Showing posts with label breastfeeding. Show all posts
Showing posts with label breastfeeding. Show all posts

Friday, October 12, 2012

..::DILEMA PENYUSUAN::..

Beberapa hari lagi Muhammad genap 2 tahun, dan Muhammad masih menyusu, walaupun dah tak sekerap dulu. Minta susu bila mahu tidur sahaja.

Yang menjadi dilema pada saya sekarang, bukan umur Muhammad. Tetapi bila menyusu dalam keadaan mengantuk, Muhammad cenderung menggigit. Sedangkan kena gigit dengan gusi pun sakit inikan pula gigi penuh. Bila dilepaskan (tentu sekali secara terpaksa) Muhammad akan menangis, merembes air mata, sayu dan tangan akan meraba-raba mahu menyelak baju mencari susu.

Serius, saya sedih. Bila dipeluk, pujuk dan beritahu mama sakit, Muhammad meronta-ronta minta dilepaskan. Dan, ia menambahkan lagi dilema saya.

Alhamdulillah saya tak ada masalah menyusukan ketika mengandung, tapi tu lah, dilema dek kena gigit dengan Muhammad. Alahai.

Tuesday, September 11, 2012

..::ABANG, ADIK DAN SUSU IBU::..

Lepas tulis cerita raya, mari kita tulis secara random pula.

MUHAMMAD
Anak teruna saya ni sudah 23 bulan. Owh sebulan saja lagi umur genap 2 tahun. Kadang-kadang rindu dia ketika bayi. Kadang-kadang saya mahu dia cepat besar. Masih bertutur bahasa bayi, namun dari sehari ke sehari perbendaharaan katanya makin bertambah. Paling Muhammad pandai sebut sakit, dah sampai, sudah, ikan, nasi, biskut, basikal, gigi, baju. Eh banyak juga sebenarnya walaupun masih ada sedikit pelat. Tak takut orang awam dan suka binatang terutamanya kucing, siap ditunggang kucing tu. Dan paling suka sapu sampah. Kalau nak menyapu, kena buat masa dia tidur.

..::Muhammad tolong Tok sapu sampah::..

Sebulan saya di kampung, siang malam Muhammad menyapu. Nampak saja Tok pegang penyapu, cepat-cepat dia minta nak sapu juga. Bukan setakat sapu sampah dalam rumah, bilik air pun Muhammad tolong sental :p. Pergi beraya rumah Mak Ngah pun dia tolong sapu sampah juga. Bertuah anak teruna ni. Tok kata like father like son.

..::Lain-lain aktiviti Muhammad sepanjang di kampung::..

ADIK MUHAMMAD
Alhamdulillah. InsyaAllah adik Muhammad sudah berusia hampir 18 minggu. Rezeki Allah ketika saya bercuti tanpa gaji. Seperti mengandungkan Muhammad dulu, saya tak alami alahan teruk. Sekadar muntah di awal pagi sehingga sekarang. Dan pedih ulu hati. Mengidam? Macam-macam. Tambahan pula duduk di Bangkok dan apa yang diidamkan tu semua makanan di tanahair. Bila teringin tu, dapat rasa sikit pun sebenarnya dah rasa puas hati. Doakan saya ya :)

SUSU IBU
Masa minggu terakhir bekerja dulu, saya dah habiskan stok EBM yang ada. Stok pun sebenarnya cukup-cukup makan saja sebab pam di pejabat pun hasilnya cukup-cukup makan. Mungkin mind set. Nak habiskan stok yang ada sebab renyah nak angkut EBM naik kapalterbang. Lagipun nanti saya tak kerja. Dan bila duduk rumah, memang saya dah berhenti mengepam.

Dalam usia 23 bulan, Muhammad masih menyusu dengan saya walaupun makanan dan minuman lain pun semua Muhammad tak tolak. Dengan kandungan 18 minggu, saya sekarang dalam proses menceraikan Muhammad dengan susu. Tanpa kaedah-kaedah yang selalu dicadangkan orang tua-tua, saya mahu ia berlaku secara semulajadi. Saya kesian, saya sayang dan entah ada perasaan yang tak dapat dirungkai. Sekarang saya beri bila dia mahu sahaja. Jika tak minta saya buat tak tahu atau beri minum dalam cawan atau bancuhkan susu dalam botol sahaja. Malam-malam pun dah semakin jarang terjaga mahu susu.

LAIN-LAIN
Masa duduk di kampung haritu saya pergi buat buku merah. Buku saya kena tag warna hijau sebab saya kurang berat badan dan pernah ada kes bersalin secara pembedahan. Dan, sampai sekarang berat saya masih 45kg.



Friday, February 10, 2012

..::TOLONG INGATKAN AKU::..

Rutin berubah.

Menguruskan kehidupan anak beranak sendirian. Kadang-kadang jadi tunggang langgang. Sehinggakan saya selalu culas mengepam dan menyedari produksi mula menurun.

Tolong ingatkan saya. Ada beberapa bulan lagi harus dilengkapkan.

Wednesday, November 16, 2011

..::GUNA JARI PUN BOLEH::..

Saya seorang ibu yang menyusukan anaknya. Dan selalu berdoa agar Allah beri rezeki untuk saya menyusukan Muhammad sehingga umur 2 tahun. Selain daripada itu untuk mengekalkan bekalan, saya mengepam susu menggunakan mesin setiap 3 jam sewaktu berada di pejabat.

Nak dijadikan cerita, satu hari mesin tak berfungsi. Tak ada sedutan langsung. Gelabah. Telefon kawan yang mengepam juga untuk tanya kalau-kalau boleh pinjam mesinnya. Tapi dia dah bawa balik pam sebab dah tak mengepam kerana mengandung.

Tak ada pilihan lain, terus saya google dan cari panduan untuk hand expression. Memang masa mula-mula guna pam dulu, mak saya ada cakap orang dulu-dulu pakai tangan pun dapat penuh cawan. Hiks. Dulu lain sekarang lain. Dan pertama kali cuba agak berjejehan dan sememeh juga. Demi anak saya kuatkan juga semangat dan yakin akan hasilnya.

Bak kata orang, practice make progress kan. Dapatlah hasilnya yang cukup untuk Muhammad sekali minum.



Walaupun tak dapat penuh botol macam gambar yang selalu saya nampak dalam page KIM, saya tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya pada masa akan datang jika mesin buat hal lagi, saya tak perlu begitu gelabah. Lagipun sekarang Muhammad kuat menggigit kadang-kadang sampai berdarah. Nak guna pam bertambah sakit jadi guna jari pun boleh ;)

Wednesday, October 12, 2011

..::ADUHAI TASKA::..

Ini cabaran ibu bekerjaya. Anak terpaksa dijaga oleh orang lain sementara kita keluar bekerja. Dan ia juga cabaran besar bagi ibu yang menyusukan sepenuhnya bayi, macam saya.

Masa survey taska dulu, saya dah tanya sama ada pekerja pandai mengendalikan EBM, dan pengurus kata ya. Malah pekerjanya adalah mereka yang terlatih.

Hmmm.. Tapi sekarang saya pula yang terletih. Dah dua hari rasa senak bila buka cooler bag, nampak ada 1 pek susu 3oz tak habis. Susu dalam pek bermakna EBM yang dah dicairkan, jadi kena guna dalam tempoh 24 jam selepas dicairkan.

Lalu saya syak penjaga Muhammad kurang rajin nak uruskan susu dalam pek. Jadi guna saja susu dalam botol walaupun setiap botol saya dah labelkan no 2 hingga 4 mengikut turutan waktu. Memang lah tak baik berprasangka, tapi itu saja kaitannya.

Semalam, 1oz saya guna untuk rendam oat bagi Muhammad makan. 2oz lagi Muhammad tak nak minum. Hari ni, 3oz terbuang macam tu saja sebab terlupa nak campurkan dalam bubur. Muhammad pula bila balik dari taska memang tak mahu langsung minum susu dalam botol.

Sangat sedih bila terpaksa buang susu sedangkan nak dapatkan stok pun cukup-cukup makan saja.

Bila fikir semula, kita nak cerewet sangat pun tak boleh juga. Nanti penjaga rasa sakit hati, jadi tak ikhlas, dibuatnya macam-macam kepada anak kita, susahlah kan. Jadi untuk mengatasinya pindahkan siap-siap EBM cair tu dalam feeding bottle. Sudah tentu itu yang pertama akan digunakan. Biarlah saya buat kerja lebih sikit demi anak dan hati sendiri.

Wednesday, March 16, 2011

..::CABARAN PENYUSUAN - NIPPLE CRACK I::..

Satu kejadian di farmasi yang namanya dirahsiakan ;)

Saya : nipple cream ade?
Jurujual : untuk lampin ke ape ye? tanya dengan wajah keliru

Owh nak kesian ke tidak ni? Ha ha ha.

Saya : Nipple cream tentulah untuk nipple.. puting susu

Jurujual terus bergerak ke bahagian rak dan saya dengan yakin pun ikut sama.

Jurujual : Ini je yang kami ada. Sambil tunjuk deretan tin susu.

Adoi!! Mungkin dia cuma dengar perkataan susu. Ya lah tak kan saya nak sebut kuat-kuat "Puting susu!!!" hiks

Saya : Saya bukan nak susu, saya nak krim untuk puting susu. Beritahu jurujual dalam nada kesian.

Dan akhirnya saya dapat apa yang saya nak walaupun ada satu jenis saja tanpa ada pilihan lain.