Bulan Ramadhan ni tak banyak aktiviti luar dilakukan. Kebetulan pula dengan penyebaran virus H1N1, memang rasa tak berapa nak berani pergi tempat sesak-sesak. Jadi, rutin harian cuma pergi dan balik kerja. Tepat pada waktunya. Kalau tak keluar 4.30 petang, memang 'masak' atas jalanlah jawabnya.
Nak kemaskini blog pun tak berapa nak ada cerita selain daripada cerita makanan, resipi dan juadah berbuka puasa. Tapi memang itu pun keadaannya. Belum habis satu hari, sudah fikir menu pada hari berikut. Kadang-kadang siap ada menu untuk seminggu. He he he.
Untuk mengelakkan diri daripada masak nasi goreng setiap hari, hari jumaat lepas sebelum pergi kerja saya dah keluarkan sotong dari tempat beku. Letak di bahagian bawah. Jadi bila balik waktu petang tak ada-lah sotong tu masih keras kejung. Saya tak ada bibik nak dipesan-pesankan macam Acik Sapinat tu. Semua buat sendiri.
Saya rasa mahu buat masak asam sotong. Tapi baru teringat asam jawa saya habis dan saya asyik terlupa nak beli. Plan B saya ialah buat sotong goreng tepung. Abaikan saja makan nasi tak ada kuah, janji saya kenyang.
Makan cicah dengan sos macam tu saja pun dah sedap. He he he.Sahur saya goreng megi. Teringin sangat. Lupakan seketika jika itu makanan yang kurang berkhasiat.
Nak masak ni sebenarnya kena kreatif. Jangan membazir juga. Lebihan makanan atau bahan masak, kita reka buat menu lain pula. Itu pun salah satu sebab kenapa saya asyik makan nasi goreng. Ngeee..
Tepung dan telur yang saya guna untuk buat sotong goreng tepung pada hari Jumaat masih berbaki. Jadi saya bancuh kedua-dua bahan tu dengan sedikit air. Masukkan secubit garam. Oh, tepung saya guna campuran tepung beras dan tepung gandum. 30 minit sebelum waktu berbuka puasa, baru saya mula menggoreng.
Cendawan Goreng TepungPetua: Lebih lama bancuhan tepung dibiarkan, lebih rangup hasilnya nanti.
Sekian, menu bujang seorang saya.