Wednesday, December 30, 2009

..::LANGKAH PERTAMA::..

Sesungguhnya.
Perjalanan kita masih jauh.

Tuesday, December 29, 2009

..::HALUAN::..

Di situ. Kamu.
Di sini. Aku.


Menanti.
Pasti.

Monday, December 28, 2009

..::KEMBALI::..

Hai.

Saya sudah kembali ke dunia blog ini.

Ada banyak perkara perlu dibereskan dulu.

Nanti lah saya sambung cerita-cerita di sini.

Jumpa lagi. Daaaa...

Saturday, December 19, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : UNDANGAN II::..

Menjelang hari ke 19 dalam bulan Disember. (Untuk entry baru sila scroll ke bawah. Entry ini akan kekal sehingga hari kejadian)

Dengan ini saya ingin menjemput pembaca blog saya yang budiman untuk sama-sama meraikan majlis ini.

::sila klik gambar untuk paparan lebih jelas::


Kehadiran tuan/puan akan menambahkan seri majlis ini. InsyaAllah.

Doakan saya ya!!

Friday, December 11, 2009

..::OWH!!!::..

Saya. Hubungi kawan-kawan lama. Untuk menyampaikan perutusan.

Respon yang diterima daripada beberapa orang kawan membuatkan saya rasa 'owh'.

Respon 1
Mimi cuti bersalin. Anak nombor 5.

Respon 2
Aku ada ja kat rumah. Dalam pantang. Baru 4 hari. Bersalin anak no. 4

Respon 3
Laila baru selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.2kg

Respon 4
Hang pos alamat kampung lah. Aku tengah pantang ni. Baru bersalin Jumaat lepas.

Respon 5
Aku 17hb tu baru masuk kerja. Cuti bersalin.

Soalannya, apa tafsiran sebenar 'owh' itu?

Thursday, December 10, 2009

..::MANDI::..

Semalam, saya dengar dalam radio. Juruhebah kongsikan perkara-perkara baik yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w.

Antara perkara baik itu ialah, amalan mandi di subuh hari sebelum matahari terbit sangat bagus kerana air yang jatuh ke badan kita mampu memecahkan molekul lemak yang terkandung di dalam badan.

Waaahhh!!! Kalau begitu, lepas ni tidak kira hari bekerja atau hari minggu, pasti saya akan rajin mandi di subuh hari.

Wednesday, December 09, 2009

..::SRROOOTTT.. SRROOOTTT.::..

Ini hidangan makan tengahari saya. Rojak buah.



Sebenarnya rojak ni sedap. Tapi hari ini cik adik manis penjual rojak ni gagal memenuhi selera saya walaupun sudah dipesan berkali-kali.

"Tak nak cili"

Akibatnya, sekarang hidung saya yang selesema bertambah perit dan merengsa kerana ia bukan cili biasa. Tapi sambal belacan.

Aduh!!! Srrroottt... srrroottt...

..::TAK CUKUP RASA::..

Lokasi : Restoran Nu-in, Bandar Baru Bangi

+ Saya nak kuew teow tomyam. Tapi tomyam tak nak pedas ye.

Seketika kemudian makanan sampai. Mula hirup sedikit kuah.

+ Hmmm.. Macam tak cukup rasa je.

- Mana lah nak cukup rasa, dah tomyam tak pedas!!

*PANG!!!!*

Ya, saya perempuan yang tak makan pedas tapi bakal bersuamikan orang Negeri Sembilan.

..::BERHENTI BERDETIK::..

Pagi ni jam tangan saya berhenti berdetik.

Kiraan. Lagi 10 hari.

Agaknya, jam tangan ni merajuk. Macam tahu-tahu saja saya akan dapat jam tangan baru.

He he he

Saturday, December 05, 2009

..::YOU GO FIRST I GO SECOND::..



Tahniah kepada Mya dan Zalmi di atas pernikahan kalian.

Semoga ikatan pernikahan ini berkekalan hingga ke Syurga. InsyaAllah.

Doakan saya juga ya.

Friday, December 04, 2009

..::HANI LEMPENGNYA HANGUS::..

Itu Hani lain. Hani ini lempengnya elok tak hangus pun. Malah, sangat sedap. Ha ha ha. Tiba-tiba puji diri sendiri walaupun cuma masak lempeng.

Sebenarnya, ini pertama kali saya buat lempeng. Lempeng pisang. Sesikat pisang tu pula mak saya bagi awal November dulu sebab kononnya nak buatkan pisang goreng untuk bakal menantunya. Tapi tak jadi buat pun. Saya goreng pisang tu dan makan sendiri saja. Kemudian saya kata nanti lah saya buatkan kek pisang. Tapi dikeji pula sebab pisang goreng yang mudah pun saya tak buat ini kan pula kek pisang.

Asalnya semalam balik kerja saya memang dah semangat nak buat kek pisang. Bahan-bahan semua dah keluarkan. Tiba-tiba aura kek hilang. Sudah-sudahnya saya rasa nak buat lempeng dan makan dengan sambal ikan bilis saja.

Oleh kerana baru pertama kali nak cuba, saya pun telefon mak untuk tanya cara-caranya. Mak terus jawab "macam buat cecodok lah". Ha ha ha. Saya sambut dengan ketawa besar. Dan sila keji saya. Kuih-muih lain seperti karipap, roti canai, nagasari (hanya menyebut beberapa nama) semua saya sudah buat. Tapi tidak cekodok.

Tapi saya tidak lah sampai tak tahu apa bahan-bahan asasnya. Pisang (sudah tentu lah) + tepung gandum + gula + sedikit garam. Mak kata adunannya biar cair sikit. Lepas tu mak kata "handek lagi sadep campor sikit niyor". Sekali lagi ha ha ha. Mana nak cari kelapa? Jadi sila abaikan bahan yang tiada. Untuk tekak sendiri, masak saja menggunakan bahan yang ada depan mata.

Maka, selepas pot pet pot pet dari cerita macam mana nak buat lempeng, ke cerita persiapan kenduri, melangkau pula cerita hujan setiap hari sehingga lori hantar pasir terbenam tayar, saya pun mulakan operasi mengupas pisang yang kulitnya sudah keras hitam melekat sebab dah sebulan dalam peti ais. Ok saya tau sepatutnya saya kupas dulu kulitnya sebelum simpan dalam peti.

Maka, bersilatlah saya di dapur. Dan. Inilah hasilnya lempeng pisang + sambal tumis ikan bilis. Yang cantik dan tidak hangus macam lempeng Hani. Sedap walaupun sesuatu.

..::Lempeng pisang awak::..


Kerana pertama kali percubaan, saya terima hakikat kegagalan. Tiada orang tak pernah gagal, kan?? Dan saya sudah syak sesuatu yang tidak kena bila adunan melekat sedikit di kuali yang katanya non stick itu.

Sekali lagi saya telefon mak. Dan tiba-tiba juga saya menjadi anak yang begitu kerap menelefon emaknya. Ha ha ha. Minta kepastian mak dan kemusykilan saya bahawa adunan kurang tepung benar. Mak juga kata mungkin saya terlebih letak gula. Ok, nanti lebihan adunan akan saya buat penambah-baikan dan lihat hasilnya kemudian.

Dan entry panjang lebar ini diakhiri dengan gambar pisang goreng yang begitu sedap dimakan panas-panas di musim hujan begini.

Thursday, December 03, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : SENAMAN PERCUMA::..

Semalam. Pihak pengurusan bangunan yang disewa oleh Jabatan saya mengadakan latihan kebakaran dan pengungsian bangunan.

Mahu tidak mahu saya mesti turut serta. Sementelah saya ialah seorang ketua tingkat. Yang bertanggungjawab. He he he. Ya, saya menjadi ketua tingkat 34. Ruang pejabat paling atas di bangunan berkenaan.

Jadi tak perlu cerita panjang. Saya turun berpuluh-puluh atau mungkin mencecah ratusan anak tangga dari tingkat 34 ke tingkat 0 dan berhimpun di hadapan bangunan bersebelahan Jalan Sultan Ismail.

Ini adalah senaman percuma kepada saya yang sejak akhir-akhir ini berasa ukur lilit badan mula bertambah. Pecah juga peluh. Walaupun kata orang turun tangga tidak begitu memberi kesan jika dibandingkan dengan aktiviti menaiki tangga.

Owh. Akibat senaman percuma itu, baru hari ini saya rasa seluruh kaki dari paha ke bawah mengalami pengejangan otot.

Wednesday, December 02, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : FAKTA ATAU AUTA?::..

Dalam tempoh 2 minggu kebelakangan ini. Tiba-tiba sudah dua orang menegur saya.

"Nida nampak berisi lah."

Persoalannya: fakta atau auta?

Jika auta, ok lah. Saya redha. Senang hati katanya.

Jika fakta, nampak gayanya saya kena cuba setiap hari baju nikah yang dah 2 bulan ditempah. Agar setiap penambahan atau pengurangan dapat dipantau secara berkala.

Dan. Lebih penting, supaya nanti tiadalah manusia yang menangis di pagi hari pernikahan kerana baju tidak muat di badan.

Tuesday, December 01, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK: SEMBILAN NEGERI::..

Pagi Aidil Adha. Rumah yang wajib untuk dikunjungi ialah rumah jiran sebelah. Tok Nek & Maksu E-Ros.

Pot pet pot pet sambil makan laksa. Juga menu wajib di rumah E-Ros.

- Kao aroh kina lawanan orang mana?

+ Orang Negeri Sembilan

- Bah jauh nye am?

+ Napa pang. Sabit ito lambet kawen. Tahok mencari'e, sampai sembilan negeri, hanyar tahage. Hi Hi Hi.

- ekekeke.. neren je eih..

* eerrr sila alih sendiri bahasa perbualan berkenaan. Bukan susah pun.

Monday, November 23, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : CERITA HARI INI::..

Hari ini. Saya terlambat bangun. Jadi terlambat keluar rumah. Bawak kereta macam ribut. Sampai di lorong smart tag tengok baki duit tinggal RM1.25. Musykil. Marah pun ada. Sedangkan semalam baru saja saya top up RM20.00. Saya syak mesin touch n go di stesen komuter dah telan duit saya. Ya, semalam saya naik komuter.

Sambung cerita hari ini. Lepas susur Salak, di Jalan Tengah menghala ke PJ sesak ntah kenapa. Padahal saya nak lalu sikit saja. Nak susur ke Terowong SMART. Dah la lambat. Melambatkan lagi. Bengang pasal touch n go belum habis.

Mujur juga pagi tadi kawan saya belanja sarapan. Katanya nak tenangkan hati saya yang tengah panas. Terima kasih Sidha.

Hari ni saya buat banyak benda. Dan jumpa ramai orang. Saya pergi Maybank. Lepas tu saya singgah pejabat pos. Pos kad jemputan. Kemudian saya pergi jumpa kawan di Maju Junction.

Sebenarnya saya janji dengan orang lain. Tapi orang tu tak jawab telefon. 5 kali + 2 kali saya SMS. Jadi saya SMS orang lain. Mujurlah orang tu nak temankan saya makan. Sambil tu saya bagi juga kad jemputan yang memang saya dah sediakan. Dalam masa yang sama saya SMS orang lain. Ajak jumpa. Bila orang lain tu datang, kawan yang temankan saya makan tadi balik. Pot pet pot pet sambil hulur kad, kemudian kami berpisah mengikut haluan masing-masing. Saya pergi naik ke pejabat orang yang sebenar-benarnya saya nak jumpa sebelum ni. Hulur kad lagi. Dan saya balik. Jam pun dah menunjukkan pukul 2.00 petang. Harus saya kembali ke pangkal jalan.

Hari ni saya pergi Maju Junction naik monorel saja. Sebab hujung minggu saya dah makan banyak. Jadi saya kena banyak berjalan. Bila sampai di stesen dekat pejabat saya, baru saya teringat sesuatu. Perkara yang sangat teruk. Saya terlupa bayar apa yang saya makan sedap-sedap tadi. Kelam kabut telefon kawan yang temankan saya makan tadi. Minta tolong dia bayarkan. Ish apa nak jadilah kan. Mujur juga saya teringat. Kalau tidak entah apalah. Rosak betul.

Di pejabat orang sibuk suruh mohon cuti untuk bulan Disember. Segala maklumat kena jana dalam sistem sebelum 9 Disember. Jadi permohonan berkelompok perlu dibuat hari ni juga. Boss saya pula tak ada. Sistem HRMIS pun tak boleh nak buka kalau siang-siang ni. Kalau nak buat kena awal-awal pagi atau petang-petang. Hmmm.

Sebenarnya tadi saya beli bunga untuk diri sendiri. Tapi tak boleh nak letak di sini sebab kabel camera ada di rumah. Dalam surat khabar semalam kata tidak salah hadiahkan bunga untuk diri sendiri sebagai cara untuk mengembalikan mood yang telah lari.

Ok. Cukuplah saya menulis tanpa hala tujuan untuk hari ini.

Thursday, November 19, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : UNDANGAN::..

Harap bersabar ya. Saya sedang menguruskannya. Saya tahu semualah macam tak sabar nak tengok saya jadi pengantin. Kan?

Longgokan kad.
Motif tunjuk sampul alamat Ajid? Ha ha ha.




Sebahagian nama yang ada dalam senarai jemputan.
Oh, kebanyakan kawan saya semua sudah berkeluarga.




Selepas dibuat pengkelasan.




Dan. Hari ini fasa pertama pengedaran kad secara besar-besaran bermula.

Kepada kawan/kenalan saya yang membaca blog ini secara senyap, sedar bahawa saya tiada langsung cara untuk menghubungi anda, atau berkemungkinan saya akan terlepas pandang nama anda, sila emailkan alamat anda ke madulebahATgmailDOTcom. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan TERUS KEPADA SAYA di alamat email berkenaan.

Sehingga itu, maaf saya pohon daripada semua.

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : MENGASAP DAPUR::..

Sejak lepas Ramadhan, dah lama sangat rasanya saya tak masak-masak. Sampai kadang-kadang kesian juga dengan dapur saya yang tak dijenguk. Bukanlah saya tak makan. Tapi makan sekadar sajalah. Tidaklah saya beriya menumis segala.

Semalam entah kenapa tiba-tiba saya rasa mahu masak. Lagipun hujan lebat sangat di luar. Nak pergi pasar malam pun tak berselera. Kalau ikutkan tekak memang dah lama sangat teringin nak makan kari ikan bawal + bendi. Tapi tu lah. Bila hujan nak bergerak pun jadi malas.

Jadi kerana nak juga makan kari, saya guna sajalah bahan yang sedia ada di rumah. Maka, terhasillah hidangan ini.


::kari sardin + roti canai::


Cukuplah sementara mengisi tekak saya seorang.

Wednesday, November 18, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : HANGAT::..

Hujan. Tiap hari. Sejuk. Sangat.

Tidur malam. Stokin. Selimut tebal.

Tapi. Tetap tidak dapat menghangatkan suasana.

Tuesday, November 17, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : SESAK NAFAS::..

Nanti-nantilah saya kemas kini blog.

Ada banyak perkara mahu saya selesaikan. Mahu jahit manik pada baju polos saya. Dalam masa yang sama mula mengedarkan kad jemputan. Semak senarai takut ada yang terlepas pandang. Sambil tu fikir-fikir juga pasal hiasan hantaran. Bunga telur. Bunga tangan. Alas dulang. Jurusolek. Nikah.

Tiba-tiba rasa sesak nafas.

Saturday, November 14, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : TIDUR::..

Semenjak dari bulan Ramadhan yang tak berapa nak baru berlalu, membawa sehingga ke hari ini, asal sahaja lepas Isya' saya mesti rasa mengantuk dan nak tidur. Tak tertahan-tahan. Kadang-kadang tu lebih teruk lepas maghrib pun saya boleh terpengsan.

Hmmm... Mengapa-lah? Dan. Bagaimanakah?

Thursday, November 12, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : PLAN PENJIMATAN::..

Kata orang, mahu melangkah ke alam perkahwinan banyak perkara perlu diambil kira. Terutama sekali tentang pengurusan kewangan. Walaupun pendapatan isi rumah bertambah kerana suami isteri juga bekerja, namun perbelanjaan juga bertambah. Ada perbelanjaan yang akan wujud selepas berumahtangga.

Maka dengan itu, sebagai langkah permulaan saya ambil tindakan untuk:

1. Tamatkan pakej RM68 Celcom Broadband.

2. Daftar supplement number di bawah plan 5 + 1

3. Bertukar kepada Celcom Prepaid Broadband. (your 1st prepaid broadband in Malaysia)



Dan. Bagaimana sekali pun cara kita mengendalikan kewangan keluarga, yang paling penting - kerjasama.

Wednesday, November 11, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : SHORT TERM MEMORY LOST::..

Sejak akhir-akhir ini saya kerap kali kehilangan ingatan tentang perkara-perkara yang baru saja berlaku. Atau perkara yang selama ini selalu saya ingat.

Hmmmm.. Jangan saya terlupa bila tarikh nikah sudahlah.

Tuesday, November 10, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : SEKALI SEKALA APA SALAHNYA::..

Hujung minggu lepas saya keluar dengan girlfriends. Berjumpa-jumpaan yang tak mempunyai tujuan khusus. Pagi hari kejadian baru sepakat mahu jumpa di mana. Itu pun jumpa dulu kemudian baru tentukan arah.

Perut sudah kelaparan tahap dewa. Masing-masing belum sarapan walaupun jam sudah menunjukkan hampir waktu makan tengahari. Tak boleh nak fikir apa yang nak dimakan, akhirnya kami sepakat mahu makan di Chili's. Ya, keputusan yang teruk jika mengambil kira faktor kewangan semasa dan perancangan masa depan. Tapi semua pun setuju apa salahnya sekali sekala dan kononnya mahu meraikan sesuatu. Lagipun nanti entah bila baru boleh keluar 'bujang' begitu.

Lalu, kami habiskan masa hampir 3 jam berada di Chili's.

Mula-mula ambil Triple Play sebagai pembuka selera



Kemudian pilih Fajitas Trio untuk hidangan utama



Untuk pengetahuan, Fajitas Trio ini adalah menu baru. Roti yang dibekalkan di dalam set ialah 3 keping. Tapi pelanggan boleh minta lebih tanpa dikenakan sebarang caj tambahan. Saya recommend hidangan ini. Sungguh.

Akhir sekali ambil Moltan Chocolate Cake sebagai pencuci mulut. Memang heaven



Apa yang istimewa di Chili's, air adalah bottomless termasuk jus buah-buahan segar. Saya kata begitu kerana kebanyakan restoran hanya memberi keistimewaan kepada ice lemon tea.

Mango, Apple dan Green Guava



Memandangkan saya bukanlah jenis yang makan bersulam air, selalunya jika saya makan dengan pasangan memang order air satu gelas saja. Selain daripada boleh jimat, ia juga mengeratkan kasih sayang. *wink*wink*

Sila ambil maklum bahawa makanan yang dihidangkan di sini datang dalam saiz besar. Saiz besar, harga pun boleh tahan besar. Jadi buatlah pilihan yang bijak agar anda tidak membazirkan wang ringgit begitu saja.

Di samping menyediakan hidangan yang berbaloi, khidmat pelanggan yang diberikan juga sangat baik. Dan, saya sangat berterima kasih kerana mereka menyimpan telefon bimbit saya yang tercicir.


Untuk maklumat lanjut boleh layari www.chilis.com

Monday, November 09, 2009

..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : OUTING WITH GIRLFRIENDS::..

Single




But

not available


..::MINGGU-MINGGU TERAKHIR BERGELAR CIK : JIKA TV BOLEH BERBICARA::..

Jika kotak TV boleh berbicara.

Tentu ia akan berterima kasih kepada tetamu saya.

Walaupun hanya untuk beberapa jam. Tetapi khidmatnya telah digunakan.

Kerana. Bagi tuannya, siri Nur Kasih juga dirasakan sudah tidak menarik.

Friday, October 30, 2009

..::AMBOI!! SKANDAL!!::..

Baru-baru ni ada kawan lama yang dah terputus hubungan tapi bersambung kembali kerana FB menegur saya.

Berbasi-basian bertanya khabar. Ya, mereka kata saya yang membawa diri dan diam menyepi.

"Hang jadi setiausaha ke Nida? Itu yang last aku tau pasal hang"

"Bahasa biasa tu, setiausaha lah. Bahasa luar biasa personal assistant"

"wow!! Menarik!! PA dato' kah?"

"Boss dulu dato' lah.. boss lani tak.. Tapi kadang-kadang aku serve la gak dato' tu.. sebab dia sayang aku.. Hik hik hik"

"amboi... skandal"

Oh!! Tolonglah. Saya rasa isu setiausaha atau pembantu peribadi yang berskandal dengan boss atau dato' ini perkara lama. Mentaliti orang dulu-dulu saja yang selalu beranggapan begitu. Seperti setiausaha yang menggoda, berpakaian menjolok mata atau segalanya yang kurang enak.

Hmmm mungkin masih ada sebahagian yang begitu, tetapi secara umumnya momokan seperti itu sudah berlalu.

Dan, boss kalau nak berskandal tak payah tunggu setiausaha. Dengan pembantu rumah pun boleh. KALAU NAK.

Dan satu lagi. Dato' saya itu perempuan.

..::PENANDA ARAS::..

+ Jeans biru yang U pakai haritu ketatlah. Tak elok

- He he he.. Ye lah kat paha. Sikit. Tapi kan I dah berkurus

+ Lepas ni tak payah pakai kat luar dah. Pakai kat rumah je

- Alaaa... Sayang la jeans nak pakai kat rumah je..

+ Dah ketat. Tak payah la pakai keluar. Lupakan je segala jeans benchmark U tu

- Errkk!! Baik.. He he he..

+ Yang Levi's tu elok je tak nampak ketat pun. Nanti beli lagi macam Levi's haritu.

- Owh. Ok. (BELI lagi MACAM Levi's ke atau BELIKAN lagi Levi's?) *wink*wink*

He he he.. (thanks sebab tegur baik buruk I)

Thursday, October 29, 2009

..::PUAN::..

Dulu-dulu.

Saya agak sentap bila pemanggil di talian terus memanggil saya puan tanpa bertanya dahulu status saya. Ya, seperti yang saya pernah kata dalam entry yang entah bila saya malas mahu cari, kalau puan suka saja dipanggil cik tapi kalau cik dipanggil puan ia memang boleh mengundang marah.

Tapi itu dulu.

Sejak akhir-akhir ini saya sudah tidak kisah bila pemanggil terus-terusan menyebut puan. Malahan apabila pemanggil mahu berbicara dengan Puan Nida, saya dengan senang hati mengiyakan. Tanpa ada rasa sebal dan membetulkan 'kesalahan' pemanggil.

Ya, perasaan itu sudah ada dalam diri saya. Kerana saya bakal di-puan-kan dalam masa beberapa minggu saja lagi. He he he

Wednesday, October 28, 2009

..::MEMAAFKAN::..

Kadang-kadang..

Memaafkan orang lain lebih mudah

daripada memaafkan diri sendiri..

Tuesday, October 27, 2009

..::KE SHAH ALAM LAGI::..

Oh, sejak akhir-akhir ni saya selalu sangat ke Shah Alam. Setiap minggu sekurang-kurangnya mesti ada satu kali saya akan ke sana. Apa ada di Shah Alam?

Walaupun Shah Alam tak ada panggung wayang, tapi Shah Alam ada kedai-kedai yang best. Dengan harga yang berpatutan. Shah Alam juga ada jalan-jalan yang kurang sibuk. Dan paling penting Shah Alam ada orang yang saya sayang. He he he.

Kalau hari Sabtu lepas saya ke Shah Alam menemankan orang lain yang nak menempah baju nikah, semalam saya ke Shah Alam untuk fitting baju nikah yang saya tempah. Teruja sangat. Walaupun saya cuma tempah baju kurung moden kosong, tapi saya sangat puas hati. Alhamdulillah semuanya elok. Jahitan kemas dan baju terletak di badan. Manik-manik hiasan saya nak jahit sendiri saja. Jangan persiakan kemahiran yang dimiliki.

Kerana kami berdua sama-sama berpuas hati dengan hasil kerja kedai berkenaan, maka kami bersepakat untuk bekerjasama dengan mereka lagi. Kain baju yang akan dipakai semasa majlis resepsi pihak lelaki akan dijahit oleh kedai di Anggerik Mall itu. Tapi itu perlu ditangguhkan ke bulan hadapan. Banyak sangat perbelanjaan tertumpu pada bulan Oktober ni.

Dan memandangkan perkahwinan saya cuma majlis berskala kecil, tentu semuanya adalah dalam lingkungan harga murah-murah saja. Yang penting pada masa akan datang selepas berumahtangga saya dan suami tidak terbeban dengan segala hutang-piutang. And live happily ever after. hik hik hik

Monday, October 26, 2009

..::DARI SHAH ALAM KE MID VALLEY::..

Masih lagi aktiviti berjalan-jalan dengan kawan perempuan sebelum masing-masing menjadi isteri orang.

Dari Shah Alam kami ke Mid Valley. Masih mencari sesuatu yang berkaitan dengan perancangan masa depan. Orang adalah sangat ramai di lembah itu. Lagipun bila lah Mid Valley tu tak ada ramai orang.

Berjalan dari satu tingkat ke satu tingkat. Dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Mencari apa yang berkenan di hati sanubari. Sehingga lah kaki sudah penat melangkah. Lalu kami singgah merehatkan diri di sebuah restoran untuk melepaskan lelah.



Sambil pot pet kami makan dengan perlahan. Hidangan adalah bersaiz besar. Jadi pilih satu starter dan satu main course boleh makan 2 orang. Makan sampai tak larat. Lihat saja wajah saya. Mula-mula gembira sebab pertama kali dibawa makan di sini. Gambar kedua pula kelihatan muka ketat saya kerana dipaksa untuk menghabiskan hidangan.

Aktiviti sehari bersama kawan perempuan sebelum masing-masing menjadi isteri orang tidak berakhir di Mid Valley. Ia bersambung di rumah saya dengan aktiviti 'menciwikan' diri dengan barang-barang yang dibeli.



Dan. Ada orang tidur dengan kasut baru sambil feeling bersanding atas pelamin. Ha ha ha

..::ADA APA DI SHAH ALAM?::..

Hari Sabtu lepas saya keluar berjalan-jalan. Ala-ala aktiviti keluar dengan kawan perempuan sebelum masing-masing menjadi isteri orang. Memang berjalan-jalan sungguh sampaikan sakit pinggang-pinggang ni dek kerana memakai sandal yang kurang sesuai. Tapi pedulikan lah. Janji puas hati.

Pagi keluar, kami terus pergi Shah Alam. Tiba-tiba terfikir kenapa lah semuanya mahu ke Shah Alam apabila perkara itu berkait dengan perancangan masa depan? Best ke pun Shah Alam tu? He he he.. Pikir lah sendiri.

Mula-mula pergi Seksyen 11. Mujur juga tunang saya sudah beritahu Seksyen 11 tu dekat-dekat kawasan Concorde jadi kami terus saja ke sana. Pusing-pusing dalam kawasan perumahan. Woooo situ rumah besar-besar. Berkat kesabaran dan kegigihan, akhirnya ketemu juga rumah yang dicari. Pot pet pot pet dengan tuan rumah. Saya suka sebab tuan rumah adalah orang kaya yang taat. Dan kerana mereka taat jadi mereka juga sangat berbudi bahasa. Eh, tapi jangan lah pulak ada orang kaya yang sentap dengan ayat saya ini. Ini pandangan peribadi saya terhadap tuan rumah yang saya jumpa tu sahaja. Tiada kena mengena dengan yang hidup mahu pun yang sudah tiada di dunia ini.

Dari Seksyen 11 kami pergi SACC Mall. Mahu makan sebab masing-masing sudah kelaparan. SACC jadi pilihan sebab sana ada banyak kedai seperti Vincci dan Primavera. He he he. Kami makan di Palma Cafe.



Sebab dah seminggu tak makan nasi, maka saya belasah makan nasi goreng hokkien. He he he.. Puas hati sebab lauk banyak. Tak kedekut pun. Saya makan dengan perlahan. Dengan nafas yang teratur. Saya ada terbaca dalam surat khabar, teknik pernafasan yang betul juga adalah faktor mengekalkan bentuk badan yang molek. He he he.. Di samping itu kurangkan minum ais ya. Jadi saya minum teh o panas.

Ok tiba-tiba saya malas nak taip panjang-panjang. Nanti saya sambung lagi cerita tentang aktiviti membakar kalori selepas makan nasi dalam kuantiti yang banyak.

Thursday, October 22, 2009

..::HILANG MINAT::..

Sudah beberapa hari saya tidak tonton televisyen. Bukan minggu ni saja, tapi sejak kebelakangan ini memang saya jarang sangat menonton televisyen. Kalau ada pun, cuma untuk siri Nur Kasih setiap hari Jumaat.

Apakah saya sudah hilang minat terhadap 'kotak bodoh' itu?

Wednesday, October 21, 2009

..::RAMBUT::..

Baru-baru ni saya berbual dengan sekumpulan rakan sekerja.

Seorang rakan mengadu sejak akhir-akhir ni rambutnya gugur lebih banyak daripada biasa. Masing-masing menyuarakan pendapat. Punca berlakunya perkara sedemikian. Ada yang kata kerana tekanan. Yang lain kata faktor pemakanan jadi penyebab. Ada juga yang kata dia banyak berfikir. Saya juga pernah terbaca dalam akhbar menyatakan bahawa kerap memakai kasut bertumit tinggi juga boleh menjadi faktor penyumbang kepada keguguran rambut.

"rambut banyak gugur sebab pakai tudung" Tiba-tiba seseorang menyampuk dengan wajah tiada perasaan tetapi cukup yakin dengan pernyataannya itu.

PAANNNGGG!!!

Oh, saya tak la tampar dia. Tapi kata-katanya itu membuatkan mulut saya laju saja membalas sehingga orang lain di sekeliling tersengih-sengih.

Saya, tidaklah memandang serong kepada mereka yang tidak bertudung tetapi tolonglah berfikir dahulu sebelum memgeluarkan pendapat. Tambahan pula ia berkaitan dengan hukum Allah.

Ini pesan kakak untuk adik-adik ya. Jangan hanya bercakap ikut sedap mulut sahaja.

..::MAKAN-MAKAN::..

Syawal dah berlalu. Cerita-cerita raya juga semakin ditinggalkan. Tapi saya baru nak buat entry tentang jamuan raya di pejabat saya. Kejadian berlangsung minggu lepas.

Hmmmm.. tengok gambar sajalah ya.



Lagi makanan yang melimpah ruah



Sewaktu pusing-pusing rakam gambar, perut sudah terasa kenyang. Jadi saya cuma makan beberapa cucuk sate, sejemput bihun sup, buah-buahan, sekeping roti jala dan beberapa suap ABC.

Makanan lain saya pandang saja. Sudah sesak nafas. Sampaikan saya terpaksa longgarkan cangkuk kain. Sedangkan saya makan tak banyak pun. Ha ha ha

Dan. Berkat menjaga pemakanan dan senaman ringan yang saya amalkan setiap hari sejak akhir-akhir ini, saya sudah boleh memakai jeans penanda aras semula. Yey!!

Monday, October 19, 2009

..::BUDAK BESAR::..

"Kakak nak cari gelang ya?" Tanya jurujual kepada saya yang duduk di kaunter pameran gelang tangan.

"Budak besar mana?" Tanya jurujual lagi bila saya meninjau-ninjau dulang yang mempamerkan gelang kanak-kanak.

"Budak sebesar saya." Jawab saya ringkas sambil tersenyum manis. :)

"Oh, untuk kakak ya.." serba salah pula jurujual ni.

Mujur juga dia pandai ambil hati.

Akhirnya kami dapat apa yang diperlukan. Dan paling menggembirakan, semuanya berada dalam bajet walaupun harga pasaran emas bernilai RM127.00 satu gram.

Dan saya sudah mula menghitung hari :)

..::SAH::..

SAH!!

Saya tidak boleh pakai kanta lekap nanti. Maka saya akan jadi pengantin bercermin mata.

Doktor sudah sahkan mata saya berselaput. Tak boleh buat apa kecuali kawal agar selaput tu tak merebak sehingga menutupi mata hitam. Bila dah sampai keadaan macam tu, jalan terbaik ialah pembedahan.

Oh, doktor beritahu lagi. Selalunya perkara begini cuma terjadi kepada warga tua.

Dan, tunang saya cakap sila terima hakikat bahawa diri sudah tua. :(

Thursday, October 15, 2009

..::TAK MAKAN NASI.. TAPI::..

Sudah menjadi lumrah, bakal pengantin mesti mahu tampil bergaya, langsing dan segala propaganda kecantikan yang ada. Dan. Saya tak lepas daripada berperasaan sedemikian.

Sejak saya mengalami tekanan darah rendah yang agak kronik beberapa bulan kebelakangan, saya mula mengambil semula nasi. Kadang-kadang dapat kawal kuantiti. Kadang-kadang tak terkawal pula. Tapi sejak akhir-akhir ini keadaan seakan-akan terkawal. Jadi, saya mula cuba untuk mengawal semula pengambilan nasi. (Banyaknya perkataan kawal?)

Sebenarnya saya pernah terbaca di akhbar bahawa diet yang baik adalah dengan mengambil nasi dalam kuantiti sedikit, banyakkan makan sayuran dan buah-buahan segar dan minum banyak air putih. Katanya, itu diet yang diamalkan oleh orang Jepun, Korea dan negara seangkatan dengannya. Sebab tu kadar obessiti di negara berkenaan sangat kurang jika dibandingkan dengan negara barat.

Ok berbalik kepada cerita saya yang nak kurangkan pengambilan nasi. Semalam sarapan saya dah makan nasi lemak seringgit. Untuk waktu-waktu lain saya dah tak ambil nasi. Balik kerja tiba-tiba perut berbunyi kelaparan. Ha ha ha. Walaupun tengahari saya dah makan semanggkuk mee kari. Kadang-kadang pelik lah dengan perut ni. Kalau puasa tu tahan pula tapi kalau tak puasa asyik saya menjerit-jerit mahu diisi.

Jadi saya singgah pasar malam berhampiran rumah. Dan singgah gerai yong tau fu. Memandangkan saya penggemar makanan ni saya pun agak-agak lah pilih bahan. Kata nak kurangkan makan, jadi saya tak ambil banyak.

Tapi bila dah celur dan potong-potong, ini lah hasilnya.



Sambil makan saya gelak-gelak sendiri. Makan perlahan-lahan supaya nanti saya berjaya untuk habiskan. Dan kalau yong tau fu penuh pinggan macam tu, balik-balik sama saja dengan makan nasi.

He he he.

Wednesday, October 14, 2009

..::KENAPA? TAK PERCAYA?::..

Sejak sebelum puasa lagi, kawan-kawan di pejabat asyik mahu tempah jahit manik untuk baju mereka. Saya terpaksa menolak. Kerana saya sedang sibuk menguruskan sesuatu demi masa depan.

Ingatkan bila sudah menolak, tiada lagi permintaan. Rupa-rupanya walaupun sudah habis musim raya, tetap ada yang mahu saya jahitkan manik.

Namun, jawapan saya tetap sama. Tak boleh terima kerana saya sedang sibuk.

Tapi mereka tak puas hati dengan jawapan tu lalu bertanya-tanya apa yang sedang saya sibukkan.

Bila saya jawab sibuk mahu menikah, saya dikatakan 'gelenyar' pula.

Kenapa?

Itulah manusia. Kita cakap betul pun tak mahu dipercaya.

Tuesday, October 13, 2009

..::MATA::..

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan mata selalu bersalah

Eh tiba-tiba terkeluar pula rangkap nasyid dulu-dulu.

Bukan apa-apa. Cuma saya mahu cerita tentang mata saya yang sebelah kanan ini. Pagi ni mata saya sangat merah dan rasa tidak selesa. Macam ada selaput di sana sini.



Sejak seminggu yang lepas mata saya ni asik memerah. Sekejap berkurang. Sekejap banyak. Asalnya mahu pergi klinik hujung minggu yang lepas. Tapi hari Sabtu dan Ahad, elok pula mata ni. Siap boleh berjaga sampai lewat tonton TV. Sudah lah di rumah saya langsung tak pakai cermin mata. Ha ha ha.. Itu tabiat kurang baik.

Nanti lah kalau rasa macam susah nak baik saya pergi klinik. Perkara-perkara berkaitan mata ni kadang-kadang bila difikirkan boleh jadi takut. Ya lah. Mata ni satu nikmat kurniaan Allah yang tak ternilai.

Hmmm.. Lagipun kalau perkara macam ni berterusan, memang tak ada harapan untuk saya mencuba kanta lekap. Sob sob sob. Dan berkemungkinan sayalah satu-satunya pengantin perempuan yang berkaca mata di hari perkahwinannya.

Monday, October 12, 2009

..::CARI::..

Dulu. Saya tercari-cari dia.

Kini ketika saya sudah berhenti mencari

dia pula tercari-cari di mana saya.

Friday, October 09, 2009

..::HARI JUMAAT YANG SEPATUTNYA SAYA POSITIF::..

AMARAN : Entry ini mempunyai bahasa yang bercampur aduk. Saya dalam mood yang bercelaru

Hari ini komputer saya buat perangai. Mungkin dia sudah merajuk dan tak mahu bertuankan saya lagi. Mungkin. Buat ini tak mahu. Buat itu pun tak mahu.

Lalu saya telefon bahagian Teknologi Maklumat. Technician pun datang. Godek-godek komputer saya. Katanya HD saya perlu dibawa ke klinik. Mahu tak mahu saya terpaksa merelakannya.

Kini ia sudah dikembalikan. Dalam keadaan baru. Keadaan di mana beberapa perisian yang saya masukkan sebelum ini sudah tiada. Contohnya photoscape. Dan bila saya cuba untuk muat turun dan install, saya perlu mendapatkan kebenaran pentadbir dahulu. Ok saya rasa down.

YM pula memang technician sudah installkan. Tapi saya pula gatal jari pergi klik perkataan quarantine bila timbul notification daripada anti-virus. Sudahnya ia hilang dan tak boleh run. Dan bila uninstall dan cuba install semula, ya saya perlu mendapatkan kebenaran pentadbir. Padahal sebenarnya saya cuma perlu restore. Itulah padahnya. Tapi tak apa PPTM tu kawan baik saya. He he he.

Lagi satu Mozilla pun saya perlu install semula. Maka segala laman yang sudah saya bookmarks hilang. Jadi satu perkara lain pula nak cari semula link untuk pekeliling, jadual gaji dan sebagainya. Hmmmm.. WinZip pun sudah tiada. Kesimpulannya banyak juga perisian yang sebelum ini menjadi teman baik saya sudah tiada.

Dan saya perlu membiasakan diri dengan display baru komputer ini.

Wednesday, October 07, 2009

..::RUMAH TERBAKAR PANGGIL BOMBA BOMBA DATANG BERLUMBA-LUMBA::..

Pagi tadi. Sedang saya khusyu' menaip terdengar bunyi siren. Ne no ne no. Mula-mula saya tak ambil kisah pun. Tapi bila bunyi tu terasa sangat hampir saya mula menjenguk ke luar tingkap.

Waaahhh. Ada kejadian kebakaran rupa-rupanya. Saya pun cepat-cepat ambil kamera dan rakam gambar. Ha ha ha memang dasar blogger.



Penghuni bangunan sudah berpusu-pusu keluar. Sebuah kereta bomba dah sampai. Kat atas bumbung kelihatan seorang lelaki sedang mengibarkan kain putih. Saya syak dia terperangkap dan cuba meminta pertolongan. He he he (Kalau tak nampak sila klik gambar untuk paparan lebih jelas)



Asap berkepul-kepul menyelubungi ruang. Ahli bomba sudah sampai di atas bumbung dan kelihatan sedang cuba mententeramkan mangsa.



Sebuah lagi jentera bomba yang ada lif sampai. Sedang dalam usaha menurunkan mangsa.

Itu saja kejadian yang saya tonton. Kemudian saya buat kerja. Dan bila tengok semula, asap dah tak ada. Dan untuk makluman, bangunan oren itu ialah Menara ING yang terletak di Jalan Raja Chulan.

Tuesday, October 06, 2009

..::SIAPA MAKAN CILI DIA TERASA PEDAS::..

Acik Sapinat selalu cerita tentang kebun bibik di belakang rumah yang subur dan membuahkan hasil. Ada kacang, terung, jagung dan macam-macam lagi tanaman bersesuaian dengan kawasan tanah yang ada. Memang untung kalau kita rajin dan mahu berbudi kepada tanah.

Cemburu juga kadang-kadang tu. Saya tak ada tanah. Saya cuma ada balkoni seluas lebih kurang 7 kaki kot (sila keji sebab saya adalah tak tahu keluasan rumah sendiri). Tapi itu tetap tak menghalang saya untuk bercucuk tanam. Di rumah. Bukan di Facebook sahaja.

Saya pernah cerita tentang tanaman yang saya usahakan dalam entry setahun lalu. Kalau rujuk gambar dalam entry tu, benih cili baru bercambah. Tapi hari nih dah masuk kali ke 3 pokok cili saya berbuah. Sukanya saya. Walaupun saya tidaklah kuat makan pedas, tapi rasa pedas dalam masakan tetap mahu ada walaupun sikit. Jadi, sekadar potong-potong cili dan masukkan dalam masakan.



Elok sangat cili ni. Seminggu dalam peti ais pun tak kecut macam cili yang beli kat pasaraya. Hmmm ke sebab peti ais saya tu yang elok? he he he.. Nanti saya nak semai benih baru. Dan saya bercadang nak tanam cili api pulak. Nanti-nanti nak buat masak lemak cili api senanglah, petik saja dari pokok.

Jika diperhatikan gambar, yang kabur-kabur di belakang pokok cili tu ada pokok daun kari dan pokok daun pandan. Alhamdulillah walaupun cuma dalam pasu, tapi tetap subur. Kalau agak-agak pokok nak melayu (eh melayu?), sambil siram saya akan gembur tanah dan bercakap-cakap dengan tanaman saya. Saya pernah dengar orang bagi petua tu.

Walaupun ada kawan yang kata rumah saya tak ada bunga. Tapi saya tak berkecil hati. Saya memang lebih suka tanam pokok yang memberi manfaat. Dan, cukuplah saya sebagai bunga penyeri rumah itu.

Monday, October 05, 2009

..::RUMAH TERBUKA - DAPUR TERTUTUP II::..

Sambung entry rumah terbuka.

Lepas zohor saya pergi Bandar Teknologi Kajang. Sepupu saya buat rumah terbuka. Agak mengelirukan juga kawasan perumahan di sini sebab ia bersekali dengan kawasan perindustrian. Kena sabar mencari. Dan jika sesat di hujung jalan, sila kembali ke pangkal jalan.



Saya, kakak-kakak saya, anak saudara saya, sepupu saya dan keluarganya. Sepupu saya masak nasi minyak, ayam masak merah, dalca, nasi impit, kuah kacang, puding caramel. Lepak sembang-sembang sampai nak petang. Saya dan kakak-kakak saya berangkat pulang. Tapi tak lah pulang terus. Saya singgah Tesco Semenyih dulu.

Lepas maghrib saya ke rumah kawan sepejabat pula. Di taman yang sama dengan rumah kakak saya, tapi di fasa lain. Ini pertama kali saya ke rumah Gee walaupun dah berkali-kali saya pergi Taman Pelangi Semenyih. Dia taklah buat rumah terbuka. Tapi sudah saya mahu datang, mestilah dia buka pintu. He he he. Tuan rumah jamu bihun goreng, nasi impit dan kuah kacang.



Lepas pot pet pot pet saya dan Gee bergerak pula ke rumah seorang lagi rakan sepejabat. Gee paksa saya pergi sebab katanya sementelah saya ada di situ adalah dia kawan. Kalau tidak, bila lagi mahu ziarah menziarahi, walaupun duduk berjiran.



Suka-suka je pergi rumah orang malam-malam. He he he.. Tuan rumah tak jemu melayan tetamu. Dan tuan rumah ada koleksi pancing yang banyak dan tentu saja harganya mencecah ribuan ringgit. Peerrgghh.

Pukul 10.30 baru saya berangkat pulang dan tiba di rumah jam 11.15 malam. Sungguh memenatkan dengan badan yang melekit-lekit. Selesaikan apa yang patut dan saya pengsan menidurkan diri menjelang 1.00 pagi.

Alhamdulillah di atas segala nikmat yang dikurniakanNya.

..::RUMAH TERBUKA - DAPUR TERTUTUP::..

Alhamdulillah sempena Syawal yang masih berbaki, menjelang hujung minggu jemputan untuk majlis rumah terbuka datang mencurah-curah. Namun tak semua dapat dipenuhi.

Ini cerita saya yang menutup dapur sepanjang 2 hari bercuti.

Jemputan pertama di rumah kawan kakak saya di USJ 19. Saya kurang mahir dengan kawasan persekitaran Subang Jaya & USJ namun saya mendapat bantuan daripada Encik Google. Bila dicari kawasan itu, baru saya tahu bahawa bangunan kondominium berkenaan terletak di atas Digital Mall dan Carrefour USJ19.


Kualiti gambar kurang memuaskan. Saya budak baru belajar


Menu yang disediakan: Nasi impit, kuah kacang, lemang, rendang, soto, lontong, puding longan, jajan dan sirap. Saya jamah seadanya sebab lepas ni mahu ke Kinrara pula.

Di Kinrara 5, masih rumah kawan kakak saya. Tapi kerana dalam keluarga saya, kawan kita adalah kawan semua orang, jadi memang saya kenal rapat dengan tuan rumah. Dan kalau tidak salah ini sudah kali ke 4 saya ke majlis rumah terbukanya.



Ini gambar kakak saya dengan tuan rumah dan kawan-kawannya sewaktu di SMDB.Suka-suka hati saja kami sambung meja. Macam kedai makan nampak gayanya. Di sini tetamu dihidangkan nasi beriani, ayam masak merah, acar, laksa utara, mee kari, nasi impit, kuah kacang, beraneka kek, puding buah-buahan, buah tembikai dan air oren. Masih saya jamah seadanya sebab lepas ni ada satu lagi jemputan.

Sebelum balik rumah saya singgah rumah Mariah di Bandar Tun Hussein Onn. Mariah pun ada buat makan-makan sikit. Macam-macam ada. Mee kari, soto, nasi impit, rendang ayam, agar-agar pandan yang sedap, tembikai dan air oren. Alhamdulillah, berkat mengawal pemakanan saya dapat menikmati semuanya dengan selesa. Kerana sudah malam dan sudah kenyang, saya lupa mahu rakam gambar kenangan dengan Mariah.

Rumah terbuka hari Ahad saya sambung di entry lain lah.

Wednesday, September 30, 2009

..::INTAI KAMI ANTARA NAMPAK::..

Gempar!!!

Heboh di pejabat, budak perempuan tingkat bawah kena intai dalam bilik air.

Dalam lif pun saya ada terdengar makcik-makcik cleaner bercerita. Makcik cleaner kata dia orang lebih takutkan hantu daripada manusia. Huh!!

Semua jadi risau bila nak masuk bilik air seorang diri. Lebih-lebih risau bila terfikirkan kalau-kalau si pengintai itu sudah pasang kamera tersembunyi dalam bilik air.

Tapi berita terbaru saya dengar si pengintai sudah kena tangkap. Sudah kena belasah. Kata mereka, budak tu masih muda dan muka baik-baik saja. He he he..

Zaman dulu boleh lah kata "sekilar ikan di air sudah tahu jantan betina". Tapi zaman sekarang ikan di darat pun belum tentu kita tahu jantan betina nya.

Eh, macam tak relevan saja perumpaan itu. He he he.. gasaklah kan.

Tuesday, September 29, 2009

..::KLINIK KESIHATAN & UJIAN HIV::..

Pada zaman sekarang, kalau nak mendirikan rumahtangga macam-macam prosedur perlu dilalui.

Tadi, saya pergi Klinik Kesihatan untuk buat ujian HIV. Daripada 16 buah klinik yang telah disenaraikan oleh JAWI, cuma Klinik Kesihatan Setapak saja ada slot. Klinik lain semua sudah penuh. Temujanji paling awal ialah pada 7 Oktober ke atas. Lambatnya lagi. Macam nak menangis saya telefon setiap klinik tanya ruang temujanji. Dan temujanji untuk ujian HIV hanya akan diadakan jam 2.00 - 4.00 petang. Belum termasuk klinik yang cuma buat temujanji pada hari Rabu sahaja atau hari Jumaat sahaja. Ada juga klinik yang cuma ambil 10 orang setiap hari. Siapa yang datang pada hari berkenaan tapi kuota sudah lebih, terpaksa balik begitu saja. Hmmm.. Itu pun Klinik Kesihatan Setapak semacam mempertikaikan pula kenapa saya (atau lebih tepat disebut kami) nak buat ujian di situ.

Fakta mengenai Klinik Kesihatan Setapak. Ia terletak di Medan Makmur, Jalan Usahawan sebaris dengan bilik pameran Proton dulu. Kiri kanan klinik ialah bengkel kereta. Sangat tak macam klinik. Sebab ia berada dalam lot rumah kedai. Ruang dalam klinik adalah sempit dan sesak. Semacam tak dapat nak menampung kapasiti pelanggan. Di situlah orang menunggu, di situ jugalah kotak-kotak stok ubatan diletakkan. Jika diberi pilihan, saya rela pergi Klinik Kesihatan yang lain. Tapi sebab sudah tiada pilihan, redha sajalah.

Sedikit maklumat mengenai ujian HIV. Darah diambil di hujung jari kemudian di letakkan di atas kit seperti pregnancy test kit. Satu garis bermakna negatif dan 2 garisan bermakna positif. Ada juga sesi soal jawab sejauh mana pengetahuan kita tentang HIV. Dan sedikit soalan mengenai diri kita seperti ini perkahwinan kali ke berapa, pernahkah berkongsi jarum suntikan atau pernahkan melakukan hubungan seks dan sebagainya. Jangan risau jika anda mengamalkan gaya hidup sihat. He he he..

Cuma pesanan saya kepada kawan-kawan yang TIBA-TIBA mahu bernikah pada penghujung tahun ini dan ingin menjalani ujian di Kuala Lumpur, sila buat tempahan awal. Tiada keputusan ujian HIV, borang permohonan pernikahan dikira tidak lengkap. Keputusan ujian saringan HIV ini sah dalam tempoh 6 bulan. Jadi tak salah buat awal. Tidaklah nanti terkejar-kejar.

Dan. Doa saya semoga segalanya berjalan dengan lancar. InsyaAllah.

Monday, September 28, 2009

..::PERMULAAN BARU::..

Selamat hari ulangtahun kelahiran kepada diri sendiri. Bukan hari ini. Tapi semalam. Selamat datang angka 30.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang menitipkan ucapan dan doa. Sama ada di laman Facebook atau melalui pesanan ringkas.

Terima kasih untuk U kerana memilih I sebagai pelengkap hidup.



Hadiah U beri sangat I hargai. Namun, kasih sayang yang dicurahkan adalah tidak ternilai harganya.

Semoga doa kalian sentiasa mengiringi perjalanan hidup saya. InsyaAllah.

Saturday, September 26, 2009

..::1 SYAWAL 1430H

Ini gambar sebahagian ahli keluarga saya di pagi 1 Syawal 1430H.



Lepas sesi bermaaf-maafan bagi duit raya kepada yang layak dan bergambar sesuka hati kami pun membuat rombongan ziarah ke rumah jiran sebelah yang menyediakan hidangan laksa utara yang memang sedap.

Mujur juga rumah jiran tu tak berapa luas dan kami terpaksa memberi ruang kepada tetangga lain yang datang berkunjung kalau tidak mungkin semua masih tak berenti makan laksa. Kemudian kami pergi rumah sebelah rumah sebelah bersamaan dengan rumah arwah Tok Su. Makan soto.

Menjelang Zohor kami pun berangkat balik. Hajat di hati nak cover tidur yang terganggu di malam hari tapi tak dapat sebab sepupu 3 beradik datang beraya.

Dan seperti tahun-tahun sebelum ni juga saya banyak duduk di rumah tunggu tetamu datang dan beri peluang kepada adik beradik saya yang sudah berkeluarga pergi beraya. Semoga tahun hadapan ada kelainannya.

..::29 RAMADHAN::..

Alhamdulillah kita sudah sampai ke punghujung Ramadhan kali ini.

Seperti biasa keluarga saya yang ramai, bila berkumpul maka suasananya sangatlah meriah. Dan ini yang dinamakan kegembiraan ketika berbuka puasa.


Macam-macam ada


Makan makan dan makan. Berhenti solat. Kemudian sambung makan makan lagi. He he he

Lepas Isya' lepas dah dengar pengumuman raya maka aktiviti seterusnya bermula. Ketupat saya dah rebus di siang hari. Jadi tinggal buat kuah kacang, masak rendang, balut pulut dan masukkan biskut raya dalam balang. Tapi memandangkan angkatan tentera adalah ramai maka urusan boleh menjadi mudah dan lancar.

Sebagai orang Banjar yang masih mengekalkan tradisi, 'pulut pasung' adalah hidangan wajib di pagi raya.


"Walaupun mata saya sudah mengantuk tapi saya terpaksa menunjukkan contoh yang baik sebagai ketua keluarga"



"pulut yang telah ditanak diletakkan di atas daun pisang"



"Kemudian padatkan begini. Lihat jari jermari saya... lembut kannnn"



"Bila dah padat, gulung dan ikat di 3 bahagian seperti pocong"

"meh Ani 'kolong' abah"


Aktiviti menyediakan juadah hari raya diteruskan dengan aktiviti makan makan dan pot pet pot pet(lagi) bila Kak Mah sekeluarga sampai menjelang 1.00 pagi. Sebahagian orang lelaki mula menonton bola sepak di Astro. Budak-budak yang tak mahu tidur terus bermain. Orang yang nak tidur terpaksa bersabar.

Friday, September 25, 2009

..::DALAM PERJALANAN::..

Ini cerita dah seminggu lebih berlalu. Semua entry adalah backdated.

Balik cuti haritu saya tak bawa balik laptop jadi memang saya tak jenguk langsung blog. Gambar pun terdampar sepi dalam camera.

Perjalanan balik ke kampung bermula pada 17 September 2009 jam 12.00 tengahari. Cadangan awal mahu balik sesudah subuh. Tapi biasa lah kita cuma merancang. Ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Urusan berkaitan masa depan.

Alhamdulillah walaupun panas terik dan hujan sekejap-sekejap di sesetengah tempat, perjalanan saya lancar. Saya singgah di Kampar untuk menunaikan solat di samping menziarahi kakak ipar saya yang baru dua hari melahirkan anak. Yang ke-7 ok.


Baby berusia 2 hari yang belum ada nama



2 orang kakak yang sangat teruja dapat adik


Pot pet pot pet dengan kakak ipar dan anak-anak saudara. Kemudian tidur seketika. Saya pun bersedia untuk meneruskan perjalanan. Jam 5.15 petang. Hujan lebat. Namun, perjalanan perlu diteruskan.

Speed speed dan speed. Maklum lah lebuhraya sekarang sudah tiada sekatan tol di Jelapang. Lagipun saya tak mahu berbuka puasa dalam kereta dengan minum air kosong saja. Menjelang waktu berbuka puasa, saya selamat sampai di rumah. Dan terus duduk berbuka puasa dengan emak.

Wednesday, September 16, 2009

..::5 MALAM TERAKHIR RAMADHAN::..

Saya agak sibuk di pejabat. Menguruskan perihal boss saya yang akan bertakbir di dalam kapal terbang. Kasihan juga jika dikenangkan. Tapi, saya yang menurut perintah kaedahnya kan.

Di samping itu, perasaan nak balik kampung beraya makin menebal. Tekak asyik rasa nak makan rendang, ketupat, nasi himpit, kuah kacang dan macam-macam lagi. Tapi biskut raya saya tak berapa. He he he. Ok sila jangan layan nafsu makan yang berlebihan itu. Dan sila kenangkan kain baju seluar yang sudah tidak muat dipakai.

Sebut tentang makan, hari Isnin lepas saya berkesempatan berbuka puasa dengan Mya. Tujuan asal mahu buat sesi penyerahan barang segala, tapi sudahnya jadi aktiviti makan dan pot pet pot pet mengenai perancangan masa depan sahaja. Kami makan di Lanai Kijang yang sungguh aman dan damai.



Kami duduk di meja nombor 7.
Kurma dan bubur lambuk diberi percuma. Sedap.



Menu utama saya pilih laksa Johor dan air summer apa ntah namanya. Campuran mangga dan oren. Sebagai pencuci mulut saya ambil banana bowl iaitu potongan pisang dengan 3 scoop ice cream.

Alhamdulillah. Makanan sedap dan murah. Suasana tenang. Surau adalah luas, bersih dan cantik. Cuma Lanai Kijang tidak dibuka kepada orang awam.

Sebelum menamatkan entry, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf daripada semua pembaca blog saya. Jika ada yang tersinggung dengan bahasa penulisan saya, maafkan jua. Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah insan tersayang.

Friday, September 11, 2009

..::MERTUA YANG LUCU::..

Kelmarin. Pada hari saya berduka lara itu. Bakal ibu mertua saya menelefon. Lagi. Dia memang rajin telefon orang. Tapi sejak Ramadhan ini kali pertama dia telefon saya.

Sebenarnya saya tak dengar pun bunyi telefon sebab saya sedang masak di dapur dan telefon ditinggalkan di dalam bilik. Selesai masak saya lihat telefon berkelip-kelip. Jadi lepas mandi dan wangi-wangi saya pun telefon dia semula.

Dengar saja suara saya, bakal ibu mertua saya itu cukup gembira. Ok saya pun berbual seperti biasa. Ceria juga. Lagipun tidak elok lah jika saya pamerkan duka lara saya. Petuanya bercakap sambil senyum dan ketawa. Kadang-kadang walaupun agak palsu tapi ia tetap boleh diterima.

Pot pet pot pet lah kami tentang juadah berbuka puasa, tentang pasar Ramadhan, tentang menu kegemaran, tentang itu tentang ini termasuk juga tentang anak lelakinya. (Tapi tak pula berbual tentang baju raya atau mesin jahit).

Sedar tak sedar berbual waktu berbuka puasa pun dah hampir. Sebelum letak telefon bakal ibu mertua saya mengucapkan selamat berbuka puasa. Tak cukup itu, ditambah lagi dengan ayat "kita berbuka puasa 2 orang..." diiringi dengan ketawa halus. Waaahhh sudah pandai 'main kotor' ye. "Ye lah.. makan tu ingat-ingat le kita yang sorang-sorang ni." Balas saya dalam nada sayu. Dan kami ketawa lagi sebelum berbalas ucapan salam.

Lalu, sedikit sebanyak duka lara saya hilang dan diganti dengan rasa lucu yang masih bersisa.

..::PEDAS::..

Ulang siar gambar semalam.



Asam pedas tu pemberian daripada jiran saya. Baru makan masa sahur tadi. Sebab semalam masih makan spaghetti. Itu pun kuah masih berbaki.

Cerita tentang asam pedas tu, mak aih rasanya memang pedas (bagi orang yang tak berapa makan pedas macam saya ni lah). Kalau lidah Cik Puan Daun tentu dia kata rasanya biasa saja.

Eeerrrr... Tapi dah namanya pun asam pedas kan? Tentulah pedas. Kalau tak tentu namanya asam manis atau asam masin. Ngeee..

Apapun, makan je lah. Rezeki. Jangan banyak komplen.

Thursday, September 10, 2009

..::MERAWAT HATI YANG LARA::..

Semalam. Saya agak berdukacita. Ada perkara yang kadang kala agak sukar untuk difahami. Tapi saya sedang cuba dan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Jam 1 tengahari saya ke Mid Valley. Jumpa Akzam untuk pungut (?) atau kutip (?) barang yang dikirimkan oleh Ika. Saya sungguh kagum dengan diri sendiri kerana berjaya menyelesaikan misi dalam masa satu jam. Tahu sajalah kesusahan mencari parkir di Mid Valley pada waktu puncak. Tapi saya berjaya juga.

Mid Valley sangat meriah. Cuma saya tiada hati mahu membeli belah.

4.30 petang saya terus balik. Sekali lagi saya berasa kagum. Belum pun jam 5.00 petang saya sudah membayar tol di Plaza Tol The Mines. Sesuatu yang belum pernah berlaku di bulan Ramadhan ni. Memandangkan waktu masih awal saya singgah pasaraya untuk beli barang masak. Tak lengkap, saya singgah pula pasar malam.

Kebetulan depan pasar malam ada tempat cuci kereta. Jadi saya tinggalkan kereta di situ untuk dibersihkan. Lega rasa hati bila nampak kereta sudah bersih dan berkilat. Sebetulnya juga memang sudah agak lama saya tak cuci kenderaan itu. Cuci sendiri jauh sekali.

Sampai rumah saya terus mulakan aktiviti memasak. Ya, memasak juga satu terapi. Masak ala kadar saja. Yang penting ia boleh merawat duka lara saya.



Saya masak spaghetti (lagi) walaupun baru hari Ahad lepas saya sediakan masakan tu. Tapi haritu saya tak puas makan. Jadi kali ni saya masak macam untuk 3-4 orang makan. Maka makan lah saya spaghetti sepuas-puas hati.

Sebelum tu, sedang saya bersiap-siap nak hidang makanan ada orang bagi salam di pintu. Dan. Ini rezeki yang dihantar oleh jiran sebelah rumah.



Jadi, hari ini saya sudah ada lauk untuk berbuka puasa.

Dan. Hati saya juga sudah tidak berduka dan berlara.

..::KAD RAYA::..

Ini kad raya pertama yang saya dapat tahun ini. Kad ucapan lebih tepat sebab ia mengandungi ucapan salam Ramadhan dan salam Idulfitri. Hmmm... Entah-entah ini satu-satunya kad yang saya dapat. Apa pun saya sangat suka petikan hadis yang tertera pada kad berkenaan. Terima kasih kak Fifi, agen insurans saya yang sudi menitipkan kad ini.



Oh, orang lain dah berkeping dapat kan, kau baru dapat satu dah nak bising. Ha ha ha.