Friday, September 14, 2012

..::SOPHIA RESTAURANT::..

Saya sudah balik ke Bangkok 29 Ogos yang lepas. Dan, hujung mingggu lepas kami keluar pergi beli barang keperluan rumah di Pasaraya Big C, Ramkamhaeng. Di Ramkamhaeng ni memang ramai orang Islam dan tentunya ada banyak restoran halal.

Kali ni kami ke Sophia Restaurant pula. Tuan rumah pun selalu cerita pasal restoran ni. Jadi mari kita cuba.


Sebelum datang sini sebenarnya kami sudah lihat menu di website. Dalam kepala sudah set apa yang mahu dipesan.



Tapi agak kecewa sikit sebab pilihan dalam buku menu tak sebanyak yang ada dalam website. Dan nak tanya dan describe pun susah sebab pelayan tak faham English :(. Jadi kita pesan apa yang ada saja.

..::Teh limau untuk saya dan kopi ais untuk suami::..

..::Plakapong in chinese soup. Saya google tengok plakapong ni ikan baramudi, eerr pun tetap tak tau ikan apa sebenarnya haha::..

..::Daging goreng. Sebenarnya nak daging macam lain, tapi yang sampai begini jadi kita ratah sajalah. Cuma, eerrr masin sampai melecet lidah saya::..

..::Nasi putih bentuk hati.. auuwww::..

..::Kita tambah dengan samosa yang comel. Ok sedap::..

..::Alahai anak omak::..

Itu gaya Muhammad minum sebelum dia tumpahkan air kopi ais ayah. Lepas tu terus duduk senyap sebab mama sudah babab tangan dia.

..::Pinggan yang sudah licin::..

Lepas tengok gambar makanan, kita tengok pula ruang restoran yang boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa.

..::Bersebelahan gelanggang tenis sebab restoran ni juga sebuah club house::..


..::Ruang makan berhawa dingin. Ada tandas yang bersih dan ada surau di tingkat atas::..

..::Ruang makan terbuka. Saya nampak ada pentas, mungkin ada persembahan waktu malam::..

Secara keseluruhannya, ok lah makan kat sini. Selesa dan pelayan pun baik hati. Nak pergi restoran ni pun mudah. Dekat dengan jalan besar, dan airport link (Ramkamhaeng Station). Kepada yang berminat nak cuba ini alamat dan maklumat hubungan yang lain.

Sohpia Restaurant
1 Ramkamhaeng Soi 5,
Suanluang, Bangkok 10250
Tel. 66-2-314-0039 Mobile: 66-8-2326-1153
Fax. 66-2-719-8442
Email: info@sophia-ct.com
Waktu operasi : Setiap hari 10.00pagi – 10.00malam

Selamat mencuba :)














Thursday, September 13, 2012

..::DIBUKA SEKARANG::..

Kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Rentetan daripada entry yang lepas, sekali lagi saya buka tawaran kepada sesiapa yang mahu kirim sesuatu dari Bangkok. InsyaAllah saya akan balik (for good sob sob) pada minggu pertama Oktober nanti. Lebih awal daripada perancangan asal.

Ini contoh kiriman-kiriman yang lepas.


..::Sutera Thailand::..

Maya, serius yang silver tu lawa sangat. Tak caya tanya Pa'e hiks.

..::Pashmina::..

..::Sarung kusyen. Datang sepasang::..

..::Bekas tisu::..

..::Dompet::..

..::Beg Deuter::..

Kalau ada barang lain yang anda nak kirim, boleh email saya. InsyaAllah saya akan cuba carikan. Cuma, memandangkan ini batch terakhir ruang adalah sangat terhad.

Okey ;)





Tuesday, September 11, 2012

..::ABANG, ADIK DAN SUSU IBU::..

Lepas tulis cerita raya, mari kita tulis secara random pula.

MUHAMMAD
Anak teruna saya ni sudah 23 bulan. Owh sebulan saja lagi umur genap 2 tahun. Kadang-kadang rindu dia ketika bayi. Kadang-kadang saya mahu dia cepat besar. Masih bertutur bahasa bayi, namun dari sehari ke sehari perbendaharaan katanya makin bertambah. Paling Muhammad pandai sebut sakit, dah sampai, sudah, ikan, nasi, biskut, basikal, gigi, baju. Eh banyak juga sebenarnya walaupun masih ada sedikit pelat. Tak takut orang awam dan suka binatang terutamanya kucing, siap ditunggang kucing tu. Dan paling suka sapu sampah. Kalau nak menyapu, kena buat masa dia tidur.

..::Muhammad tolong Tok sapu sampah::..

Sebulan saya di kampung, siang malam Muhammad menyapu. Nampak saja Tok pegang penyapu, cepat-cepat dia minta nak sapu juga. Bukan setakat sapu sampah dalam rumah, bilik air pun Muhammad tolong sental :p. Pergi beraya rumah Mak Ngah pun dia tolong sapu sampah juga. Bertuah anak teruna ni. Tok kata like father like son.

..::Lain-lain aktiviti Muhammad sepanjang di kampung::..

ADIK MUHAMMAD
Alhamdulillah. InsyaAllah adik Muhammad sudah berusia hampir 18 minggu. Rezeki Allah ketika saya bercuti tanpa gaji. Seperti mengandungkan Muhammad dulu, saya tak alami alahan teruk. Sekadar muntah di awal pagi sehingga sekarang. Dan pedih ulu hati. Mengidam? Macam-macam. Tambahan pula duduk di Bangkok dan apa yang diidamkan tu semua makanan di tanahair. Bila teringin tu, dapat rasa sikit pun sebenarnya dah rasa puas hati. Doakan saya ya :)

SUSU IBU
Masa minggu terakhir bekerja dulu, saya dah habiskan stok EBM yang ada. Stok pun sebenarnya cukup-cukup makan saja sebab pam di pejabat pun hasilnya cukup-cukup makan. Mungkin mind set. Nak habiskan stok yang ada sebab renyah nak angkut EBM naik kapalterbang. Lagipun nanti saya tak kerja. Dan bila duduk rumah, memang saya dah berhenti mengepam.

Dalam usia 23 bulan, Muhammad masih menyusu dengan saya walaupun makanan dan minuman lain pun semua Muhammad tak tolak. Dengan kandungan 18 minggu, saya sekarang dalam proses menceraikan Muhammad dengan susu. Tanpa kaedah-kaedah yang selalu dicadangkan orang tua-tua, saya mahu ia berlaku secara semulajadi. Saya kesian, saya sayang dan entah ada perasaan yang tak dapat dirungkai. Sekarang saya beri bila dia mahu sahaja. Jika tak minta saya buat tak tahu atau beri minum dalam cawan atau bancuhkan susu dalam botol sahaja. Malam-malam pun dah semakin jarang terjaga mahu susu.

LAIN-LAIN
Masa duduk di kampung haritu saya pergi buat buku merah. Buku saya kena tag warna hijau sebab saya kurang berat badan dan pernah ada kes bersalin secara pembedahan. Dan, sampai sekarang berat saya masih 45kg.



Saturday, September 08, 2012

..::BIAR LAMBAT ASALKAN SELAMAT::..

Kita sambung cerita raya.

Pagi-pagi Syawal kedua kami dah plan nak balik Perak. Gedebak-gedebuk bersiap kemas itu ini dan sarapan, 7.40 pagi gerak dari Melaka. Lalu Masjid Tanah-Lubok China-Rembau, masuk lebuhraya di Pedas-Linggi dan turun di Senawang kemudian sambung guna LEKAS.

Pemandangan menarik yang kami nampak ialah semua gerai yang ada jual roti canai memang penuh dan orang memang beratur panjang. Semua orang dah tak lalu nak makan lemang, ketupat dan rendang ye. Hehe.

Kami singgah dulu di Semenyih rumah Atam sebab nak ziarah dia yang tak dapat balik beraya di kampung. Sekaligus nak bagi kek yang saya buatkan untuk dia dan sedikit ole-ole daripada mertua. Masa gerak tu saya sms bagitau dan atam bajet kami sampai pukul 10.00. Saya tanya suami, dia jawab pukul 9.00. And we make it at 9.15 ihiks. Atam kata memang laju sungguh kami ni. He he. Sampai saja bagi mandi Muhammad dulu kemudian baru senang nak lepak-lepak.

..::Muhammad mengamuk sebab Pak Tam pegang kamera mama ha ha::..

Ini saja gambar yang saya ada. Lain-lain gambar tengah makan semua boleh tengok dalam blog Atam.

10.30 gerak dari Semenyih. Sebab awal lagi suami kata singgah rumah dulu. Masuk Putrajaya untuk naik ke Elite dan turun Bukit Jelutong. Lancar. Singgah rumah tinggalkan baju kotor, kemas beg baju sikit-sikit lagi dan suami sempat cuci kereta. 12.30 gerak dari rumah menuju destinasi.

Dari Guthrie masuk ke Plus mula-mula tu lancar saja walaupun kereta banyak, sampailah ke kawasan pertukaran lorong dari 3 ke 2 lorong di Slim River. Selalunya bila sesak kami akan keluar di Slim River, tapi haritu jalan keluar tu pun dah penuh sesak, jadi kami terus saja. Hujan sekejap-sekejap di sesetengah kawasan. Dan, merangkak-rangkaklah sampai ke Tapah. Kalau tak salah saya waktu tu dah dekat pukul 3.00petang, which is biasanya dah dekat nak sampai kampung huhu.

Berhenti di Tapah untuk isi minyak dan memenuhi lain-lain keperluan. Perut pun dah lapar. Kereta banyak, parking pun tepi-tepi jalan saja. Suami keluar cari makan. Tak lama lepas tu hujan turun dengan sangat lebatnya, dan suami sangkut di luar hampir 2 jam. Sebab KFC penuh sampai ke luar dan tempat makan yang lain pun penuh suami cuma tapau mee rebus restoran Pak Tam, 2 biji pau dan jagung rebus daily fresh.

Dipendekkan cerita dalam perjalanan yang panjang ni, pukul 7.30 malam baru kami sampai Bagan Serai. Lemau rasa badan. Singgah rumah abang saya dulu sebab siangnya dia buat makan-makan jemput adik beradik. Kimi pun ada kat situ baru sampai.

..::Gambar ambil dari Facebook abang saya::..

Lepas kenyang makan, borak-borak sambil bagi duit raya, pukul 9.00 lebih gerak balik rumah. Penatnya tak tahulah nak cakap. Dekat 12 jam baru nak sampai. Tapi tak apalah, bak kata tajuk entry ni, biar lambat asalkan selamat. Kami berhenti lama di Tapah sebab hujan lebat sangat tak nampak jalan dan memang bahaya nak drive. Alhamdulillah.

Pengalaman perjalanan panjang nak balik kampung kali ni disusuli dengan kami suami isteri terpaksa bangun jam 4.00pagi sebab cirit birit. Dan, saya syak mee rebus Pak Tam puncanya. Bukanlah bersangka buruk. Cuma memandangkan kami berdua saja yang makan benda tu, dan kami berdua saja yang kena, tak ada apa lagi yang dapat menyangkal. Mujur juga tak teruk mana.

Kegembiraan beraya bersama keluarga tak tergugat olehnya ;)











Friday, September 07, 2012

..::DI MANA DIA DI HATIKU?::..

"Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al-Quran dan ingatkan mati."

Pesanan Imam Ghazali :

"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temua juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

----------------------


Saya sedang membaca buku di atas untuk mengasah kembali minat membaca yang sudah agak lama ditinggalkan. Alasan mudah, sejak lepas kahwin, mengandung, beranak, kekangan masa dan tenaga membuatkan membaca diketepikan. Tetapi saya sedar ada sesuatu yang tidak lengkap macam a missing piece bila tak membaca.

Ia sebuah buku yang sangat baik. Setakat 36 muka surat yang telah saya baca, air mata saya merembes sayu. Terasa jauhnya saya. Atau juga mungkin kerana terlalu banyak yang saya pendam dalam hati.

Dan, kata-kata di atas saya petik dari buku berkenaan untuk perkongsian bersama. Selamat membaca dan mencari di mana letaknya Dia di hati kita.


Thursday, September 06, 2012

..::SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI::..

Assalamualaikum, salam sejahtera
Kepada anda semua moga bahagia :)

Saya kira belum terlambat lagi untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Dan sekaligus update blog dengan cerita berkaitan raya.

Tahun ni giliran beraya di Negeri Sembilan dulu, kemudian baru balik Perak. Sementelah sepanjang bulan Ramadhan saya berpuasa di kampung, jadi saya kenalah balik Shah Alam dulu sementara tunggu suami balik dari Bangkok hari Jumaat. Kedengaran macam kerja yang berulang alik kan? Tapi memang pun sebenarnya. Hehe. Apa nak buat.

Hari Khamis saya balik berdua saja dengan Muhammad. Gerak dalam pukul 11.00 lebih kot sebab tunggu Muhammad bangun tidur, bagi makan kenyang-kenyang dan siapkan dia. Alhamdulillah perjalanan lancar. Muhammad pun tidur saja sepanjang perjalanan. Dah nak sampai Rawang baru jaga, itu pun senyap saja dalam car seat. Bila dia dah terjaga barulah saya berhenti di R&R Elmina. Kejang badan drive tanpa henti sorang-sorang, ditambah dengan rasa nak buang air.

Hari Sabtu dalam pukul 10.00 lebih baru gerak pergi Melaka. Kisahnya beraya di Melaka sebab kak ipar saya baru bersalin 2 minggu sebelum raya. Jadi mertua memang duduk sana sepanjang kakak ipar berpantang.

..::Gambar sekeluarga di pagi raya::..

Baju raya saya tu kain cotton kirim dengan Maya beli di Bandung. Tudung saya tu ikut trend masa kini - bawal AidiJuma kirim dengan anak buah beli di Sunway Carnival, Penang. Terima kasih la dekat Maya sebab memang sedang elok sungguh la warna kain tu matching dengan baju melayu suami. Baju melayu suami tu ulang baju kahwin dulu. Setahun 2 kali saja pakai baju melayu jadi tak perlu membazir tempah yang baru. Tahun ni tak buatkan baju melayu untuk Muhammad. Budak cepat besar, nanti saiz dah tak kena. Lalu pergi SOGO dan shopping baju budak.

..::Muhammad dengan sepupu::..

..::Baby baru nama Aqif Ziqrin::..

Juadah di pagi raya, emak mertua buat kuah lodeh. Rendang, ketupat dan macam-macam makanan lagi bapa mertua kakak ipar yang bagi. Tapi tak ada gambar. Lupa nak rakam.

Jadi, itu saja gambar raya yang ada. Hehehe. Lain-lain aktiviti saya tak ambil gambar. Tiba-tiba macam rasa rugi pula sebab petang tu saya pergi beraya di rumah Nusrat Aida, kawan masa Politeknik dulu. Entah bukan senang nak dapat jumpa kawan-kawan lama. Haiisshh.

Itu cerita raya saya tahun ni. Ok jugalah beraya di kawasan perumahan kakak ipar saya ni sebab kebanyakkannya tentera dan pekerja Petronas. Jadi ramai yang tak balik kampung sebab tuntutan tugas :). Maka, bolehlah beraya di rumah jiran sebelah.

Pagi-pagi raya ke-2 kami dah mulakan perjalanan nak balik Perak. Nanti cerita dalam entry lain.

Tata.




Friday, July 13, 2012

..::BALIK KAMPUNG::..

Waahh tak sangka dalam beberapa jam lagi kami nak balik kampung. Tak kira lah balik kampung mana dulu, janji balik kampung. Hiks.

Penerbangan jam 7.45 malam, tapi tetaplah kena keluar awal. Perjalanan hampir 45 minit kot. Tapi jem di Bangkok ni lain macam sikit. Lagi teruk daripada KL. Perancangannya 3.30 petang dah kena gerak. Semoga dipermudahkan.

Beg nak bawa balik malam tadi dah revised. Satu beg dah kunci, tinggal lagi 2 beg roda masih boleh sumbat-sumbat barang. Di samping tu suami akan kendong beg laptop dan saya akan kendong bag pack kecil sambil tolak stroller. Banyak gak barang. Hehehe.

Suami dah balik kerja, sekarang pergi solat Jumaat. Pagi tadi sebelum keluar suami pesan "kemas barang.. kemas barang.. jangan leka" hehehe.. Tapi sekarang dia pergi masjid saya curi kesempatan update blog walaupun tadi sebenarnya tengah lipat kain dan tersadai separuh jalan.

Ok lah. Nak sambung kemas-kemas. Doakan perjalanan kami selamat. Dan kepada yang ada kirim barang, sabar-sabarlah menantikan ketibaanya.. kiki..

Sampai jumpa lagi.. ;)

Wednesday, July 11, 2012

..::SEBAB TU LAH KENA PACKING AWAL::..

Ada budak suka sangat duduk dalam beg




Tuesday, July 10, 2012

..::PACKING::..

Oh, lagi 3 hari nak balik. Berdebar-debar je perasaan ni. Ha ha ha. Masa nak datang sini pun berdebar-debar, nak balik pun sama. Ini baru 3 bulan berpergian. Orang yang bertahun-tahun tu bagaimana ya. Terfikirkan banyak perkara. Entah macam mana keadaan rumah yang lama ditinggalkan. Lama tak drive, kena tanam balik keyakinan diri. Hmm..

Beg nak balik dah kemas. Sebulan dah kot. Sebabnya tiket asal 7 Julai haritu. Tiba-tiba suami ada kerja yang kena selesaikan dulu, jadi terpaksa tukar tiket. Balik Jumaat malam. Sampai KLIA tengah malamlah sebab 1 jam perbezaan waktu. Terus ke Seremban sebab kereta ada kat sana.

Mula-mula beg kami macam ni saja.


Kemudian jadi macam ni sebab ada orang kirim beg Deuter.


Disebabkan tiap-tiap minggu keluar pergi shooping, maka beg beranak jadi yang ini.


Bila dah buka tawaran untuk thai silk, beg kami jadi macam ni. Saya kata kat suami, teringat zaman dulu-dulu orang Kemboja datang rumah junjung bunjut besar jual kain. Ha ha ha


2 buah beg besar memang dah padat. Tinggal 1 beg kecil yang boleh bawa naik atas kabin belum siap packing. Itu untuk isi kain baju yang nak pakai sehari dua sebelum balik Shah Alam. Cukup lah tu.

Oh, sesiapa yang ada kirim barang, bolehlah buat pembayaran sekarang dan tinggalkan nombor telefon serta alamat di email. Masa sangat terbatas jadi saya tak pasti sempat ke tidak untuk jumpa-jumpa dan pass barang. Mungkin sempat kalau kawasan anda terletak sekitar Seremban, Shah Alam dan Parit Buntar. Kalau tak sempat, saya akan pos barang anda. Kepada yang sudah buat pembayaran, terima kasih banyak-banyak.

OK, sampai jumpa lagi.




Wednesday, July 04, 2012

..::MAKAN KENDURI::..

Di Malaysia, sana sini dengarnya tengah musim kenduri. Lalu orang di perantauan ni pun teringin nak makan nasi dan lauk kenduri.

Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Hehehe. Malam Jumaat, balik dari masjid suami beritahu dapat jemputan kenduri daripada Khatib Abas. Kenduri hari Sabtu. Nanti Ismail, tuan rumah datang jemput dan bawa kami pergi sana.

Berdebar juga nak pergi kenduri orang siam ni. Entah macam mana suasananya. Entah apa hidangannya. Dan pada mulanya saya bercadang mahu pakai baju kurung, tapi suami kata pakai baju biasa saja. Fikir-fikir semula, oklah saya pakai jeans dan blouse labuh.

Hari Sabtu jam 10.00pagi Ismail datang jemput. Kenduri tu di kawasan Pathanakan. Nak kata jauh dari Thonglor ni, tak la juga. Mungkin macam dari Shah Alam ke USJ. Ismail beritahu kawasan kenduri ni ialah kawasan perkampungan orang melayu siam. Mereka tinggal di atas tanah wakaf, dengan bayaran sewa 500bth sebulan, lebih kurang RM50. Dan, bila sampai ke situ memang jelas pemandangan yang sangat berbeza. Wanita-wanita bertudung kelihatan di merata-rata. Tempat makan yang banyak. Paling saling tak tumpah dengan keadaan di Malaysia ialah pakcik-pakcik yang berkain pelekat melepak di kedai-kedai kopi di tepi jalan. Tapi saya malu nak ambil gambar.

..::papan tanda kuning dan bendera thai akan dipasang menandakan ada kenduri::..


..::macam di Malaysia juga, ada khemah dan meja makan::..


Orang islam di Thailand tak kira tua atau muda pergi kenduri pakai baju melayu dengan kain pelekat. Walaupun kenduri kahwin. Kalau di Malaysia selalunya orang pakai macam tu kalau kenduri doa selamat saja. Dan, selalunya orang tua-tua je.

Ismail beritahu lagi bahawa kenduri di sini bermula dari jam 8.00pagi sehingga malam, berlangsung selama 2 hari. Wow!

..::Kami makan bersila dalam rumah. Dan, terkejut juga tengok pakaian orang yang datang kenduri memang grand mengalahkan pengantin. Berkilat-kilat sana sini dan kain pun bertingkat-tingkat. Hehehe::..


..::Lauk kenduri::..


Ringkas saja lauknya. Sup tulang yang super duper sedap. Dagingnya lembut dan luruh dari tulang. Kemudian ada so-on goreng + daging + kacang panjang dan daging masak merah. Cuma, jangan tertipu dengan warna merah itu kerana sebenarnya rasanya manis. Memang potong habislah.

..::Cuma nasi putih. Tak ada nasi minyak. Dan, makan dengan sudu ya :)::..


..::Juga tak ada air sirap. Cuma air ais kosong saja dalam jug dan cawan stainless steel::..


Satu yang menarik ialah, kita boleh minta tambah lauk bila-bila masa sahaja. Ada penanggah yang bawa baldi berisi sup tulang.

..::gambar kurang jelas sebab dekat sangat kat belakang saya::..


..::bekas sampah juga disediakan. Mudah sangat::..


..::Ada manisan yang sangat manis. Eerrr dah nama pun manisan, kan? hehe. Saya tak rasa pun, suami saja yang jamah sikit::..


Tengah-tengah makan, nampak pengantin. Tak pasti pula yang mana satu anak Haji Abas. Tapi muka muda sungguh la pengantin ni.


Walaupun cuma makan nasi putih dengan sup tulang, Alhamdulillah sedap sangat. Bertambah juga saya makan. Muhammad pun makan banyak. Lupa nak ambil gambar budak tu. Hajat di hati macam nak makan lagi sebab lapar dan sarapan pagi tu cuma karipap, tapi apakan daya, makan bersila pakai jeans memang tak kena gaya. Sendat perut. Balik rumah, sampai ke malam saya sebut-sebut sup tulang dan suami ejek saya kenapa tak minta tapau. He he he.

Sekian, cerita saya makan kenduri di perkampungan melayu islam di Siam. Sampai jumpa lagi. Wassalam :)












Tuesday, June 26, 2012

..::INI BUKAN PERNIAGAAN INTERNET::..

Update secara pantas sementara Muhammad tak ada perasaan mahu mengadap komputer.

Di kesempatan yang ada ni saya mahu tanya kepada kawan-kawan dan pembaca blog ni, ada yang mahu pesan thai silk kah? Atau barang lain macam skaf atau bekas tisu. Sementelah saya akan balik bulan depan, insyaAllah, boleh diuruskan.

Saya letak sedikit gambar sebagai panduan ye.


..::pilihan warna dan corak thai silk. Beli 1 RM80, kalau beli 2 RM150.00 ;)::..


..::Ini warna peach yang saya beli sebagai sampel. 2 meter baju, 2 meter kain::..


..::warna ungu 'bolak-balik'. Alaaa yang ada tone warna tu::..


..::bekas tisu. RM10.00::..


..::Pashmina. Yang 2 tone tu memang cantik. Saya ada beli 1 tapi sebab dah packing jadi tak adalah gambar::..


..::Scarf pun lawa-lawa::..


..::Scarf warna gold dan terquoise. Scarf & Pashmina RM18.00 dan RM20.00::..

Kalau ada sesiapa yang berkenan, boleh tinggalkan komen atau email saya di madulebahATgmailDOTcom ye. Untuk batch pertama, tawaran dibuka sehingga pagi Sabtu :). Batch seterusnya masa balik raya dan yang terakhir insyaAllah hujung bulan 10. Cuma batch terakhir tu ruang agak terhad. Terima kasih banyak-banyak.


Friday, June 15, 2012

..::MELAYAN KEHENDAK TEKAK::..

Duduk di rantau orang ni, lama-lama teringat dengan makanan di Malaysia. Saya tak tahu macam mana perasaan orang yang dah lama duduk di luar negara. Mungkin alah bisa tegal biasa. Tapi saya, menjelang bulan ke tiga ni mula teringat itu ini.

Teringat burger depan UiTM Puncak Perdana tu, teringat roti canai Batu 5, roti canai Kampung Melayu Subang, KFC Malaysia, Nando's dan macam-macam lagi. Dan lagi mencabar diri bila asyik layan rancangan masak-masak di TV. Erm sebab itu je rancangan yang seronok dan sesuai ditonton bersama anak, selain daripada layan Upin Ipin.

Baru-baru ni tiba-tiba saya teringat Lontong Klang. Gara-gara baca blog Maya yang pergi makan mee ketam di Seksyen 7. Memang tak ada kaitan pun di antara lontong dengan mee ketam. Tapi memandangkan lokasi kedua-dua restoran tu berdekatan, buat hati teringat-ingat.

Jadi, saya buat cuba masak sendiri kuah lodeh. Saya tak pernah buat sendiri pun walaupun mertua saya selalu buat. Kalau ada dulu zaman belajar tahun 1999 masak dengan kawan-kawan di rumah sewa masa tak balik Raya Haji. Saya google resipi dan pilih resipi dari dapur Mat Gebu. Bahan mudah dan tak renyah.



Ini hasilnya. Saya hidang dengan kuah kacang. Walaupun tak berapa cukup sifat, Alhamdulillah menjadi. Suami makan tak bunyi apa. Muhammad pun nampak suka bila makan bertambah. Tapi kalau ada tempe, tauhu, sengkuang dan sambal sotong memang lagi terangkat. Kot.

Saya kata kot sebab sebenarnya sehingga ke hari ni, masuk hari ke 2 saya tak rasa pun lagi lontong tu. Entahlah.

Wednesday, June 13, 2012

..::BERMANDI PELUH::..



Monday, June 04, 2012

..::LEPAK-LEPAK HUJUNG MINGGU::..

Hari ni Thailand cuti sempena hari Wesak. Setakat ni tak ada plan ke mana-mana pun. Semalam pun seharian di rumah saja. Asalnya memang nak keluar, tapi Muhammad pula tidur lepas dah siap pakai 'baju jalan'. Timing lari, kemudian hujan dah liat jadinya.

Hari Sabtu kami pergi OTOP Tourism and Food Fair di Rajamangkla National Stadium, Ramkhamhaeng. OTOP tu kira macam program Satu Daerah Satu Produk di Malaysia. Mungkin kali ni kawasan yang di pilih ialah Selatan Thailand. Produk semua datang dari Narathiwat. Pakej pelancongan yang ditawarkan pun ke Yala, Narathiwat dan Patani. Hiks. Suami kata tak payah lah pergi. Bahaya. Kan kawasan bergolak tu. Yang seronok ke sini, gerai jualan makanan, semuanya halal. Dan kebanyakan penjual semua pandai cakap Kelantan. Kami borong makanan saja. Nanti saya cerita dalam entry lainlah. Gambar belum transfer. He he..

Ok lah. Entry mencukupkan syarat update. Sebelum tu, jomlah jamu mata dengan aktiviti masak-masak tak seberapa saya sementara jadi suri rumah ni.

..::Kuih yang tak pernah jemu dimakan. Buat banyak dan simpan beku. Ini versi kentang. Kali kedua buat versi sardin. Nyum nyum::..


..::karamel popcorn buat kudap-kudapan petang hujung minggu sambil tengok TV. Muhammad pun suka, ayah Muhammad apatah lagi::..


..::Cantik je kan pancake ni. Saya syak kuali pun memainkan peranan juga. Kat sini tuan rumah sediakan Tefal. Di Shah Alam saya guna cap Idaman Suri saja::..



..::Pizza mee segera yang tak berapa nak garing. Maklumlah saya pakai loyang aluminium yang rupa-rupanya kurang sesuai dengan microwave. Kena guna pyrexlah gini ha ha ha::..


Pagi ni saya masak nasi lemak, sambal ikan bilis, telur mata kerbau dan ulam timun.

Ok itu saja. Selamat bercuti kepada yang masih bercuti. Cuti sekolah, cuti hari Gawai, Tadau Kaamatan dan macam-macam cuti lagi.





Saturday, June 02, 2012

..::KEMUDAHAN YANG CUKUP BERMAKNA::..

Alhamdulillah, berada di Bangkok untuk tempoh yang lama memberi peluang kepada saya mengenali dan memahami budaya luar dengan lebih dekat. Malah, semakin lama di sini, saya semakin biasa dengan persekitaran. Tidak rasa terasing. Dan, yang lebih menggembirakan umat Islam bebas mengamalkan tuntutan agama. Antara mahu atau tidak sahaja.

Pada hari pertama tiba di bumi Thai, dari dalam kapalterbang lagi saya sudah lihat ada 2 buah masjid tersegam indah di tengah-tengah sawah padi. Dalam perjalanan dari lapangan terbang ke rumah pula, saya melalui 4 buah masjid. Dan, rumah yang kami diami juga berdekatan dengan masjid.

Bila keluar membeli belah pula, tak perlu risau kerana pihak pengurusan pusat membeli belah memang menyediakan ruang solat. Saya pernah melalui pengalaman yang sukar di negara jiran. Dan, saya juga pernah terbaca, ada yang menunaikan solat dalam fitting room pusat membeli belah, secara sembunyi-sembunyi. Alhamdulillah, di Bangkok kepentingan umat Islam dipelihara.

Di sini saya kongsikan bersama pusat membeli belah di Bangkok yang menyediakan ruang solat. Ini setakat yang saya sudah pergi lah. Banyak lagi pusat membeli belah yang saya belum sampai. Hiks. Walaupun ruangnya terhad, namun cukup bermakna.

Ini surau yang disediakan oleh pihak pengurusan MBK Center. Terletak di tingkat 6 kompleks berkenaan.

..::Ruang solat dan tempat wuduk yang diasingkan::..


Di The Platinum, ada dua ruang solat disediakan. Yang kami pergi ni di tingkat 5 dan satu lagi di tingkat 2. Ruang terhad. Walau bagaimanapun, sejadah, telekung dan kain pelikat berlipat cantik.


..::Ruang bersekali. Hanya dipisahkan oleh dinding separuh di bahagian mengambil wuduk::..


Terbaharu kami ke Siam Paragon. Sudah menjadi kebiasaan bila ke tempat baru mesti cari directory pamphlet dulu. Selain nak pastikan hala tuju, maklumat kemudahan asas seperti bank, makanan halal dan surau juga boleh diperolehi.

Dan, Siam Paragon menyediakan kemudahan surau di Aras Bawah (Basement) bahagian Selatan. Ruang yang luas, kemas dan selesa.


..::Tempat solat berasingan, namun berkongsi tempat wuduk::..


Ok saya tutup entry ini dengan ucapan tahniah kepada pihak kerajaan Thai dan pengurusan pusat membeli belah. Yang baik kita ambil jadi panduan dan pengajaran, yang buruk kita tinggalkan.. di sempadan.. hehe

Friday, June 01, 2012

..::ALAHAI ANAK OMAK::..


Kerja budak yang tak mahu tidur. Pandai sorok bantal dalam kabinet.