Wednesday, July 28, 2010

..::JANTUNG TERBAKAR::..

Entry dimulakan dengan ucapan tahniah kepada kakak saya yang telah selamat melahirkan anak yang ke-6 malam tadi. Anak perempuan ke-5 yang diberi nama Munira (kalau tak salah saya).

Orang dah selalu dan biasa sangat bersalin, tak ada apa-apa yang dirisaukan. Jam 7.05 malam Kak An telefon saya beritahu air ketuban dah dipecahkan dan minta saya ke hospital sekadar untuk menjenguk anak-anaknya yang lain. Saya pula masa tu masih lagi dalam perjalanan balik dan rasa tak berapa sihat. Hampir jam 9.30 malam sekali lagi Kak An telefon beritahu dia sudah selamat bersalin. Suara tak macam orang baru lepas bersalin pun. Ha ha ha. Apa pun tahniah sekali lagi.

Ok ini pula cerita yang berkaitan dengan tajuk.

Heartburn dikatakan perkara yang sering berlaku kepada wanita hamil. Dan sebenarnya baru semalam saya berbual-bual dengan Amyz tentang heartburn.

Menurut wikipedia

Heartburn, also known as pyrosis[1] or acid indigestion[2] is a burning sensation[3] in the chest, just behind the breastbone or in the epigastrium.[4] The pain often rises in the chest and may radiate to the neck, throat, or angle of the jaw.

Heartburn is usually associated with regurgitation of gastric acid (gastric reflux) being the major symptom of gastroesophageal reflux disease (GERD).[5] It however may also be a symptom of ischemic heart disease so concluding that it is heartburn prematurely may lead to misdiagnosis.


Di dalam heartburn.about pula menyatakan bahawa

Heartburn during pregnancy occurs for a number of reasons. Increased levels of hormones in your body while pregnant can soften the ligaments that normally keep the lower esophageal sphincter (LES) tightly closed. If the LES relaxes at inappropriate times, food and stomach acids can reflux back up into your esophagus and throat. Also more pressure is put on your stomach as your body changes and your baby grows. This, in turn, can force stomach contents through the LES and into your esophagus.


Dan, semalam saya mengalami kebakaran jantung yang agak teruk. Bukan kerana saya tidak makan dan membiarkan perut kosong, tetapi lebih kepada TERsalah pilih makanan. Kerana menurut heartburn.about lagi,

Don't eat foods that are known heartburn triggers. These include chocolate, citrus fruits and juices, tomatoes and tomato-based products, mustard, vinegar, mint products, and spicy, highly seasoned, fried, and fatty foods.


Apa yang saya makan? Pagi saya makan nasi lemak dengan sambal ikan bilis. Pedas. Sela waktu sebelum tengahari saya makan karipap kentang, karipap sardin dan popia. Tengahari pula saya makan bihun sup daging yang mula-mula saya rasa tak begitu pedas dan saya tambah dan tambah cili kicap sehingga terasa pedas. Bila pedas bercampur dengan panas jawapannya terbakarlah perut saya.

Waktu solat Zohor saya hampir-hampir termuntah, tapi saya 'telan' semula lalu menyebabkan tekak dan esophagus saya terasa sangat perit. Minum air kosong banyak-banyak untuk bertahan. Saya juga makan rambutan dengan alasan mahu legakan perit di tekak. Balik kerja singgah solat di Petronas, saya muntah lagi. Tapi sikit-sikit saja dan tekak rasa semakin perit.

Sebelum balik rumah, saya suami isteri singgah untuk makan malam di Ani Sup Utara. Saya minum jus tembikai dan minta bubur nasi. Mungkin sudah nasib saya, bubur yang datang sudah siap dicampur dengan sambal. Mahu tak mahu terpaksa juga makan perlahan-lahan. Sekali lagi panas dan pedas bercampur di dalam perut saya.

Jangkaan saya dapat bertahan meleset. Keluar saja dari kedai, saya terus memuntahkan jus tembikai di tengah-tengah jalan. Kemudian saya muntah lagi di tepi longkang (sebab longkang sedang dalam pembinaan). Muntah yang sangat banyak macam Que Haidar dalam filem Rock. Habis keluar apa yang baru saya makan. Ruginya.

Dalam perjalanan balik rumah saya bertahan dengan plastik di tangan. Memang cari nahas kalau termuntah dalam kereta. Sampai saja depan pagar, buka pintu kereta sekali lagi saya muntah. Mujur. Cepat-cepat buka pagar, tutup dan buka pintu rumah. Tak sempat masuk dalam saya cari longkang untuk muntah lagi. Masih banyak macam Que Haidar dalam filem Rock. Dan kali ni lebih teruk sampai saya rasa lemas, kembang kepala macam terbakar dan nak pecah. Exaggerate? Ha ha ha.. Tak tahu lah nak kata sebab itu yang saya rasa.

Ok cukuplah cerita saya tentang muntah. He he he. Sambung semula tentang jantung terbakar dan cara-cara menghindarinya. Ini juga saya ambil dari laman heartburn.about dan telah diterjemahkan dalam perkataan yang mudah dan ringkas. Di antaranya ialah:

* Elakkan makan dalam kuantiti yang banyak sebaliknya makan sedikit tetapi kerap;

* Jangan makan dengan tergesa-gesa. Ambil masa dan kunyah makanan sehingga lumat;

* Penting untuk minum banyak air iaitu 8 - 10 gelas sehari. Jangan minum hanya ketika waktu makan. Minum sepanjang hari dan minum juga sedikit di antara sela suapan makanan anda;

* Tidur dengan posisi kepala dan bahu yang betul di atas bantal yang tinggi sedikit untuk membantu asid perut kembali ke tempat yang sepatutnya;

* Pakai pakaian yang longgar dan selesa. Elakkan pakaian ketat di bahagian pinggang dan perut;

* Duduk secara tegak di kerusi yang selesa daripada duduk secara membongkok.

Cukup dulu entry panjang lebar saya. Untuk maklumat lanjut boleh cari di enjin carian. Ada banyak laman web yang memberi tips untuk kita menjalani kehidupan seharian secara sihat dan selesa.

Tuesday, July 27, 2010

..::DAG DIG DUG::..

Itu bukan bunyi getaran jiwa yang berdangdut. Sebaliknya itu yang dirasakan setiap kali bayi dalam kandungan bergerak dan menendang.

Pergerakannya sampai berombak-ombak perut. Geli. Dan saya rasa kalau dirakam kemudian gunakan teknik slow motion, mesti nampak jelas.

Bayi ni giat bergerak terutama sekali bila waktu saya makan. Suka agaknya dapat makan. Kalau saya tengok TV pun dia bergerak-gerak juga. Alhamdulillah, waktu saya tidur, bayi pun saya rasa tidur juga sebab tak pula saya rasa pergerakannya. Eeerrr ke saya yang tidur mati? he he he..

Owh, bayi saya sudah mahu berkomunikasi dengan bapanya walaupun kadang-kadang masih main sembunyi-sembunyi :)

How time flies...

Friday, July 23, 2010

..::BILA BESAR NANTI MAHU KERJA APA::..

Ini anak saudara saya yang ke 29. Umur 3 tahun lebih. Sangat bijak dan sangat petah bercakap. Bukan sahaja boleh bercakap dalam bahasa Melayu biasa, dia juga petah bercakap dalam loghat Pulau Pinang pekat. Dan jangan terkejut jika dengar dia bertutur dalam bahasa Banjar. Sangat petah. Geram pun ada.



Pada suatu hari kakak saya iaitu Umminya bertanya;

"bila besar nanti adik nak kerja apa?"

"Kerjaaa-samaaaaaa!!"

Heh!! Itu pengaruh tv yang baik atau tidak?

Thursday, July 22, 2010

..::DINNER MUHIBBAH::..

Kejadian ini adalah sama hari dengan kejadian di parking IJN dan entry makan di Lanai sebelum ini.

Dan ia masih cerita tentang makan.

Lepas balik dari IJN, saya dengan suami terus shoot ke TTDI. Asalnya mahu makan-makan dengan kakak saya sekeluarga di kawasan sekitar IJN. Tapi tiba-tiba dia teringat yang anak daranya ditinggalkan sendirian di rumah. Lalu cadangan ditutup dan cuma terbuka untuk saya dan suami. Dan TTDI menjadi pilihan. Hi hi hi.

Memandangkan hari sudah menjelang Maghrib, kami singgah dulu di Masjid TTDI. Saya suka masjid ni sebab bersih, kemas dan reka bentuknya sangat praktikal. Tempat menyimpan telekung juga kemas. Jemaah pun ramai tak kira tua muda, lelaki perempuan. Lagi satu ada ceramah agama setiap malam sementara menunggu waktu Isya'. Saya yakin begitu sebab semalam saya singgah lagi di masjid yang sama.

Eh, tadi kata cerita tentang makan. Ok ini ceritanya.

Saya dan suami pergi makan di Muhibbah Seafood - Chinese Muslim Restaurant. Ini kali kedua saya dibawa makan di sini. Suami kerap makan di sini sewaktu kerja di site TTDI dulu.


::buku menu dan gambar sijil kelulusan halal::


Sejurus pelanggan duduk buku menu akan dihantar bersama dengan kacang, kicap & cili potong, sudu garfu serta tisu basah.



Eerrr layan gambar saja lah ye. Tiba-tiba tak begitu rajin nak tulis panjang.

::watermelon for me dan apple kasturi for him::



::nasi putih, sotong goreng tepung, udang masak sweet & spicy dan kailan ikan masin::



Alhamdulillah dengan nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan. :D

Sedikit tentang restoran; majoriti meja yang digunakan ialah meja jenis bulat. Ia memang konsep yang sering kita lihat dalam restoran cina yang lain. Selepas pelanggan beredar, pinggan mangkuk kotor akan dikutip dan kain alas meja yang baru akan diganti. Tidak ada istilah kitar semula atau lap meja kotor. Dapur dengan ruang makan dipisahkan dengan dinding tetapi bahagian hadapan adalah terbuka. Jadi pelanggan boleh melihat pekerja menyediakan hidangan.

Jadi, jika anda ingin merasai makanan di sini bolehlah berkunjung ke Muhibbah Seafood, TTDI yang terletak di lokasi seperti alamat tertera di bawah.



Selamat menjamu selera. Dan jangan lupa mulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah ;)

..::BERTEMU HANYA SESAAT::..

Entry dimulakan dengan gambar saya yang kelihatan sangat serius.




Kemudian diikuti oleh wajah Mya yang juga serius.




Masing-masing khusyu' mentelaah album gambar majlis perkahwinan tempohari. Kali terakhir jumpa Mya masa dia jadi pengapit terjun pada majlis saya di Seremban 17 Januari yang lepas. Memang banyak kali rancang nak jumpa-jumpa dan plan itu ini. Tapi kita hanya merancang Allah yang menentukan. Akhirnya kami sepakat untuk jumpa waktu makan tengahari Khamis lepas. Ya, kejadian seminggu yang lalu baru nak update hari ni.

Selain saya dengan Mya, Kak Tin juga turut sama pada hari kejadian.



Makan di Lanai Kijang sana. Sebab anak dalam perut sudah tendang-tendang sebagai isyarat mahu makan di situ. Apa menu pun tak kisah janji Lanai Kijang. He he he.



Jadi setelah dipromosi oleh waiter yang dulu kelihatannya mahu mengorat Mya tetapi rupa-rupanya Mya sudah berpunya, saya memilih untuk makan nasi ayam terayaki. Alaa macam ayam lemon tu. Ayam sangat banyak dan kemudian ditapau balik. Sayang lah kan.



Air warna-warni. Saya minum air yang diberi nama 'Power Mix' iaitu campuran karot, pisang dan susu.



Kemudian hidangan dilengkapkan dengan pencuci mulut. Saya makan 'banana bowler'.



Sudahlah tadi minum air campuran pisang, sekarang makan lagi pisang dengan aiskrim. Tapi saya memang suka pisang. Mya tak suka makan pisang lantak ke dia. Kami tetap berkawan. Persahabatan ini tak ada kaitan dengan pisang pun.

Sekian cerita bergambar pertemuan saya dengan Mya dan Kak Tin yang sebenarnya bukan lah sesaat tapi satu jam. Entry diakhiri dengan gambar kami bertiga. Dan ini penampilan sulung saya beserta bayi di dalam kandungan. Ha ha ha



Owh, terima kasih kepada Mya kerana belanja lunch tersebut ;)

Tuesday, July 20, 2010

..::SUKA-SUKA JE::..

Minggu lepas, dalam lif dalam perjalanan nak balik.

Selain saya, ada 2 orang lagi staff bahagian lain dan seorang Encik Caterer yang selalu juga berurusan dengan pejabat.

Tiba-tiba Encik Caterer tanya saya "Akak mengandung ke?" (Akak lah kan walaupun saya jauh lebih muda)

Hoh? Encik, saya pakai maternity blouse tentu lah saya mengandung. Itu jawapan hakikat.

Tetapi; "tak lah.. saja suka-suka pakai macam ni" ya, itu jawapan saya. Sambil saya lihat dua orang lagi tu senyum-senyum simpul.

Ok babai.

..::DILEMA::..

Nak update blog ke tak nak?

Dilema lah.

Friday, July 16, 2010

..::CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG::..

Semalam, di parking IJN yang lengang. Suami sedang tukar kasut kerja kepada sandal dan juga menguruskan komputer riba untuk di bawa naik ke atas. Saya pula menunggu dengan sabar.

"Yang, nak kenc*ng!!!" Saya memecah kesunyian petang.

Lepas cakap baru saya pandang keliling. Kelihatan seorang kakak baru saja melintasi kereta kami dan dia juga menoleh ke arah saya.

Alamak!!!! Terus saya lari-lari kecil mendapatkan suami.

"haaaa.. tu dia... orang dah kata cakap siang pandang-pandang" suami terus gelak-gelakkan saya.

Dusyum kepada diri sendiri. Ha ha ha

Wednesday, July 14, 2010

..::TUNGGU HARI::..

Ada orang ingat saya sedang menunggu hari untuk melahirkan.

Alasannya, perut saya kelihatan sangat besar.

Huh??

Nikah pun tengah bulan 12 tahun lepas. Kalau sedang tunggu hari, itu adalah sangat sesuatu.

Isk :(

Friday, July 09, 2010

..::SAKIT BON*TOT::..

Kata orang, masa mengandung sakit urat, kejang kaki, muntah-muntah, lenguh-lenguh, kebas, bisa ulu hati semua tu perkara biasa. Tambahan pula bagi yang mengandung anak sulung. Pertama kali mengalami situasi begitu. Lain lah kalau dah mengandung 7 kali macam kakak saya. Dah tak mengalami kejang kaki dan sebagainya. Mungkin juga kerana cukup zat untuk diri dan kandungan. Dan mungkin juga kerana badan sudah biasa dengan segala perubahan hormon.

Saya pula sejak seminggu kebelakangan ni mula sakit-sakit bon*ot. Saya fikir mungkin kesan daripada duduk agak lama di pejabat. Masa duduk memang tak rasa sakit, tapi bila bangun aduhai nak mula berjalan tu payahnya rasa. Bila baring pun rasa sakit. Kadang-kadang rasa nak nangis saja. Ha ha ha.. Tak habis-habis nak berdrama. Jadi bila sakit atau lenguh saya akan minta tolong suami picit dan urutkan. Suami pun tolong urut dengan penuh perasaan.

Tadi saya terserempak dengan kawan pejabat. Jangan pula pelik sebab pejabat ada banyak tingkat dan keberangkalian untuk bertemu semua orang dalam sehari sangat tipis. Sesekali terserempak lalu masing-masing bertanya khabar. Tanya berat dan sebagainya. Kemudian saya pun cerita tentang sakit yang dialami sekarang memandangkan kawan saya sudah punya dua kali pengalaman.

Terbeliak matanya dan terus bercakap sambil moncong-moncong (he he he) "kaaakkk.. jangan urut tauuu.. biar je.. memang macam tu.. tu maknanya baby tengah membesar.. kepala dia dok kat area situ.." Errrkkk. Habis tu dah dua malam berturut-turut saya minta suami tolong urutkan (bon*ot yang sakit). Mula risau takut kalau-kalau bayi akan tercedera.

Kemudian datang pula 2 orang kakak (yang bertaraf makcik) menyertai perbualan dan tentu saja mereka lebih banyak pengalaman. Bila diceritakan, seorang daripada kakak tu pun cakap perkara yang sama. Lepas tu siap boleh cakap jantina bayi saya berdasarkan raut wajah dan penampilan saya sekarang. Ha ha ha.. Pandai sungguh.

Berbalik kepada kisah sakit bon*ot yang saya alami, mujur juga tiap kali saya minta suami letak minyak panas dia tak mahu. Kalau tidak mungkin 'mengelegak' anak saya di dalam sana. Risaunya saya. Harap-harap tidak ada yang buruk berlaku terhadap bayi saya. Maafkanlah mama yang tak tahu. Entah kenapa kali ni saya tidak pula gunakan enjin carian. Kalau tidak, rasa pelik saja mesti saya akan google untuk dapatkan jawapan.

Ya, pengalaman mengajar kita erti kehidupan. Dan ilmu itu tidak terhad kepada pembacaan sahaja. Jangan malu bertanya kerana ia boleh membantu kita untuk tidak tersesat di perjalanan.

..::CAKAP KOSONG::..

Cik Daun kata lain kali jangan cakap malas update blog atau tak mahu update blog.

Sebab lepas tu mesti ada entry yang panjang berjela dan akan ada update tiap-tiap hari walaupun cuma update kosong.

Ha ha ha.

owh Maybank Treats Fair kembali lagi. Mari kita sama-sama sesakkannya.

Thursday, July 08, 2010

..::APA KATA LELAKI::..

Bila kita tanya atau minta izin sesuatu dan jawapan yang diberi hanya "entah.. suka hati lah"

Jadi, apa maksud mereka yang sebenarnya?

Wednesday, July 07, 2010

..::BAYI PEMALU::..

Ok minggu ni agak rajin nak kemaskini blog. Walaupun sebenarnya tak ada siapa pun yang peduli. Heh.

Cerita tentang kandungan lagi.

Anak ni sangat aktif. Tendang sana sini. Sekejap blup dan blup lagi. Kadang-kadang saya rasa macam nak termuntah pun ada bila blup blup banyak sangat. Kalau rasa nak buang air tuh jangan cakap lah. Tak mengandung pun saya memang kerap buang air, ini kan pula bila pundi kencing dah ditekan oleh kandungan.

Cuma anak ni tak pula nak bergerak-gerak bila saya suruh suami letak tangan dan rasa di perut. Diam saja sampai suami tertanya-tanya. "Kat mana? Kat mana?" Hmmm.. pemalu anak ni. Hiks. "Assala-mualai-kummmm..." Suami tegur dengan nada suara yang pelik-pelik. Huh lagi anak duduk diam-diam. Tapi bila suami alihkan tangan, anak mula bergerak-gerak semula. Haaiihh nak main-main agaknya.

Eh eh orang awam ni memang suka-suka je kan nak sentuh-sentuh perut perempuan mengandung tanpa isyarat atau minta izin. Hmmmmm tak gemar lah.

Tuesday, July 06, 2010

..::LEBIH DAN KURANG::..

Alhamdulillah kandungan menghampiri 24 minggu. Bayi sihat dan sangat aktif. Tendang sana sini macam main bola gayanya. Mungkin semangat piala dunia sekarang.

Hujung minggu lepas pergi buat pemeriksaan bulanan. Bila saya masuk bilik, doktor tegur "Hanida ni mesti sihat saja, laju je berjalan" Hik hik hik.. Biasa saja saya rasa. Kadang-kadang tu ada juga datang masa tak gagah nak berjalan. Ya lah, dengan saiz kaki kanak-kanak mungkin sesekali terasa juga tekanan mahu menampung berat badan yang sudah mencecah 51kg. Walaupun secara fizikalnya saya tidak kelihatan membesar dengan ketara.

Owh, doktor beritahu uri saya sedikit di bawah. Tapi katanya jangan risau, InsyaAllah akan naik perlahan-lahan. Cuma saya kena berhati-hati. Saya syak mungkin sebab saya angkat lesung batu yang beratnya macam kampit beras tu. Awal-awal dulu memang saya minta tolong suami untuk angkatkan lesung batu, tapi bila kandungan dah besar saya buat saja sendiri. Lagipun agak leceh lah nak kena tunggu orang tolong.

Tempohari juga saya dikenakan suntikan kancing gigi. Saya memang fobia bila dengar nak kena suntik, ambil darah atau apa saja yang melibatkan jarum. Doktor kata "jangan risau, sikit saja macam kena gigit semut" Ha ha ha.. terasa lucu pula. Macam budak-budak yang takut kena suntik, terpaksa doktor gunakan persamaan kena gigit semut atau kerengga untuk ubah perhatian. Dan mungkin kerana tindak balas saya terhadap suntikan berkenaan, sehingga hari ini tangan saya masih sakit dan tak boleh nak tidur mengiring sebelah kiri.

Lagi satu, saya kekurangan vitamin B walaupun saya giat mengambil makanan yang kaya dengan vitamin B. Dan saya juga ambil supplement untuk menambahkan vitamin dalam badan. Mungkin apa yang diperlukan oleh badan saya dan kandungan, lebih daripada apa yang sudah saya makan, jadi ia masih belum mencukupi. Doktor bagi lagi vitamin, dicampur dengan pil yang saya makan sekarang jadi sudahnya buang air kecil pun berbau ubat. Tapi suami kata ok lah daripada bau petai. Hik hik hik betul juga tu walaupun petai memang baik untuk kesihatan buah pinggang.

Namun begitu, Alhamdulillah secara keseluruhannya saya berada dalam kategori sihat. Tekanan darah normal, air kencing juga tidak bermasalah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan sehingga menjelang hari melahirkan.

Monday, July 05, 2010

..::PEMBAWAKAN::..

Sejak daripada awal mengandung saya dapati keterujaan terhadap blog berkurangan.

Dan saya syak ia pembawakan budak.