..::
PINJAMAN::..
Segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.
Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.
Di dada akhbar semalam, ada berita tentang seorang bapa yang membunuh diri selepas meracun 2 anak kecilnya. Entah ke mana hilang nilai kemanusiaannya. Kasihan si ibu yang melahirkan anak itu. Apa lagi yang tinggal?
Kata seorang teman lama, dia menangis teresak-esak membaca berita berkenaan.
Semalam juga, diadakan satu majlis tahlil di pejabat. Baru-baru ini seorang pegawai kehilangan anak. Akibat masalah jantung. Ketika memberi sepatah dua kata, dalam esakan beliau memohon agar rakan-rakan di pejabat membantunya. Mengembalikan kekuatan. Keyakinan. Sehingga kini beliau masih belum mampu untuk meredhakan pemergian itu sepenuhnya.
Berbicara dengan teman sepejabat selepas tahlil, katanya pegawai berkenaan telah 2 kali kehilangan anak. Dan setahu aku beliau cuma ada 2 orang anak perempuan. Jika ini kali kedua bermakna tiada lagi yang tinggal.
Kembali berbicara dengan teman lama. Katanya, jika dia berada dalam majlis itu, dia juga pasti akan mengalirkan air mata.
Aku. Mungkin kerana belum punya anak, tahap sensitiviti terhadap isu ini agak kurang.
Namun aku tahu segala yang ada di dunia ini tiada yang kekal. Melainkan Allah.
Cuma, bagaimana segala pinjaman itu dikembalikan, tiada siapa yang tahu.