Friday, July 31, 2009

..::KALAU ABANG TAK NAK, BOLEH BERI KEPADA KAKAK::..

Hujung minggu lepas saya pergi Mid Valley dan menyertai kelompok rakyat 1Malaysia di Maybank Treats Fair. Ramainya manusia. Tapi demi mahu menebus mata ganjaran untuk barang yang diidamkan, saya turutkan sahaja.

Di kiri, kanan, depan pintu masuk dipenuhi dengan gerai-gerai milik Maybank sendiri. Saya (atau lebih tepat lagi disebut kami) disapa seorang wanita menawarkan Kad Kredit Ikhwan sejurus selepas melangkah masuk.

"Kad Ikhwan ni secara islamic. Tak ada caj bayaran seumur hidup."

"Boleh pohon sekarang. Dan kad boleh siap hari ni juga. Sebelum jam 12."

"Mata ganjaran dalam kad sekarang boleh dipindahkan ke dalam kad Ikhwan."

Bertalu-talu wanita berkenaan bercerita. Membuat tawaran. Yang sedikit sebanyak menggoyahkan hati lelaki di sebelah saya. Tetapi dia masih bertahan.

"Tak apa kalau Abang tak nak guna kad ni. Abang boleh beri kakak yang guna." Sambung wanita itu lagi.

Saya tersengih lebar. Dia pula senyum simpul. Sambil meminta diri untuk melihat-lihat dulu ruang pameran yang lain.

Maaf. Ianya gagal.

Thursday, July 30, 2009

..::BELAJARLAH DELETE SENTIMENTAL VALUES::..

Kawan saya yang sedang ingin bercinta cakap saya ni kena belajar delete sentimental values.

Eh, saya pernah apa padam sentimental values. Kan saya pernah cerita dalam entry ini 3 bulan lepas.

Cuma lepas saya padam folder yang saya cipta 2 tahun yang lalu tu, saya wujudkan pula folder lain. Dan folder yang baru ni belum pun sampai 6 bulan dah beratus-ratus kandungannya sehinggakan telefon saya selalu hang. Saya syak memang simpanan yang melebihi kapasiti dan keupayaan telefon menjadi penyebab. Bukan alasan mahu telefon baru semata-mata. Hiks.

Berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata kawan saya tu.

Jadi, pada pagi ini perlahan-lahan saya mula memadam kenangan-kenangan yang saya rasakan tetap akan terpahat di sudut hati saya walaupun sudah tidak disimpan di dalam mana-mana storan.

Wednesday, July 29, 2009

..::THE TAKING OF PELHAM 123::..

Asalnya saya (atau lebih tepat kami) mahu tonton semula filem Transformer. Tapi tak sangka pula panggung masih penuh. Yang tinggal cuma tiket-tiket mendongak ke langit. Tak mahu-lah. Lalu kami ambil keputusan untuk tonton filem The Taking of Pelham 123.



New York City subway dispatcher Walter Garber's ordinary day is thrown into chaos by an audacious crime: the hijacking of a subway train. Ryder, a criminal mastermind, leads a highly-armed gang of four, threatening to execute the train's passengers unless a large ransom is paid within one hour. As the tension mounts beneath his feet, Garber employs his vast knowledge of the subway system in a battle to outwit Ryder and save the hostages. But there's one riddle Garber can't solve: even if the thieves get the money, how can they possibly escape?

Secara ringkasnya, walaupun filem ini menampilkan penjahat dan penyelamat di kalangan warga tua namun ia cukup menarik. Bukan sahaja sarat dengan aksi tetapi turut diselitkan dengan lawak-lawak sinis yang begitu mencuit hati.

Saya suka filem ini. Lebih suka daripada filem Harry Porter. (Oh ada kawan yang menuduh saya tak suka sebab tak baca buku Harry Porter). Bukan itu sebabnya. Kadang-kadang ada filem adaptasi yang menjadi, dan ada pula yang kurang menjadi. Itu saja.

Jika kamu terasa mahu menonton wayang, tetapi tidak tahu filem apa yang mahu ditonton, saya cadangkan filem Pelham 123 ini. Cuma jika mahu bawa anak, sila pilih filem yang lebih sesuai.

Selamat menonton di hujung minggu.

..::KITA-KITA SAHAJA::..

Kadangkala.

Saya mahu perkara itu cuma diketahui oleh mereka yang berada dalam kolompok 'kita-kita' sahaja.

Jadi, tolong tanya saya dulu sebelum buat keputusan sendiri.

Terkilan. Sedikit.

Kecewa. Semakin bercambah.

Saya. Perlukan ruang.

Tolonglah.

Tuesday, July 28, 2009

..::OH! OH! KAWAN! JANGAN LAWAN-LAWAN::..

Hari ini tiba-tiba ada orang jauh SMS saya. Minta belanja makan tengahari. Saya pun ok saja memandangkan saya memang mahu keluar ke Pavilion. Maka saya suruh orang jauh tu bawa kereta datang ke kawasan jajahan saya ini. Hmmm.. Agak mencabar juga memberi panduan perjalanan kepada orang yang memandu mengikut naluri. Tapi asik bertanya ke mana perlu dia pergi walaupun panduan saya itu belum selesai. Haaihh sabar saja lah.

Kerana dia akan melalui simpang besar di mana saya sedang menunggu untuk melintas jalan, maka saya suruh saya dia lihat perempuan berbaju kuning di tengah-tengah persimpangan itu. Bila dia lalu saya lambai-lambai menunjuk ke arah Pavilion, tetapi dia berhenti pula di tepi jalan. Bagus juga. Boleh saya menumpang naik kereta comelnya itu. Kemudian kami sama-sama pergi Pavilion. Hmmm sekali lagi saya rasa seperti mahu tolong pandu-kan kereta automatiknya itu. Maafkan saya yang agak agresif ketika memandu. Tapi saya juga perlu maafkan orang jauh itu kerana suasana kawasan jajahan kami begitu jauh perbezaannya.

Kami sepakat untuk makan di Food Republic. Saya tak ingat nama gerai berkenaan. Tapi saya pernah makan di situ suatu waktu dahulu. Waktu makan tengahari, umat 1 Malaysia begitu ramai. Melaut.


Crispy Chicken pilihan saya. Memang sangat rangup. Saladnya sedap. Walaupun food presentation kurang menarik kerana letak sos cendawan dalam mangkuk sup yang besar.



Orang jauh pilih untuk makan Chicken Lasagna. Cantik penampilannya. Mungkin juga sedap kerana orang jauh makan sampai licin.


Sambil makan kami pot pet pot pet. Tentang itu. Tentang ini. Tentang perkara lepas. Tentang hala tuju masa depan. Tentang macam-macam perkara. Dan saya akui saya adalah seorang yang begitu mudah dalam berkawan.

Kerana orang jauh itu adalah sebenarnya kawan adik saya yang sudah menjadi kawan saya.




Dan. Pada akhirnya Arin yang belanja saya makan. He he he..

Terima kasih Arin. Nanti kalau datang KL boleh kita makan kat tempat lain pula.

Friday, July 24, 2009

..::ROJAK::..

Saya yang sedang berdiet mahu cerita tentang makanan.

Ini ialah rojak yang diberi nama Rojak Singapore. Tak pasti dari mana asal usul nama itu. Orang Singapura, tolong jawab.

Rojak ni saya makan di Restoran Pelita, Jalan Ampang. Rasanya boleh la tahan. Tidaklah terlalu sedap atau tidaklah sampai tak boleh ditelan dek anak tekak.



Saya suka makan rojak ni sebab kononnya macam set hidangan lengkaplah. Ada sayur, ada tempe, ada ikan, ada udang malah pendek kata macam-macam ada.

Tapi setakat ini rojak singapura yang paling sedap saya pernah makan ialah di Medan Hang Tuah, medan selera di The Mall.

Sebenarnya apa jua jenis makanan yang berkuah, perkara paling penting untuk menentukan kesedapan sesuatu hidangan tu tentulah kuahnya.

Dan ini kuah rojak singapura Restoran Pelita. Sekali pandang macam kuah roti canai je.



Apa pun habis jugalah saya makan rojak tu. He he he

Thursday, July 23, 2009

..::TENTANG SAYA::..

Mya telah tag saya. Saja lah Mya ni. Tahu lah saya ada banyak hutang tag dan dah beberapa hari tak kemaskini blog. He he he..

Ok. Syarat-syaratnya:
Tag dijawab dalam Bahasa Melayu sahaja
Tag orang yang telah menge'tag' anda
Tag orang yang anda mahu tag


ini rupa paras Mya. Yang sebelah tu tentulah saya


0. Apakah yang anda sedang lakukan 30 minit yang lalu?
Siapkan kerja-kerja pejabat. (Ha ha ha.. keji kemaskini blog kat pejabat)

1. 2 jam yang lalu?
Pun sama. Buat kerja-kerja pejabat yang rutin

2. Anda suka
Suasana sunyi dan bersendirian

3. Minggu lepas
Saya balik rumah abang saya di Kampar. Jumpa mak saya, ada kakak-kakak saya, ada adik dan adik ipar saya, ada anak-anak saudara saya.

4. Tiga lagu yang boleh anda dengar berulang-ulang kali
Oh, ada banyak sangat sebab saya pencinta muzik

5. Tiga binatang yang anda tak suka
- Cicak
- Ular (ada sesiapa yang suka ular ke?)
- Tikus

6. Lima fakta tentang anda
- Kerja Kerajaan
- Seorang Blogger
- Perempuan
- Bujang
- Tak ulang pakai baju yang sama dalam tempoh 4 bulan

7. Tahun depan mungkin
Sudah jadi isteri orang. InsyaAllah

8. Saya tak reti
Buat agar-agar. Eh, bukan tak reti tapi saya tak pernah cuba pun. (ha ha ha.. ayat tak mahu mengaku)

9. Saya pandai
Menaip dengan kelajuan yang tinggi tanpa perlu lihat papan kekunci. (ok saya tau awak pun boleh, heh!!)

10. Kawan saya
- Adik beradik saya yang boleh bersembang apa saja
- Geng GEPO yang boleh bergurau kasar, tegur-menegur, nasihat tanpa ada rasa kecil hati dan sentap
- Pjah, Mariah, Mya, Ernie yang berkongsi banyak perkara dengan saya tanpa prejudis
- You (eh tiba-tiba ada Bahasa Inggeris pulak)

11. Saya ada
CLK dengan tarikh lahir saya sebagai nombor pendaftaran

12. Saya seorang
Sensitif

13. Adik saya
Seorang peguam yang tak pernah rasa teruja dengan kerjayanya itu.

14. Saya tak pernah bosan dengan (senaraikan 4)
- Kehidupan saya
- Blog
- Bercucuk tanam di FB
- Bersembang dengan kakak saya

15. Bilakah pertama kali anda bercinta?
Tingkatan 4. (Agaknya lah)

16. Perkara yang selalu orang tak percaya tentang anda
Saya berumur 30 tahun

17. Saya rindu
Bakal suami saya

18. Saya tak sabar
Nak bernikah

19. 5 laman yang anda selalu layari
- Blog sendiri tentunya
- Blog kawan-kawan yang saya suka
- Facebook
- Blogger.com
- Google

20. Siapa yang anda mahu tag?
Pjah, Arin, Acik Sapinat

Tuesday, July 21, 2009

..::HARRY PORTER & THE HALF-BLOOD PRINCE::..



Beberapa hari lepas saya pergi menonton filem Harry Porter & The Half-Blood Prince. Filem yang digembar-gemburkan sebagai hebat dan pecah panggung. Ya, memang pecah panggung sebab kebanyakan tiket habis dijual. Dan saya juga menonton di barisan ke empat dari hadapan skrin.

Tetapi, pada pendapat saya kepada sesiapa yang belum menonton filem ini, baik batalkan sahaja niat itu. Ia amat mengecewakan. Saya hampir tertidur di dalam panggung. Namun saya paksa juga mata untuk celik. Jika mahu tidur lebih baik saya duduk saja di rumah. Kemudian, bila sampai ke pengakhiran cerita pun saya rasa keliru. Kenapa begitu saja penamat episod ini? Ia seakan-akan mendatar. Banyak dialog daripada aksi kehebatan magis mereka. Cuma ada satu sahaja babak yang membuatkan saya terkejut sehingga tertelan gula-gula yang dikemam di dalam mulut. Yang lainnya, biasa sahaja.

Apabila keluar dari panggung menjelang tengah malam, begitu ramai manusia sedang bersantai menunggu untuk waktu tayangan seterusnya. Saya jangkakan mereka semua mahu tonton filem Harry Porter. Dan mahu saja saya katakan kepada mereka, ia amat mengecewakan.

Oh, ini cuma pendapat saya. Jika kamu punya pendapat yang berbeza, itu tidak mengapa. Masing-masing punya hak untuk menyuarakan pendapat selagi ia tidak bertentangan dengan mana-mana hukum.

Monday, July 20, 2009

..::BAU-BAU BACHANG::..

Hujung minggu kelmarin saya balik rumah abang saya di Kampar. Ada urusan sikit.

Tadi siang, balik semula ke KL kakak ipar saya kirimkan buah bachang. Untuk kakak saya yang rajin memasak. Ada 5 biji semuanya.

Sewaktu dalam perjalanan kereta saya berbau bachang. Dan, sekarang rumah saya pula berbau bachang.

Jadi, kereta dan rumah adalah saudara bau-bau bachang dengan saya.



* penulis sudah mabuk terhidu bau bachang. Sekian

Thursday, July 16, 2009

..::RASA::..

(1) Saya rasa mahu luahkan banyak perkara. Jadi mungkin entry ini langsung tidak mempunyai sebarang informasi.

(2) Baru pulang dari kerja. Rasa penat dengan badan melekit. Padahal aircond di pejabat sangat sejuk.

(3) Perut lapar sehingga rasa mahu menangis. Kepala pun tadi sekejap-sekejap macam pening. Mungkin sebab sudah masuk angin.

(4) Saya singgah McD pandu lalu dan rasa mahu beli bubur ayam. Tapi bubur ayam habis. Perlu tunggu 1 jam jika mahu. Huh! Tentulah saya tidak mahu menunggu. Dalam tempoh satu jam saya sudah berada di rumah dan mungkin saya sudah berjaya masak sendiri bubur. Cuma saya memang tidak punya perasaan mahu memasak.

(5) Rasa kecewa sebab perlu pilih makanan lain sedangkan hati cuma mahu makan bubur. Dan saya perlu bayar lebih untuk set McChicken sedangkan bubur ayam cuma RM3.15. Tapi saya cepat insaf dan teringat pesan arwah ayah saya supaya jangan berkira dalam soal makan.

(6) Rasa penat balik lambat dan rasa kecewa tak dapat bubur ayam sedikit terubat sebab adik yang jaga kaunter pandu lalu tu comel dan sangat berbudi bahasa. Senyum pun manis. Cuma saya terlupa mahu lihat tandanama yang tersemat.

(7) Mata saya rasa mahu pejam. Tapi saya baru selesai makan McChicken. Kalau saya tidur sekarang, tentu misi mahu kecilkan ukuran pinggang tidak akan berjaya dicapai sebelum akhir tahun.

(8) Tiba-tiba saya rasa sangat teruk apabila sibuk menyiram tanaman di Facebook tetapi saya mengabaikan tanaman yang terdapat di beranda saya. Kasihan cili merah saya yang sedang berbuah. Daun sup pun sudah kelihatan seperti rumput yang tidak cukup nutrien.

(9) Tapi di sebalik rasa yang negatif, saya juga rasa sesuatu yang positif hari ini. Saya sangat sibuk dengan urusan pejabat tetapi saya sempat juga membuat 3 pembelian di atas talian. Eh, positif kah itu? Ngeee.

(10) Oh! Saya sudah rasa lega. Memang blog ini satu terapi yang cukup baik jika kita ambil dari sudut yang positif.

..::KAKAK, KENAPA LAMBAT KAHWIN::..

Hari Isnin lepas saya pergi Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Hari terakhir Promosi Kerja Kahwin 2009. Acara ni dah berlangsung sejak 4 Julai lagi. Dan sepanjang acara berlangung dari 4 - 13 Julai, sebanyak 5 kali saya berkunjung ke acara berkenaan. He he he..



Kali ni saya pergi sebab menemankan kawan saya yang bernama Mya. Katanya mahu tinjau-tinjau. Jadi, saya pun tumpang 2 kaki. Walaupun dah banyak kali saya berkunjung. Malah saya sudah hafal kedudukan gerai dan ruang pameran.

Kami jalan sambil kutip-kutip risalah, kad nama dan sebagainya. Tersinggah jugalah di satu dua gerai. Tapi tidaklah membeli. Gigih sungguh pasangan suami isteri jurufoto cakap tarikh yang saya beritahu tu masih kosong. Boleh tempah pakej sebelum jam 8.00 malam. He he he.. Maaf ye dik.

Kemudian kami singgah di gerai Gedung Kad Kahwin. Sebab sudah penat berjalan saya duduk sambil belek-belek contoh kad jemputan. Macam-macam ada. Adik yang jaga gerai ni pun sangat baik hati. Mulut tak berhenti pot pet tetapi bagus serta tidak menyakitkan hati walaupun dia meneka umur saya dengan tepat dan tanya kenapa saya lambat kahwin.



Ini adik kad kahwin yang bernama Ejan. Berumur 27 tahun. Bimbang saya terasa dengan soalannya, cepat-cepat dia minta maaf. Kemudian terus cerita tentang abang dan kakaknya yang juga berkahwin agak lewat. Tak apa dik kakak tak marah pun.

Lepas sudah minta kad nama dan pot pet tentang harga dan jenis kertas segala, saya dan Mya minta diri. Hari sudah menyinsing. Ada tuntutan wajib belum dilaksanakan.

Wednesday, July 15, 2009

..::INI BETUL TENTANG BUBUR::..

Maafkan tajuk entry saya sebelum ini. Tajuk tentang bubur nasi tapi isi perutnya tentang spaghetti. He he he.

Kali ni betul entry tentang bubur. Kisahnya, tadi waktu makan tengahari saya sangat buntu. Tak tahu apa yang mahu dimakan. Biarkan saja kaki menyusur Jalan Tengah. Kiri kanan memang banyak orang jual makanan. Tiba-tiba saya terpandang van yang jual aneka bubur. Dan buburnya sangat menarik dan nampak sedap.

Jadi, saya beli bubur jagung yang memang kegemaran saya. Sedap. Manis-manis buah. Habis isinya saya makan.



Selain bubur jagung, saya juga suka bubur gandum. Tapi rasanya saya belum terjumpa bubur gandum yang sedap selain bubur gandung yang mak saya masak.

Sekian, entry tentang bubur.

..::BUBUR NASI ITU BUBUR, BUKAN NASI::..

Sebenarnya entry ini sudah seminggu terdampar di dalam draft. Di rumah, kadang-kadang agak perlahan jika mahu masukkan gambar. Tapi, malam ni ok pula. Jadi saya published saja entry ini.

Sejak kejadian jeans penanda aras tidak dapat dipakai 3 minggu yang lepas, saya buat keputusan untuk mengurangkan pengambilan nasi. Sementelah saya pun malas memasak dan tidak ada bahan mentah di dalam peti sejuk, itu lebih memudahkan misi saya.

Tapi saya tetap perlu makan. Kerana dibimbangi kejadian tekanan darah rendah berulang lagi. Lalu saya gagahkan diri untuk menyediakan satu masakan ringkas, mudah dan tentu sekali sedap.

Mula-mula sekali sediakan bahan-bahannya. Sukatan lebih kurang untuk 2 orang makan dengan sekali tambah. Maksudnya 4 pinggan-lah.

1 biji tomato. 1 biji cili merah. 4 - 5 ulas bawang putih/merah. 1 biji bawang besar. Maaf saya kehabisan bawang besar. Jadi, ia tiada dalam gambar. Semua bahan ini dipotong dadu.



1 tin 220g tomato puri (guna 1/2 tin sahaja), 6 sudu sos cili, cendawan butang (ikut kegemaran. Jika suka letak banyak lah) dan lebih kurang 1/4 daripada paket daging kisar sedia ada (juga sebenarnya ikut kegemaran). Jangan lupa sedikit air serta garam dan gula secukup rasa.



Cara-caranya:
(1) Cuci, kemudian sanga dulu daging tu untuk hilangkan air dan sedikit bau hanyir. Kemudian bila dah agak kering angkat dan gaul dengan campuran tomato puri, sos cili serta tomato dan cili yang telah dipotong dadu.

(2) Panaskan lebih kurang 3 - 4 sudu besar minyak. Tumiskan bawang sehingga kekuningan.

(3) Masukkan campuran daging, tomato dan cili tadi serta sedikit air dan masak sehingga pecah minyak.

(4) Tambahkan garam dan gula secukup rasa.

(5) Akhir sekali masukkan hirisan cendawan. Masak sehingga cendawan empuk.



Begitulah lebih kurang rupa paras kuah yang sedang mendidih di dalam kuali.

Setelah siap, bolehlah dihidangkan dan makan.



Oh, saya tidak tunjuk cara-cara merebus spaghetti kerana saya yakin semua orang tahu bagaimana.

Dan. Sedikit amaran. Jika nanti kamu mencuba resepi ini, tetapi hasil dan rasanya adalah tidak sesedap mana, sila jangan salahkan saya. Ia adalah tentang kebolehan dan perasaan yang lahir dari hati ketika memasak itu. Sungguh.

Jadi, selamat mencuba.

Tuesday, July 14, 2009

..::HATI MANUSIA BERUBAH-UBAH MACAM CUACA::..

Rutin bila Dato' tak ada. Bebanan kerja saya bertambah. Pelik bukan? Saya juga kadang-kadang tidak faham, apatah lagi orang lain.

Saya sangat sibuk. Sibuk dengan kerja pejabat. Sibuk dengan kerja rumah. Sibuk dengan pameran kerja kahwin.

Saya tak punya masa untuk melawat blog sendiri. Saya juga tidak punya masa untuk membaca blog kegemaran saya.

Tapi, hari ini saya curi juga masa. Kerana saya mahu melepaskan keluhan. Sedikit.

Friday, July 10, 2009

..::AIR::..

Saya sedang melalui fasa kekurangan air dalam badan. Sehingga pecah-pecah bibir saya.

Lalu, saya minum air kosong dengan banyak. Satu tumbler yang tinggi dan besar tu boleh habis dalam tempoh yang singkat.

Tetapi kemudian saya asyik mahu pergi buang air pula.

Macam mana-lah?

Thursday, July 09, 2009

..::HEAVEN::..

Bagi orang seperti saya, memang heaven bila dapat membeli belah. Walaupun hanya membeli di atas talian.



Dan. Ini koleksi saya yang baru dibeli di Batik Heaven.

Silalah berkunjung. Anda pasti tertawan. Tanpa rasa kesal.

Wednesday, July 08, 2009

..::SEBARANG SURAT-MENYURAT TIDAK AKAN DILAYAN::..

Biasalah kan. Adat pertandingan. Ada yang menang. Pasti ada yang kalah.

Dan. Selalunya pihak yang kalah tidak dapat menerima hakikat kekalahan. Lalu, berduyun-duyun surat bantahan terhadap keputusan pertandingan dilayangkan.

Penat rasanya. Tolonglah. Terima hakikat. Tak semestinya kamu glamour, maka setiap pertandingan yang kamu sertai kemenangan akan berpihak kepada kamu. Dan. Tak semestinya kumpulan yang dikatakan mentah dan setahun jagung itu tidak mempamerkan persembahan yang mantap sehingga mampu memikat hati juri dan layak untuk menang.

Tapi, macam tu lah manusia. Selalu tak mahu terima hakikat kekalahan dan kelemahan diri. Dan. Selalu juga mahu meletakkan kesalahan di bahu orang lain.

Monday, July 06, 2009

..::DARI PENANG KE BOMBAY::..

Saya masih dalam misi pencarian cincin. Untuk apa, biarlah rahsia. Ahaks.

Kawan baik saya beri cadangan. Pergilah cari emas di Jalan Masjid India, katanya. Di situ ada banyak kedai emas. Tentu saja ada banyak pilihan.

Maka, sebagai kawan baik saya pun menurut cadangannya dan menjalankan misi meneroka Jalan Masjid India. Dengan niat mahu melombong emas. Bermula dari kedai emas di dalam Semua House, sehingga ke hujung deretan kedai di Jalan Masjid India. Dari Emas Seri Pinang sehingga ke Bombay Jeweleries dan entah apa-apa lagi nama kedai yang saya pergi.

Memang ada banyak kedai. Memang ada banyak emas. Malah harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Tetapi yang banyak adalah saiz cincin untuk kawan baik saya itu. Bila ditanya tentang saiz cincin saya, pembantu kedai pun terasa lucu. Eh, kawan saya cakap anak dia yang umur 5 tahun pun ada saiz cincin, tak 'kan lah untuk saya tak ada.

Hmmm.. Golongan terpilih agaknya saya ni.

Friday, July 03, 2009

..::ANCAMAN YANG DITAKUTI::..

Hari ini. Saya baru kembali ke pejabat. Boss saya bagi banyak kerja. Bercakap pula sambil terbatuk-batuk.

Saya katakan padanya sila pergi buat pemeriksaan. Dibimbangi itu adalah jangkitan H1N1.

Tapi katanya, yang selalu risaukan H1N1 ni cuma orang perempuan sahaja. Orang lelaki lebih bimbang ancaman B1N1.

Apakah? Ha ha ha.

Wednesday, July 01, 2009

..::MUJUR FB & BLOG TAK ADA PADA ZAMAN DULU::..

OK. Sila marahkan diri sendiri yang degil.

Saya sepatutnya baca buku untuk peperiksaan. Tapi saya begitu sibuk bercucuk tanam di FB. Di samping itu, saya juga sibuk membaca dan membalas komen di blog saya ini. Kemudian, saya tulis entry baru. Tidak ketinggalan, saya juga melawat blog-blog yang dikemaskini.

Pagi tadi saya sudah selesai satu peperiksaan. Rasa mahu menangis pun ada bila tangan sudah lenguh-lenguh menulis. 3 jam masa diberi untuk menjawab 5 soalan esei. 5 soalan tu hanya tajuk besar. Daripada 5 itu, dipecah-pecahkan lagi kepada 3 - 4 soalan kecil. Sebenarnya rasa mahu menangis juga bila saya cuma sempat jawab 4 daripada 5 soalan yang sepatutnya.

Ok. Sekali lagi sila salahkan diri sendiri yang tidak baca buku dan sibuk bercucuk tanam di FB serta melawat-lawat blog. Oh, semalam saya juga begitu asyik menonton siri Ugly Betty dan Desperate Housewives.

Mujur juga FB dan blog tak ada pada zaman dahulu ketika saya masih bergelar pelajar. Kalau tidak, tentu saja saya leka dan sekaligus melingkupkan pelajaran saya. Lalu, entah apa akan jadi pada nasib saya. Hmmm.. OK.. masa tidak boleh diundur semula. Itu hakikatnya.

Jadi, pergi baca buku dan tinggalkan FB dan blog buat sementara waktu. Demi masa depan. He he he

..::MENGUNDUR WAKTU::..



Seorang kawan minta saya tonton klip video berkenaan. Serius. Sangat sweet.

Dan. Sesungguhnya tiada satu waktu pun yang dapat diundur semula.