Wednesday, December 31, 2008

..::BERJUTA BATU JAUHNYA::..

Menghadapi kejang perut, cirit-birit dan muntah-muntah. Sendirian. Di tengah malam. Tanpa dapat tidur.

Membuatkan saya rasa.

"Deng!!"

Tuesday, December 30, 2008

..::WALAUPUN RINGAN TAK ADA ORANG NAK TOLONG JINJING::..

Saya tinggal di kampung. Kampung yang masih tebal pengamalan tradisi gotong-royongnya. Terutama sekali berkaitan kenduri-kendara. Kenduri kahwin khususnya. Walaupun sekarang ini sudah ramai yang mula menggunakan khidmat katerer.

Semalam saya meraikan majlis resepsi sepupu. Di dewan. Bagi masyarakat setempat (kampung), majlis perkahwinan di dewan agak.. mungkin boleh dikatakan janggal. Apatah lagi jika dibuat di hotel.

Maka, bermula dari dalam perjalanan sehingga ke waktu makan di meja, topik perbualan dengan adik beradik ialah bagaimanakah majlis saya nanti dan di manakah lokasinya. Tentu saja ia menjadi topik dan isu kerana saya seorang sahaja yang masih solo.

Melihat kepada mahu meringankan kerja dan memudahkan capaian, mungkin majlis di dewan jadi pilihan. Senang kawan-kawan mahu datang, berbanding jika dibuat di kampung yang jauh ke dalam. Nanti ada pula kawan yang tanya, jalan ke rumah saya sudah berturap atau masih jalan tanah merah yang berlopak-lopak. Bimbang nanti kereta yang mahal cedera kerana asyik terlanggar lopak.

Abang ipar saya mencadangkan agar diadakan majlis pada waktu malam. Di dewan juga. Katanya sekarang ni orang kampung semua sudah punya kereta, jadi tidak susah jika mahu ke majlis itu. Adik saya kata, buat di dewan dan jemput kawan-kawan sahaja. Mungkin kawan-kawan yang kita suka sahaja. Ha ha ha.. Tak perlu jemput orang kampung. Itu memang cadangan yang keji.

Mak pula memang menentang sekeras-kerasnya cadangan mahu adakan majlis di dewan tak kira siang atau malam. Atau cadangan jemput kawan-kawan sahaja. Apa tidaknya, majlis adik saya 2 tahun lalu yang menggunakan khidmat katerer walaupun kenduri masih di kampung pun sudah menjadi isu, inikan pula jika majlis dibuat di dewan. Mak tak sanggup nak hadapi situasi begitu. Jadi buah mulut orang kampung. Yang bermati-matian mahu bergotong royong walaupun sudah dimaklumkan ia adalah untuk menyenangkan mereka. Dan tentu sekali untuk memudahkan kami adik beradik yang walaupun ramai tapi tinggalnya jauh-jauh. Tiada siapa yang nak mengepalai segala mesyuarat persediaan kenduri sejak arwah ayah meninggal. Belum lagi segala perkara sebelum dan selepas kenduri yang perlu dibereskan. Bukan menolak amalan bergotong royong sebaliknya itu majlis kita dan kita tuan rumah. Tentu ada sebab kenapa kita mahu gunakan khidmat katerer.

Tapi, itulah kampung saya. Kampung yang masih kuat mengamalkan tradisi bergotong royong. Terutama sekali berkaitan kenduri kendara.

Cuma. Sebelum perbincangan diteruskan dengan lebih lanjut, sila tanya pada diri sendiri.

Bila majlisnya tu? Ha ha ha

Monday, December 29, 2008

..::TIADA SEMPADAN MASA::..

Menjawab kepada persoalan Ajid. Di dalam entry terdahulu. Adakah ini blog saya.

Ya, ini memang blog saya. Atau nama sebenarnya Noor Hanida Shaari.

Mungkin setelah sekian lama Ajid tidak menjengah ke blog saya. Dan sesekali menjengah dia merasakan bahawa ada sesuatu yang berbeza di sini. Apa yang saya tafsirkan Ajid rasa ada perbezaan dari segi gaya penulisan blog ini. Mungkin.

Sebagai manusia, sebagai insan, kita perlu berhijrah. Setiap masa. Setiap hari. Sepanjang tahun. Selagi ada hayat.

Ini. Penghijrahan saya sebagai seorang penulis blog. Sejak mula menulis pada tahun 2004. Seiring dengan bertambahnya usia. Saban tahun. Dengan rasa tanggungjawab yang ada dalam diri.

Saya mengambil pendekatan bahawa, apa yang kita tulis dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Tidak kira usia, agama dan bangsa. Yang kita kenal ataupun tidak. Ia secara tidak langsung mencerminkan siapa diri kita. Bagaimana personaliti kita. Dengan siapa kita bergaul. Apa perspektif kita terhadap persekitaran, isu semasa atau peristiwa yang kita alami.

Itu yang saya mahu lakukan. Jadi lebih bertanggungjawab. Matang. Dan tentu saja positif.

Tapi, saya tetap tidak menolak pendapat bahawa blog adalah hak idividu. Terpulang kepada tuan empunya bagaimana mahu blog mereka terpamer. Terpulang juga kepada siapa yang mahu membacanya. Jika tidak berkenan sila tinggalkan laman berkenaan.

Mudah.

Sehingga itu, Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah. Semoga tahun mendatang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Wednesday, December 24, 2008

Sebenarnya ada banyak perkara mahu saya ceritakan dalam blog ini. Tentang yang lepas. Tentang semasa. Mungkin juga tentang masa akan datang.

Tapi, capaian internet sangat lemah. Ia betul-betul menguji kesabaran saya. Bukan setakat untuk kemaskini blog (ha ha ha) malah mahu semak email pun tidak boleh. Jika mahu muat-naik gambar, apatah lagi. Jalur lebar yang saya gunakan pun sudah tidak lebar capaiannya. Entah di mana masalahnya.

Esok saya akan pulang ke kampung. Lagi. Kebetulan mak saya ada di sini. Datang selepas Aidil Adha tempohari. Sekarang mahu hantar beliau pulang. Kebetulan juga sepupu saya akan berkahwin pada hujung minggu. Dan juga beberapa jemputan lagi yang saya terima untuk majlis di sekitar kampung. Jadi bolehlah saya hadir. Sementara bercuti. Tapi saya tidaklah bercuti panjang sehingga tahun hadapan. Cuma bercuti sehingga Awal Muharram. Kemudian bekerja semula dan cuti semula.

Bercakap tentang Awal Muharram, apa azam dan penghijrahan kita untuk tahun baru?

Tuesday, December 23, 2008

..::DIBERI BETIS MAHU PAHA::..

Sejak Oktober 2008, seluruh rakyat Malaysia menikmati kemudahan elektrik percuma bagi penggunaan RM20.00 ke bawah. Dan. Bagi penduduk Selangor yang menggunakan meter air individu juga diberikan kemudahan air percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter cubic.

Saya. Tidak dapat air percuma. Walaupun saya tinggal di Selangor. Kerana saya bukan pengguna meter individu. Saya berkongsi dengan ramai orang. Bukan sahaja meter air, malah lantai, dinding dan bumbung juga berkongsi.

Tapi, tentu sahaja saya dapat menikmati kemudahan elektrik percuma. Penggunaan elektrik saya hanya sekitar RM11.00 setiap bulan. Ternyata, saya memang pengguna bijak. Apa tidaknya, kipas angin adalah hiasan semata-mata dan hanya akan berfungsi jika saya menerima tetamu. Itu belum lagi jika saya perlu bekerja siang malam sepanjang minggu. Pasti bila balik rumah saya hanya ingat mahu tidur saja.

Saya. Tidak berapa kisah jika diberi percuma atau pun berbayar. Tapi jika sudah beri tentu saja kita terima dengan hati yang terbuka. Ha ha ha..

Dan. Kemudahan percuma yang dinikmati ini telah menjadikan kakak saya seorang yang begitu obses. Sehinggakan setiap hari dia akan memeriksa meter dan monitor penggunaan elektrik beliau. Jika diukur sehingga tarikh bil akan keluar (sekitar 11 - 13 haribulan setiap bulan), dan penggunaannya sudah hampir mencecah RM20.00, beliau akan mula mengurangkan aktiviti yang akan menggunakan tenaga elektrik. Seperti menonton TV. Lalu, dia akan habiskan masa di rumah dengan tidur.

Baru-baru ini pada satu pagi, saya terima sms daripada beliau bertanyakan sama ada saya sudah terima bil elektrik atau tidak. Dia mula risau kerana tidak pernah terima bil lewat daripada 20hb sedangkan hari itu sudah 22hb. Dan jika diukur sehingga tengah malam, penggunaan elektriknya akan melebihi RM20.00. Tidak habis pagi, petang itu dia sms lagi. Cerita tentang kerisauan. Mungkin petugas TNB sudah datang baca meter tetapi bil itu mungkin diterbangkan angin. Pada jangkaan saya ia habis di situ. Rupa-rupanya sehingga malam dia masih sms kepada saya tentang bil elektrik.

Saya. Tak ada jawapan untuk segala kerisauannya itu. Cuma saya katakan padanya, memang dia kena makan pil selepas ini kerana mengalami anxiety disorder. Dan itu adalah penyakit yang sering dialaminya.

Kadang-kadang manusia ini memang. Sudah diberi betis mahu paha pula. Sudahlah air diberi percuma. Elektrik pun dikawal-kawal penggunaan agar tidak perlu dibayar. Mujur juga Astro itu mesti bayar, tanpa syarat. Jika tidak pasti ramai berebut mahu menikmati yang percuma. Dan. Itu lah rakyat Malaysia. Umumnya.

Monday, December 22, 2008

..::TAK TERCAPAI AKALMU::..

Capaian terhadap internet sangat lemah.

Dan. Membuatkan diri saya bertambah lemah.

Apa tidaknya, pada hari Ahad saya dan kawan-kawan sejabatan berhabisan di Hari Keluarga Kementerian. Sudahlah sejak seminggu bekerja sehingga malam. Badan yang tidak cukup rehat. Kemudian dipaksa pula dengan senaman dan aktiviti sukan yang setahun sekali baru dilakukan. Memang pancit. Bangun tidur sengal-sengal badan mula terasa.

Tapi, sekurang-kurangnya hilang sebentar tekanan kerja. Ini saja peluang yang ada. Jika tidak - selagi belum tutup mata: kerja, kerja, kerja.

Lihat saja hadiah yang dibolot kumpulan kami.



Semangat yang ada dalam diri setiap kami, membuatkan kumpulan lain jadi gerun. Jadi, kami bolot hampir keseluruhan acara sukaneka. Cuma, selalunya bila ada cabutan bertuah, saya memang kurang bertuah. Ahaks..

Friday, December 19, 2008

..::PERSONALITI::..

Sebenarnya saya mencari sesuatu maklumat dalam enjin carian. Ia menemukan saya kepada ini.

Dalam psikologi, personaliti ditakrifkan sebagai himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang unik untuk seseorang dan tekal dengan masa.


* sumber:Wikipedia

Secara umumnya ciri-ciri personaliti seseorang individu dibahagikan kepada 5 sifat asas yang dikenali sebagai OCEAN iaitu:

* (O) OPENESS TO EXPERIENCE - Mempunyai sikap terbuka
* (C) CONSCIENTIOUSNESS - Mempunyai kesedaran
* (E) EXTROVENT - Bersifat sosial (suka bergaul)
* (A) AGREEABLE - Berpendapat sama (senang mencapai persetujuan)
* (N) NEUROTICISM - Bersifat neurotik (Mempunyai gangguan emosi)

Juga menemukan saya kepada laman kuiz ini. Terasa agak menarik untuk dicuba.

Lalu, ini keputusannya.

Congratulation!!
You have completed the Personality Quiz!
Your personality or temperament are based on the following scales: Introversion, Extroversion, Sensing, Feeling, Judging, Perceiving

Your personality maps as follows:
ESTJ: (E)Extroversion , (S):Sensing , (T):Thinking , (J):Judging .

This means you are more likely to be:
Life's natural administrators :Proverbial jack of all trades. Accountable, responsible, productive, results-oriented. Found in leadership positions in a cross section of professions, from law and medicine to education and engineering. When a job is to be done, a regulation established, a system implemented or an ongoing program evaluated, call on an ESTJ to manage it.


Oh, saya rasa personaliti saya seimbang. Ha ha ha.. Mungkin kerana saya bergaul dengan semua golongan yang datang dari pelbagai latar belakang bidang. Ahli keluarga saya juga memilih bidang-bidang yang berbeza. Maka sedikit sebanyak ia mempengaruhi pemikiran dan cara bertindak serta sesuatu keputusan yang diambil.

Saya juga cuba kuiz-kuiz lain yang terdapat dalam pautan laman berkenaan. Dalam salah satu kuiz, kita ditanya sekiranya kita adalah haiwan, haiwan apakah yang ingin kita jadi. Dari situ rupa-rupanya ia membawa kepada penilaian orang lain terhadap diri kita. Dan. Saya dipandang sebagai seorang yang bebas. Ha ha ha..

Apapun pada saya, seseorang itu mesti sentiasa positif. Ia adalah kunci kepada segala pengaruh dalam personaliti dan tindak tanduk kita.
..::LUNCH @ KRATHONG::..

Semalam. Saya ada urusan di sekitar Medan Mara dan Maju Junction. Kebetulan, ada seseorang telah mengajak saya untuk makan tengahari bersama-sama. Kebetulan juga, Kakitangan Awam sudah dapat gaji. Campur bonus pula. Jadi, tak kan mahu makan di Medan Selera saja, kan?

Restoran Krathong menjadi pilihan. Bagi yang tidak tahu, lokasi restoran ini ialah tapak bekas Restoran MejAku. Mungkin tidak ada 'ong', maka perniagaan tutup. Bagi yang tidak tahu lagi, ia terletak di tingkat satu, bersebelahan dengan F.O.S.

Suasana restoran itu agak nyaman sebenarnya. Cuma mungkin kerana kami datang ketika makan tengahari, jadi agak padat di situ. Hmm.. Menunya agak mengelirukan. Kerana semuanya di tulis dalam bahasa Thai. Tapi tak perlu risau, sesetengahnya ada terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

Setelah menelaah menu, ini yang kami makan. Jus buah-buahan campuran yang saya pilih memang sedap.



Sebenarnya saya tak perasan hidangan yang saya pilih itu berlaukkan ayam yang digoreng bersama rebung. Saya tak pernah makan rebung. Tapi tak apalah. Asalnya saya mahu cuba makan tapi kawan saya itu menegah. Katanya kalau saya ada penyakit gatal, tak boleh makan rebung. Oh, saya memang ada penyakit gatal (walaupun tak makan rebung). Ha ha ha..

Sambil makan pelanggan dihiburkan dengan alunan muzik yang sungguh gemalai. Ini lah pemain piano. Sungguh tekun beliau.



Kesimpulannya, makanan di sini sedap. Harga berpatutan. Suasana restoran juga agak nyaman untuk anda makan sambil bersantai-santai. Dan. Oleh kerana juruwang memberi bil sambil menyebut "bang", maka apa yang kami makan dibayar oleh abang. Ha ha ha..

Thursday, December 18, 2008

..::SAMBIL MENYELAM KITA MINUM AIR::..

Hari Isnin dan Selasa yang lepas saya ke Genting Highlands. Kota keriangan katanya. Tapi tujuan asal ke sana adalah untuk bermesyuarat. Ha ha ha.

Bayangkan berada di kota keriangan, ketika musim cuti sekolah dan hujung tahun. Lobi hotel First World seperti keadaan di terminal lapangan terbang yang ditawan. Orang ramai melaut. Tak cukup kerusi, lantai jadi tempat duduk.

Mesyuarat sebenarnya pada hari Selasa pagi. Jadi, aktiviti pada petang Isnin adalah bebas. Saya dan beberapa orang kawan memilih untuk berjalan-jalan di dalam plaza sahaja. Oh, kebetulan juga sekarang ini sedang hangat berlangsung Jualan Jimat Malaysia. Maka segala butik barangan berjenama di dalam Plaza sedang hebat mengadakan jualan. Sebagai seorang yang obsess dengan jenama, situasi ini sangat tidak baik untuk saya. Di mana ertinya jimat jika dengan senang hati duit keluar untuk bayar barang yang berkenan di hati. Percaya atau tidak ada barangan di atas sana yang tiada di butik di sini. Jadi siapa mahu lepaskan peluang. Sungguh. Bawa RM2k pun belum tentu cukup. Itu belum lagi berjudi. Eh?! Ha ha ha..

Malamnya kami berpeluang menonton persembahan Dreamz. Costume mereka sangat cantik. Tapi minit-minit terakhir persembahan saya pun hanyut dibuai dream. Ha ha ha. Penat ok. Kerana malam sebelumnya saya tidur jam 2.00 pagi sebab baca novel percuma yang saya ambil semasa MASKARA.

Persembahan Dreamz tamat jam 10.30 malam. Sebetulnya pada petang hari saya dan kawan-kawan sudah beli tiket untuk masuk ke Snow World. Kerana kekangan masa jadi kami memilih untuk masuk ke rumah salji jam 11.30 malam.



Di dalam sana suhunya ialah -8 darjah celsius. Ketika main gelongsor saya rasa seperti sudah hilang nafas. Sejuk. Tapi ok juga. Bila lagi mahu rasa. Ke negara beriklim sejuk yang sebenar entah bila berpeluang.

Sebenarnya ada banyak gambar. Tapi dalam camera kawan saya. Dan seperti biasa jika mahu tunggu gambar daripada dia, alamat tidak ada lah cerita tentang pengalaman pertama saya masuk dunia salji dan naik skyway.

Hingga itu, ini lah saja cerita saya ke Genting Highlands selepas 4 tahun tak ke sana.
..::SAAT GENTING::..

Ya! Ini lah saat paling genting dalam hidup saya. Pertama kali naik skyway. Menakutkan ok.



Lihat saja wajah saya ini. Sedang menahan ketar. Sebelah tangan kuat berpaut pada palang kerusi. Tapi tetap mahu bergambar.



Ada satu ketika kerana hujan, gondola terhenti di pertengahan. Bergoyang-goyang dibuai angin. Di bawah adalah gaung yang sangat dalam. Kawan saya yang bermulut longkang bising-bising berkata kalau jatuh maka hancurlah kami semua.

Tapi, saya rasa mahu naik lagi skyway. Mahu mencabar diri sendiri. Hmmm ada sesiapa mahu temankan saya?

Wednesday, December 17, 2008

..::TENTANG KENDURI::..

Sewaktu MASKARA ada orang tanya, bagaimana kenduri tadi. Merujuk kepada kenduri yang kebanyakan kami hadir pada siang harinya.

Hello... Apa yang kamu jangkakan tentang sesuatu majlis perkahwinan??

Tengok sajalah wajah pengantin. Kan berseri-seri tu.



Itu belum lagi aksi gedik-gedik sesama kawan baik dan meninggalkan si suami di penjuru pelamin.

Jadi, apa yang kamu jangkakan tentang sesuatu majlis perkahwinan??

Tuesday, December 16, 2008

..::TENTANG BALAK MALAYA::..

Berada dalam 'rancangan' Abang Mat Jan Bercerita. Membuatkan saya rasa seperti. Berada dalam kelas Sejarah dan Tamadun Islam.

Oh!! Ya. Saya lah perempuan cantik dalam LRT. Yang kali pertama pandang seperti Elyana. Dua kali pandang macam Rita Rudaini. Kali ketiga pandang iras Carmen Soo pula.

Tapi, hatinya telah dimiliki.

Ha ha ha

Dan. Aktiviti Post-Maskara adalah yang paling enjoy!!!

Monday, December 15, 2008

Kata orang setiap sesuatu mesti ada istilah pertama kali.

Dan. Jauh perjalanan - luas pemandangan - bertambah pengalaman.

Semalam. Saya memandu pulang dari Seremban. Sepatutnya saya keluar di Tol UPM. Pertama: Kerana memang saya tinggal di kawasan sekitar. Kedua: Kerana mahu tambah nilai Touch N Go.

Tetapi entah apa dalam fikiran, tanpa disedari saya keluar di Tol Kajang.

Bila sampai di pondok tol saya jadi keliru. Kenapa tiada pondok tambah nilai. Saya berserah. Lalu saja di lorong Touch N Go. Palang tidak bergerak. Di skrin tertera "kurang 0.65sen". Kereta lain sudah beratur di belakang. Saya bagi lampu kecemasan. Petugas tol datang. Bayar baki yang kurang. Sambil tanya perihal pondok tambah nilai. Dan waktu itu baru sedar yang saya sudah tersilap exit. Otak ligat mencerna kenapa kesilapan ini berlaku.

Kata orang setiap sesuatu mesti ada istilah pertama kali. Dan. Jauh perjalanan - luas pemandangan - bertambah pengalaman.

Friday, December 12, 2008

Peluk aku jangan pernah Kau biarkan ku terlupa pada Mu
Kasih ku tempat ku mengadu
Takkan ada cinta yang bisa sempurna
Selain kepada Mu, kepada Mu


Saya. Tinggal di kawasan bendang.

Sewaktu pulang sempena Aidilfitri yang lalu, bendang baru selesai diserak.

Sepatutnya selepas dua bulan, kepulangan saya harus disambut dengan kehijauan anak pokok padi. Bak hamparan permaidani.

Tapi yang ada hanya pemandangan sebaliknya. Bendang tidak menjadi. Majoriti. Padi tumbuh tidak sekata. Kekuningan. Bertompok-tompok. Ancaman tikus. Ulat. Dan segala makhluk perosak.

Kata emak itu bala yang diturunkan oleh Allah. Ia membuatkan saya terfikir sejenak.

Sudahkan kita membayar zakat?

Thursday, December 11, 2008

..::LUPA::..

Saya.

Terlupa. Hari ini.

Hari Khamis.

Tuesday, December 09, 2008

..::RAYA YANG PANAS SAMPAI KE PETANG::..

Alhamdulillah, hari ini cuaca baik. Sangat baik. Bolehlah saya keluar berhari raya.

Ateh datang ajak pergi kenduri doa selamat. Kawannya masuk rumah baru. Di Taman Ilmu sebelah USM Transkrian. Saya tak tahu di mana taman itu. Jadi saya tanya Posmen. Terima kasih Abang Posmen.

Lepas Zohor di masjid saya pergi rumah Pak Lang (adik mak). Sebenarnya Pak Lang baru menginggal dunia pagi Ahad. Kerana saya balik lambat dan singgah di Ipoh pada hari Ahad, jadi saya ambil keputusan untuk ziarah Mak Lang dan keluarga pada hari raya. Kali terakhir saya jumpa Arwah Pak Lang pada Aidilfitri yang lepas. Mak kata, Mak Lang mesti rasa macam apa yang mak rasa dulu. Anak-anak pun sama. Kehilangan orang tersayang, tempat bergantung secara mengejut. Macam arwah ayah juga, cerita Mak Lang, Arwah Pak Lang sempat menjadi saksi pernikahan pada sebelah petang, dan mengimamkan solat Isya' pada malam hari. Semoga Mak Lang tabah dan sepupu-sepupu saya juga begitu.

Balik dari rumah Mak Lang saya singgah sebuah lagi rumah. Ini rumah mertua Arwah bekas boss saya. Sudah lama makcik dan pakcik ni jemput saya datang. Sejak pertama kali jumpa sewaktu majlis Tahlil setahun yang lalu. Cuma, saya saja yang tak berkesempatan. Kebetulan, pakcik ni kawan arwah ayah saya. Juga kenal dengan abang ipar dan kakak saya kerana selalu jumpa di masjid.

Pulang ke kampung kali ini walaupun saya cuma pergi ziarah 2 - 3 buah rumah, tapi saya rasakan ia cukup bermakna.

Monday, December 08, 2008

..::RAYA YANG HUJAN TURUN SEHARIAN::..

Masih seperti biasa. Saya adalah penghuni tetap yang balik kampung setiap kali hari raya menjelang. Selain tu ada Kimi, Miza dan Hanany yang merangam saja.

Hujan sekejap-sekejap. Kadangkala lebat. Pintu tertutup. Dan.....

Tidur sampai menjelang Zohor.

Apakah itu makna pengorbanan?

Friday, December 05, 2008

..::SIRI MAKAN-MAKAN::..

Ini kuih tradisional yang sangat sedap.



Tapi awas.
Anda mungkin akan terkena diabetes.
Jika makan terlalu banyak dalam jangka masa berterusan.
..::PENGAKUAN::..

Ada. Seorang lelaki. Buat pengakuan kepada saya.

Katanya. Sayalah perempuan pertama.

Yang berbual secara 'gua' - 'lu' dengan dia.

Habis tu? Tak 'kacip' ke?

Ha ha ha..

Thursday, December 04, 2008

Serbaguna


Serbaguna
Originally uploaded by madulebah
Subjek ini saya curi-curi rakam. Lokasi tingkat 1 apartment tempat tinggal saya. Katanya "Untuk Sembahyang Sahaja". Apa fungsi sebenar, tidak pula saya ketahui.

Tapi. Itu ialah sebuah pelapik pasu yang diterbalikkan dan menutup sebuah pasu seramik.

Hmmm agaknya tuan rumah tahu isi hati saya yang pernah terfikir mahu ambil pasu terbiar itu. Ha ha ha..

Alhamdulillah saya bukan pencuri. Dalam erti kata sebenar. Eeerr curi rakam gambar tak salah, kan?

Wednesday, December 03, 2008

..::HATI YANG TELAH DIKISAR JADI MILKSHAKE::..

Apa yang kamu jangkakan?

-----------

Saya terpandang sekali imbas satu kad jemputan di papan kenyataan.

Eh!!?? Kenapa dia tak jemput saya pun. Personally.

-----------

Selepas kamu 'tolak' dia. Kamu harap dia mahu jemput kamu ke majlis perkahwinannya?

Apa yang kamu jangkakan?

Tuesday, December 02, 2008

walau kita dihadapkan dengan pelbagai pilihan
mengapa sering terjadi pilihan tak menepati
hingga amat menakutkan menghadapi masa depan
seolah telah terhapus sebuah kehidupan yang kudus


Seorang lelaki yang 'clean' tanya apa yang saya suka pada seorang lelaki. Apa perlakuan lelaki yang boleh membuatkan saya jatuh cinta. Dan apakah perkara yang mungkin membuatkan saya 'berpaling'.

Kalau saya ada 'balak' lah. Katanya lagi.

Jadi. Ini yang saya suka. Secara umumnya.

1. Tulisan mesti cantik. Oh, sila jangan ikut perangai saya. Saya pernah reject seorang lelaki kerana tulisannya tak cantik. Ha ha ha.

2. Pandai bergaya. Maksudnya pakaian yang bagaimana mahu digayakan mengikut kesesuaian tempat, majlis dan keadaan. Tak perlu saya beritahu kena pakai itu, tak boleh pakai ini.

3. Suara sedap. Sedap di telinga saya tak semestinya sedap di telinga orang lain kan? Begitulah sebaliknya.

4. Mesti ada sense of humor. Ini sangat penting untuk menceriakan hidup saya. Dan saya juga adalah seorang yang sangat emosi. Kalau saya sedang berdrama dan menangis-nangis tapi dia mampu buat saya ketawa, itu memang bonus.

5. Body mesti mantap. Eerrr perlukah sebab kenapa? Ha ha ha.. sila jangan ikut perangai saya ini.

6. Pandai main alat muzik. Paling biasa ialah gitar, kan?

7. Minat sukan. Saya peminat sukan. Jadi kalau dia tak minat, siapa mahu temankan saya tengok sukan dan bercerita tentang sukan.

Dan yang paling penting.

8. Menjaga solat 5 waktu.

9. Pandai baca Al-Quran.

10. Boleh Azan.

"semua perempuan pun fikir macam ni aku rasa" kata lelaki 'clean'.

Mungkin.

Seorang kawan pernah minta saya semak semula kriteria yang disenaraikan. Terlalu tinggi jangkaannya?

Dan. Apa yang kita nak tak semestinya itu yang kita dapat. Semua sudah diaturNya.

Monday, December 01, 2008

..::KENAPA?::..

Ada orang tanya saya.

"Kenapa belum kahwin?"

Ha ha ha.. Soalan itu agak lucu pada pendengaran saya.

Kenapa ya?

Saya tak ada jawapan.