Tuesday, July 06, 2010

..::LEBIH DAN KURANG::..

Alhamdulillah kandungan menghampiri 24 minggu. Bayi sihat dan sangat aktif. Tendang sana sini macam main bola gayanya. Mungkin semangat piala dunia sekarang.

Hujung minggu lepas pergi buat pemeriksaan bulanan. Bila saya masuk bilik, doktor tegur "Hanida ni mesti sihat saja, laju je berjalan" Hik hik hik.. Biasa saja saya rasa. Kadang-kadang tu ada juga datang masa tak gagah nak berjalan. Ya lah, dengan saiz kaki kanak-kanak mungkin sesekali terasa juga tekanan mahu menampung berat badan yang sudah mencecah 51kg. Walaupun secara fizikalnya saya tidak kelihatan membesar dengan ketara.

Owh, doktor beritahu uri saya sedikit di bawah. Tapi katanya jangan risau, InsyaAllah akan naik perlahan-lahan. Cuma saya kena berhati-hati. Saya syak mungkin sebab saya angkat lesung batu yang beratnya macam kampit beras tu. Awal-awal dulu memang saya minta tolong suami untuk angkatkan lesung batu, tapi bila kandungan dah besar saya buat saja sendiri. Lagipun agak leceh lah nak kena tunggu orang tolong.

Tempohari juga saya dikenakan suntikan kancing gigi. Saya memang fobia bila dengar nak kena suntik, ambil darah atau apa saja yang melibatkan jarum. Doktor kata "jangan risau, sikit saja macam kena gigit semut" Ha ha ha.. terasa lucu pula. Macam budak-budak yang takut kena suntik, terpaksa doktor gunakan persamaan kena gigit semut atau kerengga untuk ubah perhatian. Dan mungkin kerana tindak balas saya terhadap suntikan berkenaan, sehingga hari ini tangan saya masih sakit dan tak boleh nak tidur mengiring sebelah kiri.

Lagi satu, saya kekurangan vitamin B walaupun saya giat mengambil makanan yang kaya dengan vitamin B. Dan saya juga ambil supplement untuk menambahkan vitamin dalam badan. Mungkin apa yang diperlukan oleh badan saya dan kandungan, lebih daripada apa yang sudah saya makan, jadi ia masih belum mencukupi. Doktor bagi lagi vitamin, dicampur dengan pil yang saya makan sekarang jadi sudahnya buang air kecil pun berbau ubat. Tapi suami kata ok lah daripada bau petai. Hik hik hik betul juga tu walaupun petai memang baik untuk kesihatan buah pinggang.

Namun begitu, Alhamdulillah secara keseluruhannya saya berada dalam kategori sihat. Tekanan darah normal, air kencing juga tidak bermasalah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan sehingga menjelang hari melahirkan.

2 comments:

imanamani said...

puan madu lebah... kalau kena injection lagi .. lepas saja kena terus sapukan balm.. tak kisah la jenis apa..di keliling tempat yang di cucuk tu..insyaAllah... di izin Allah.. cepat berkurang rasa sakit tu...

. said...

Alhamdulillah.