Thursday, February 25, 2010

..::HILANG MINAT LAGI?::..

Suatu ketika dulu saya pernah cerita tentang minat menonton TV yang berkurangan semenjak menghadapi proses untuk mendirikan rumahtangga. Tapi sekarang saya sudah kembali menonton TV. Walaupun tidak setegar dulu.

Kini, saya mula terperasan bahawa ada satu lagi minat saya yang semakin berkurangan. Mungkin ia akan menggembirakan hati suami.

Saya. Kurang minat untuk membeli belah. Tolak membeli belah keperluan dapur. Itu perkara yang memang mesti beli. Ini membeli belah lain. Alaaa.. Beli kain baju. Beli kasut. Beli beg tangan. Malah, saya sedang dalam proses mahu menjual koleksi kasut tumit tinggi yang ada. Lain kali saya buat entry kasut tu.

Berbalik kepada membeli belah, sebetulnya semalam telah bermula Hari Kraf Kebangsaan (HKK) dan akan berakhir pada 8 Mac 2010 nanti. Tapi keterujaan saya menanti kedatangan HKK kali ini tidak pula seperti tahun-tahun sebelumnya. Ada rasa nak pergi sebab mahu cari blouse untuk diri sendiri dan adik ipar. Tapi sekadar itu saja. Lain-lain tidak ada keperluan untuk mengulang kunjung.

Hmmmm.. Apa sudah jadi dengan saya, ya?

Tuesday, February 23, 2010

..::BIG FOOD UNTUK MAKAN MALAM::..

Setelah berpenat lelah sepanjang minggu, sesekali dapat berhujung minggu bersama suami di rumah sendiri membuatkan saya rasa tak begitu rajin nak memasak. Mujur juga permintaan mahu makan malam di luar mendapat persetujuan.

Kali ini kami ke Restoran Big Food di TTDI Jaya. Lokasinya bersebelahan dengan Ani Sup Utara dan sebaris dengan JM Bariyani. Restoran Big Food menyediakan pelbagai pilihan makan barat bermula dengan pembuka selera sehingga kepada pencuci mulut. Aneka pizza juga terdapat dalam pilihan menu.

Ini rib-eye steak pilihan suami. Sila jangan bandingkan rib eye di sini dengan rib eye di Chili's atau Tony Romas. Nanti kamu kecewa



Saya pula pilih sirlion steak. Rasanya ok saja. Sebab saya tak tahu bagaimana mahu membezakan daging-daging ini



Fresh Mango Juice di sini sangat sedap. Serius. Terasa benar mangganya



Pilihan air yang lain juga kelihatan segar dan menarik. Saya dapat lihat mereka tidak kedekut buah laici. Tapi kami memang pesan segelas air sahaja.

Hidangan kami diakhiri dengan sagu gula melaka. Sedap. Lemak berkrim dan sedang-sedang saja manisnya.



Untuk pengetahuan, hidangan di sini diberi pilihan dalam 2 saiz iaitu biasa dan besar. Terdapat 2 bahagian tempat duduk iaitu di bahagian dalam yang berhawa dingin dan di bahagian luar yang menampilkan konsep terbuka.

Harga yang dikenakan untuk setiap hidangan adalah berpatutan di samping keadaan restoran yang bersih dan mendamaikan. Bagi kami sendiri, kami berpuas hati dan bercadang mahu kembali ke restoran ini untuk mencuba hidangan lain pula.

Monday, February 22, 2010

..::KISAH LAMA DAN KEGHAIRAHAN BERFACEBOOK::..

Facebook mencetus satu fenomena baru. Bukan setakat orang biasa, malah Menteri juga seorang demi seorang melancarkan laman Facebook masing-masing. Mungkin menyahut saranan YAB PM yang lebih dulu melancarkan Facebook beliau.

Bagi Menteri, melalui Facebook mereka akan lebih dekat dengan rakyat. Bagi rakyat, Facebook menemukan mereka dengan teman-teman yang sudah terputus hubungan. Malah kawan-kawan yang berbelas tahun terpisah, bertemu kembali melalui Facebook.

Bertitik tolak dari pertemuan semula itu, masing-masing ghairah mahu mengimbau kenangan lama. Gambar-gambar yang ntah sebelum ni tersimpan dalam gerobok dikorek kembali, diimbas kemudian dimuat naik ke laman Facebook. Dipaparkan kepada khalayak. Dan, dalam keghairahan itu, habis semua gambar dipaparkan termasuk gambar-gambar tidak menutup aurat yang dirakam ketika di dalam dorm asrama.

Seperti menulis blog, berfacebook juga mengikat kita dengan tanggungjawab kepada pihak lain. Tanpa kita sedar, jika mahu memaparkan sesuatu gambar, keizinan perlu diperolehi daripada pihak lain dalam gambar berkenaan. Lebih-lebih lagi jika gambar itu tidak menutup aurat. Jika diizinkan, terima kasih diucapkan. Namun jika keizinan terhalang, kehendak dan pendirian rakan seharusnya dihormati.

Saya tahu ada orang yang tak kisah dengan semua itu. Macam ungkapan yang popular sekarang ni "Ada aku kisah??". Tapi bagi saya, saya memang ambil kisah tentang perkara ini. Dan saya sangat ambil serius. Mungkin sebenarnya gambar tu dah lama ada berdasarkan tarikh yang tertera. Cuma saya saja yang tak tahu kalau bukan kerana ada kawan lain yang tag wajah saya. Sebab kerja saya bukannya menghadap Facebook siang malam kemudian buka satu-satu profile dan album gambar semua rakan.

Secara jujur saya sangat terkilan. Kadang-kadang kita sangka kawan yang kita anggap sahabat itu memahami kita, rupa-rupanya tidak. Begitu juga sebaliknya. Maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan luahan ini. Saya sudah hantar mesej peribadi melalui laman faceebok, namun saya anggap permintaan saya dipandang sepi kerana sehingga kini gambar berkenaan masih ada di situ.

Saya bukan mahu cari lawan, sebaliknya mahu berkawan. Mahu terus memelihara ukhuwah yang sudah lama terjalin. Namun jika perkara sebegini tidak diperbetulkan dan masih berterusan tanpa sebarang perubahan, bimbang nanti ia akan berakhir bukan seperti yang kita mahu.

Dan. Dalam keghairahan berfacebook, jangan lupa tanggungjawab yang ada.

Thursday, February 18, 2010

..::ALLAH LEBIH MENYAYANGI::..

"DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali"


Baru semalam saya kongsi cerita tentang mak saudara yang sakit. Belum pun sempat menziarahi beliau, hari ini saya dapat perkhabaran dia telah pergi. Selepas genap seminggu terlantar.

Semoga seluruh keluarga tabah menghadapi ujian ini.

Doakan agar roh Allahyarham Puan Khuzaimah Mohamad sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Al-Fatihah.

Wednesday, February 17, 2010

..::JANGAN AMBIL MUDAH BILA SAKIT KEPALA::..

Apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah peringatan kepada diri sendiri juga.

Hari Rabu minggu lepas, saya terima sms daripada Ateh mengkhabarkan yang salah seorang mak saudara kami (adik mak) masuk ICU Hospital Ipoh dan tak sedarkan diri. Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar kerana sewaktu sepupu saya menelefon emak, Ateh tiada di rumah. Jadi, mungkin agak terbatas maklumat yang diperolehi. Tetapi, ia bersangkut paut dengan otak.

Kemudian difahamkan kakak sulong saya yang tinggal di Ipoh sudah pergi melawat. Dan minta mak datang secepat mungkin walaupun perancangan awal mak mahu pergi ziarah hari Sabtu. Bunyi sangat serius kerana mak saudara saya masih belum sedar. Jadi, hari Jumaat mak pergi Ipoh dengan adik.

Semalam saya telefon mak. Tanya khabar. Tanya khabar mak saudara. Mak pun cerita: asalnya mak saudara saya tu cuma sakit kepala. Sakit sakit dan sakit. Jumpa doktor. Dan doktor cuma bagi ubat tahan sakit dan kata sebab darah tinggi. Macam biasa. Tapi mak saudara saya tak ada penyakit tu semua. Sampai satu tahap sudah tak tertahan sakit kepalanya. Maka pergilah mak saudara buat imbasan. Menurut doktor yang buat imbasan, terdengar bunyi seakan guruh di bahagian otak.

Rupa-rupanya ada pendarahan dalam otak. Pembuluh darah dah pecah. Maka pembedahan besar perlu dibuat untuk mengeluarkan darah yang terkumpul itu. Difahamkan juga sebahagian otak telah kehilangan fungsi.

Sehingga ke hari ini mak saudara saya masih belum sedarkan diri. Namun, Alhamdulillah sudah ada sedikit perkembangan apabila jari memberi tindak balas dan ada air mata yang mengalir bila nama dipanggil.

Saya masih belum berkesempatan untuk menziarahinya. Kali terakhir saya jumpa bila dia datang ke rumah lepas kenduri tempohari. Waktu tu tak kelihatan langsung tanda-tanda sakit.

Kadang-kadang kita selalu ambil mudah dengan sakit yang dialami. Saya sendiri begitu. Mungkin, memang tidak dapat dinafikan rasa takut untuk buat pemeriksaan lanjut lebih terperinci. Takut jika keputusannya akan membawa satu perubahan besar dalam hidup. Namun sebagai seorang Islam, segalanya sudah ditentukan Allah.

Sesungguhnya kita hanya mampu berdoa dan saya mohon teman-teman pembaca blog juga doakan kesejahteraan mak saudara saya.

..::KE KLCC LAGI::..

Hari Khamis sekali lagi saya ke KLCC. Kali ini dengan kawan saya yang jauh dari seberang laut. Datang berkunjung seketika cuma.

KLCC tu dekat saja dengan pejabat saya. Bawa kereta belum pun masuk gear 4 dah sampai. Sebenarnya boleh saja kalau mahu berjalan kaki. Tapi saya tidak cukup kental untuk menyusur lorong-lorong di celah bangunan tinggi dengan suhu bumi seperti sekarang.

Kali ini saya dan kawan makan di Nando's. Restoran yang selalu kami pilih sebab ice lemon tea boleh tambah tambah dan tambah berkali-kali. Tapi bila sampai di tempat kejadian rupa-rupanya kawan saya sudah pesan hidangan lain. Katanya ada promosi. Hmmm ikut kan saja lah.

Ini hidangan 'promosi' sempena CNY. Ada yee sang tak berapa nak yee sang



Makan sambil borak. Pot pet pot pet lama dah tak jumpa. Kali terakhir jumpa saya masih bujang. Borak-borak sambil makan sampai ketat pinggang kain. Sampai pejabat saya kena longgarkan cangkuk. Again. Malah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ni.

Saya juga muat-naik gambar hidangan Nando's tu di Facebook. Kemudian kakak saya komen. "Ada halal ka?"

Aiyorkk!!! Terus saya semak direktori. Huk huk huk. Saya agak kecewa. Pada dasarnya Nando's mendapat sijil halal. Namun cuma 10 cawangan sahaja yang masih aktif. Yang lain semua sudah tamat tempoh termasuk cawangan Nando's di Suria KLCC.

Bagaimana ya? Makanan ni menjadi darah daging. Banyak orang berkata masalah sosial yang semakin menular sekarang ni juga ada kaitannya dengan pemakanan yang masuk dalam badan dan jadi darah daging. Makan ikut sedap anak tekak tanpa meneliti sumber.

Hmmmm.. Nampaknya kena lebih berhati-hati lah lain kali.

..::JANJI TEMU MAKAN TENGAHARI::..

Ini cerita minggu lepas. Gambar sudah seminggu terdampar dalam draft. Tapi baru hari ni ada rasa nak sambung-sambung cerita.

Hari Selasa saya pergi makan tengahari di Pizza Hut dengan suami. Kami ke KLCC. Pertama kali berjanji temu setelah bergelar suami isteri. Jarak memisahkan kami untuk makan tengahari bersama. Suami di utara Lembah Kelang dan saya pula di tengah ibu kota.

Sudah lama tak makan pizza. Maksud saya Pizza Hut. Dan saya sangat suka dengan perkhidmatan di Pizza Hut KLCC ni.



..::Hidangan yang kami pilih::..


Roti bawang putih yang sangat best. Tak liat atau keras macam sebelum-sebelum ni. Sup dihidangkan dalam mangkuk besar. Tak minum air pun dah kenyang hirup sup. Seafood lasagna. Dan tentu sekali pan pizza.

Sebagai maklumat tambahan kepada semua, sebanyak 285 cawangan premis Pizza Hut mempunyai sijil halal yang masih aktif. Termasuk cawangan di Suria KLCC. Jadi usah ragu-ragu untuk makan di sana.

Maklumat lanjut boleh layari direktori halal

Wednesday, February 10, 2010

..::TAK CUKUP SIFAT::..

Again. Pisang yang mak bagi untuk digoreng akhirnya jadi makanan lain.



Pengat pisang yang tak cukup sifat. Tapi rasa tetap sedap. Walaupun suami tak puji, tapi bila makan bertambah dan siap cicah roti lagi, faham-faham sajalah apa maknanya.

Eeerr atau maknanya dia lapar sangat? Ha ha ha

Friday, February 05, 2010

..::DAH LAMA TAK TULIS ENTRY PANJANG::..

Hari Rabu baru-baru ni saya cuti sakit. Lagi. Minggu lepasa, hari Rabu pun saya cuti sakit juga. Kenapalah? Baru bulan kedua tahun 2010 tiba-tiba sudah 2 kali saya ambil cuti sakit. Sangat tidak seperti saya. Kerana sebelum ni sudah bertahun-tahun saya memegang rekod bekerja tanpa pernah mengambil cuti sakit. Oh, ia tiada kaitan dengan status semasa saya.

Sebenarnya ia rentetan (wah!!) daripada kisah saya jatuh tempohari. Sewaktu ke klinik kali pertama, doktor (swasta) pesan jika sakit tak berkurangan selepas 3 hari sila datang semula untuk buat x-ray. Memang sakit tak berkurangan. Walaupun sudah habis ubat yang diberi saya makan. Sudahlah satu daripada ubat tu sangat mengantuk dan boleh menyebabkan saya tertidur pengsan tak sedar apa.

Memandangkan saya kakitangan Kerajaan, jadi saya bercadang mahu menggunakan kemudahan yang diberi. Jadi saya ke Hospital Sungai Buloh sana untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Hospital Sungai Buloh sangat cantik dan kalau tak salah saya ia di antara hospital yang canggih. Cuma yang saya tak larat, lobi hospital berada di kawasan tanah tinggi. Jenuh juga memanjat. Asalnya kaki tak berapa sakit pun jadi bertambah sakit. Parking pula sangat penuh dan terpaksa letak kereta di tempat haram yang jauh kena mendaki.

Bila tiba di kaunter pertanyaan, saya dikhabarkan oleh kakak pengawal keselamatan bahawa hospital berkenaan tidak menerima pesakit luar. Mereka cuma menerima kes yang dirujuk. (Macam tu pun ada ye?). Lalu saya diminta untuk ke Klinik Kesihatan Kampung Melayu Sungai Buloh. Dalam kepala otak saya dan suami sudah terbayang suasana yang tidak seronok. Saya rasa semua orang ada ekspektasi tentang perkhidmatan yang lambat dan keperluan menunggu tahap begitu lama sampai tak tahu nak buat apa. Tapi kami lapangkan juga hati dan menuju ke destinasi seterusnya.

Sampai di kaunter pendaftaran. Ambil nombor dan letak kad pengenalan. Sila percaya bahawa nombor saya ialah 1287 dan nombor semasa ialah 1191. Manusia melaut. Berbagai bangsa agama dan usia kelihatan. Menurut piagam pelanggan yang dilekatkan di dinding, tempoh menunggu untuk pendaftaran ialah 15 - 20 minit. Manakala tempoh untuk mendapatkan rawatan ialah 30 - 45 minit. Jumlah keseluruhan ialah 1 jam.

Tapi janganlah kamu berharap sangat untuk selesai semua tu dalam tempoh satu jam. Pendaftaran mungkin boleh selesai dalam masa 15 minit. Tapi masa menunggu untuk berjumpa doktor boleh menjangkau 2 jam. Daripada ruang lobi pendaftaran dipenuhi manusia, sampai lah selengang alam. Daripada kamu sabar menunggu sambil dengar dengan teliti nombor dipanggil sampailah kamu bosan kerana asyik dengar nombor yang kemudian daripada kamu dipanggil untuk rawatan di bilik-bilik lain. Asalnya kamu duduk dan menikmati masa terluang bersama suami, sampailah suami kamu bengang dan bangun. Pergi tanya pekerja yang asyik ulang alik dari kaunter pendaftaran ke bilik rawatan bawa kad pesakit, kenapa nombor belum dipanggil dan bagaimana sistem sebenarnya.

Lama kemudian baru nombor dipanggil. Doktor tak pegang pun kaki saya. Tapi mulut pot pet pot pet itu ini. Katanya tak patahlah. Sikit saja. Tak lebam pun. Bla bla bla. Dan sebenarnya tak payah x-ray. Nanti terdedah kepada radiasi. Bahaya kepada wanita yang disyaki mengandung seperti saya. Hmmm entahlah. Tapi kenapa kaki saya tetap sakit?

Sebab saya nak juga x-ray, doktor mengalah. Pergi bahagian lain untuk x-ray. Tunggu keputusan. Kemudian bawa balik kepada doktor tadi. Lepas tunjuk doktor keputusan x-ray dan pot pet sikit-sikit, doktor bagi cuti sakit. Doktor cuma bagi ponstan dan ubat kurangkan bengkak. He he he.. saya tak makan pun lagi. Degil.

Untuk pengetahuan semua, masa yang diambil bermula daripada pendaftaran sehingga saya ambil ubat di farmasi dan berjalan ke kereta untuk pulang ialah 3 jam. Sila percaya sekali lagi. 3 jam.

Dan. Saya syak piagam pelanggan itu sekadar mahu menyedapkan hati dan pelengkap KPI mereka. Itu saja.

..::KETAM BERCILI DAN NASI PUTIH UNTUK MAKAN MALAM::..

Tiba-tiba saya rasa blog ni dah tukar jadi blog makanan. Apa taknya. Asyik lah entry pasal makan. Walaupun rasa macam tu, saya tetap juga nak buat entry tentang makanan. He he he.

Sebenarnya saya dan suami jarang sangat makan nasi waktu malam. Kalau makan pun mungkin bila balik kampung. Tu pun dalam kuantiti yang tak berapa nak banyak. Selalunya saya akan masak makanan lain macam mee rebus, goreng cucur kodok atau makan roti bakar saja. (eh, macam berkalori tinggi juga kan?)

Hari Rabu pergi pasar malam saya ada beli ketam. Cadangannya macam nak masak hujung minggu saja. Tapi semalam saya rasa nak sangat makan ketam bercili. Jadi dalam perjalanan balik kerja saya pesan siap-siap dengan suami untuk keluarkan ketam dan cili mesin dari tempat beku. Mujur juga. Perjalanan balik semalam mengambil masa 2 jam disebabkan hujan lebat di KL dan ditambah dengan entah kontraktor mana yang cerdik sangat pergi turap jalan di atas flyover ke Puncak Perdana tu petang-petang waktu orang balik kerja. Punya lama tersangkut sampai saya terlelap sekejap masa tunggu lampu isyarat di Bukit Jelutong. Tersedar bila kereta belakang honk. Hik hik hik.

Sampai rumah pukul 6.30 petang. Terkocoh-kocoh rasanya. Bila saya turun ke dapur lepas solat asar tengok suami tengah buat roti planta. Bagus je kan. Jadi saya boleh terus sediakan bahan untuk masak makan malam. Sambil sediakan bahan, sebenarnya dalam hati rasa berbelah bahagi sama ada mahu makan nasi atau tidak. Tapi bila tanya suami nak nasi tak. Jawabnya habis dah U masak lauk mestilah makan dengan nasi. He he he. Jadi saya sengih saja lah.

Eh, panjang pula mukaddimah. Padahal sebenarnya mahu cerita tentang ketam bercili dan nasi putih yang jadi hidangan makan malam saja.

Dipersembahkan ketam bercili versi saya. Resipi mudah saja. Dan sama saja dengan resipi orang lain.

bawang merah + bawang putih + cili dimesin dan ditumis. Bila sudah wangi dan cili masak masukkan air asam jawa + gula + garam secukup rasa. Masukkan ketam + sedikit air. Gaul rata. Akhir sekali pecahkan sebiji telur. Biarkan mendidih seketika. Kemudian hidangkan dengan penuh kasih sayang


..::chili crab::..


Masih dalam usaha tanpa henti mengajak suami makan sayur. Jadi saya sediakan sayur campur goreng dengan sos tiram. Lagipun makan mesti seimbang mengikut piramidnya. Resipi sayur campur goreng? Tak kan itu pun tak tahu. Campak-campak dan campurkan semua saja. Siap. *Pesanan : Tak perlu tambah garam kerana sos tiram sudah sedia masin.

..::mix vege with oyster sauce::..


* Letak nama Inggeris untuk kesan gempaq

Gambar nasi putih tak perlu letak. Sama macam nasi orang lain juga walaupun saya cuma guna beras cap Jalaluddin Hassan.

Sekian entry penambah ukur lilit badan dari saya.

Tuesday, February 02, 2010

..::BULAN::..

Sudah masuk bulan kedua