Wednesday, December 22, 2010

..::MUHAMMAD - SUSU IBU TERBAIK!!::..

Saya sedang perlahan-lahan kembali mengadap internet atau lebih tepat blog dan FB. Sebulan berpantang di kampung, langsung terputus hubungan dengan dunia maya. Banyak entry dari blog kegemaran saya perlu ditelaah. Ha ha ha.

Melompat dari satu blog ke satu blog, dan blog Marliza Radzi tak pernah mengecewakan pembacanya. Entry ini membuatkan saya kembali tersedar dengan kelekaan. Ya, ia cuma tentang penyusuan bayi. Dan saya memang berazam mahu menyusukan bayi selama 2 tahun penuh~InsyaAllah.

Tapi bila dikenangkan kembali saya dah lama tak pam susu. Tak simpan stok pun. Saya gigih pam susu cuma masa Muhammad kena tahan dalam wad 8 hari sebab kuning. Hari-hari hantar susu supaya Muhammad cepat sembuh dan dapat balik ke rumah. Bila Muhammad dah balik rumah, saya jarang-jarang pam sebab boleh susukan terus. Dan bila saya balik berpantang di kampung, saya langsung tak bawa balik pam jadi maksudnya memang tak pam susu langsung.

Bila balik ke Shah Alam, memang saya dah tanamkan azam nak mulakan sesi mengepam susu, tapi alahai. Tak buat-buat juga. Stok ada ciput saja. Tak dapat langsung nak tampung keperluan susu Muhammad yang sememangnya tinggi. Maklum lah budak lelaki. Orang pun selalu kata budak lelaki kuat menyusu. Betul la tu. Dalam masa 2 bulan saja berat dah jadi 5kg. Lahir dulu 2.6kg saja.

Hmmm.. Memang betul makin gigih kita pam, makin banyak susu dapat dibuat stok. Baru-baru ni saya ada cuba pam, tengok pun macam tak percaya. Satu sudu besar pun tak sampai. Eeeerrr tapi lepas tu tak juga pam sampai ke hari ni. Kalau nak ikutkan susu memang banyak. Meleleh dan memancut-mancut je. Tapi tak pam buat stok, terbuang macam tu sajalah jadinya.

Tak lama lagi saya kena kembali bekerja. Kena cepat-cepat sediakan keperluan Muhammad. Kalau tak apa yang diazamkan mesti tak menjadi. Lagipun semuanya datang dari minda. Minda yang sihat dan berfikir tentang kebaikan susu ibu untuk anak akan menghasilkan jumlah susu yang banyak. Betul kan? hiks

Ayuh Hanida setkan minda anda. Yakin boleh!!!

Sunday, December 19, 2010

..::BARU SETAHUN::..

Dah lama saya tak berblog. Jenguk blog sendiri pun tidak. Melawat blog lain juga tidak. Mungkin saya kena ambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan dunia baru saya.

Oh, hari ni genap setahun usia pernikahan saya. Kata orang 5 tahun pertama adalah tempoh untuk mengenali satu sama lain. Inikan pula baru setahun. Alhamdulillah semakin hari semakin hangat cinta dan kasih sayang kami sekeluarga. Tambahan pula kami telah dikurniakan rezeki seorang putera penyeri rumahtangga. Semoga perjalanan akan datang dapat ditempuh dengan lancar.



Muhammad permata hati mama dan ayah. Senyum dan tangis kerana Muhammad.

Saya masih tercari-cari peluang untuk menulis pengalaman melahirkan Muhammad di blog. Bukan untuk siapa tetapi untuk kenangan saya dan keluarga. Kalau tidak dalam masa terdekat, mungkin suatu hari nanti akan saya tulis juga.

Untuk teman-teman; Mya dan Salina yang sama-sama melangsungkan pernikahan setahun yang lalu Selamat Ulangtahun Pernikahan untuk kalian.. Tahniah untuk Salina dengan kelahiran Anis Suraya dan untuk Mya insyaAllah akan ada rezeki itu. Sama-sama kita berdoa.

Apa jua warna yang tercorak dalam tahun 2010 ianya tetap menjadi penyeri suka duka kehidupan yang dilalui.

Thursday, October 21, 2010

..::INILAH DIA::..

Ini bayi saya. Gambar sejurus selepas diazankan. Bayi lelaki lahir pada 15 Oktober 2010 Jumaat jam 7.37malam. Berat 2.6kg panjang 48cm.

Pengalaman melahirkan dan apa saja kisah berkaitan nanti saya cerita kemudian.



Ini gambar keesokan harinya. Dengan Atam. Buntang mata baby. He he he. Selalu baby baru lahir mata pejam saja.



Baby sekarang masih di hospital. Kena kuning. Tadi saya pergi hospital dan susukan bayi, dan Alhamdulillah sudah ada penurunan. Berkat susu ibu. Tapi saya lupa pulak nak rakam gambar bayi pada hari ketujuh.

Owh, bayi ini bernama Muhammad bin Jefry. Salam kepada semua pembaca blog mama ;)

Wednesday, October 20, 2010

..::AKHIRNYA::..

Alhamdulillah..

Itu saja yang mampu saya ucapkan setelah segala pengalaman yang ditempuh.

Jodoh, ajal, rezeki semuanya ketentuan Allah.

Dan, seperti yang selalu dikatakan banyak orang; "rezeki masing-masing"

Ya, saya redha dengan rezeki yang telah ditentukanNya.

Syukur.

**gambar tak boleh nak upload sebab blogger tengah disable system. Later okay

Thursday, October 14, 2010

..::PERGI BERJUANG::..

InsyaAllah malam nanti saya akan mulakan perjalanan. Pergi berjuang untuk melahirkan ummat Nabi Muhammad s.a.w. yang seterusnya.

Sebagai persediaan, saya dengan rendah hati memohon maaf atas segala salah dan silap yang pernah saya lakukan terhadap semua sama ada dalam sedar atau tidak. Halalkan juga apa yang pernah saya makan dan minum ketika bersama anda. Namun, seandainya ada kesilapan saya yang tak dapat dimaafkan atau dilupakan oleh anda, saya redha. Saya hanya manusia biasa.

Doakan perjalanan saya selamat.

Monday, October 11, 2010

.......

...perjalanan hidup ini membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati...

Saturday, October 09, 2010

..::3CM::..

Pagi tadi saya pergi pemeriksaan rutin.

Doktor periksa dan beritahu bukaan sudah 3cm. Sangat mengejutkan. Doktor tanya sama ada saya mahu bersalin hari ni. Tapi saya tolak. Eeerrr tak mahulah induce :). Jadi doktor suruh pergi buat CTG. Boleh tengok sini untuk tahu apa itu CTG. Alhamdulillah semuanya baik.

Ini bermakna bila-bila masa saja berkemungkinan saya akan bersalin. Doktor sudah beri MC dan cakap jangan pergi berjalan jauh-jauh. Pejabat pun tak payah pergi walaupun saya tetap degil sebab ada lagi perkara yang belum selesai. Apa-apa pun kita hanya merancang. Banyakkan berdoa saja.

Oh, balik hospital sempat lagi kami pergi Setia Alam. Shopping minit-minit terakhir di Little Whiz. Lepas tu pergi TESCO makan sizzling yee mee yang sebenarnya saya rasa nak makan masa awal-awal mengandung dulu. Tapi masa tu dapat makan yang tak berapa sedap rasanya. Kali baru dapat. Dan saya juga beli tembikai di TESCO. Sangat manis. Eeeerrr bak kata orang makan apa yang nak makan sebelum berpantang he he he.

Mungkinkah anak saya mahu lahir pada tarikh 10.10.10? Hmmm kalau betul, biar saya sempat pergi makan kenduri jiran lorong depan dulu lah ya. Hiks ;)

Thursday, September 30, 2010

..::MACAM PERIOD PAIN::..

Ini pengalaman pertama saya.

Bila tanya dengan kawan-kawan yang sudah ada pengalaman; "contraction tu macam mana?"

Hampir kesemua jawapan yang saya terima "macam period pain"

Tapi saya tak pain masa period, jadi saya tak tahu dan tak boleh nak bayangkan.

Lalu, saya buat kesimpulan mungkin ia sakit yang tak dapat kita jelaskan dengan kata-kata.

Dan, ini pengalaman pertama saya.

Wednesday, September 29, 2010

..::BENGKAK::..

Kalau ikutkan thicker yang suami buat, lagi 4 minggu 3 hari menjelang EDD.

Dan, semua orang yang jumpa saya semua tegur saya sudah bengkak. Hidung pun macam jambu merah, kulit muka berminyak tak kira masa.

Kata mereka tandanya sudah semakin hampir.

Tunggu sajalah dan doakan semuanya lancar dan selamat. InsyaAllah.

Monday, September 27, 2010

..::ULANGTAHUN::..

Hari ni ialah ulangtahun kelahiran saya.

Saya berada di rumah kerana kurang sihat. Tak lah kurang macam mana, sebenarnya malam tadi saya diserang sakit kepala yang amat sangat, bercampur dengan sakit pinggang dan lenguh kaki menjadikan saya tak dapat tidur.

Dan sebenarnya, dengan kesakitan yang dialami saya terlupa pun hari ni ulangtahun kelahiran saya, kalau bukan kerana suami wish pagi tadi. Terima kasih suami mengorbankan masa tidur untuk saya.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberi ucapan serta mendoakan saya melalui Facebook, sms dan menelefon sendiri. Naga, aku terharu tau.

Semoga kita beroleh kebahagiaan dan keberkatan dunia dan akhirat. InsyaAllah

Friday, September 24, 2010

..::RAYA 2010 - SATU HARI DI HARI RAYA::..

Tiba-tiba dah masuk 15 Syawal baru nak keluar entry raya.

Ha ha ha.. Pedulikan lah. Saya ada banyak benda lain nak selesaikan dulu. Lagipun entry raya tak meriah kalau tak ada gambar, dan yang sebenarnya memang tak berapa nak ada gambar pun.

Ini tahun pertama saya berhari saya sebagai seorang isteri. Dan tahun pertama juga saya beraya jauh dari keluarga. Satu pengalaman baru. Lagipun setiap perkara mesti ada pertama kalinya kan.

Satu pengalaman yang tak pernah saya lalui sebelum ni ialah orang bertakbir dari rumah ke rumah pada malam raya. Saya ada ambil video tapi saya tak reti nak operate dan letak dalam blog macam mana. Hi hi hi.

Memandangkan keluarga suami tak ramai, pagi raya sangat ringkas. Siap-siap semua, sarapan terus salam-salam. Tak ada acara proper duduk-duduk dan salam-salam segala.

Ini gambar sekeluarga selepas semua orang yang pergi solat raya balik rumah.



Susun atur macam tersilap sikit. Sepatutnya Kak Ngah dan suami yang berdiri di tengah kalau ikut aturan dan mengambil kira adik beradik perempuan seorang, tapi entah macam tak terfikir pulak. Sudahnya saya yang paling kecil terlindung.

Ini pula gambar dengan anak-anak saudara. Ada 3 orang saja berbanding 33 orang di sebelah keluarga saya. He he he



Sebenarnya ada satu kejadian yang tak sanggup nak dihadapi telah berlaku di hari raya. Suami diserang keracunan makanan. Lepas solat Jumaat keadaan makin teruk. Asalnya mahu pergi beraya rumah KRoll pun tak jadi sebab tersangkut di hospital. Jangkaan suami seorang saja yang kena, rupa-rupanya bila balik dari hospital dapat tahu Kak Long pun mula cirit birit. Dan menjelang malam Kak Ngah dan Ayah pula yang kena. Tak tahu puncanya dari mana sebab semua orang makan benda yang sama dan seorang kena tapi pasangan tidak pulak kena. Kata Kak Ngah Allah itu Maha adil.

Memandangkan suami tak mengalami simptom muntah macam Kak Long dan Kak Ngah, jadi suami tak disuntik. Tapi, agak kurang bernasib baik kerana menjelang Syawal ke-3 pun cirit birit belum sembuh. Lalu terpaksalah kami mengunjungi hospital sekali lagi sebelum pulang ke Perak.

Jadi, raya jadi serba tak kena bila mengenangkan apa yang terjadi. Sekian

Tuesday, September 07, 2010

..::PENGHUJUNG RAMADHAN::..

Kandungan saya sekarang sudah 32 minggu. Dengar-dengarnya ada orang yang bersalin dalam usia kandungan begini. Jadi saya juga patut bersedia dengan sebarang kemungkinan. Bila-bila masa saja boleh TERbersalin walaupun tarikh jangkaan ialah 30 Oktober nanti. Tapi sebagai orang Islam kita wajib percaya bahawa Allah penentu segalanya.

Cerita tentang persediaan, sebenarnya saya belum sempat nak bersedia sepenuhnya. Bukanlah bermaksud barang kelengkapan belum dibeli, tapi perkara lain macam cuci pakaian bayi, sediakan beg hospital; itu belum lagi saya buat. Dan untuk balik berhari raya dan menempuh perjalanan jauh, sepatutnya sekurang-kurangnya beg hospital dah sedia. Ok ada masa 2 hari lagi untuk selesaikan.

Di pejabat pula saya sedang sibuk mengemaskini segala macam perkara. Susun atur fail, folder dalam komputer, label, paling penting tuntutan boss dan macam-macam lagi. Walaupun saya belum dapat pengganti tapi saya kena bersedia juga. Entahlah mana nak cari pengganti ni. Kalau cepat dapat pengganti mudah untuk saya ajar apa yang patut, dan bila-bila saya terbersalin pun nanti tak ada masalah kerja tertangguh. Pejabat ni pelik sebab orang yang nak buat kerja perkeranian tak cukup. Hmmm

Sebenarnya saya nak sambung cerita di Singapura tempohari. Tapi saya tak ada rasa nak buat. Nanti bila rasa tu datang semula saya letak gambar dan buat cerita. Walaupun sudah basi kisahnya.

Rata-rata juga semua orang sudah berada dalam mood raya. Sejak akhir minggu lepas KL mengalami kesesakan yang melampau. Hari Jumaat saya terpaksa berbuka puasa dalam kereta. Asalnya saya mahu buat entry khas tentang ini, tapi saya cerita sajalah di sini. Pada saya yang paling penting kita redha menghadapi segala keadaan. Kenapa perkara ini berlaku? Sebab saya tak redha. Tapi pada hari Jumaat, saya rasa lapang saja walaupun terpaksa menghadapi kesesakan selama 3 jam iaitu bersamaan dengan masa yang saya ambil untuk pulang ke Parit Buntar pada cuti Merdeka tempohari.

Dan, penutup kalam untuk kali ini saya ingin mengucapkan salam aidilfitri-maaf zahir dan batin saya mohon daripada semua pembaca blog ini khususnya dan seluruh ummat Islam umumnya. Berhati-hati di jalan raya.

Friday, August 27, 2010

..::REZEKI YANG TELAH DITENTUKAN::..

Leganya rasa dapat minum air selepas air mineral yang dibeli dengan harga RM3.10 di Mc Donald KLIA untuk bekalan berbuka puasa di dalam kapalterbang telah dirampas oleh pakcik imigresen. Nyaris-nyaris juga tupperware berisi kuah durian terkantoi, namun Alhamdulillah bekas kurma menyelamatkan keadaan. Walaupun sebenarnya pakcik tu redha tak redha saja melepaskannya. Huk huk huk. Maka dengan tekak yang kering, berbuka puasa lah kami suami isteri dengan sebiji kurma di terminal sementara menunggu kapal terbang tiba. Kalau (saya cakap kalau) tahu lama juga nak tunggu di dalam sana dan air nak kena rampas, biar saja berbuka puasa dulu di luar, kemudian baru masuk. Tak la rasa ralat sangat bila air kena rampas sebab dah diminum, kan? Huk huk huk lagi.

Ok, tiba-tiba baru sedar entry ini tak ada pembukaan. Terus-terus saja dengan luahan perasaan yang saya pendam dari semalam.

Sebenarnya sekarang saya berada di Singapura. Ini kali kedua saya datang sini. Pertama kali memang dengan tujuan untuk berjalan-jalan dengan suami. Tapi kali ini saya ikut suami yang ada urusan di sini. Bulan puasa, ada cuti panjang pulak tu (walaupun KL tak cuti Nuzul Quran) mengapa harus saya lepaskan peluang untuk ikut sama. Jadi, di sinilah saya sekarang ini.

Sambung kembali luahan perasaan saya di atas, bila masuk dalam perut kapal terbang, kami berdua sudah berangan-angan mahu minum sepuasnya jus yang dihidangkan. Tapi.... hmmm ketua kabin yang bernama Shahir tu seakan-akan tak faham pula keadaan, walaupun sudah 2 kali saya panggil untuk minta air minuman. Asyik-asyik ditawarkannya air kepada encik cina dan encik mat saleh di hadapan kami saja. Suami dah mengomel tentang ketidak prihatinan cabin crew. Biasa lah orang lelaki kan.. Penyelamat dan pembela isteri.. he he he..

Jadi, sampai saja di Singapura dan selesai urusan daftar masuk di hotel kami keluar cari makan. Memandangkan jam sudah 10.30 malam dan cuma KFC saja yang masih beroperasi, maka itu sajalah pilihan kami. Dan feerrgghhh lega sungguh dapat minum air walaupun tak dapat makan nasi. Alhamdulillah, masih ada rezeki kami.

Oleh yang demikian, sempena hari Jumaat di bulan Ramadhan yang mulia ini mari kita muhasabah diri. Walaupun air mineral berharga RM3.10 di KLIA bukan rezeki saya dan suami, tapi kami masih ada bekalan kurma dan roti mighty white untuk dimakan. Dan, walaupun kami tak dapat air dalam kuantiti yang dikehendaki di dalam penerbangan, tapi masih juga disediakan jus sekadarnya dan lebih lagi kami mampu menaiki penerbangan MAS ke luar negara. Seterusnya kami berupaya untuk menikmati hidangan KFC di sini.

Lalu, bila direnung kembali jika dirasakan kami kurang bernasib baik kerana air mineral RM3.10, ramai lagi ummat yang lebih jauh kurang bernasib baik tanpa ada apa-apa sekali pun hanya berharap pada rezeki seadanya. Belum dikira mereka yang kebuluran dan terlibat dengan bencana alam di luar sana.

Jadi, marilah kita tunaikan zakat dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

;)

Tuesday, August 24, 2010

..::PARAM::..

Walaupun bercita-cita untuk melalui Ramadhan tanpa param, tapi kita hanya merancang dan Allah yang menentukan. Maka saya redha. Dapat sediakan kuih serba sedikit dan masak di hujung minggu pun sudah memadai.

Hari-hari bekerja suami akan beli lauk di param berhampiran UiTM Puncak Perdana. Bila suami yang beli, tentu ikut seleranya. Masak lemak cili api, sambal dan asam pedas pasti ada. Saya telan juga selagi tahap kepedasannya boleh dipertimbangkan. Kalau terlampau memang tak boleh bimbang nanti terbakar lagi jantung saya. Saya akan tambah-tambah lauk waktu sahur. Itu pun lauk mudah saja macam telur dadar, telur masin atau ikan masin. Lagipun itu pembangkit selera.

Apa yang saya nak cerita sebenarnya ialah mengenai sikap sesetengah peniaga lauk pauk di param. Hari Sabtu lepas kami ke param TTDI Jaya. Bila minta lauk RM2.00, peniaga terus cakap "2 ringgit sikit dik". Apakah dengan harapan kami akan bertukar fikiran dan minta RM5? Tidak. Kami memang mahu RM2.00. Bukan satu gerai begitu. Rupa-rupanya gerai seterusnya kami pergi pun keluarkan ayat yang sama.

Lalu dalam perjalanan pulang suami meluahkan pendapat. Apakah penanda aras yang digunakan oleh peniaga tu? Setakat cedok saja, mungkin jika kita minta RM1.00 atau RM3.00 pun, kuantitinya adalah sama. Lainlah kalau kita beli lauk yang boleh dikira kuantiti macam ikan, daging buku, sotong, udang atau ayam. Lauk yang kami beli tempohari ialah masak lemak cili api perut dan masak lemak cili api siput sedut. Ok saya tahu kedua-duanya adalah masak lemak. Abaikan saja.

Suami kata lagi, kenapa tidak digunakan sistem gram macam jual asam tu. Tetapkan sekian gram bersamaan dengan berapa ringgit. Mungkin itu lebih berpatutan. Ada benar juga. Tapi apakah peniaga mahu mempraktikkan sistem itu. Kadang-kadang mereka yang berniaga di bulan Ramadhan ni sekadar mahu mencari wang lebih saja, bukan peniaga yang sebenarnya.

Apa pun, tepuk dada tanya hati. Renung-renungkan.

Thursday, August 19, 2010

..::EKSPERIMEN::..

Sejak daripada 1 Ramadhan, sehingga ke hari ini saya sedang melakukan eksperimen. Eksperimen tentang jalan mana harus dilalui untuk sampai di rumah dengan cepat dan selamat. Untuk mendapatkan keputusan yang memuaskan, faktor-faktor seperti berapa ringgit tol yang terpaksa dibayar perlu diketepikan seketika.

Ini catatan perjalanan saya bermula 1 Ramadhan sehingga semalam.

1 Ramadhan
4.40 petang dari pejabat melalui Jalan Raja Chulan ke Jalan Tun Perak terus ke Jalan Parlimen. Ini laluan tetap yang akan saya tempoh setiap hari. Hari pertama saya lalu SPRINT - NKVE - Guthrie, melalui jalan Batu Arang. Jalan Batu Arang juga adalah laluan tetap untuk ke rumah. Dan saya tiba jam 6.30 petang. Tol = RM2.60

2 Ramadhan
4.30 petang dari pusat servis kereta di Setapak. Melalui Mahameru - SPRINT - NKVE - Guthrie. Juga tiba jam 6.30 petang.

3 Ramadhan
Hari ni saya cuba jalan lain sikit. Jalan Duta - NKVE dan keluar di Bukit Jelutong. Tapi saya tak lalu susur Guthrie, sebaliknya terus masuk Bukit Jelutong dan lalu jalan dalam sehingga ke persimpangan Jalan Batu Arang. Owh, saya berjaya tiba jam 6.15 petang. Ada peningkatan di situ. Tol = RM3.30

6 Ramadhan
Saya ada kursus sehari di Angkasapuri. Laluan paling selesa ialah melalui NPE. Dan Alhamdulillah jam 5.00 petang saya sudah sampai di rumah. Gembira bukan kepalang :D

7 Ramadhan
Beranggapan bahawa keterujaan orang untuk berkejaran balik awal sedikit berkurangan, saya memilih untuk menggunakan SPRINT - NKVE - melalui jalan dalam Bukit Jelutong. Sampai rumah masih sekitar jam 6.15 petang. Kebetulan hari hujan dan saya mengalami sedikit kemalangan di susur keluar Bukit Jelutong.

8 Ramadhan
Saya bertekad mahu mencuba semula melalui Jalan Duta - NKVE dan jalan dalam Bukit Jelutong. Dan hasilnya, saya tiba di rumah jam 5.45 petang. Wow!!! Nampaknya ini lah jalan yang saya akan pilih sepanjang Ramadhan ini sekiranya saya tidak perlu singgah di Pusat Bandar Damansara.

Saya merasakan tiada masalah untuk menggunakan lalu ini kerana perbezaan jarak hanya sekitar 2-3 kilometer sahaja. Tetapi jika diberi pilihan di antara jarak dengan masa, saya akan memilih masa. Ya, masa itu sangat berharga.

Dalam pada itu, tips paling utama dan pesanan untuk diri sendiri juga - sentiasa bertenang dan jangan tewas dengan tekanan kesesakan jalan raya. Banyakkan Istighfar, InsyaAllah jiwa kita akan tenang.

..::GELI-GELI::..

Bayi dalam kandungan sangat aktif. Bergerak sana sini. Entah apa aksi yang dia buat di dalam sana.

Tapi bila melanggar 'dinding' saya mula rasa macam-macam. Nak terbelahak, nak terkencing, sebu dan kadang-kadang rasa geli. Dengan bunyi gedebuk-gedebuk, perut berombak jelas kelihatan.

Alhamdulillah, bayi sangat bekerjasama sepanjang saya berpuasa. Harap dapat bertahan hingga akhir Ramadhan nanti. InsyaAllah.

Wednesday, August 18, 2010

..::REZEKI RAMADHAN::..

Hujung minggu yang lepas balik Seremban untuk berpuasa. Seperti biasa bila balik semula Lembah Kelang, mesti ada bekal yang akan dititipkan. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan, singgah Putrajaya untuk ziarah anak saudara yang baru. Dan seperti kebiasaan juga bila singgah Putrajaya, tuan rumah mesti akan tapaukan sesuatu. Syukur.

Dan. Inilah hidangan berbuka puasa kami suami isteri pada Ramadhan ke 5 yang lalu.



Rendang ayam air tangan ibu mertua, dan udang besar pemberian kakak. Kakak cakap dia bagi 2 ekor saja jadi jangan berebut. He he he. Lain-lain saya tambah sendiri. Buah-buahan dibeli di Tapah tempohari. Sambal tempoyak dan telor goreng kicap untuk suami. Teh O suam untuk suami dan air kelapa segar tentunya untuk saya ;)

Selain itu ada kek cokelat kukus dari Seremban dan puding karamel lapis cokelat dari Putrajaya disimpan untuk dimakan sejuk.

Alhamdulillah, rezeki tidak putus apabila lepas tarawikh datang pula utusan membawa mee kari dan karipap. Bila ada orang memberi dan kita merasa di bulan Ramadhan ni, teringat pula kisah Ramadhan tahun lepas.

Apa pun, selamat menjalani ibadah Ramadhan untuk semua :D

Friday, August 13, 2010

..::DEMI ISTERI::..

yang nak makan manggis



suami sanggup panjat pokok



supaya dapat makan sepuasnya


(dan tak mintak lagi dah)

..::2 RAMADHAN::..

Perancangan awal nak buat kuih talam.

Tapi daripada talam jadi param.

Sebabnya sekali lagi sampai rumah jam 6.30 petang.

Tengok atas meja bawah tudung saji dah terhidang juadah berbuka puasa.

Naik atas, mandi dan solat sambil nangis.

Kenapa entah. Cengeng sungguh sejak mengandung ni.

Thursday, August 12, 2010

..::RAMADHAN PERTAMA::..

Ramadhan pertama saya sebagai seorang isteri. Juga Ramadhan pertama saya sebagai sebagai bakal ibu. Alhamdulillah saya berjaya menempuh Ramadhan pertama ini walaupun selepas sahur apa yang saya makan semua terkeluar.

Ramadhan pertama, pulang dari tempat kerja jam 4.30 petang saya sampai di rumah jam 6.30 petang. Dalam hati memang nak sedia macam-macam tapi apakan daya. Lagipun suami tak banyak karenah. He he he.. Nasi + satu kuah + lauk utama dah cukup.

Ini menu Ramadhan pertama: Kurma & buah-buahan, cekodok durian dan nasi ayam. Tapi gambar cuma sos saja sebab nasi dalam periuk dan ayam dalam oven. Bila keluarkan terus ngap saja. Tak ada masa nak ambil gambar.



Sebut tentang oven, saya tiba-tiba nak menciwi kepada Normaya. He he he. Bukan nak ciwikan oven tetapi nak ciwi sebab oven ni kami beli dengan menebus mata ganjaran sewaktu Maybank Treats Fair baru-baru ni. He he he..

Kalau nak ciwikan oven memang tak boleh lah sebab orang lain dah lama ada oven malah lebih hebat lagi. Dan ada orang dapat oven hadiah kawen, tapi kami dapat mixer masa kawen tu pun belum guna lagi. He he he.. Sebelum berumahtangga saya hanya menagih kasih dengan oven Butterfly. Siapa yang tak pernah kenal bagaimana rupa oven Butterfly, ini lah dia.


..::walaupun rupaku tidak menawan tetapi aku tidak kurang hebatnya::..


Untuk Normaya, inilah barang yang kami redeem masa Maybank Treats Fair haritu.



Semalam baru pertama kali guna. Hasilnya sangat mantap. Tapi tak ada gambar sebab sudah kelaparan. Gambar lama kepak ayam madu versi goreng adalah. Cuma jika mahu hidangan sihat memang cara membakar lebih disarankan.



Owh, tapi bila sudah dihadiahkan oven, harus suami mula demand macam-macam termasuk ayam golek sebab oven tu memang ada function untuk menggolek. Heh.