Saturday, May 30, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Hari ini perasaan saya sangat lapang. Seperti biasa saya hanya mengikut flow sahaja.

Menjelang tengahari saya pergi Bandar Baru Bangi. Ada sedikit urusan di sana. Pada perancangan asal, hari ini saya mahu masak di rumah. Tapi bila sudah berada di luar dan berasa lapar, tentu perasaan malas menjadi-jadi. Apatah lagi restoran ada di merata-rata tempat.

Jadi, selesai saja urusan saya terus pergi tempat makan. Saya memang sudah fokus restoran mana yang menjadi pilihan. Menu juga sudah ada dalam otak.



Ya. Sekali lagi saya pilih JM Bariani House. Lokasinya ialah di deretan kedai di bahagian belakang Al-Ikhsan. Berhampiran Restoran Bamboo.

Kerana kelaparan, saya pilih bariani ayam. Saya tambah juga papedom.



Cuma saya sedikit kecewa kerana di cawangan ini tidak menyediakan bandung cincau. Tetapi, bandung soda juga boleh mengubat kekecewaan saya. He he he.. Asalkan ia bandung, kan.



Oh, selain daripada sirap bandung, saya lihat ramai juga pengunjung yang memesan air roselle. Nampak menarik. Mungkin lain kali saya boleh cuba.

Kerana saya menikmati hidangan dengan gembira walaupun bersendirian, mungkin ia agak menarik perhatian pelayan-pelayan lelaki yang comel-comel belaka. Ha ha ha. Saya layankan saja. Sementara ada peluang. Walaupun jasad saya sendiri tapi hati saya tidak. Salah seorang pelayan yang comel offer saya dessert. Tapi saya menolak sebab dah kenyang.

Pilihan dessert di sini agak pelbagai. Ada pilihan kek cawan, cream caramel, sagu gula melaka dan jeli buah-buahan.

Hiasan dalaman juga cantik. Ada satu cermin sebesar dinding yang membuatkan saya hampir tertipu. Mujur juga saya tidak terlanggar cermin tu. Tapi tiada gambar kerana saya duduk membelakangkan cermin. Agak malu untuk makan sambil menatap wajah sendiri. Ha ha ha.

Seperti apa yang saya pernah tulis sebelum ini, JM Bariani House memang tidak akan mengecewakan. Kepada yang mahu tahu lebih lanjut, mereka juga menyediakan laman sesawang untuk memudahkan pelanggan dalam arus teknologi masa kini.

Oh, saya tidak dibayar untuk promosi ini. Ini adalah saranan ikhlas saya sebagai pelanggan yang pernah mencuba. Tidak salah untuk kita berkongsi sesuatu yang bagus.

Friday, May 29, 2009

..::KERANA PERSALINAN::..

Dalam perjalanan pulang dari pejabat petang tadi, saya terserempak dengan seorang staff bertaraf makcik yang dipanggil kakak di pintu lif. Kami berbalas senyum. Dan, dia menegur saya.

"Cantiknya baju. Macam baju bertunang" Sambil merujuk kepada baju kurung biru polos berkerawang 4 inci di hujung lengan dan hujung baju yang saya pakai.

"Ooo.. Saya buat baju ni memang cadangnya nak pakai bertunang. Lama dah buat. Tahun 2002. Saya start pakai lepas tahun 2004. Lepas putus cinta." Saya membalas mudah sambil tersenyum.

"Kan.. saya tengok pun dah boleh agak.." Balasnya kembali dalam nada gembira kerana tekaannya betul.

Saya. Hanya tersenyum kembali sambil mengucap selamat apabila beliau keluar di tingkat 32.

Ya. Ia tentang bagaimana kita menegur seseorang berkaitan sesuatu isu, situasi dan keadaan.

Dan. Saya tidak kisah sama ada kamu mahu tegur cincin, baju, kasut, beg tangan atau lebih jauh menegur saya yang kelihatan seperti mengandung sebulan ini. Tetapi, mesti kena pada gaya dan caranya.

Mudah kan?

..::MENGAPA SINGGAH KALAU TAK MASUK::..

"Jika hidup ini satu persinggahan

kenapa tidak kita siapkan bekalan

untuk meneruskan perjalanan.."

Thursday, May 28, 2009

..::KERANA CINCIN::..

Sejak bertahun-tahun. Di jari manis saya sudah tersarung sebentuk cincin emas belah rotan. Saya kira ia amat mudah dikesan. Sekali pandang saja sudah boleh nampak. Dan saya juga ada satu tabiat memusingkan cincin itu bila sedang berfikir.

Semalam. Seorang 'budak' lelaki menegur. Dengan nada yang saya rasa mahu pang saja mukanya. Sentap. Dan bising-bising kenapa saya bertunang senyap-senyap. Tak beritahu dia. Sambil tunjuk-tunjuk cincin di jari saya.

Pertama : Perlukah?

Kedua : Saya tidak bertunang. Jadi tiada isu sama ada saya beritahu atau pun tidak.

Ketiga : Jika pun saya bertunang, tidak perlu diheboh-hebohkan serata alam nyata dan alam maya.

Keempat : Sudahlah menceroboh ruang peribadi saya, mahu pula 'berbaik-baik' dan berharap saya mahu ceritakan bahan sensasi. Maaf.

Sebagai kesimpulan, sudah bertahun saya pakai cincin emas belah rotan di jari manis. Saya tak peduli apa pandangan kami tentang kenapa saya memakai cincin di jari manis. Cuma, saya tak suka cara kamu menegur. Itu saja.

Wednesday, May 27, 2009

..::PADAM::..

Dalam telefon bimbit saya, ada satu folder yang saya cipta 2 tahun lalu. Folder itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Hari ini. Saya ambil keputusan. Untuk padam folder itu. Padam semua isi kandungannya.

Yang tinggal hanyalah kenangan. Tersimpan kemas di dalam sebuah kotak di antara kotak-kotak yang menghuni sudut hati saya.

Tuesday, May 26, 2009

..::WEDDING ERNIE+FAD@PUTRAJAYA::..

Hari Ahad lepas saya penuhi undangan majlis resepsi Ernie dan Fadlie. Di Dewan Presint 9, Putrajaya.

Kerana sudah bersekongkol dengan pengapit pengantin, jadi waktu saya tiba adalah bersamaan dengan waktu ketibaan pengantin. Sayup-sayup terdengar bunyi kompang dipalu. Dan, tiba-tiba saya rasa nak kawen.

Sila abaikan keinginan saya itu. Kita cerita dulu perkara yang sudah berlaku. Saya datang serentak dengan Intan dan Cik Jah. Katanya nak tunggu Kak Akmal, tapi perempuan tu lambat. Jadi kami masuk dulu dan cari tempat nak jamu perut. Selain bersekongkol dengan pengapit pengantin, saya juga bersekongkol dengan mama Baby Q yang tiba lebih awal di tempat kejadian.

Kerana sibuk ke sana ke mari mengambil gambar, maka gambar sewaktu menjamu selera sudah lupa mahu dirakam. Sirap merah kuning sangat sedap. Mungkin hampir 1 jug saya minum. Dahaga. Ditambah dengan cuaca yang sangat panas.

Ini himpunan gambar pengantin yang saya rakam. Pengantin sama cantik sama padan. Lagipun saya rasa tak ada pengantin yang tidak berseri di majlis mereka. Kecuali kalau pengantin kena kawen paksa. Mungkin.



Ini pula pengapit pengantin yang bersekongkol dengan saya.



Kerana telah dihalau oleh jurugambar, pengapit pengantin mengambil keputusan mengipas diri sendiri dan kemudian menarik muka memandang pasangan pengantin memotong pulut kuning.

Di hujung-hujung majlis baru kelihatan Kak Ima sekeluarga datang. Saya terlupa rakam gambar dengan Kak Ima. Sorry ya kakak.

Dan. Entry ini diakhiri dengan gambar perempuan yang kepingin naik pelamin.



Doakan impian kami menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Friday, May 22, 2009

..::KURANG MAKAN MAKAN KURANG::..

Ok sudah lama saya tak kemaskini blog. Saya agak sibuk. Di samping tak ada perkara yang menarik untuk dikongsi di dalam blog. Jika sekadar pergi SOGO dan TERbeli kasut, itu sudah menjadi TABIAT saya. Jadi tak perlu diblogkan.

Sebenarnya hari ini saya cuti sakit.

Kisahnya, sejak kebelakangan ni saya selalu sakit kepala. Kerana memang ada migraine, saya buat endah tak endah saja dengan sakit itu. Walaupun sudah dibebel berbakul-bakul supaya pergi jumpa doktor, saya tetap degil.

Sehinggalah malam tadi saya diserang sakit kepala yang sangat sakit macam kena hempap dengan batu (walaupun tak pernah kena hempap dengan batu, kan?). Di tambah dengan rasa meloya. Ok saya tak mengandung. Malah tak ada sebab pun untuk mengandung.

Berbalik kepada kisah sakit kepala, lepas subuh saya gagahkan diri bersiap mahu ke klinik. SMS boss beritahu lambat masuk pejabat. Klinik cuma akan buka jam 8.00 pagi tapi 7.45 pagi saya sudah berada depan pintu.

Saya orang pertama jumpa doktor yang sangat lemah lembut dan baik hati itu. Doktor kata saya mengalami tekanan darah rendah. Doktor suruh saya rehat, rehat dan rehat. Dan paling penting jaga pemakanan. Owh, OK.

Dan selepas diberitahu kepada mereka yang sepatutnya tahu keadaan saya, semua menyebut tentang pemakanan. Semua kata saya kurang makan.

Hmmm saya tertanya-tanya kepada diri sendiri. Saya kurang makan, atau makan kurang??

Monday, May 18, 2009

..::SIRI JALAN-JALAN CARI MAKAN::..

Hari Sabtu lepas saya pergi rumah Kak An. Tujuannya mahu hantar barang-barang Hafizudin. Kebetulan pula Kak An mahu keluar. Makan. Jadi saya ikut sajalah. Rezeki jangan ditolak katanya.

Perginya tidaklah jauh. Alamanda sahaja. Kerana saya sedang mencuba gajet baru (yang tidak baru), maka saya bertindak sebagai jurugambar. Walaupun amatur sahaja.



Kami pergi makan di JM Bariani House. Di bahagian luar Alamanda.



Saya makan mee bandung dan minum bandung cincau. Sangat sedap. 5 bintang penuh saya beri untuk kedua-dua menu itu. Eh, baru sedar kedua-dua menu yang saya pilih ada perkataan bandung. He he he.

Orang lain makan bariani ayam dan bariani kambing. Sedap juga. Acar buahnya sangat cantik. Sudahlah cantik, sedap pula rasanya. Tidak tipu.

Jadi, saya cadangkan datanglah mencuba makanan di JM Bariani House ini. Terdapat beberapa cawangan lain selain di Alamanda. Saya tak ingat di mana lagi tapi segala maklumat ada ditulis di belakang menu. Oh, saya tidak dapat apa-apa komisyen daripada iklan ini. :p

Dan. Seperti yang pernah saya katakan di dalam entry sebelum ini, aktiviti bersama keluarga adalah yang paling seronok. Walaupun ianya sangat ringkas.

Saturday, May 16, 2009

..::TAWARAN vs PILIHAN::..

Setelah permohonan saya untuk memiliki kad kredit melalui agen gagal kerana kesilapan teknikal, saya telah menerima beberapa tawaran lain. Yang disifatkan tidak kurang menarik.

TAWARAN 1

"Nanti I buatkan U supplementary cardlah. Sekarang belum layak lagi"

TAWARAN 2

"Awak nak guna cepat ke? Awak nak kad yang mana? Saya kena settlekan outstanding balance dulu. Nanti dah settle, awak guna teruslah kad saya tu"

Menerima mana-mana tawaran itu, bermakna saya juga perlu membuat pilihan untuk sesuatu dalam hidup saya seterusnya.

Thursday, May 14, 2009

..::ASINGKAN HATI KAMU DALAM KOTAK-KOTAK YANG BERBEZA::..

Semalam. Suami orang yang pernah menyoal kenapa dia tidak bertemu saya 10 tahun lalu bertanya lagi. Soalan. Tentang hati.

"Kenapa orang yang kita sayang, selalu sakitkan hati kita, lepas tu kita masih suka?"

Saya hanya ketawa. Jujur. Saya tidak tahu apa jawapan yang tepat. Suka. Sayang. Cinta. Adalah suatu yang berbeza. Universal. Subjektif. Ia bergantung kepada diri sendiri. Bagaimana mahu membezakan seterusnya mengasingkan ia di tempat-tempat yang sepatutnya di dalam hati kita. Semua terletak pada hati.

Dan kamu adalah apa yang kamu pilih.

Owh. Selamat hari ulangtahun kelahiran yang ke-30 untuk awak. Walaupun awak telah menolak cinta saya, kita masih berkawan seperti biasa. Dan saya tetap sukakan awak.

Wednesday, May 13, 2009

..::AKHIRNYA::..

Hujan turun membasahi bumi yang penuh lumpur ini

..::................::..

Pada satu malam yang makan seorang sudah dirasakan tidak seronok lagi..

Tuesday, May 12, 2009

..::BUKAN SATU::..

+ Haritu bosan-bosan I buat kuiz dalam Facebook. Pasal berapa nilai wang hantaran anda. Katanya hantaran I RM12k

- Wow!! RM12k banyak ok..

+ Itu standard la zaman sekarang. Tapi yang I nak share is description pasal I dari kuiz tu. Katanya "Anda seorang wanita yang menawan tetapi anda tidak menyedari hakikat ini. Anda tidak sedar bahawa diri anda mempunyai satu kelebihan yang anda sendiri tidak perasan tetapi bakal suami anda nampak semua itu. Anda akan bahagia di samping suami anda nanti kerana dia menyayangi anda sepenuh hatinya." Boleh percaya kah?

- I rasa tak boleh percaya kot sebab kat situ katanya "mempunyai satu kelebihan". Tapi I rasa U ada banyak kelebihan kan..

+ Entah. Mana la I tahu. Kata tak sedar.

- Tapi I sedar...

+ *Speechless*

Monday, May 11, 2009

..::PADA SUATU MALAM YANG SUNGGUH PANAS::..

Peluh mula merembes. Baju tidur tanpa lengan paras lutut sudah tersingkap. Selimut entah ke mana.

Dan..........

Silalah bangun ambil alat kawalan jauh untuk on kipas atau penghawa dingin. Kalau tidak pastu kau tak akan dapat tidur dengan aman.

Panas!!!!!

Friday, May 08, 2009

..::SESUATU::..

Jodoh pertemuan semua kerja Tuhan. Kita hambaNya cuma mampu berusaha dan berdoa.

Maka itu, tahniah kepada Ernie dan Fad yang selamat diijabkabulkan pada 1 Mei 2009. Majlis kenduri diadakan di Kulim pada 2 Mei 2009. Semoga jodoh ini berpanjangan sampai ke Syurga. InsyaAllah.

Yang ada di hari kejadian cuma saya, Mya dan Izan. Kawan-kawan lain rasanya tentu menantikan majlis di Putrajaya hujung bulan nanti.



Oh, sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya jumpa Fad. Saya sudah pernah jumpa Fad sekitar tahun lepas. Malah saya pernah minum dengan Fad. Berdua. Ha ha ha..

Tapi, secara jujurnya jika mahu tahu sesuatu tentang Fad adalah lebih afdhal pertanyaan itu diajukan terus kepada Ernie. Bukan kepada saya. Atau bukan juga orang lain. Bukankah begitu sepatutnya? Jadi, maafkan saya sekiranya jawapan yang diberi tidak menepati skema jawapan yang kamu mahukan.

Dan. Untuk sekian kalinya, tahniah kepada Ernie dan Fad.

..::TIADA YANG LEBIH INDAH::..

Tiada yang lebih indah melainkan dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga.

Thursday, May 07, 2009

..::ADA KALANYA::..

Lidah itu umpama pedang.

Dan. Diam itu lebih baik daripada berkata-kata. Yang sia-sia.

Wednesday, May 06, 2009

..::MAAF. BELUM MASANYA::..

Oh, saya baru tersedar rupa-rupanya saya memiliki sebuah blog. Tapi, saya belum mahu mengemaskininya.

Maaflah. Kepada sesiapa yang menantikan cerita sensasi daripada saya. Atau gambar-gambar menarik untuk dijadikan santapan mata.

Kepada peminat saya yang mengingatkan bahawa sudah 6 hari blog ini tidak dikemaskini, nah! kan saya dah kemaskini.

Sampai jumpa lagi. Ada perkara yang lebih penting perlu diselesaikan terlebih dahulu.