Thursday, January 28, 2010

..::HIDANGAN PADA HARI CUTI SAKIT:::..

Semalam saya cuti. Sakit. Sebab hari sebelumnya saya jatuh. Ada sikit kecederaan dalaman.

Tinggalkan cerita sakit. Sekarang masuk kepada cerita saya yang begitu gembira menyediakan makan tengahari untuk diri saya dan suami. Sebab temankan saya yang sakit, suami pun tak pergi 'pejabat'. Tapi masih bekerja dari rumah.

Kerana mahu balik ke Balakong petangnya dan bercadang mahu balik Parit Buntar hujung minggu, saya cuba mengosongkan bahan-bahan mentah dalam peti ais. Misi bermula.

Apa ada bawah tudung saji??



01. Sotong goreng kunyit campur tomato dan lobak merah. Saya campur juga hirisan 3 biji cili api. Padahnya saya makan sambil rasa terharu. Suami, tenang saja 02. Sup ikan merah. Pun saya campur cili api dan lada hitam 03. Salad (dalam usaha suruh suami makan sayur)



Kemudian saya goreng keropok udang dan suami buat jus oren segar.



Heaven!!

Wednesday, January 27, 2010

Kalau jatuh : Antara sakit dan malu yang mana lagi perit untuk ditanggung?

Tuesday, January 26, 2010

..::SEMUDAH ABC::..

Ok balik-balik entry masak-masak kan. Nak buat macam mana itu je bahan yang ada dan sesuai untuk dipaparkan dalam blog. Lagipun masak-masak menjadi aktiviti rutin sekarang ni.

Macam yang saya kata dalam entry yang lepas, sebelum ni sorang-sorang belasah saja apa ada. Nak masak atau tidak, tak ada orang peduli. Tapi sekarang semua sudah berubah. Ada insan lain yang saya kena jaga. Dan saya paling jadi tak berapa nak tentu hala bila balik kerja tengok suami dah ada di rumah.

Semalam balik kerja tengok suami sedang tonton TV sambil makan kerepek pisang. Alahai. Terus saya siap-siap kemudian masuk dapur. Bahan semua dah ada sebab asalnya nak buat kuih ni petang Ahad. Tapi tak jadi sebab suami kata tak payah sediakan minum petang.

Kuih yang memang mudah. Semudah ABC. Sekejap saja sudah sedia untuk dihidang. Dalam gambar ni bentuknya adalah tak menentu sebab belum cukup sejuk saya sudah potong. Lagipun kat sini saya tak ada loyang untuk sejukkan kuih. Tuang dalam bekas plastik saja.


..::Kuih sagu kegemaran suami::..


Walaupun bentuk tak menentu, tapi rasa adalah sedap. He he he. Sekejap saja saya letak atas meja, kemudian ke dapur semula bila balik tengok bawah tudung saji tinggal pinggan kosong. Terima kasih kepada resipi yang anda boleh dapat di sini. Sila jangan menderhaka dengan resipi. Tapi jika anda seorang yang seperti saya, penderhakaan terhadap resipi masih boleh menghasilkan kuih yang cantik, kenyal dan sedap manis-manis buah.

Selamat mencuba ya.

..::MENU MUDAH HUJUNG MINGGU::..

Hujung minggu baru-baru ni saya dan suami tak pergi mana-mana. Tak balik Seremban, atau tak balik Balakong. Juga tak pergi mana-mana pusat membeli belah. Cadangannya mahu mengemas rumah saja.

Kebetulan, biras yang berjiran minta jagakan anaknya. Abang ipar outstation dan dia ada sekolah ganti. Iyakan saja lah. Lagipun bukan jaga budak kecik. Budak umur 5 tahun yang mulut tak berenti bercakap. Ada saja yang disebokkannya.


..::Ini Mimi. Budak yang takut ditinggalkan sorang-sorang depan TV::..


Sementara suami sibuk bertukang sambil melayan Mimi yang mengendeng dan tanya itu ini, saya sediakan makan tengahari. Seperti biasa konsepnya masak apa saja yang ada dalam peti ais. Tapi kombinasi mesti bertepatan.

Ini menu saya. 1. Ikan bawal kecil goreng garing kegemaran suami 2. Sawi rebus yang cuma saya sorang saja makan dan Mimi ambil kuah sebab sangka ia sup 3. Sotong masak cili yang sengaja tak buat pedas dengan alasan nanti Mimi tak tahan 4. Nasi putih panas-panas tentunya



Lalu makanlah kami 3 orang bertambah-tambah sampai habis 2 pot nasi yang saya masak.

Monday, January 25, 2010

..:: CACAMARBA::..

Dah lama saya tak cerita pasal aktiviti masak memasak. Ye lah, sebelum ni masak dan makan untuk tekak sendiri. Jadi apa yang ada belasah saja. Kalau ada bahan dan rajin, buat. Kalau tak diam saja.

Tapi sekarang dah tak boleh macam tu. Petua daripada orang yang dah berpengalaman pun katanya kalau nak pikat suami, pikatlah melalui masakan. Jaga makan minumnya. Kecuali jika suami cakap "U tak payah masaklah harini", selainnya tiada pengecualian.

Dan. Perkahwinan juga adalah perkongsian hidup dengan seseorang yang berbeza dengan kita. Jantina memang lah berbeza. Ini tentang selera makan dan kegemarannya. Walaupun kata suami apa yang ada dia makan, tapi bila suami bertanya: U pandai tak masak mee hailam sebagai contoh, saya perlu berusaha. Masa bujang memang tak pernah buat sebab paling senang ialah masakan goreng-goreng. Campak-campak, gaul-gaul, dah siap.

Selain makanan yang pedas, suami juga suka makanan berkuah. Jadi ini ujian pertama saya. Kerana saya belasah saja apa yang ada dan tumis ikut suka hati, saya namakan ia MEE CACAMARBA.



Resipi? Malulah mahu kongsi. Tak ada yang istimewa melainkan resipi rahsia setiap kali memasak ialah jangan lupa masukkan kasih sayang dan keihlasan secukupnya.

Suami makan dan hirup kuah sampai habis. Sedap la tu kot. Cuma satu saja kata suami; "tak pedas lah". Dan saya sengih saja sambil hirup kuah mee cacamarba ciptaan saya.

Sunday, January 24, 2010

..::SEKALI AIR BAH::..

Sekali pantai berubah...


..::Pantai Pasir Roboh (01012010)::..

Friday, January 22, 2010

..::DURIAN::..

Bila nafas suami berbau durian...



Nak tak nak, redha kan saja..

Thursday, January 21, 2010

..::SELEPAS SEBULAN::..

Masih mahu kongsi cerita tentang kenduri saya. Selagi saya masih menerima ucapan selamat pengantin baru, selagi itu cerita belum tamat. He he he

Ahad lepas iaitu 17 Januari 2010 bersamaan 1 Safar 1431H, telah berlangsung majlis bertandang di Seremban, Negeri Sembilan.

Cuaca sangat baik. Panas. Sampaikan encik jurugambar merungut. Tapi setelah ditegur dan diberi pilihan, sama ada mahu majlis dalam hujan seperti majlis saya di Parit Buntar tempohari ataupun panas sebegini, cepat-cepat encik jurugambar tersenyum dan insaf. Tentu saja semua memilih cuaca panas dan baik. Kalau tidak masakan ada pihak yang cuba mengamalkan petua-petua yang tidak berkaitan bagi mengelak hujan. Walau apa pun keadaannya, semua adalah ketentuan Allah.

Ok. Saya melalut di situ. Seterusnya mari kita lihat beberapa keping gambar. Itu pun gambar yang saya ambil dari Faceebook Encik Kimi.


..::Ini rombongan keluarga saya::..



..::Sebelum berarak ke tempat acara::..



..::Ini sebenarnya gambar saya berdua dengan atam saja. Tapi, ada pula pihak-pihak lain yang mahu turut serta dalam gambar::..


Apakah dialog paling sesuai untuk gambar di atas. Sila tulis dialog anda di ruangan komen. Dialog paling kelakar akan diberi hadiah istimewa daripada pengantin. Ahli keluarga terutama sekali Encik Kimi tidak boleh turut serta.

Selamat mencuba. Eeerr ada ke orang yang nak menyertai? He he he.. Apa-apa aje lah kan.

Wednesday, January 13, 2010

..::DIPANDANG SERONG::..

Tidur-tidur di surau pada waktu rehat sudah menjadi isu.

Dulu tak pula.

Haaiih.

Tuesday, January 12, 2010

..::AUDIT::..

Sepanjang minggu ni ada audit datang berkampung di pejabat.

Tempat para auditor ni berkampung cuma setapak dari bilik saya.

Ada sorang auditor ni sekejap-sekejap masuk bilik saya nak minta tolong itu, nak minta tolong ini.

Eeerrr.. Macam nak mengaudit saya je?

..::CANTIK ITU SUBJEKTIF::..

Cantik itu subjektif. Ada orang perasan dirinya cantik. Tapi orang lain pandang, biasa-biasa saja. Ada pula orang yang rasa dirinya biasa-biasa saja. Tapi pandangan orang lain, sebaliknya pula.

Walau apa pun tafsiran kita tentang kecantikan, yang paling penting ialah kesihatan yang baik. Bila tubuh badan sihat, secara semulajadi ia akan terpamer ke wajah.

Jadi, saya mahu berkongsi tip-tip kesihatan dan kecantikan untuk wanita 30-an yang diperolehi dari akhbar berbahasa melayu nombor satu di Malaysia.

1 Kawal pemakanan
Proses penuaan dapat dilambatkan jika kita mengamalkan pemakanan yang seimbang. Banyakkan makanan berserat tinggi, sayur dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak, minuman yang mengandungi banyak kafien, minuman ringan dan makanan ringan

2 Guna pelembap yang sesuai
Apabila umur kita menjangkau 30-an, keanjalan dan kelembapan kulit semakin kurang. Oleh itu penggunaan krim pelembap sangat diperlukan. Carilah pelembap yang sesuai dengan kulit muka masing-masing. Haruslah diingatkan yang krim muka jenama popular dan mahal tidak semestinya sesuai dengan jenis kulit kita - ya beli SKII ribu-ribu hujung-hujung tak sesuai dengan kulit tak ke namanya membazir? Baik pakai saja johnson & Johnson kalau itu yang paling sesuai

3 Cuba elakkan dari pancaran cahaya matahari
Jangan biarkan muka anda banyak terdedah kepada cahaya matahari di dalam jangkamasa yang panjang. Pendedahan yang lama bukan saja dapat menggelapkan kulit, ianya juga dapat mengurangkan kelembapan kulit yang membawa kepada kekeringan

4 Sentiasa bersenam
Bersenam mampu meningkatkan keupayaan dan kesihatan. pastikan kita melakukan senaman ringan setiap hari selepas bangun tidur. Dan kalau ada masa, lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu

5 Minum banyak air
Kekeringan dan gejala penuaan boleh diperlambatkan dengan meminum banyak air. Ini kerana air adalah aset penting untuk kesihatan tubuh badan terutamanya kulit muka. Kekurangan jumlah air dalam badan boleh menyebabkan kita mudah diserang pelbagai penyakit. Selain itu, air penting untuk proses penghadaman dan penyingkiran toksin dalam tubuh badan

6 Makanan tambahan
Pengambilan vitamin adalah amat digalakkan utnuk wanita 30-an. Kesibukan dengan tugasan di pejabat dan di rumah menyebabkan kebanyakkan wanita jarang mengamalkan pemakanan seimbang. Jadi pengambilan vitamin dapat membantu menyelesaikannya

7 Elakkan bermekap tebal
Wanita 30-an seelok-eloknya menggunakan mekap yang nipis dan sederhana. Cuba elakkan dari menggunakan foundation yang tebal serta lipstik yang merah menyala. Ianya akan membuatkan wanita ini nampak lebih tua dan garang

8 Positif, ceria dan selalu bersama yang tersayang
Wanita 30-an mestilah mengamalkan sikap positif, sentiasa ceria dan selalu bersama yang tersayang. Kehadiran orang-orang tersayang di sekeliling dapat membantu wanita membina keyakinan diri dan menghilangkan stress

Jadi kepada diri sendiri dan kawan-kawan seuisia renung-renungkan tips ini. Masih belum terlewat untuk kita sama-sama mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan berkualiti.

Thursday, January 07, 2010

..::PERUBAHAN::..

Sejak kawen.

Asal masuk kereta kalau bukan saya yang memandu, mesti saya tidur.

Tipikal kan?

Wednesday, January 06, 2010

..::P.S. I LOVE YOU::..

Baca novelnya, saya menangis sampai basah-basah bantal dengan air mata



Tonton filemnya, saya tertidur sampai basah-basah sofa dengan liur basi



Sayang sungguh. Novel yang menarik, tetapi bila dijadikan filem ia gagal menyentuh hati penonton.

Mungkin tak semua novel menarik sesuai untuk difilemkan.

Tuesday, January 05, 2010

..::LUNCH@SUBANG PERMAI::..

Ini kejadian hari Ahad lepas. Dalam perjalanan dari kampung, balik ke Shah Alam.

Keluar tol Bukit Subang dah pukul 1.00 tengahari. Sementelah di rumah tak ada bahan yang boleh dimasak ditambah dengan rasa tak berapa nak rajin, kami sepakat untuk singgah makan di Subang Permai. Ada banyak kedai makan di sana. Dan suami memilih untuk makan di Kafe An-Nurs.

Kafe ni pernah dikunjungi oleh Maria Tunku Sabri dalam rancangan Jalan-jalan Cari Makan.

Ada banyak pilihan makanan dan lauk-pauk untuk makan tengahari. Di samping tu, makanan panas atau goreng-goreng juga ada. Tak macam sesetengah restoran lain, makanan panas-panas hanya diberi pilihan selepas jam 3.00 petang atau lewat.


Tembikai laici + nasi goreng cendawan pilihan saya


Suami pula makan nasi goreng daging merah + teh tarik halia



Habis licin kami berdua makan. Mungkin kerana hidangan itu menepati citarasa tekak. Dan paling utama kerana kami memang lapar.

Oleh kerana lapar saya terlupa nak ambil gambar sekitar kafe. Tapi keseluruhannya adalah baik. Pengurusan pun baik. Setiap pesanan terus dimasukkan ke dalam sistem berkomputer.

Dan, saya begitu tertarik dengan kaunter berbentuk buah kelapa di tengah-tengah kafe.



Warna hijaunya cukup menyerlah. Di atas kaunter diletakkan kotak-kotak berisi jeli kelapa muda. Ada juga dulang berisi tapai.

Kesimpulannya, kalau malas mahu masak boleh datang makan di kafe An-Nurs di Subang Permai ni lagi kerana harganya juga berpatutan.

..::RAJA SEHARI::..

Hujung minggu lepas saya balik kampung Parit Buntar. Sekarang kalau sebut balik kampung, kena cakap kampung mana sebab sudah ada 2 kampung. Kalau dulu faham-faham sajalah.

Balik dengan tujuan saja-saja di samping mahu menghadiri majlis kenduri kawan konsisten saya pada 2 Januari 2010. Sebelum ni Mya sudah melangsungkan pernikahan di Kuala Lumpur pada 5 Disember 2009.

Pengantin sangat segak dan manis dalam persalinan songket berwarna kuning diraja. Memang kayak raja dengan permaisuri lah.



Di sebabkan sampai di kenduri 15 minit selepas majlis dijadualkan selesai dan katerer pun dah kemas barang, maka saya terlupa nak rakam gambar makanan dan bubur gandum yang sangat sedap.

Pesanan kepada diri sendiri, lain kali sila semak aturcara majlis pada kad yang diberi. Agar kesilapan waktu majlis yang rupa-rupanya malam disangka siang hari tidak berulang kembali.

Apa-apa pun kepada kedua mempelai, selamat menempuh alam rumahtangga. Semoga berkekalan sampai Syurga. InsyaAllah.

Monday, January 04, 2010

..::DAH 4 HARI BARU NAK UPDATE::..

Selamat tahun baru 2010!!!

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkannya. Lagipun baru 4 hari tahun 2009 ditinggalkan. Belum jauh sangat. Segala peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2009 pun masih segar dalam ingatan. Dan. Alhamdulillah banyak sangat perkara baik dan manis untuk dikenang.

Semoga tahun-tahun mendatang akan membawa lebih banyak sinar bahagia dalam hidup. InsyaAllah.

Dan entry ini saya akhiri dengan rakaman detik paling bersejarah di awal tahun 1431 Hijrah dan penghujung tahun 2009.