Friday, February 27, 2009

..::NAFSU YANG TIDAK TERKAWAL::..

Pakar kewangan berpesan jangan membeli-belah ketika perut lapar, marah atau sedih.

Pasti akan TERbeli barangan yang tidak ada langsung dalam senarai. Dan. Barang yang disenaraikan tidak pula dibeli.



Bawa duit ribu-ribu pun boleh habis sekelip mata. Jika bukan kerana sudah penat dan Maghrib pun sudah menjelang, mungkin banyak lagi hasil yang dituai.

Tapi keuntungan tentu kepada pemilik kedai.
..::BUNYINYA AGAK KEJI::..

"Nak order perempuan simpanan satu"

"Bila boleh dapat perempuan simpanan ni?"

"Berapa harga?"

"Nak bayar sekarang ke, atau bila dah dapat barang?"



Menerima dan mengurus tempahan Perempuan Simpanan.

Terasa seperti seorang Ibu Ayam.

Thursday, February 26, 2009

..::KUASA PENGHULU::..

Saya. Telah dilantik sebagai Penghulu tingkat. Katanya, segala perkara berkaitan keceriaan, hiasan dalaman, keselamatan dan kebersihan tingkat adalah di bawah tanggungjawab penghulu.

Sebagai seorang penghulu yang bercitarasa moden dan minimalis, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan kebudayaan dan kesenian Melayu, tentu sahaja saya punya banyak idea untuk dicurahkan.

Tetapi, hak saya sebagai penghulu telah dinafikan. Saya langsung tidak berpeluang untuk menunjukkan kebolehan.



Kerana. Di sini juga menempatkan pejabat Dato' KP. Dan semua itu adalah keputusannya.

Saya yang menurut perintah.

Wednesday, February 25, 2009

..::USAH TERTIPU DENGAN PANDANGAN LUARAN::..

Baru-baru ini. Semasa dalam pertapaan, saya jalani ujian darah dan kesihatan.

Jururawat beritahu bahawa tekanan darah saya sedikit rendah. Tetapi itu adalah disebabkan kurang rehat dan kurang tidur. Selainnya, saya adalah sihat. Alhamdulillah.

Saya juga baru tahu bahawa BMI saya adalah stabil. Fizikal saya tergolong dalam kumpulan sederhana kurus. Namun, walaupun saya kelihatan kurus tetapi saya juga mempunyai kandungan lemak yang berlebihan. Tidak syak lagi kenapa ada yang menganggap saya mengandung. Ya, saya mengandung lemak.

Jadi, sila jangan tertipu dengan fizikal seseorang. Bak kata seorang kawan yang sama-sama jalani ujian: "Saya ni memang nampak 'sihat'. Tapi sebenarnya sakit."
..::SAMA TAPI TAK SERUPA::..



Walaupun pada zahirnya nampak sama
Namun hakikatnya adalah berbeza sama sekali

Monday, February 23, 2009

Ini adalah entry berjadual.


Saya pergi bertapa.

Tiba-tiba baru saya teringat.

Saya bakal terlepas siri Prison Break.

Kerana macam mana mau tonton TV di tempat pertapaan ini.

Saya sedih.

Saturday, February 21, 2009

..::TIADA::..

Saya pergi bertapa..

Friday, February 20, 2009

MY HOME


myhome
Originally uploaded by madulebah
Gambar lukisan ini saya rakam dari dinding sebuah bangunan yang terletak di lorong menuju ke Gerja St. John, Kuala Lumpur

Thursday, February 19, 2009

..::YANG::..

+ "Hangpa tengah buat apa?"

- "Kami baru lepas sembahyang"

+ "Hah? Tengok wayang?"

- "Sembahyang lah!!"

+ "Wooh.. he he he"

Wednesday, February 18, 2009

..::CINTA II::..

Ada yang menolak cinta

Dan ada juga yang ditolak cintanya

Tuesday, February 17, 2009

..::CINTA::..

Cinta boleh dipupuk

Namun, cinta juga tak boleh dipaksa

Monday, February 16, 2009

..::BILA FAKTOR ITU TIADA::..

Walaupun kamu terbang dari pelosok mana sekalipun. Ia tetap tidak mampu membuatkan saya terharu.

Friday, February 13, 2009

..::SALAH SIAPA::..

Sepasang warga kulit hitam melambai-lambai tangan cuba menahan kenderaan di kiri lebuhraya. Tidak dapat dipastikan apakah kesulitan yang mereka hadapi. Berasak-asak kenderaan melalui lebuhraya itu, tiada seorang pun yang mahu berhenti. Walaupun sebuah teksi. Namun tidak boleh disalahkan kerana teksi itu sudah ada penumpangnya.

Saya memandu di lorong paling kanan. Tentu sekali tidak dapat ke lorong sebelah kiri. Jika saya berada di lorong kiri sekalipun, belum tentu saya akan berhenti untuk membantu.

Kenapa begitu? Bukankah rakyat Malaysia ini digembar-gemburkan sebagai warga yang prihatin, berbudi bahasa, saling bantu-membantu dan segala perkara yang baik-baik belaka.

Pada pendapat saya, semua orang takut untuk berhenti. Apa tidaknya, kita sering dihidangkan dengan kes samun dan rompakan yang dilakukan oleh warga asing. Selepas disamun, jika dilepaskan mungkin agak bernasib baik walaupun kerugian. Tapi jika mangsa dibunuh, memang satu sen pun tiada guna. Oleh itu, daripada menanggung risiko lebih baik ambil langkah berhati-hati dan hindari terus.

Jadi,salah siapa rakyat Malaysia tidak mahu berhenti memberi pertolongan?

Thursday, February 12, 2009

..::KECELARUAN::..

Hari ini. Saya datang ke pejabat seperti orang yang 'tak sudah'. Tapi, sila abaikan maksud mendalam perkataan itu.

Semalam saya memandu pulang dari pejabat dalam keadaan mengantuk yang teramat sangat. Menguap tak henti-henti. Mujur juga perjalanan lancar. Walaupun keluar jam 5.15 petang, saya cuma mengambil masa 30 minit untuk sampai di rumah.

Kerana mengantuk, saya rasa malas mahu masak. Jadi saya singgah di pasar malam. Betul kata orang, bila perut lapar otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Lalu saya berbelanja mengikut hawa nafsu. Sudah beli yong tau fu lagi dibeli bihun sup. Kesudahannya bihun sup masuk peti ais. Harap-harap masih elok lagi. Tidaklah saya menjadi sahabat kepada syaitan.

Jika diambil kira tahap mengantuk, lepas Isya' mahu saja saya tidur. Tapi bila mengenangkan baju belum siap jahit, terpaksa saya gagahkan. Kerana terpaksa menahan mata, kepala pula yang sakit. Rasanya saya masuk tidur lebih kurang 11.30 malam mengikut jam di dinding rumah. Letak kepala terus pengsan.

Bangun tidur pagi tadi leher pula sakit. Bantalkah yang salah atau gaya tidur saya yang salah. Dan hari ini saya datang ke pejabat seperti orang yang 'tak sudah'.

Wednesday, February 11, 2009

..::JIKA IA BAIK APA SALAHNYA::..

Saya. Boleh dikatakan agak (ayat merendah diri) cekap perihal selok belok jalan di sekitar Lembah Klang. Bukan setakat jalan raya, malah laluan kenderaan awam seperti Monorel, LRT Putra/Star dan komuter juga berada bibir saya. Sebut saja. InsyaAllah.

Abang ipar pernah menyarankan agar saya menjadi pemandu pelancong. Ini kerana dia pernah meminta panduan dan saya dapat memberikan nama serta jumlah stesen yang perlu dilaluinya dengan tepat.

Dan. Baru-baru ini pada malam MASKARA 13 saya mendapat gelaran baru.

Cik GPRS. Eh, ke Cik GPS?

Ha ha ha

Tuesday, February 10, 2009

..::NASIB BAIK::..

Tadi. Saya terima satu panggilan telefon. Daripada pihak Celcom. Untuk makluman, saya adalah pengguna talian Celcom yang setia.

Katanya, sebagai pengguna talian pasca-bayar secara automatik saya layak untuk menyertai satu peraduan dan skim insurans. Katanya lagi, peserta bernasib baik dan tidak perlu risau dengan segala penipuan yang memerlukan pembayaran melalui kad kredit. Ini kerana peraduan ini dijalankan secara sah dan berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia.

"Oh, saya juga bernasib baik kerana bukan pengguna kad kredit." Jawab saya ringkas.

Monday, February 09, 2009

..::BANG!!! BANG!!! BANG!!!::..



MASKARA 13 memang mantap. Memang meletup. Memang panas.

Kapasiti yang hadir di Planet PENA boleh menandingi pengunjung Planet Hollywood. Orang ramai berasak-asak. Mahu masuk ke dalam dan duduk bersila di barisan hadapan, ruang pun dah tak muat. Terpaksalah sesetengahnya menjadi ahli mesyuarat tingkap.

Oh, MASKARA sungguh bernasib baik kerana tiada yang buat laporan kepada pihak berkuasa. Jika tidak tentu kami semua akan ditangkap kerana menganjurkan perhimpunan. Tanpa permit yang sah. Silap haribulan ada yang bakal didakwa di bawah Akta Hasutan. Walaupun sebenarnya mereka cuma meluahkan apa yang terpendam. Apa yang terbuku di hati. Melalui pemerhatian. Terhadap isu semasa. Dan pergolakan dunia secara umum.

MASKARA 13 menampilkan Ku Chi yang menyanyi sambil bermain gitar. Mengalunkan bait-bait lirik penuh makna. Tersirat dan tersurat. Adam Kasturi seorang tukang sajak kontemporari. Persembahannya menarik. Dan perlu menggunakan lebih banyak otak untuk mentafsir. Mujur juga Adam Kasturi ini comel. Jadi mata terus tertumpu kepada persembahannya. YB Jonos pula berucap dengan penuh sinis. Katanya, dia mahu jadi PM. Bukan Perdana Menteri tetapi Papa Mithali.

Selepas kenyang menjamu selera sekali lagi penonton menerima santapan hebat daripada Fynn Jamal. Penampilan yang cukup berbeza berbanding pertama kali membuat persembahan di MASKARA lewat tahun lalu. Namun Fynn tetap berjaya menyentuh hati dengan luahan tulus yang disampaikan sepenuh jiwa. Saya ada bergambar dengan Fynn. Tapi dalam kamera Cik Puan Daun. Entah bila baru boleh dapat.

Seperti di dalam penulisannya, Pipiyapong tak perlu bersungguh-sungguh. Dia sudah punya aura tersendiri. Walaupun hanya membaca entry Radio Ah Hong. Pipiyapong pasti menerima tepukan gemuruh. Namun, tepukan lebih gemuruh diterima Ana Raffali. Tak perlu masuk program realiti TV. Dia punya pakej. Lengkap. Sudahlah cantik. Pandai menggubah muzik dan menyanyi. Kelebihan juga kerana dia pandai main gitar. Perempuan pun tertarik apatah lagi lelaki. Sayang sekali malam itu Ana Raffali tidak bawa DVDnya. Jika tidak pasti habis terjual. Seperti mereka yang lain, saya juga tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan Ana Raffali.

Selaku orang yang bertanggungjawab terhadap kelancaran majlis, Azzam Supardi berjaya mengawal suasana yang panas. Dia juga menggunakan kuasa veto untuk memanggil Ujang bagi menggantikan Aie yang tidak dapat hadir dek kekangan tugas.

MASKARA 13 sungguh bertuah kerana mendapat tajaan makanan daripada Katering Che Hassan, Restoran Kanchil dan Geng Jurnal yang menempah kuih muih daripada Periuk Tanah.

Untuk laporan bergambar sila ke laman Sol-jah. Jangan rindu-rindu kerana MASKARA akan datang hanya akan diadakan pada bulan Jun.

Friday, February 06, 2009

..::LOMPAT SI KATAK LOMPAT::..

Saya mahu hilangkan diri seketika. Sehingga tak ada siapa yang boleh hubungi saya. Tak perlu risau. Dua tiga hari lagi saya akan muncul. Mungkin dengan penampilan baru. Dengan senyum hingga ke telinga.

Lagipun, sekarang saya sedang sibuk melompat-lompat. Bersenam. Cari kesesuaian. Yang mana boleh mendatangkan hasil yang begitu baik.

Kan mahu kuruskan badan. Kena la usaha lebih. Dan buat pelaburan.

Thursday, February 05, 2009

..::HAPUSKAN LIF DAN MULAKAN KEMPEN GUNAKAN TANGGA::..

Hari Selasa lepas saya ke SOGO. Hajat di hati mahu cari sandal. Tapi sandal yang saya berkenan tidak ada saiz yang sepadan. Jadi saya teruskan perjalanan ke bahagian pakaian.

Tertarik dengan sehelai t-shirt LadyLike. Lalu saya mencubanya. Kerana t-shirt berkenaan adalah jenis 'berbentuk' maka saya ambil saiz yang sepatutnya sepadan dengan saya. Memandang diri pada cermin membuatkan saya rasa seperti mahu menjerit. Di satu bahagian tubuh, keadaannya sangat hodoh. Dan itu adalah satu petanda tidak baik. Mimpi ngeri apabila jeans penanda aras sudah boleh dipakai tanpa mengenakan tali pinggang telah menjadi kenyataan.

Dan. Hari ini mimpi saya semakin buruk dan ngeri. Apabila seseorang bertanya kepada saya.

"Are you pregnant?"

HUH?!!

Wednesday, February 04, 2009

..::KAKAK SAYA ADA DI RUMAH & SAYA MENGANTUK::..

Seperti biasa. Jika abang ipar saya bertugas ke luar daerah, kakak saya yang seorang itu akan menempel di rumah saya. Seperti biasa juga, saya akan jemput dia di Putrajaya. Kerana dia tidak tahu memandu. Dan. Sebelum tidur kami akan bersembang, bersembang dan bersembang.

Semalam. Boss saya pergi Goldcourse, Klang. Kemudian terus ke hospital untuk rawatan susulan pembedahan. Saya pula ke KWSP terus ke SOGO. Balik ke pejabat semula, buat kerja itu ini kemudian siap-siap mahu pulang. Kuala Lumpur hujan sangat lebat. Gayanya seperti akan banjir. Tapi cuaca cerah dan hujan hanya merintik bermula di sekitar Lapangan Terbang ATM. Ternyata benar "awan kita berbeza". Kerana keluar sebelum jam 5, saya hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai di Putrajaya.

Pagi ini. Baru saya teringat boss minta panggil mesyuarat jam 9.00. Terus dail nombor pegawai-pegawai berkaitan. Untungnya masuk kerja jam 7.30. Saya ada lebih banyak masa. Seolah-olah panggilan mesyuarat telah dibuat semalam. Cuma saya beritahu boss minuman terlupa pesan dan jam 10.00 baru dapat disediakan. Ya. Boss saya tidak marah atau kemudian menuduh saya tidak fokus. Kerana itu saya berasa tidak sampai hati untuk meninggalkannya dan bertukar ke tempat lain. Nanti tiada orang mahu melawan bagi pihak dia.

Kakak saya ada di rumah. Saya perlu keluar awal untuk mengelakkan kesesakan. Dan saya mengantuk.

Tuesday, February 03, 2009

..::PUJAAN 10::..

Semakin hari semakin ramai orang telah 'mengetag' saya. Untuk mengelakkan ia semakin bertambah, maka saya perlu menyelesaikan mana-mana tag yang sudah tertangguh.

Hari ini saya mahu menjawab tag daripada Mya. Tahun lepas lagi tag ini. Baru ini saya berkesempatan untuk jawab.

Saya namakan tag ini sebagai Tag Pujaan 10 kerana setiap satu kita perlu senaraikan sebanyak 10. Banyak ok. Tapi jawab juga lah.

Katanya:
#01 : Sesiapa yang kena tag, kena tulis 10 perkara berkenaan orang yang mengetag. Maka saya perlu tulis 10 perkara mengenai Mya.

* Sudah kenal sejak tahun 1995
* Satu sekolah dengan saya, satu Poly dengan saya dan kami pernah serumah masa praktikal
* Orang Taiping tapi pernah sekolah di merata-rata tempat
* Pencinta merah jambu
* Anak nombor 2 daripada 3 beradik
* Ada anak dara yang petah nama Yasmin
* Pernah jadi kakitangan Kerajaan
* Pernah sambung belajar tapi berenti sebab alahan mengandung yang teruk
* Seorang kawan yang sangat mudah: Kalau kita jemput/ajak pergi mana-mana, kalau boleh dia akan cakap boleh. Kalau tak dapat dia beritahu juga. Tak ada main tarik-tarik tali.
* Suka pergi melancong

#02 : Orang yang kena tag, tulis 10 perkara mengenai diri sendiri

* Anak nombor 9 dari 10 orang adik beradik
* Ahli keluarga lain semua sudah berkahwin kecuali saya
* Masuk tahun ke-9 jadi Kakitangan Kerajaan
* Suka sangat warna hijau
* Suka memasak
* Suka tonton tv
* Suka semua jenis seni
* Takkan ulang pakai baju dalam tempoh yang dekat
* Pakaian di dalam almari disusun dengan lipatan/jarak hanger yang sama. Dan akan pakai ikut turutan: kalau baju bergantung pakai yang paling kanan dulu dan kalau yang berlipat akan pakai yang paling bawah dulu
* Bila travel pakaian yang dibawa akan diisi dulu dalam plastik berasingan mengikut jenis baru masukkan dalam beg besar

#03 : Pilih 10 orang untuk jawab tag ini. Senaraikan

* Cik Puan Daun
* Darekampo - Awak suka kena tag kan?
* Cik Jah - Jangan malas buat kerja sekolah tau
* Atiqah
* Ika - Sorry beb. Aku belum jawab tag kau dulu. Tapi aku nak juga tag kau.
* Cida
* Ah Nett
* Naga - Daripada kau tulis tak ada apa-apa untuk dipaparkan baik kau jawab tag ni
* Kak Pnut
* Tok Rimau

#04 : Tidak boleh tag semula

Selamat menjawab!!

Monday, February 02, 2009

..::KITA JUGA MAKAN RUMPUT::..

Hujung minggu saya duduk di rumah saja. Agak penat bila terlalu kerap cuti. Tapi bila sudah diberi cuti tak akan saya tolak pun. Minggu depan saya akan mula bekerja di hujung minggu. Jadi, sementara ada masa lebih baik saya berehat dan uruskan rumah tangga sebaik mungkin.

Walaupun rumah cuma sekangkang kera, tapi saya memerlukan motivasi yang cukup tinggi untuk mengemas, menyapu sampah dan mengemop lantai. Sudahlah 'magic mop' saya sudah hilang magisnya. Lalu, kerja mengemop jadi agak terganggu. Oh, tak terbayang saya jika rumah saya ialah banglo yang ada 5 - 6 buah bilik dengan 4 bilik air. Tentu pengsan mahu menguruskannya. Tapi jika saya mampu untuk memiliki rumah banglo tentu juga saya mampu untuk menggaji 2 - 3 orang pembantu rumah untuk menguruskannya. Ha ha ha.. Ada unsur angan-angan di situ.

Sebenarnya saya bukan mahu bercerita tentang rumah saya atau rumah idaman saya. Tetapi saya mahu berkongsi sesuatu. Saya pernah bercerita tentang pokok-pokok yang saya tanam. Dan saya juga tanam ulam pegaga di dalam pasu yang sama dengan pokok daun sup. Semalam saya dapati pegaga itu sudah melampaui batas. Gemuk bukan main. Habis zat dan nutrien dalam tanah diambilnya. Tidak ditinggal langsung untuk pokok daun sup. Padahal dia hanya ditumpangkan saja dalam pasu itu. Kerana geram, habis saya cabut segala pegaga. Dalam kepala otak saya terfikir. Habislah kau aku kerjakan.

Lalu saya siapkan bahan-bahan. Mahu buat jus pegaga. Kan saya sudah berpenat lelah. Jus ini nanti tentu dapat menyegarkan saya.



* Basuh pegaga bersih-bersih. Tak perlu buang akar kerana pada akar itulah terkandung khasiat yang banyak.
* Satu gelas air sejuk
* 2 sudu besar gula
* 1 sudu besar madu
* Campurkan semua dan kisar lumat

Inilah hasilnya.


Boleh tapis hampas jika mahu. Tapi saya tak tapis pun. Minum begitu saja. Agak berbau rumput. Tapi ia tidak sebusuk mengkudu.

Dan selepas minum jus pegaga yang dibuat sendiri, saya rasa segar dan muda. Ha ha ha

Sunday, February 01, 2009

..::PERANG::..

Beberapa hari yang lalu saya telah pergi menonton wayang. Saya ingin memohon maaf. Kerana dalam hal ini, saya masih belum mampu untuk memulaukan filem keluaran Hollywood. Bukan tidak ada filem Malaysia di pawagam ketika ini. Tetapi, untuk menonton di televisyen pun saya tidak sanggup apatah lagi mahu menonton filem seperti Sifu dan Tongga itu di pawagam. Maaf sekali lagi. Ini adalah pandangan peribadi saya.

Saya memilih untuk menonton filem Bride Wars. Mengisahkan tentang 2 orang sahabat yang telah bersama semenjak kecil lagi. Kerana sedikit kesilapan, mereka mula bercakaran. Masing-masing tidak mahu mengalah. Ketika itu, habis segala rahsia dan keburukan didedahkan. Walaupun pada satu saat, mereka merindui detik-detik bersama.



Dalam keadaan emosi yang turun naik, filem ini berjaya menyentuh hati saya. Dan membuatkan saya menangis. Lalu menyedarkan saya. Filem yang berkisar tentang perhubungan tidak kira sama ada persahabatan, kekeluargaan atau percintaan selalu menyentuh hati saya. Saya beri 5 bintang untuk filem ini. Mungkin saya akan menontonnya lagi. Tapi saya juga sedang menantikan filem Geng yang akan mula ditayangkan tidak lama lagi.

Sewaktu berjalan keluar dari panggung, saya berasa puas. Walaupun saya menonton seorang diri, itu adalah lebih baik daripada menonton dengan kawan lelaki pada tengahari Jumaat.