRT Sentul dan wajah uncle Naga yang lebih tua hampir 10 tahun daripada pegawai itu muncul dalam kotak fikiran aku.

Dan aku ketawa dalam hati kerana jawapannya itu.

Monday, February 04, 2008

..::MASKARA 6::..



Maaf, aku cuma ada gambar ini sahaja. Itu pun diambil menggunakan kamera telefon 2 megapixel.

Dan gambar ini aku ambil dari flikr LanRasso.



"Pantang bagi orang perempuan jika ditanya umurnya" Tegur Tok Rimau kepada si Ahli Silap Mata muda.

Malam yang sejuk dek hujan sekejap-sekejap lebat, sekejap-sekejap merintik jadi panas dengan persembahan MASKARA. Tambah panas bila jam menunjukkan angka 11.00. Klasifikasi persembahan mula bertukar simbol. Pertama kali MASKARA berakhir hampir tengah malam.

Saturday, February 02, 2008

Sudah masuk Edisi Ke-6. Satu kejayaan besar.



Bukan hanya untuk kawan-kawan yang kita suka. Kawan-kawan yang kita tak suka atau buat-buat suka pun boleh.

Mari teruskan kesinambungannya!!