Wednesday, July 14, 2010

..::TUNGGU HARI::..

Ada orang ingat saya sedang menunggu hari untuk melahirkan.

Alasannya, perut saya kelihatan sangat besar.

Huh??

Nikah pun tengah bulan 12 tahun lepas. Kalau sedang tunggu hari, itu adalah sangat sesuatu.

Isk :(

Friday, July 09, 2010

..::SAKIT BON*TOT::..

Kata orang, masa mengandung sakit urat, kejang kaki, muntah-muntah, lenguh-lenguh, kebas, bisa ulu hati semua tu perkara biasa. Tambahan pula bagi yang mengandung anak sulung. Pertama kali mengalami situasi begitu. Lain lah kalau dah mengandung 7 kali macam kakak saya. Dah tak mengalami kejang kaki dan sebagainya. Mungkin juga kerana cukup zat untuk diri dan kandungan. Dan mungkin juga kerana badan sudah biasa dengan segala perubahan hormon.

Saya pula sejak seminggu kebelakangan ni mula sakit-sakit bon*ot. Saya fikir mungkin kesan daripada duduk agak lama di pejabat. Masa duduk memang tak rasa sakit, tapi bila bangun aduhai nak mula berjalan tu payahnya rasa. Bila baring pun rasa sakit. Kadang-kadang rasa nak nangis saja. Ha ha ha.. Tak habis-habis nak berdrama. Jadi bila sakit atau lenguh saya akan minta tolong suami picit dan urutkan. Suami pun tolong urut dengan penuh perasaan.

Tadi saya terserempak dengan kawan pejabat. Jangan pula pelik sebab pejabat ada banyak tingkat dan keberangkalian untuk bertemu semua orang dalam sehari sangat tipis. Sesekali terserempak lalu masing-masing bertanya khabar. Tanya berat dan sebagainya. Kemudian saya pun cerita tentang sakit yang dialami sekarang memandangkan kawan saya sudah punya dua kali pengalaman.

Terbeliak matanya dan terus bercakap sambil moncong-moncong (he he he) "kaaakkk.. jangan urut tauuu.. biar je.. memang macam tu.. tu maknanya baby tengah membesar.. kepala dia dok kat area situ.." Errrkkk. Habis tu dah dua malam berturut-turut saya minta suami tolong urutkan (bon*ot yang sakit). Mula risau takut kalau-kalau bayi akan tercedera.

Kemudian datang pula 2 orang kakak (yang bertaraf makcik) menyertai perbualan dan tentu saja mereka lebih banyak pengalaman. Bila diceritakan, seorang daripada kakak tu pun cakap perkara yang sama. Lepas tu siap boleh cakap jantina bayi saya berdasarkan raut wajah dan penampilan saya sekarang. Ha ha ha.. Pandai sungguh.

Berbalik kepada kisah sakit bon*ot yang saya alami, mujur juga tiap kali saya minta suami letak minyak panas dia tak mahu. Kalau tidak mungkin 'mengelegak' anak saya di dalam sana. Risaunya saya. Harap-harap tidak ada yang buruk berlaku terhadap bayi saya. Maafkanlah mama yang tak tahu. Entah kenapa kali ni saya tidak pula gunakan enjin carian. Kalau tidak, rasa pelik saja mesti saya akan google untuk dapatkan jawapan.

Ya, pengalaman mengajar kita erti kehidupan. Dan ilmu itu tidak terhad kepada pembacaan sahaja. Jangan malu bertanya kerana ia boleh membantu kita untuk tidak tersesat di perjalanan.

..::CAKAP KOSONG::..

Cik Daun kata lain kali jangan cakap malas update blog atau tak mahu update blog.

Sebab lepas tu mesti ada entry yang panjang berjela dan akan ada update tiap-tiap hari walaupun cuma update kosong.

Ha ha ha.

owh Maybank Treats Fair kembali lagi. Mari kita sama-sama sesakkannya.

Thursday, July 08, 2010

..::APA KATA LELAKI::..

Bila kita tanya atau minta izin sesuatu dan jawapan yang diberi hanya "entah.. suka hati lah"

Jadi, apa maksud mereka yang sebenarnya?

Wednesday, July 07, 2010

..::BAYI PEMALU::..

Ok minggu ni agak rajin nak kemaskini blog. Walaupun sebenarnya tak ada siapa pun yang peduli. Heh.

Cerita tentang kandungan lagi.

Anak ni sangat aktif. Tendang sana sini. Sekejap blup dan blup lagi. Kadang-kadang saya rasa macam nak termuntah pun ada bila blup blup banyak sangat. Kalau rasa nak buang air tuh jangan cakap lah. Tak mengandung pun saya memang kerap buang air, ini kan pula bila pundi kencing dah ditekan oleh kandungan.

Cuma anak ni tak pula nak bergerak-gerak bila saya suruh suami letak tangan dan rasa di perut. Diam saja sampai suami tertanya-tanya. "Kat mana? Kat mana?" Hmmm.. pemalu anak ni. Hiks. "Assala-mualai-kummmm..." Suami tegur dengan nada suara yang pelik-pelik. Huh lagi anak duduk diam-diam. Tapi bila suami alihkan tangan, anak mula bergerak-gerak semula. Haaiihh nak main-main agaknya.

Eh eh orang awam ni memang suka-suka je kan nak sentuh-sentuh perut perempuan mengandung tanpa isyarat atau minta izin. Hmmmmm tak gemar lah.

Tuesday, July 06, 2010

..::LEBIH DAN KURANG::..

Alhamdulillah kandungan menghampiri 24 minggu. Bayi sihat dan sangat aktif. Tendang sana sini macam main bola gayanya. Mungkin semangat piala dunia sekarang.

Hujung minggu lepas pergi buat pemeriksaan bulanan. Bila saya masuk bilik, doktor tegur "Hanida ni mesti sihat saja, laju je berjalan" Hik hik hik.. Biasa saja saya rasa. Kadang-kadang tu ada juga datang masa tak gagah nak berjalan. Ya lah, dengan saiz kaki kanak-kanak mungkin sesekali terasa juga tekanan mahu menampung berat badan yang sudah mencecah 51kg. Walaupun secara fizikalnya saya tidak kelihatan membesar dengan ketara.

Owh, doktor beritahu uri saya sedikit di bawah. Tapi katanya jangan risau, InsyaAllah akan naik perlahan-lahan. Cuma saya kena berhati-hati. Saya syak mungkin sebab saya angkat lesung batu yang beratnya macam kampit beras tu. Awal-awal dulu memang saya minta tolong suami untuk angkatkan lesung batu, tapi bila kandungan dah besar saya buat saja sendiri. Lagipun agak leceh lah nak kena tunggu orang tolong.

Tempohari juga saya dikenakan suntikan kancing gigi. Saya memang fobia bila dengar nak kena suntik, ambil darah atau apa saja yang melibatkan jarum. Doktor kata "jangan risau, sikit saja macam kena gigit semut" Ha ha ha.. terasa lucu pula. Macam budak-budak yang takut kena suntik, terpaksa doktor gunakan persamaan kena gigit semut atau kerengga untuk ubah perhatian. Dan mungkin kerana tindak balas saya terhadap suntikan berkenaan, sehingga hari ini tangan saya masih sakit dan tak boleh nak tidur mengiring sebelah kiri.

Lagi satu, saya kekurangan vitamin B walaupun saya giat mengambil makanan yang kaya dengan vitamin B. Dan saya juga ambil supplement untuk menambahkan vitamin dalam badan. Mungkin apa yang diperlukan oleh badan saya dan kandungan, lebih daripada apa yang sudah saya makan, jadi ia masih belum mencukupi. Doktor bagi lagi vitamin, dicampur dengan pil yang saya makan sekarang jadi sudahnya buang air kecil pun berbau ubat. Tapi suami kata ok lah daripada bau petai. Hik hik hik betul juga tu walaupun petai memang baik untuk kesihatan buah pinggang.

Namun begitu, Alhamdulillah secara keseluruhannya saya berada dalam kategori sihat. Tekanan darah normal, air kencing juga tidak bermasalah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan sehingga menjelang hari melahirkan.

Monday, July 05, 2010

..::PEMBAWAKAN::..

Sejak daripada awal mengandung saya dapati keterujaan terhadap blog berkurangan.

Dan saya syak ia pembawakan budak.

Friday, June 25, 2010

..::MASA MERUBAH SEGALANYA::..

Sekejap sahaja hari ni sudah Jumaat kembali. Hmmm..

Sepatutnya sekarang saya sudah bersedia dengan senarai semak. Barang-barang keperluan saya dan bayi. Tapi saya tak buat pun lagi. Sangat bukan saya yang sebenar. Oh, kadang-kadang masa merubah segalanya. Cuma sepatutnya ia perubahan ke arah yang lebih baik.

Semalam saya hadir satu program Wacana Integriti. Saya tawarkan diri. Sebab saya memang suka pergi dengar ceramah segala. Bukan selalu nak dapat peluang. Kebetulan tajuk menarik. Lagipun ini lah juga masanya dekatkan diri dengan perkara yang lebih berfaedah agar bayi juga menerima kesan yang positif.

Sejak akhir-akhir ni saya jatuh cinta dengan Maher Zain. Tak kenal siapa dia? Sila gunakan enjin carian anda.

Sampai jumpa lagi bila saya rasa mahu kemaskini blog. (owh baru terperasan, semua perkataan pertama perenggan saya dimulakan dengan huruf S)

Tuesday, June 22, 2010

..::BLUP BLUP::..

Perut saya sekejap-sekejap rasa "blup blup". Masuk angin ke? Rasanya tak.

Masa pemeriksaan bulanan pada minggu ke 19 yang lepas, Doktor tanya sama ada saya sudah rasa tendangan bayi. Entah lah. Mungkin saya tak tahu bagaimana rasanya atau perasaannya.

Tapi sejak 2 hari ni perut saya sekejap-sekejap rasa "blup blup". Adakah itu tanda bayi menendang?

Ada sesiapa mahu kongsi pengalaman.

Monday, June 21, 2010

..::SAYANG ISTERI TINGGAL-TINGGALKAN::..

......

Rupa-rupanya beginilah perasaannya bila berjauhan dengan suami.

Dan saya kagum dengan kawan yang suami kena offshore 6 bulan tanpa dapat berhubung pun. Juga kawan yang baru mendirikan rumahtangga, tinggal berasingan dengan suami kemudian bila disahkan hamil suami pula kena pergi Dubai bertahun-tahun.

Jadi, sabar sajalah sekadar suami berada 5 hari di seberang tambak.

Friday, June 18, 2010

..::STATUS TERKINI::..

Dear friends and readers,

Di hari Jumaat yang mulia ini saya mahu berkongsi pengalaman yang indah.

I'm currently 20 weeks. Dan alhamdulillah saya sihat tanpa alahan sepanjang tempoh ini.

Ok. Itu saja :)

Tuesday, June 15, 2010

..::SEBELUM DAN SELEPAS::..

Sebelum nikah dulu kan, saya selalu sangat diserang tekanan darah rendah. Sekejap-sekejap kena pegi jumpa doktor. Dah tak larat jumpa doktor, pergi farmasi pula cari ubat. Sampaikan doktor suruh saya buat ujian darah untuk pemeriksaan yang lebih teliti. Tapi saya tak buat pun ujian darah. Ngeri.

Bila sebut pasal tekanan darah rendah, semua orang kata ia berkaitan dengan pemakanan. Kurang makan macam kawan-kawan saya cakap. Mungkin juga kot sebab dulu saya ala-ala diet nak muat pakai baju saiz XS atau S saja. Dalam tempoh 2 minggu ada la 2 - 3 kali jamah nasi. Malam memang tak makan berat. Ratah buah dengan minum oat saja.

Itu cerita sebelum nikah.

Selepas nikah semuanya berubah sekelip mata. Alhamdulillah tekanan darah saya sangat normal. Tidak rendah apatah lagi tekanan darah tinggi. Malahan makan pun sudah tidak dikawal-kawal lagi. Dan jangan harap lah untuk muat dengan pakaian saiz XS.

Oh, sila abaikan perkara-perkara lain. Perkara utama yang saya mahu ceritakan ialah ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Hikmah pernikahan, kesihatan saya bertambah baik. Alhamdulillah semoga ia terus berkekalan.

Thursday, June 10, 2010

..::PADA TITIS-TITIS HUJAN::..



pada titis-titis hujan
yang berserakan
lenyapkan segala kedukaan
agar bersinar kebahagiaan
di penghujung pengharapan

Wednesday, June 09, 2010

..::PERCUTIAN BAJET I::..

Dah lama saya tak menulis secara biasa. Dalam erti kata yang sebenarnya, dah lama saya tak update blog. He he he

Ini cerita lama masa cuti sempena Hari Wesak tempohari. Saya dan suami telah merancang untuk berjalan-jalan ke selatan ala-ala backpacking. Saya sebut ala-ala sebab kami tidur hotel. Tapi yang lain semua guna pengangkutan awam. Dan jalan-jalan ikut haluan sendiri berdasarkan peta tanpa ada itinerary. Gamble sungguh.

Perjalanan bermula di pagi hari dengan menaiki teksi dari rumah ke Terminal Bas Bukit Jalil. Dan tentulah sambung perjalanan naik bas dari Bukit Jalil ke Larkin. Kami pilih untuk naik bas 2 tingkat sebab ada kemudahan tandas di dalamnya. Dan ada kantin juga. Kalau ikutkan katanya bas ni tak berhenti pun, tapi bas berhenti juga selama 5 minit di RnR Yong Peng untuk buang sampah, dan pemandu serta cabin crew nak hisap rokok. Ada satu kejadian di sini. Lepas 5 minit rehat bas pun meneruskan perjalanan. Tiba-tiba datang PLUS ronda memintas bas. Cuak juga lah mula-mula tuh. Ada salah apa-apa ke. Tapi rupa-rupanya ada sorang penumpang tertinggal di RnR tadi. Terus semua macam gelak-gelak dengan situasi tu.

Sampai di Larkin selepas 4 jam perjalanan. Jalan-jalan survey transport di terminal Larkin kemudian kami pekena murtabak. Tetapi menurut sumber yang berada di Johor, murtabak di Plaza Larkin lagi best. Selain daripada tu lain-lain makanan seperti mee rebus, kacang, pol, mee bandung dan laksa Johor juga dikatakan pilihan makanan yang best di Plaza Larkin. Plaza Larkin ni terletak berhadapan dengan terminal bas Larkin dan ada jambatan yang menyambung 2 bangunan ini. Tapi kami dah tak berdaya nak berjalan-jalan. Teringat nak baring saja.

Habis makan terus cari teksi pergi hotel. Kami menginap di Mutiara Hotel JB. Tak jauh pun. Lagipun teksi lalu jalan pintas. Masa tengah nak check in ni lah saya dapat panggilan telefon daripada adik beritahu Paksu meninggal dunia.

Dah selesai pot pet di kaunter, pihak hotel pun bagi kami bilik. Kalau ikutkan bilik superior dengan satu katil besar. Tapi pihak hotel bagi bilik dengan 2 katil. Belasah je lah.




Ini rupa paras bilik yang diberi. Oh saya lagi suka bilik di hotel Grand Seasons KL tempohari. Nanti rajin saya tulis cerita basi tu.

Elok je masuk bilik hujan pun turun. Jadi apa lagi, landing time!!! Babai. Nanti saya sambung cerita selepas segala penat lelah hilang. Dan sudah bersedia untuk perjalanan seterusnya.

Sunday, June 06, 2010

..::HATI YANG RETAK::..

Cermin kereta terkena batu

Bagaimana retaknya cermin itu

Begitu jugalah retaknya hati saya :(

Mujur..



ia diinsuranskan.

Monday, May 31, 2010

..::MATI ADALAH PASTI.. HIDUP INSYA'ALLAH::..

Kita mulakan entry ini dengan bacaan Al-Fatihah. Dan sedekahkan kepada roh mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Saya sekeluarga masih dalam keadaan terkejut. Mungkin lebih-lebih lagi emak saya. Belum pun reda kesan kehilangan emak saudara awal tahun lalu, Jumaat lepas kami dikejutkan dengan satu lagi kehilangan. Adik bongsu emak iaitu Paksu Saufi pergi mengadap Pencipta.

Ketika berita di terima, saya berada nun jauh di selatan tanah air. Hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kata adik saya, jenazah akan disempurnakan di Sungai Buloh kemudian terus di bawa balik ke kampung untuk pengkebumian.


ini gambar yang diambil dari Facebook adik saya


Arwah pergi dalam usia yang muda. Meninggalkan seorang isteri serta anak-anak yang masih kecil. Yang mungkin belum mengerti apa-apa.


yang saya bulatkan tu ialah Arwah dan ahli keluarga. Gambar sewaktu majlis bertandang ke Negeri Sembilan. Kata sepupu saya, kenduri mana yang paksu tak pergi?


Merenung segala yang berlaku, ia adalah ketentuanNya. Allah berhak mengambil nyawa yang dipinjamkan pada bila-bila yang Dia mahu. Sebagai hamba yang masih diberi nikmat hidup di dunia, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk meningkatkan segala amalan dan bekalan untuk bertemu denganNya.

Al-Fatihah.

Wednesday, May 19, 2010

..::ALLAH BAYAR TUNAI::..

Kakak saya selalu pesan. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Tetapi, kunci pintu syurga bagi seorang isteri itu ada pada suami. Dan baru-baru ni pun saya ada berbual dengan seorang kawan yang selalu bagi nasihat dan hadiahkan saya buku best masa wedding dulu. Kawan saya kata wanita ni sangat mudah untuk masuk Syurga. Hanya dengan taat kepada suami (selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak lah kan). Taat itu subjektif tetapi ia wajib.

Saya mahu berkongsi sesuatu. Yang saya rasa ia balasan Allah kepada saya. Walaupun tidak lah sampai tahap derhaka, tetapi kerana merasakan Allah sayang kepada saya, jadi salah sedikit terus diberiNya balasan. Agar saya tidak terus lalai.

Sudah 2 hari suami hantar dan jemput saya pergi kerja. Kebetulan dia ada urusan di KL. Rutinnya, bila suami yang memandu sampai di rumah saya akan buka pintu pagar. Kalau saya yang memandu suami pula yang akan buka pintu pagar. Ya, pagar rumah kami bukan pagar automatik.

Semalam hari hujan. Lebat juga lah. Bila sampai rumah saya teragak-agak nak keluar lalu minta payung daripada suami. Tapi suami tukar mode gear kepada P dan minta kunci daripada saya. Ok ini tak patut. Lalu saya pun turun buka pagar. Masa nak tutup pagar kaki saya tersangkut. Sakit Allah saja yang tahu. Saya diamkan saja dan tahan sakit. Suami pun tak tahu kaki saya sangkut pagar.

Sebenarnya sebelum tu dalam perjalanan ada sedikit konflik bila suami tanya jalan mana nak lalu. KL ni bila hujan lebat tak boleh tidak mesti sesak. Dengan banjir kilat dengan itu dengan ini semua ada. Saya pula sebenarnya tak suka berada dalam situasi begitu. Sebab nanti bila jalan yang saya pilih tu sesak, saya rasa bersalah dan bila jalan yang dipilih orang lain tu yang sesak saya akan menyalahkan pula. Macam dulu pernah saya salahkan diri sendiri sepanjang perjalanan balik rumah bila entah kenapa pergi lalu depan Puduraya masa hujan lebat yang rupa-rupanya ada banjir kilat di situ.

Jadi bila suami tanya, saya jawab lebih kurang. Sesuatu yang sangat tidak baik. Dan terus lepas tu sepanjang perjalanan 33km senyap sunyi hanya bertemankan bunyi radio. Stress dan terus dihambat rasa bersalah. Mengantuk dan nak tidur pun terpaksa tahan. Pada tangan yang lain saya nak cuba salahkan hormon. Tapi itu lah perempuan selalu saja salahkan hormon bila berperangai emosi. Bila kaki tersangkut pagar dan lebam saya tak jadi nak salahkan hormon. Terbayang-bayang dosa derhaka dengan suami. Nanti Allah dan Malaikat laknat saya.

Entah lah. Ini apa yang saya cuba kongsi. Sesuatu yang ternyata salah pasti ada balasannya. Saya masih baru dalam alam rumahtangga. Tahun pertama hingga ke 5 tu selalu disebut-sebut sebagai tempoh berkenalan dan menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Perbanyakkan doa. Jaga tingkah laku dan sentiasa dekatkan diri dengan Pencipta. Ada banyak perkara yang patut disyukuri, jadi kenapa saya perlu meminta yang lebih.

Monday, May 10, 2010

..::SAYA DILANGGAR BAS::..

Tak rajin mahu cerita panjang.

Dan. Dipendekkan cerita, hari Jumaat lepas sedang kereta saya berhenti (dengan brek tangan ditarik) dalam kesesakan jalan raya di hadapan Bangunan Sinar Kota tiba-tiba sebuah bas persiaran yang berada di belakang telah melanggar kereta saya.

Bagai luruh jantung menyirap darah ke seluruh wajah dan membuak-buak perasaan marah. Elok saya mahu keluar daripada kereta, pemandu bas lebih dahulu datang dan hulur kad perniagaan minta saya telefon syarikatnya. Tapi sempat juga saya hamburkan kemarahan kenapa dia boleh langgar saya. Alasannya brek tangan tak kuat. Saya marah lagi kerana dia membontoti kereta saya terlalu rapat. Tanpa menjawab amarah saya, pemandu berkenaan terus masuk ke dalam bas.

Saya masih marah, masih mengeletar dan mula menangis. Hey itu tindak balas biasa. Telefon suami. Suami cakap kalau kereta boleh gerak, balik rumah dulu. Apa-apa hal selesaikan kemudian. Saya pun pandu kereta sambil menangis sambil terfikir-fikir apa jadi dengan kereta saya. Sebab saya tak pergi jenguk pun.

Tadi kata tak mahu cerita panjang kan. Sedangkan sekarang sudah 4 perenggan. He he he.

Sampai di rumah, suami buka pintu dan pergi tengok keadaan kereta. Saya masih di dalam kereta. Hati belum cukup tenang. Lepas tengok kereta, suami terus masuk rumah dan sambung tonton tv. Tindak balas suami buat saya rasa nak marah semula. Sabar kan hati dan keluar. Pergi jenguk belakang kereta. Dan masuk rumah.

Suami pandang dan saya sengih-sengih. Patutlah tindak balas biasa saja sebab kereta cuma calar di bumper dan kemik sedikit di bonet. Tidak lah luruh atau rongak bumper seperti yang saya bayangkan. Tak sangka kuat juga CLK saya sebab impak perlanggaran tu lampu bas berkenaan tercabut.

Cuma apa yang berlaku sebenarnya sering menjadi kebimbangan saya selama ini. Berulang alik dari rumah ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya dalam jarak yang begitu jauh. Melalui jalan-jalan yang dipenuhi kenderaan besar dan berat. Setiap kali ada bas atau lori besar berada di belakang kereta saya memang risau. Segala macam kemungkinan mula bermain dalam fikiran. Kadang-kadang kita sudah memandu dengan begitu berhemah dan berhati-hati tapi ada pihak lain pula yang cuai. Sesuatu yang di luar jangkaan kita.

Semuanya adalah qada' dan qadar Allah dan kita sebagai hambaNya wajib percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Friday, May 07, 2010

..::SUP::..

Tadi saya beli soto.

Sewaktu mahu tuang kuah sup ke dalam mangkuk, plastik sup yang panas itu terkelepet dan sup tertumpah ke atas riba saya.

Cepat saja sup meresap. Panas di paha terasa. Mujur pengawalan tindak balas saya bagus. Ha ha ha. Kalau tidak mungkin plastik sup di tangan sudah dicampak.

Dan. Walaupun selepas dicuci, saya masih berbau sup.

..::MENCARI YUSUF::..

Siapa tahu di mana atau dari mana saya boleh jumpa ini?




Sebab selalunya dia cuma keluar pada bulan Ramadhan saja.

Thursday, May 06, 2010

..::HABIS CARA::..

Kehidupan seperti biasa. Sibuk. Alasan tidak kemaskini blog dalam tempoh yang lama.

Minggu lepas saya asyik pergi kursus. Maklum sajalah bila bulan April menjelang pelbagai aktiviti diatur untuk meraikan setiausaha. Tahun ini saya ambil peluang untuk hadir kursus. Dirasakan lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan menghadiri luncheon. Tapi siapa yang hadir luncheon tu jangan pula kecil hati. Terpulang kepada diri dan majikan masing-masing.

Memandangkan saya sangat susah untuk dapat peluang berkursus jadi bila ada ambillah kesempatan. Dan kakitangan Kerajaan mesti memenuhi kuota 7 hari berkursus dalam setahun. Kalau lihat 7 hari tu macam sikit dan mudah saja nak cukupkan dalam masa setahun. Tapi sila percaya bahawa sudah 2 tahun kuota kursus saya tak cukup. Percuma saja hilang markah di situ.

Ini pula tentang blog. Saya sudah habis ikhtiar untuk tukar font di sidebar seperti font yang saya mahu. Cuma satu bahagian yang berhasil. Yang lain kekal seperti asal. Atau sebenarnya mungkin saya kena guna template yang ada 2 column saja? Ini sajalah mahu guna multiple column untuk sidebar. Sudahnya jadi caca-marba. (eh macam ada ritma di situ).

Dalam hal yang lain, hmmm sekejap saja sudah bulan Mei.

Thursday, April 29, 2010

..::BERJAYA!!::..

Yeay!!!

Saya berjaya buat. Rupa-rupanya ada silap sikit dengan percubaan sebelum ni. Patutlah tak menjadi. Biasa lah orang pengurusan pejabat nak baca coding.

Kawan saya kata besar sangat. Orang buta pun boleh nampak bila baca. He he he.

Memang pun. Saya tahu tu. Nanti saya tukar tulisan lain dan reduce saiz.

Tapi, nanti tu mungkin bulan depan.

Friday, April 23, 2010

..::MULA::..

Saya mahu kemas meja kerja.

Tapi tak tahu mahu mula dari mana.

Thursday, April 22, 2010

..::SERABUT::..

Ini meja kerja saya.


Sebenarnya meja kerja saya tak pernah seserabut itu. Tapi sejak beberapa minggu kebelakangan ni keadaan semacam sukar untuk dikawal. Macam-macam hal. Tekanan sana sini. Sudahnya, biar kau di sana.

Keserabutan begini juga membuatkan saya tidak berselera mahu kemaskini blog. Walaupun dalam entry sebelum ni kononnya seperti berkobar-kobar saja.

Oh, tapi dalam serabut sempat juga saya tukar-tukar cat rumah ni. Di rumah sendiri pun kalau tidak setahun sekali tukar cat, paling kurang mesti langsir akan berganti. Begitu juga dalam kehidupan seharian. Perlu ada perubahan. Tapi rumah baru masih belum siap dikemaskini. Link akan saya letak dari semasa ke semasa.

Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok menjanjikan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. InsyaAllah.

Friday, April 16, 2010

..::DENGGI MEMBUNUH::..

Beberapa minggu yang lepas negara dikejutkan dengan kehilangan Arwah Din Beramboi yang disyaki dijangkiti denggi. Walaupun ada beberapa cerita yang mengatakan arwah terkena virus kencing tikus. Wallahu'alam.

Pagi tadi terjaga daripada tidur saya ternampak ada SMS di telefon. SMS daripada kawan saya sewaktu di sekolah menengah. Memaklumkan seorang rakan telah meninggal dunia akibat serangan denggi.

Saya ingat-ingat lupa siapakah arwah memandangkan saya hanya bersekolah di situ sehingga tingkatan 3 dan kami juga berada dalam kelas yang berlainan. Lalu pagi ini saya buka laman Facebook. Dari rangkaian kawan lain juga mesej yang ditinggalkan oleh seorang rakan di 'dinding' saya buka laman Facebook arwah. Dari situ baru saya tahu arwah juga meninggal dunia bersama kandungan sulung yang berusia 8 bulan. Sedih bila mengenangkannya.

Denggi dan nyamuk aedes dianggap sebagai 'musuh dalam selimut'. Dalam akhbar semalam saya terbaca pernyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan bahawa demam denggi ini boleh dilabelkan sebagai virus 'bijak' berikutan kehadirannya dalam sistem darah manusia tidak menunjukkan sebarang gejala yang sama. Jadi sekiranya mengalami simtom yang berkaitan cepat-cepat dapatkan rawatan doktor agar pencegahan awal dapat dibuat. Mudah-mudahan kita juga mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di sekeliling.

Al-Fatihah untuk arwah Zamzarina dan anak sulung beliau. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para solihin. Dan semoga suami serta keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini.

Thursday, April 15, 2010

..::PENDEDAHAN BERANI::..

Tiba-tiba hari ini saya mahu menulis blog. Bukan itu saja, malah mahu membuat pendedahan berani. Pendedahan tentang tabiat atau kegemaran saya. Yang mungkin boleh dianggap agak pelik.

Saya. Suka menyimpan wang kertas yang baru. Yang belum hilang baunya. Tidak kira berapa nilai, jika dapat memang saya akan simpan. Selagi mana boleh saya simpan tanpa menggunakannya, ia tetap akan berada di dalam dompet saya.

(mampus lah kalau perompak atau peragut baca blog saya ni.. aiyooo)


Jika terpaksa juga untuk gunakan duit berkenaan, sebelum hulur duit saya akan cium-cuim dulu duit tu. Sayang mahu berpisah. Saya pernah buat begitu depan abang jual ayam di pasar malam. Tergelak-gelak abang tu. Mesti dia rasa saya tak berapa betul. Ok peduli apa saya. Ha ha ha

Selain daripada itu, saya juga sorang yang menabung secara konsisten. Tapi ini bukan tabiat pelik kan. Ini satu tabiat yang baik. Dan saya menyeru pembaca sekalian, marilah kita menabung. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Tapi bila sudah membukit jangan pula ditarah.

Sekian pesanan ibu untuk hari ini :)

Tuesday, April 13, 2010

..::SEKEJAP LAH::..

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sedang dalam proses pengubahsuaian. Juga sedang dalam proses penstabilan. Harap-harap lepas tukar skin saya akan kembali rajin menulis blog sehingga mampu menjana pendapatan melalui penulisan blog.

Sampai jumpa lagi.

Thursday, April 08, 2010

..::MAKEOVER::..

Mungkin blog ini perlu pengubahsuaian.

Saya langsung tak ada perasaan mahu mengadap blog.

Saturday, April 03, 2010

..::SELEPAS 14 TAHUN::..

..::Dari kiri : Toja, Siti, Aisyah, Norsiah, Jaja, Dila (apple), Saya, Ina, Jimmy, Saemah, Eva, Etee, Ras & Baby::..



Lokasi : Felda Soeharto, Kuala Kubu Baru
Acara : Majlis Perkahwinan Ina & Jimmy
Tarikh : 3 April 2010

Tadi siang saya lapangkan diri pergi majlis perkahwinan kawan sekolah. Lepas SPM terus tak pernah jumpa. Terputus hubungan. Terima kasih kepada Facebook kerana menemukan kembali kawan-kawan lama.

Macam saya tulis kat atas tu, lokasi di Felda Soeharto sana nun. Sangat jauh juga. Kalau dikira perjalanan terus dari lebuhraya, macam boleh sampai ke Ipoh. Tapi biasa lah kalau masuk kawasan felda. Jalan berliku dengan pemandangan kiri dan kanan sama ada getah atau kelapa sawit. Cadangan asal nak pergi saing dengan Mya. Tapi Mya tak dapat pula turut serta sebab Yaya kena demam campak dan Mya kena hantar Yaya balik Taiping.

Kebetulan pada waktu yang sama Datuk Seri Najib PM kita tu ada acara di sana. Jadi beliau pun 'mencemar duli' bertandang ke majlis tu. Siapa yang tengok Buletin Utama tentu perasan. Glamour kenduri Ina. Kiranya masa saya sampai tu PM sedang ada di situ. Jadi terpaksa lah letak kereta jauh sikit sebab simpang ke rumah kenduri ada halangan polis. Hmmmm kata rakyat didahulukan. Tapi tak juga. Ok tutup cerita itu.

Berbalik kepada kisah kenduri, saya sangat teruja sebab dapat jumpa kawan-kawan yang dah berbelas tahun terputus hubungan. Tapi yang lagi best semua nampak maintain je walaupun ada yang dah beranak 3. Hiks.. Itu rahsia orang lahir tahun 79 agaknya kan kawan-kawan.

Ok. Cerita kenduri diakhiri dengan gambar saya dengan suami yang makan di meja rombongan pengantin.

..::Gambar: kredit untuk Yana & gambar-gambar lain ada dalam FB::..

Monday, March 29, 2010

..::LUBANG::..

Kenapa stokin orang lelaki cepat benar berlubang di bahagian ibu jari?

Friday, March 26, 2010

..::SALAH MENYALAH ANTARA SATU SAMA LAIN::..

Pada petang Rabu yang permai, tak semena-mena Kak Pnut membebel kepada saya salahkan Kak An sebab terliur tengok nasi daging. Daripada membebel pasal nasi daging kemudian Kak Pnut melencong bercerita tentang anak-anak teruna belaannya yang bagi makan apa saja semua habis. Katanya masak kari 12 ekor ikan kembung pun habis. Dan tiba-tiba saya rasa nak makan kari ikan kembung campur bendi. Jadi, Kak Pnut harus dipersalahkan atas keinginan saya itu.

Lalu pada hari Khamis yang saya terasa sangat malas nak pergi kerja, saya pun masak kari ikan kembung campur bendi dan sebiji buah tomato. Ikan dan bendi saya dah beli petang Rabu di Pasar Malam Kampung Melayu Subang. Cuma santan dengan daun kari saja saya pergi beli tengahari tu. Rasa rugi pula kena beli daun kari satu paket sedangkan nak guna sikit saja. Saya ada tanam pokok kari tapi belum bawa pindah ke Shah Alam. Jadi untuk sementara waktu abaikan dulu perasaan tak seronok bila apa yang kita nak guna tak ada di kediaman sekarang.

Kakak ipar saya pernah bercerita dia tak begitu pandai masak kari walaupun anak-anaknya suka makan kari. Saya senyum saja. Secara jujur, memang 'koman' kalau orang utara tak pandai masak kari. Tapi kakak ipar saya tentulah orang Negeri Sembilan. Jadi boleh dimaafkan di situ.

Ini kari ikan kembung yang saya masak. Saya cuma masak 3 ekor saja tak perlu sampai 12 ekor. He he he... sangat sedap dimakan dengan nasi panas-panas kemudian letak kicap sikit. Sehingga menjilat jari.



Bila masak kari, saya sudah sedia dengan menu susulan. Bukan setakat sedap dimakan dengan nasi panas, kari ikan memang mantap jika dijadikan pencicah roti canai atau lempeng. Saya tanya suami nak lempeng atau roti canai. Katanya tentulah roti canai kerana pilihan yang diberi umpama memilih antara roti canai dengan chicken chop.

Tepung roti canai yang sudah siap diuli



Ini resipi roti canai (kalau mahu).

Bahan-bahan
1 senduk/cawan tepung gandum
2 sudu susu pekat
sedikit garam dan air untuk menguli

Cara-cara
1. Gaul ramas tepung dengan susu
2. Campur air sedikit demi sedikit ketika menguli. Uli sehingga tepung sudah tidak melekat di tangan
3. Rehatkan tepung yang sudah dibulatkan di dalam sedikit minyak. Lebih lama tepung direhatkan, lebih lembut hasil roti canai nanti

Tiada gambar untuk roti canai saya yang sudah siap kerana sudah selamat masuk ke dalam perut. Roti canai kena makan panas-panas.

Wednesday, March 24, 2010

..::BAHASA::..

Kalau nak makan ini


jangan cakap nak sup cendawan.
Tapi kena cakap nak mushroom soup. Sebab nanti yang sampai kat kita semangkuk sup cendawan tiram untuk dihirup.
Sekian.

.......separuh jiwa ku pergi

Tuesday, March 23, 2010

..::IRAS - RAIS::..


Ada iras tak tang hidung dan senyum tu?


Gambar ni saya ambil masa kenduri sepupu mertua di Kampung Geylang, Simpang Pertang. Gambar pengantin tak ada sebab saya malas nak bangun pergi ambil. He he he.

Pak Su cakap lepas ni kalau nak hantar apa-apa permohonan tunjuk saja gambar tu. Gerenti dapat.

Kalau macam tu saya nak mintak tukar lah. Dah tak larat nak kerja kat sini. Orang lain dah 2 - 3 kali pindah tempat kerja. Saya saja yang belum. Boleh ke?

Ha ha ha.. Kak Pnut dengan Ajid sila jangan keji saya dalam hal ini.

..::TAK CARA::..

Ini kuih cara. Semua orang tahu kan. Rupa parasnya sangat cantik dengan warna yang menarik



Tapi bila digigit, alahai tebal tepung daripada isi dalam. Tak terasa langsung gulanya. (sila abaikan kesan gigitan gigi kapak yang besar itu).



Nampaknya lepas ni kena cari acuan kuih cara lah untuk eksperimen sendiri.

Friday, March 19, 2010

..::UNTUK DIJUAL::..

Para pembaca sekalian. Saya pernah tulis dulu tentang kasut-kasut yang saya nak jual. Di sini ada 2 pasang kasut lagi yang masih ada. Yang lain sudah selamat dibeli orang melalui laman mudah.

Kasut memang berkeadaan baik. Boleh bilang berapa kali saja saya gunakan. Dah ada banyak kasut nak diulang pakai kan. Jadi harus semua macam menunggu giliran saja.

Kasut tumit tinggi jenama Vincci saiz 3 - RM40.00


Kasut ni saya beli sebelum raya tempohari. Tapi masa raya tak pakai pun heels sebab hujan. Gila apa lecak-lecak nak pakai tumit tinggi. Jadi pakai saja selipar.

Kasut tumit tinggi jenama PrimaVera saiz 4 - RM35.00


Jangan terkejut kenapa tiba-tiba kasut Primavera lebih murah daripada Vincci. Ini kerana usia kasut Primavera ini lebih tua. Tapi ia juga jarang dipakai. Dan kasut ni saya tinggal di pejabat. Pakai bila ada acara tertentu seperti Anugerah Khidmat Cemerlang.

Ini seksyen lain.

Brand new original Yonex 3/4 short L size - RM54.00


Seluar pendek ni sangat selesa. Menggunakan bahan 'tru breeze' dan berada dalam kategori 'cool comfort'. Mahu dijual kerana tuan empunya sekarang bersaiz XL. Kalau dah kata brand new tentulah masih belum digunakan.

Semua harga adalah termasuk kos pengeposan. Sesiapa yang berminat boleh tinggalkan komen di sini atau hantarkan email kepada saya.

Segala kerjasama dan sokongan pihak tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan berbanyak terima kasih.

..::SALAD vs KERABU::..

Pagi ni saya sarapan salad. Salad buah-buahan.

Resipi? Beli apa saja jenis buah-buahan yang anda suka. Potong mengikut citarasa masing-masing. Tuang sedikit thousand island. Siap.



Sebenarnya saya mula teruja untuk makan salad apabila tengok gambar salad dalam blog ini. Sangat cantik dan segar. Mungkin teknik fotografi yang digunakan juga memainkan peranan, tetapi memang ia cukup mengujakan. Di samping itu ia juga sihat dan boleh mengimbangi keperluan makanan harian kita.

Makan salad buah pagi-pagi mungkin tidak dapat menampung keperluan sarapan saya. Jadi, hujung-hujung saya makan nasi kerabu.



Eeerrr.. Kerabu dengan salad sama kan?? Cuma yang berbeza nasi tu. He he he

Thursday, March 18, 2010

..::KEJADIAN::..

Saya agak sibuk kebelakangan ini. Blog tak dikemaskini. Surat peminat pun belum sempat dibalas. Tapi hari ni saya ambil juga sedikit kesempatan untuk berkongsi kisah. Kejadian yang berlaku hari ini.

Tadi sewaktu mahu turun beli makanan tengahari, saya terperangkap di dalam lif. Seorang diri selama hampir 1/2 jam. Bangga dengan diri sendiri kerana tidak panik. Cuma sedikit terkejut sewaktu lif bergegar tersangkut dan saya sedikit terhentak ke bahagian dinding lif.

Saya tekan loceng kecemasan. Berulang kali. Tapi tiada jawapan. Lalu saya telefon pegawai pentadbiran memaklumkan kejadian. Mohon dikhabarkan kepada pihak pengurusan bangunan. Lama juga menunggu. Saya telefon juga beberapa orang rakan pejabat yang lain sebagai makluman tambahan.

Tiba-tiba lif jadi gelap gelita. Pendingin hawa juga berhenti berfungsi. Bantuan belum kunjung tiba. Perut semakin lapar. Kaki sudah lenguh berdiri. Saya telefon pegawai pentadbiran sekali lagi. Saya duduk dan telefon kawan lain. Berpeluh ketiak. Sesak nafas semua ada. Alhamdulillah tak lama kemudian juruteknik datang buka pintu lif. Berkali-kali dia minta maaf. Syukur semuanya selamat.

Dalam kejadian berasingan (eh ayat macam berita) kawan sepejabat saya disamun pagi tadi dalam perjalanan dari rumah ke Stesen LRT Pandan Jaya. Penyamun mengacukan parang panjang sambil mengugut untuk mencederakan jika menjerit dan beg tangan tidak diserahkan.

Kerana bimbang keselamatan diri, kawan saya akur dengan kehendak penyamun. Tapi sempat juga dia merayu minta dipulangkan segala dokumen penting yang ada. Permintaan tidak diendahkan sebaliknya diugut lagi jika kawan saya berganjak dari tempat berdiri kerana penyamun mahu melarikan diri.

Walaupun terkilan segala dokumen penting lesap, dan segala kunci yang ada pun lebuh, namun syukur kerana diri tidak dicederakan. Barang boleh dicari namun nyawa tiada galang gantinya.

Jadi kepada sesiapa yang sering berjalan kaki di kawasan sunyi seawal pagi ke stesen LRT, Komuter atau apa saja pengangkutan awam berhati-hatilah. Mungkin gerak geri kita sudah lama diperhatikan. Cuma masa dan ketika saja yang menentukan bila penyamun mahu bertindak.

Tuesday, March 16, 2010

..::MENJALA UNTUK SUAMI::..

Semalam balik kerja saya menjala untuk suami. Bukan menjala ikan. Tetapi menjala tepung. He he he. Ini pertama kali saya menjala sendiri. Sebelum-sebelum ni cuma menjala dengan kakak-kakak saja.

Memandangkan suami saya ni anak emak (dan semua orang pun anak emak kan?), maka suami memang gemarkan kuih muih tempatan, tradisional atau kuih yang dibuat sendiri di rumah. Faham kan maksud saya? Dan selagi saya tidak buat sendiri kuih selagi itu suami tak mahu percaya saya pandai buat. Kalau setakat cakap "I pandai buat karipap atau I pandai la buat roti canai" suami pandang sebelah mata saja. Jadi, sekarang saya mahu buktikan kebolehan yang ada.

Ini sebahagian hasilnya



Sewaktu menjala, saya panggil suami suruh datang tengok apa saya buat di dapur. Suami teka saya sedang buat lempeng. Apa kelas lempeng kan? Lagipun kalau lempeng tak payah saya nak show off kat suami pun. Suami sangat terkejut bila nampak roti jala dalam pinggan. Dan terus peluk-peluk saya sebab terharu. Saya cakap pada suami lepas ni tak payah dah pergi makan roti jala kat Pasar Tani Stadium hari Ahad tu.

Masih tak percaya ke saya menjala sendiri? He he he.. Ini yang masih di atas kuali dan yang belum digulung.



Memandangkan kami berdua memang sukakan roti jala, 25 ketul yang saya buat sesi pertama habis dimakan sekali hadap saja. Roti jala cicah dengan kari memang terangkat.



Kari ayam ni mak mertua yang bekalkan pada hari Ahad. Sebab ada banyak makanan yang dia bekalkan dan sampai rumah pun dah lewat saya simpan dulu kari ni. Semalam saya campur kentang dadu untuk kesan sampingan yang lebih mantap.

Resipi roti jala tentu sekali saya ambil di sini. Cuma kemudian saya ubah dan sesuaikan untuk 2 orang makan. Secara umum ini bahan-bahannya.

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/2 cawan santan pekat
2 cawan air
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil kunyit
Sedikit minyak dan daun pandan dicarik untuk minyakkan kuali

Cara-cara
Kisar semua bahan sehingga sebati kemudian tapis. Cuba dulu bancuhan, kalau pekat tambah sedikit air. Kemudian, mulalah menjala. Oh, nak buat roti jala ni paling penting tentulah acuannya. Tak kan lah nak kirai dengan jari kan. Hik hik hik.

Dengan sukatan yang saya berikan, kita akan dapat lebih kurang dalam 35 - 40 ketul/biji(?) roti jala bergantung kepada keluasan tebaran dan ketebalan jala anda.

Sekian, selamat menikmati hidangan minum petang.

Friday, March 12, 2010

..::SEKALI MAKAN DI TONY ROMA'S BERSAMAAN 3 HELAI BAJU BATIK DI KOMPLEKS KRAF::..

Minggu lepas saya luangkan juga masa pergi kompleks Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan. Hujung-hujung baru pergi. Macam yang saya kata sebelum ni rasa nak membeli belah tu tak ada sejak berumahtangga. Saya pergi pun sebab memang perlu cari blouse baru dan lagi satu nak belikan adik ipar blouse batik juga. (Adik ipar saya sila rasa bertuah ha ha ha)

Dah pergi kami pusing-pusing semua kawasan pameran. Berjalan sampai penat. Panas memang tak boleh nak cakap lah. 2 kali kami berhenti lepas lelah. Dan seperti yang dirancang saya memang beli 2 helai saja blouse dan suami beli sehelai kemeja batik untuk diri sendiri.

Itu cerita saya dengan batik.

Ini cerita saya dengan makanan pula.

Semalam saya masak ketam cili lagi. Pedas dah mencapai tahap kompetensi suami saya. Tapi ketamnya pula kurang isi. Bukan bulan penuh rasanya. Walaupun isi tak padat, habis juga lah 4 ekor ketam 2 orang makan.

Tadi pula saya pergi makan di Pavilion. Makan di Tony Roma's dengan Salina dan Nini. Makan kongsi-kongsi hidangan je pun. Sebab memang ia datang dalam saiz hidangan besar. Penat juga nak habiskan. Mujurlah waktu rehat panjang. Makan perlahan-perlahan sambil sembang.

Hujung-hujung nak bayar, wow harga hidangan yang kami makan dekat-dekat nak sama harga dengan 3 helai batik yang saya beli di kompleks kraf minggu lepas. Feerrrhhh. Kata nak menyimpan. Tapi bila bab makan saya kalah. Makan apa yang tekak rasa nak telan. Cuma di Tony Roma's hidangan memang sedap. Jadi tak rasa ralat sangat bila bayar tu. Lagipun arwah ayah saya selalu pesan bab makan jangan berkira.

Sekian cerita saya dengan batik dan makanan. Gambar ada tapi tak boleh nak edit segala. Maka keluarlah entry tanpa gambar makanan.

Wednesday, March 10, 2010

..::REZEKI TERGOLEK::..

Semalam. Lepas Maghrib ada seorang kawan suami telefon. Telefon suami lah bukan telefon saya. Musykil juga mula-mula. Tak pernah-pernah telefon kata suami.

Rupa-rupanya kawannya tu nak bagi kami pakej percutian. Kisahnya dia dah tempah pakej percutian ke Pulau Perhentian hujung minggu ni sehingga hari Selasa. Namun segalanya ketentuan Allah. Isterinya masuk hospital. Jadi daripada rugi begitu saja, apa kata tawarkan kepada pasangan yang baru berkahwin ni. Kan?

Mahu tidak mahu kami juga terpaksa menolak. Dalam keadaan hati saya separuh merelakan. Kerana kami terikat dengan jemputan kenduri di rumah saudara sebelah suami. Bukan satu kenduri tapi 2 kenduri masing-masing pada hari Sabtu dan Ahad.

Hmmm.. Ini lah yang dikatakan rezeki tergolek. Tergolek datang kepada kita tiba-tiba dan tergolek pergi begitu saja kerana kita terikat dengan komitmen lain yang lebih utama.

Eeerrr.. ada tak siapa-siapa lagi nak tawarkan percutian kepada kami?? Silakan jangan malu-malu.

Tuesday, March 09, 2010

..::KERANA BOMOH MARUAH TERGADAI::..

Sejak akhir-akhir ni kalau baca surat khabar, macam-macam cerita ada. Kisah buang anak tak pernah putus. Sekarang timbul pula kisah dera anak. Ditambah lagi dengan anak-anak remaja yang merompak dan memukul nenek. Lain-lain kisah yang tak pernah putus ialah tentang mangsa cabul bomoh.

Pagi ni muka depan Metro cerita tentang perempuan yang rela dicabul bomoh dan kemuncaknya sanggup meminta cerai daripada suaminya. Semua bermula apabila beliau pergi berjumpa bomoh kerana mahu meminta pelaris dek kerana restoran yang diusahakan mengalami masalah. Jika dikira, dari awal lagi ia sudah terpesong. Kenapa lah mahu meminta pelaris. Sedangkan rezeki semuanya datang daripada Allah. Hmmm entahlah.

Berbalik kepada kisah tadi, katanya bomoh beri air jampi dan selepas meminum dia seolah-olah dipukau. Ikut saja apa kata bomoh. Tanggalkan baju dan diurut seluruh badan kerana mahu menjarakkan kandungan pun diikutkan saja. Entah apa kaitannya. Bukankah tujuan asal berjumpa bomoh kerana mahu pelaris?? Tiba-tiba timbul pula kisah jarakkan kandungan. Haiiih.

Berbicara dengan seorang teman, kata beliau sebenarnya bomoh ni bukan bagi air jampi pun. Tapi kebanyakan bomoh memang pandai bercakap. Sehingga apa yang dicakapkan bomoh dipercayai oleh pelanggan. Ini semua didorong oleh keinginan yang menebal sehingga ia mampu mengatasi kewarasan. Malah beliau sendiri pernah hampir-hampir terjerat oleh pihak yang memang pandai memanipulasi orang hanya dengan menggunakan kata-kata.

Jika dipandang dari sudut yang lebih luas terasa hairan juga kerana ramai yang masih percaya dengan bomoh. Sedangkan bukan sekali dua kita dikhabarkan dengan kisah bomoh yang menjalankan kaedah rawatan yang pelik. Peliklah kan kalau bomoh lelaki merawat pesakit wanita dengan meraba dan sebagainya. Tapi berbalik kepada point yang dinyatakan, ini semua didorong oleh keinginan sehingga mengatasi kewarasan.

Sememangnya manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Terlupa juga untuk bersyukur dengan rezeki yang telah Allah beri. Lalu apabila kita lupa dan jauh daripada Allah dan rahmatNya, apa yang dekat dengan kita ialah Syaitan. Wallahu'alam.

Monday, March 08, 2010

..::JADI SERBA SALAH::..

+ Kak, sebenarnya kan saya dah nikah pun. Tapi tak buat kenduri. Tak ramai pun yang tau. Saja lah tak nak heboh-heboh.

- Lorh... Apasal pulak? Kau kawen bini nombor 4 ke pun?

+ Memang pun kak..

- (Gulp!) Errr..

Ok. Itu buat saya serba salah kerana TERasa mulut TERlalu longkang. TER ok.

Friday, March 05, 2010

..::CICAK KU SAYANG::..

Saya syak cicak yang ikut saya pergi kerja tempohari masih ada dalam kereta.

Buktinya. Pagi tadi saya nampak ada benda asing warna hitam putih atas dashboard.

Uwaaaaa... macam mana nak buat bagi binatang tu keluar.

Thursday, March 04, 2010

..::MUDAH::..

Ini pasal mudah.my alaaaaa laman web yang kita boleh iklankan macam-macam tu.

Saya memang selalu berurusan dengan mudah. Sama ada saya beli barang melalui mudah atau pun jual barang melalui mudah.

Semalam saya muat naik 3 iklan. 1 iklan seluar dan 2 iklan kasut. Pagi ni saya dapat respon. Melalui iklan kasut yang saya letak.

Tapi ia sangat mengelirukan. Sila klik gambar untuk paparan lebih jelas.



Apa tidaknya. Tiba-tiba saya ditawarkan pekerjaan sebagai jurutaip. Ya, sesuatu yang sememangnya kepakaran saya. Menaip. Entah tawaran betul atau tidak. Saya tak kisah pun. Kerjaya sekarang sudah cukup terjamin buat saya. Tak gelap mata pun dengan nilai gaji yang ditawarkan.

Cuma. Apa kaitan kasut tumit tinggi saiz 3 dengan pekerjaan jurutaip??

..::APA BARANG::..

Apa barang pergi makan di



kalau cuma makan



atau makan



paling tidak mesti pekena



dan minum

Wednesday, March 03, 2010

..::SALAH SIAPA::..

Ini entry bergambar.

Nasi putih



Ikan bawal goreng



Sotong masak asam



Sambal telur puyuh



Air barli buatan sendiri



Kalau makanan macam tu punya gaya, siapa lagi lah yang nak disalahkan bila baju kebanyakannya sudah tak muat. Salahkan orang yang masak ke, atau salahkan orang yang makan?

Tuesday, March 02, 2010

..::PERGI KERJA BERSAMA CICAK::..

Pagi tadi, saya pergi kerja ditemani oleh seekor cicak. Mungkin cicak man.

Kisahnya bermula begini. Pagi-pagi pergi kerja saya memang jarang terus pasang penghawa dingin. Saja lah mahu rasa udara pagi. Tapi pagi tadi sedang enak memandu keluar dari taman perumahan, tiba-tiba "tap!" kedengaran bunyi di atas dashboard.

Dalam samar cahaya lampu jalan kelihatan seekor cicak sedang tercangak-cangak kekeliruan. Serta merta darah saya menyirap ketakutan. Terus cari tempat berhenti dengan niat mahu halau cicak keluar dari kereta. Ya lah, buatnya tengah memandu cicak tu naik merayap masuk dalam kain boleh bikin kemalangan saya.

Tapi bila saya berhenti, kelibat cicak pula sudah tidak kelihatan. Hilang entah ke mana. Geli ok. Terus telefon suami mengadu domba. Biasalah. Walaupun sebenarnya bukan boleh jumpa semula cicak tu. Lepas dengar suami pot pet ala kadar saya pun meneruskan perjalanan dengan perasaan berbaur. Sepanjang perjalanan sejauh 35km saya rasa cuak dan geli geleman. Bimbang tiba-tiba cicak terjengol di hadapan mata.

Alhamudulillah perjalanan saya selamat. Namun saya masih berdoa cicak berkenaan sudah keluar dari kenderaan dan berpindah ke tempat lain. Atau sudah mati kepanasan tersepit enjin atau belting segala. Heh!

Monday, March 01, 2010

..::LAGU::..

Saya menyanyi untuk Linda supaya dia tenang dan tidak rasa tertekan. Sebaik mendengar tangisan Ratu, saya sangat gembira dan bersyukur.


Eeeerrr... Bukankah sebaik-baiknya ayat-ayat Al-Quran yang dilagukan?

Cerita lanjut baca di sini

Thursday, February 25, 2010

..::HILANG MINAT LAGI?::..

Suatu ketika dulu saya pernah cerita tentang minat menonton TV yang berkurangan semenjak menghadapi proses untuk mendirikan rumahtangga. Tapi sekarang saya sudah kembali menonton TV. Walaupun tidak setegar dulu.

Kini, saya mula terperasan bahawa ada satu lagi minat saya yang semakin berkurangan. Mungkin ia akan menggembirakan hati suami.

Saya. Kurang minat untuk membeli belah. Tolak membeli belah keperluan dapur. Itu perkara yang memang mesti beli. Ini membeli belah lain. Alaaa.. Beli kain baju. Beli kasut. Beli beg tangan. Malah, saya sedang dalam proses mahu menjual koleksi kasut tumit tinggi yang ada. Lain kali saya buat entry kasut tu.

Berbalik kepada membeli belah, sebetulnya semalam telah bermula Hari Kraf Kebangsaan (HKK) dan akan berakhir pada 8 Mac 2010 nanti. Tapi keterujaan saya menanti kedatangan HKK kali ini tidak pula seperti tahun-tahun sebelumnya. Ada rasa nak pergi sebab mahu cari blouse untuk diri sendiri dan adik ipar. Tapi sekadar itu saja. Lain-lain tidak ada keperluan untuk mengulang kunjung.

Hmmmm.. Apa sudah jadi dengan saya, ya?

Tuesday, February 23, 2010

..::BIG FOOD UNTUK MAKAN MALAM::..

Setelah berpenat lelah sepanjang minggu, sesekali dapat berhujung minggu bersama suami di rumah sendiri membuatkan saya rasa tak begitu rajin nak memasak. Mujur juga permintaan mahu makan malam di luar mendapat persetujuan.

Kali ini kami ke Restoran Big Food di TTDI Jaya. Lokasinya bersebelahan dengan Ani Sup Utara dan sebaris dengan JM Bariyani. Restoran Big Food menyediakan pelbagai pilihan makan barat bermula dengan pembuka selera sehingga kepada pencuci mulut. Aneka pizza juga terdapat dalam pilihan menu.

Ini rib-eye steak pilihan suami. Sila jangan bandingkan rib eye di sini dengan rib eye di Chili's atau Tony Romas. Nanti kamu kecewa



Saya pula pilih sirlion steak. Rasanya ok saja. Sebab saya tak tahu bagaimana mahu membezakan daging-daging ini



Fresh Mango Juice di sini sangat sedap. Serius. Terasa benar mangganya



Pilihan air yang lain juga kelihatan segar dan menarik. Saya dapat lihat mereka tidak kedekut buah laici. Tapi kami memang pesan segelas air sahaja.

Hidangan kami diakhiri dengan sagu gula melaka. Sedap. Lemak berkrim dan sedang-sedang saja manisnya.



Untuk pengetahuan, hidangan di sini diberi pilihan dalam 2 saiz iaitu biasa dan besar. Terdapat 2 bahagian tempat duduk iaitu di bahagian dalam yang berhawa dingin dan di bahagian luar yang menampilkan konsep terbuka.

Harga yang dikenakan untuk setiap hidangan adalah berpatutan di samping keadaan restoran yang bersih dan mendamaikan. Bagi kami sendiri, kami berpuas hati dan bercadang mahu kembali ke restoran ini untuk mencuba hidangan lain pula.

Monday, February 22, 2010

..::KISAH LAMA DAN KEGHAIRAHAN BERFACEBOOK::..

Facebook mencetus satu fenomena baru. Bukan setakat orang biasa, malah Menteri juga seorang demi seorang melancarkan laman Facebook masing-masing. Mungkin menyahut saranan YAB PM yang lebih dulu melancarkan Facebook beliau.

Bagi Menteri, melalui Facebook mereka akan lebih dekat dengan rakyat. Bagi rakyat, Facebook menemukan mereka dengan teman-teman yang sudah terputus hubungan. Malah kawan-kawan yang berbelas tahun terpisah, bertemu kembali melalui Facebook.

Bertitik tolak dari pertemuan semula itu, masing-masing ghairah mahu mengimbau kenangan lama. Gambar-gambar yang ntah sebelum ni tersimpan dalam gerobok dikorek kembali, diimbas kemudian dimuat naik ke laman Facebook. Dipaparkan kepada khalayak. Dan, dalam keghairahan itu, habis semua gambar dipaparkan termasuk gambar-gambar tidak menutup aurat yang dirakam ketika di dalam dorm asrama.

Seperti menulis blog, berfacebook juga mengikat kita dengan tanggungjawab kepada pihak lain. Tanpa kita sedar, jika mahu memaparkan sesuatu gambar, keizinan perlu diperolehi daripada pihak lain dalam gambar berkenaan. Lebih-lebih lagi jika gambar itu tidak menutup aurat. Jika diizinkan, terima kasih diucapkan. Namun jika keizinan terhalang, kehendak dan pendirian rakan seharusnya dihormati.

Saya tahu ada orang yang tak kisah dengan semua itu. Macam ungkapan yang popular sekarang ni "Ada aku kisah??". Tapi bagi saya, saya memang ambil kisah tentang perkara ini. Dan saya sangat ambil serius. Mungkin sebenarnya gambar tu dah lama ada berdasarkan tarikh yang tertera. Cuma saya saja yang tak tahu kalau bukan kerana ada kawan lain yang tag wajah saya. Sebab kerja saya bukannya menghadap Facebook siang malam kemudian buka satu-satu profile dan album gambar semua rakan.

Secara jujur saya sangat terkilan. Kadang-kadang kita sangka kawan yang kita anggap sahabat itu memahami kita, rupa-rupanya tidak. Begitu juga sebaliknya. Maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan luahan ini. Saya sudah hantar mesej peribadi melalui laman faceebok, namun saya anggap permintaan saya dipandang sepi kerana sehingga kini gambar berkenaan masih ada di situ.

Saya bukan mahu cari lawan, sebaliknya mahu berkawan. Mahu terus memelihara ukhuwah yang sudah lama terjalin. Namun jika perkara sebegini tidak diperbetulkan dan masih berterusan tanpa sebarang perubahan, bimbang nanti ia akan berakhir bukan seperti yang kita mahu.

Dan. Dalam keghairahan berfacebook, jangan lupa tanggungjawab yang ada.

Thursday, February 18, 2010

..::ALLAH LEBIH MENYAYANGI::..

"DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali"


Baru semalam saya kongsi cerita tentang mak saudara yang sakit. Belum pun sempat menziarahi beliau, hari ini saya dapat perkhabaran dia telah pergi. Selepas genap seminggu terlantar.

Semoga seluruh keluarga tabah menghadapi ujian ini.

Doakan agar roh Allahyarham Puan Khuzaimah Mohamad sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Al-Fatihah.

Wednesday, February 17, 2010

..::JANGAN AMBIL MUDAH BILA SAKIT KEPALA::..

Apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah peringatan kepada diri sendiri juga.

Hari Rabu minggu lepas, saya terima sms daripada Ateh mengkhabarkan yang salah seorang mak saudara kami (adik mak) masuk ICU Hospital Ipoh dan tak sedarkan diri. Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar kerana sewaktu sepupu saya menelefon emak, Ateh tiada di rumah. Jadi, mungkin agak terbatas maklumat yang diperolehi. Tetapi, ia bersangkut paut dengan otak.

Kemudian difahamkan kakak sulong saya yang tinggal di Ipoh sudah pergi melawat. Dan minta mak datang secepat mungkin walaupun perancangan awal mak mahu pergi ziarah hari Sabtu. Bunyi sangat serius kerana mak saudara saya masih belum sedar. Jadi, hari Jumaat mak pergi Ipoh dengan adik.

Semalam saya telefon mak. Tanya khabar. Tanya khabar mak saudara. Mak pun cerita: asalnya mak saudara saya tu cuma sakit kepala. Sakit sakit dan sakit. Jumpa doktor. Dan doktor cuma bagi ubat tahan sakit dan kata sebab darah tinggi. Macam biasa. Tapi mak saudara saya tak ada penyakit tu semua. Sampai satu tahap sudah tak tertahan sakit kepalanya. Maka pergilah mak saudara buat imbasan. Menurut doktor yang buat imbasan, terdengar bunyi seakan guruh di bahagian otak.

Rupa-rupanya ada pendarahan dalam otak. Pembuluh darah dah pecah. Maka pembedahan besar perlu dibuat untuk mengeluarkan darah yang terkumpul itu. Difahamkan juga sebahagian otak telah kehilangan fungsi.

Sehingga ke hari ini mak saudara saya masih belum sedarkan diri. Namun, Alhamdulillah sudah ada sedikit perkembangan apabila jari memberi tindak balas dan ada air mata yang mengalir bila nama dipanggil.

Saya masih belum berkesempatan untuk menziarahinya. Kali terakhir saya jumpa bila dia datang ke rumah lepas kenduri tempohari. Waktu tu tak kelihatan langsung tanda-tanda sakit.

Kadang-kadang kita selalu ambil mudah dengan sakit yang dialami. Saya sendiri begitu. Mungkin, memang tidak dapat dinafikan rasa takut untuk buat pemeriksaan lanjut lebih terperinci. Takut jika keputusannya akan membawa satu perubahan besar dalam hidup. Namun sebagai seorang Islam, segalanya sudah ditentukan Allah.

Sesungguhnya kita hanya mampu berdoa dan saya mohon teman-teman pembaca blog juga doakan kesejahteraan mak saudara saya.

..::KE KLCC LAGI::..

Hari Khamis sekali lagi saya ke KLCC. Kali ini dengan kawan saya yang jauh dari seberang laut. Datang berkunjung seketika cuma.

KLCC tu dekat saja dengan pejabat saya. Bawa kereta belum pun masuk gear 4 dah sampai. Sebenarnya boleh saja kalau mahu berjalan kaki. Tapi saya tidak cukup kental untuk menyusur lorong-lorong di celah bangunan tinggi dengan suhu bumi seperti sekarang.

Kali ini saya dan kawan makan di Nando's. Restoran yang selalu kami pilih sebab ice lemon tea boleh tambah tambah dan tambah berkali-kali. Tapi bila sampai di tempat kejadian rupa-rupanya kawan saya sudah pesan hidangan lain. Katanya ada promosi. Hmmm ikut kan saja lah.

Ini hidangan 'promosi' sempena CNY. Ada yee sang tak berapa nak yee sang



Makan sambil borak. Pot pet pot pet lama dah tak jumpa. Kali terakhir jumpa saya masih bujang. Borak-borak sambil makan sampai ketat pinggang kain. Sampai pejabat saya kena longgarkan cangkuk. Again. Malah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ni.

Saya juga muat-naik gambar hidangan Nando's tu di Facebook. Kemudian kakak saya komen. "Ada halal ka?"

Aiyorkk!!! Terus saya semak direktori. Huk huk huk. Saya agak kecewa. Pada dasarnya Nando's mendapat sijil halal. Namun cuma 10 cawangan sahaja yang masih aktif. Yang lain semua sudah tamat tempoh termasuk cawangan Nando's di Suria KLCC.

Bagaimana ya? Makanan ni menjadi darah daging. Banyak orang berkata masalah sosial yang semakin menular sekarang ni juga ada kaitannya dengan pemakanan yang masuk dalam badan dan jadi darah daging. Makan ikut sedap anak tekak tanpa meneliti sumber.

Hmmmm.. Nampaknya kena lebih berhati-hati lah lain kali.

..::JANJI TEMU MAKAN TENGAHARI::..

Ini cerita minggu lepas. Gambar sudah seminggu terdampar dalam draft. Tapi baru hari ni ada rasa nak sambung-sambung cerita.

Hari Selasa saya pergi makan tengahari di Pizza Hut dengan suami. Kami ke KLCC. Pertama kali berjanji temu setelah bergelar suami isteri. Jarak memisahkan kami untuk makan tengahari bersama. Suami di utara Lembah Kelang dan saya pula di tengah ibu kota.

Sudah lama tak makan pizza. Maksud saya Pizza Hut. Dan saya sangat suka dengan perkhidmatan di Pizza Hut KLCC ni.



..::Hidangan yang kami pilih::..


Roti bawang putih yang sangat best. Tak liat atau keras macam sebelum-sebelum ni. Sup dihidangkan dalam mangkuk besar. Tak minum air pun dah kenyang hirup sup. Seafood lasagna. Dan tentu sekali pan pizza.

Sebagai maklumat tambahan kepada semua, sebanyak 285 cawangan premis Pizza Hut mempunyai sijil halal yang masih aktif. Termasuk cawangan di Suria KLCC. Jadi usah ragu-ragu untuk makan di sana.

Maklumat lanjut boleh layari direktori halal

Wednesday, February 10, 2010

..::TAK CUKUP SIFAT::..

Again. Pisang yang mak bagi untuk digoreng akhirnya jadi makanan lain.



Pengat pisang yang tak cukup sifat. Tapi rasa tetap sedap. Walaupun suami tak puji, tapi bila makan bertambah dan siap cicah roti lagi, faham-faham sajalah apa maknanya.

Eeerr atau maknanya dia lapar sangat? Ha ha ha

Friday, February 05, 2010

..::DAH LAMA TAK TULIS ENTRY PANJANG::..

Hari Rabu baru-baru ni saya cuti sakit. Lagi. Minggu lepasa, hari Rabu pun saya cuti sakit juga. Kenapalah? Baru bulan kedua tahun 2010 tiba-tiba sudah 2 kali saya ambil cuti sakit. Sangat tidak seperti saya. Kerana sebelum ni sudah bertahun-tahun saya memegang rekod bekerja tanpa pernah mengambil cuti sakit. Oh, ia tiada kaitan dengan status semasa saya.

Sebenarnya ia rentetan (wah!!) daripada kisah saya jatuh tempohari. Sewaktu ke klinik kali pertama, doktor (swasta) pesan jika sakit tak berkurangan selepas 3 hari sila datang semula untuk buat x-ray. Memang sakit tak berkurangan. Walaupun sudah habis ubat yang diberi saya makan. Sudahlah satu daripada ubat tu sangat mengantuk dan boleh menyebabkan saya tertidur pengsan tak sedar apa.

Memandangkan saya kakitangan Kerajaan, jadi saya bercadang mahu menggunakan kemudahan yang diberi. Jadi saya ke Hospital Sungai Buloh sana untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Hospital Sungai Buloh sangat cantik dan kalau tak salah saya ia di antara hospital yang canggih. Cuma yang saya tak larat, lobi hospital berada di kawasan tanah tinggi. Jenuh juga memanjat. Asalnya kaki tak berapa sakit pun jadi bertambah sakit. Parking pula sangat penuh dan terpaksa letak kereta di tempat haram yang jauh kena mendaki.

Bila tiba di kaunter pertanyaan, saya dikhabarkan oleh kakak pengawal keselamatan bahawa hospital berkenaan tidak menerima pesakit luar. Mereka cuma menerima kes yang dirujuk. (Macam tu pun ada ye?). Lalu saya diminta untuk ke Klinik Kesihatan Kampung Melayu Sungai Buloh. Dalam kepala otak saya dan suami sudah terbayang suasana yang tidak seronok. Saya rasa semua orang ada ekspektasi tentang perkhidmatan yang lambat dan keperluan menunggu tahap begitu lama sampai tak tahu nak buat apa. Tapi kami lapangkan juga hati dan menuju ke destinasi seterusnya.

Sampai di kaunter pendaftaran. Ambil nombor dan letak kad pengenalan. Sila percaya bahawa nombor saya ialah 1287 dan nombor semasa ialah 1191. Manusia melaut. Berbagai bangsa agama dan usia kelihatan. Menurut piagam pelanggan yang dilekatkan di dinding, tempoh menunggu untuk pendaftaran ialah 15 - 20 minit. Manakala tempoh untuk mendapatkan rawatan ialah 30 - 45 minit. Jumlah keseluruhan ialah 1 jam.

Tapi janganlah kamu berharap sangat untuk selesai semua tu dalam tempoh satu jam. Pendaftaran mungkin boleh selesai dalam masa 15 minit. Tapi masa menunggu untuk berjumpa doktor boleh menjangkau 2 jam. Daripada ruang lobi pendaftaran dipenuhi manusia, sampai lah selengang alam. Daripada kamu sabar menunggu sambil dengar dengan teliti nombor dipanggil sampailah kamu bosan kerana asyik dengar nombor yang kemudian daripada kamu dipanggil untuk rawatan di bilik-bilik lain. Asalnya kamu duduk dan menikmati masa terluang bersama suami, sampailah suami kamu bengang dan bangun. Pergi tanya pekerja yang asyik ulang alik dari kaunter pendaftaran ke bilik rawatan bawa kad pesakit, kenapa nombor belum dipanggil dan bagaimana sistem sebenarnya.

Lama kemudian baru nombor dipanggil. Doktor tak pegang pun kaki saya. Tapi mulut pot pet pot pet itu ini. Katanya tak patahlah. Sikit saja. Tak lebam pun. Bla bla bla. Dan sebenarnya tak payah x-ray. Nanti terdedah kepada radiasi. Bahaya kepada wanita yang disyaki mengandung seperti saya. Hmmm entahlah. Tapi kenapa kaki saya tetap sakit?

Sebab saya nak juga x-ray, doktor mengalah. Pergi bahagian lain untuk x-ray. Tunggu keputusan. Kemudian bawa balik kepada doktor tadi. Lepas tunjuk doktor keputusan x-ray dan pot pet sikit-sikit, doktor bagi cuti sakit. Doktor cuma bagi ponstan dan ubat kurangkan bengkak. He he he.. saya tak makan pun lagi. Degil.

Untuk pengetahuan semua, masa yang diambil bermula daripada pendaftaran sehingga saya ambil ubat di farmasi dan berjalan ke kereta untuk pulang ialah 3 jam. Sila percaya sekali lagi. 3 jam.

Dan. Saya syak piagam pelanggan itu sekadar mahu menyedapkan hati dan pelengkap KPI mereka. Itu saja.

..::KETAM BERCILI DAN NASI PUTIH UNTUK MAKAN MALAM::..

Tiba-tiba saya rasa blog ni dah tukar jadi blog makanan. Apa taknya. Asyik lah entry pasal makan. Walaupun rasa macam tu, saya tetap juga nak buat entry tentang makanan. He he he.

Sebenarnya saya dan suami jarang sangat makan nasi waktu malam. Kalau makan pun mungkin bila balik kampung. Tu pun dalam kuantiti yang tak berapa nak banyak. Selalunya saya akan masak makanan lain macam mee rebus, goreng cucur kodok atau makan roti bakar saja. (eh, macam berkalori tinggi juga kan?)

Hari Rabu pergi pasar malam saya ada beli ketam. Cadangannya macam nak masak hujung minggu saja. Tapi semalam saya rasa nak sangat makan ketam bercili. Jadi dalam perjalanan balik kerja saya pesan siap-siap dengan suami untuk keluarkan ketam dan cili mesin dari tempat beku. Mujur juga. Perjalanan balik semalam mengambil masa 2 jam disebabkan hujan lebat di KL dan ditambah dengan entah kontraktor mana yang cerdik sangat pergi turap jalan di atas flyover ke Puncak Perdana tu petang-petang waktu orang balik kerja. Punya lama tersangkut sampai saya terlelap sekejap masa tunggu lampu isyarat di Bukit Jelutong. Tersedar bila kereta belakang honk. Hik hik hik.

Sampai rumah pukul 6.30 petang. Terkocoh-kocoh rasanya. Bila saya turun ke dapur lepas solat asar tengok suami tengah buat roti planta. Bagus je kan. Jadi saya boleh terus sediakan bahan untuk masak makan malam. Sambil sediakan bahan, sebenarnya dalam hati rasa berbelah bahagi sama ada mahu makan nasi atau tidak. Tapi bila tanya suami nak nasi tak. Jawabnya habis dah U masak lauk mestilah makan dengan nasi. He he he. Jadi saya sengih saja lah.

Eh, panjang pula mukaddimah. Padahal sebenarnya mahu cerita tentang ketam bercili dan nasi putih yang jadi hidangan makan malam saja.

Dipersembahkan ketam bercili versi saya. Resipi mudah saja. Dan sama saja dengan resipi orang lain.

bawang merah + bawang putih + cili dimesin dan ditumis. Bila sudah wangi dan cili masak masukkan air asam jawa + gula + garam secukup rasa. Masukkan ketam + sedikit air. Gaul rata. Akhir sekali pecahkan sebiji telur. Biarkan mendidih seketika. Kemudian hidangkan dengan penuh kasih sayang


..::chili crab::..


Masih dalam usaha tanpa henti mengajak suami makan sayur. Jadi saya sediakan sayur campur goreng dengan sos tiram. Lagipun makan mesti seimbang mengikut piramidnya. Resipi sayur campur goreng? Tak kan itu pun tak tahu. Campak-campak dan campurkan semua saja. Siap. *Pesanan : Tak perlu tambah garam kerana sos tiram sudah sedia masin.

..::mix vege with oyster sauce::..


* Letak nama Inggeris untuk kesan gempaq

Gambar nasi putih tak perlu letak. Sama macam nasi orang lain juga walaupun saya cuma guna beras cap Jalaluddin Hassan.

Sekian entry penambah ukur lilit badan dari saya.

Tuesday, February 02, 2010

..::BULAN::..

Sudah masuk bulan kedua