Friday, June 25, 2010

..::MASA MERUBAH SEGALANYA::..

Sekejap sahaja hari ni sudah Jumaat kembali. Hmmm..

Sepatutnya sekarang saya sudah bersedia dengan senarai semak. Barang-barang keperluan saya dan bayi. Tapi saya tak buat pun lagi. Sangat bukan saya yang sebenar. Oh, kadang-kadang masa merubah segalanya. Cuma sepatutnya ia perubahan ke arah yang lebih baik.

Semalam saya hadir satu program Wacana Integriti. Saya tawarkan diri. Sebab saya memang suka pergi dengar ceramah segala. Bukan selalu nak dapat peluang. Kebetulan tajuk menarik. Lagipun ini lah juga masanya dekatkan diri dengan perkara yang lebih berfaedah agar bayi juga menerima kesan yang positif.

Sejak akhir-akhir ni saya jatuh cinta dengan Maher Zain. Tak kenal siapa dia? Sila gunakan enjin carian anda.

Sampai jumpa lagi bila saya rasa mahu kemaskini blog. (owh baru terperasan, semua perkataan pertama perenggan saya dimulakan dengan huruf S)

Tuesday, June 22, 2010

..::BLUP BLUP::..

Perut saya sekejap-sekejap rasa "blup blup". Masuk angin ke? Rasanya tak.

Masa pemeriksaan bulanan pada minggu ke 19 yang lepas, Doktor tanya sama ada saya sudah rasa tendangan bayi. Entah lah. Mungkin saya tak tahu bagaimana rasanya atau perasaannya.

Tapi sejak 2 hari ni perut saya sekejap-sekejap rasa "blup blup". Adakah itu tanda bayi menendang?

Ada sesiapa mahu kongsi pengalaman.

Monday, June 21, 2010

..::SAYANG ISTERI TINGGAL-TINGGALKAN::..

......

Rupa-rupanya beginilah perasaannya bila berjauhan dengan suami.

Dan saya kagum dengan kawan yang suami kena offshore 6 bulan tanpa dapat berhubung pun. Juga kawan yang baru mendirikan rumahtangga, tinggal berasingan dengan suami kemudian bila disahkan hamil suami pula kena pergi Dubai bertahun-tahun.

Jadi, sabar sajalah sekadar suami berada 5 hari di seberang tambak.

Friday, June 18, 2010

..::STATUS TERKINI::..

Dear friends and readers,

Di hari Jumaat yang mulia ini saya mahu berkongsi pengalaman yang indah.

I'm currently 20 weeks. Dan alhamdulillah saya sihat tanpa alahan sepanjang tempoh ini.

Ok. Itu saja :)

Tuesday, June 15, 2010

..::SEBELUM DAN SELEPAS::..

Sebelum nikah dulu kan, saya selalu sangat diserang tekanan darah rendah. Sekejap-sekejap kena pegi jumpa doktor. Dah tak larat jumpa doktor, pergi farmasi pula cari ubat. Sampaikan doktor suruh saya buat ujian darah untuk pemeriksaan yang lebih teliti. Tapi saya tak buat pun ujian darah. Ngeri.

Bila sebut pasal tekanan darah rendah, semua orang kata ia berkaitan dengan pemakanan. Kurang makan macam kawan-kawan saya cakap. Mungkin juga kot sebab dulu saya ala-ala diet nak muat pakai baju saiz XS atau S saja. Dalam tempoh 2 minggu ada la 2 - 3 kali jamah nasi. Malam memang tak makan berat. Ratah buah dengan minum oat saja.

Itu cerita sebelum nikah.

Selepas nikah semuanya berubah sekelip mata. Alhamdulillah tekanan darah saya sangat normal. Tidak rendah apatah lagi tekanan darah tinggi. Malahan makan pun sudah tidak dikawal-kawal lagi. Dan jangan harap lah untuk muat dengan pakaian saiz XS.

Oh, sila abaikan perkara-perkara lain. Perkara utama yang saya mahu ceritakan ialah ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Hikmah pernikahan, kesihatan saya bertambah baik. Alhamdulillah semoga ia terus berkekalan.

Thursday, June 10, 2010

..::PADA TITIS-TITIS HUJAN::..



pada titis-titis hujan
yang berserakan
lenyapkan segala kedukaan
agar bersinar kebahagiaan
di penghujung pengharapan

Wednesday, June 09, 2010

..::PERCUTIAN BAJET I::..

Dah lama saya tak menulis secara biasa. Dalam erti kata yang sebenarnya, dah lama saya tak update blog. He he he

Ini cerita lama masa cuti sempena Hari Wesak tempohari. Saya dan suami telah merancang untuk berjalan-jalan ke selatan ala-ala backpacking. Saya sebut ala-ala sebab kami tidur hotel. Tapi yang lain semua guna pengangkutan awam. Dan jalan-jalan ikut haluan sendiri berdasarkan peta tanpa ada itinerary. Gamble sungguh.

Perjalanan bermula di pagi hari dengan menaiki teksi dari rumah ke Terminal Bas Bukit Jalil. Dan tentulah sambung perjalanan naik bas dari Bukit Jalil ke Larkin. Kami pilih untuk naik bas 2 tingkat sebab ada kemudahan tandas di dalamnya. Dan ada kantin juga. Kalau ikutkan katanya bas ni tak berhenti pun, tapi bas berhenti juga selama 5 minit di RnR Yong Peng untuk buang sampah, dan pemandu serta cabin crew nak hisap rokok. Ada satu kejadian di sini. Lepas 5 minit rehat bas pun meneruskan perjalanan. Tiba-tiba datang PLUS ronda memintas bas. Cuak juga lah mula-mula tuh. Ada salah apa-apa ke. Tapi rupa-rupanya ada sorang penumpang tertinggal di RnR tadi. Terus semua macam gelak-gelak dengan situasi tu.

Sampai di Larkin selepas 4 jam perjalanan. Jalan-jalan survey transport di terminal Larkin kemudian kami pekena murtabak. Tetapi menurut sumber yang berada di Johor, murtabak di Plaza Larkin lagi best. Selain daripada tu lain-lain makanan seperti mee rebus, kacang, pol, mee bandung dan laksa Johor juga dikatakan pilihan makanan yang best di Plaza Larkin. Plaza Larkin ni terletak berhadapan dengan terminal bas Larkin dan ada jambatan yang menyambung 2 bangunan ini. Tapi kami dah tak berdaya nak berjalan-jalan. Teringat nak baring saja.

Habis makan terus cari teksi pergi hotel. Kami menginap di Mutiara Hotel JB. Tak jauh pun. Lagipun teksi lalu jalan pintas. Masa tengah nak check in ni lah saya dapat panggilan telefon daripada adik beritahu Paksu meninggal dunia.

Dah selesai pot pet di kaunter, pihak hotel pun bagi kami bilik. Kalau ikutkan bilik superior dengan satu katil besar. Tapi pihak hotel bagi bilik dengan 2 katil. Belasah je lah.




Ini rupa paras bilik yang diberi. Oh saya lagi suka bilik di hotel Grand Seasons KL tempohari. Nanti rajin saya tulis cerita basi tu.

Elok je masuk bilik hujan pun turun. Jadi apa lagi, landing time!!! Babai. Nanti saya sambung cerita selepas segala penat lelah hilang. Dan sudah bersedia untuk perjalanan seterusnya.

Sunday, June 06, 2010

..::HATI YANG RETAK::..

Cermin kereta terkena batu

Bagaimana retaknya cermin itu

Begitu jugalah retaknya hati saya :(

Mujur..



ia diinsuranskan.

Monday, May 31, 2010

..::MATI ADALAH PASTI.. HIDUP INSYA'ALLAH::..

Kita mulakan entry ini dengan bacaan Al-Fatihah. Dan sedekahkan kepada roh mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Saya sekeluarga masih dalam keadaan terkejut. Mungkin lebih-lebih lagi emak saya. Belum pun reda kesan kehilangan emak saudara awal tahun lalu, Jumaat lepas kami dikejutkan dengan satu lagi kehilangan. Adik bongsu emak iaitu Paksu Saufi pergi mengadap Pencipta.

Ketika berita di terima, saya berada nun jauh di selatan tanah air. Hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kata adik saya, jenazah akan disempurnakan di Sungai Buloh kemudian terus di bawa balik ke kampung untuk pengkebumian.


ini gambar yang diambil dari Facebook adik saya


Arwah pergi dalam usia yang muda. Meninggalkan seorang isteri serta anak-anak yang masih kecil. Yang mungkin belum mengerti apa-apa.


yang saya bulatkan tu ialah Arwah dan ahli keluarga. Gambar sewaktu majlis bertandang ke Negeri Sembilan. Kata sepupu saya, kenduri mana yang paksu tak pergi?


Merenung segala yang berlaku, ia adalah ketentuanNya. Allah berhak mengambil nyawa yang dipinjamkan pada bila-bila yang Dia mahu. Sebagai hamba yang masih diberi nikmat hidup di dunia, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk meningkatkan segala amalan dan bekalan untuk bertemu denganNya.

Al-Fatihah.

Wednesday, May 19, 2010

..::ALLAH BAYAR TUNAI::..

Kakak saya selalu pesan. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Tetapi, kunci pintu syurga bagi seorang isteri itu ada pada suami. Dan baru-baru ni pun saya ada berbual dengan seorang kawan yang selalu bagi nasihat dan hadiahkan saya buku best masa wedding dulu. Kawan saya kata wanita ni sangat mudah untuk masuk Syurga. Hanya dengan taat kepada suami (selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak lah kan). Taat itu subjektif tetapi ia wajib.

Saya mahu berkongsi sesuatu. Yang saya rasa ia balasan Allah kepada saya. Walaupun tidak lah sampai tahap derhaka, tetapi kerana merasakan Allah sayang kepada saya, jadi salah sedikit terus diberiNya balasan. Agar saya tidak terus lalai.

Sudah 2 hari suami hantar dan jemput saya pergi kerja. Kebetulan dia ada urusan di KL. Rutinnya, bila suami yang memandu sampai di rumah saya akan buka pintu pagar. Kalau saya yang memandu suami pula yang akan buka pintu pagar. Ya, pagar rumah kami bukan pagar automatik.

Semalam hari hujan. Lebat juga lah. Bila sampai rumah saya teragak-agak nak keluar lalu minta payung daripada suami. Tapi suami tukar mode gear kepada P dan minta kunci daripada saya. Ok ini tak patut. Lalu saya pun turun buka pagar. Masa nak tutup pagar kaki saya tersangkut. Sakit Allah saja yang tahu. Saya diamkan saja dan tahan sakit. Suami pun tak tahu kaki saya sangkut pagar.

Sebenarnya sebelum tu dalam perjalanan ada sedikit konflik bila suami tanya jalan mana nak lalu. KL ni bila hujan lebat tak boleh tidak mesti sesak. Dengan banjir kilat dengan itu dengan ini semua ada. Saya pula sebenarnya tak suka berada dalam situasi begitu. Sebab nanti bila jalan yang saya pilih tu sesak, saya rasa bersalah dan bila jalan yang dipilih orang lain tu yang sesak saya akan menyalahkan pula. Macam dulu pernah saya salahkan diri sendiri sepanjang perjalanan balik rumah bila entah kenapa pergi lalu depan Puduraya masa hujan lebat yang rupa-rupanya ada banjir kilat di situ.

Jadi bila suami tanya, saya jawab lebih kurang. Sesuatu yang sangat tidak baik. Dan terus lepas tu sepanjang perjalanan 33km senyap sunyi hanya bertemankan bunyi radio. Stress dan terus dihambat rasa bersalah. Mengantuk dan nak tidur pun terpaksa tahan. Pada tangan yang lain saya nak cuba salahkan hormon. Tapi itu lah perempuan selalu saja salahkan hormon bila berperangai emosi. Bila kaki tersangkut pagar dan lebam saya tak jadi nak salahkan hormon. Terbayang-bayang dosa derhaka dengan suami. Nanti Allah dan Malaikat laknat saya.

Entah lah. Ini apa yang saya cuba kongsi. Sesuatu yang ternyata salah pasti ada balasannya. Saya masih baru dalam alam rumahtangga. Tahun pertama hingga ke 5 tu selalu disebut-sebut sebagai tempoh berkenalan dan menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Perbanyakkan doa. Jaga tingkah laku dan sentiasa dekatkan diri dengan Pencipta. Ada banyak perkara yang patut disyukuri, jadi kenapa saya perlu meminta yang lebih.

Monday, May 10, 2010

..::SAYA DILANGGAR BAS::..

Tak rajin mahu cerita panjang.

Dan. Dipendekkan cerita, hari Jumaat lepas sedang kereta saya berhenti (dengan brek tangan ditarik) dalam kesesakan jalan raya di hadapan Bangunan Sinar Kota tiba-tiba sebuah bas persiaran yang berada di belakang telah melanggar kereta saya.

Bagai luruh jantung menyirap darah ke seluruh wajah dan membuak-buak perasaan marah. Elok saya mahu keluar daripada kereta, pemandu bas lebih dahulu datang dan hulur kad perniagaan minta saya telefon syarikatnya. Tapi sempat juga saya hamburkan kemarahan kenapa dia boleh langgar saya. Alasannya brek tangan tak kuat. Saya marah lagi kerana dia membontoti kereta saya terlalu rapat. Tanpa menjawab amarah saya, pemandu berkenaan terus masuk ke dalam bas.

Saya masih marah, masih mengeletar dan mula menangis. Hey itu tindak balas biasa. Telefon suami. Suami cakap kalau kereta boleh gerak, balik rumah dulu. Apa-apa hal selesaikan kemudian. Saya pun pandu kereta sambil menangis sambil terfikir-fikir apa jadi dengan kereta saya. Sebab saya tak pergi jenguk pun.

Tadi kata tak mahu cerita panjang kan. Sedangkan sekarang sudah 4 perenggan. He he he.

Sampai di rumah, suami buka pintu dan pergi tengok keadaan kereta. Saya masih di dalam kereta. Hati belum cukup tenang. Lepas tengok kereta, suami terus masuk rumah dan sambung tonton tv. Tindak balas suami buat saya rasa nak marah semula. Sabar kan hati dan keluar. Pergi jenguk belakang kereta. Dan masuk rumah.

Suami pandang dan saya sengih-sengih. Patutlah tindak balas biasa saja sebab kereta cuma calar di bumper dan kemik sedikit di bonet. Tidak lah luruh atau rongak bumper seperti yang saya bayangkan. Tak sangka kuat juga CLK saya sebab impak perlanggaran tu lampu bas berkenaan tercabut.

Cuma apa yang berlaku sebenarnya sering menjadi kebimbangan saya selama ini. Berulang alik dari rumah ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya dalam jarak yang begitu jauh. Melalui jalan-jalan yang dipenuhi kenderaan besar dan berat. Setiap kali ada bas atau lori besar berada di belakang kereta saya memang risau. Segala macam kemungkinan mula bermain dalam fikiran. Kadang-kadang kita sudah memandu dengan begitu berhemah dan berhati-hati tapi ada pihak lain pula yang cuai. Sesuatu yang di luar jangkaan kita.

Semuanya adalah qada' dan qadar Allah dan kita sebagai hambaNya wajib percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Friday, May 07, 2010

..::SUP::..

Tadi saya beli soto.

Sewaktu mahu tuang kuah sup ke dalam mangkuk, plastik sup yang panas itu terkelepet dan sup tertumpah ke atas riba saya.

Cepat saja sup meresap. Panas di paha terasa. Mujur pengawalan tindak balas saya bagus. Ha ha ha. Kalau tidak mungkin plastik sup di tangan sudah dicampak.

Dan. Walaupun selepas dicuci, saya masih berbau sup.

..::MENCARI YUSUF::..

Siapa tahu di mana atau dari mana saya boleh jumpa ini?




Sebab selalunya dia cuma keluar pada bulan Ramadhan saja.

Thursday, May 06, 2010

..::HABIS CARA::..

Kehidupan seperti biasa. Sibuk. Alasan tidak kemaskini blog dalam tempoh yang lama.

Minggu lepas saya asyik pergi kursus. Maklum sajalah bila bulan April menjelang pelbagai aktiviti diatur untuk meraikan setiausaha. Tahun ini saya ambil peluang untuk hadir kursus. Dirasakan lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan menghadiri luncheon. Tapi siapa yang hadir luncheon tu jangan pula kecil hati. Terpulang kepada diri dan majikan masing-masing.

Memandangkan saya sangat susah untuk dapat peluang berkursus jadi bila ada ambillah kesempatan. Dan kakitangan Kerajaan mesti memenuhi kuota 7 hari berkursus dalam setahun. Kalau lihat 7 hari tu macam sikit dan mudah saja nak cukupkan dalam masa setahun. Tapi sila percaya bahawa sudah 2 tahun kuota kursus saya tak cukup. Percuma saja hilang markah di situ.

Ini pula tentang blog. Saya sudah habis ikhtiar untuk tukar font di sidebar seperti font yang saya mahu. Cuma satu bahagian yang berhasil. Yang lain kekal seperti asal. Atau sebenarnya mungkin saya kena guna template yang ada 2 column saja? Ini sajalah mahu guna multiple column untuk sidebar. Sudahnya jadi caca-marba. (eh macam ada ritma di situ).

Dalam hal yang lain, hmmm sekejap saja sudah bulan Mei.

Thursday, April 29, 2010

..::BERJAYA!!::..

Yeay!!!

Saya berjaya buat. Rupa-rupanya ada silap sikit dengan percubaan sebelum ni. Patutlah tak menjadi. Biasa lah orang pengurusan pejabat nak baca coding.

Kawan saya kata besar sangat. Orang buta pun boleh nampak bila baca. He he he.

Memang pun. Saya tahu tu. Nanti saya tukar tulisan lain dan reduce saiz.

Tapi, nanti tu mungkin bulan depan.

Friday, April 23, 2010

..::MULA::..

Saya mahu kemas meja kerja.

Tapi tak tahu mahu mula dari mana.

Thursday, April 22, 2010

..::SERABUT::..

Ini meja kerja saya.


Sebenarnya meja kerja saya tak pernah seserabut itu. Tapi sejak beberapa minggu kebelakangan ni keadaan semacam sukar untuk dikawal. Macam-macam hal. Tekanan sana sini. Sudahnya, biar kau di sana.

Keserabutan begini juga membuatkan saya tidak berselera mahu kemaskini blog. Walaupun dalam entry sebelum ni kononnya seperti berkobar-kobar saja.

Oh, tapi dalam serabut sempat juga saya tukar-tukar cat rumah ni. Di rumah sendiri pun kalau tidak setahun sekali tukar cat, paling kurang mesti langsir akan berganti. Begitu juga dalam kehidupan seharian. Perlu ada perubahan. Tapi rumah baru masih belum siap dikemaskini. Link akan saya letak dari semasa ke semasa.

Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok menjanjikan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. InsyaAllah.

Friday, April 16, 2010

..::DENGGI MEMBUNUH::..

Beberapa minggu yang lepas negara dikejutkan dengan kehilangan Arwah Din Beramboi yang disyaki dijangkiti denggi. Walaupun ada beberapa cerita yang mengatakan arwah terkena virus kencing tikus. Wallahu'alam.

Pagi tadi terjaga daripada tidur saya ternampak ada SMS di telefon. SMS daripada kawan saya sewaktu di sekolah menengah. Memaklumkan seorang rakan telah meninggal dunia akibat serangan denggi.

Saya ingat-ingat lupa siapakah arwah memandangkan saya hanya bersekolah di situ sehingga tingkatan 3 dan kami juga berada dalam kelas yang berlainan. Lalu pagi ini saya buka laman Facebook. Dari rangkaian kawan lain juga mesej yang ditinggalkan oleh seorang rakan di 'dinding' saya buka laman Facebook arwah. Dari situ baru saya tahu arwah juga meninggal dunia bersama kandungan sulung yang berusia 8 bulan. Sedih bila mengenangkannya.

Denggi dan nyamuk aedes dianggap sebagai 'musuh dalam selimut'. Dalam akhbar semalam saya terbaca pernyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan bahawa demam denggi ini boleh dilabelkan sebagai virus 'bijak' berikutan kehadirannya dalam sistem darah manusia tidak menunjukkan sebarang gejala yang sama. Jadi sekiranya mengalami simtom yang berkaitan cepat-cepat dapatkan rawatan doktor agar pencegahan awal dapat dibuat. Mudah-mudahan kita juga mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di sekeliling.

Al-Fatihah untuk arwah Zamzarina dan anak sulung beliau. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para solihin. Dan semoga suami serta keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini.

Thursday, April 15, 2010

..::PENDEDAHAN BERANI::..

Tiba-tiba hari ini saya mahu menulis blog. Bukan itu saja, malah mahu membuat pendedahan berani. Pendedahan tentang tabiat atau kegemaran saya. Yang mungkin boleh dianggap agak pelik.

Saya. Suka menyimpan wang kertas yang baru. Yang belum hilang baunya. Tidak kira berapa nilai, jika dapat memang saya akan simpan. Selagi mana boleh saya simpan tanpa menggunakannya, ia tetap akan berada di dalam dompet saya.

(mampus lah kalau perompak atau peragut baca blog saya ni.. aiyooo)


Jika terpaksa juga untuk gunakan duit berkenaan, sebelum hulur duit saya akan cium-cuim dulu duit tu. Sayang mahu berpisah. Saya pernah buat begitu depan abang jual ayam di pasar malam. Tergelak-gelak abang tu. Mesti dia rasa saya tak berapa betul. Ok peduli apa saya. Ha ha ha

Selain daripada itu, saya juga sorang yang menabung secara konsisten. Tapi ini bukan tabiat pelik kan. Ini satu tabiat yang baik. Dan saya menyeru pembaca sekalian, marilah kita menabung. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Tapi bila sudah membukit jangan pula ditarah.

Sekian pesanan ibu untuk hari ini :)

Tuesday, April 13, 2010

..::SEKEJAP LAH::..

Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sedang dalam proses pengubahsuaian. Juga sedang dalam proses penstabilan. Harap-harap lepas tukar skin saya akan kembali rajin menulis blog sehingga mampu menjana pendapatan melalui penulisan blog.

Sampai jumpa lagi.