Showing posts with label ibu mertuaku. Show all posts
Showing posts with label ibu mertuaku. Show all posts

Friday, September 11, 2009

..::MERTUA YANG LUCU::..

Kelmarin. Pada hari saya berduka lara itu. Bakal ibu mertua saya menelefon. Lagi. Dia memang rajin telefon orang. Tapi sejak Ramadhan ini kali pertama dia telefon saya.

Sebenarnya saya tak dengar pun bunyi telefon sebab saya sedang masak di dapur dan telefon ditinggalkan di dalam bilik. Selesai masak saya lihat telefon berkelip-kelip. Jadi lepas mandi dan wangi-wangi saya pun telefon dia semula.

Dengar saja suara saya, bakal ibu mertua saya itu cukup gembira. Ok saya pun berbual seperti biasa. Ceria juga. Lagipun tidak elok lah jika saya pamerkan duka lara saya. Petuanya bercakap sambil senyum dan ketawa. Kadang-kadang walaupun agak palsu tapi ia tetap boleh diterima.

Pot pet pot pet lah kami tentang juadah berbuka puasa, tentang pasar Ramadhan, tentang menu kegemaran, tentang itu tentang ini termasuk juga tentang anak lelakinya. (Tapi tak pula berbual tentang baju raya atau mesin jahit).

Sedar tak sedar berbual waktu berbuka puasa pun dah hampir. Sebelum letak telefon bakal ibu mertua saya mengucapkan selamat berbuka puasa. Tak cukup itu, ditambah lagi dengan ayat "kita berbuka puasa 2 orang..." diiringi dengan ketawa halus. Waaahhh sudah pandai 'main kotor' ye. "Ye lah.. makan tu ingat-ingat le kita yang sorang-sorang ni." Balas saya dalam nada sayu. Dan kami ketawa lagi sebelum berbalas ucapan salam.

Lalu, sedikit sebanyak duka lara saya hilang dan diganti dengan rasa lucu yang masih bersisa.

Wednesday, August 19, 2009

..::IBU MERTUAKU::..

Kata orang; bila kita berkahwin, kita bukan hanya berkahwin dengan pasangan, sebaliknya kita akan berkahwin dengan seluruh ahli keluarganya.

Maka, saya sedang cuba membiasakan diri dengan keadaan itu.

Oh, saya belum berkahwin. Dan saya juga belum ada ibu mertua.

Tetapi saya ada bakal ibu mertua. Yang rajin menelefon saya. Yang sangat peramah. Yang akan bercakap apa yang dia mahu cakapkan secara terus terang. Katanya lebih mudah. (Owh, Tuhan berilah saya kekuatan untuk bercakap dengan sopan tanpa membalas dengan ayat-ayat sarkastik yang menjadi kebiasaan dan tabiat (kurang baik) saya).

Pada suatu hari dalam perbualan kami, bakal ibu mertua saya bertanya sama ada saya pandai menjahit ataupun tidak. Ok saya rasa terperangkap. Mahu jawab tidak, jatuh pula saham saya nanti. Lagipun saya (agak) pandai menjahit cuma tidak cekap kerana tidak berlatih. Sebab selalunya saya sekadar alter baju kemudian sembat saja atau jahit manik-lah kan. Mahu jawab pandai, nanti memandai-mandai pula. Ha ha ha.

Lalu saya memilih jawapan "boleh lah" sebagai langkah selamat. Lagipun pakar motivasi selalu kata jawapan bolehlah itu mungkin boleh jadi boleh atau mungkin juga tidak boleh. Eeerrr berbelitkah ayat itu? he he he. Tapi mulut ini terlebih pula tambah ayat "tapi saya takde mesin".

Dan. Ayat itu semakin memerangkap saya apabila bakal ibu mertua menawarkan sebuah mesin jahit untuk dibawa pulang nanti.

Matilah saya!!!!!