Sunday, August 31, 2008

..::MERDEKA::..

Anak-anak merdeka..

Saturday, August 30, 2008

..::PERCAYALAH SAYANG::..

Jika saya beritahu mahu pergi expo di Kompleks Kraf. Tengok-tengok barang jualan.

Maka. Tak perlulah percaya. Bahawa saya akan pulang dengan tangan kosong sahaja.

Friday, August 29, 2008

..::OF EXAM::..

Dulu. Lepas habis belajar. Ingatkan tak perlu lagi tempuh apa-apa peperiksaan. Tapi. Bila pilih untuk masuk dalam perkhidmatan awam, tak dapat tidak mesti ambil peperiksaan. Syarat utama untuk pengesahan jawatan.

Itu cerita lama. Dah 8 tahun berlalu. Sekali saja ambil peperiksaan, aku lulus dengan jayanya. Syarat 1 - 3 tahun dapat aku selesaikan dalam tempoh kurang dari 1 tahun.

Sekarang. Aku perlu ambil peperiksaan lagi. Untuk naik pangkat atau naik gaji. Tengok sajalah sudah berapa kali aku ambil peperiksaan.



Untuk penilaian tahap dua saja, sudah tiga kali mengulang. Dulu. Masa ambil kali pertama, persediaan aku biasa-biasa saja. Keputusannya aku dapat III untuk kedua-dua kertas. Seperti kebiasaannya, bila dapat saja keputusan aku akan terus membuat permohonan untuk menduduki semula peperiksaan.

Kali kedua peperiksaan aku terlebih yakin. Padan muka. Bila tengok untuk kertas umum aku cuma dapat I. Tak melepasi tahap kompetensi langsung. Kertas khusus aku masih dapat III. Dan secara purata aku dapat tahap II.

Tanpa putus asa, aku mengulang lagi. Bulan 5 yang lepas. Hanya sebulan jarak di antara peperiksaan KPSL untuk Penolong Pegawai Tadbir yang aku duduki pada bulan April. Masa itu, otak masih segar bugar dengan segala ilmu. Jawab dengan tenang. Alhamdulillah, keyakinan untuk dapat IV kuat dalam hati. Risik dengan kawan-kawan lain, semuanya pun berpendapat sedemikian.

Tup-tup, dua hari lepas keputusan diumumkan.



Hah!!! Tahap III lagi?? Tanya juga kawan-kawan lain. Sama juga dapat III walaupun dulu yakin dapat IV.

Aku mula syak. JPA naikkan graf. Dan dengkikan aku.

Sekian.

Thursday, August 28, 2008

..::TERAPI JIWA::..


Beg Baru Saya
Originally uploaded by madulebah
Bagi perempuan. Seperti aku. Membeli belah itu memberi satu ketenangan dan kepuasan.

Jika mampu. Apa salahnya. Tak ada tunai di tangan, tenyeh saja bankcard. Dengan syarat di dalam bank itu ada wangnya.

Mudah kan?

Wednesday, August 27, 2008

..::OF WORKING::..

Hari Isnin saya ponteng kerja. Malas. Tiba-tiba malamnya pegawai saya telefon. Jadi, semalam. Saya pergi Port Dickson. Bawa kumpulan teater dari Iran. Yang datang buat persembahan sempena Festival Kesenian Kanak-kanak yang baru berlalu. Wah!! memang saya suka. Sebab saya masih dalam mood malas mahu masuk pejabat.

Ini gambar saya dengan dua orang wanita Iran yang menyertai rombongan. Sila percaya bahawa mereka lebih muda daripada saya.



Untuk Naga. Saya doakan agar impian anda akan menjadi kenyataan.

Ini pula gambar saya dengan sebahagian jejaka-jejaka Iran. Untuk makluman, hanya Ahmed (tiga dari kanan) yang masih bujang. Tapi. Dia baru berumur 20 tahun. Ahmed juga yang menjadi jurubahasa sepanjang perbualan kami.



Oh, satu yang baru saya tahu. Rupa-rupanya di Iran, penduduk tidak boleh mandi di pantai. Ini kerana sepanjang pantai mereka dipenuhi pelantar minyak. Jadi, bila dapat mandi di pantai Port Dickson, mereka seperti tidak pernah jumpa air.

Ini pula wajah-wajah gembira orang Iran selepas makan, masakan tradisional Negeri Sembilan, di Seremban.



Pinggan di atas meja itu sudah dikemaskan oleh pelayan. Jangan tak tahu mereka makan keladi goreng cicah sambal tempoyak. Ha ha ha.

Di dalam bas semasa perjalanan balik, kami jamu mereka dengan buah pulasan. Dan. Mereka sangat suka. Siap rakam video lagi tentang significance nama pulasan itu.

Kesimpulannya. Setelah berbual banyak perkara dengan Ahmed. Saya telah menambah Iran sebagai satu lagi negara di dalam senarai wish to go. Selain daripada Australia dan New Zealand. (Harap maklum bahawa Makkah di dalam kategori yang berbeza).

Monday, August 25, 2008

..::KERANA AKU RINDU KAMU::..

Sepanjang minggu lepas. Aku. Kerja 7 hari seminggu. Siang dan malam.

Aku juga tidak tidur di rumah sendiri. Tidak di atas tilam sendiri. Tidak diselimuti gebar cantik kesayangan aku. Jauh dari bantal peluk yang menemani aku saban malam.

Jadi. Kerana aku. Terlalu rindukan kamu. Pedulikan dengan kerja-kerja di pejabat.

Aku mahu habiskan masa bersama kamu. Hari ini.

Wednesday, August 20, 2008

..::PERCUBAAN BERANI MATI::..

Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Aku benci. Lampu isyarat. Yang sengaja dipadamkan.

Atau. Jalan. Yang sengaja ditutup.

Dengan alasan mahu membantu melancarkan perjalanan. Pagi anda.

Dan. Pagi ini. Aku memandu. Melawan arus. Di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tuesday, August 19, 2008

..::AKU - SATU TRANSFORMASI::..

Bercerita dengan seseorang. Yang tua banyak daripada aku. Tentang zaman-zaman muda. Zaman remaja. Zaman persekolahan. Kami bertukar-tukar gambar.

Ini daripada aku.



Gambar kiri ketika aku umur setahun. Yang kanan tu aku berumur 3 tahun. Sekitar November 1982.

Kawan aku tanya kenapa masa kecil, aku nampak besar. Aku tak ada jawapan untuk itu. Mungkin kerana masa tu adik aku baru pandai meniarap. Jadi saingan belum ada.

Ini pula sekitar tahun 1990. Aku darjah 5. Wajah yang sungguh berkarat. Maklum sajalah. Hobi ketika itu ialah berkubang. Air pili belum wujud. Di kampung aku.



Wah! Bergaya macam orang berumur 25. Ha ha ha. Sila salahkan majalah yang menjadi pengaruh.

Gambar dengan uniform sekolah ni masa aku tingkatan 1. Buat lawatan ke Stadium Ipoh. Apa motif aku tak pasti. Mujur. Gambar di tepi kolam. Bukan dalam kolam. Kali ini aku sudah pandai. Tidak terpengaruh dengan gaya artis dalam majalah.



Nampak tinggi pula kan? Ha ha ha. Itu teknik fotografi namanya.

Dan ini gambar si manis 17. Zaman belajar di Poly PD. Tahun 1997. Petang-petang atau hujung minggu pergi lepak tepi pantai. Wajah dah bertambah ayu. Maklum la sudah pandai pakai krim pelembap yang ada UV protection.



Tahun 2002, November. Nampak perubahan ketara. Penampilan yang lebih matang gitu. Walaupun baru awal 20-an. Maklum la dah 2 tahun bekerja. Gambar ini sangat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua.



Dan ini di antara foto terbaru aku. Sewaktu majlis akad nikah Daun. Foto ini juga amat sesuai untuk ditunjukkan kepada bakal ibu mertua. Ha ha ha.



Melihat gambar-gambar dari tahun 1980 - 2008. Ada kawan yang berkata tiada perubahan ketara pun. Adakah aku awet muda? Atau aku cepat tua?

Ha ha ha

Monday, August 18, 2008

..::RESEPI II::..

Ini permintaan Cik Adik yang bernama Atiqah Nasir.

Resepi ini pun saya dapat daripada kawan. Dan kerana saya percaya bahawa kelazatan masakan bukan terletak pada bahan-bahan rahsia. Tetapi pada keihlasan dan kasih sayang yang kita curahkan dalam setiap masakan. Maka saya tidak takut untuk berkongsi resepi dengan semua.

Hidangan kali ini ialah Apple Pie. Cadangan hidangan 4 - 6 orang.

BAHAN-BAHAN SOS:



* 2 biji epal ( dikupas kulit dan dipotong dadu)
* 1/3 cawan gula (boleh kurangkan jika tak mahu terlalu manis kerana epal sudah punya rasa manisnya sendiri)
* 1/2 susu teh serbuk kulit kayu manis (ini pun terpulang pada citarasa)
* Sedikit tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
* Kulit pastry (boleh dapat di pasaraya seperti TESCO atau Cold Storage)

CARA-CARA :



* Campurkan semua bahan : epal, gula dan serbuk kulit kayu manis.
* Masak di atas api sederhana sehingga empuk
* Campurkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
* Isi sos dalam pastry dan tekan keliling dengan garfu untuk lekatkan



* Simpan selama lebih kurang 15 minit di dalam freezer
* Goreng dengan api sederhana

Dan inilah hasilnya.



Perhatian :

Anda perlu berhati-hati ketika makan kerana sos di dalam sangat panas. Bibir anda mungkin melecur.

Selamat mencuba.
..::TAK NAK!!::..

Nampak gayanya, kempen Tak Nak begitu berkesan.

Berkesan kepada atlit Malaysia ke sukan Olimpik.

Mereka semua kelihatannya tak nak dengan wang sejuta yang ditawarkan sebagai ganjaran jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Dan. Pada pendapat aku, pihak yang menawarkan juga tahu. Ini adalah satu misi mustahil. Sebab itu mereka berani membuat tawaran.

Thursday, August 14, 2008

..::KEHILANGAN::..

Minggu ni. Aku mengalami 2 kali kehilangan.

Hari Sabtu lepas. Aku kehilangan kunci kereta.

Pagi ni pula. Aku kehilangan eye drops.

Kedua-duanya adalah benda penting yang aku cuma simpan dalam beg tangan. Tidak di tempat lain.

Kalau kawan-kawan rapat aku. Terutamanya Cik Puan Daun, tentu tak percaya aku akan mengalami kehilangan seperti itu. Kerana katanya, aku adalah seorang yang very-the-organized-person.

Oh. Tak perlu risau. Aku dah jumpa di mana sebenarnya kunci kereta itu. Ha ha ha. Allah hijabkan pandangan aku. Walaupun, aku dah cari di tempat berkenaan.

Eye drops pula aku dah beli yang baru masa singgah isi minyak pagi tadi. Aku PALING dan SANGAT sensitif dengan virus sakit mata. Jadi, eye drops perlu ada setiap masa.

Dan. Aku perlukan sedikit ruang.

Wednesday, August 13, 2008

..::BUJANG VS BAHAGIA::..

"Satu kajian terbaru menyanggah kepercayaan ramai apabila mengesahkan golongan bujang yang ada kerjaya dan memiliki kewangan yang kukuh adalah kelompok masyarakat paling tidak bahagia berbanding mereka yang berumahtangga serta warga tua.

Golongan lain termasuk pasangan atau ibu dan bapa tunggal yang bekerja, mempunyai anak dan tertekan tetapi masih bahagia.

Namun, berbanding semua, kelompok bujang yang sihat, bekerjaya dan faktor kewangan yang kukuh terbukti paling tidak gembira."


Ha ha ha..

Untuk Cida, Nett, Salina dan kawan-kawan seangkatan ku, jangan risau. Kajian ini tidak dilakukan di Malaysia. Sebaliknya ia adalah kajian di Canberra.

Sebab pada pendapat aku, di Malaysia kelihatan golongan bujang, bekerjaya dan punya sumber kewangan kukuh lebih bahagia daripada sesetengah golongan yang berumahtangga.

Oh, ini cuma pendapat aku. Golongan yang sudah berumahtangga tak perlu melenting. Ya tak perlu melenting jika kamu bahagia dan jika ia tiada kena mengena dengan kamu.

Baca berita penuh di sini.

Dan untuk Cida lagi. Cerita kau pasal soalan budus hadiah birthday tu buat aku sentap la. Tapi rasa kelakar.. Ha ha ha..

Monday, August 11, 2008

..::RESEPI::..

Entry ini adalah permintaan seorang kawan yang tinggal di seberang laut.

Ceritanya begini. Hari Ahad 2 minggu lepas. Sedang aku enak bercanda di Mid Valley, dia hantar sms. Minta resepi begedel. Aku bagi lah. Hari Isnin. Dia YM. Tanya kenapa begedel yang dia buat lembik. Tidak lah aku tahu kenapa. Gambar pun dia tak tunjuk.

Aku janji. Nanti aku buat begedel. Aku akan masukkan dalam blog.

Jadi. Inilah dia.

Bahan-bahan :


* Kentang (direbus)
* Daging (dicincang). Boleh juga guna daging yang siap dikisar.
* Bawang besar (dipotong dadu)
* Sedikit garam dan lada hitam
* Daun sup / daun bawang (untuk wangi)
* Telur (untuk salut begedel sebelum digoreng)

Cara-cara :

1. Rebus kentang sehingga empuk. Cucuk-cucuk dengan garfu untuk pastikan.
2. Setelah empuk. Angkat. Toskan. Dan lenyek.
3. Campurkan bahan-bahan lain. Daging, bawang, garam, lada hitam & daun sup. Gaul sebati
4. Bentukkan
5. Celup dalam telur yang telah dipukul.
6. Goreng dengan api perlahan. Tetapi minyak mestilah cukup panas.


Dan. Inilah hasilnya. Tak pecah pun. Ia bukan sahaja nampak cantik dan sedap. Sebaliknya memang cantik dan sedap. Ha ha ha.



Selamat mencuba!!
..::ALAHAI::..

Manusia ni ada semacam perangai pelik. Tambahan pula jika sudah punya pangkat besar.

Macam dalam nasyid nyanyian Nazrey Johani:

"apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan"

Dan. Kalau kamu itu orang yang kedua. Seharusnya kamu faham di mana kedudukan kamu, kan?

Tapi. Biasalah. Selalu juga didengar. Isteri nombor dua itu mahu lebih-lebih dari isteri yang nombor satu.

Friday, August 08, 2008

..::TERTANYA-TANYA II::..

Ika. Hantar sms. Dalam bas. Perjalanan ke tempat kerja.

Waktu: 6.45pagi.

Aku. Diserang penyakit M. Atas katil. Dalam selimut. Hujan lebat sejak jam 2.00petang. Semalam. Enaknya.

Eh, berapa minit beza waktu di antara Malaysia dengan Singapura?

Thursday, August 07, 2008

..::TERTANYA-TANYA::..


Aku Ini Untuk Siapa?


Filem pendek oleh : Naz Annuar
Adaptasi Puisi : Bahruddin Bekri
Terbitan : Kawan-kawan Sendirian Terhad

Tuesday, August 05, 2008

..::HOBI!!::..


Hobi!!
Originally uploaded by madulebah

Monday, August 04, 2008

..::BEBAS::..

Semalam, ada beberapa orang manusia meraikan sesuatu. Seorang kawannya mahu belanja makan. Sempena ulangtahun kelahirannya. Yang sudah tidak menjadi kejutan. Kalau bukan kerana ada kawan mahu belanja makan. Saya tidaklah begitu rajin mahu keluar ke gedung besar yang begitu sesak itu. Oh, harap tidak berkecil hati di situ.

Ramainya umat. Tak pernah kosong tangga bergerak tu. Entah mana datangnya manusia yang memenuhi Mid Valley ini. Mungkin sama seperti kami. Dari Puchong, Shah Alam dan Seri Kembangan.



Dalam ramai orang itu. Ada beberapa orang lagi mau menambahkan kesesakan sedia ada. Tapi mereka ini nak makan saja. Kusyuk sampai tak ingat apa sudah jadi di luar. Hujan ribut pun tak sedar.



Tengok sajalah apa yang mereka makan.



Lepas dah kenyang, lepak dululah. Sambil tu kita ambil gambar suka-suka hati.


Cantik kan kasut tu. Sila teka yang mana satu kaki saya.


Alamak! Muka Cik Jah tak nampak langsung. Muka Mariah pun separuh aja. Maaf ya kawan-kawan. Tiada unsur sabotaj di situ. Maklum saja lah, tangan saya tak boleh nak pergi jauh lagi dah. Ha ha ha. Jadi untuk nampak semua, sila Cik Jah ambil gambar dari tepi. Barulah cantik.

Lepas penat jalan-jalan kami pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah masing-masing. Perjumpaan kali ini tidak cukup korum. Mak Intan balik kampung mertua. Maklum lah sekarang ni musim buah-buahan. Harap-harap perjumpaan akan datang semua ada. Perancangan terdekat InsyaAllah untuk acara tahunan berbuka puasa bersama-sama. Jika mengikut giliran, kali ini Mak Intan akan menjadi hos.

Jadi, sampai jumpa lagi nanti.

Sunday, August 03, 2008

..::MASKARA X::..

Ramai muka baru. Wajah-wajah yang masih segar. Masih muda.

Bagus adik-adik. Daripada melepak tak tentu hala, baik datang ke MASKARA ni. Sama ada mahu buat persembahan. Atau menonton sahaja. Itu sudah memadai.

MASKARA Edisi Ke-10 mengajak kita untuk bermain dengan pelbagai emosi.

Persembahan muzik oleh DEP mantap. Ini kan kumpulan kegemaran Pipiyapong. Mestilah hebat.

Puisi Ajami mengajak kita berfikir tentang masa akan datang. Pesanan beliau kepada si abang, anak yang sulung agar menjaga dan memimpin tangan si adik jika nanti mama dan papa tiada, sungguh menyentuh perasaan. Ini mengingatkan aku kepada kisah si bekas kekasih yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan. Meninggalkan dia dengan 4 orang adik perempuan, yang bongsu berumur 4 tahun dan dia 16 tahun ketika itu. Ya, tiada siapa yang tahu apa yang akan jadi di kemudian hari.

Puisi lebih menyentuh dilatari dengan alunan muzik daripada lefthanded guitareez.

Seketika penonton diam penuh hormat. Kusyuk menghayati keindahan Ayat-ayat Allah yang dilagukan oleh Saudara Salman. Bersama sebuah puisi tentang Nabi Allah Nuh kemudiannya. Sehingga tiada ulasan yang mampu diberikan oleh Saudara Pengacara.

Puisi 'berat' dari Azree Ariffin, bacaan naskah oleh Art dan monolog dari Republic Theater ada tarikannya tersendiri.

Jonos jika mengambil alih pentas tak sah kalau penonton tidak ketawa. Itu bukan Jonos namanya. Lihat rupanya saja sudah bikin geli hati. Gandingan dengan Alfie membacakan naskah Azzam Supardi memang buat penonton tak kering gusi.

Persembahan penuh sakti menutup MASKARA X.

Sebenarnya mula-mula membaca nama Dewangga Sakti dalam blog Naga, otak aku ligat berfikir. Aku biasa sangat dengar nama ini tapi di mana? Tak ingat. Kemudian menyaksikan mereka di pentas MASKARA. Ada muka-muka yang seakan familiar tapi masih tak ingat di mana. Aku beli mini CD mereka. Aku belek dan baca. Dan nama Dewangga Sakti semakin dekat. Tapi aku tetap tak dapat ingat. Tak ingat.

Cuma yang dapat aku katakan sekali lagi persembahan mereka memang ada sakti. Selayaknya berada di pentas antarabangsa.

Dan. MASKARA X hebat. Setiap edisi ada persona tersendiri. Tahniah.

Jumpa lagi November nanti.

Friday, August 01, 2008

..::NAIK TURUN::..

Hidup ini umpama roda. Berputar. Turun naik.

Semalam. Anwar Ibrahim beritahu mahu bertanding. Jadi Menteri Perdana mesti ambil tindakan awal untuk raih populariti.

Hari ini Menteri Perdana beritakan bahawa harga minyak akan diturunkan tidak lama lagi. Katanya. Sabar ya.

Kita tunggulah berapa harganya nanti.

Oh. Roger Federer kalah lagi. Maka Nadal dengan mudah naik ke ranking no. 1 dunia. Mungkin Federer patut tinggalkan teman wanitanya sekarang. Cari yang lebih hot untuk memberi sokongan kepadanya dari luar gelanggang.
..::MUDAH, KAN?::..

Boss aku. Dapat jemputan untuk World Drums Festival 2008. Esok. Di Dataran Merdeka.

Aku. Bagitahu dia. Kad jemputan kena bawa sama. Untuk mudah nanti ditunjukkan tempat duduk.

Boss aku kata. Kalau diaorang tak bagi tempat duduk, dia balik rumah saja. Apa susah.

Kalau semua boss macam ni, mudah kan. Ha ha ha.