Monday, May 31, 2010

..::MATI ADALAH PASTI.. HIDUP INSYA'ALLAH::..

Kita mulakan entry ini dengan bacaan Al-Fatihah. Dan sedekahkan kepada roh mereka yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Saya sekeluarga masih dalam keadaan terkejut. Mungkin lebih-lebih lagi emak saya. Belum pun reda kesan kehilangan emak saudara awal tahun lalu, Jumaat lepas kami dikejutkan dengan satu lagi kehilangan. Adik bongsu emak iaitu Paksu Saufi pergi mengadap Pencipta.

Ketika berita di terima, saya berada nun jauh di selatan tanah air. Hanya doa yang dapat dipanjangkan. Kata adik saya, jenazah akan disempurnakan di Sungai Buloh kemudian terus di bawa balik ke kampung untuk pengkebumian.


ini gambar yang diambil dari Facebook adik saya


Arwah pergi dalam usia yang muda. Meninggalkan seorang isteri serta anak-anak yang masih kecil. Yang mungkin belum mengerti apa-apa.


yang saya bulatkan tu ialah Arwah dan ahli keluarga. Gambar sewaktu majlis bertandang ke Negeri Sembilan. Kata sepupu saya, kenduri mana yang paksu tak pergi?


Merenung segala yang berlaku, ia adalah ketentuanNya. Allah berhak mengambil nyawa yang dipinjamkan pada bila-bila yang Dia mahu. Sebagai hamba yang masih diberi nikmat hidup di dunia, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk meningkatkan segala amalan dan bekalan untuk bertemu denganNya.

Al-Fatihah.

Wednesday, May 19, 2010

..::ALLAH BAYAR TUNAI::..

Kakak saya selalu pesan. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Tetapi, kunci pintu syurga bagi seorang isteri itu ada pada suami. Dan baru-baru ni pun saya ada berbual dengan seorang kawan yang selalu bagi nasihat dan hadiahkan saya buku best masa wedding dulu. Kawan saya kata wanita ni sangat mudah untuk masuk Syurga. Hanya dengan taat kepada suami (selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak lah kan). Taat itu subjektif tetapi ia wajib.

Saya mahu berkongsi sesuatu. Yang saya rasa ia balasan Allah kepada saya. Walaupun tidak lah sampai tahap derhaka, tetapi kerana merasakan Allah sayang kepada saya, jadi salah sedikit terus diberiNya balasan. Agar saya tidak terus lalai.

Sudah 2 hari suami hantar dan jemput saya pergi kerja. Kebetulan dia ada urusan di KL. Rutinnya, bila suami yang memandu sampai di rumah saya akan buka pintu pagar. Kalau saya yang memandu suami pula yang akan buka pintu pagar. Ya, pagar rumah kami bukan pagar automatik.

Semalam hari hujan. Lebat juga lah. Bila sampai rumah saya teragak-agak nak keluar lalu minta payung daripada suami. Tapi suami tukar mode gear kepada P dan minta kunci daripada saya. Ok ini tak patut. Lalu saya pun turun buka pagar. Masa nak tutup pagar kaki saya tersangkut. Sakit Allah saja yang tahu. Saya diamkan saja dan tahan sakit. Suami pun tak tahu kaki saya sangkut pagar.

Sebenarnya sebelum tu dalam perjalanan ada sedikit konflik bila suami tanya jalan mana nak lalu. KL ni bila hujan lebat tak boleh tidak mesti sesak. Dengan banjir kilat dengan itu dengan ini semua ada. Saya pula sebenarnya tak suka berada dalam situasi begitu. Sebab nanti bila jalan yang saya pilih tu sesak, saya rasa bersalah dan bila jalan yang dipilih orang lain tu yang sesak saya akan menyalahkan pula. Macam dulu pernah saya salahkan diri sendiri sepanjang perjalanan balik rumah bila entah kenapa pergi lalu depan Puduraya masa hujan lebat yang rupa-rupanya ada banjir kilat di situ.

Jadi bila suami tanya, saya jawab lebih kurang. Sesuatu yang sangat tidak baik. Dan terus lepas tu sepanjang perjalanan 33km senyap sunyi hanya bertemankan bunyi radio. Stress dan terus dihambat rasa bersalah. Mengantuk dan nak tidur pun terpaksa tahan. Pada tangan yang lain saya nak cuba salahkan hormon. Tapi itu lah perempuan selalu saja salahkan hormon bila berperangai emosi. Bila kaki tersangkut pagar dan lebam saya tak jadi nak salahkan hormon. Terbayang-bayang dosa derhaka dengan suami. Nanti Allah dan Malaikat laknat saya.

Entah lah. Ini apa yang saya cuba kongsi. Sesuatu yang ternyata salah pasti ada balasannya. Saya masih baru dalam alam rumahtangga. Tahun pertama hingga ke 5 tu selalu disebut-sebut sebagai tempoh berkenalan dan menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Perbanyakkan doa. Jaga tingkah laku dan sentiasa dekatkan diri dengan Pencipta. Ada banyak perkara yang patut disyukuri, jadi kenapa saya perlu meminta yang lebih.

Monday, May 10, 2010

..::SAYA DILANGGAR BAS::..

Tak rajin mahu cerita panjang.

Dan. Dipendekkan cerita, hari Jumaat lepas sedang kereta saya berhenti (dengan brek tangan ditarik) dalam kesesakan jalan raya di hadapan Bangunan Sinar Kota tiba-tiba sebuah bas persiaran yang berada di belakang telah melanggar kereta saya.

Bagai luruh jantung menyirap darah ke seluruh wajah dan membuak-buak perasaan marah. Elok saya mahu keluar daripada kereta, pemandu bas lebih dahulu datang dan hulur kad perniagaan minta saya telefon syarikatnya. Tapi sempat juga saya hamburkan kemarahan kenapa dia boleh langgar saya. Alasannya brek tangan tak kuat. Saya marah lagi kerana dia membontoti kereta saya terlalu rapat. Tanpa menjawab amarah saya, pemandu berkenaan terus masuk ke dalam bas.

Saya masih marah, masih mengeletar dan mula menangis. Hey itu tindak balas biasa. Telefon suami. Suami cakap kalau kereta boleh gerak, balik rumah dulu. Apa-apa hal selesaikan kemudian. Saya pun pandu kereta sambil menangis sambil terfikir-fikir apa jadi dengan kereta saya. Sebab saya tak pergi jenguk pun.

Tadi kata tak mahu cerita panjang kan. Sedangkan sekarang sudah 4 perenggan. He he he.

Sampai di rumah, suami buka pintu dan pergi tengok keadaan kereta. Saya masih di dalam kereta. Hati belum cukup tenang. Lepas tengok kereta, suami terus masuk rumah dan sambung tonton tv. Tindak balas suami buat saya rasa nak marah semula. Sabar kan hati dan keluar. Pergi jenguk belakang kereta. Dan masuk rumah.

Suami pandang dan saya sengih-sengih. Patutlah tindak balas biasa saja sebab kereta cuma calar di bumper dan kemik sedikit di bonet. Tidak lah luruh atau rongak bumper seperti yang saya bayangkan. Tak sangka kuat juga CLK saya sebab impak perlanggaran tu lampu bas berkenaan tercabut.

Cuma apa yang berlaku sebenarnya sering menjadi kebimbangan saya selama ini. Berulang alik dari rumah ke tempat kerja dan begitu juga sebaliknya dalam jarak yang begitu jauh. Melalui jalan-jalan yang dipenuhi kenderaan besar dan berat. Setiap kali ada bas atau lori besar berada di belakang kereta saya memang risau. Segala macam kemungkinan mula bermain dalam fikiran. Kadang-kadang kita sudah memandu dengan begitu berhemah dan berhati-hati tapi ada pihak lain pula yang cuai. Sesuatu yang di luar jangkaan kita.

Semuanya adalah qada' dan qadar Allah dan kita sebagai hambaNya wajib percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Friday, May 07, 2010

..::SUP::..

Tadi saya beli soto.

Sewaktu mahu tuang kuah sup ke dalam mangkuk, plastik sup yang panas itu terkelepet dan sup tertumpah ke atas riba saya.

Cepat saja sup meresap. Panas di paha terasa. Mujur pengawalan tindak balas saya bagus. Ha ha ha. Kalau tidak mungkin plastik sup di tangan sudah dicampak.

Dan. Walaupun selepas dicuci, saya masih berbau sup.

..::MENCARI YUSUF::..

Siapa tahu di mana atau dari mana saya boleh jumpa ini?




Sebab selalunya dia cuma keluar pada bulan Ramadhan saja.

Thursday, May 06, 2010

..::HABIS CARA::..

Kehidupan seperti biasa. Sibuk. Alasan tidak kemaskini blog dalam tempoh yang lama.

Minggu lepas saya asyik pergi kursus. Maklum sajalah bila bulan April menjelang pelbagai aktiviti diatur untuk meraikan setiausaha. Tahun ini saya ambil peluang untuk hadir kursus. Dirasakan lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan menghadiri luncheon. Tapi siapa yang hadir luncheon tu jangan pula kecil hati. Terpulang kepada diri dan majikan masing-masing.

Memandangkan saya sangat susah untuk dapat peluang berkursus jadi bila ada ambillah kesempatan. Dan kakitangan Kerajaan mesti memenuhi kuota 7 hari berkursus dalam setahun. Kalau lihat 7 hari tu macam sikit dan mudah saja nak cukupkan dalam masa setahun. Tapi sila percaya bahawa sudah 2 tahun kuota kursus saya tak cukup. Percuma saja hilang markah di situ.

Ini pula tentang blog. Saya sudah habis ikhtiar untuk tukar font di sidebar seperti font yang saya mahu. Cuma satu bahagian yang berhasil. Yang lain kekal seperti asal. Atau sebenarnya mungkin saya kena guna template yang ada 2 column saja? Ini sajalah mahu guna multiple column untuk sidebar. Sudahnya jadi caca-marba. (eh macam ada ritma di situ).

Dalam hal yang lain, hmmm sekejap saja sudah bulan Mei.